Thursday 28 July 2011

BAB 1: TIGA PERTEMUAN




“Alhamdulillah. Ibu, Allisya dah sampai,” bisik hati kecil Allisya. Tangan kanannya erat menggenggam peta mini USAS, manakala tangan kirinya setia memaut beg pakaian yang telah lusuh. Gadis kecil yang betudung merah jambu itu tidak pernah letih mengukirkan senyuman. Biarpun jelas kelihatan peluh di dahi, namun tidak langsung diendahkan olehnya. Dia terlalu gembira, sehinggakan waktu yang bergerak pantas dirasakan seolah-olah beku.
Perasaan Allisya begitu gembira sekali kerana kini, secara rasminya dia telah menjadi salah seorang pelajar di Universiti Sultan Alauddin Syah. Universiti yang selama ini menjadi arah tuju dan cita-cita gadis kecil itu. Allisya menarik nafas panjang. Baginya segala keperitan dan cabaran yang dilaluinya telah berakhir sebaik sahaja dia melangkah masuk ke USAS. Segala-galanya kelihatan begitu jelas dan indah. Tiada lagi tangisan dan kekecewaan yang selama ini bersilang dalam lipatan hidupnya. Allisya terus tersenyum, betapa hatinya gembira, hanya tuhan sahaja yang mengerti.
Allisya meneruskan langkahnya, dia masih asyik membelek-belek peta USAS di tangannya. Dalam kesibukan Allisya mengamati peta itu, dia tersentak apabila sesusuk tubuh manusia melanggarnya dari arah hadapan. Kertas di tangannya langsung terlepas dari pegangannya, lalu terbang di bawa angin.
“Aduh!” Terdengar teriakan daripada lelaki yang baru sahaja dilanggarinya itu. Lalu, dengan segera Allisya tunduk dan memohon maaf. Namun, matanya tidak tertarik untuk memandang wajah lelaki itu, sebaliknya matanya sibuk melilau tercari-cari petanya yang baru sahaja hilang. Tindakan Allisya hanya mengundang marah di hati lelaki tersebut.
“Adik, lain kali kalau nak jalan mata pandang ke depan, bukan melilau ke tempat lain.”
Allisya tersentak, lalu sekali lagi dia segera memohon maaf, namun matanya masih tidak duduk diam, tercari-cari akan petanya yang hilang.
“Adik, lain kali kalau orang bercakap beri perhatian. Ini tidak, minta maaf pun tak ikhlas. Abang dahlah tengah terkejar-kejarkan masa!” Bentak lelaki berkulit cerah itu. Matanya yang berwarna coklat cair kelihatan membara dengan perasaan marah.  Namun Allisya sedikit pun tidak terjejas dengan bentakan lelaki itu. Dia masih sibuk mencari petanya yang hilang.
“Adik buat apa di kawasan universiti ni? Ni kawasan orang besar-besar je, budak kecil macam adik kena pergi sekolah,” lelaki itu berseloroh.
Mendengarkan teguran yang menyakitkan hati itu, Allisya serta merta berhenti mencari petanya. Misi jangka pendeknya kini telah berubah. Dia lebih tertarik untuk membalas teguran lelaki tersebut. Hatinya meledak apabila lelaki itu mula memanggilnya dengan gelaran ‘budak sekolah’.
Tatkala Allisya memaling dan memandang wajah lelaki muda itu, jantungnya terasa bagai terhenti seketika. Dia terpegun kerana terkejut melihatkan mata lelaki tersebut yang berwarna cerah keperang-perangan. Betapa hebatnya ciptaan tuhan, setiap makhluknya diciptakan begitu indah serba-serbinya. Namun itu semua tidak membantutkan perasaan marah Allisya terhadap pemuda tersebut, “Awak ni kenapa ye? Saya dah berulang kali minta maaf, yang awak nak marah-marah dan panggil saya budak sekolah ni kenapa?”
“Kenapa? Amboi, budak-budak zaman sekarang.” Pemuda tersebut semakin merasa tercabar apabila ditempelak oleh kata-kata gadis berbadan kecil itu. Hatinya terasa semakin sakit apabila gadis itu sekali lagi melemparkan kata-katanya, “ Sepatutnya awak yang perlu minta maaf dengan saya, sebab awaklah peta saya hilang!” Allisya seolah-olah semakin hilang sabar apabila mengenangkan nasibnya yang baru sahaja kehilangan satu-satunya peta USAS yang dimilikinya itu.
