Sunday 7 August 2011

BAB 6: MAIN 'NYOROK-NYOROK'



“ALLISYAAA!” Hanya jeritan itu sahaja yang kedengaran di cuping telinga Allisya. Segala-galanya berlaku dengan pantas sekali. Perasaan takut menguasai diri Allisya. Dia seakan-akan hilang akal. Entah apa yang difikirkannya ketika itu, Allisya hanya memejamkan mata. Tangannya dirangkup ke muka. Itu sahaja yang termampu dilakukan oleh Allisya. Dia hanya berserah.

Dunia Allisya kelihatan gelap-gelita. Keadaan sekelilingnya bagitu sunyi. Tiada lagi suara Raihana, dan tiada juga bunyi deruman enjin kereta. Apa yang telah terjadi?

Perlahan-lahan, Allisya membuka kelopak matanya. Pandangannya sedikit kabur. Namun, dia dapat melihat satu bayangan manusia di hadapannya. Dia mengkerdipkan matanya berulang kali. Bayangan di hadapannya kelihatan semakin tajam dan jelas. Alangkah terkejutnya Allisya apabila melihat di hadapannya kini, berdiri Zaem sambil mencekak pinggang. Wajahnya yang cerah kelihatan kemerah-merahan, bagai menahan perasaan marah.

“Apa yang awak buat dekat tengah-tengah jalan raya ni?” Matanya yang keperangan itu kelihatan seolah-olah hampir bertukar ke warna merah.

“Dah pula tu, siap main tutup-tutup mata lagi. Betul ke awak ni mahasiswa USAS, bukan budak sekolah?” Geram rasa hati Zaem tidak terkira. Sudahlah sepanjang hari ini dia tidak sempat-sempat lagi makan Coki-coki. Emosinya sedikit terganggu.

Allisya masih terpinga-pinga. Dia memandang ke kawasan sekelilingnya. Dia masih berada di tempat sama dia berdiri tadi, sihat tanpa ada kesan calar pun pada kulitnya. Terletak pada jarak hampir dua meter darinya adalah sebuah kereta Toyota Vios berwarna putih. Tempat duduk pemandunya kelihatan kosong dan pintunya terbuka. Allisya berpaling ke belakangnya, Raihana sedang berdiri sambil menutup mulut dengan kedua belah tangannya. 

‘Aku tak apa-apa ke? Kereta tu tak langgar aku?’
Allisya menghembuskan nafas lega. Pandangannya kembali semula kepada Zaem yang masih mencekak pinggang di hadapannya. Mukanya kelihatan kurang mesra dari selalu.

“Awak tu yang pandu laju-laju! Nak salahkan saya pula. Hampir-hampir saya dilanggar awak.” Allisya segera mempertahankan dirinya. Dia turut merungut-rungut tentang keselamatan nyawanya yang hampir melayang.

“Saya pandu laju-laju? Awak demam ke apa? Ni kawasan kampus. Saya pandu tak sampai pun 40km/s. Yang awak tu duduk tengah-tengah jalan sambil tutup mata buat apa? Nak lintas, lintas jelah. Main tutup-tutp mata pula. Kalau ye pun nak main nyorok-nyorok, bukan di sini dik.”  Zaem menghela nafas panjang. Suaranya tidak lagi kedengaran marah seperti tadi. Dia beransur-ansur kembali tenang. Tetapi Zaem sama sekali tidak melepaskan peluang untuk membebel ke telinga Allisya. Tidak pernah dia melihat mahasiswa sebegini rupa. 

Allisya cuba mengimbas kembali peristiwa beberapa minit tadi. Jika difikirkan betul-betul, kereta Vios tersebut jauh lagi darinya ketika dia berlari ke tengah jalan raya. Namun, yang menyebabkan dia berhenti di tengah-tengah jalan dan menutup mata secara tiba-tiba kerana dia terdengar teriakan Raihana. Allisya segera melontarkan pandangannya kepada Raihana. Raihana hanya tersenyum, tersengih menampakan giginya yang putih itu.

Allisya tidak mahu menyalahkan Raihana, tetapi dia juga tidak mahu mengalah dengan Zaem. Memang pantang baginya untuk merayu meminta maaf kepada pemuda yang sering menyakitkan hatinya itu.
“Tapi tu tak bermaksud awak tak bersalahkan?” Allisya cuba memerangkap Zaem dengan kata-katanya.
“ Betul, tu tak bermaksud saya tak bersalah.” Allisya tersenyum sinis mendengar jawapan Zaem.
“ Tapi tu bermaksud AWAK YANG BERSALAH. Peraturan mana pula yang awak rujuk membolehkan awak sesuka hati bermain nyorok-nyorok di jalan raya.” Zaem menjawab tenang, suaranya menekan apabila menyatakan Allisya yang bersalah.

