Thursday 28 July 2011

BAB 2: KASIH YANG TIDAK TERHINGGA.



Malam mula melabuhkan tirainya. Kini, Allisya sudah pun berada di biliknya. Allisya sedikit kecewa. Dia tidak dapat mengikuti aktiviti orientasi petang tadi kerana jauh tersesat. Walaubagaimana pun, Allisya bersyukur akhirnya dia menemui kolej penginapannya dan kini dia sedang berehat, bersandar pada bingkai tingkap di bilik barunya itu. Allisya menhirup angin segar yang masuk melalui tingkap itu. Suasana pada malam itu terasa nyaman dan tenang. Tingkap biliknya itu betul-betul menghadap ke arah bukit indah yang baru sahaja di laluinya siang tadi. Allisya tersenyum. Didongaknya ke langit, bintang-bintang kelihatan sungguh cantik berkerdipan di angkasaraya. Keletihan yang dirasakannya tadi hilang begitu sahaja tatkala matanya menghayati kekuasan yang Maha Pencipta. 

“Allisya suka bilik ni?” kedengaran satu suara menyapa telinga Allisya. Allisya segera menoleh seraya berkata, “suka.”

“Rai pun suka,” suara tadi membalas sahutan Allisya. Raihana melangkah ke arah Allisya. Dia duduk di atas katil bersebelahan dengan Allisya. Rambutnya yang separa basah disikat lembut ke sisi. Dia baru sahaja selesai mandi.

“Terima kasih sebab tolong Allisya siang tadi. Kalau Allisya tak jumpa Rai, mungkin Allisya makin tersesat jauh.” Allisya melanjutkan kata. Raihana menggeleng lalu berkata, “Tak ada apa-apalah. Tapi tak sangkakan, rupanya kita satu bilik.” Allisya mengangguk sambil tersenyum.

Allisya memandang ke sekeliling biliknya. Dia sangat gembira dengan bilik barunya itu. Dindingnya dicat dengan warna merah jambu kegemarannya. Meja tulisnya dilengkapi dengan lampu ulangkaji. Katilnya berhadapan dengan katil Raihana. Katil, meja tulis dan almari pakaian mereka disusun simetri di mana ruang legar untuk bahagian masing-masing adalah sama luas. Namun, Allisya lebih beruntung kerana katilnya bersebelahan dengan tingkap. Sekiranya mindanya kusut kerana keletihan mengulangkaji, mudah sahaja untuk dia melemparkan pandangan ke luar dan menghirup udara yang segar. Walaubagaimana pun, apa yang membuatkan Allisya jauh lebih gembira ialah, Raihana. Allisya bersyukur kerana mempunyai teman sebilik yang peramah dan sebaik Raihana. 

Allisya bertemu dengan Raihana ketika dia hampir tersesat jauh di kawasan bukit belakang kolej kediamannya itu. Walaupun mereka baru sahaja berkawan, namun Raihana banyak membantunya. Malah, Raihana turut sama membantunya mengemas dan menyusun pakaian serta barang-barangannya yang lain.

“Rai, boleh Allisya tanya sesuatu?”
Raihana menoleh ke arah Allisya, seraya menyahut,”tentulah boleh. Apa dia Allisya?”
“Rai, apa maksud MPP?” Tanya Allisya sambil menunjukan senarai nama-nama yang tercatat di atas kertas orientasinya. Di atas senarai itu tertulis dengan jelas ‘MPP USAS’.

Raihana memandang jari telunjuk Allisya dan tulisan yang ditundingnya. Dia tersenyum. “Owh, Rai lupa yang Allisya terlepas beberapa majlis taklimat dan orientasi universitikan?”

Allisya hanya mengangguk. Dia mendaftar lewat beberapa hari berbanding pelajar-pelajar lain disebabkan oleh masalah pengangkutan. Tambahan lagi, dia tersesat pula pada hari pertama ketibaannya. Justeru, Allisya kelihatan bingung untuk memahami maklumat-maklumat yang ada.

“MPP tu maksudnya ‘Majlis Perwakilan Pelajar’.  Mereka ni terdiri daripada 20 orang wakil yang dipilih melalui pilihanraya universiti untuk mewakili suara mahasiswa, memperjuangkan hak kita dan menjadi pemimpin kita semua.” Raihana mula bersuara, tangannya berhenti dari menyikat rambutnya. Allisya mengangguk tanda faham, lalu Raihana menyambung semula, “MPP kita mempunyai tiga ahli jawatankuasa tertinggi. Ketua MPP kita dikenali sebagai Panglima Zaem. Orangnya kacak tau. Sekali dia kenyit, beribu orang boleh jatuh cinta!”

Allisya ketawa mendengarkan kata-kata Raihana. Jangan-jangan, Raihana sendiri pun sudah terpikat dengan ketua MPP mereka.

“Kemudian dia dibantu oleh dua panglima kanan yang lain, iaitu Panglima Azim dan Panglima Iskandar.” Raihana membalas, sambil menyelak rambutnya yang sudah disisir rapi ke belakang.
“Azim yang atlet negara tu ke? Pemain bola sepak tu?” Alisya bertanya penuh teruja.
“Ya, siapa lagi. Dia bukan sahaja aktif dalam bidang sukan, malah, politik di USAS dan dia seorang pelajar kejuruteraan yang cemerlang. Tapi, jujurnya dia nampak sombong sikit. Mungkin sebab dia ada terlalu ramai peminat... yang fanatik pun ada.”

“Wah, popularnya!” Suara Allisya bagai terkejut, namun dia sememangnya sudah menjangkakannya. Orang terkenal, ke mana sahaja pergi pasti menyerlah. Tiba-tiba, Allisya terasa panas di sekeliling mukanya, dia berasa malu mengingatkan peristiwa yang berlaku siang tadi. Allisya sama sekali tidak akan menceritakan hal tersebut kepada orang lain, termasuk Raihana.  

