Thursday 8 September 2011

BAB 22: TAK MUNGKIN



            “Selamat hari lahir Faz, maaflah hadiah ni tak seberapa.” Zaem menghulurkan Fazura satu kotak kecil yang dibalut cantik dengan kertas pembalut hadiah yang berwarna ceria.
            “Tak apa, yang penting Zaem tak lupa hari jadi Faz. Boleh Faz buka hadiah ni?” Fazura segera sahaja mengambil hadiah tersebut. Dia sudah pun merasa tidak sabar untuk membuka hadiah istimewa pemberian Zaem itu. 

            “Bukalah,” Zaem menjawab dengan senyuman.

            Fazura membuka perlahan-lahan hadiah yang diberikan oleh Zaem itu. Pasti hadiah itu adalah selendang cantik yang dilihatnya dipegang oleh Zaem di kedai kelmarin.
            Sebaik sahaja balutan dan kotak tersebut dibuka, Fazura terdiam kaku melihatkan isi kotak hadiah tersebut. Di dalam kotak itu cuma ada  sepasang pin rambut berwarna merah. Tetapi mana perginya selendang yang dilihatnya pada hari itu? Selendang itu pula milik siapa?

            “Bukan selendang?” Fazura bersuara, namun perlahan.

            “Apa Faz?” Zaem tidak dapat menangkap apa yang sedang dikumat-kamitkan oleh gadis tinggi lampai itu.
            “Tak ada apa-apa. Terima kasih ya Zaem, Faz suka hadiah ni. Malam nanti Faz pakai dengan kebaya merah Faz.”

            Malam sudah pun berlabuh. Para pelajar USAS sedang berpusu-pusu menuju ke dewan besar universiti. Malam Kebudayaan Universiti Sultan Alauddin Syah itu dihadiri oleh beribu-ribu orang pelajarnya yang datang dari pelbagai fakulti. Walaupun berlainan bidang pengajian, namun mereka mampu bekerjasama menjayakan majlis yang penuh gilang-gemilang itu. Malam Kebudayaan tersebut dianjurkan bagi meyemai rasa cinta terhadap budaya dan tradisi Melayu di kalangan bakal-bakal graduan USAS. 

            Allisya dan Raihana melangkah masuk ke dewan tersebut dengan berhati-hati. Di sinilah dewan di mana Allisya pernah dimalukan di khalayak ramai dahulu. Di dewan inilah juga dia melihat wajah manis Iskandar yang sedang tersenyum di atas pentas. Ketika itu, Allisya betul-betul benci kepada Zaem, namun kini, semuanya tinggal kenangan. Bukan lagi kenangan yang pahit, tetapi satu kenangan yang indah buatnya.

            “Wah, meriahnya majlis ni!” Raihana cuba berkata-kata dengan meninggikan sedikit suaranya. Muzik latar yang bergema kuat di dalam dewan tersebut bukan sahaja mengganggu Raihana untuk berbicara dengan Allisya, malah menenggelamkan suara-suara hadirin yang lain. 

            Allisya hanya mengangguk. Dia terkesima melihatkan hiasan indah dewan besar universiti pada ketika itu, jauh berbeza sekali dengan hiasan sewaktu dia mula-mula masuk awal semester lalu. Dewan yang mampu menampung beribu-ribu hadirin itu dihiasi dengan pelbagai jenis bunga segar dan hiasan dalamannya pula cantik bertemakan gabungan konsep kotemporari dan tradisional. 

            Majlis belum lagi bermula. Ada pelajar yang sedang duduk berborak di kerusi, ada yang sedang membaca buku aturcara majlis dan ada juga yang sedang berlegar-legar di dalam dewan seolah-olah sedang sibuk menguruskan sesuatu. Mereka semua berpakaian formal bertemakan pakaian tradisional Melayu, termasuklah mahasiswa yang berlainan bangsa. Gadis-gadis kelihatan cantik menggayakan busana tradisional Melayu. Tidak kurang juga kepada golongan sang arjuna yang kelihatan tampan berbaju Melayu.

            Allisya memakai baju kurung yang menggabungkan dua warna utama iaitu putih dan kuning. Selendang pemberian Zaem terlilit kemas di kepalanya, dan beralun lembut hingga ke bahunya, menyerlahkan lagi penampilan gadis itu. Allisya tidak pandai menggayakan selendang, kerana dia sudah terbiasa memakai tudung bawal bersama baju kurung biasa. Pada malam itu, Allisya dibantu oleh Raihana dan Nik Ain dalam menggayakan selendang tersebut. Nik Ain tidak mengetahui daripada mana datangnya selendang itu walaupun sudah berulang-ulang kali mendesak Allisya dan Raihana untuk memberitahunya. Pastinya Allisya tidak mahu perkara itu diketahui ramai kerana bimbang akan menimbulkan gossip yang tidak baik.  Berita sensasi akan lebih cepat tersebar dari mulut ke mulut berbanding berita yang disampaikan pada jam lapan yang ditayangkan oleh semua stesyen telivisyen di Malaysia.

            “Allisya, Zaem datang!” Suara Raihana kembali menembusi cuping telinga Allisya. Zaem kelihatan sedang berjalan dengan begitu bergaya sambil menegur beberapa orang tetamu lain. Pakaiannya kemas berwarna kuning dengan corak sampin songketnya dipadankan bersama hiasan di songkoknya. Sekali pandang, sudah seperti putera raja Zaem ini, dua kali pandang pula saling tak tumpah seperti orang yang ingin pergi menikah. Allisya tergelak sendiri melihatkan gaya ketua MPP USAS mereka itu.

            “Assalamualaikum, cantiknya selendang Cik Allisya, tetapi takkan terlawan dengan kecantikan Cik Allisya sendiri.” Zaem menyapa seraya mengenyitkan matanya. Pada saat itu Zaem sedar, betapa cantiknya Allisya.

            Muka Allisya merah mendengarkan pujian yang diberikan Zaem. Walaupun hatinya belum bertaut kepada pemuda itu, namun hairannya perasaannya terasa lain apabila berada di sisi pemuda itu.

            “Wa’alaikumussalam. Abang Zaem, Cik Allisya je ke yang cantik?” Raihana cuba bercanda, namun memang ada sedikit rasa cemburu bertandang di hatinya.

            “Eh, tentulah Cik Allisya tak dapat menandingi kecantikan Cik Raihana. Cik Raihana lemah-lembut orangnya, berbeza sekali dengan Cik Allisya yang garang seperti singa itu.” 

            Raihana ketawa mendengarkan jenaka Zaem, Allisya pula hanya mencebik.

            “Selamat datang Zaem. Tak sangka Panglima utama USAS sanggup luangkan masa hadiri majlis tak seberapa yang dianjurkan oleh kelab SWM kami ni.” Suara Zarina muncul menyapa menyebabkan ketiga-tiga mereka menoleh.

            “Cantik hiasan malam ni.” Allisya memuji dengan seikhlas hatinya, namun Raihana pula hanya menarik muka. Sejak peristiwa di  Anjung Teratai sebelum ini. Raihana masih belum memaafkan Zarina yang terlalu banyak mengutuk dan mengfitnah Zaem.

            “Terima kasih.” Zarina menjawab pendek pujian Allisya itu. Dia seperti tidak berminat untuk berbicara dengan Allisya.

            “Tahniah Zarina. Majlis malam ni nampak hebat sekali. Beruntung pihak universiti memiliki MPP kebudayaan yang sangat berdedikasi seperti kamu.” Zaem pula memuji. 

            “Semuanya kerana kepimpinan hebat Zaem sebagai ketua MPP berkaliber juga. Terima kasih kerana banyak membantu.” Zarina membalas pujian Zaem dengan memberikan pujian kepada pemuda itu pula. Raihana mencebik mendengarkan kata-kata Zarina.

            ‘Belakang-belakang sedap je mengutuk, depan-depan pula mengampu. Dasar bermuka-muka.’ Getus hati gadis bercermin mata itu.  

            “Panglima Zaem, bila panglima nak belanja dan bawa beta bersantap di luar?” Zarina menyambung kembali kata-katanya. Wajahnya seperti mengharap.

            “Siapalah patik ini, hanya seorang panglima biasa. Tak layak patik hendak membawa tengku puteri keluar, kerana perbezaan darjat kita begitu ketara.” Zaem menolak dalam gurauan. Dia tidak mahu memberikan harapan palsu atau keluar dengan mana-mana gadis sesuka hatinya. Pastinya dia tidak mahu dituduh kasanova!

            “Maafkan saya, saya terpaksa minta izin mengundur diri dahulu ya. Ada tetamu yang saya nak jumpa.” Zaem cuba melarikan dirinya.

