Friday 12 August 2011

BAB 10: BUNGA-BUNGA CINTA


             
Suasana ceria kembali mewarnai mesyuarat terkini kelab Permata Hati. Zaem kelihatan bersemangat untuk menjayakan program motivasi yang akan dijalankan pada minggu hadapan. Wajahnya kembali bercahaya, dihiasi dengan senyuman ceria dan kenyitan mata yang menjadi tarikan utama kepada wajahnya. Malah, dia kini lebih berani mengusik dan mengarah-ngarahkan Allisya. Kerap juga Allisya bertekak dengannya disebabkan oleh perkara yang remeh-temeh. 

“Kan saya dah kata, masukan je aktiviti main nyorok-nyorok dalam rencana kem kita. Kenapa awak susah sangat nak terima idea saya?” Zaem dan Allisya yang duduk bertentangan di suatu sudut di lokasi perjumpaan mereka sedang sibuk merencanakan program mereka.

“Awak ni memang sengaja nak sakitkan hati sayakan?” Allisya semakin menyampah dengan perangai Zaem.

“Saya sakitkan hati awak? Saya ketua awak. Saya Cuma jalankan tugas saya dengan berdedikasi. Awak tu yang sebenarnya suka sakitkan hati saya!”

“Bila masa saya sakitkan hati awak?” 

“Yalah, saya suruh pakai baju warna kuning, awak tak pernah nak pakaikan. Berbuih mulut saya beri arahan.” Zaem memang suka warna kuning, kerana itu adalah warna kegemarannya. Warna yang melambangkan kecerian, bersesuaian dengan sifatnya.

“Saya tak akan pakai!”

“Kenapa?”

“Pertama, sebab awak yang suruh. Kedua, sebab saya tak ada baju warna kuning!”

“Saya beli untuk awak!” 

“SAYA TAK NAK!”

Mereka berdua bertukar pandangan mata. Perbincangan mereka yang sepatutnya berteraskan tugasan mengatur cara program itu kini bertukar kepada isu-isu yang tidak berkaitan. Semakin membuak-buak perasaan menyampah Allisya kepada Zaem.

Iskandar yang duduk berdekatan, hanya ketawa melihatkan telatah mereka. Walaupun mereka sering bergaduh, namun mereka kelihatan lebih mesra dan akrab. Azim seperti biasa, telah kembali kepada sifat asalnya. Dia senyap sahaja, tanpa sepatah kata. Sejak peristiwa melawat Iskandar di hospital baru-baru ini, Azim tidah pernah lagi menegur Allisya kembali. Tambahan pula, dia sering tiada di kawasan kampus kerana menjalani latihan bola sepak di luar.

Kemesraan yang ditunjukan oleh Allisya bersama wakil-wakil utama Majlis Perwakilan Pelajar USAS itu menimbulkan persoalan di kalangan pelajar-pelajar lain. Bagaimana budak semester pertama seperti Allisya mudah sahaja berdampingan dengan orang-orang sehebat Zaem dan Iskandar? Ada yang cemburu, ada juga yang berasa kagum. Malah, keakraban mereka turut menarik perhatian Nik Ain. Raihana pula tidak hairan dengan situasi yang berlaku di hadapan matanya itu kerana dia sendiri menjadi tempat luahan hati Allisya. Segala-galanya dia tahu.

Pagi itu, perjumpaan mereka dihiasi dengan gelak tawa. Allisya berasa senang bekerja di samping Iskandar yang sentiasa memberikan nasihat serta tunjuk ajar kepadanya. Senyuman yang dilemparkan Iskandar juga sebagai dorongan bagi Allisya untuk terus berusaha bersungguh-sungguh menjalankan tugasnya.

“Baiklah, saya nak beri soalan teka-teki ni. Dalam banyak-banyak mata, mata siapa yang paling cantik?” Suara Zaem kembali bergema di dalam bilik mesyuarat tersebut. Cuma kali ini langsung tiada kaitan dengan aktiviti mereka.

“Mata kucing.” Jawapan pertama diberikan oleh salah seorang ahli kelab Permata Hati.

