Saturday 21 January 2012

BAB 39: SIAPAKAH PEMILIK HATI?


“Walau apa pun yang terjadi bunga ros putih tak akan pernah jadi bunga ros merah!”

            Iskandar masih sibuk membersihkan sisa buangan arnab dari rumah arnab persatuan mereka. Allisya pula sibuk bermain dan menyuapkan lobak merah kepada seekor arnab jenis Lion Head berwarna hitam. Ahli-ahli yang lain pula telah siap berkemas untuk pulang memandangkan kerja-kerja mereka telah selesai. Hanya Iskandar sahaja yang mahu tinggal lebih lama untuk memastikan persekitaran taman haiwan mereka telah dibersihkan dengan sempurna, manakala Allisya bertegas ingin membantu.
            “Abang Is, saya dah simpan semua barang-barang yang kita guna tadi. Jom kita balik,” ujar Allisya apabila melihat Iskandar masih tekun bekerja, walaupun pada hakikatnya taman haiwan mereka itu sudah cukup bersih dan kemas.
            Iskandar tersenyum lalu segera mencuci tangannya. “Terima kasih sebab sudi bantu abang. Allisya nak ke mana-mana selepas ni? Mari abang belanja minum. Lagi pun Allisya dah banyak bantu abang.”
            “Boleh!” Allisya menjawab dengan suara keanak-anakannya. Jarang dia kelihatan mesra berbicara dengan lelaki, tetapi dengan Iskandar dia berasa selesa untuk memperlihatkan sifatnya yang sebenar.
            “Abang Is, kenapa abang Is baik sangat?” Allisya sengaja bertanya untuk mengusik pemuda itu.
            Iskandar tidak kelihatan cuak, walaupun pada hakikatnya hatinya sedang bergelora. Dia memang baik dengan semua orang, tetapi adakah kebaikan terhadap Allisya terlalu berlebihan? “Sebab Allisya dah macam adik abang sendiri,” walaupun perit, hanya kata-kata itu yang mampu terlafaz di bibir pemuda itu. Mungkin benar kata Azim. Sayangnya pada Allisya adalah kasih seorang abang kepada adiknya.
            “Saya pun dah anggap Abang Is macam abang saya sendiri,” Allisya menyahut dengan senyuman.
            Kaki terus dihayun. Iskandar menolak basikalnya, menemani Allisya berjalan menuju ke arah kawasan kafeteria di fakulti yang berdekatan.
            “Alhamdulillah, cerah je cuaca hari ni. Kebelakangan ni langit selalu je mendung.” Iskandar cuba membuka kisah lain. Berbicara tentang hubungan mereka, hanya akan membuatkan Iskandar semakin sakit menerima kenyataan sebenar.
            “Langit kita selalu mendung, hairannya tak pernah pula hujan,” Allisya mendongak ke langit, merenung tembus ke dalam awan. Wajahnya muram, bagai sedang menyembunyikan kesayuan yang tersimpan. Gadis itu hampir terlupa, bila kali terakhir USAS hujan? Seketika kemudian Allisya teringat kepada peristiwa di mana Azim datang membawa payung untuknya. Mengapa hatinya kecilnya tiba-tiba sahaja terasa rindu akan saat-saat itu?
            Iskandar memandang wajah Allisya. Entah mengapa, hati pemuda itu merasa sayu. Adakah Allisya merindui saat-saat dia disambut Azim? Iskandar tahu, sukar untuk Allisya bertemu dengan Azim kerana kawannya itu lebih suka bersendiri, maka untuk bertemu dengannya juga bukanlah perkara yang mudah. Adakah Allisya benar-benar merindui sahabatnya itu?
            Allisya masih merenung ke langit, cahaya mentari bagai mampu ditepis oleh alis matanya sendiri. “Abang Is, kenapa hati kita berasa berdebar-debar bila teringatkan seseorang?”
            Iskandar masih tegar, tenang mendengarkan setiap kata-kata yang bakal melukakan hatinya. Dia bagai dapat meneka, siapa yang sedang Allisya ingati itu. “Mungkin Allisya rindu pada dia?”
            “Rindu? Saya pun rindukan arwah ibu dan ayah saya. Saya rindu pada kawan-kawan sekolah saya, tapi saya tak pernah rasakan debaran sebegini.”
            Iskandar hanya diam. Dia tahu kenapa, namun dia tidak mampu memberikan jawapan itu. Haruskah dia katakan kepada Allisya bahawa itu tandanya ‘dia sukakan orang itu?’
            Deringan mesej bergema daripada dalam poket seluar sukan Allisya. Gadis itu membaca mesej yang diterima.
            ‘Allisya mana awak? Jom sarapan dengan saya. Saya ada hal penting nak bincangkan dengan awak. Sekarang, di kafe fakulti undang-undang.Cari meja yang ada tanda nama saya.’
            “Kenapa dengan Zaem ni? Senang-senang je dia nak beri arahan.” Allisya merungut-rungut sendiri.
            “Kenapa Allisya?”
            “Zaem mesej saya. Dia ajak sarapan sama. Katanya ada perkara penting nak dibincangkan.”
            “Pergilah Allisya. Lain kali je abang belanja Allisya minum ya.”
            “Abang Is tak nak ikut sekali?”
            “Zaem tak jemput abang sekali, jadi hal tu mungkin tak ada kaitan dengan abang. Cuma tolong kirimkan salam abang pada Zaem ya nanti.”
            “Insya’Allah. Maaf ya abang Is.”
            “Tak apa.” Iskandar berlalu dengan senyuman. Walaupun wajahnya tenang, namun tiada siapa yang mengerti pergolakan hatinya.
Allisya pula melencong menuju ke fakulti Undang-undang, mencari-cari kafe yang dikatakan Zaem tadi. Sebaik tiba, Allisya terpandang sebuah meja yang diletakan dengan papan nama Zaem. ‘Zaem ni VIP sangat ke sampai boleh booking meja kafe guna papan tanda nama sendiri? Baru jadi MPP dah salah guna kuasa!’
            Allisya duduk di meja tersebut. Zaem masih belum sampai, membuatkan Allisya bertambah-tambah geram dengan perangai pemuda itu. Pandai sahaja memberi arahan, dia sendiri lambat sampai. Di atas meja tersusun dua kuntum bunga mawar segar. Satu berwarna merah dan satu lagi berwarna putih. Allisya terpandang sekeping kertas tertulis namanya. Gadis itu tidak berlengah mengambil kertas tersebut dan membaca isi yang tersurat di atasnya.
            ‘Kehadapan gadis yang dirindui setiap hari,
            Warkah ini saya coretkan buat awak untuk memberitahu awak bahawa saya betul-betul sukakan awak, walaupun pada hakikatnya awak kurang menyukai saya. Saya telah meletakan dua kuntum bunga Ros di atas meja. Bunga yang berwarna merah itu mewakili diri saya, manakala warna putih itu ialah awak. Mengapa saya merah? Merah itu tandanya cinta. Bunga ros merah itu melambangkan diri saya yang setia mencintai awak dengan sepenuh hati saya. Tetapi mengapa pula bunga awak putih? Mestilah, sebab awak tak cintakan saya! Meski pun begitu, saya akan setia menanti sehingga suatu hari nanti akan tiba waktunya bunga ros awak juga akan bertukar menjadi merah. Wajah saya akan menghiasi lena awak dan cinta saya akan hadir dalam hati awak. Tetapi buat sementara waktu ini saya akan terus bersabar dan menanti sehingga hari itu tiba.
Oh ya, saya akan tiba lewat sedikit. Saya dah sediakan sarapan untuk awak. Harap awak suka dengan sandwich tuna yang saya sediakan dengan air tangan saya sendiri.  Sebelum awak makan bekal tu, saya ingin minta awak masukan dulu kuntuman bunga putih itu ke dalam botol kaca yang terletak di atas meja itu. Jangan tanya kenapa. Selamat menjamu selera.
                                                            Yang mencintaimu,
                                                          Muhammad Nur Zaem 
                                                        Yang dipertua MPP USAS’
            Allisya mencebik sebaik selesai membaca surat nukilan Zaem itu. Tak romantik langsung suratnya! Menyakitkan hati adalah. “Walau apa pun yang terjadi bunga ros putih tak akan pernah jadi bunga ros merah!”
            Allisya membuka bekas bekal yang telah disediakan oleh Zaem. Sandwich tersebut sama dengan yang pernah dihidangkan oleh Zaem sebelum ini. Kelihatan enak kerana dihiasi dengan senyuman Encik Roti. Sebelum menjamah roti tersebut, Allisya mengambil kuntuman bunga mawar putih yang terletak di atas meja itu, lalu tangkainya dimasukkan ke dalam botol gelap yang dinyatakan Zaem tadi.
            Masa terus berlalu, Allisya menjamah sambil menunggu Zaem datang, namun pemuda itu tidak pula muncul-muncul lagi. Setelah selesai bersarapan seorang diri, Allisya mengemas kembali bekas bekal tadi. Seketika kemudian pandangannya tertangkap akan satu kejadian yang mengagumkan matanya. Kelihatan kuntuman bunga putih yang telah dimasukkan dalam botol tadi telah bertukar menjadi merah. “MACAM MANA BUNGA ROS PUTIH TADI BOLEH BERTUKAR JADI WARNA MERAH?”
Tanpa Allisya sedari, Zaem telah pun muncul di hadapannya sambil mengukirkan senyuman.
            “Awak terkejut Allisya?” Zaem menyapa dengan hati yang gembira.
            “Zaem, bila awak datang? Kenapa warna bunga ni boleh bertukar jadi warna merah?”
            Sekali lagi, Zaem merasa teruja kerana berjaya membuatkan gadis itu kagum. “Siapa kata bunga ros putih tak boleh jadi merah? Itu bukanlah perkara yang mustahil dan saya dah berjaya buktikannya sendiri di depan mata awak. Saya juga nak awak tahu, tidak mustahil bahawa suatu hari nanti awak juga akan jatuh cinta pada saya.”
            Allisya tergamam mendengar jawapan Zaem. Terkebil-kebil mata gadis itu memikirkan ayat untuk membalas kata-kata Zaem. Bagaimana Zaem boleh tahu apa yang sedang difikirkannya tadi?
            “Allisya, suatu hari nanti cinta saya pasti akan hadir dalam hati awak dan pada masa itu awak akan melihat yang saya masih setia menantikan awak…”
            “Zaem jangan buat perkara yang memalukan depan orang ramai! Berhenti cakap benda yang mengarut-ngarut.”
            “Mana ada mengarut, saya jujurlah!” Zaem merungut apabila usahanya untuk memikat Allisya sedikit pun tidak dihargai oleh gadis itu.
            “Zaem, macam mana warna bunga ros putih ni boleh berubah?”
            “Sebab cinta.”
            “Jangan main-mainlah Zaem, saya tanya betul-betul ni!” Allisya hampir melenting apabila Zaem sengaja menguji kesabarannya.
            “Yalah. Saya gunakan pewarna. Saya dah masukkan siap-siap dalam botol gelap tu. Jadi bila awak masukkan tangkai bunga tu, warna tu akan diserap melalui tarikan kapilari dan kelopak-kelopak bunga ros tu akan bertukar warna mengikut larutan rendamannya.”
“Macam mana awak boleh terfikir buat benda ni Zaem?” Allisya masih kagum. Bukan kerana keromatikan Zaem, tetapi kebijaksanaannya membuat perkara di luar jangkaan.
“Saya cipta sendiri” Jawab Zaem dengan angkuhnya.
“Baik awak mengaku Zaem…”
“Yalah, saya beritahu. Saya baca dalam buku teknik-teknik asas silap mata. Saya cubalah. Tak sangka pula jadi. Tapi bukan semua jenis bahan perwarna boleh guna. Lama juga saya cuba baru jadi. Habis sejambak bunga ros putih yang saya beli untuk awak saya guna sebagai bahan eksperimen. Last-last tinggal satu je! Ni pun dah jadi warna merah juga.” Zaem tersengih ketika memberikan jawapan. Allisya yang geram dengan sikap Zaem itu tadi turut ketawa mendengarkan sahaja kisah pemuda itu.
Zaem berasa cukup gembira kerana akhirnya dia mampu membuatkan Allisya ketawa. Jika dia mampu membuatkan Allisya ketawa, pasti dia juga mampu membuat Allisya jatuh cinta.
“Allisya maafkan saya sebab hilangkan diri macam tu je tempoh hari.”
“Tak apa, saya maafkan. Saya tahu awak tak sengaja.”
“Saya dah agak awak akan faham. Kitakan sehati sejiwa…”

*                *                      *
            “Iskandar kau nampak Zaem?” Azim menyapa lalu duduk disebelah Iskandar yang sedang duduk bersandar pada batang pokok kayu di tepi tasik USAS itu.
            “Zim, tadi Allisya kata dia nak jumpa Zaem. Mungkin dia ada dengan Allisya.”
            Azim terdiam mendengarkan jawapan Iskandar. Telinganya memang kurang enak bila mendengar Zaem bersama Allisya.
            “Is, aku nak tanya kau satu perkara.”
            “Apa dia Zim?” Iskandar menutup buku yang sedang dibacanya.
            “Kau tak cemburu bila Allisya bersama Zaem?” Sekali lagi Azim cuba menduga sahabatnya itu. Tersentak jantung Iskandar mendengarkan soalan Azim. Mengapa Azim bertanya begitu dengannya? Adakah Azim sudah tahu rahsia hatinya?
            “Tak ada apa yang aku perlu cemburukan Azim.” Iskandar cuba menjawab sambil tersenyum, namun senyumannya tawar sahaja.
            “Kau tipu Is.” Azim menjawab tanpa berfikir panjang.
            Iskandar terkejut mendengarkan kata-kata sahabatnya itu. Dia memilih untuk diam.
“Aku sentiasa hormati kau Is. Selalunya engkau adalah yang paling bijak, berpengetahuan, matang dan arif dalam menimbang tentang sesuatu perkara. Tapi dalam soal cinta, engkau adalah orang yang paling bodoh pernah aku kenal.”
            Kata-kata Azim bukan sahaja menyentak jantung Iskandar, malah menyentap hati pemuda itu. Dia tidak tahu, mengapa Azim berkata demikian terhadap dirinya. Kesalahan apa yang pernah dia lakukan sehingga tuduhan seperti itu dilemparkan?
            “Aku tak faham maksud kau Azim.”
            “Kau memang tak akan faham apa-apa Is. Sebab tulah engkau tak pernah faham hati Allisya.”
            “Kenapa kau cakap macam tu Azim? Aku tak faham.”
            “Pernah kau tanya pada diri kau siapa yang Allisya suka sebenarnya? Kenapa dia enggan terima cinta Zaem? Pernah kau tanya semua tu Is?” Azim memandang ke tengah tasik.
            Iskandar diam. Dia enggan bersuara.
            “Jawab Is, jangan jadi pengecut!” Azim masih kuat mendesak.
            “Pernah dan aku dapat rasakan siapa sebenarnya yang Allisya suka.”
            Azim terkejut sebaik mendengar jawapan Iskandar. Adakah Iskandar sudah lama sedar bahawa Allisya juga mencintai dia?
            “Jadi kau dah lama tahu?” Azim cuba mendapatkan kepastian.
            “Ya, aku tahu Azim. Aku tahu Allisya sukakan kau…” Iskandar memberanikan diri meluahkan apa yang telah disimpan dalam hatinya itu. Dia harus menerima hakikat bahawa gadis yang dicintainya mencintai lelaki lain.
            “Apa? Jangan jadi bodohlah Is! AKU TAK SANGKA KAU BETUL-BETUL BUTA!” Azim bangun dengan perasaan yang sangat marah. Dia kecewa mendengarkan jawapan Iskandar. Sangkanya dia mampu membuatkan Iskandar sedar bahawa Allisya sukakan dia, tetapi kawannya itu terlalu bodoh untuk menilai cinta gadis itu.
            “Aku tahu Zim. Aku tahu Allisya sukakan kau. Dah tiba masanya kau lupakan arwah Ariana dan buka hati kau untuk Allisya.” Iskandar menjawab yakin. Hari ini dia telah mengotakan janjinya. Janji dia untuk membantu Azim melupakan arwah Ariana dan membuka mata sahabatnya itu untuk menerima cinta baru. Walaupun pada hakikatnya, dia harus mengorbankan perasaannya sendiri.
            “Iskandar, tak ada sesiapa yang boleh gantikan tempat Ariana Is. Tak ada sesiapa!”
            “Allisya betul-betul sukakan kau Zim dan aku dapat rasakan yang kau juga sukakan dia. Bukakanlah hati kau untuk dia Azim…” Iskandar cuba menyakinkan sahabatnya itu.
            “Bukannya aku tak mahu terima cinta Allisya Is. Memang aku sukakan Allisya. Tapi aku bukannya kejam, sanggup merampas gadis yang sahabat aku sendiri cintai. Aku tahu, yang sebenarnya kau sendiri cintakan Allisya bukan?”
            Iskandar semakin terkejut mendengar kata-kata Azim. Mengapa hari ini Azim sentiasa menduga hatinya? Mengujinya dengan pelbagai persoalan yang mampu membunuh hatinya?
            Sebelum melangkah meninggalkan Iskandar, Azim sempat menyampaikan pesanan terakhirnya, “Jika betul Allisya cintakan aku, aku yakin cinta Allisya terhadap aku tidak sedalam cinta kau pada dia Is. Selagi nadi kau masih berdenyut untuk Allisya, selagi itu aku akan bendung perasaan aku terhadap dia.”
            Iskandar kembali bersandar pada batang pokok kayu tadi. Pandangannya jauh dilemparkan ke tengah tasik. Benarkah apa yang sedang didengarinya itu? Benarkah selama ini dia yang menjadi orang ketiga kepada hubungan Allisya dan Azim? Adakah kehadirannya telah menghalang Azim daripada mendekati dan mencintai Allisya? Allisya tidak bertepuk sebelah tangan kerana Azim juga turut menyukainya. Namun malangnya, Azim sengaja menjauhi cinta Allisya kerana mengetahui bahawa Iskandar juga mencintai gadis itu. Mungkinkah kerana itu Allisya sering kelihatan sayu apabila menyebut tentang Azim? Adakah Allisya merasa sakit kerana menyangka cintanya tidak berbalas? Hari ini barulah Iskandar sedar bahawa dia telah menjadi penghalang kepada dua hati daripada bersatu.
“Maafkan abang Allisya. Abang tak terniat untuk merampas kebahagian Allisya. Abang tak terniat menjadi penghalang cinta Allisya dan Azim…” 

No comments:

Post a Comment