            ‘Susahnya nak bercakap dengan Allisya, pasti ada gangguan.’ Zaem sedikit mengeluh di dalam hatinya. Allisya dan dirinya belajar di fakulti yang berlainan, maka mereka sukar sekali untuk bertemu atau sekadar terserampak di jalanan. Berlainan dengan Azim dan Iskandar, mereka mudah sekali bertembung dengan Allisya kerana Fakulti Perubatan dan Fakulti Kejuruteraan terletak berhampiran dengan Fakulti Sains Allisya. Kadangkala Zaem sendiri berasa cemburu dengan kelebihan yang ada pada kedua-dua sahabatnya itu.

            ‘Ya tak ya juga, mana pula Azim ni? Dia ni susah betul nak muncul dalam majlis rasmi universiti. Kalau macam ni, macam mana dia nak kekalkan statusnya sebagai MPP USAS?’ Kini fikiran Zaem teralih pula kepada nama sahabatnya itu. Walaupun Zaem jauh lebih muda, namun Zaem lebih mengambil berat tentang tanggungjawab dan perkara-perkara yang berkaitan dengan isu-isu pentadbiran dan kepimpinan di universitinya. Begitulah Zaem, walaupun dia kelihatan seperti orang yang suka bersenang-lenang bila berbicara, namun dia ialah seorang yang serius dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua MPP USAS.

            Majlis bermula sebaik Prof. Datuk Dr. Zainuddin yang juga merupakan ahli Senat USAS hadir untuk merasmikan majlis. Zaem duduk di bahagian paling hadapan bersama-sama MPP lain dan berdekatan dengan tempat duduk bapanya sendiri.

Majlis tersebut dimulai dengan kata-kata aluan pengerusi majlis, diikuti pula dengan ucapan tetamu VIP. Majlis diserikan dengan pelbagai persembahan tarian Melayu asli seperti Zapin dan kuda kepang. Di samping itu pelajar-pelajar dari kelab SWM turut membuat persembahan drama sebabak yang diiringi dengan alunan muzik dari pelbagai jenis alat muzik tradisional lama. Salah seorang pemuzik yang berada di atas pentas itu bermain seruling, lantas mengingatkan Allisya kepada panglima idamannya yang sedang berada jauh di perantauan.

“Semoga Abang Is selamat berada di Australia dan lekas pulang. Amin.” Allisya sempat mendoakan keselamatan pemuda tersebut.

Sebaik sahaja majlis tamat, dan Datuk Zainuddin pulang, Allisya menerima satu mesej daripada Zaem.

            ‘Saya tunggu awak di bilik audio. Minta Raihana temankan sekali. Takut nanti orang nampak kita, jatuh saham saya. DATANG DENGAN SEGERA.’

            “Zaem ni, memang suka sangat mengarah-ngarahkan aku!” Walaupun sedang merungut, namun Allisya tetap mengikut arahan yang disampaikan Zaem.

            Zaem kini sudah pun berada di bilik yang dijanjikan. Namun Zaem sedikit terkejut apabila melihatkan bayangan seorang pemuda yang sedang duduk di bilik audio tersebut . Sepatunya bilik itu sudah dikosongkan sebaik majlis tamat.

            “Azim, apa kau buat di sini?”

            “Aku tolong budak audio buat kerja, yang kau menyibuk dekat sini lepas habis majlis buat apa?” Azim bertanya dengan nada yang sedikit meninggi. Sesuka hati je Zaem ni masuk ke bilik audio dewan besar tersebut.
            Zaem tersengih sebelum menjawab, “ Aku nak jumpa Allisya. Aku ingat kau tak datang malam ni. Tak apalah, bolehlah kau temankan aku jumpa Allisya.”

            “Jangan kaitkan aku dengan masalah kau sendiri.” Azim sudah pun bangun untuk keluar dari bilik tersebut, namun niatnya terhenti seketika apabila pintu bilik audio itu dibuka.

            “Syakir?” Zaem terkejut dengan kehadiran Syakir di bilik itu. Syakir tidak pula kelihatan terkejut, malah dia berjalan ke bahagian kawalan utama sistem audio di bilik tersebut. Dia berpura-pura tidak melihat Azim dan Zaem.