“Salah. Itu dah masuk kategori mata yang paling sedap.” Suara-suara ketawa kedengaran bergema di dalam bilik tersebut.

“Mata abang Zaemlah!” Seorang pelajar junior menjawab dengan teruja. Zaem ketawa kecil mendengarkan jawapan tersebut.

“Jawapan tu pun boleh tahan juga. Tapi tak tepat. Mata yang paling cantik adalah mata orang yang berjaya mencuri hati saya.” Zaem tersengih ketika memberikan jawapannya. Matanya melirik kepada Allisya.

“Aaaah…so sweet.” Suara pelajar lain bergema memberikan respon mereka. Kebanyakan ahli kelab mereka adalah pelajar perempuan dan majoriti besarnya adalah peminat Zaem, kerana itulah Zaem kelihatan begitu menyerlah pada pandangan mata mereka. Apa sahaja yang Zaem lakukan, semuanya dipandang indah. ‘Mengada-ngada.’ Allisya mengutuk di dalam hati.

 Sengaja Allisya berpura-pura tidak nampak apabila Zaem cuba berjenaka di hadapannya. Namun, Raihana dan pelajar-pelajar yang lain kelihatan mudah sahaja ketawa melihat jenaka keanak-anakan yang dibuat oleh Zaem. Mata Raihana masih lagi kelihatan berkaca-kaca setiap kali melihatkan wajah ketua MPP mereka itu. Perasaannya terhadap Zaem tidak pernah pudar.

“Terima kasih abang Is.” Allisya dan Raihana sudah pun bangun dari tempat duduk mereka untuk pulang.

Iskandar segera bangun dan membalas, “Sama-sama. Terima kasih juga dari saya.” 

“Abang Is, ni saya ada beli teh ‘Rosemary’ untuk abang. Saya dengar teh ni baik untuk paru-paru.” 

Allisya menghulurkan sebuah kotak kecil berwarna ungu yang dibawa keluar dari begnya. Mukanya kemerah-merahan menahan malu. Walaubagaimana pun, dia harus memberanikan diri untuk menyampaikan hadiah itu kepada Iskandar. Iskandar adalah salah seorang insan yang sangat istimewa dalam hidupnya. Allisya benar-benar berharap, walaupun dia tidak mampu menyentuh hati Iskandar untuk menyukainya, tetapi sekurang-kurangnya dia dapat membantunya mengikut apa yang terdaya.

Iskandar kelihatan terpinga-pinga melihatkan hadiah pemberian Allisya itu. Pelbagai persoalan muncul di mindanya. Dia menjeling ke arah Azim, tetapi Azim cuba mengelak dari memandang mata Iskandar. Ternyata, Azim dan Zaem pasti telah memberitahu Allisya tentang penyakitnya itu. Sudah menjadi sifat Iskandar, dia suka melindungi yang lain. Pemberian Allisya itu mula menyedarkan Iskandar bahawa dia sendiri pun tidak cukup kuat untuk melindungi dirinya, bagaimana pula dia ingin melindungi orang lain?

“Abang Is tak suka?” Pertanyaan Allisya itu menyentak minda Iskandar dari terus mengelamun jauh. Iskandar segera menggeleng. Dia takut sekiranya Allisya berkecil hati.

“Taklah, Abang suka sangat. Abang paling suka minum teh herba.  Terima kasih ya.” Iskandar mengukirkan senyuman, tangannya menyambut pemberian Allisya dengan mesra. Hati Allisya berbunga-bunga mendengarkan jawapan Iskandar.

“Kami balik dulu ya abang Iskandar.” Raihana pula bersuara.   
 Belum pun sempat mereka melangkah keluar, Zaem lantas mendekati Allisya.
“Allisya, ambil sampul ni.” Zaem memberikan arahan dengan serius.
Allisya terpinga-pinga mendengarkan arahan mengejut daripada Zaem itu. 

“Bukan semua kerja dah siap ke? Surat semua dah dihantar. Kita tunggu hari je kan untuk jalankan program kita?” Allisya bertanya sambil mengambil sampul berwarna putih itu daripada tangan Zaem.

