Monday 19 September 2011

BAB 25: MAAFKANKU



            Bunyi tapak kaki Allisya, Raihana dan Iskandar bergema di kawasan koridor Hospital Tengku Amirrudin. Ini adalah kali ketiga Allisya dan Raihana melangkah ke hospital tersebut. Kali pertama adalah untuk melawat Iskandar, kali kedua melawat Zaem dan kini kali ketiga pula giliran Azim. Mereka bertiga bagaikan panglima sebenar pula, sering sahaja tercedera.

            Mereka tiba di kawasan Wad kelas pertama. Kawasan tersebut lengang sahaja, tidak sama seperti pada hari Azim mula-mula dikejarkan ke hospital. Tambahan pula, pesakit yang berada di Wad tersebut juga tidak ramai. 

            Azim ditempatkan di sebuah bilik persendirian. Bilik tersebut tidaklah sebesar mana, namun kemudahan yang disediakan memberikan keselesaan kepada pesakit dan pelawat yang hadir.

            Raihana melirik ke seluruh genap bilik tempat Azim ditempatkan untuk berehat, lalu berkata, “Dah tak ada sesiapa? Wartawan pun dah tak ada.”

            Iskandar tersenyum mendengarkan kata-kata Raihana, lalu menjawab, “ dah dua hari Azim sedarkan diri. Rasanya semua orang dah kurang risau. Lagi pun jurulatih dan bapa Azim dah berpesan pada pihak wartawan untuk tidak mengganggu Azim  sehingga dihubungi.”

          “Mereka tak akan datang ganggu Abang Azim?”

          “Insya’Allah, mereka menghormati masa peribadi Azim.”  Iskandar menarik kerusi untuk Allisya dan Raihana. Kedua-dua gadis tersebut mengangguk mendengarkan jawapan Iskandar dan menyambut perlawaan Iskandar.

            “Terima kasih.”

            “Kau sihat Azim?” Iskandar mula menegur Azim yang dari tadi diam sahaja bersandar di kepala besi katilnya. 

            Azim memandang Iskandar tanpa sebarang reaksi major, lalu menjawab, “Kau siapa?”

            Iskandar berasa sungguh terkejut mendengarkan jawapan Azim. “Aku Is. Kitakan dah lama berkawan. Kau tak kenal aku Zim?” 

            “Tak!” Ringkas sahaja jawapan Azim, tetapi memberikan kejutan dan kesan yang amat besar kepada Iskandar, Allisya dan Raihana.

            Wajah manis Iskandar sudah lama berubah tawar. Raihana tercengang, dan Allisya pula kelihatan sangat takut melihatkan reaksi Azim itu. Ketakutan mula melingkari seluruh benak hati Allisya. 

            ‘Abang Azim hilang ingatan?’ Allisya berasa khuatir. Adakah Azim telah hilang hingatannya setelah berlaku hentakan kuat di kepalanya?

Perasaan bersalah semakin membebani Allisya. Dia bukan sahaja telah menyebabkan Azim tercedera, malah turut menyebabkan Azim hilang ingatan. Allisya tidak pernah membayangkan keadaan akan menjadi seteruk ini. ‘Semuanya salah aku!’

            “Azim?” Iskandar kembali bersuara. Getaran pada suaranya jelas menunjukkan pemuda itu sedang bimbang. 

            “Aku tak kenal orang yang berani mengaku dirinya sebagai sahabat baik aku, tapi dalam waktu yang sama bila aku tersedar, bayang dia pun tak nampak. Seminggu pergi Australia, tapi tak bawa balik cenderamata.”Azim melontarkan pandangannya ke tingkap, buat pertama kalinya Allisya mendengar suara Azim seakan-akan bagai seorang anak kecil yang sedang merajuk.

            Iskandar ketawa kecil mendengarkan gurauan Azim. Jarang sekali Azim ingin bergurau bila berbicara, Iskandar gembira mendengarkan kata-kata sahabatnya itu. 

“Azim, kau pun dah pandai merajuk macam Zaem? Aku ada bawalah cendera hati untuk kau.” Iskandar mengeluarkan beg kertas kecil dari dalam begnya.

