Monday 31 October 2011

BAB 30: PERGOLAKAN HATI



                        Suasana sepi menyelubungi Villa Impiana milik seorang penyelidik terkenal USAS. Muhammad Nur Zaem, merupakan anak sulong Datuk Prof. Dr. Zainuddin melangkah longlai membelah kesunyian singgahsananya. Seketika, telefon bimbit yang dipegang di tangannya berbunyi, menandakan bahawa dia baru sahaja menerima mesej pendek.

Selamat pagi Zaem.’ 
Zaem membaca nama pengirim mesej tersebut. Nama tersebut bukanlah nama yang dinanti-nantikan Zaem.
“Fazura…” Zaem sedikit terganggu sebaik membacakan nama itu. Dia tidak membalas mesej tersebut, malah meninggalkan iPhone4 miliknya itu di atas meja yang terletak di ruang tamu rumahnya.  

Zaem memerhatikan seluruh ruang legar di kediamannya. Villa Impiana kelihatan sunyi sahaja. Kedu-dua orang tuanya tidak kelihatan berada di rumah. Mungkin sahaja mereka sibuk dengan kerja dan aktiviti masing-masing. Tambahan pula, Zaem memang jarang-jarang sekali bertemu dengan mereka. Adik-adiknya pula sememangnya tidak ada di rumah. Zaem kebosanan. Selalunya waktu-waktu begini dia akan menghabiskan masanya bersama Azim dan Iskandar. Sekurang-kurangnya jika dia kepenatan mengulangkaji bersama Iskandar, dia masih boleh mengganggu dan mengusik Azim sehingga pemuda itu naik angin. Alangkah indahnya hidup ini apabila mempunyai sahabat yang sentiasa menemani. Walau dalam suka, walau dalam duka, hidup akan terasa lebih bermakna. Tambah-tambah pula bagi orang seperti Zaem, dia tidak mampu hidup keseorangan. Cuma kali ini Zaem sengaja menjauhi sahabatnya. Masalah yang sedang dialaminya harus dihadapinya sendiri.

“Aku dah banyak bawa masalah pada orang lain. Cukup-cukuplah!.” 

            Zaem melangkah keluar ke perkarangan rumahnya. Tanah masih basah kerana malam tadi hujan turun dengan lebat. Walaupun suhu malam tadi sungguh sejuk, tetapi Zaem tetap tidak dapat tidur lena. Tidur di USAS lebih melenakan berbanding tidur di biliknya sendiri.

            Zaem meregangkan otot-ototnya dan menarik nafas untuk menyedut angin pagi. Pada ketika itu, mata coklatnya terpandang akan satu sampul surat berwarna putih yang kelihatan hampir terkeluar daripada peti surat rumahnya. Zaem lantas mengambil sampul surat tersebut. Surat itu tidak beralamat dan tidak juga bersetem. Malah tiada satu tulisan tangan pun yang tercatit di sampul itu. Zaem tidak berfikir panjang, perasaan ingin tahunya mendesak-desak untuk segera membuka sampul misteri yang tiba di rumahnya itu.

            Entah mengapa, pemuda itu berasa begitu sukar sekali untuk membuka sampul tersebut. Bagai tersekat-sekat sahaja. “Berapa liter gam yang orang ni guna untuk lekatkan sampul ni?” Zaem hanya mampu merungut sendiri. Hatinya mula berasa tidak tenang. Seperti ada sahaja benda yang tidak baik akan berlaku. Tetapi apa dia? Ada kaitan ke dengan sampul ni?
Akhirnya sampul misteri itu berjaya dibuka. Sampul tersebut mengandungi sekeping gambar dan sehelai kertas A4 yang dilipat empat. Helaian kertas di dalamnya dikeluarkan pemuda itu, lalu dibaca. Zaem terdiam, dia sedikit terkejut membacakan isi surat tersebut. Kemudian Zaem mengeluarkan gambar yang masih tersimpan di dalam sampul itu. Tiada kata-kata yang dapat dilafazkan sebaik dia melihat gambar yang terpapar pada foto tersebut. Jantungnya berdegup kencang. Pelbagai rasa mula bertandang di hatinya. Hati pemuda itu kuat mendesaknya untuk mengoyakkan sahaja surat dan gambar tersebut, namun dia cuba mengumpul kekuatan untuk berfikiran waras. Dia tidak boleh sewenang-wenangnya menghapuskan bahan yang boleh dijadikan bukti. Tetapi, siapakah yang berani mengirimkan surat tersebut? Adakah orang itu sengaja ingin menambah pergolakan yang melanda di hatinya? Jam demi jam terus berlalu, meninggalkan Zaem dengan pelbagai tanda tanya.

