Tuesday 23 August 2011

BAB 15: MENYELAMI RAHSIA SEORANG PANGLIMA



            Jantung Allisya berdebar-debar dengan hanya memandang kawasan belukar dan pokok-pokok renek yang sedang bergoyang di hadapannya. Nafasnya menjadi deras dan semakin kuat.

            ‘Siapa atau apakah yang berada di belakang semak samun yang tinggi itu?’

            Bunyi ranting kayu patah seperti dipijak orang itu semakin kuat mendekati Allisya. Allisya berganjak ke belakang. Kakinya menggigil kerana ketakutan. Semakin lama, bunyi itu semakin kuat, betul-betul datang dari arah belakang pokok kayu besar yang berada di hadapannya. Bagaimana sekiranya bunyi itu adalah bunyi binatang buas? Bagaimana pula jika bunyi itu adalah bunyi tapak kaki seseorang yang ingin menganiayainya? Allisya cemas. Ketika itu, perasaan menyesal menyelubungi Allisya.

            ‘Kalaulah aku tak terleka sewaktu mencari kunci tadi.’

            Allisya masih memandang pokok-pokok renek hutan yang sedang bergoyang itu. Allisya yakin, makhluk misteri itu semakin dekat menghampirinya. Allisya menarik nafas panjang. Dia menanti tanpa bersuara. Allisya bersedia atas sebarang kemungkinan yang bakal berlaku sebentar nanti. Dia hanya mampu berserah. Semoga dirinya diberikan kekuatan menghadapi bencana yang akan tiba. 

            Perlahan-lahan, satu bayangan muncul dari celah-celahan pokok renek itu. Jantung Allisya berdegup kencang. Dia memejamkan matanya kerana terlalu takut.

            “Allisya? Kamu buat apa di sini?”

            Alangkah terkejutnya Allisya apabila mendengar namanya dipanggil. Dengan pantas, Allisya membuka kelopak matanya. Jantungnya berdegup semakin kencang melihatkan wajah insan yang sedang berdiri di hadapannya itu.

            “Allisya, kamu buat apa dekat tengah-tengah hutan ni?” Azim menegur Allisya sekali lagi apabila melihat gadis itu seakan-akan sedang terpinga-pinga melihatnya. Soalan yang dilemparkannya juga sedikit panjang daripada teguran yang pertama.

            “Abang Azim?” Allisya menghembuskan nafasnya. Dia tidak pasti adakah pertemuannya dengan Azim itu adalah satu perkara yang baik atau hanya akan mengundang masalah yang lebih besar dalam hidupnya. Jantung Allisya masih berdegup kencang. Sudah menjadi kebiasaan apabila Allisya bertemu sahaja dengan Azim, jantungnya akan berdegup sekencang ribut taufan di lautan. Dia masih tidak mengerti lagi mengapa. Namun Allisya bersyukur kerana sekurang-kurangnya dia bertemu dengan seseorang yang dikenalinya, bukan mana-mana binatang buas mahupun orang asing yang mungkin akan lebih membahayakan nyawanya.

            “Allisya, kamu buat apa dekat sini?” Azim mengulangi sekali lagi soalannya. Suaranya kedengaran sedikit meninggi daripada tadi. Mungkin dia geram melihatkan Allisya yang dari tadi hanya kaku sahaja tanpa memberikan sebarang jawapan setelah ditanya berulang-ulang kali.

            Allisya sedikit tekejut mendengarkan suara Azim yang kedengaran agak meninggi itu. 

            “Saya… saya…” Allisya tidak tahu bagaimana harus dia menjawab soalan yang dikemukakan oleh Azim itu. Tak akanlah dia perlu memberitahu Azim yang sebenarnya dia sedang mengejar sepasang burung sehingga tersesat ke tengah hutan. Pasti Azim akan menyatakannya ‘bodoh’.