“Saya tak main nyorok-nyorok!” Allisya geram mendengarkan bidasan dari Zaem. Si Zaem ni memang pakar sangat bab menyakitkan hatinya. Mata Allisya tajam merenung ke arah Zaem yang sedang mengosok lembut kereta Vios putihnya dengan lengan bajunya. 

‘Menyampah betul!’ Allisya tidak pasti, adakah perbuatan Zaem itu sengaja dibuat-buat untuk menyakitkan hatinya.

“Nasib baik Miss White saya tak tercedera gara-gara sikap awak yang boleh mengancam keamanan negara tu.”
Allisya mengetap bibir seraya berkata,”Bila masa pula saya mengancam keamanan negara?”
“Habis tu, yang awak berdiri dekat tengah jalan raya macam orang nak buat rusuhan tu buat apa?” Zaem memerli Allisya dengan sepenuh jiwanya. Dia memang pakar bab-bab mengapi-apikan emosi orang lain. 

Allisya tidak menjawab soalan Zaem yang cukup menyakitkan hati itu. Wajahnya yang comel itu sekejap sahaja bertukar menjadi bengis.

Zaem mula berasa tidak sedap hati. ‘Alamak, garangnya muka. Silap-silap boleh jadi macam Hulk kalau aku sengaja cari pasal lagi.”

Zaem sengaja batuk kecil. Dia melihat jam di tangannya. “Kalau saya terus menerus bergaduh dengan awak, tak selesai nanti kerja saya. Lebih baik saya pergi dulu. Jangan main di tengah-tengah jalan raya lagi tau.” 

Zaem mula mengangkat kaki, namun dihalang oleh Allisya. “Kerja apa yang penting sangat awak nak buat tu lepas awak puas sakitkan hati saya?” Allisya bertanya dengan niat untuk memerli.

Refleks, Zaem menjawab jujur, “saya nak cari lokasi untuk aktiviti motivasi rumah anak yatim Tungku Rashid.” Buat seketika, Zaem terdiam. Lalu dia menyambung kata, “eh, bukan awak ke yang jadi timbalan program ni? Baru saya ingat. Dah, jom ikut saya! Suka hati awak jekan suruh saya buat kerja seorang diri.”
Zaem mendekati Allisya, Allisya pula berganjak ke belakang.

“Awak gila ke nak suruh saya ikut awak? Awak ni memang dasar lelaki gatalkan?” Allisya menjawab dengan nada yang keras.

            “Tolonglah, disebabkan kesibukan saya yang melampau ni sampaikan saya tak sempat pun nak makan ‘ubat’ saya. Inikan pula nak menggatal dengan awak. Saya nak awak ikut saya sekali untuk cari lokasi program motivasi pelajar yang akan kita anjurkan tak lama lagi tu. Iskandar dah pesan awal-awal dulu. Hari tu sombong sangat awak nak beri nombor telefon awak pada sayakan. Bagus sangatlah tu awak main nyorok-nyorok dekat tengah jalan tadi. Senang saya nak cari awak.” Zaem bercakap tanpa henti. Ubat yang dimaksudkannya itu adalah Coki-coki kegemarannya. Sudah satu hari dia tidak menjamah cokelat itu kerana kesibukannya menjalankan tugas. Sayu hatinya memikirkan nasibnya itu.

Allisya menjeling ke arah Zaem. Perasaan menyampahnya pada Zaem kini bertambah-tambah. Sakit sungguh hatinya mendengarkan jawapan dan melihat reaksi wajah Zaem yang sedang enak memerlinya itu. Tetapi, dalam masa yang sama, dia malu kerana menyangka dirinya sedang dipikat Zaem.

“Awak betul-betul tengah cari lokasi ke?” Allisya bersuara semula.

“Taklah, saya cari tipu-tipu.” Zaem memandang ke arah Allisya. “Awak ingat saya banyak masa macam awak ke? Mestilah betul-betul!” Zaem sudah kebuntuan untuk cuba meyakinkan Allisya. “Jadi awak nak ikut ke tak?”