            Azim yang memang merasa benci melihat muka Syakir melangkah keluar dari bilik tersebut tanpa sebarang kata. Zaem juga merasa tidak sedap hati. Dia ingin membatalkan temu janjinya itu dengan Allisya, namun pintu bilik tersebut kembali terbuka dan sekejap sahaja Allisya serta Raihana sudah pun hadir tanpa sempat Zaem memberikan amaran.

            “Zaem, kenapa awak panggil saya? Penting sangat ke hal yang awak nak sampaikan tu?” Allisya segera memulakan bicara tanpa menyedari kehadiran Syakir di bilik itu.

            Belum pun sempat Zaem membuka mulut untuk menjawab pertanyaan Allisya, pintu bilik itu dibuka kembali.

            “Syakir, kenapa mesej Faz suruh datang ke mari?” Gadis yang bernama Fazura yang cantik berkebaya merah itu masuk dan bersuara tanpa menyedari kehadiran Allisya, Raihana dan Zaem yang turut berada di bilik tersebut. Buat seketika, Zaem dan Allisya menjadi cuak melihat kehadiran Fazura.

            “Eh, Zaem pun ada? Zaem ke yang nak jumpa Faz? Tapi kenapa Allisya pun ada sekali?” Fazura yang awalnya kelihatan gembira melihatkan kehadiran Zaem menarik muka apabila terpandang sahaja Allisya. Lebih mengejutkan Fazura apabila melihat selendang yang disangkakan akan diberikan kepadanya itu kini sedang dipakai pula oleh Allisya. Ketika itu, jantung Fazura terasa bagai dirobek untuk kali kedua dalam hidupnya.

            “Allisya, mana awak dapat selendang tu?” Fazura segera bertanya sambil meluru ke arah Allisya. Allisya tidak mampu menjawab soalan Fazura kerana dia terlalu terkejut dengan kejadian yang sedang berlaku di hadapan matanya itu. Apa yang perlu dia jawab kepada Fazura?

            “Zaemlah yang beri, siapa lagi!” Tanpa disoal, Syakir memberikan jawapan. Hati Zaem terasa sakit bagai ditikam-tikam apabila mendengarkan jawapan Syakir. Apa motif Syakir menjawab soalan itu sebenarnya?

            “Betul tak Zaem? Bukan ke Allisya ni kekasih kau? Kalau tidak, tak akanlah kau berikan dia selendang tu.” Syakir menyambung kembali kata-katanya dengan nada yang sinis.

            Fazura yang tadinya terkaku bagaikan patung kini bersuara semula. “Betul ke Allisya? betul ke Zaem yang berikan selendang ni? Betul ke Allisya ada hubungan dengan Zaem?” Fazura tiba-tiba sahaja menggoncangkan tubuh gadis kecil itu. Raihana yang berada di sebelah Allisya merasa takut melihatkan perubahan sikap pada diri Fazura. Allisya masih diam dan terkejut.

            “Jawab Allisya, tolonglah jawab!” Fazura merayu kepada gadis itu mengharapkan kenyataan Syakir itu adalah palsu belaka.

            Melihatkan keadaan yang hampir hilang kawalan, Zaem akhirnya bersuara, “Faz, tak perlu desak Allisya lagi. Memang Zaem yang hadiahkan selendang tu. Zaem mengaku, Allisyalah satu-satunya gadis istimewa yang ada di hati Zaem. Dialah yang menjadi kekasih hati Zaem selama ini, maafkan Zaem, Fazura.” Zaem terpaksa membuat pengakuan berani. Mungkin sudah tiba masanya dia berlaku jujur  kepada Fazura agar gadis itu tidak lagi menyimpan harapan terhadap perhubungan yang tidak akan pernah wujud di antara mereka berdua.

            Fazura berganjak ke belakang, matanya sudah pun kelihatan basah berair mata.

            “Zaem tipukan?” Fazura meraih rasa simpati Zaem agar pemuda itu menarik semula kata-katanya.
            “Tak Faz, Zaem tak menipu. Hanya Allisya yang berada di hati Zaem.” Akhirnya Zaem telah berani melafazkan apa yang telah lama terpendam di hatinya.

            Fazura berlari keluar dari bilik tersebut. Zaem tidak pasti, adakah tindakan yang diambilnya itu tepat atau hanya akan mengundang lebih banyak nestapa? Namun persoalan Zaem itu segera sahaja terjawab apabila telefonnya mula berdering.

            “Kenapa kau tiba-tiba call aku Azim?”

