Tuesday 6 September 2011

BAB 21: TANDA TANYA



            Allisya sedang merenung hadiah pemberian Zaem yang masih tersimpan di dalam beg kertas yang diberikan sekali. Cantik, memang cantik selendang ini. Zaem berpesan kepadanya agar memakai selendang tersebut pada majlis Malam Kebudayaan Universiti yang akan diadakan tidak lama lagi, tetapi Allisya masih ragu-ragu, haruskah dia memakai selendang tersebut? Allisya membaca kembali mesej yang dituliskan di atas sekeping kad kecil yang turut disertakan dalam beg tersebut.

            Sila pakai selendang ini pada Malam Kebudayaan Universiti nanti. Jika awak tak pakai, maksudnya awak sukakan saya, sebab awak sayang nak pakai hadiah pemberian saya ni. Tetapi sekiranya awak pakai selendang ini, maksudnya awak tetap sukakan saya, sebabnya? Tak ada sebab lain, memang awak sukakan saya pun.

            Allisya mengeluh. Hari ini sudah beberapa kali dia mengeluh mengenangkan perangai pelik ketua MPP universiti mereka itu. Mungkin sekali dirinya telah memberikan Zaem harapan yang lebih tinggi sebaik dia menerima hadiah itu. Kata orang, jangan mudah menerima pemberian lelaki, nanti diri kita sendiri yang terperangkap dengan perasaan bersalah sekiranya suatu hari nanti terpaksa mengecewakan hatinya.

            ‘Zaem ni dah betul-betul jatuh hati pada aku ke?’ Allisya bertanya kepada dirinya sendiri, walaupun pada hakikatnya dia sudah tahu jawapan itu.

            “Tengok apa tu Sya?” Zairin menyapa.

            Allisya yang dari tadi sedang bermain dengan perasaannya sendiri segera kembali ke dunia nyata. Dia sedang berada di bilik Tutorial 1 di fakultinya. Bilik tutorial itu menjadi bilik tempat kebanyakan pelajar datang untuk meluangkan masa mengulangkaji pelajaran atau menghadiri kelas tutorial yang diwajibkan oleh pihak fakulti. Namun, pada ketika itu cuma ada Allisya, Zairin dan Raihana sahaja yang sedang menggunakan bilik tersebut. Ketiga-tiga mereka menjadi semakin rapat setelah berulang kali mengulangkaji dan menghadiri kelas yang sama. Mereka duduk-duduk di situ bagi mengisi masa kosong yang ada sebelum mereka menghadiri kuliah yang berikutnya

“Sya tengah tenung hadiah dari kekasih hati.” Raihana yang sedang asyik membaca sebuah novel yang bertajuk ‘Dongeng Tiga Panglima’ itu sempat menjawab soalan Zairin yang sedang duduk di hadapannya. Novel yang dibaca oleh Raihana itu berkisarkan kisah seorang puteri dan tiga orang panglima yang wujud pada zaman pemerintahan Melayu lama. 

Kisah dongeng itulah yang selalu disebut-sebutkan oleh pelajar USAS berkaitan dengan sejarah penggunaan panggilan ‘Panglima’ kepada tiga MPP utama mereka. Raihana tertarik untuk mengetahui kisah tersebut dengan lebih lanjut, lalu dia mengambil keputusan meminjam novel tersebut dari perpustakaan universiti mereka dan membaca sendiri kisah yang selalu diperkatakan itu.

Zairin tidak berminat melihat novel yang sedang dibaca oleh Raihana itu, dia lebih berminat mengetahui tentang kekasih hati Allisya yang diperkatakan tadi. Zairin memandang beg kertas yang sedang dipegang erat oleh Allisya itu, sebelum dia mula bertanya, “Zaem? Zaem ke yang beri?”

Soalan yang diutarakan oleh Zairin itu sedikit sebanyak mengejutkan Allisya. Bagaimana pula Zairin boleh tahu hadiah itu diberikan oleh Zaem dan mengapa Zairin bertanya dengan begitu serius sekali?  

            “Macam mana Rin tahu yang hadiah ni Zaem yang beri?” Allisya bertanya perlahan. Tangannya sudah pun menyorokkan beg kertas tersebut di bawah meja.

            Zairin diam seketika. Majalah Aspirasi Siswa keluaran terbaru yang sedang dibacanya, diletakkan di atas meja. 

            “Allisya suka ke pada Zaem tu?” Zairin tidak menjawab soalan Allisya, malah dia pula yang mengajukan soalan kepada gadis itu.

            Allisya diam tetapi Raihana sempat menjawab ketika sedang menyelak helaian novel yang sedang dibacanya,“belum lagi.”

            Zairin kelihatan terkejut dengan jawapan yang diberikan oleh Raihana. Apa yang Raihana maksudkan dengan’ belum lagi’? Adakah ini bermakna bahawa Allisya belum lagi ada apa-apa hubungan istimewa dengan Zaem? Maksudnya hati Allisya belum lagi terikat kepada sesiapa?

            “Sya, kalau hati Sya tak suka pada Zaem, Allisya berterus-terang sahajalah pada dia. Rin rasa, tak ada apa-apa pun yang hebat sangat pada Zaem tu. Ikut rupa, tampan lagi Rin. Yalah, sekurang-kurangnya mata Rin tak ada sebarang kecacatan genetik macam mata dia tu.”

            “Rin?” Allisya hairan mendengarkan kata-kata Zairin. Hendak katakan dia bergurau, wajah pemuda itu kelihatan serius sahaja.

            “Rin, kenapa Rin suka kata mata Abang Zaem cacat? Rin suka sangat kutuk Abang Zaem, Abang Zaem pernah buat salah pada Rin ke?” Raihana menyatakan rasa tidak puas hatinya kepada pemuda tersebut. Dia memang tidak tahan lagi mendengarkan rungutan Zairin tentang betapa teruk dan cacatnya Zaem.
            Zairin bangun dari duduknya, lalu menjawab, “ya, memang pernah!”

            Raihana dan Allisya terdiam sahaja kerana terkejut mendengarkan jawapan spontan yang dilontarkan Zairin. Kenapa suara Zairin kedengaran seperti telah meninggi secara tiba-tiba? Benarkah ada sejarah hitam di antara kedua-dua pemuda tersebut yang tidak diketahui oleh Allisya dan Raihana?

            Zairin melihat jam di tangannya, dengan tiba-tiba pula, wajahnya yang kelihatan serius bertukar menjadi ceria seperti tiada apa-apa pun yang terjadi. “He…he…Rin ada hal, Rin keluar dulu ya. Nanti kita jumpa di kelas. Tolong copkan tempat Rin ya.” Pemuda itu lantas berjalan keluar dari bilik tutorial tersebut tanpa memberikan penerangan lanjut terhadap pengakuan yang dibuat olehnya tadi. 

Raihana tidak menyahut, begitu juga dengan Allisya. Allisya kehairanan, mengapa Zairin berkelakuan ganjil di hadapannya sejak akhir-akhir ini?

            “Rai perasan tak perubahan pada kelakuan Rin sejak akhir-akhir ini?” Allisya bertanya kepada Raihana untuk mendapatkan kepastian. Adakah hanya dia atau Raihana juga sedar dengan perubahan watak Rin itu?

            Raihana mengangguk, lalu menjawab, “Rin tu peliklah. Sekejap dia jadi terlalu ceria dan suka berlawak, tapi sekejap sahaja dia boleh jadi serius dan garang.”

            Allisya tidak mahu melanjutkan perbualannya tentang Zairin lagi. Terasa seperti mengumpat kawan baiknya sendiri pula. Zairin telah menjadi rapat dengan mereka sejak akhir-akhir ini, malah mereka selalu juga belajar secara berkumpulan bersama. Zairin seorang pelajar yang sangat bijak, selalu juga dia membantu Allisya dalam pelajaran. Walaubagaimana pun, perubahan sikap yang berlaku kepada Zairin sebentar tadi membuatkan Allisya berasa tidak sedap hati. Dia berharap tiada perkara buruk yang akan berlaku kepada mereka bertiga, mahupun dalam hubungan persahabatan mereka.

            Pada ketika itu, pintu bilik tutorial tersebut terbuka kembali. Wajah seorang lelaki berumur awal empat puluh an datang menyapa pandangan mereka.

            “Dr. Ariffin!” Allisya dan Raihana yang terkejut dengan kehadiran pensyarah itu di bilik tempat mereka berehat, segera bangun dan memberi salam kepada pensyarah tersebut. Apa yang Dr. Ariffin buat di kawasan kampus Fakulti Sains? Bukankah Dr. Ariffin merupakan pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi? Jika beliau muncul di kawasan Fakulti Pendidikan juga tidak menimbulkan kehairanan kerana pensyarah tersebut turut mengajar di situ, tetapi Fakulti Teknologi Sains langsung tidak berkaitan dengan bidangnya.

            Sebaik menjawab salam kedua-dua pelajar tersebut, Dr. Ariffin mula menjawab persoalan yang bertandang di hati Raihana dan Allisya. “Ada pelajar lain rupanya di sini. Seseorang ada berjanji untuk berjumpa dengan saya di bilik Tutorial 1 Fakulti Teknologi Sains, tak sangka pula bilik ni sedang digunakan pelajar lain.”

            “Kami tak perlukan bilik ni Dr. Kalau Dr. nak gunakan bilik ni silakanlah, kami pun memang nak keluar untuk ke kelas sebentar nanti.” Raihana segera membalas kata. Dia terkocoh-kocoh mengemas barang-barangnya yang bersepah di atas meja.