“Satu lagi, saya bukan budak sekolah!” tambah Allisya lagi.
“Awak ni memang tak padan dengan kecil, tapi mulut lebih lazer dari Mak cik Donut,” balas lelaki tersebut sambil jarinya menunding ke arah muka Allisya.
“Mak cik Donat?” Allisya mencelah kata.
“Ya tak ya juga, budak-budak mana kenal orang-orang di USAS ni, tambah-tambah lagi mak cik yang jual kuih tu,” lelaki tersebut kelihatan seperti ingin melarutkan perbalahan mereka. Walaubagaimana pun, secara tidak sengaja dia terpandang beg pakaian yang dipikul oleh Allisya. Perlahan-lahan, dia menarik nafasnya dalam-dalam seraya berkata, “Patutlah awak tak hormatkan saya, pelajar baru rupanya. Tapi kenapa nampak macam budak sekolah je ni? Apa-apa pun, sepatutnya adik rasa bertuah dan teruja dapat berjumpa dengan abang. Sebabnya, abang popular tau di USAS ni,”  lelaki itu mengenyitkan matanya. Dia seolah-olah sangat mengerti bahawa tarikan utama yang dimiliki olehnya adalah matanya yang berwarna coklat cair itu.
“Tak mengapa, abang faham. Adik ni kecil lagi. Bagus ya, kecil-kecil lagi dah masuk universiti,” kata lelaki itu sambil membetul-betulkan tali lehernya. Rambutnya kemas disikat ke sisi. Suaranya yang meninggi sebelum ini kedengaran seperti sudah tenang. Namun, dia lansung tidak menyangka bahawa kata-katanya itu pula yang membakar hati kecil Allisya.
“Amboi, sedapnya mulut awak berkata-kata! Awak ingat awak tu siapa? Kata terkejar-kejarkan masa, tapi sibuk pula jual minyak,” Allisya menjeling tajam ke arah pemuda yang memakai vase hitam itu. Lirikan tajam Allisya membuatkan jejaka tersebut berasa tidak senang.
“Awak ni, betul-betul buat hati saya jadi sakit. Saya tak pernah jumpa budak-budak yang semacam ini, dan saya berharap saya tak akan pernah jumpa lagi!” lelaki itu melihat jam di tangannya, lalu dia menambah,” daripada saya melayan awak, baik saya selesaikan kerja saya.”
Pemuda itu segera berlari melepasi Allisya, namun secara tiba-tiba, dia berhenti seketika dan berpaling ke arah Allisya.
Allisya berasa sedikit terkejut, dan dia berharap tujuan lelaki tersebut berbuat demikian adalah kerana ingin memohon maaf darinya.
Lelaki tersebut memandang tepat ke mata Allisya sebelum membuka bicara.“ Saya merayu, tolong jangan muncul lagi di depan mata saya!” rungutnya sambil berlalu pergi. Mukanya kelihatan merah menahan marah. Sangkaan Allisya sama sekali meleset.
Allisya menarik muka masam. “Saya pun tak berharap nak berjumpa dengan kamu lagi,” marah hatinya sendiri.
Allisya memang tidak suka dibuli. Cukuplah dia selalu dibuli oleh sepupunya ketika berada di rumah, tidak sesekali dia izinkan orang lain pula yang mengambil kesempatan untuk membulinya. Sejak dari kecil, dia sering sahaja dibuli oleh sepupunya yang jauh lebih muda usianya. Namun, dia hanya menumpang, maka dia perlu banyak bersabar. Dilahirkan sebagai seorang yang yatim piatu, melatih dirinya menjadi insan yang lebih tabah dan pandai berdikari. Biarpun dia kelihatan muda dari usianya yang sebenar, itu tidak bermaksud  bahawa orang lain boleh sesuka hati sahaja melayannya seperti anak kecil. Semenjak dia mula menerima tawaran masuk ke USAS, Allisya telah memasang azam baru. Dia mahu menjadi seorang yang kuat semangat dan tidak mudah berputus asa. Hatinya yang dahulu mudah sahaja retak seperti kaca, diharapkan kali ini akan menjadi jauh lebih kuat dari permata.