“Letak je atas meja tu.” Azim masih kelihatan dingin berbicara dengan Iskandar. Wajahnya masih tidak memandang pemuda bercermin mata tersebut.

“Aku minta maaf Azim sebab tak ada di sisi kau waktu kau tersedar. Tapi kau pun tahukan, waktu tu hospital ni penuh dengan orang ramai dan wartawan. Orang biasa macam aku ni tak lepas masuk. Sekurang-kurangnya Zaem adakan pada waktu tu?” Wajah Iskandar kembali ceria apabila menyedari Azim hanya berpura-pura tidak mengenali dirinya. Hampir tercabut jantungnya sebentar tadi kerana menyangka Azim telah hilang ingatan.

“Zaem tu pun sama je! Lepas hari aku sedar tu, bayang-bayang dia pun dah tak nampak lagi.” Azim membetul-betulkan duduknya. Dia bangun dari bersandar, kepalanya masih terasa sakit dan berdenyut-denyut. Tetapi Azim cukup pandai menyembunyikan kesakitan yang ditanggungnya. Azim tidak mahu membimbangkan Iskandar dan membuatkan Allisya berasa lebih bersalah. Baginya semua yang telah terjadi ini memang bukan salah gadis itu. Tambahan pula, Azim tidak suka dilihat lemah di hadapn orang lain, terutamanya di hadapan perempuan.

            “Zaem tak datang-datang lagi lepas tu?” Iskandar bertanya untuk mendapatkan kepastian.

            “Tak.” Azim masih kelihatan kurang mesra.

            “Pelik, sejak aku balik, Zaem pun tak tidur di bilik kita. Mungkin dia bermalam di rumah dia sendiri.” Iskandar menjawab perlahan, seperti ada yang disembunyikan oleh pemuda berbadan kurus itu.

             “Dia ada call kau Is?”  Azim mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan jawapan Iskandar.

            “Tak, mungkin dia sibuk.” Iskandar menjawab tenang, namun kerutan kerisauan jelas terpancar di wajahnya. 

Bilik di wad hospital tersebut kembali sunyi. Iskandar kemudiannya kembali bersuara memecahkan kesunyian yang ada, “bila kau akan kembali ke USAS?”

“Secepat yang mungkin. Aku tak sanggup duduk terperap dalam bilik ni atau duduk di rumah aku seorang diri. Lebih baik aku balik ke USAS. Berapa lama nak sembuh tu lain cerita.”

“Jangan risau, kau boleh je kembali ke kuliah. Tapi kau kena ingat, kau tak boleh banyak bergerak. Walaupun patahnya tak teruk mana, tapi proses penyembuhan tulang tetap mengambil masa yang lama. Macam mana pula dengan kontrak kau Zim?”

“Nampaknya untuk beberapa bulan ni aku kena berehat dari menjalani sebarang latihan atau pun perlawanan bola sepak. Tapi ada kemungkinan juga tahun ni aku langsung tak dapat bermain sebab mereka nak aku sembuh sepenuhnya. Tak payah nak risau, aku bukannya pemain utama pun.”

Allisya tertunduk mendengarkan kata-kata pemuda itu. Jauh di sudut hatinya dia berasa sangat bersalah di atas peristiwa yang telah terjadi.  “Abang Azim, saya minta maaf. Sebab sayalah abang jadi macam ni.” Allisya benar-benar merasa kesal. Allisya tidak menyangka, dia telah merosakan kerjaya Azim.

“Kamu ke yang campakkan pasu tu?” Azim melontarkan soalan dengan  nada yang kurang menyenangkan.

“Tak, maksud saya sebab nak selamatkan sayalah abang jadi macam ni.” Allisya cuba membetulkan kata-katanya.

“Kalau bukan kamu yang campak, kenapa pula kamu yang nak rasa bersalah?” Azim menjawab dengan nada memerli. Allisya sedikit terasa, namun dia langsung tidak berasa sakit hati mendengarkan perlian pemuda itu.

