Tuesday 16 August 2011

BAB 12: SUKAR DIMENGERTI



            Mentari pagi kelihatan masih malu-malu, bersembunyi di balik awan. Cahayanya mengintai bumi, menerangi sebahagian kawasan yang tidak dilitupi awan. Nik Ain sedang berbual rancak bersama Raihana dan beberapa orang ahli Permata Hati yang lain. Azim dan Iskandar sedang sibuk mengangkat masuk barang-barang yang akan digunakan sepanjang kem motivasi nanti ke dalam bas. Zaem kelihatan tidak tenang. Dia mundar-mandir ke depan dan belakang bas rasmi USAS yang berwarna hijau muda itu. Kadangkala dia lalu di hadapan Iskandar, kadang-kadang pula dia lalu di hadapan kumpulan mahasiswi yang ada. Zaem beberapa kali melihat jam di tangannya. Dia memandang ke kiri dan kanannya dengan harapan insan yang ditunggu-tunggunya akan muncul segera di depan mata. 

            “Allisya tolonglah muncul.” Zaem berhenti, lalu menutup mata. Dia pernah teringat pesanan ibunya. Kalau kita berharap untuk menemui seseorang, pejamkanlah mata. Kira dari satu hingga sepuluh. Sekiranya orang itu juga turut merasakan rindu yang sama, dia akan muncul di depan kita sebaik sahaja mata dibuka. Zaem tidak pernah lagi cuba melakukan perkara tersebut kerana dalam hidupnya dia tidak pernah jatuh cinta, apatah lagi untuk merindui insan lain selain daripada kedua orang tuanya. Mata Zaem dipejam rapat. Jantungnya berdegup selari dengan pengiraannya.

            “…lapan, sembilan, dan sepuluh.” Perlahan-lahan Zaem membuka matanya. Menggigil-gigil juga badannya apabila cuba membuka matanya. Hatinya berdebar-debar. Mungkinkah Allisya sudah berada di depan matanya?

            “Zaem…” suara itu sayup-sayup sahaja kedengaran. Sebaik sahaja Zaem membuka mata, ‘wajah itu’ pun menyapa.

            “Erk, Iskandar! Buat terkejut je!” Zaem mengusap-usap dadanya, terkejut melihat Iskandar tersembul di hadapannya. Lain yang diharapkannya muncul, lain pula yang yang tiba.

            “Kenapa Zaem?” Iskandar kehairanan melihat Zaem yang kelihatan seperti cacing yang sedang kepanasan. Lebih menghairankan lagi apabila melihat dia menutup mata sambil terkumat kamit mengira dari nombor satu hingga sepuluh. ‘Zaem ni dah terkena penyakit angau ke?’ Iskandar tidak menolak sebarang kemungkinan yang ada.

            Iskandar memandang kawasan sekitar bas hijau itu. Kelibat Allisya langsung tidak kelihatan. Kerisauan turut bertandang di hatinya. Sepatutnya Allisya sudah lama sampai kerana dia AJK penting program motivasi ni. Tambahan pula, rakan sebilik Allisya iaitu Raihana pun sudah berada di tempat yang dijanjikan. Mengapa pula Allisya tak muncul-muncul lagi? Adakah sesuatu yang tidak diingini berlaku ke atas Allisya? 

‘Naudzubillah. Ya Allah, apa yang aku fikirkan ni.’ Iskandar menggeleng-gelengkan kepalanya. Sejak semalam hatinya berasa tidak tenang. Lenanya terganggu dengan mimpi-mimpi usikan syaitan. Seperti ada sesuatu perkara yang tidak baik akan terjadi, tetapi Iskandar tidak pasti apa dia. Iskandar hanya mampu berdoa semoga program mereka akan berjalan dengan baik dan tiada musibah yang akan menimpa.