Kicauan burung beralun indah menyelusuri bilah tingkap kaca bilik kaunseling Kenanga. Zaem kini sedang duduk termenung di atas sofa di dalam bilik tersebut. Pagi yang cerah dan indah itu tidak lagi memberikan kenyamanan di hatinya. Dia runsing memikirkan peristiwa yang berlaku pada awal pagi tadi. Siapakah pengirim surat ugutan tersebut?

Dr. Ariffin sengaja membiarkan Zaem termenung sendiri. Pensyarah tersebut sedang sibuk menggunting untuk mencatas ranting-ranting kecil pokok bonzai kesayangannya. Sejak dari muda lagi dia menjaga pokok itu, kini pokok itu juga sudah kelihatan semakin berusia, seiring dengan usianya yang semakin meningkat tua. 

Kesunyian bilik Kenanga tersebut sekali-sekala dipecahkan dengan suara keluhan daripada Zaem. Dia telah pun menunjukkan surat ugutan tadi kepada Dr. Ariffin. Namun dia enggan menceritakan keseluruhan cerita dan masalahnya kepada pensyarah itu. Zaem juga tidak menunjukan gambar yang turut diterimanya di dalam sampul tersebut kepada Dr. Ariffin. Cukuplah sekadar Dr. Ariffin mengetahui bahawa dia menerima sepucuk surat ugutan. Sekiranya dia menceritakan segala-galanya, pasti akan ada banyak lagi nama yang akan dilibatkan dan lebih teruk lagi, isu ini boleh menjadi lebih besar. Zaem tidak mahu masalahnya tersebar sehingga berada di luar kawalannya sendiri.

Dr. Ariffin menjeling ke arah yang dipertua MPP USAS itu. Dr. Ariffin yakin, Zaem sudah diberikan masa yang cukup untuk merenung ke dasar hatinya sendiri. Mungkin sudah tiba masanya dia bertanya tentang keputusan yang dibuat oleh pemuda berusia awal 20 an itu. 

“Betul kamu tak nak buat laporan Zaem? Kamu sendiri pun tahu yang kamu boleh membuat laporan polis sekiranya menerima surat ugutan seperti ni. Keputusan semuanya terletak di tangan kamu.” Dr. Ariffin kini sudah pun duduk di hadapan Zaem. Matanya tepat memandang wajah pemuda bermata coklat cair itu. Dia masih menantikan jawapan daripada Zaem walupun dirinya sudah dapat meramal apa yang bakal dilontarkan pemuda itu.

“Entahlah Dr. Mula-mulanya saya rasa geram baca surat ni, tapi bila difikirkan secara mendalam, saya tak rasa ugutan ni cukup merbahaya.”

“Maksud kamu?”

            “Pengirim ni ada menghantar sekali sekeping gambar di dalam sampul ni dan saya rasa gambar tu ada kaitan dengan ugutan ni.”

            “Gambar? Maksud kamu, surat ni dikirimkan bersama sekeping gambar?”

            “Ya Dr. Tapi saya minta maaf sebab saya tak dapat tunjukkan kepada Dr. Saya rasa gambar tu sengaja dihantar untuk menyakitkan hati saya.”

            Dr. Ariffin tersenyum. Dia bangga melihat Zaem. Anak muda itu sudah semakin matang dalam menafsir perkara. Berbeza ketika pertama kali dirinya bertemu dengan wakil MPP USAS itu. Dahulu, Zaem mudah cuak dan melatah apabila dijentik, kini dia semakin tenang dan bijak mencari jawapan. Mungkinkah sifat pemuda itu turut dipengaruhi oleh sahabatnya Iskandar?

            “Kamu berhak untuk membuat keputusan sendiri. Tapi kamu yakin Zaem dengan makna sebenar surat ni? Adakah kamu yakin ia berbentuk ugutan?”

            Zaem diam. Dia memandang ke arah helaian kertas yang ditaipkan dengan tulisan komputer itu. Maksud surat itu amat mencurigakan.  

            Api yang menjadi teman kau akan membakar kau sedikit demi sedikit. Waktu itu, air pun akan kering menahan bahang kemusnahan kau. AKU PASTI AKAN PATAHKAN KEDUA-DUA BELAH TANGAN KAU ZAEM.’

            Hati Zaem mula merasa berdebar-debar sebaik membaca surat tersebut semula. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘Api’ dan ‘Air’? Adakah pengirim surat ini benar-benar merancang untuk mencederakan dirinya, atau sebenarnya dia hanya berhasrat untuk menakut-nakutkan Zaem?

            “Surat ni jelas berbaur dendam. Tapi seperti yang kamu kata Zaem, mungkin pengirim ni sebenarnya nak menyampaikan maksud yang tersirat dan bukannya yang tersurat. Gambar yang kamu katakan tadi, mungkin ada kaitan dengan isi surat ni.” Ujar Dr. Ariffin.