Azim segera menambah, “bukan teruk pun luka ni. Kalau kamu yang kena agaknya mungkin lagi teruk. Jadi bersyukurlah sebab kita masing-masing selamat.” Azim masih menahan sakit, namun mudah sahaja dia menyembunyikan kesakitan itu disebalik keegoaannya.

Allisya cuba mengukirkan senyuman. Meski pun begitu, wajahnya masih kelihatan tidak bermaya. Walaupun Azim tidak menyalahkannya, namun perasaan berssalah tidak pernah pudar dari dalam diri Allisya.

“Alhamdulillah. Tapi tetap, saya dah bahayakan nyawa abang.”

“Jangan jadi bodoh! Bukan nyawa saya yang sedang diancam, tapi kamu Allisya! Ada orang yang cuba cederakan kamu, dan kamu  boleh lagi risau tentang orang lain?”

Allisya terkejut apabila diherdik oleh Azim.

“Tenang Azim. Kau tu tak sihat lagi.” Iskandar cuba menenangkan Azim. Dia kurang senang melihat Azim mengherdik Allisya sedemikian rupa. Kasihan gadis itu.

“Macam mana aku nak tenang Is? Sedangkan ada orang di luar sana yang cuba cederakan Allisya. Kau tak takut ke kalau orang yang tak berhati perut tu bertindak lagi?” Azim sudah pun merendahkan suaranya, namun wajahnya kelihatan penuh dengan perasaan tidak puas hati.

“Allisya! Kamu duduk mencangkung di jalan tu buat apa? Dah tak ada kerja sangat ke?” Kata-kata Azim kembali ditujukan kepada Allisya. 

“Allisya bukan suka-suka duduk dekat jalan tu. Dia cuma nak kutip barang je.” Raihana cuba membela temannya itu. Allisya telah pun menceritakan segala-galanya kepada Raihana.

“Barang? Barang apa Allisya?” Iskandar menjadi sangsi mendengarkan jawapan Raihana. Dia ingin mendengarkan penjelasan lanjut daripada Allisya sendiri.

“Saya jumpa pin. Logo kelab yang berpin di belakangnya. Macam pin logo kelab Permata Hati kita, tapi saya tak tahu pin kelab apa yang saya kutip  hari tu.” Allisya menjawab perlahan, sedikit teragak-agak. Dia takut sekiranya kebodohan dirinya menyebabkan Azim sekali lagi naik angin.

“Boleh abang tengok pin tu Allisya?” Iskandar semakin merasa tidak sedap hati.

Allisya segera mengeluarkan pin yang dikutipnya tempoh hari daripada dompet kecilnya. Sengaja Allisya membawa pin itu ke mana-mana sahaja dia pergi supaya mudah baginya mencari pemilik sebenar pin tersebut.

Iskandar mengambil pin tersebut dengan berhati-hati daripada tangan Allisya. Iskandar membalik-balikkan pin logo itu. Pemuda itu membelek tanpa berkerdip. 

“Ini pin kelab Seni dan Warisan Melayu. SWM ni singkatan bagi nama kelab mereka.”

Allisya dan Raihana saling berpandangan.

“Kelab SWM? Maksudnya ada budak SWM sengaja tinggalkan pin tu atas jalan untuk tarik perhatian Allisya semata-mata untuk serang Allisya? Betul ke Abang Iskandar?” Raihana segera bertanya.

“Bukan, bukan tu maksud abang,” Iskandar cuba memberikan penjelasan, namun Azim pula menyampuk.

“Aku dah agak dah!” Azim semakin yakin dengan ramalan awalnya. 

‘Maksudnya benarlah ada orang yang cuba menganiaya Allisya.’ Azim menambah.

            “Jadi betullah yang perangkap Allisya tu ahli SWM juga? Mungkin Kak Za…” Belum pun sempat Raihana menyatakan pendapatnya, Allisya sudah pun menyiku Raihana. Allisya dapat mengagak, pasti Raihana ingin menyebut nama ‘Kak Zarina’.

            “Rai, jangan tuduh sembarangan.” Allisya berbisik ke telinga Raihana.

            “Logik apa. Sudah terang lagi bersuluh. Kak Zarina tu pun bermuka-muka. Siapa lagi kalau bukan dia?” Raihana berbisik pula ke telinga Allisya.

            “Itu bukan bukti Rai. Lagi pun apa kena mengenanya Kak Zarina tu bermuka-muka dengan motif nak cederakan Sya? Tak ada kaitankan?” Allisya cuba menyakinkan Raihana agar tidak sembarangan melemparkan tuduhan. Raihana akhirnya terdiam.

            “Bertenang. Tak semestinya orang yang buat ni ahli SWM. Kalau betul orang ni sengaja nak gunakan pin ni untuk umpan Allisya, tak akanlah dia nak letakkan barang miliknya sendiri bukan? Kenapa mesti dia nak tinggalkan bukti yang berkaitan dengan dirinya? Lagi pun, ada kebarangkaliannya, pin ni tak ada kaitan langsung dengan peristiwa yang terjadi ke atas Azim dan Allisya. Mungkin semuanya sekadar kemalangan yang tidak disengajakan.” Iskandar cuba membersihkan keadaan yang telah menjadi semakin keruh itu. Dia kurang senang melihat teman-temannya mula meneka-neka tanpa bukti yang sahih. Baginya, sesuatu kebenaran itu hanya boleh disahkan apabila mempunyai bukti yang kukuh.

            “Tapi tak semestinya juga. Mungkin orang tu sengaja nak buatkan kita berfikir macam tu. Tak pun dia memang tak berfikir panjang dan berani guna barang sendiri. Manusia ni bila dah berdendam, kewarasan dalam diri pun boleh hilang.” Azim menyampuk bagi menyuarakan pendapatnya.

            Allisya cuba memberanikan dirinya untuk bertanya, “tapi, siapa pula yang tergamak buat perkara macam ni?”

            “Siapa-siapa pun mungkin. Tapi hati abang kuat rasakan ni perbuatan Syakir, atau mungkin juga Farid. Kejadian ni berlaku betul-betul selepas peristiwa Fazura cuba bunuh diri sekali lagi. Semuanya saling bersangkut paut.” Azim akhirnya meluahkan juga hipotesis yang telah lama difikirkannya.

            “Kami ada jumpa Abang Farid. Dia sambung Master di fakulti kami.” Raihana segera menambah. Jantung Azim dan Iskandar hampir tercabut mendengarkan kata-kata Raihana. 

            “Farid dah sambung belajar semula?” Iskandar bertanya penuh curiga.

            “Dia sendiri dah jumpa Allisya secara depan-depan?” Azim pula hampir terbangun dan melompat daripada katilnya. 

Raihana mengangguk lalu menjawab, “Dia dah terserempak dengan kami berdua ketika di fakulti dulu.” Kedua-dua Azim dan Iskandar terdiam. Jantung Allisya turut merasa berdebar-debar. Seperti ada sesuatu yang tidak baik akan berlaku, tetapi Allisya tidak pasti apa dia. Gadis tersebut merasa takut mendengarkan konklusi yang tercipta kesan daripada peristiwa buruk itu.

“Apa-apa pun kita tak boleh ambil ringan kes ni. Kita masih tak cukup bukti nak menuduh mereka atau sesiapa pun yang kita suspek. Tapi buat sementara ni tak salah kita buat laporan ni pada pihak keselamatan. Takut juga kalau keadaan jadi lebih teruk. Kita boleh juga adukan pada Dr. Ariffin, sekurang-kurangnya ada pihak lain yang tahu tentang hal ni sekiranya apa-apa yang buruk terjadi.” Iskandar mula serius dalam perbincangan mereka. Keadaan tersebut sedikit sebanyak turut mempengaruhi emosi Allisya dan Raihana. Adakah mereka semua sedang berada dalam keadaan yang bahaya?

“Tapi jangan sampai pihak wartawan tahu tentang perkara ni. Kalau tidak teruklah nanti!” Azim menghempaskan badannya semula ke bantal yang telah disandarkan pada kepala katil hospital.

Iskandar mengangguk. Allisya dan Raihana bagai turut memahami. Walaupun tanpa melafazkannya, mereka berjanji untuk menyimpan rahsia itu daripada orang lain. 