Iskandar memandang ke arah Azim. Azim kelihatan sedang termenung memandang ke arah pintu gerbang kolej kediaman Nilam. Iskandar berasa hairan dengan perbuatan sahabatnya itu. Adakah Azim juga sedang khuatirkan keadaan Allisya? Adakah dia juga berasa hairan mengapa Allisya tidak muncul-muncul lagi? Entahlah, Iskandar sendiri tidak pasti apa yang sedang difikirkan oleh Azim itu. Jangan-jangan Azim cuma menggelamun jauh.

Iskandar melangkah ke arah kumpulan mahasiswi yang sedang rancak berbual sementara menunggu waktu untuk mereka bertolak. Zaem mengikuti Iskandar. Dia seperti boleh membaca minda Iskandar yang berniat untuk bertanyakan kepada Raihana tentang keadaan Allisya.

“Raihana, kenapa Allisya tak turun-turun lagi? Dia kurang sihat ke?” Iskandar memulakan bicara, lalu disambung oleh Zaem, “yalah, ke mana Allisya Raihana? Dia tak apa-apa ke?”

Raihana yang sebelumnya sedang rancak berbual mesra bersama pelajar lain terdiam mendengarkan soalan-soalan yang diajukan oleh Iskandar dan Zaem. Tekaknya terasa bagai disumbat dengan sesuatu, tidak mampu baginya untuk bersuara.

“Dia tak jadi datang kot. Kalau macam tu kita teruskan jelah aktiviti kita tanpa dia.” Nik Ain segera menjawab persoalan Iskandar dan Zaem apabila melihat Raihana sekadar diam membisu.

Zaem menggeleng, lalu menjawab, “tak boleh! Kita kena tunggu Allisya juga walau apa pun yang terjadi sebab dia pembantu saya.” Peluh kelihatan sudah mengalir di dahi Zaem, sedangkan pagi itu masih lagi dingin. Pasti Zaem terlalu risaukan keadaan Allisya.

“Tak apalah. Cuba Nik telefon Allisya tu. Kalau dia betul-betul tak sihat kita biarkan sahaja dia berehat di bilik. Lagi pun ahli kita cukup ramai untuk gantikan tugas dia.” Iskandar bersuara setelah beberapa minit berlalu. 

“Tak boleh Is. Kalau dia tak sihat, kita kena pastikan dia dihantar ke hospital dan mendapatkan rawatan yang sepatutnya.” Zaem bersuara semula. Dia tidak mahu mengalah. Zaem yakin, Allisya pasti akan muncul tidak lama lagi.

Raihana hanya memandang wajah Zaem yang kelihatan sangat pucat kerana bimbangkan keselamatan Allisya. Entah mengapa, perasaan kasihan lahir dalam diri Raihana. ‘Pasti Zaem betul-betul sukakan Allisya,” getus hatinya sendiri. ‘Mengapa perasaan cemburu ini begitu kuat menguasai diriku sedangkan aku tahu, dia bukan miliku.’ Raihana mengeluh. Dia kecewa dengan perasaannya sendiri.

“Maaf, saya terlambat!” Satu suara yang amat dikenali kedengaran menghampiri mereka. Zaem segera berpaling ke belakang. Allisya yang dinanti-nantinya kini telah pun berada di hadapan matanya. Mata perang muda milik Zaem itu tidak berkelip-kelip memandang Allisya. Kerisauan yang melukai hatinya kini terubat dengan ketibaan gadis pujaan hatinya itu. Wajah Zaem kembali bernyawa dan berseri-seri apabila melihat sendiri Allisya di depan matanya.

“Maafkan saya… sebab terlambat. Saya…tak sengaja.” Allisya termengah-mengah cuba memberikan penjelasan. Zaem hanya menggeleng. Wajahnya kelihatan lebih ceria daripada biasa.