Allisya masih meneruskan perjalanannya walaupun tanpa peta di sisi. Dia merungut-rungut sendiri. Pertembungannya dengan lelaki bermata coklat muda itu langsung tidak memberi kesan positif dalam hidupnya. Sudah pula itu, petanya hilang entah ke mana. Hatinya semakin terasa sakit apabila mengenangkan sifat lelaki tersebut yang masih ego dan memarahinya, walaupun dia telah berulang kali memohon maaf. Dia berharap pertemuan pertamanya itu akan menjadi pertemuan terakhirnya dengan lelaki tersebut.
Allisya melangkah hanya mengikut nalurinya. Jalan yang diselusurinya membawa dia ke sebuah padang bola yang sangat luas. Di situ, kelihatan sekumpulan belia sedang bersemangat menjalani latihan bola sepak. Sepanjang melalui di tepi padang bola itu, mata Allisya telah tertarik untuk memandang seorang jejaka berbadan tegap.
 Pemuda itu sungguh tinggi, berambut pacak dan kulitnya berwarna sawo matang. Dia kelihatan begitu serius sekali menendang dan menimbang bola. Peluh mengalir di dahinya menunjukkan dia telah lama berada di padang bola sepak tersebut untuk membuat latihan. Allisya cuba mengamati wajah pemuda itu. Semakin diamatinya, semakin Allisya yakin bahawa dia mengenali pemuda tersebut. Jawapannya sudah semakin jelas apabila Allisya terdengar salah seorang pemain yang lain memanggil lelaki tersebut dengan nama panggilan, “Azim.”
Allisya menarik nafas panjang. Dia berasa sedikit terkejut, namun hatinya lebih banyak bermain dengan perasaan teruja. Mana mungkin dia tidak mengenali Azim. Azim merupakan pemain bola sepak negara yang sangat terkenal. Ketangkasannya menendang, merampas dan mengelecek bola telah menjadi sebutan ramai. Azim mula mencipta nama apabila beliau berulang kali menjadi pemain terbaik peringkat kebangsaan kategori bawah 14 tahun, dan sejak itu Azim sentiasa bergerak aktif dalam perlawanan bola sepak negara. Namanya masih gemilang hinggalah ke hari ini. Inilah kali pertama Allisya melihat sendiri wajah jejaka idaman Malaya itu. Sememangnya Azim kelihatan lebih bergaya di dunia nyata jika dibandingkan dengan sekadar menatap gambarnya di dada akhbar. Allisya tahu, Azim juga merupakan pelajar USAS. Namun, dia langsung tidak menyangka akan bertemu dengan jejaka popular itu pada hari pertamanya di sini. Bertuah sungguh rasa di hati Allisya apabila dia berpeluang bertemu dan melihat sendiri jejaka itu beraksi.
“Bergaya sungguh Azim ni, patutlah ramai peminatnya,” bisik Allisya sendiri. Dia terlalu asyik memerhatikan gelagat Azim menggelecek bola sehinggakan tindakannya itu telah menarik perhatian Azim sendiri.
Menjadi seorang yang terkenal sememangnya telah mematangkan diri Azim untuk membiasakan diri menghadapi peminat yang ramai. Malah, menjadi perhatian gadis-gadis bukan lagi perkara yang dianggap luar biasa dalam hidupnya. Namun, renungan Allisya seolah-olah sedang menyentuh hati Azim untuk berpaling. Saat mata mereka bertemu, Azim merenung Allisya tanpa berkelip. Allisya tersentak. Dia merasakan seolah-olah seluruh dunia turut merenung ke arahnya. Allisya segera memalingkan wajahnya ke tempat lain. Mukanya merah padam kerana menahan malu. Allisya sama sekali tidak menyangka, perbuatannya memerhatikan Azim dari kejauhan mudah sahaja disedari oleh tuan empunya badan. Allisya hanya mampu berdoa, semoga Azim tidak dapat mengecam wajahnya. Jika tidak, pasti dia akan berasa malu sekiranya dia dijodohkan untuk bertemu dengan Azim sekali lagi.
Keadaan menjadi semakin teruk apabila tanpa Allisya sedari, bola yang menjadi rebutan di padang entah bagaimana boleh tersasar dari kawasan yang sepatutnya, melantun tepat pula ke arah Allisya.
“Adik, elak!”
“Jaga-jaga!”
“Elak!”
“Lari!”
“Tunduk!”
“Adik, ready to be hit!”
Bertubi-tubi suara amaran kedengaran datang dari arah padang bola berkenaan. Namun, bagai siang menanti malam, Allisya tidak mampu mengelak lagi. Wajah kecilnya dan bola itu akhirnya tetap bertembung. Hentakkan yang kuat dari pertembungan itu menyebabkan Allisya jatuh terduduk ke tanah.
Segala-galanya berlaku begitu pantas sekali. Allisya memegang wajahnya yang kini terasa kebas. Kali ini, Allisya berasa seribu kali lebih malu dari apa yang dirasainya sebelum ini. Ingin sahaja dia berlari, menyorokkan wajahnya yang bengkak itu.
“Maaf dik, abang tak sengaja. Adik OK tak?” satu suara asing kedenganran di cuping telinga Allisya.
“Adik tak apa-apa ke?” suara itu semakin kuat.
Beberapa orang pemain yang lain datang meluru ke arah Allisya. Wajah mereka kelihatan risau, kuathir kalau-kalau Allisya cedera. Namun, respon Azim sama sekali berbeza dengan pemain yang lain. Dia masih berdiri di tempat yang sama, memerhatikan Allisya dengan wajah yang serius. Tidak langsung terlihat kebimbangan di wajahnya, jauh sekali untuk merasa kasihan. Situasi tersebut menyebabkan Allisya bertambah malu dengan keadaan dirinya. Dia segera bangun, mengutip beg pakaiannya dan berlari sejauh yang terdaya. Dia tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Allisya seratus peratus yakin bahawa  mereka semua pasti sedang mengetawakan dirinya sekarang ini. Wajahnya berpeluh-peluh, seolah-olah dia pula yang baru selesai berlatih bermain bola.
Waktu seolah-olah turut sama mengejar Allisya, kini jam di tangannya telah tepat menunjukan pukul satu. Sebentar lagi dia perlu berkumpul bersama-sama pelajar baharu lain di sebuah dewan, tetapi malangnya dia pula sesat dalam pencariannya. Allisya mendongak ke langit. Dia keletihan selepas berlari tanpa arah tujuan. Matahari semakin meninggi, namun tidak juga dia menemui lokasi sebenar kolej kediamannya. Malah, kejadian tadi mengakibatkan dia jauh tersesat ke kawasan yang terpencil dari orang ramai. Tangannya menyentuh mukanya yang masih terasa kebas-kebas. Betullah kata orang, malang itu sememangnya tidak berbau.
“Ini semua salah budak lelaki ego tadi! Sebab dialah peta aku hilang… sampaikan aku sesat ke padang bola.” Wajahnya kembali merah mengingatkan peristiwa yang baru sahaja berlaku sebentar  tadi. Peristiwa di padang bola tadi mengakibatkan dia bertambah marah terhadap pemuda yang mula-mula ditemuinya itu.
“Kalau aku jumpa lelaki yang menjengkelkan tadi lagi, aku cucuk-cucuk mata coklat dia tu dengan pensel 2B aku sendiri,” rungut Allisya tanpa henti. Memang tidak dapat dinafikan, walaupun hatinya sedang meluap-luap marahkan lelaki tersebut, namun Allisya sedar bahawa pemuda itu sememangnya memiliki sepasang mata berwarna coklat cair yang sangat cantik.
Allisya meneruskan perjalanannya. Dia tidak pernah menyangka bahawa Universiti Sultan Allauddin Syah itu begitu besar sekali dan ini benar-benar menyukarkan lagi pencariannya. Harapannya kini agar dia segera menemui kedudukan kolej kediamannya  sebelum orientasi bermula.
Allisya mula berasa gusar kerana sejak dari tadi, dia tidak nampak langsung bayangan manusia di kawasan yang dilaluinya itu. Namun, suasana di persekitaran yang damai dan dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan hijau itu menyebabkan hatinya tenang menghayati alam ciptaan tuhan. Allisya segera melewati susur jalan bertanah merah di hadapannya. Sesekali, kakinya tersepak batu-batu kecil. Namun, dia masih meneruskan perjalanannya. Dia tidak sepatutnya bersenang lenang memandangkan dia perlu segera berkumpul bersama pelajar-pelajar yang lain sebelum pukul 2.30 petang.
‘Masalahnya, kenapa USAS ni besar sangat?’ Bisik hati Allisya.