            Azim melemparkan pandangan yang amat tajam ke arah Allisya. Allisya menjadi cuak. Tidak  sanggup baginya melihat renungan itu. Dia mengalihkan wajahnya ke tempat lain. Hendak tak hendak, Allisya terpaksa memberikan jawapannya, “tadi waktu saya tengah jalan-jalan di tepi hutan, saya terleka sampai tersesat ke mari.” Suara Allisya sedikit terketar-ketar. Dia tidak memandang wajah jejaka tersebut. Pandangan tajam yang dilemparkan oleh Azim membuatkan Allisya menjadi semakin takut untuk bertemu empat mata dengannya.

            “Yang kamu jalan-jalan tepi hutan tu buat apa? Is dah arahkan semua ahli duduk kawasan sekitar chalet je kan? Tau tak perbuatan kamu ni akan menyusahkan Is dan orang lain!”

            Allisya menggeleng apabila mendengarkan tuduhan yang dilontarkan oleh Azim itu. Dia bukannya suka-suka main di pinggir hutan tu.  Allisya segera mempertahankan dirinya. “Tak, saya bukan sengaja. Saya cuma nak bantu abang Syakir cari kunci dia yang hilang. Saya tak sangka yang saya boleh berjalan jauh sampai tersesat ke dalam hutan.”

            “Apa? SYAKIR? Kamun ni bodoh ke Allisya? yang kamu dengar cakap dia suruh pergi tepi hutan tu buat apa?” Azim semakin meninggikan suaranya. Hatinya diundang rasa marah yang teramat apabila mendengar nama Syakir disebut.

            Allisya terkejut apabila diherdik sedemikian rupa. Jarang sekali dia ditengking, apatah lagi dimarahi oleh seorang lelaki. Hampir menitis air mata gadis itu. ‘Salahkah aku ingin membantu abang Syakir?’ Allisya berasa sedih apabila keikhlasannya untuk membantu seniornya itu dipertikaikan.

            “Saya cuma nak bantu abang Syakir cari kuncinya yang hilang.” Allisya menjawab dalam keadaan yang sedikit tersedu.

            “Nak bantu pun biarlah bertempat! Syakir tu lelaki, kamu tu pula perempuan. Macam mana kamu boleh berani ikut cakap dia sampai pergi masuk hutan? Kamu tak takut ke kalau dia apa-apakan kamu? Jangan mudah percayakan orang! Bukan semua mahasiswa tu baik!” Azim memarahi Allisya tanpa belas kasihan. Dia berasa geram melihatkan kebodohan Allisya yang mudah sahaja ditipu oleh lelaki yang tidak berguna itu. Azim kini sudah seratus peratus hilang kepercayaan terhadap Syakir.

            Entah mengapa, hati Allisya merasa sakit, terluka bagai diguris belati apabila mendengarkan teguran Azim itu. ‘Salahkah sekiranya aku ingin membantu orang? Kenapa abang Azim marah sangat dengan aku? Dia benci sangat ke pada aku?’ Allisya langsung tidak menyangka bahawa Azim yang tidak banyak cakap itu rupanya adalah seorang yang sangat garang. 

            Sebagai seorang gadis kecil yang berhati sensitif, Allisya tidak mampu lagi membendung air matanya dari mengalir ke pipi. Dia sedih apabila diherdik dan dimarahi oleh Azim sampai begitu sekali. Namun Allisya segera mengesat air matanya. Dia takut sekiranya dia dimarahi oleh Azim sekali lagi hanya semata-mata kerana menitiskan air mata.  Dia tidak mahu dituduh sebagai perempuan yang mengada-ngada.

            Azim yang melihat Allisya menangis setelah dimarahinya itu beasa sungguh terkejut. Serta-merta, perasaan bersalah menyerang dirinya. Dia langsung tidak terniat membuatkan gadis itu menangis. Dia sekadar ingin menegur perbuatan dan sifat Allisya yang terlalu mudah mempercayai lelaki itu. Azim mati kutu. Dia tidak pandai dalam bab-bab memujuk hati perempuan. Bidang pujuk memujuk ini hanya dikuasai oleh Iskandar, bukannya dia. Manakala, Zaem pula pakar dalam bab memikat dan membuatkan wanita ketawa. Azim? Dia hanya tahu menendang bola, itu sahaja!