Iskandar menghembuskan nafas lega. Dia tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku terhadap mana-mana ahli kelab Permata Hati yang berada di bawah jagaan dan pimpinannya. Iskandar segera menghulurkan tangan, menawarkan diri untuk mengangkat beg Allisya, “mari saya simpankan beg kamu tu ke dalam bas.” Seperti biasa, senyuman tidak pernah lekang daripada wajah pemuda itu. Dengan mudah sahaja, jantung Allisya yang berdegung kencang akibat berlari sebentar tadi, kini telah kembali menjadi tenang. Bagai ada satu aura pada senyuman Iskandar yang membuatkan Allisya berasa selesa memandangnya. 

Allisya menghulurkan beg pakaiannya kepada Iskandar, kemudian dia berpaling semula kepada Zaem. Zaem masih seperti tadi, terpaku sambil tersengih di hadapan Allisya. Dia seolah-olah sedang terkesima melihatkan sesuatu yang indah, padahal di hadapannya cuma ada Allisya. Allisya mengerutkan dahinya. ‘Zaem ni memang pelik,’ bisiknya sendiri.

“Allisya awak dah sarapan?” Zaem bertanya dengan nada suara yang lebih mesra daripada biasa. Semenjak dia meluahkan perasaannya kepada Allisya, layanannya kepada gadis itu juga semakin berubah. Zaem menjadi semakin mesra dengan Allisya dan dia lebih banyak tersengih apabila berada di hadapan Allisya. Jarang sekali orang ramai dapat melihat wajah serius Zaem apabila Allisya berada di hadapannya. Kehadiran Allisya dalam kelab Permata Hati itu benar-benar membawa perubahan yang besar terhadap ketua mereka itu.

Iskandar hanya tersenyum melihat telatah Zaem. Dia tidak berasa hairan dengan sikap yang ditunjukkan oleh sahabatnya itu kerana dia telah mengenali Zaem sekian lamanya. Zaem sememangnya sering bersifat keanak-anakan apabila berada di samping insan yang rapat dan dekat padanya. Namun, jarang sekali Zaem menunjukan sifatnya yang sebenar itu di hadapan orang ramai. Rasanya kehadiran Allisya dalam hidupnya sedikit sebanyak mempengaruhi Zaem. 

Iskandar tidak pasti, adakah perubahan tersebut baik untuk Zaem atau tidak. Apa yang diharapkannya adalah agar Zaem tidak hanyut dengan perasaannya sendiri. Zaem merupakan tunjang utama siswa di USAS. Sekiranya Zaem ‘jatuh’, setiap pelajar pasti akan merasa kesakitannya.

Allisya hanya membiarkan sahaja Zaem yang berperangai pelik itu bermain dengan perasaan terujanya sendiri. Kaki Allisya melangkah masuk ke dalam bas yang masih kosong itu. Dia duduk di bahagian tempat duduk yang berada di tengah-tengah sekali. Allisya memandang keluar tingkap. Seorang demi seorang ahli kelab Permata Hati sedang naik ke dalam bas. 

Mata Allisya terpaku memandang wajah Raihana. Pagi tadi, Allisya terlewat bangun dari tidur. Raihana tidak mengejutkannya, malah Raihana sudah lama keluar dari bilik mereka apabila Allisya pulang dari bilik mandi. Namun, apa yang mengejutkan Allisya adalah apabila dia melihat ada secawan teh panas dan sepotong roti bawang tersedia di atas meja tulisnya. Allisya tersenyum. Walaupun Raihana terasa hati dengannya dan merajuk untuk beberapa hari kebelakangan ini, namun dia tetap mengambil berat terhadap diri Allisya. Kalau tidak, masakan dia menyediakan sarapan untuk Allisya pagi ini? ‘Rai, Sya minta maaf.’ Allisya hanya mampu berbisik sendiri, dia tidak berani menyatakannya di hadapan Raihana.

“Allisya, ambil ni.” Suara Zaem mematahkan lamunan Allisya. Allisya memandang ke arah pemuda berblazer hitam itu. Zaem berpakaian kemas seperti biasa. Tangannya sedang menghulur sebuah tupperware yang Allisya yakin mengandungi makanan untuk sarapan pagi. 