            Zaem mengangguk. “Saya lebih risau jika pengirim ni sebenarnya bermaksud untuk mencederakan kawan-kawan saya, terutamanya Azim dan Iskandar. Mereka dah macam tangan kanan dan kiri saya Dr. Tanpa mereka, kudunglah saya.” Zaem meluahkan kerisauan yang bertandang di hatinya. Dia risau jika ugutan itu bukanlah semata-mata ditujukan khas untuk dirinya, sebaliknya terhadap orang-orang disekelilingnya. ‘Api dan Air? ‘Kedua-dua belah tangan’ aku? Azim dan Iskandar? Tak mungkin!’

            Seketika kemudian, kedengaran pintu bilik Kenanga diketuk berulang-ulang kali. Dr. Ariffin bingkas bangkit membuka pintu. 

            “Assalamualaikum Dr. Ariffin. Boleh tak saya nak berjumpa dengan Dr.?” Pemuda yang baru muncul itu segera mengukirkan senyuman apabila disambut oleh penyarah kaunseling itu.

            “Wa’alaikumussalam Farid. Oh, saya hampir terlupa pula. Tapi sekejap lagi saya ada mesyuarat. Boleh tak awak datang jumpa saya pukul 4 nanti?”

            Farid dan Zaem sempat bertentang mata. Namun mereka tidak bertegur sapa. Hanya kerlingan sahaja yang menandakan mereka sedar akan kehadiran masing-masing.

            “Baiklah Dr. Terima kasih.” Farid keluar semula daripada bilik tersebut sebaik Dr.Ariffin membalas dengan ucapan, ‘sama-sama.” 

            “Dr. Ariffin, saya nak minta diri dulu boleh?” Zaem tidak mahu duduk lebih lama di dalam bilik itu. Niatnya untuk meminta pendapat Dr. Ariffin terhadap masalah yang dihadapinya terbantut sebaik melihatkan wajah Farid. Dia masih belum memerterai keamanan dengan pemuda itu.

            “Baiklah Zaem. Saya harap kamu akan bertemu jawapan yang dicari. Walaubagaimanapun saya rasa tak salah kalau kamu buat laporan. Saya pun tak mahu keselamatan pelajar saya terancam.” Itu adalah pesanan terakhir Dr. Ariffin berikan sebelum Zaem melangkah pergi.

            Zaem memandu kereta menyusuri jalan raya USAS. Suasana kampusnya sunyi sepi. Beberapa hari lagi cuti akan tamat. Pelajar-pelajar lain akan kembali semula untuk menghadapi ujian kedua. Zaem menoleh ke arah tempat duduk penumpang di bahagian kirinya. Gambar yang diterimanya itu masih menimbulkan kesangsian di hatinya. Mengapa orang tersebut mengirimkan gambar seperti itu kepadanya? Apakah niat pengirim tersebut?

            Gambar tersebut jelas menunjukkan gambar Allisya dan Azim sedang berbual mesra. Bila gambar ini ditangkap dan apa motifnya gambar ini dikirimkan kepadanya? Zaem masih keliru. Pemuda itu mengangkat pandangannya semula ke arah jalan raya di hadapannya. Alangkah terkejutnya Zaem apabila melihat seorang gadis melintas di hadapannya, lantas Zaem segera menekan minyak sekuat hatinya sehinggalah tayar Vios putihnya kuat mencengkam jalan raya. 

“Ya Allah!” hampir putus nafas Zaem dibuatnya kerana berasa terlalu terkejut.
            Zaem memandang gadis yang sedang melintas tadi. “Allisya?”
            “ALLISYA!” Zaem segera turun daripada keretanya.
            “Allisya, kan saya dah beri tahu jangan main dekat tengah-tengah jalan raya. Yang awak masih ulang perbuatan sama ni kenapa?”
            “Abang Zaem..” Raihana terkebil-kebil melihatkan reaksi Zaem. Mengapa Zaem memanggilnya Allisya?
            “Abang Zaem, saya minta maaf sebab dah menyusahkan abang…”
            “Rai..Raihana? Mana Allisya?” Zaem seolah-olah baru sahaja tersentak daripada igauannya sendiri.
            “Allisya tak ada abang. Saya baru balik daripada kampung. Belum sempat pun jumpa Allisya.”
            “Oh, abang salah pandang agaknya.” Merah muka Zaem menahan malu. Kenapa nama itu yang terpancul daripada mulutnya? Adakah dia sedang rindukan gadis itu? Tidak! Dia harus kuat semangat!
            “Cepatnya Rai balik? Bukan ke cuti lambat lagi habis?”
            “Sengaja je saya balik awal Abang Zaem. Nak temankan Allisya belajar dekat bilik. Kesian dia duduk sorang-sorang je sepanjang minggu ni. Abang ada jumpa dia?”

            Luluh hati Zaem mendengarkan nama Allisya. Dia benar-benar berharap agar orang lain akan berhenti dari bertanyakan tentang Allisya kepadanya. “Tak. Rai jangan cerita pasal Allisya lagi boleh?”

            Raihana kehairanan mendengarkan jawapan Zaem. Raihana tahu hubungan Allisya dan Zaem tidak berapa baik sejak peristiwa melawat Azim di hospital tempoh hari. Namun adakah mereka betul-betul telah memutuskan hubungan mereka, walaupun sebagai kawan biasa? Tetapi kenapa? Apa sebabnya?

            “Eh, Zaem! Zaem buat apa dekat sini?” Fazura menghampiri Zaem dan Raihana.
            “Faz…Fazura..”
            “Dapat mesej Faz pagi tadi?”

            Zaem hanya tersenyum. Fazura menjerling ke arah Raihana. “Allisya tak ada sekali Raihana? Akak dah jarang nampak dia sekarang ni.”

            “Tak kak. Saya baru balik kampus.” Raihana menjawab ringkas. Hatinya berat untuk berbual mesra bersama Fazura. Banyak sebabnya dan salah satu sebabnya adalah kerana dia tahu, Fazura turut menyimpan perasaan terhadap Zaem. Dia tidak kisah sekiranya sahabatnya dan Zaem saling menyukai, tetapi tidak kepada perempuan lain. Tidak dinafikan, perasaan cemburu masih bersisa di hatinya.

            Sedang Fazura dan Raihana bertegur sapa, Zaem menerima mesej pendek di telefon bimbitnya. 

            ‘Zaem, datang ke Anjung Teratai. Ada benda menarik yang aku nak tunjukan pada kau.’

Sebaik membaca mesej tersebut, Zaem meminta izin untuk mengundurkan diri. Fazura mengejar daripada belakang.

            “Zaem nak ke mana? Nak Faz temankan?”
            “Tak apalah. Zaem perlukan masa bersendiri. Kalau ada apa-apa nanti baru Zaem mesej Faz ya.” Zaem cuba mengukirkan senyuman, namun dirinya tidak terdaya.

*                      *                      *

            Allisya melangkah perlahan menuju ke Anjung Teratai. Mesej yang baru diterimanya daripada Anissa tidak membuatkan hatinya gembira.

            ‘Sya, Azim kemalangan! Dalam laporan surat khabar tulis yang dia mungkin berehat dari bermain bola sehingga hujung  tahun ni. Mesti awak tak tahukan? Yalah, walaupun awak belajar satu universiti dengan Azim pun, awak bukannya layak berkawan dengan dia. Jangan-jangan pandang muka awak pun dia tak lalu, inikan pula nak bercakap dengan awak. Awak janganlah simpan perasaan pada dia lagi. Jangan tergedik-gedik nak cuba kenal dia OK. Nanti bila saya masuk USAS, jangan pula awak cemburu kalau saya rapat dengan dia.’

            Hampir termuntah Allisya membaca mesej sepupunya itu. Melampau-lampau pula jadinya. Allisya tidak kisah jika sepupunya itu ingin berangan setinggi langit, tetapi kenapa pula sepupunya harus merendah-rendahkan dirinya seperti itu sekali? Hina dan buruk sangatkah dirinya sehingga diperlekehkan sedemikian rupa? Sudah pula itu, mesej yang dihantar pula berjela-jela. “Dahlah baru tahu yang Azim cedera.”

Mungkin Anissa memang sengaja nak sakitkan hatinya. Agak-agaknya kalaulah Anissa tahu bahawa dia dan Azim kini saling mengenali, pasti terkejut besar sepupunya itu. Nasib baiklah media tidak menggembar-gemburkan kisah sebenar bagaimana Azim boleh tercedera. Kalau tidak, bagai tertelan biji durianlah jadinya sepupunya itu. Allisya tahu sepupunya itu memang minat separuh mati terhadap Azim. Poster-poster Azim penuh ditampal di bilik tidurnya, itu belum lagi jika diselongkar dalam fail-fail komputernya. 

Anissa pasti merasa terseksa sekiranya dia tahu Allisya berkawan dengan Azim. Walau bagaimanapun, Allisya tidak mengharap peristiwa itu benar-benar berlaku. Bukan niatnya untuk riak dan berlagak kerana mampu mendekati idola ramai tersebut. Biarlah persahabatan yang dibina berteraskan keihklasan dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk. Tambahan pula tiada bezanya Azim dengan remaja dan pemuda-pemuda lain, dia masih seorang manusia biasa. Hanya orang ramai sahaja yang menaik-naikkan namanya hingga kedengaran seakan-akan luar biasa.