            Azim sudah tidak sanggup lagi melihat wajah sedih gadis itu. Dengan serendah-rendah hatinya, Azim mula bersuara.

            “Maaf, saya tak sengaja nak tengking-tengking awak.”

            Allisya terkejut mendengarkan kata-kata Azim itu. Dia menoleh ke arah Azim. Mata Azim langsung tidak memandangnya, malah Azim turut memalingkan wajahnya ke tempat lain. Mungkin juga Azim malu kerana terpaksa menurunkan egonya semata-mata untuk memohon maaf dari Allisya. 

            “Tak, bukan salah abang. Memang salah saya pun.” Allisya mengesat sisa air matanya menggunakan lengan bajunya sendiri. Ketika itu, Allisya teringat akan saat-saat bahagia apabila Iskandar menghulurkan sapu tangan kepadanya ketika dia sedang menangis. Hanya Iskandar yang melayannya dengan begitu baik sekali. Kerinduan mula bertandang di hati Allisya. Allisya rindu saat-saat indah itu. Dia rindu pada senyuman mesra Iskandar. Senyuman yang mampu membuatkan hati yang bergolak pun terasa tenang.

            “Dah, jom kita balik ke chalet.” Suara Azim memecah lamunan Allisya. Allisya yang baru sahaja tersedar segera mengangguk, lalu mengekori Azim dari belakang.

            “Jangan ikut saya terlalu dekat. Kekalkan jarak sekurang-kurangnya satu meter.” Azim memberi arahan sebaik sahaja melihat Allisya mengekorinya. Dia memang rimas dan alergik kalau ada perempuan berjalan dekat-dekat dengannya.

            Allisya kehairanan melihat perangai Azim itu. Sudahlah bersifat dingin, lepas tu melayan dia seolah-olah seperti budak kecil pula. Jarang sekali Allisya melihat lelaki yang marah apabila didekati perempuan. Selalunya perempuan yang tidak suka apabila didekati rapat oleh lelaki. 

            ‘Panglima-panglima USAS ini memang pelik-pelik perangai mereka. Macam-macam ragam,’ fikir Allisya sendiri. Meski pun begitu, Allisya mengikut kata tanpa banyak soal.

            Allisya langsung tidak bersuara di sepanjang perjalanan mengikuti Azim. Dia takut sekiranya dia bersura, dia akan dimarahi Azim lagi. Hampir satu jam berlalu, mereka berdua masih berjalan tanpa besuara. Mata Allisya tertarik untuk memandang satu sarang burung di atas dahan pokok kayu yang sudah tua. Kedudukan sarang itu terlalu tinggi, maka Allisya tidak pasti samada sarang itu kosong atau berpenghuni. Dibiarkannya sahaja soalan itu tanpa jawapan. Dia terus melangkah, mengekori Azim dengan taat.

            Dua jam telah berlalu. Langit kelihatan semakin mendung. Badan Allisya sudah pun bermandikan peluh kerana keletihan berjalan tanpa henti. Kalau boleh dia ingin sekali mencadangkan kepada Azim untuk berhenti berehat, namun dia tidak berani. ‘Macam mana kalau aku kena tengking dengan Azim lagi nanti?’

            Kini tiga jam sudah berlalu. Nafas Allisya kedengaran seperti sudah semput dan tercungap-cungap. Azim sedar akan keadaan Allisya itu, lalu dia mencadangkan agar mereka berhenti seketika untuk berehat.

            Azim memilih untuk duduk di bawah pohon yang rendang. “Kamu duduk dekat pokok sana, jangan duduk dekat-dekat sangat dengan saya. Kekalkan jarak dua meter.” Azim bersuara sambil menunding jari ke arah pokok yang bertentangan dengannya.