Perlahan-lahan, pintu bilik wad tersebut dibuka oleh seorang pelawat yang baru sahaja bertandang. Kasutnya berkilat dan rambutnya disikat rapi. Allisya segera berpaling. Hatinya berasa gembira apabila melihat wajah itu datang melangkah ke dalam bilik tersebut.

“Zaem! Jumpa juga kau jalan ke mari. Aku ingat engkau dah lupa nama aku.” Azim segera memerli Zaem sebaik melihat pemuda bermata coklat itu melangkah masuk ke dalam biliknya. Walaupun nadanya sinis, namun jauh di sudut hati Azim, dia merasa teruja dan gembira melihatkan kehadiran sahabat baiknya itu.

            “Zaem, awak apa khabar? Lama saya tak nampak awak.” Allisya turut menyapa seraya mengukirkan senyuman kepada pemuda yang baru sahaja tiba di wad itu. Kehadiran Zaem sedikit sebanyak telah menceriakan hati Allisya. Selama ini Zaem memang pandai bergurau dan mengambil hatinya, walaupun pada hakikatnya Allisya selalu memarahi pemuda itu.

Zaem tidak membalas senyuman Allisya, malah dengan dinginnya dia menjawab, “Kenapa awak ada di sini? Maaf, saya tak ada masa nak bercakap dengan awak. Satu lagi, saya tak suka awak tegur saya.”

Allisya terkejut melihatkan reaksi dan jawapan yang diberikan Zaem. Kenapa? Kenapa Zaem bersikap dingin dengannya?

“Azim, kenapa kau beri orang luar masuk bilik ni? Kau tak takut ke kalau perempuan ni cederakan kau lagi? Lagi pun aku tak suka orang luar datang ganggu perbualan kita. Entah apa lagi yang dia nak buat untuk rosakkan kita.”

“Zaem! Itukan Allisya! sejak bila kau jadi biadap macam ni? Kau sedar tak apa yang kau cakap tadi?” Kata-kata Zaem telah menimbulkan rasa marah di hati Azim.

“Aku tahu apa yang aku katakan dan aku memang tak suka perempuan ni ada di sini. Dah berapa kali dia susahkan kita? Nak tunggu siapa lagi yang tercedera? Nak tunggu sampai ada orang yang mati?”

“ZAEM, TUTUP MULUT KAU!” Azim bagai tidak dapat mengawal dirinya apabila mendengarkan kata-kata Zaem itu, dia hampir melompat bangun dari katilnya.

“Zaem, kenapa kau cakap macam tu tentang Allisya? Dia tak salah apa-apa.”  Iskandar turut bangun membela nama gadis itu.

“Kau salah Is. Perempuan ni dah terlalu banyak menyusahkan kita, dan menyusahkan aku!” Zaem cuba menepis kata-kata Iskandar.

“ZAEM! Bukan Allisya yang menyusahkan kau, tapi kau yang telah menyusahkan Allisya! Engkau tahu tak, sebab kaulah nyawa Allisya turut terancam?” Azim benar-benar kecewa melihatkan sikap yang ditunjukan Zaem. Kalaulah tangannya tidak tercedera, sudah lama ditumbuknya muka Zaem itu.

“Apa pun yang berlaku pada perempuan ni tak ada kaitan dengan aku.” Zaem membangkang. Dia sudah pun mengangkat kaki untuk melangkah keluar dari bilik tersebut.

“Zaem, kenapa? Kenapa awak jadi macam ni?” Allisya bersuara semula. Dia berharap Zaem hanya bergurau sahaja. Allisya sudah lama bangun dari duduknya.

“Maaf, mulai hari ini saya dan awak tak ada apa-apa kaitan lagi. Anggaplah seperti kita tak pernah kenal. Tolong jangan bertegur sapa atau cuba menghubungi saya lagi. Saya betul-betul  menyesal berkenalan dengan awak.” Zaem langsung tidak memandang Allisya ketika melafazkan kata-katanya itu. Dia melangkah pergi tanpa menoleh walau sesaat dua.

“Zaem….kenapa? Kenapa? Apa salah saya?” Allisya cuba mengejar Zaem, namun dihalang oleh Iskandar.