“Saya dah sarapan.” Allisya menjawab pendek. Wajah Zaem yang seceria langit di pagi hari itu, kini bertukar suram. Allisya mengeluh. ‘Macam budak-budak pula sampai nak merajuk-rajuk.’  

“Tak apalah, sandwich yang saya buat ni pun bukan sedap sangat.” Zaem bernada sayu. Mulutnya muncung seinci seperti kanak-kanak lima tahun yang sedang merajuk. Walaupun Allisya menyampah melihat perangai mengada-ngada Zaem itu, namun dia tetap mengambil tupperware yang dihulurkan oleh Zaem. Dia tidak sampai hati menolak pemberian Zaem itu memandangkan sarapan itu disediakan sendiri oleh Zaem. 

“Yalah, terima kasih.” Allisya tidak memandang wajah Zaem. Walaupun begitu, tindakan Allisya yang sudi menerima pemberiannya itu sudah cukup membuatkan hati Zaem melompat keriangan. Namun, Zaem sengaja tidak memberikan sebarang reaksi gembira di hadapan Allisya. Dia harus menyakinkan Allisya bahawa dia seorang yang matang dan mampu menjaga insan yang disayanginya dengan sebaik yang mungkin.

Zaem segera berlalu pergi. Dia sempat berpesan kepada Allisya, “Jangan lupa makan tau. Jangan bazirkan walau satu kacang pun.” Allisya hanya membalas kata-kata Zaem itu dengan renungan yang tajam. Zaem pura-pura tidak melihatnya.

Bas hijau muda itu telah mula bergerak. Allisya dapat melihat melalui tingkap di sebelah kanannya, mereka sedang melepasi pintu gerbang utama USAS. Tempat duduk di sebelah kiri Allisya kosong sahaja. Raihana kelihatan sedang duduk di sebelah Raihana di bahagian paling hadapan sekali. Sungguh pun begitu, Allisya tiada sebarang rungutan. Dia selesa duduk seorang diri. Tempat duduk kosong disebelahnya digunakan untuk meletakkan begnya. Lagi pun, sekiranya Allisya berasa mengantuk, tak perlulah dia mengganggu orang lain dengan bersandar di bahu sesiapa. Dia boleh sahaja membaringkan kepalanya di atas begnya sendiri.

Allisya masih memegang tupperware yang diberikan oleh Zaem tadi. Perlahan-lahan, jari jemari runcing Allisya membuka penutup bekas plastik tersebut, bau yang menyelerakan meresap ke dalam lubang hidungnya.            Allisya yakin itu adalah bau tuna kegemarannya.

Sebaik membuka penutup bekas makanan itu, Allisya disambut dengan satu ‘senyuman’ yang mesra. Roti sandwich pemberian Zaem itu dihiasi dengan dua biji kacang sbagai mata dan sepotong jeruk limau sebagai mulutnya, membentuk satu wajah yang sedang tersenyum. Allisya tersenyum dengan hanya memandang ‘senyuman’ yang sangat comel itu. Di tepi roti tersebut diselitkan dengan sekeping kertas kecil berwarna kuning. Allisya membacanya di dalam hati.

Walaupun awak tak pernah tersenyum pada saya, saya tetap akan sentiasa tersenyum pada awak.

Entah mengapa, perasaan menyampah Allisya terhadap Zaem bagaikan hilang dari hatinya buat seketika. Bagi Allisya, sikap Zaem yang mudah berubah-rubah itu sangat sukar untuk dimengerti. Sekurang-kurangnya Zaem tak mencari pasal dengannya pagi-pagi buta ni. Allisya merenung roti itu lama-lama, sebelum dia menggigitnya sedikit demi sedikit.


Walaupun awak tak pernah tersenyum pada saya,
saya tetap akan sentiasa tersenyum pada awak.