Jalan tanah merah itu terus membawa Allisya ke sebuah kawasan padang rumput yang di tumbuhi dengan pelbagai warna bunga dari pelbagai spesis. Subhanallah, begitu indah ciptaan tuhan. Pujian tidak henti-henti dilafazkan di bibir manis Allisya. Sedang Allisya enak menghayati ciptaan Illahi, telinganya tertangkap akan satu alunan muzik yang lembut. Alunan itu kedengaran indah sekali. Namun, sayup-sayup sahaja terdengar di telinganya. Mudah sahaja sasaran jangka pendek Allisya berubah. Niat asalnya untuk mencari kolej kediamannya hilang dari pemikirannya serta merta. Kini, telah bertukar kepada hasrat untuk mencari sumber datangnya alunan indah itu.
Biarpun sayup, namun getarannya mengusik jiwa. Alunan itu begitu merdu, indahnya bagaikan kicauan burung di langit biru, dan sedamai desiran ombak di persisiran pantai. Mana mungkin hatinya tidak tertawan. Allisya memandang di kawasan sekelilingnya. Dia tercari-cari, daripada manakah datangnya suara muzik itu. Belum melihat, hatinya sudah pun terpikat. Siapakah gerangannya itu yang sungguh berbakat?
Allisya terus melangkah ke hadapan. Langkahnya gemalai mengikut alunan indah itu. Di kejauhan Allisya terpandang satu bukit yang ditimbuni dengan kelopak-kelopak bunga kekwa. Allisya perlahan-lahan mendekati kawasan bukit kecil tersebut. Semakin dia melangkah, semakin kuat gemersik muzik itu kedengaran.  Allisya berhenti melangkah sebaik tiba di bawah pohon yang rimbun. Dia tidak mahu melangkah lagi kerana apa yang dicarinya sudah pun ditemui. Dari situ, Allisya dapat mendengar alunan tersebut dengan lebih jelas lagi. Allisya mendongak, memandang ke arah puncak bukit tersebut. Hatinya ingin sekali melihat wajah pemuzik berkenaan. Saat matanya bertentang dengan wajah misteri itu, Allisya terkaku seketika. Seribu kali hati Allisya tertawan mendengar alunan indah muziknya, sejuta kali Allisya lebih tertawan memandang wajah pemuziknya. Di kejauhan, kelihatan seorang lelaki muda sedang kusyuk meniup seruling dengan syahdunya.
Allisya terleka dalam merenung kepada satu keindahan. Keindahan yang membawa seribu ketenangan. Wajah pemuzik itu seindah alunan muzik yang dihasilkannya. Direnungnya wajah pemuda tersebut sedalam meneroka dasar lautan. Wajahnya lembut membawa ketenangan. Sesekali angin menyapa wajah jejaka itu, rambut lurus berbelah tengahnya berterbangan seolah-olah turut menari mengikut alunan lembut serulingnya. Wajahnya sungguh tampan. Matanya yang berselindung di sebalik cermin mata itu ditutup rapat. Dia begitu asyik menghayati muzik mainannya sendiri. Mungkin kerana itulah juga dia tidak menyedari kehadiran Allisya. Jejaka itu kelihatan seolah-olah sedang berterbangan bersama-sama aluanan indah muziknya.
Allisya tidak berkelip merenung wajah tampan lelaki itu. Hatinya terasa tenang, mindanya seolah-olah sedang melayang ke tempat lain. Allisya hanya tersenyum sendiri. Saatnya merenung wajah tenang jejaka itu, saat itu jugalah hatinya terasa bagai dipanah. Namun tidak pula panah itu melukakan hatinya, malah membuatkan jiwanya hidup dan hatinya terasa bahagia. Adakah ini dinamakan cinta? Jika benar, Allisya ternyata sekali telah jatuh cinta. Cintanya ini berputik untuk kali yang kedua. Namun siapa sangka, cintanya itu berputik terhadap lelaki yang sama. Allisya hanya tersenyum sendiri. Dia terus bermain dengan perasaannya. Sepuluh tahun dahulu, ketika hidupnya kelam dengan kedukaan, ‘dia’ muncul menyuluhkan cahaya. Kini, wajah itu muncul kembali, menyalakan cahaya yang semakin samar.

Nani NA

3 comments:

  1. dongeng tiga panglima... ^____________^

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kerana sudi berkongsi ilmu. Saya akan mengambil berat tentang penggunaan tatabahasa dan ejaan dengan lebih baik lagi. Terima kasih. :)

    ReplyDelete