“Panglima Iskandar yang paling peramah. Ke mana-mana pun, dia sentiasa tersenyum. Manis je orangnya. Tak hairanlah mengapa dia jadi perwakilan bahagian kerohanian dan kebajikan pelajar. Dia macam ada satu aura positif. Semua orang pun sukakan dia.”

“Iskandar?” Allisya terdiam sebentar, seperti pernah dia mendengar nama itu. Namun, ada perkara lain yang lebih menarik perhatian Allisya untuk berbicara. 

            “Tapi Rai, kenapa mesti ‘Panglima’?”
Raihana memandang wajah Allisya, dia sedikit terkejut. “Allisya tak pernah dengar kisah dongeng tiga Panglima?” Allisya menggeleng.

“Nama universiti ni diberikan sempena nama sultan yang pernah memerintah di Tanah Melayu.” Allisya mengangguk. Dia tahu akan sejarah itu. 

“ Ada satu dongeng lahir kononnya berkisarkan tiga panglima yang pernah berkhidmat ketika abad pemerintahan baginda.”

Allisya semakin tertarik untuk mendengar. Lalu Raihanan menambah, “Sewaktu pemerintahan Sultan Alauddin Syah, lanun dan pengkhianat sentiasa mengancam Tanah Melayu ketika itu. Namun, yang paling merunsingkan sultan adalah keselamatan puteri bongsu yang menjadi emas permawan baginda. Puteri tersebut dikatakan sering gering dan ada sumber yang menyatakan puteri itu ‘kurang upaya’.” Allisya tidak bertanyakan lebih lanjut tentang perkara tersebut. Dia mengerti apa yang dikatakan Raihana, lantas dia terus memasang telinga.

“Demi kesetian dan kasih yang tidak terhingga, ketiga-tiga panglima utama itu berkorban segala-galanya untuk melindungi puteri baginda.”

“Kasih yang tidak terhingga? Maksudnya?” Allisya menyampuk kata untuk bertanya.  Raihana mengangguk, lalu tersenyum. “Kerana mereka bertiga amat mencintai puteri tersebut.”

“Tapi, apa kaitan panglima bertiga tu dengan gelaran MPP kita?” Allisya masih musykil.
“Di sebabkan oleh pengorbanan ketiga-tiga panglima itulah puteri tersebut selamat sehingga melahirkan pewaris takhta yang seterusnya. Mereka bertiga mencintai puteri tersebut tanpa mengharapkan balasan cinta, kerana mereka sedar akan kedudukan meraka. Walau pun begitu, mereka tetap mengorbankan diri demi gadis yang dicintai. Kerana pengorbanan mereka itulah, kerajaan ketika itu tidak dapat digulingkan dan makmur hingga ke abad  seterusnya.”

Allisya diam. Dia sedikit tersentuh mendengar kisah tersebut. Kasih yang tidak terhingga. Wujudkah kasih yang sebegitu kuat? Tanpa mengharapkan balasan cinta? Ternyata itu hanyalah kisah dongeng semata-mata. “Apa yang terjadi kepada ketiga-tiga panglima tu? Terkorban semuanya?” 

“Ya, mereka terkorban ketika melindungi puteri tersebut. Tapi, Rai ada juga dengar dari pelajar lain, kononnya salah seorang panglima tu berjaya mencuri hati puteri. Entahlah. Apa yang pasti, kiranya ketua-ketua tertinggi MPP kita ni umpama panglima-panglima tu, berkhidmat kerana ‘cintakan’ pelajar-pelajar USAS seperti kita ni. Mereka bertindak melindungi dan memperjuangkan hak kita. Berjuang dengan ikhas dan setia, tanpa mengharapkan balasan. Seperti cinta tiga panglima tu.” 

“Tapi, kenapa dongeng? Bukan sejarah ke?” Tanya Allisya lagi.
“Banyaknya ‘tapi’ Allisya… sebab cerita tu tak pasti kebenarannya dan dalam sejarah tak ada pun menyatakan tentang puteri baginda tu, apa lagi tentang kecacatannya, lansung tak ada dalam catatan. Mungkin cerita ni direka oleh senior-senior dulu untuk buat pangkat mereka tu nampak gah,” jawab Raihana penuh yakin.

“ Owh, patutlah. Dah macam kisah cinta sejati dari tiga hati pula. Ala-ala Romeo dan Juliet.” Allisya dan Raihana tersenyum, lalu sama-sama ketawa. 

Setiap detik perbualan mereka menambahkan lagi keakraban mereka berdua. Perbualan mereka dilanjutkan dengan perkongsian pengalaman masing-masing ketika di zaman persekolahan. Malam yang diterangi oleh lampu-lampu neon di bilik-bilik hostel pelajar semakin gelap apabila lampu-lampu itu mula padam satu persatu. Begitu juga lampu di bilik 202 milik Raihana dan Alllisya. 

Allisya menepuk-nepuk bantal kabunya, perlahan-lahan Allisya melabuhkan kepalanya. Allisya tersenyum. Walaupun banyak perkara-perkara yang tidak diingini berlaku hari ini, namun tidak kurang juga perkara-perkara menarik yang terjadi. Pertemuannya dengan idolanya dan Raihana kembali menceriakan hatinya. Allisya menutup mata. Esok dia akan dapat bertemu pula dengan tiga panglima tersebut. Dia ingin melihat sendiri wajah pemimpin-pemimpin yang menjadi sebutan itu. Fikiran Allisya ligat berlegar sehinggalah dia melayang dibuai mimpi. 

Nani NA

1 comment: