Wednesday 3 August 2011

BAB 4: API KEBENCIAN.



Ruang legar Fakulti Undang-undang sudah mula sesak dengan puluhan mahasiswa perundangan yang baru sahaja keluar dari kuliah masing-masing. Zaem yang berblazer biru hari ini melangkah ceria keluar dari dewan kuliah. Langkahnya disusun dengan bergaya. Sekali-sekala dia melemparkan senyuman kepada kumpulan pelajar wanita yang memerhatikannya dari jauh. Mereka kelihatan gembira apabila disapa dengan senyuman itu. 

Zaem baru sahaja selesai menghadiri kuliah Falsafah Antarabangsa. Sudah hampir dua minggu semester bermula. Dia merasa senang kerana dia tidak lagi perlu runsing menguruskan majlis orientasi pelajar baru. Dia bukan sahaja menjadi MPP USAS, malah merupakan wakil Majlis Tertinggi Mahasiswa di kolej kediamannya dan Pengerusi kepada beberapa kelab serta persatuan rasmi yang lain. Bukan mudah menjadi mahasiswa harapan, namun Zaem tidak mampu membayangkan bagaimana pula hidupnya sekiranya dia sekadar menjadi pelajar biasa. Pasti mati kutu jadinya.

Zaem mengeluarkan ‘iPhone4’ miliknya dari poket, lalu mula menaip;
Is, kat mana?’ Mesej dihantar.
Selepas beberapa minit sahaja, dia menerima balasan dari Iskandar.
Library. Kenapa?’
Pantas sahaja jarinya membalas,
Jom makan. Lapar sangat dah ni. Rasa macam nak meletup je perut.
Nak meletup? Tu macam orang terlebih makan je. Kalau macam tu tak payah makanlah :)’ 

Zaem tersengih membaca mesej Iskandar. Loyar buruk juga kawannya ini. Tapi, kalau diikutkan logik, mana ada orang lapar sampai perut rasa nak pecah. Itu cuma terjadi terhadap orang yang kekenyangan sahaja.
Zaem menepuk dahinya, dia membalas mesej Iskandar.
Hehe…tak kisahlah. Kita jumpa je kat kedai makcik Donut. Siapa lambat, belanja.
Balasan segera diterima, ‘Ok.’ Biar pun jawapannya pendek, Zaem berpuas hati. 

Selepas itu, Zaem menaip mesej baru.
Azim, aku tak kira kau ada dekat mana. Datang kedai Makcik Donut sekarang. Lambat, belanja. Pesanan dibawa oleh: sahabatmu yang paling handsome.

Zaem tersengih seorang diri. Orang ramai yang lalu-lalang kehairanan melihat perangai pelik ketua MPP mereka itu. Ada yang ketawa, dan ada juga yang sekadar mengintai wajahnya dari jauh.

Zaem tidak menunggu balasan mesejnya kali ini kerana dia tahu, Azim tak pernah membalas mesej sesiapa. Maklum sahajalah, selebriti bola sepak negara, memang sibuk. 

‘Baiklah, memandangkan aku drive, mesti aku sampai awal. Jadi, lebih baik aku singgah kedai dulu beli ‘Cokelat Coki-coki’’. Entah mengapa, Zaem suka benar makan cokelat itu. Sepanjang hidupnya, cokelat Coki-coki itulah yang menjadi makanan kegemarannya hingga ke hari ini. Kalau cokelat lain, susah pula tekaknya nak telan. Cokelat 20 sen itu juga yang menambat hati.

Zaem meneruskan langkahnya. Apabila bertemu dengan cermin atau dinding kaca, dia menjeling melihat kilasannya sendiri. Ya, masih kacak seperti selalu. Zaem terus melangkah dengan penuh berkeyakinan, mendekati kereta Vios putih kesayangannya.

 Zaem menghidupkan enjin Toyota Vios itu. Dengan penuh berhati-hati dia mengundur ke belakang, keluar dari kotak pakir. Segala-galanya dilakukan dengan berwaspada. ‘Miss White’ kesayangannya itu diguna dan dijaga dengan sepenuh jiwa. Satu kesan calar pun Zaem tak akan izinkan melukai kekasihnya itu. Zaem memecut sambil menyanyi lagu, ‘I believe I can Fly.’

Suara Zaem mengisi kekosongan keretanya. Biar pun dia memandu seorang diri, namun bisingnya bagai dipenuhi satu rombongan Cik Kiah. Siapa sangka, Muhammad Nur Zaem bin Dato' Prof. Dr. Zainuddin yang terkenal sebagai ketua MPP dan anak sulung kepada seorang ahli Senat USAS itu sebenarnya adalah seseorang yang bersifat keanak-anakan.

Zaem adalah pelajar jurusan undang-undang Civil. Kepetahannya berbicara dan berdebat mampu mencabar kewibawaan seorang ahli politik sebenar.  Namun, disebalik kelebihannya itu, Zaem hanyalah anak muda biasa yang ceria, suka berjenaka dan mempunyai daya pemikiran yang sukar dijangka.

Oh, I belive I can fly…fly…fly…fly.” Zaem masih asyik menyanyi. Dia hanya mengulangi baris ayat yang sama sahaja berulang-ulang kali sehinggalah dia tiba di kedai ‘Seven Eleven’ yang berdekatan.
 
Jam sudah pun menunjukan tepat pukul 1.00 tengah hari. Iskandar duduk seorang diri di suatu sudut sebuah kafe. Tangannya sedang memegang ringkasan nota berkaitan anatomi manusia. Sekali-sekala, pandangannya dilemparkan ke pintu masuk kafe tersebut. Dia menanti dengan penuh sabar. 

Ada kalanya, fikiran Iskandar melayang mengingatkan kata-kata Prof. Tan di dalam kelas Human Anatomy II tadi. Iskandar cuba membuat ulangkaji di dalam mindanya sendiri. Sebagai seorang pelajar jurusan Perubatan, Iskandar tipikal seperti kebanyakan pelajar skema lain. Dia tidak suka membazir masa atau termenung tanpa sebab. Masa yang ada akan digunakan dengan sebaik-baik mungkin. Tetapi, sekiranya otak Iskandar terlalu letih untuk terus menelaah, dia akan menghabiskan masa kosongnya di atas bukit di belakang kolej kediaman Nilam. Iskandar selesa bersantai seorang diri di sana, bermain dengan seruling kesayangannya sambil menghayati alam ciptaan Illahi.

Kafe yang popular dengan panggilan ‘Kedai Makcik Donut’ itu semakin dipenuhi dengan pelanggan. Pelajar berpusu-pusu masuk ke dalam kafe itu selepas tamat sesi kuliah masing-masing. Ada yang datang berkumpulan, ada yang datang seorang diri, dan ramai juga yang masuk ke kafe secara berpasang-pasangan.
Sedang Iskandar kusyuk menyelak nota ringkasannya, kosentrasinya terganggu dengan kehadiran seorang lelaki berjaket kelabu. Iskandar mengangkat pandangannya, dia melihat Azim duduk di sebelahnya.

“Lama dah kau sampai Is?”
Iskandar menggeleng lalu menjawab, “ tak, baru je.”
Mata Azim meliar ke kawasan sekelilingnya. “Mana Zaem? Sibuk je mesej aku suruh datang cepat.”
Iskandar tersenyum. Dia kenal benar dengan perangai Azim. Azim memang tak suka menunggu orang, dia ebih suka jika orang yang menunggunya.

Azim mengeluh. Donut di atas meja dicapainya. Hari-hari pun donut, sebab itulah tuan kedai itu digelar makcik donut. Tidak pernah sekali pun kuih lain dihidangkan.

“ Rajin kau training Azim. Minggu lepas lansung kau tak hadir aktiviti rasmi universiti. Kau join Piala Malaysia ke nanti?” Iskandar membuka bicara semula.

“Pemain simpan je. Aku training sebab dibayar. Dah dalam kontrak. ”
Iskandar mengangguk. Susah juga bila belajar sambil bekerja ni. Sebagai pemain bola sepak negara dan pelajar kejuruteraan, Azim kelihatan sukar membahagikan masanya untuk pelajaran. Tetapi Iskandar yakin, Azim pandai bawa diri.

“Assalamualaikum para sahabat sekalian, lama tunggu? Sorrylah, aku ada hal tadi.”
Suara Zaem yang terlebih ceria itu menarik perhatian Azim dan Iskandar. Salamnya disambut serentak.

“ Huh, ni mesti sibuk mengayat.” Azim memerli ‘ikhlas’.
“Wow, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata mengundang dosa. Sampai hati kau Zim kata aku yang suci ni pergi mengayat orang. Mana nak letak kelab ‘Single and not aivalable’ kita ni?” Zaem duduk di sebelah Azim, bertentangan dengan Iskandar.