            Matahari sudah semakin meninggi. Kini mereka telah tiba di kawasan tanah tinggi yang sama pernah Zaem bawa Allisya dan Raihana datang sebelum ini. Cuma bezanya kali ini Allisaya berjalan seorang diri melintasi jambatan yang menyeberangi anak sungai yang menjadi tarikan utama kawasan itu. Sebelum ini Raihana sentiasa berada di sampingnya dan mereka akan berjalan seiringan walau di mana-mana. Walau pun begitu, kedamaian alam di kawasan tersebut sedikit sebanyak berjaya memujuk hati Allisya yang sedang rindukan teman sebiliknya itu.

            Rombongan mahasiswa USAS itu tiba lebih awal daripada peserta motivasi yang sudah mendaftar. Mereka sedang bersiap-siap untuk menyambut ketibaan anak-anak yatim dari rumah ihsan Tengku Rashid. Mereka perlu pastikan semuanya sudah tersedia bagi memberikan keselesaan kepada anak-anak yatim yang bakal tiba nanti.

            Allisya telah selesai menjalankan tugasnya. Tidak banyak yang dapat dibantunya memandangkan kebanyakan kerja yang ada telah pun diselesaikan oleh ahli-ahli yang lain. Allisya turun ke denai sungai untuk membasuh tangannya. Sengaja Allisya pergi sedikit jauh dari ahli rombongan yang lain. Dia ingin mendapatkan ketenangan. Tangannya menyeluk ke dalam air sungai yang mengalir tenang. Kesejukan di tangannya tidak dapat menandingi rasa sejuk pada mata dan hatinya yang terpesona memandang keindahan alam ciptaan Illahi. Segala puji-pujian buatNya, yang menciptakan alam cantik serba-serbi.

            “Syakir, kenapa kau ada di sini? Tak tolong rakan-rakan yang lain bersiap?”
Suara bernada tenang itu menusuk ke telinga Allisya. Allisya sangat kenal suara itu. Dia memandang ke arah datangnya suara tersebut. Tidak jauh daripadanya, Allisya dapat melihat bayang Iskandar dan Syakir di balik pokok. Allisya sedikit terkejut. Dia tidak mahu mereka menyedari kehadirannya, lalu Allisya bersembunyi di balik pokok yang berdekatan dengannya.

            “Tak, aku ada hal nak bincang dengan kau Is.” Suara Syakir mula bergema.

            “Apa dia?” Iskandar menjawab pendek, namun wajahnya sedikit berkerut mendengarkan kenyataan Syakir.

            “Aku Nampak Zaem semacam je layanan dia pada pelajar baru nama Allisya tu. Kau tak takut ke perkara yang berlaku pada Fazura akan berlaku pada budak perempuan tu juga?”

            Iskandar terkejut mendengarkan persoalan yang dilemparkan oleh Syakir.

            “Apa yang berlaku pada Fazura tak sama dengan apa yang berlaku pada Allisya, Syakir.”

            “Iskandar, aku tau kau selalu menangkan Zaem sebab engkau dah lama kenal dia. Tapi itu tak bermaksud kau boleh membuta tuli percaya pada Zaem.”

            Iskandar menggeleng. “Tak. Aku tahu apa yang terjadi dan aku tak akan memberatkan Zaem semata-mata kerana dia kawan baik aku. Aku tahu bezakan mana yang benar dan salah. Janganlah kau bimbang.”

            “Mudah sahaja kau berkata-kata Is. Walau macam mana pun, aku harap kau akan ingat pesanan aku ni Is. Kau pasti tak mahukan hidup gadis lain musnah kerana Zaem.” Syakir bersuara dengan nada yang sedikit kecewa.

            Iskandar hanya mengangguk. Hatinya sedikit berbolak-balik mendengarkan kata-kata tajam Syakir itu. Mata Iskandar kemudiannya tertarik untuk memandang kad pelajar yang disangkutkan di leher Syakir.
            “Azim dah pulangkan kad kau Syakir?” 

            Syakir sedikit terkejut mendengarkan soalan yang diajukan oleh Iskandar. Tangan kanannya segera menggenggam erat kad pelajarnya yang kelihatan uzur dan sedikit bercalar itu.