            Allisya memeluk tubuhnya. Badannya diselimuti dengan selendang kuning pemberian Zaem. Itu adalah satu-satunya selendang yang dimiliki Allisya. Dia masih menggunakan selendang itu walaupun hubungannya dan Zaem tidak sejernih dahulu. 

            Allisya berganjak setapak, tiba-tiba sahaja dia terdengar satu bunyi yang mencurigakan. Allisya menoleh ke belakang, tiada sesiapa pun. Kini kepalanya ditoleh pula ke kiri dan kanannya, masih tiada bayangan. 

‘Daripada manakah datangnya bunyi tapak kaki tadi?’ Allisya masih kehairanan. Dia maju ke hadapan, dan bunyi yang sama tadi muncul sekali lagi. Bunyi tersebut seakan-akan bunyi tapak kaki, tetapi Allisya kurang pasti. Jika benar ada orang yang lalu di sekitar kawasan yang berdekatan dengannya, pasti Allisya akan dapat melihat orang itu. Masalahnya, satu bayang manusia pun tidak kelihatan. Lainlah jika orang itu sengaja menyembunyikan dirinya untuk mengekori Allisya. Tetapi siapa dan mengapa? 

“Aku terlalu banyak berfikir agaknya. Tu yang asyik terdengar bunyi yang bukan-bukan je.” Allisya melangkah lagi. Bunyi itu semakin kuat. Entah mengapa, Allisya mula berasa tidak sedap hati. Dia khuatir jika dirinya benar-benar sedang diekori.

 Gadis tersebut cuba melangkah sederas yang terdaya. Dia tidak membuang masa dengan menoleh ke arah kawasan sekelilingnya. Sejak berlaku peristiwa yang pernah mengancam nyawanya sebelum ini, Allisya semakin takut untuk berjalan seorang diri. Dia juga sudah dinasihati Azim dan Iskandar agar tidak berkeliaran secara bersendirian. Namun sifat degil dalam dirinya masih kuat. Dia tetap keluar seorang diri berjalan di kawasan kampus yang sedang lengang itu.

            “Nilah akibatnya sebab degil sangat tak ikut cakap orang!” Allisya sempat memarahi dirinya sendiri. Langkahnya masih deras, seolah-olah dia sedang mengejar waktu kerana terlambat untuk masuk ke dalam kuliah.

            “Ya Allah, siapa pula yang cuba kejar aku ni? Ya tuhanku, berikanlah aku kekuatan. Lindungilah aku dari sebarang malapetaka.” Allisya masih melangkah selaju yang terdaya. Terketar-ketar gadis itu memikirkan kebarangkalian yang mungkin berlaku ke atas dirinya. 

            “Allisya. Berlari daripada siapa?”

            Allisya terhenti secara mengejut. Dia memang berharap untuk bertemu dengan seseorang, tetapi dia tidak berharap untuk bertemu dengan wajah itu.

            “Abang Syakir. Em, abang tak balik cuti?”

            Syakir mengukirkan senyuman sinis seraya menjawab, “Abang balik kampung sekejap je. Banyak sangat kerja yang abang perlu uruskan di USAS ni. Allisya nak ke mana?”

            “Em, tak kemana-mana. Saya cuma berjalan-jalan ambil angin.”

            “Ambil angin sambil berlari-lari?”

            Allisya tidak mampu menjawab soalan Syakir. 

            “Syakir! Apa lagi yang kau cuba buat?” Satu suara yang amat dikenali Allisya datang menyerang perbualan mereka berdua. 

            “Abang Azim!” Allisya gembira sebaik melihat kelibat pemuda itu.

            “Eh, Azim. Aku tak sedar pun kau sampai.” Syakir masih mengukirkan senyuman yang menyakitkan hati jika dipandang.

            “Tak ada kaitan dengan kau Syakir. Aku tak suka kau ganggu Allisya.”

            “Oh, ya ke? Kenapa kau tak suka Azim? Sebab cemburu?” Syakir sempat melemparkan kata-kata yang menyakitkan hati sebelum dia melangkah pergi. Dalam masa yang sama, dia juga telah menghantar mesej kepada Zaem.

            ‘Zaem, datang ke Anjung Teratai. Ada benda menarik yang aku nak tunjukan pada kau.’

            Setelah bayang Syakir hilang daripada pandangan Azim dan Allisya, Azim segera menghampiri Allisya. “Allisya, kenapa kamu masih merayau-rayau seorang diri tanpa sebab? Waktu hari kuliah biasa pun ada orang berani nak cederakan kamu, inikan pula cuti-cuti macam ni. Kan bahaya!”

            “Saya bukan banduan..” Allisya menjawab perlahan.