            “ZAEM! Kau tahu tak apa yang kau dah buat? Suara kau dan Fazura bergema dalam dewan besar! Satu USAS dah tahu hubungan kau dengan Allisya! Aku dah tutup mikrofon dalam bilik audio tu, kenapa kau buka? Kau memang nak canang kisah kau satu universiti ke?”

            Azim menambah lagi, “ZAEM, KAU TAHU TAK APA KESANNYA DARIPADA TINDAKAN KAU NI?”

            Zaem terkejut mendengar suara tinggi Azim yang kelihatan cemas itu.

            “Semua orang dengar perbualan aku? Aku tak buka pun sistem mikrofon dalam bilik ni?”

            “Habis tu?”

            Zaem segera berpaling ke arah sistem kawalan utama bilik tersebut. Segala persoalan telah pun terjawab.

            “SYAKIR!”
*                                  *                                  *

                        Perjumpaan kelab Permata Hati tamat sebaik Zaem menyampaikan kata penutup. Allisya dan Raihana berjalan pulang dari mesyuarat tersebut tanpa berlengah lagi. Mereka tidak selesa kerana sepanjang mesyuarat berjalan, semua mata asyik memandang kepada Allisya sahaja. Wajah Allisya kelihatan sedikit muram. Satu USAS telah mengatahui hubungannya dengan Zaem, walaupun pada hakikatnya dia tidak pernah menerima lamaran cinta Zaem itu. Allisya berasa tidak selesa dan malu dengan situasi yang sedang dialami olehnya itu. Hampir semua pelajar kelihatan asyik berbisik dan bergossip tentang hubungannya dan Zaem.

            ‘Apa agaknya yang Abang Is akan fikirkan dan  kata jika dia dengar gossip ni?’ Allisya berfikir sendiri. Adakah Iskandar juga akan salah sangka padanya?’ Allisya berasa kecewa dengan peristiwa yang berlaku pada malam tadi. Kenapa Zaem berani membuat pengakuan seperti itu? Tetapi apa yang lebih mengecewakan Allisya adalah, mengapa Syakir tergamak memperlakukan mereka sedemikian rupa? Dosa apakah yang pernah dia buat sehinggakan pemuda itu ingin menganiayainya? Adakah semuanya ini sekadar salah faham dan Syakir langsung tiada niat jahat?

            Allisya dan Raihana sudah pun menaiki bas dengan Raihana duduk di bahagian tepi cermin manakala Allisya pula duduk di sebelahnya. Bas rasmi USAS yang berwarna hijau muda itu telah pun bergerak, namun terhenti apabila ditahan oleh seseorang. Allisya tidak ambil pusing dengan apa yang sedang berlaku, dia duduk dengan tenang sahaja sehinggalah lelaki yang menahan bas tadi menaiki bas tersebut, lalu wajahnya muncul di hadapan Allisya. Allisya amat mengenali lelaki tersebut. Tetapi, apa pula yang dibuatnya di sini?

            “Zaem? Apa yang awak buat di sini? Mana kereta awak?” Allisya lantas menlemparkan soalan-soalan yang datang mengganggu benak fikirannya pada ketika itu. Zaem tersenyum kepada Allisya, lalu dia duduk di bahagian tempat duduk yang bertentangan dengan Allisya.

            “Saya tertinggal kunci kereta saya dalam kereta, jadi saya tak dapat buka kereta saya sendiri. Saya terpaksa hubungi pihak syarikat untuk uruskan masalah kunci tu. Jadi sementara tu saya baliklah naik bas.” Zaem menjawab perlahan. Sebenarnya, Zaem tidak pernah pun tertinggal kunci di dalam keretanya, sebaliknya dia sengaja meninggalkan kunci itu di dalam keretanya lalu mengunci keretanya sendiri dari dalam sebelum menutup pintu. Maka dengan itu, dia mahupun mana-mana pelajar lain pun tidak akan dapat membuka pintu keretanya itu. Dia sengaja mencipta situasi tersebut demi memberikan alasan yang kukuh kepada dirinya untuk menaiki bas yang sama dengan Allisya. 

Sejak memiliki kenderaan sendiri, Zaem tidak pernah menaiki bas USAS untuk pulang ke bilik, dan apa yang paling penting, dia tidak pernah berpeluang lagi menaiki bas yang sama dengan Allisya sejak program motivasi yang lalu. Dia rindukan saat-saat indah itu. Dia tidak berani mengajak Allisya menumpang keretanya kerana dia tahu Allisya akan menolak perlawaannya itu.