            Allisya mengerutkan dahinya. Dia hanya mengikut kata. ‘Dua meter pula? Macamlah aku nak duduk sebelah dia.’

 Allisya menghempaskan sahaja badannya ke tanah dan bersandar pada batang pokok yang berdekatan. Dia terlalu letih. Nafasnya masih tercungap-cungap.

            Azim hanya memerhatikan Allisya tanpa bersuara. Lantas dia menggodek-godek beg galasnya yang dibawa sepanjang perjalanan itu. Dia mengeluar satu botol kecil air mineral yang penuh dan masih belum dibuka dari simpanannya. Digolekkannya botol air mineral itu ke arah Allisya. Kemudian dia berpaling ke arah lain.

            Allisya terkejut melihat botol air yang datang bergolek-golek ke arahnya itu. Dia mengambil botol mineral tersebut. Ditiup-tiup dan digosok-gosoknya  kotoran yang melekat pada botol itu menggunakan lengan bajunya. Kemudian Allisya memandang ke arah Azim. Azim langsung tidak memandangnya, malah pemuda itu sedang memejamkan mata sambil kepalanya bersandar pada batang pokok. Allisya tersenyum melihatkan sifat Azim itu. Dia tidak menyangka, Azim yang garang itu juga rupanya adalah seorang yang prihatin orangnya.

            “Terima kasih.” Ucapan Allisya langsung tidak diendahkan oleh Azim. Matanya masih ditutup rapat.
            Allisya membuka botol air tersebut. Dia meneguk air dari botol itu untuk beberapa kali. Tekaknya yang hampir kering itu kembali basah dan sejuk semula. Allisya menarik nafas lega. Nasib baiklah dia bertemu dengan Azim di dalam hutan ini. Jika tidak, pasti dia tidak pandai membawa diri. 

            Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, menampar lembut pipi Allisya. Allisya memerhatikan Azim yang sedang bersandar sambil memejamkan mata itu. Dia ingin sangat bertanyakan sesuatu kepadanya. Siapakah Fazura? Apa hubungannya dengan Zaem dan apa yang telah berlaku di antara mereka berdua? Namun mulut Allisya terkunci rapat. Dia lebih rela hidup dalam persoalan daripada ditengking-tengking oleh seniornya itu lagi. Sehingga kini Allisya masih tidak dapat menerima hakikat bahawa Azim itu seorang yang sangat garang.

            Allisya memandang ke arah kawasan sekitarnya. ‘Kenapa berapa kali aku tengok pun, tempat ini kelihatan sama sahaja dengan tempat awal-awal kami bertolak tadi?’ getus hati Allisya sendiri. Dia sukar sekali untuk memahami apatah lagi menghafal selok belok kawasan hutan tersebut. Semuanya kelihatan serupa dan sama sahaja. Dia berasa kagum dengan Azim yang cukup pandai mencari jalan pulang dan menjadi pemandu arah kepadanya.

            Pandangan mata Allisya tertarik untuk memandang segumpal lalang serta ranting kering yang membentuk seperti sarang  burung di atas dahan pokok tempat Azim berteduh. Allisya berdiri untuk mendapatkan kepastian. Tidak syak lagi, itu memang sarang burung. Namun, perkara yang paling membuatkan Allisya berasa terkejut adalah, itu merupakan sarang burung yang sama dilihatnya tadi! Benarkah apa yang dilihat oleh matanya itu? Adakah mereka telah kembali ke tempat awal-awal mereka tiba tadi? Jantung Allisya kembali berdegup kencang.

            “Abang Azim…” Allisya cuba memberanikan diri untuk meluahkan kesangsian yang bertamu di hatinya. “Saya rasa kita ada dekat tempat yang sama kita datang tadi.” 

            Azim yang berpura-pura tidur itu perlahan-lahan membuka matanya. Dia memandang ke kawasan sekelilingnya. Seperti biasa, tiada reaksi yang ditunjukan di wajahnya. Dia bangun sambil menggalas beg hitamnya. Azim kembali memulakan langkahnya. Allisya kelihatan terpinga-pinga melihatkan tindak balas Azim itu. Tanpa banyak soal, Allisya segera mengikuti Azim daripada belakang. 

            Mereka terus berjalan tanpa ada sebarang interaksi. Satu jam berlalu. Allisya memandang di kawasan sekitarnya. Entah mengapa, hatinya berasa tidak tenang. Mengapa tempat-tempat yang dilalui mereka itu kelihatan serupa sahaja? Apa yang lebih merunsingkan Allisya adalah cuaca yang kelihatan semakin mendung. Mungkinkah hari akan hujan?

            Azim berjalan di hadapan tanpa mempedulikan Allisya. Allisya memandang ke atas langit yang kelihatan semakin gelap, kemudian pandangannya teralih ke arah dahan-dahan pokok yang kelihatan bersilang-silang di antara satu sama lain. Sekali lagi, mata Allisya tertangkap akan satu kejadian yang sukar untuk diterima akalnya. “Abang Azim, itu bukan sarang burung tadi ke?” Allisya bersuara sambil menunding ke arah sarang burung yang dimaksudkan.

            Azim melemparkan pandangan ke arah sarang burung tersebut. Dia masih diam.

 Allisya menjadi cemas. Dia mula berasa takut. Adakah mereka telah sesat? Benarkah selama ini mereka sedang berpusing-pusing di kawasan yang sama? Akhirnya Allisya memberanikan diri untuk bertanya tanpa ragu-ragu, “Abang, kenapa kita berada di tempat yang sama sahaja? Kita dah sesat ke? Abang pasti ke mana jalan keluar yang sebenar?”

Azim masih diam. Dia memandang Allisya tanpa memperlihatkan sebarang reaksi positif mahupun negatif. 

“Abang, sebenarnya macam mana abang boleh berada di kawasan hutan ni?” Allisya merasa takut bila memikirkan kemungkinan yang bermain di fikirannya itu. Jika apa yang sedang difikirkan olehnya itu tepat, segala harapannya untuk keluar dengan selamat dari hutan itu akan punah.

Azim menghembuskan nafasnya dengan kuat. Dia bersandar ke batang pokok yang berdekatan seraya menjawab, “abang sebenarnya pun tersesat juga.”

Mendengarkan sahaja jawapan Azim itu, nafas Allisya menjadi sesak. Jadi selama ini, mereka hanya berjalan-jalan dan berpusing-pusing di dalam hutan tanpa arah tujuan. Azim yang disangkakan Allisya muncul untuk datang menyelamatkannya sebenarnya turut sama tersesat di hutan tersebut. ‘Kenapa malang sangat nasib aku ni?’ Allisya kaku. Segala harapan yang dibinanya musnah begitu sahaja setelah mendengarkan jawapan Azim itu.

“Sejak bila?” Allisya cuba berbual seperti biasa bagi mengelakan keadaan menjadi keruh.
“Semalam.” Azim menjawab tanpa menunjukan sebarang emosi.

Allisya terkejut mendengarkan jawapan Azim itu. Maksudnya Azim telah tersesat ke dalam hutan itu jauh lebih lama dari Allisya. Apa yang lebih teruknya adalah, dia langsung tidak memberitahu Allisya tentang perkara yang sebenar!

Azim mengeluh melihatkan reaksi Allisya yang kelihatan seperti tertelan biji nangka itu. Akhirnya dia terpaksa juga mengaku yang dia sedang sesat dan tidak tahu untuk mencari jalan pulang. Hakikatnya, sejak dari dulu lagi Azim memang bermasalah dalam mengingati arah. Dia sudah biasa tersesat, walau di mana pun dia berada. Bukan dia tidak mahu memberitahu Allisya tentang perkara sebenar, namun egonya yang terlalu tinggi itu menyebabkan dia memilih untuk mendiamkan diri. 