“Saya? Seorang diri naik kereta dengan awak?”
Persoalan yang dikemukakan Allisya betul-betul memberi tamparan kepada Zaem. ‘Ya tak ya juga’. Zaem berfikir sendiri. Tak akanlah dia nak membawa seorang perempuan untuk naik berdua satu kereta dengannya?  Sebab pertamanya adalah kerana tak manis dipandang orang dan sebab keduanya pula, tentulah jatuh sahamnya nanti.   ‘Tak boleh jadi ni. Tak pasal-pasal niatnya itu disalah erti.’

“ Apa kata adik yang dibelakang tu temankan sekali.” Zaem menundingkan jarinya dengan sopan kepada Raihana. “ Hari tu saya nampak adik pun ada di bilik meeting sekali,” Zaem melemparkan senyuman dengan mesra, berbeza sekali dengan layanannya yang diberikan kepada Allisya.

‘Zaem sedar kewujudan aku?’ Bahagia di hati Raihana tergambar di wajahnya. Mata Raihana berkaca-kaca melihat wajah kacak Zaem. ‘Aku insan biasa, namun dikenali oleh insan luar biasa’ Raihana terasa bagai sedang terbang di awang-awangan. Air hujan yang tiba-tiba menitis, terasa bagai kelopak bunga-bunga yang sedang jatuh menimpanya. Raihana terpaku. Hatinya terasa bahagia.

Allisya memberikan lirikan protes kepada Raihana agar menolak pelawaan itu. Dia tak mahu bekerja dengan Zaem walau dalam apa-apa situasi sekali pun. Hujan yang baru turun renyai-renyai itu tidak diendahkan Allisya.

“Dah hujan ni, semoleknya kita bertolak sekarang. Boleh, adik…” Belum pun sempat Zaem menghabiskan soalannya, Raihana pun sudah menjawab, “Raihana, nama saya Raihana. Saya tak kisah. Lagi pun kelas kami dah habis untuk hari ini.” Raihana menjawab gembira.

“Raihana!” Allisya menegur secara terus kepada Raihana walaupun di hadapan Zaem.
“Awak nak kita naik kereta orang yang hampir nak langgar saya ni?” Allisya berharap Raihana akan bertukar fikiran.

“Allisya, abang Zaem tak langgar awak pun. Kan awak yang tiba-tiba berdiri tutup mata dekat  tengah jalan tadi. Bukan salah abang Zaem.” Suara Raihana kedengaran bagai sedang menyanyi. Hatinya girang sehinggakan dia terlupa salahnya tadi. Zaem mengangguk setuju mendengar kata gadis bercermin mata besar itu.

Allisya hanya menahan perasaan. Nasib baiklah dia faham yang Raihana ni suka sangat dengan  Zaem. Kalau tak, mahu sahaja dicubit Allisya pipi Raihana yang tembam itu.

“Silakan. Nanti basah pula baju adik.” Zaem lantas membuka pintu bahagian penumpang hadapan keretanya. Raihana menolak Allisya ke depan, tetapi Allisya sengaja melencong ke tempat duduk belakang. Raihana sama sekali tidak menolak peluangnya untuk duduk di hadapan. Mukanya kemerah-merahan menahan malu apabila Zaem menutupkan pintu untuknya. Bagai tidak percaya, dia kini berada di dalam kereta putera idamannya.

“Baikah, jangan lupa pakai tali pinggang keledar. Kita akan naik ke tempat yang agak tinggi.” Zaem bersuara sambil memasang tali pinggang keselamatannya. Raihana hanya mengikut kata. “Yang dekat belakang tu pun sila pakai ye. Kereta saya, peraturan saya.” Zaem menyambung patah katanya sambil melirik ke dalam cermin. Allisya menarik muka sebagai tanda protesnya. ‘Macamlah aku nak sangat naik kereta dia ni.’

            Kereta Toyota itu meluncur keluar dari kawasan kampus universiti. Zaem memandu dengan berhati-hati. Sekali- sekala matanya menjeling ke cermin pandang belakang keretanya. Kilasan mata cokelat cair Zaem yang begitu menyerlah itu, mudah sahaja menarik pandangan Allisya. Allisya sengaja menunjukan muka mengejek ke cermin tersebut. Hampir ‘terbrek’ Zaem dibuatnya. Allisya ketawa, puas rasa hatinya.