“Biarkan dia Allisya. Mungkin dia tengah runsing fikirkan sesuatu.” Walaupun Iskandar melafazkan kata-katanya itu dengan tenang, namun jujurnya dia sendiri turut merasa sakit hatinya apabila melihat Zaem melayan Allisya seteruk itu. Kenapa Zaem jadi begitu?

“Tapi…” Allisya memandang pintu bilik itu yang telah lama ditutup oleh Zaem dari luar. Kenapa Zaem bersikap dingin? Kemanakah perginya janji-janji Zaem untuk sentiasa setia berada di sisinya? Pada saat Allisya sedang diuji dengan hebatnya, Zaem pergi meninggalkannya begitu sahaja. Mengapa? Adakah segala kata-kata manisnya hanyalah dusta semata-mata? Adakah Zaem benar-benar ingin mempermainkan perasaannya? 

“Saya akan sentiasa setia mencintai awak, sehingga takdir tuhan menjodohkan kita berdua.” 

Kata-kata Zaem itu masih segar bermain dalam ingatan gadis itu. Allisya sedikit demi sedikit telah mula mengenali hati budi Zaem, dan dia tidak dapat menafikan bahawa kehadiran pemuda itu dalam hidupnya turut membawa bahagia yang tidak pernah dibayangi oleh dirinya sebelum ini. Allisya sudah mula belajar untuk menyukai Zaem, namun hari ini segala-galanya telah musnah. Impian yang baru sahaja ingin dibina telah musnah dengan begitu sahaja.

“Zaem…”

‘Kenapa? Kenapa Zaem buat Allisya macam ni? Kenapa Zaem layan Allisya macam ni? Mana pergi janji-janji Zaem selama ini? Kenapa? Kenapa Zaem begitu benci dengan Allisya? Kenapa mesti Zaem berasa kesal dengan perkenalan kita?’

Hati Allisya merasa sungguh sakit apabila mengingati setiap butir kata Zaem. Dia tidak pernah menyangka, persahabatan yang baru dibina itu, kini tercemar dengan rasa benci. Jika benar Zaem telah membencinya, dia redha atas segala-galanya. Mungkin semua ini memang salah dirinya. Dia yang membuatkan Azim tercedera dan dia juga yang telah muncul dalam hidup Zaem sehingga menyebabkan hubungan Zaem dan Fazura menjadi goyah.

‘Memang layak aku dibenci kerana aku menjadi punca kepada semua masalah ni terjadi.’ Allisya terduduk semula. Dia tidak mampu bersuara, malah semua orang yang berada di bilik tersebut turut tergamam dan terdiam mendengarkan kata-kata yg dilontarkan Zaem sebentar tadi. 

‘Allisya tak kisah kalau Zaem rasa marah dengan Allisya, tapi kenapa…kenapa hati Allisya rasa sakit bila Zaem mengatakan Zaem menyesal mengenali Allisya? Kenapa hati ini berasa sangat sakit? Adakah benar perkenalan ini tidak membawa apa-apa makna kepada Zaem?’

“Zaem…tolonglah beri tahu kenapa?”

Panggilan Allisya tidak mungkin lagi didengari oleh Zaem. Dia telah pun memecut keretanya jauh dari hospital tempat Azim dirawat. Mindanya kusut dan matanya kelihatan kering dan berwarna merah. Dia tidak menangis, namun hatinya sedang sakit menanggung derita.