Allisya mengeluh beberapa kali. Hatinya terasa bagai digaru-garu oleh jari-jemari lutsinar. Ingin sahaja dia ketawa melihatkan wajah Azim dan mengenangkan situasi yang sedang berlaku itu. Siapa sangka, lelaki popular yang hebat itu sebenarnya seorang yang buta arah. Allisya tersengih seorang diri. Baru beberapa jam sahaja dia berada di samping Azim, kini dia sudah pun mengetahui rahsia besar Azim.

Azim mendengus melihatkan Allisya yang sedang tersengih-sengih mengetawakannya itu.
‘Budak perempuan ni, tadi takut sangat dengan aku. Tiba-tiba berani pula dia gelakan aku.’ Azim hanya memendamkan perasaannya itu di dalam hati. Dibiarkannya sahaja Allisya mengetawakan dirinya. Malas dia hendak melayan kerenah budak kecil itu.

“Kamu nak duduk selama-lamanya di sini ke?” Azim mula bersuara setelah dia merasa menyampah melihat Allisya yang masih mengetawakan dirinya itu.

Allisya sedikit terkejut. Dia segera melangkah ke depan. Azim berganjak menjauhi Allisya. “Kan saya dah kata, kekalkan jarak satu meter!”

Allisya hampir terlupa akan syarat itu. Dia mengangguk tanda faham. 

‘Aku ni pembawa penyakit SARS atau selsema burung ke sampai dia fobia mendekati aku?’ Allisya mula merungut di dalam hati. Namun dia tidak berani bersuara. Mereka berjalan meneruskan perjalanan yang terhenti secara tiba-tiba tadi.

Allisya semakin gusar apabila melihat semak-samun yang semakin meninggi di kawasan yang dilalui mereka itu. Mereka bagaikan sedang melalui kawasan yang tidak pernah diterokai oleh manusia. ‘Betul ke keputusan aku mengikut abang Azim ini? Ah, biarlah. Aku pun bukannya tau nak mencari jalan pulang.’ Allisya redha dengan takdirnya itu. Kini dia terpaksa meletakkan kepercayaannya ke atas lelaki yang telah disahkan buta arah itu. Allisya hanya mampu berdoa di dalam hati. Semoga mereka selamat dan tidak tersesat semakin jauh ke dalam hutan. Pelbagai rasa bertandang ke hatinya. Rasa cemas, takut, bimbang, dan lawak pun ada.

Sedang Allisya leka bermain dengan perasaannya sendiri, kaki Allisya yang hanya berselipar jepun itu terpijak sesuatu yang dirasakan sangat tajam. Kesakitan meresap ke seluruh tapak kakinya. Gadis itu terduduk. Allisya tidak mampu menyembunyikan rasa sakit yang ditanggungnya, dia mengerang sekuat hatinya.

Azim yang berada di hadapan Allisya segera menoleh apabila mendengarkan suara jeritan gadis itu. Dia terkejut melihat darah yang mengalir di tapak kaki Allisya. Azim segera mendekati Allisya. Dia berlutut di hadapan Allisya sambil mengodek-godek beg sandangnya. Wajahnya kelihatan cemas.

Azim cuba mencari alatan kecemasan di dalam begnya, namun hampa. Dia hanya membawa barangan kelengkapan dirinya sahaja. Allisya masih memegang tapak kakinya. Lalu Azim segera mencapai tuala di dalam begnya dan meletakkan tuala tersebut ke kaki Allisya. Allisya tanpa banyak soal mengambil tuala yang dihulurkan Azim itu, lalu membalut kakinya sendiri. Dia menekan dengan sekuat hati menggunakan jari kecilnya di kawasan yang terluka itu demi menghentikan pendarahan yang sedang berlaku.

Azim terduduk di kawasan dia berlutut tadi. Hampir tercabut jantungnya melihatkan kaki Allisya yang berdarah itu. Dengan segera dia bersuara, “Dah tahu nak berjalan dalam hutan, kenapa pakai selipar tandas?” Azim memerli dengan nada suara yang meninggi.