            Perjalanan mereka diiringi dengan suara Zaem yang sedang sepenuh jiwa menyanyikan lagu ‘I believe I can fly’ kegemarannya itu. Raihana menggoyang-goyangkan bahunya, bagai turut terhibur dengan nyanyian ketua MPP mereka itu. Terseksanya hati Allisya, hanya dia yang menangung sendiri. ‘Kalau menyanyi sedap sangat tak apa juga. Ini macam kambing terlepas dari kandang je,’ rungut hati Allisya. Telinganya itu terasa bagai hampir bernanah dibuatnya.

            ‘Perjanan mereka memakan masa hampir satu jam lamanya. ‘Si Zaem ni tak reti ke cari tempat yang dekat sedikit?’ Allisya berteka-teki dengan mindanya sendiri. Dia dan Raihana mengikuti Zaem ke sebuah chalet yang terletak di kawasan bukit itu. 

Sepanjang laluan mereka, Allisya terpandang air sungai yang mengalir jernih. Di tepi sungai itu pula terdapat satu rumah kayu yang digantung dengan papan tanda ‘Surau’. Hati Allisya terasa damai menyusuli laluan alam yang sungguh indah itu. Biar pun bumi yang dicintainya ini semakin uzur dek perbuatan tangan-tangan manusia yang kejam, namun Allisya bersyukur, masih ada banyak lagi tempat-tempat semula jadi yang masih tidak disentuh. Seketika, dia terlupa akan perasaan marahannya terhadap Zaem. Hatinya sedikit memuji atas pilihan Zaem itu

Allisya awalnya sekadar memerhati apabila Zaem berbicara bersama tuan chalet itu. Zaem turut memperkenalkan Allisya sebagai pembantunya. Allisya segera mengeluarkan buku catatannya. Dia  sentiasa membawa buku nota di dalam begnya. Buku nota itu pula lengkap dengan catatan Allisya berkaitan tentang program kem motivasi yang dirancang mereka. Nasib baiklah Allisya sempat menyalin segala isi-isi penting yang didengarinya dalam perjumpaan mereka yang diadakan pada hari Sabtu yang lalu. Kalau tidak, pasti terpinga-pinga dia menjawab soalan tuan Chalet itu. Zaem pula kelihatan tidak berapa menghafal tentang info-info penting yang sepatutnya. Balik-balik, dia hanya bertanya dan merujuk semula kepada Allisya. Malah, urusan mencatat pada hari itu juga pun diserahkan kepada Allisya sepenuhnya. Nasib baiklah mereka di tempat orang, jika tidak mahu juga Allisya menembak kata sedas dua ke telinga Zaem.

 Isteri pemilik tuan chalet itu datang dengan membawa sedulang minuman dan kuih muih tradisional. Wanita di akhir usia 50an itu turut serta dalam perbincangan mereka. Sekejap sahaja, mereka berbual rancak dan mesra. Kicauan burung menjadi halwa telinga mereka tatkala menjamah kuih buatan sendiri Makcik Kalsom. Perbualan yang berpolarkan kepada tarikh dan tempat yang ingin ditempah oleh kelab mereka itu kini bertukar pula kepada kisah Pak cik Mat ketika muda-muda dahulu. 

Tuan tanah yang hanya dikenali dengan gelaran mesra Pak Mat dan isterinya Makcik Kalsom itu begitu mesra sekali. Bertambah yakin dan gembira hati mereka bertiga memilih tempat tersebut sebagai lokasi untuk mengajurkan kem motivasi yang dirancang tidak lama lagi.

“ Terima kasih Pak Mat, Makcik Som atas layanan mesra yang diberikan. Beruntung kami jumpa tempat ni.” Zaem melebarkan senyumnya sambil bersalam dengan Pak Mat.

Allisya dan Raihana pula sedang bersalam dengan Makcik Kalsom. Mereka kelihatan ceria meluangkan masa di kawasan yang jauh dari kesibukan kota itu. Sebelum pulang, mereka sempat menunaikan solat fardhu Asar di surau kayu yang telah mencuri pandangan Allisya sebentar tadi. Zaem mengimamkan mereka berempat. Entah bagaimana, hati Allisya boleh berbisik, ‘mungkin Zaem ni tidaklah seteruk yang aku sangka.’

Mereka kemudianya naik semula ke dalam Miss White kesayangan Zaem. Hati Allisya merasa tenang, berbeza dengan perasaannya mula-mula datang tadi. Namun, kedamaian hati yang dirasakannya itu tidak bertahan lama apabila Zaem kembali bersuara menyanyikan semula lagu ‘I believe I can fly’ dengan nyaringnya. Kali ini kesannya lebih dasyat kerana Raihana mengiringi nyanyian sumbang Zaem itu dengan tepukan tangan yang mengikut rentak. Allisya merengus. Dia terpaksa menahan sakit telinganya di sepanjang perjalanan pulang mereka.