“Ni kerja lain. Ambil sahaja dulu, simpan. Arahan seterusnya saya berikan kemudian.” Wajah Zaem masih kelihatan serius. Buat pertama kalinya, Allisya akur mengikut arahan Zaem tanpa perlu dipaksa-paksa.

“Baiklah. Saya pegang dulu.” Allisya menyimpan sampul itu di dalam begnya. Kemudian dia dan Raihana melangkah keluar dari bilik tersebut, menuju ke perhentian bas USAS yang berdekatan.

*                                  *                                    *

            Pagi ahad Allisya terasa dingin. Fajar terbit di ufuk timur, kini menenerangi segala isi bumi. Allisya duduk di meja tulisnya masih mengulangkaji. Sejak jam 6.30 pagi tadi hinggalah 9.00 pagi ini, dia masih tekun menelaah. Nasihat Iskandar yang menjadi anjakan paragdimanya tidak pernah lekang dari minda. 

            Raihana sudah lama menutup bukunya. Dia sedang membancuh teh untuk Allisya dan dirinya sendiri sebagai mengalas perut meraka sementara menanti waktu tengah hari. Tangannya turut mencapai tin biskut di tepi almarinya. “Jom Allisya, kita sarapan.” 

            Allisya membalas dengan senyuman. Dia segera menutup buku di mejanya. Namun, belum sempat Allisya bangun, dia menerima mesej pesanan ringkas di telefon bimbitnya. Dia segera mencapainya lalu membaca.

            ‘Allisya, buka sampul tu sekarang.
Allisya kehairanan tatkala membaca mesej yang dihantarkan oleh Zaem itu. Mengapa pagi-pagi begini Zaem menyuruhnya membuka sampul surat semalam? Tanpa membalas mesej Zaem, Allisya mengambil sampul surat yang dimaksudkan itu dari dalam begnya. Dia membuka sampul tersebut, di dalamnya terdapat satu kertas putih dan sebatang Coki-coki. Bebola mata Allisya ligat membaca isi kandungan surat berkenaan.

            ‘Kehadapan Puteri Allisya yang sering menyakiti hati beta,
Tujuan beta menulis surat ini adalah untuk menyampaikan satu rahsia yang sudah sekiam lama tersimpan dalam hati beta. Di sini beta sertakan bersama Coki-coki yang menjadi penawar kepada sakit beta. Namun, sejak akhir-akhir ini, beta semakin gering, walau Coki-coki pun tidak dapat merawat hati beta. Lalu beta mengambil kata putus mewariskan Coki-coki kesayangan beta ini kepada tuan puteri.’ 

            Allisya berhenti seketika membaca surat tersebut. Dahinya berkerut seribu. ‘Apa yang tengah Zaem merepek pagi-pagi buta ni?’ Allisya berbisik di dalam hatinya, lalu dia menyambung semula pembacaannya.

            ‘Tahukah tuan puteri bahawa Coki-coki ini serupa sekali dengan tuan puteri? Pertamanya, Coki-coki ini hodoh dan hitam warnanya, langsung tak nampak menyelerakan bila dipandang. Sama seperti tuan puteri. Muka tuan puteri yang garang dan menakutkan itu hanya menyakitkan hati beta acapkali bila memandang.’

Kerutan di dahi Allisya semakin bertambah. ‘Zaem ni memang nak menguji kesabaran aku agaknya!’ Namun, Allisya tidak terus berhenti membaca, malah masih menyambung kepada perenggan seterusnya.

Meskipun begitu, Coki-coki beta ini lembut dan manis rasanya. Cairnya bukan sahaja di mulut, malah di tangan. Seperti juga tuan puteri yang walau pada luarannya bengis seperti singa, namun tuan puteri berhati mulia dan lemah lembut orangnya. Manakala yang terakhir, ketahuilah wahai tuan puteri bahawa Coki-coki ini merupakan cokelat kesayangan beta. Hatta, begitu juga tuan puteri.