Allisya hanya mendiamkan diri. Manalah dia tahu yang dirinya akan sesat ke hutan. ‘Kalau awal-awal lagi aku tahu, semua alatan perkhemahan aku bawa.’ Allisya menjawab di dalam hati. Tak sanggup dia betul-betul nak menjawab depan Azim. Tak pasal-pasal boleh kena berbalun-balun herdikan dan makian.
Azim bersyukur melihatkan kaki Allisya yang sudah pun berhenti berdarah itu. Dia segera membuka kasut sukan yang sedang dipakainya, lalu meletakkannya di hadapan Allisya.

Jantung Allisya kembali berdegup kencang. Dia terkejut melihatkan perbuatan di luar jangka Azim itu.  Entah mengapa hatinya terasa berdebar-debar sahaja. Matanya memandang kasut sukan pemuda itu, kemudian beralih kepada wajah pemuda tersebut.

“Pakai kasut saya ni. Mungkin besar sikit, tapi sekurang-kurang boleh lindung kaki kamu dari terluka.” Azim berkata-kata tanpa memandang wajah Allisya. Dia kelihatan kekok sahaja ketika berbicara dengan gadis itu. Jantung Allisya masih terasa berdebar-debar. Detik-detik itu dirasakan begitu janggal sekali.

Perlahan-lahan, Allisya mengambil kasut yang diberikan oleh Panglima kanan USAS itu. Allisya menyarungkan ke kakinya. Memang agak longgar, tetapi sekurang-kurang kakinya merasa lebih selesa memijak tapak kasut yang jauh lebih tebal berbanding dengan selipar murahya tadi.

Azim mengeluarkan satu beg plastik berwarna merah dari dalam beg galasnya. Di dalam beg itu tersimpan selipar basahannya yang biasa digunakannya untuk ke bilik mandi. Dia memakai selipar nipis itu. Kemudian Azim mengambil selipar Allisya yang sudah berlubang tadi. Dia tidak terus membuangnya, sebaliknya Azim memasukkan ke dalam beg plastik tadi, lalu disimpan ke dalam beg galasnya. Berkelip-kelip mata Allisya memandang tindakan Azim itu.

Perasaan kagum lahir di hati Allisya. Dia tidak menyangka, lelaki yang kelihatan dingin itu sebenarnya seorang yang sangat baik. Hari ini Allisya dapat melihat sifat Azim daripada pelbagai sudut. Perasaan kagum terhadap idola sukannya itu semakin membesar. Minat yang lahir di hatinya selama ini terhadap Azim juga semakin bertambah, langsung tidak tergugat walaupun sudah berulang kali diherdik oleh jejaka tersebut. 

“Terima kasih.” Allisya bersuara setelah sekian lama berdiam diri. Azim masih tidak memandang wajahnya. Dia juga tidak membalas ucapan Allisya. Allisya langsung tidak berkecil hati dengan perbuatan Azim itu, sebaliknya dia hanya tersenyum seorang diri. 

Azim bangun dari duduknya. Matanya meliar ke kawasan sekitarnya. Dia segera mematahkan satu ranting pokok yang agak tebal dan panjang yang terletak tidak jauh dari kedudukannya. Dia menguji ketahanan ranting kayu itu. Kemudian, dia menghulurkan ranting tersebut kepada Allisya. Allisya mengambilnya sambil mengukirkan senyuman. Biarlah Azim tidak memperdulikan senyumannya itu, yang penting dia dapat melahirkan perasaan terima kasihnya kepada pemuda tersebut. Allisya berpaut kepada ranting diberikan itu untuk berdiri.

“Lebih baik kita teruskan perjalanan. Takut nanti hari semakin gelap, lagi susah nak gerak.” Azim  memulakan langkahnya. Allisya tidak berlengah. Dia berjalan mengikuti Azim walaupun dalam keadaan terhinjut-hinjut. Tangannya masih berpaut kepada ranting kayu tadi. Nasib baiklah ranting itu tebal dan tidak mudah patah.