Azim memandang Zaem. Sepatah orang cakap, berpatah-patah pula dia menjawab. Elok sangatlah tu jadi peguam. Iskandar hanya ketawa melihatkan telatah kedua-dua sahabatnya itu.

“Sudah-sudahlah tu. Jom makan.” Iskandar bingkas bangun dari duduknya dan berjalan perlahan ke arah meja panjang yang dipenuhi dengan pelbagai jenis lauk-pauk. Ada ayam masak lemak cili api, masak tomato, ikan keli sira lada pun ada. Semuanya menyelerakan. Aromanya menusuk hidung Iskandar.
“Jom! Kata nak belanja.” Azim sempat menyahut sambil menjentik dahi luas Zaem.
“Adoi!” Zaem menggosok dahinya. Sehari tak kena jentik memang tak sah.

Di antara mereka bertiga, Zaemlah yang paling muda, Iskandar pula yang paling tua. Namun usia Azim dan Iskandar dibezakan dengan beberapa bulan sahaja, manakala Zaem kurang dari setahun berbandimg mereka berdua. Zaem adalah pelajar lompat. Ketika di zaman persekolah dahulu, Zaem lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Tahap Satu atau dikenali sebagai PTS yang membolehkan pelajar berpotensi melompat dari darjah 3 terus ke darjah 5. Namun, peperiksaan itu kini telah digugurkan kerana ketidak stabilan implikasinya. 

Walaupun Zaem, Iskandar dan Azim berlainan program pengajian, namun mereka menjadi begitu akrab kerana ketiga-tiganya adalah bekas pelajar cemerlang daripada Sekolah Menengah Sains Alam Syah. Tambahan pula, mereka sama-sama memegang jawatan Panglima utama MPP USAS dan beberapa persatuan lain. Hanya pada waktu tengah hari sahaja mereka berpeluang makan bersama untuk membincangkan isu-isu rasmi mahupun santai mereka.

“Alhamdulillah syukur. Sedap masakan makcik nikan?” Iskandar mula berkata-kata sebaik selesai menjamah nasinya. Dia tidak bersuara sepanjang menjamu hidangan. 

“Is, makan apa pun sedap.” Zaem tersengih, dia menyambung kata, “kuih apa yang ada hari ni ye?” Tudung saji di atas meja dibukanya.

“Donut.” Azim menjawab selamba. Dia sudah lama selesai makan. Tangannya bermain dengan duit syiling 50 sen. Dilambungnya duit syiling itu dengan jentikan, lalu ditangkap. Dijentiknya lagi, dan ditangkapnya semula, berulang-ulang kali.

“Donut lagi!” Zaem memuncungkan mulutnya. “ Kalau hari-hari makan donut, boleh terkena keracunan perut beta ni.” Zaem mengeluarkan Coki-coki dari dalam poket blazer birunya. Dihisapnya seperti kanak-kanak kecil, sedikit demi sedikit. Kemanisan yang meresap kemulutnya dihayati dengan sepenuh jiwa.

Azim melemparkan pandangan sinis, “ yang kau tu hari-hari makan Coki-coki tak keracunan?”
“Nak buat macam mana lagi…hati dah setia.” Zaem menjawab dengan nada girang. Dia sengaja menhisap cokelat Coki-cokinya itu dengan gaya yang melampau supaya dapat menjengkelkan perasaan Azim. Dia memang suka buat Azim marah dan tertekan dengan perangai keanak-anakannya. Dia tahu, Azim seorang yang terlalu serius dan tak suka bercakap. Tetapi, bila Zaem yang mengapi-apikan hatinya, mesti Azim akan mula membebel seperti seorang makcik tua.

Azim masih melemparkan pandangan sinis. ‘Mengada-ngada mengalahkan budak perempuan!’ Zaem ketawa, seolah-olah dapat membaca fikiran Azim. Dia sengaja mengada-ngadakan dirinya di hadapan sahabatnya itu. Depan orang lain dia perlu bersikap professional bersesuaian dengan pangkatnya. Dia berhenti dari mengusik Azim. Perhatiannya kini tertumpu kepada Coki-coki kegemarannya.

Azim terus menjeling tajam. Kalau diikutkan hati, hendak sahaja dia buat memorandum mengharamkan penjualan cokelat Coki-coki tu. Balik-balik cokelat itu sahaja yang dilihatnya Zaem makan. Kalau ada Zaem, adalah Coki-coki. Naik menyampah dibuatnya.

            “Zaem,” suara Iskandar menyelit di antara komunikasi mata Azim dan Zaem. Kedua-dua mereka mengalihkan pandangan kepada Iskandar.