Allisya masih keliru dengan isi kandungan surat tersebut. Walau macam mana pun dibacanya, tetap menyakitkan hati. Allisya menghabiskan baris ayat terakhir dari surat itu terus ke bibirnya. “Besarnya hati beta, sekiranya tuan puteri sudi memandang ke luar jendela.”

Allisya terdiam. Belum pun sempat dia memahami pesanan terakhir dari surat Zaem itu, Raihana sudah menjerit kepadanya, “Allisya, cuba tengok dekat bawah ni!” 

Allisya yang terkejut dengan teriakan Raihana segera bergegas lari ke tingkap di tepi katilnya. Allisya melutut di atas katil di sebelah Raihana sambil memandang ke luar tingkap.

Disebelah bangunan hostel mereka terdapat tembok batu yang sangat tinggi sebagai pemisah dan perlindung kepada para mahsiswi dengan kawasan luar. Di luar tembok itu pula hanyalah sebuah kawasan tanah lapang yang ditumbuhi dengan rumput-rumput pendek. Namun alangkah terkejutnya hati mereka, tanah lapang yang selama ini kelihatan kosong itu tidak lagi dihiasi dengan rumput-rumput hijau semata-mata. Kini kawasan itu dipenuhi dengan kelopak-kelopak bunga mawar berwarna merah jambu yang ditabur mengikut susunan, membentuk tulisan, ‘SAYA SUKA AWAK’.

Allisya tercengang, terkesima dengan hanya memandang
 ‘Saya suka awak? Zaem?’ Mata Allisya membulat dan hampir terbeliak keluar. Dia bagaikan tidak percaya melihat kelopak-kelopak bunga mawar itu.

“Cantiknya!”

“Romantiknya! Siapa yang buat ni?”

Allisya dikejutkan dengan suara-suara mahasiswi dari tingkap bilik-bilik lain yang terletak bersebelahan, di atas, juga di bawah bilik mereka. Malah Raihana yang berada di sisinya turut melafazkan rasa kagumnya kepada Allisya.

“Wah, Allisya cuba tengok betul-betul. Cantikan? Rose pink. Lelaki mana yang romantik sangat ni? Untung penerima mesej nikan?”

Allisya tidak mampu bersuara. Tekaknya terasa bagai telah disumbat dengan rasa terkejut yang amat. Benarkah Zaem yang menyampaikan mesej romantik itu kepadanya? Allisya terduduk di tempat dia berlutut. Matanya masih memandang ke luar tingkap. Seketika, angin menyapa, kelopak-kelopak mawar yang ditabur cantik di atas tanah lapang tadi kini bertebangan di udara. Ada yang terus dibawa angin, dan ada juga yang terbang masuk ke tingkap bilik mereka. Raihana tersenyum riang. Tangannya cuba mengapai-ngapai kelopak bunga yang kelihatan sungguh cantik berterbangan di udara.

 “Mungkin inilah yang dinamakan bunga-bunga cinta?” Raihana terpesona memandang kawasan di sekitar ruang belakang bangunan mereka itu. Kelopak-kelopak bunga Mawar yang tadinya terbang dibawa angin, kini perlahan-lahan jatuh semula ke bumi.

Allisya masih kaku. Dia tidak mampu berfikir, apatah lagi menghayati keindahan yang sedang berlaku di depan matanya sendiri. Perlahan-lahan, beberapa helaian kelopak mawar itu berterbangan masuk ke bilik mereka, lalu jatuh ke riba Allisya. Allisya hanya memandang. 

“Zaem…” Allisya mula bersuara.

Entah mengapa, jantung Raihana berdegup kencang. Kelopak-kelopak bunga mawar yang ditangkapnya tadi terlepas dari genggamannya. Buat pertama kalinya Raihana faham apa yang sedang terjadi. Allisya tidak perlu lagi menerangkan segala-galanya pada dirinya. Raihana mengerti, cukup mengerti. Hatinya terasa bagai ditoreh-toreh. Kesakitan yang dirasakannya begitu dalam sekali. Sakit, sangat sakit. 


No comments:

Post a Comment