Mungkin kerana tidak sampai hati melihat Allisya yang berjalan terhinjut-hinjut dibelakangnya itu, Azim perlahan-lahan berganjak ke belakang, sebaris dengan kedudukan Allisya. Dia berjalan di bahagian kanan Allisya, namun masih mengekalkan jarak satu meter.

Mereka berjalan seiringan. Azim berusaha sedaya upaya mencari jalan rata dan tidak banyak halangan agar memudahkan perjalanan Allisya. Mereka diam disepanjang perjalanan tersebut. Allisya berjalan sambil tunduk. Dia memerhatikan laluan kakinya dengan berhati-hati agar kakinya tidak tercedera sekali lagi.

Azim berhenti dari berjalan secara tiba-tiba. Dia memasang telinganya. Walaupun tanpa senyuman, namun Allisya yakin Azim sedang dibalut dengan perasaan gembira.

“Itu…” Allisya cuba meneka.
“Bunyi aliran sungai.” Azim menyambung kata-kata Allisya itu dengan nada yang gembira. Allisya tersenyum.
“Syukur, Alhamdulillah.”

Mereka berjalan menuju ke arah punca bunyi aliran sungai itu. Hati mereka melonjak kegirangan apabila melihat sebatang sungai yang sedang mengalir tenang di hadapan mereka. Sekiranya mereka berjalan mengikut aliran sungai itu, pasti mereka akan sampai ke kawasan chalet tempat mereka berkampung. 

Allisya memandang Azim dengan perasaan yang gembira. Azim turut memandangnya. Mata mereka saling bertentangan antara satu sama lain. Timbul kejanggalan di hati mereka. Mereka masing-masing segera berpaling ke tempat lain. Berdebar-debar jantung Allisya walaupun dia hanya beberapa saat sahaja bertentang mata dengan jejaka itu.   

Cahaya kilat mula kelihatan di langit, disertai dengan bunyi dentuman guruh. Hujan mula turun membasahi bumi. Allisya mula gusar memikirkan nasibnya. Sudahlah tersesat di hutan, kakinya tercedera. Kini, hujan pula turun dengan lebatnya. ‘Ke mana lagi harus kami pergi mencari kawasang untuk berlindung?’

Azim memandang ke langit. Dia dapat melihat cahaya kilat yang sedang sabung menyabung. Rasa bimbang turut bertandang ke hatinya.

Kegembiraan yang dirasai Allisya tadi, kini telah bertukar menjadi bimbang. Dia risau dengan keadaan mereka berdua. Mereka ditengah-tengah hutan dan hujan pula sedang turun dengan lebatnya. ‘Ya Allah ya tuhanku, Engkau lindungi kami dari sebarang bencana.’ 

Allisya tertunduk mengenangkan nasibnya. ‘Abang Is.’ Entah mengapa, nama itu bermain di mindanya tatkala perasaan takut memeluk dirinya. Di mana Iskandar, panglima yang sentiasa ada dikala hatinya berduka? Di manakah panglimanya itu?

Secara tiba-tiba, kepala Allisya ditutup dengan satu jaket tebal berwarna hitam. Allisya menoleh ke sebelah kanannya. ‘Iskandar?’

Namun, berdiri di sebelah Allisya itu bukanlah Iskandar, tetapi Azim. Azim telah menanggalkan jaketnya lalu meletakkannya di atas kepala Allisya. Walaupun jaketnya itu tidak sekalis payung atau pun baju hujan, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat membantu melindungi kepala Allisya dari ditimpa hujan lebat. Allisya terkesima, terpana melihat sifat jejaka itu.  Azim sudah pun basah kuyup. Jantung Allisya sekali lagi berdegup dengan kencang. Bagai ada satu rasa yang bertandang di hatinya. Namun Allisya sendiri tidak mengerti, perasaan apakah itu yang sedang dirasainya.

“Abang Azim…” 

Nani NA

No comments:

Post a Comment