“Maafkan Zaem Allisya. Mungkin ini adalah jalan yang terbaik buat kita berdua. Jika hubungan ini hanya akan membuatkan Allisya terus diancam dan menanggung derita, Zaem lebih rela melepaskan Allisya pergi. Maafkan Zaem Allisya, maafkan Zaem kerana terpaksa menyakiti hati Allisya. Tapi percayalah, Zaem betul-betul sukakan Allisya. Zaem tak pernah berniat nak mempermainkan perasan Allisya. Tapi Zaem tak sanggup lagi melihat Allisya disakiti dan dihina oleh orang lain. Biarlah semua ini ditanggung oleh Zaem sendiri. Semoga suatu hari nanti, Allisya akan bertemu dengan cinta sejati Allisya. Biarlah cinta yang ditemui itu adalah cinta yang dapat ‘melindungi’ Allisya, bukan seperti cinta Zaem, yang hanya akan ‘menyakiti’ Allisya. ” Zaem tidak mampu melafazkan kata-katanya itu kepada Allisya. Namun jauh di sudut hatinya dia sentiasa mendoakan yang terbaik buat gadis yang hanya sempat hadir seketika sahaja dalam hidupnya itu. Walaupun tempoh perkenalan mereka hanya seketika, namun gadis itu telah mengajarnya tentang erti cinta, iaitu erti ‘cinta pertama’.

Kaki Zaem terus menekan pedal minyak dengan sekuat hatinya. Dia benci pada dirinya sendiri. ‘Kerana akulah Allisya terpaksa menanggung semua masalah ni. Mulai hari ini, biar aku sahaja menanggung masalah aku sendiri!”

            Jarum meter keretanya semakin meningkat dan meningkat apabila pedal minyaknya ditekan. Zaem seperti telah hilang kawalan diri. Dia tidak pernah merasa begitu sakit hati. Kenapa dia begitu bodoh menyakiti hati gadis yang dicintainya? Mengapa dia begitu bodoh membuatkan gadis itu diancam bahaya? Sekiranya dia tahu semua ini akan terjadi, dia pasti akan menghalang hatinya dari jatuh cinta. Namun dia tidak mampu, dia lemah mengawal perasaannya sendiri. Mengapa perlu dia diuji sehebat begini untuk memiliki cinta seorang gadis? Adakah ini adalah tandanya mereka bukan jodoh masing-masing? Mengapa? Mengapa harus dia melepaskan cinta pertamanya pergi sebelum sempat dia memiliki cinta itu?

            “Maafkan Zaem, Allisya! Zaem memang teruk, sebab itulah Zaem tak layak untuk bersama Allisya!”

            Satu demi satu bayangan mimik wajah Allisya muncul di mindanya. Dia teringat bagaimana terkejutnya Allisya apabila dibentak dan dihina olehnya tadi. Tetapi bukan niatnya untuk menyakiti hati gadis itu. Dia hanya mahu membuatkan Allisya benci padanya supaya Allisya tidak akan lagi ada kaitan dengan dirinya dan nyawa gadis itu tidak akan lagi diancam.    

“Mungkin ini adalah takdir yang terbaik buat kita berdua.”

Pada ketika itu, sesusuk tubuh sedang melintas di atas jalan raya. Zaem terkejut melihatkan kejadian itu, lalu dia segera menekan pedal brek sekuat hatinya. Kereta Vios berwarna putih itu berhenti secara mengejut sehingga mengeluarkan bunyi geseran yang menyakitkan telinga. 

            Zaem mengusap-usap dadanya. Mujur dia tidak melanggar pemuda yang sedang melintas di hadapannya. Walaubagaimana pun hati Zaem menjadi kacau semula apabila melihatkan wajah pemuda yang hampir dilanggarinya itu. Farid berdiri betul-betul di hadapan kereta Zaem. Dia tidak kelihatan takut walaupun hampir dilanggari Zaem. Mukanya kelihatan dingin memandang Zaem. Zaem membalas pandangan Farid. Dia tidak sangka, begitu awal dia perlu bersemuka dengan pemuda tersebut. Pemuda itulah yang pernah mengugut untuk membunuhnya sewaktu awal semester dahulu. 

            Adakah Farid datang untuk meminta maaf dengannya? Adakah lelaki itu ingin meminta maaf kerana cuba mencederakan Allisya? Walaupun Zaem belum pasti siapa yang telah melakukan khianat terhadap Allisya dan Azim, tetapi dia yakin, Farid turut terlibat dalam konspirasi tersebut. Hari ini dia sendiri ingin mendapatkan jawapan daripada pemuda itu.

“Maafkan Zaem, Allisya! Zaem memang teruk, sebab itulah Zaem tak layak untuk bersama Allisya!”

No comments:

Post a Comment