Zaem duduk tegak di kerusi bas tanpa menoleh atau mencuri pandang wajah Allisya. Baginya, berada dalam satu bas bersama gadis idamannya itu sudah cukup membuatkan hatinya merasa bahagia. Dia tidak mengharapkan lebih dari hubungan ini, kerana cintanya kepada Allisya adalah ikhlas, seikhlas-ikhlasnya. Lagi pun kalau dia cuba mencuri pandang wajah Allisya beberapa kali, nanti Allisya menuduhnya lelaki gatal pula!

Bas yang dinaiki mereka berhenti dahulu di hadapan kolej kediaman MPP USAS itu. Zaem bangun dari duduknya, lalu dia berpura-pura terjatuhkan pen miliknya. Zaem berlutut di sebelah Allisya untuk mengutip kembali pennya itu. Ketika sedang mengutip pen itu, Zaem sempat berbisik perlahan kepada Allisya,

“Allisya, saya tak pernah katakan awak sebagai ‘hidup’ saya, tetapi awaklah orang yang saya ingin habiskan’hidup’ saya bersama. Saya juga tak pernah katakan awak sebagai ‘dunia’ saya, tetapi di ‘dunia’ ini, awaklah gadis terbaik pernah saya temui. Jadi, bertahanlah Allisya, bertahan atas segala dugaan dan fitnah yang dilemparkan. Saya akan sentiasa setia mencintai awak, sehingga takdir tuhan menjodohkan kita berdua.” Zaem berhenti seketika untuk menyimpan pennya ke dalam poket, lalu menyambung kata,” Ya Allisya, dengan izin-Nya. Percayalah pada saya.”

Allisya terkesima mendengarkan kata-kata pemuda itu. Allisya cuba memandang wajahnya, namun Zaem sudah pun turun dari bas tersebut. Zaem memang romantis dan baik orangnya. Buat seketika, Allisya terfikir, ‘adakah benar, dia adalah jodoh yang terbaik buatku? Haruskah aku menerima cintanya?’

Bas hijau muda itu telah bergerak semula dan berhenti sekali lagi. Allisya dan Raihana segera turun dan menuju ke blok bangunan kediaman mereka. Ketika menaiki tangga, Allisya bersuara, “Rai, Sya nak ke bilik Kak Mai sekejap, nak tanya tentang tutorial kita semalam. Sya naiklah ke bilik dulu ya.”

“Ok, tapi Allisya baik-baik ya, Kak Fazurakan kongsi bilik dengan Kak Mai semester ni. Kalau Sya terserempak dengan Kak Fazura buat biasa-biasa je tau.” Raihana memberikan pesanan sebelum meneruskan langkahnya menaiki tangga ke tingkat dua. Bilik mereka terletak di tingkat dua, manakala bilik senior mereka itu terletak di tingkat satu sahaja.

Allisya mengangguk mendengarkan pesanan Raihana, dia mengangkat kaki menuju ke bilik Maizatul. Apabila tiba di bilik 103 itu, Allisya melihat pintu bilik tersebut sudah pun terbuka, lalu Allisya menolak perlahan pintu itu sambil memberikan salam. Bilik tersebut sunyi sahaja, malah Maizatul juga tidak kelihatan berada di bilik tersebut. Walaubagaimanapun, bilik yang sunyi itu sekejap sahaja bertukar menjadi bising apabila suara jeritan Allisya bergema sehingga mengejutkan pelajar-pelajar yang berada di bilik lain.

“KAK FAZURA!”

Allisya amat terkejut apabila melihat tubuh Fazura terbaring kaku di atas lantai dengan tangannya sedang memegang botol yang ditulis ‘Amilobarbital’. Biji-biji Amilobarbital yang juga dikenali sebagai ubat tidur itu bertaburan di atas lantai bilik tersebut. Allisya berasa sangat takut melihatkan gadis yang kelihatan seperti sudah keras itu. Mata Allisya sudah pun berair. Allisya memangku tubuh Fazura, badan gadis yang sudah tidak sedarkan diri itu terasa sejuk sahaja.

“Kak Fazura bangun! Tolonglah bernafas! Maafkan Allisya kak, maafkan Allisya!”

No comments:

Post a Comment