            “Eh, tak mengapalah, saya pun bukan nak guna untuk urusan rasmi. Duduk jelah. Kalau ada sesiapa yang datang cari saya, tolong maklumkan padanya saya tunggu di bilik Tutorial 3 ya. Bilik tu pun kosong saya lihat tadi.” Dr. Ariffin membalas pula dengan senyuman. Dia ingin melangkah keluar, namun hasratnya terhenti apabila terpandangkan sahaja wajah Allisya.

            “Jadi kamu inilah Allisya ya?” Dr. Ariffin sempat bertanya walaupun sebelah dari kakinya sudah pun berada di luar pintu.

            Allisya terpinga-pinga mendengar soalan Dr. Ariffin. Bagaimana pula Dr. Ariffin boleh mengenalinya sedangkan Allisya sendiri tidak pernah berbual pun dengan pensyarah dari fakulti lain itu. ‘Mungkin sahaja dia kenal aku dari program Permata Hati yang lalu.’ Allisya bermonolog, menyedapkan hatinya sendiri. 

            “Ya, saya Dr.” Allisya tidak berlengah untuk menyahut.

            Dr. Ariffin tersenyum lalu menyambung, “Wajah kamu saling tak tumpah seperti Aisyah.”

            Allisya yang dari tadi berdiri tegak, hampir berganjak ke depan mendengarkan nama ibunya disebut. Bagaimana Dr. Ariffin boleh mengenali ibunya? Apakah hubungan Dr. Ariffin dengan arwah ibunya?

            Allisya tidak sempat menyuarakan persoalan-persoalan tersebut kerana Dr. Ariffin telah pun melangkah keluar dari bilik itu. Allisya menjadi semakin tidak tenang. Mengapa pula perasaan hatinya menjadi begini? Tiba-tiba sahaja dia dirundum rasa khuatir. Semakin banyak tanda tanya muncul dalam hidupnya.

            Allisya dan Raihana duduk kembali ke kerusi masing-masing. Raihana menyambung pembacaannya, manakala Allisya pula sedang mengemas nota-nota kuliahnya yang bakal digunakan sebagai rujukan dalam kuliah yang akan mereka hadiri sebentar nanti. Tidak berapa lama selepas pemergian Dr. Ariffin, pintu bilik tutorial itu dibuka semula.

            “Maaf, boleh saya tanya ini memang bilik Tutorial 1 bukan? Saya ada buat temu janji dengan seorang pensyarah untuk berjumpa dengannya di sini.” 

Suara jejaka yang lembut dan bersopan itu menarik perhatian Allisya dan Raihana untuk memandang. Alangkah terkejutnya Allisya apabila melihatkan wajah pemuda tersebut. Allisya tidak pernah menyangka bahawa dia akan melihat kembali wajah itu, malah bertemu mata pula dengan lelaki tersebut. Pemuda yang sangat bersopan menegur mereka berdua itu sebenarnya adalah pemuda yang sama telah datang menyerang Zaem ketika berada di kafe Makcik Donut dahulu. Menggigil badan Allisya apabila cuba mengingatkan kembali peristiwa tersebut.

“Em, Dr. Ariffin tunggu encik di bilik Tutorial 3,” Allisya cuba menjawab setenang yang mungkin. 
“Oh, baiklah. Terima kasih.” Pemuda tersebut menjawab dengan penuh bersopan, berbeza sekali dengan perwatakannya ketika pertama kali Allisya melihatnya di kafe sebelum ini.

            “Oh, ya! Tak perlulah panggil abang encik. Abang pelajar Master penyelidikan dalam bidang Kimia Industri di fakulti ni. Abang baru je melapor diri. Dulu pun abang bekas pelajar fakulti ni. Nama abang, Farid. Macam mana pun terima kasih ya.” Pemuda tersebut mesra memperkenalkan dirinya sebelum melangkah pergi. 

            Allisya dan Raihana saling berpandangan. Mereka berdua sedang diserang dengan pelbagai tanda tanya. Siapakah sebenarnya lelaki yang bernama Farid itu? Bagaimana pula dia boleh masuk semula ke USAS selepas menimbulkan kekecohan? Mengapa lelaki itu tidak sebengis pada waktu pertama kali mereka melihatnya? Namun persoalan yang paling membimbangkan kedua-dua gadis itu adalah; Adakah Zaem berada dalam keadaan bahaya? Benarkah lelaki itu bakal mengotakan janji-janjinya dahulu? Adakah Iskandar dan Azim juga akan berada dalam bahaya? Tanda tanya muncul seolah-olah bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan di benak fikiran kedua-dua gadis tersebut. Semoga tidak ada perkara buruk yang akan berlaku lagi di kampus mereka.

     Nani NA

No comments:

Post a Comment