            “Boleh tak kita gugurkan sahaja tradisi denda guna telur dan tepung untuk pelajar baru bagi semua majlis rasmi anjuran kita?” Iskandar sedang tunduk membelek-belek majalah ‘Aspirasi Siswa’, majalah keluaran rasmi USAS. Wajah Zaem menjadi penghias kulit majalah tersebut. 

            Zaem dan Azim saling berpandangan. Kenapa tiba-tiba Iskandar mengutarakan soalan itu? Maksudnya selama ini Iskandar kurang suka dengan gurauan dan tradisi yang dicadangkan oleh Zaem itu.  Zaem tidak sedar, sebenarnya Azim pun tak berkenan dengan aktiviti yang sia-sia itu.

            “ Tak boleh.” Zaem menjawab sambil menghabiskan sisa-sisa Coki-cokinya. Dengan serta merta, Iskandar mengangkat pandangannya kepada Zaem.

            “ Maksud beta, tak boleh jadi ni. Kita kena hentikan kalau panglima kanan beta tak setuju.” Zaem segera menyambung kata apabila melihatkan respon mengejut Iskandar tadi.
            Iskandar membalas dengan senyuman.
            Azim mengangguk setuju. Kesepakatan diterima. 

            Allisya dan Raihana masuk ke dalam kafe dengan membawa beberapa buah buku rujukan yang baru sahaja dipinjam dari perpustakaan. Mereka masuk sambil menjenguk-jenguk ke arah sekeliling, mencari kalau-kalau ada meja yang masih kosong. 

            Allisya terhenti serta merta apabila matanya menangkap bayangan tiga lelaki yang dikenalinya di kafe itu. Tindakan Allisya yang berhenti secara tiba-tiba itu mengakibatkan Raihana yang sedang deras melangkah di belakangnya terlanggar Allisya. Allisya yang sememangnya lemah semangat itu tersentak, lalu buku-buku di tangannya terlepas, jatuh ke lantai kafe. Drama kejatuhan buku-buku itu menarik perhatian tiga jejaka popular USAS. Allisya kelihatan menggelabah ketika mengutip semula buku-bukunya itu. 

            Dalam waktu yang sama, mata Azim tidak berkelip-kelip memandang.
            Zaem ternganga.
            Iskandar pula terkebil-kebil melihatkan kejadian yang tidak disangka itu.

            Sekali lagi Allisya merasakan kulit mukanya bertambah tebal 10 inci. Dia menjadi semakin gelabah. Buku yang dikutipnya asyik terlepas dari tangannya. Syukur, Raihana turut membantu.

            ‘Mengapa peristiwa seperti ini mesti terjadi di hadapan Iskandar pujaan hatinya dan Azim idola bola sepaknya itu? Lebih peliknya, kenapa Zaem yang menjengkelkan itu pun ada sekali?’ Persoalan demi persoalan menembak fikiran Allisya secara bertubi-tubi.

            ‘ Budak perempuan ni, kenapa clumsy sangat?’ Azim bermonolog di dalam hati. Baru sahaja dua hari lepas dia ternampak budak perempuan yang sama itu terjatuh setelah tersepak batu di hadapan Pejabat Pentadbiran Universiti. Azim memandang Iskandar dan Zaem yang berada di kiri dan kanannya. Mereka masih memerhatikan Allisya walaupun gadis itu sudah selesai mengutip buku-bukunya dan berlalu pergi. 

            ‘Apa kena dengan Is dan Zaem ni? Macam kena pukau je’
            Azim mengetip jari di hadapan kedua-dua sahabatnya itu, mereka bagai baru tersentak dari lamunan.
            “Kenal ke?” Azim bertanya.
            “Tak!” Zaem dan Iskandar menjawab serentak. Mereka berpandangan. Zaem secara tiba-tiba mencapai donut di atas meja, menjamah tanpa berkata apa-apa. Iskandar pula kembali membaca Aspirasi Siswa.

            Azim hanya memerhatikan gelagat mereka berdua. ‘Pelik…’ fikirnya sendiri.

“Nak buat macam mana lagi…hati dah setia.”

            Allisya memilih untuk duduk di meja yang paling jauh dari meja MPP popular itu. Dia membiarkan Raihana pergi membeli makanan dahulu, sementara dia menjaga meja mereka. Dikipas-kipas mukanya dengan salah satu buku nipis yang ada.

            “KAU MEMANG TAK GUNA!” satu suara bentakan kedengaran memenuhi ruang kafe tersebut. Para pelajar yang sedang rancak berbual terhenti dari terus berkata-kata. Begitu juga dengan pelajar-pelajar yang sedang menceduk dan membayar makanan mereka, kesemuanya tertumpu ke arah seorang lelaki berusia pertengahan 20 an yang sedang menghentak meja tiga sahabat MPP itu. 

            “Kau fikir kau boleh bersenang-lenang lepas apa yang kau buat pada adik aku sem lepas? KAU MEMANG LELAKI TAK GUNA ZAEM!” suara lelaki berbaju T-shirt hitam itu penuh kebencian. Zaem terkejut mendengarkan makian itu, kuih di tangannya terlepas begitu sahaja. Azim dan Iskandar bergegas bangun dari duduk mereka. Begitu juga dengan Zaem.

            “Maaf, saya tak faham dengan apa yang awak maksudkan. Sekiranya awak ada apa-apa masalah, awak boleh jumpa saya di bilik rasmi MPP,” Zaem cuba menjawab dengan tenang, namun ada ketar pada suaranya.

            “Kau jangan nak main-main dengan aku! Jangan kau hina aku dengan jawatan kau tu! LELAKI MACAM KAU NI, BAIK MATI JE!” 

Tangan lelaki itu dihayun tepat ke muka Zaem. Dengan pantas, Iskandar menghadang Zaem dari hadapan, dan Azim menangkap tanggan lelaki tersebut. 

            Beberapa orang pelajar perempuan yang berada di kafe tersebut menjerit melihatkan kejadian yang tidak disangkakan itu.

            ‘Apa sebenarnya yang sedang berlaku?’ Bisik hati Allisya.

            “Selagi aku dengan Iskandar ada, engkau jangan harap dapat sentuh Zaem!” Azim tidak kedengaran seperti menjerit, namun ada ketegasan pada kata-katanya. Suaranya juga kedengaran keras. Tangannya masih kuat menggenggam sebagai memberi amaran kepada lelaki tersebut.

            Lelaki itu menyentak tangannya dari genggaman Azim. Matanya penuh dengan kebencian.
            “ Bawa bertenang dan banyakan mengucap. Kalau ada apa-apa masalah, kita berunding dulu.” Iskandar pula bersuara. Kerisauan jelas terpancar di wajahnya.

            “AH, KAU DIAM ISKANDAR! Kau sampai bila-bila pun akan jadi patung si Zaem ni! DASAR HIPOKRIT!” Lelaki tersebut membentak-bentak sambil meludah di hadapan Iskandar.

            Azim mula berganjak ke depan. Kesabarannya semakin hilang. Dia memang pantang jika mendengar sahabatnya dihina. Iskandar menghalang Azim dari terus berganjak.

‘Sabar, sabar, dan sabar. Marah itu halwa syaitan.’ Pesanan Iskandar dahulu, dijadikan Azim sebagai sempadan. 

“Engkau orang bertiga pun sama je, MEMANG HIPOKRIT! Aku tak akan biarkan engkau bertiga hidup senang. Aku akan pastikan engkau semua merana…terutamanya engkau ZAEM!” Lelaki itu menjerit seperti orang gila. Tangannya menunding tepat ke arah mata Zaem. Muka Zaem pucat seperti mayat.

Azim sudah pun menggenggam kuat tangannya di sisi. Kemarahannya memuncak. Iskandar sedar dengan tindakan Azim, lalu menegah.

Lelaki itu menyepak kerusi dan meja berhampiran dengannya, dia bagaikan hilang pertimbangan. “AKU JANJI! AKU JANJI!” Jerit lelaki itu lagi.

Dalam masa yang sama, dua orang pegawai keselamatan beruniform USAS muncul. Setelah gagal menenangkan lelaki tersebut, mereka mengheretnya keluar secara paksa. Namun, sebelum lelaki itu hilang dari pandangan ramai, dia sempat menjerit memberi amaran terakhir.

“AKU JANJI ZAEM! KAU DAN TALI BARUT KAU TAK AKAN HIDUP SENANG!”
“AKU JANJI!” matanya kelihatan terbakar dengan api kemarahan.

Mereka bertiga bertukar pandangan.

‘Apa yang sebenarnya terjadi?’ Persoalan menghimpit minda setiap orang yang berada di kafe tersebut.

Nani NA

2 comments:

  1. Menanti bab ke 5, 6, 7 dan seterusnya... kemana agaknya Nani akan membawa kami... :)

    ReplyDelete