“Terima kasih abang Zaem,” Raihana malu-malu menyampaikan ucapan itu kepada Zaem. Allisya buat tak tahu sahaja. Walhal mereka ‘dipaksa’ temankan si Zaem tu. Tak kuasa hatinya nak mengucapkan apa-apa. Allisya pada ketika itu masih dikuasai keegoan diri.

“Sama-sama. Sepatutnya abang yang ucapkan terima kasih sebab sudi tolong abang uruskan program ni. Maaflah, abang tak dapat nak belanja kamu berdua sekarang ni sebab abang ada hal lain. Kalau ada masa nanti abang belanja ye sebagai tanda terima kasih abang.” Zaem mengakhiri kata sambil memakai cermin mata hitamnya. Dia sempat juga mengeyitkan matanya yang cantik itu sebagai menggantikan ucapan ‘Selamat tinggal.’

‘Belanja? Baiklah tu kononnya.’ Allisya berbisik sambil memerhatikan kereta putih yang berderum melepasi mereka. Raihana melambai. Mukanya masih ceria seperti kanak-kanak yang baru lepas mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR lagaknya. 

“Suka?” Allisya bertanya kepada teman rapatnya itu. Raihana hanya tersengih. Allisya menganggap itu sebagai jawapan ‘ya’. Mereka berjalan bersama-sama menuju ke pintu gerbang kolej kediaman mereka. Kepulangan mereka disambut oleh Nik Ain. “Amboi, ke mana cik-cik adik semua ni pergi? Pulang dengan kereta Vios milik Panglima Zaem lagi. Untung ye, sem satu pun dah merasa naik kereta MPP kita tu. Akak yang dah lama bertapa dekat USAS ni pun tak pernah lagi cium bau kereta tu.”

Allisya kurang pasti adakah kata-kata kak Nik Ain itu sekadar mengusik atau memerli. Tetapi kedengaran bagai ada berbau rasa cemburu. “Tak adalah akak, kami temankan abang Zaem uruskan program terdekat kelab Permata Hati kita tu. Kan Allisya timbalan program.” Raihana membalas teguran Nik Ain dengan mesra.

“Lah ye ke? Kenapa tak ajak akak sekali? Boleh akak tolong apa-apa yang patut.” Nik Ain menjawab teruja.

“Kami ni pergi pun secara mengejut sebab terserempak dengan Zaem di fakulti tadi. Tak apa-apa kak, kerjanya tadi pun tak banyak mana.” Allisya pula membalas. Entah mengapa, berat sungguh mulutnya hendak memanggil Zaem dengan gelaran ‘abang’.

“Kalau macam tu lain kali jangan lupa ajak akak tau.” Nik Ain merangkul lalu memeluk bahu Allisya dan Raihana sambil masuk ke dalam bangunan hostel mereka. “Cuba cerita sikit apa yang korang buat tadi.” Nik Ain sekali lagi menunjukan minat terhadap peristiwa yang baru sahaja terjadi. Raihana bercerita dengan teruja sekali. Allisya hanya diam, sengaja dia membiarkan Raihana meluahkan kegembiraan hatinya itu kepada Kak Nik Ain.

Nada notifikasi talefon Allisya berbunyi singkat, namun cukup untuk membuatkan Allisya sedar dengan kehadiran mesej di telefon jenis Nokia X2 miliknya itu. Telefon bimbitnya segera dibawa keluar Allisya dari poket baju kurungnya. Dia memerhatikan isi kandungan mesej itu dengan perasaan marah tahap tertinggi dalam hatinya. 

Nanti waktu kem motivasi tu kita masukan aktiviti main nyorok-nyorok sekali ye… hehe.
-Panglima Zaem.  SILA SAVE NOMBOR INI. Sekian, Wasalam.

‘Budak ni, aku bagi nombor aku tadi untuk memudahkan dia menghubungi aku jika ada urusan yang berkaitan dengan program rasmi.Bukannya untuk suka-suka supaya dia boleh memerli aku!’Allisya merungut di dalam hati, Tiada seorang pun di antara Raihana atau Nik Ain mendengarnya.

Nani NA

No comments:

Post a Comment