            “Ya,” Syakir menjawab perlahan. Tangan kirinya sengaja memegang bibirnya yang kelihatan agak bengkak.

            “Kenapa dengan bibir kau tu Syakir?” Iskandar terkejut melihat bibir Syakir yang kelihatan biru dan bengkak itu. Perasaan bersalah meluru ke dalam hati Iskandar. Bagaimana dia boleh tidak perasan sebelum ini. Sebagai ketua, dia harus mengambil berat setiap apa yang terjadi terhadap anak buahnya. Dia tidak mahu lalai dalam menjalankan tugas yang dipikulnya.

            “Semalam. Azim jumpa aku. Dia tumbuk aku.”

            Serta- merta jantung Iskandar terasa sakit bagai ditusuk belati. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang diluahkan oleh Syakir. Iskandar tahu, Azim memang berdarah panas, tetapi selama ini Azim tidak pernah bertindak di luar kewarasannya. Azim tak mungkin memukul orang, tidak sekurang-kurangnya jika telah ditegah oleh Iskandar.

            “Betul ke Syakir? Azim pukul kau?” Iskandar cuba mendapatkan kepastian.

            “Ya, Is! Kau kena sedar Is, Azim tu memang panas baran. Habis aku dibelasahnya semalam. Nasib baik tak patah tulang rusuk aku ni.”

            Iskandar masih tidak dapat menerima kenyataan yang disampaikan oleh Syakir itu. Syakir sedar akan respon Iskandar, lalu dia segera menambah. “Kadang-kadang, kau perlu juga curiga dengan Azim dan Zaem tu Is. Kau tau ke isi hati dia orang? Tambah-tambah lagi Azim. Dia berani pukul aku bila kau tak ada.”

            Iskandar masih terdiam. Sukar untuk dia percaya. Namun kenyataan Syakir mungkin ada benarnya juga. Adakah kerana kepercayaannya yang terlalu tinggi terhadap kedua-dua sahabatnya itu membuatkan dia buta dari melihat kesalahan mereka? Iskandar mengeluh. Dia berharap semua yang dikatakan Syakir itu adalah dusta semata-mata. Namun, dia harus bersifat matang, tidak patut melenting dan dia juga tidak boleh sesuka hati menidakkan pengakuan Syakir. Mungkin Syakir benar-benar teraniaya, dan dia akan bersifat kejam terhadap Syakir sekiranya dia tidak mempercayai dan membelanya.

            “Aku minta maaf bagi pihak Azim. Aku akan pastikan peristiwa ni tak akan berulang lagi.”
            Syakir mengangguk. Dia mengukirkan senyuman sinis sebaik Iskandar berpaling menuju ke kawasan kem mereka. 

            Jantung Allisya berdegup kencang setelah mendengar perbualan mereka berdua. Dia masih bersembunyi di belakang pokok tadi walaupun kedua-dua pemuda itu telah berlalu pergi. Allisya cuba bernafas dengan setenang yang mungkin.

            ‘Apa sebenarnya yang terjadi? Siapa Fazura? Azim pukul orang? Adakah Zaem betul-betul hipokrit?’ Persoalan demi persoalan menembak-nembak di ruang minda Allisya. Dia tidak mengerti dengan apa yang sedang terjadi. 

‘Adakah peristiwa yang terjadi sebelum ini berkait antara satu sama lain? Kesalahan apa yang pernah dilakukan oleh Zaem sebelum ini sehingga menyebabkan orang ramai hilang kepercayaan ke atasnya? Adakah kebakaran yang berlaku di bangunan kediaman MPP itu juga saling berkait rapat dengan isu ini?’ jantung Allisya semakin berdegup kencang. Dia tidak berani untuk bertanya kepada Iskandar. Allisya benar-benar berharap agar seseorang akan datang memberikan penjelasan kepadanya. 

Nani NA

No comments:

Post a Comment