            “Apa?” Azim merenung tajam ke mata Allisya, segera sahaja gadis itu mengelak. “Tak ada apa-apa.”

            “Macam mana dengan tangan abang?”

            “Dah sembuh.”

            “Cepatnya?”

            ‘Ish, budak perempuan ni, banyak soal pula!’ Azim sedikit geram dengan sifat Allisya yang banyak tanya itu. Sejak bila pula Allisya sudah berani bersoal jawab dengan dirinya?

            Bunyi deruman enjin kereta mematahkan perbualan mereka berdua. Azim dan Allisya menoleh ke sisi jalan raya. Kelihatan sebuah kereta Vios putih dipakir kemas di dalam ruang memakir kenderaan. 

Zaem turun daripada keretanya. Dia terpandang akan kelibat Allisya dan Azim. Tetapi sengaja dia berpura-pura seperti tidak melihat mereka. Dia terus melangkah ke arah Anjung Teratai. 

‘Allisya masih simpan selendang pemberian aku tu?’ Zaem berbisik sendiri di dalam hati. Dia masih merindui saat-saat ketika dia dan Allisya mampu berbual mesra. Saat-saat dia mampu bertelagah dan bertikam lidah dengan gadis itu turut meninggalkan kenangan yang indah dalam hidupnya. Kini, mereka bagaikan orang asing yang tidak mengenali antara satu sama lain. 

Mengingati kembali tentang hubungannya dan Allisya hanya akan menyakitkan hati. Zaem cuba mengalihkan fikirannya,‘Kenapa Syakir nak jumpa aku?’ 

            “Zaem!” Allisya yang berada tidak jauh daripada Zaem cuba menegur pemuda itu. Seketika, Allisya terlupa bahawa dia dan Zaem tidak lagi berkaitan. Seperti yang telah dijangka, Zaem sengaja berpura-pura tidak mendengar. Allisya merasa kecewa dengan sikap yang ditunjukan oleh pemuda itu. 

            “Sudahlah Allisya. Tak payah nak tegur orang macam tu.” Azim menegah Allisya daripada terus menyimpan harapan untuk berbaik dengan Zaem. Pada waktu yang sama, Azim terpandangkan selendang kuning yang sedang Allisya guna untuk membalut tubuhnya itu.

            “Kenapa kamu pakai lagi selendang yang Zaem beri tu? Kamu tahu tak perbuatan kamu ni hanya akan beri harapan palsu pada Zaem? Jangan pakai lagi! ”

            “Tapi saya sukakan selendang ni. Tak ada sebab-sebab istimewa lain.” Allisya menarik selendang yang disangkut pada bahunya itu, dia melipat-lipatkan selendang tersebut. Mungkin betul kata Azim, dia tidak sepatutnya memakai selendang tersebut di hadapan Zaem.

            Di kejauhan, Zaem masih memandang perbuatan dan pergerakan kedua-dua orang temannya itu. Hatinya geram melihat sifat mesra yang ditunjukkan oleh Azim terhadap Allisya. Sejak bila pula Azim kelihatan begitu mesra berbual dengan perempuan? Bukankah Azim anti-siswi? Adakah Azim sengaja berbaik dengan Allisya untuk menyakitkan hatinya? 

Kepanasan di hati Zaem semakin bertambah apabila melihat selendang pemberiannya dipakai oleh Allisya. Lebih menyakitkan hati apabila gadis itu membuka selendang tersebut sebaik ditegur oleh Azim. ‘Kenapa Allisya mengada-ngada ikut cakap Azim? Macamlah Azim tu kekasih dia!’ Menyirap darah Zaem, walau hanya dengan memandang.

Zaem masih memerhati. Mata coklatnya kelihatan tidak berkelip. Dia cemburu melihat kemesraan yang ditunjukan oleh Allisya dan Azim. Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja dia datang dan mematahkan perbualan mereka berdua. Mengingatkan kembali foto yang diterima Zaem pagi tadi, menambahkan lagi kemarahan Zaem. Adakah mereka berdua betul-betul ada hubungan istimewa? Berani betul Allisya bertemu janji dengan kawan baiknya sendiri. Lebih teruk lagi, gadis itu berani memakai selendang pemberiannya ketika keluar dengan lelaki lain. Apakah Allisya tidak tahu bahawa perbuatannya itu akan menyemarakkan rasa cemburu dan marah di hatinya? Kalau diikutkan hati, hendak sahaja dia rampas selendang itu daripada Allisya.

            Angin yang dari tadinya bertiup lembut, kini bertiup kuat pula, menerbangkan selendang yang berada dalam pegangan Allisya. Selendang itu terbang melayang ke dalam Anjung Teratai dan jatuh betul-betul di hadapan Zaem. Zaem tergamam.

            Allisya berlari-lari anak mengejar selendangnya itu. “Selendang saya. Zaem, boleh awak pulangkan selendang saya tu?”Allisya cuba meminta dengan nada yang sopan. Dia tidak berani mengutip selendang itu sendiri kerana selendang tersebut betul-betul berada di kaki Zaem. Zaem tersentuh apabila melihat kesungguhan Allisya menghargai hadiah pemberiannya itu. Malah gadis itu juga betul-betul sedang berdiri dihadapannya. Begitu dekat, tetapi dia tidak terdaya untuk bertegur sapa walau untuk sepatah kata.

            “Mesti Abang Azim marah ni…” ujar Allisya perlahan. Namun suaranya cukup tinggi untuk menembusi cuping telinga Zaem. Sebaik sahaja mendengar nama Azim meniti di bibir gadis itu, Zaem menjadi berang. Dia teringat akan bayangan foto tadi. Malah peristiwa ketika Azim dan Allisya pernah mengaku membuat ikatan janji secara rahsia dahulu membuatkan Zaem semakin yakin bahawa mereka memang mempunyai hubungan istimewa. Hatinya merasa sungguh sakit. Benteng kesabarannya bagai sedang dicarik dengan hasutan syaitan.

            “Selendang awak? SELENDANG AWAK ALLISYA? Ni bukan selendang awak! Ni selendang saya dan saya tak suka awak pakai selendang ni untuk keluar dengan lelaki lain!” Zaem tidak dapat mengawal rasa marah yang terbuku di hatinya lagi. Perasaan cemburu, sedih dan tertekan yang bergolak di dalam hatinya akhirnya meletus juga. Selendang yang berada di kakinya, dipijak-pijak dengan sekuat hatinya. Dia benci melihat Allisya memakai selendang itu dan dia tidak mahu melihat Allisya memakai lagi selendang tersebut. 

            “Zaem! Kenapa dengan awak ni? Kenapa awak pijak selendang saya?”

            “Ni bukan selendang awak! Ini selendang saya, dan saya berhak buat apa sahaja terhadap barang saya sendiri!” Zaaem masih menghentak-hentak kakinya. Hatinya sakit mengenangkan semula saat mula-mula dia menghadiahkan selendang itu kepada Allisya. Zaem bukanlah seorang yang pemarah. Namun kerana pergolakan hati yang sedang ditanggungnya kini membuatkan dia sukar mengawal emosi sendiri. Tambahan pula, Zaem ialah seorang yang sangat kuat cemburu.

            “Zaem, tu bukan selendang awak! Awak dah beri selendang tu pada saya. Selendang tu sekarang milik saya, awak tak layak buat sesuka hati awak pada barang saya Zaem!”

“Tapi selendang ni tetap saya yang beri, bukan Azim!” Zaem terus membentak.

Allisya benar-benar kecewa dengan sikap yang ditunjukkan Zaem. Dahulu pemuda itu yang berkata mereka tiada kaitan lagi, kini dia pula yang kembali untuk menyakitkan hatinya. “Awak memang teruk, Zaem. Saya benci awak!” 

            “Awak benci saya? Saya lebih bencikan awak dan saya benci tengok awak pakai selendang ni!”

            “ZAEM! Kenapa dengan kau ni Zaem?” Azim datang menerpa. Pemuda itu menolak Zaem sehinggakan Zaem terundur ke belakang. Azim mengutip semula selendang milik Allisya, lalu dipulangkan kepada gadis itu.

            “Azim, kau jangan masuk campur! Kau tak ada kaitan dengan masalah kami!”

            “Siapa yang tak ada kaitan Zaem? Bukan ke engkau yang kata sebelum ni yang kau dah tak ada kaitan dengan Allisya? Jadi kenapa kau nak ambil peduli kalau Allisya pakai selendang ni?”

            Zaem terdiam mendengarkan kata-kata Azim. 

            “Mulai hari ni, aku tak akan biarkan kau sakitkan hati Allisya lagi.” Azim menambah seolah-olah mengertak.

            “Kenapa Azim? Sejak bila kau jadi perlindung Allisya ni? Entah-entah selama ni kau pun sukakan Allisya bukan? Engkau memang gembira bila tengok aku dan Allisya bergaduh?” Zaem seolah-olah telah dijangkiti dengan sifat pemarah Azim. Sengaja dia memerli untuk menyakitkan hati Azim. Meski pun begitu, Zaem tidak sedar, dia sebenarnya sedang turut menyakiti hatinya sendiri.

            “Memang Zaem, memang aku sukakan Allisya. Aku akan jadi perlindung Allisya dan aku akan lindungi dia daripada terus disakiti lelaki tak berguna macam kau ni!”

            Jantung Zaem terasa bagai ditikam berulang-ulang kali sebaik mendengarkan kata-kata Azim itu. Sakit hatinya apabila mengetahui bahawa Azim turut menyimpan perasaan terhadap Allisya. “Kau..Kau sengaja nak sakitkan hati akukan Azim?”

            “Tak Zaem. Dulu, kau dah diberi peluang untuk memiliki cinta Allisya. Tapi kau persiakannya. Kau mainkan perasaan dia. Aku tak akan izinkan perkara tu berlaku lagi. Kau tak layak memiliki cinta Allisya.”

            ‘Kenapa? Kenapa Abang Azim cakap macam tu?’ Allisya terkejut mendengarkan luahan kata Azim. Seluruh tubuhnya menjadi keras, kejung menahan rasa terkejut yang amat. Dia tidak mampu berkata apa-apa. Adakah dia sedang bermimpi? Kalau benar ini adalah mimpi, pastinya ia menjadi mimpi yang paling ngeri pernah dialaminya dalam hidup.

            “Habis tu kau sangka kau layak?” Zaem sudah pun mara ke hadapan.

            “Sekurang-kurangnya aku tak mainkan perasaan Allisya macam yang pernah kau lakukan. Aku tak seperti kau. Sanggup menyakiti hati seorang gadis demi menjaga kepentingan kau sendiri.” 

            Zaem terkedu. Kata-kata Azim bagai sengaja dilemparkan untuk menghina dan memperlekehkan dirinya. Adakah Azim memang sengaja ingin menguji kesabarannya? Jika benar, Azim betul-betul telah berjaya membuat dirinya naik darah. Pada saat itu tangan Zaem terasa begitu ringan sahaja untuk diangkat, namun Allisya bagai dapat membaca pergerakan pemuda tersebut, “ZAEM!”

Zaem tersentak. Dia bagai tersedar dari lamunan. Namun, kemarahan masih lagi bertanak di hatinya. “Aku tak sangka kau macam ni Azim…tergamak kau. Sedangkan dulu kau kawan baik aku!”

“Aku tak bersahabat dengan orang yang takut dengan bayang-bayangnya sendiri.”

            Benteng kesabaran Zaem sudah pun sampai kemuncaknya. Buat pertama kali dalam hidupnya, dia tidak mampu mengawal perasaannya sendiri. Zaem tidak menyangka bahawa dia akan berasa begitu marah sekali terhadap sahabat baiknya sendiri. Sahabat yang sangat dipercayainya. Harapkan pagar, pagar makan padi. Pertama kali dia berasa seperti ingin sangat menumbuk muka sahabatnya itu. Adakah pergolakan yang berlaku dalam dirinya itu juga telah merubah dirinya menjadi seorang yang pemarah?

            “Barulah aku tahu, rupanya kau dengan Allisya dah lama jalinkan hubungan. Patutlah Allisya susah sangat nak terima aku.”

            “Sudahlah Zaem. Tak payah nak memperbesarkan lagi isu ni. Kalau awak tak suka sangat saya pakai selendang ni, saya tak akan pakai lagi. Dan tolonglah. Jangan hina Abang Azim lagi.”

            Zaem berasa begitu kecewa sekali apabila melihat Allisya sanggup mempertahankan Azim, tetapi tidak dirinya. Suhu badannya dirasakan bagai sedang meningkat. Kepalanya terasa sakit. Demi mengelak pertengkaran tersebut daripada berlanjutan, Zaem mengangkat kakinya meninggalkan tempat kejadian. Dia enggan memandang wajah Allisya, apatah lagi wajah Azim. Buat seketika dia mula berasa ragu, ‘Adakah Azim betul-betul sahabat baik aku?’

“Api yang membakar? Ya benar! Azim benar-benar adalah api itu!” Remuk hati Zaem apabila mengingati kembali peristiwa yang baru sahaja berlaku sebentar tadi. Dahulu, Azim menjadi api yang sentiasa melindungi Zaem. Hari ini, api itu menjadi semakin marak dan sedikit demi sedikit telah membakar Zaem dari dalam. 

“Azim dan Allisya?” Zaem tidak dapat membayangkan, rupa-rupanya Azim sengaja merahsiakan hubungannya dengan Allisya sedangkan Azim tahu, Zaem benar-benar sukakan Allisya. “Jika bukan sebab surat tadi, pasti aku masih buta mempercayai Azim. Harapkan pagar, pagar makan padi!”

Pasti pengirim surat itu sedang bertepuk tangan kegembiraan kerana kini Zaem benar-benar terasa bagai sebelah daripada tangannya telah pun patah. Dia telah kehilangan salah seorang sahabat yang sangat dipercayaainya. Persahabatan yang dibina bertahun-tahun lamanya kini dengan sekelip mata sahaja menjadi goyah dek kerana salah sangka.
Nani NA