Tuesday 2 August 2011

BAB 3: WAJAH YANG TENANG


Kokokan Jebat memenuhi ruang angkasa. Buat pertama kali, Allisya merasa keliru; adakah dia masih berada di kampung? Allisya yang masih mamai perlahan-lahan bangkit dan membuka mata. Dia terdiam, merenung tepat ke arah Raihana yang sedang tidur. Entah berapa minit sudah berlalu baru Allisya sedar dia sebenarnya berada  di bilik barunya di USAS.  Allisya segera membuka lampu mejanya. Jam di atas meja tulisnya ditenung lama-lama. Baru pukul 5.40 pagi. Boleh tidur lagi ni. Namun, Allisya tidak terikut-ikut dengan perasaanya. Dia segera mencapai baldi yang dipenuhi dengan keperluan mandinya. Kakinya melangkah, melawan perasaan malas yang menguasai jiwa.

Seperti biasa, Allisya mandi dan mengambil wuduk. ‘Sejuknya air pagi ni,’  bisik Allisya di dalam hati. “Ururururrr…’’.

Alisya membentangkan sejadahnya mengikut arah kiblat yang ditunjukan Raihana semalam. Biliknya sunyi sahaja. Di hadapannya terbaring sekujur tubuh yang sedang enak dibuai mimpi. Allisya merenung teman sebiliknya itu. 

Namun dengan tiba-tiba, temanya itu bersuara, “ cantiknya mata abang…hihik.” Allisya terdiam. Matanya hampir terbeliak keluar kerana terkejut. Seramnya! 

Adakah Raihana sedang bercakap dalam tidur? Mungkinkah juga Raihana sedang menakut-nakutkannya? Allisya lantas mendekati Raihana. Ditenungnya wajah Raihana secara dekat. Statik, malah tiada pula perkataan lain yang terkeluar dari bibir kawannya itu.

Bagi mengelak sebarang ‘kejadian yang tidak diingini’ berlaku, Allisya mengambil keputusan untuk mengejutkan Raihana. “Rai, bangun. Dah subuh ni. Siapa yang mata cantik? Panglima Bentan ke?”
Raihana membuka mata secara mengejut, lantas membuatkan Allisya tersentak. “Hehe…Allisya gurau je. Rai dah bangun ye?” Allisya tersengih. 

Raihana memandang Allisya tanpa perasaan. Rambutnya yang disikat rapi malam tadi kelihatan kembang seperti sarang tebuan. Dalam kegelapan, jari-jemarinya berlegar di atas meja tulis yang terletak di tepi katilnya. Cermin mata berbingkai besar dicapai. Dia bangun dengan matanya separa terbuka, sambil berlalu keluar bilik meninggalkan Allisya yang kelihatan terpinga-pinga.

Mungkinkah Raihana tidak menyedari apa yang berlaku? Allisya pasti Raihana sudah pun berada di bilik mandi. Allisya meneruskan niat asalnya untuk menunaikan solat fardhu Subuh. Doanya disulami nama-nama insan yang tercinta dalam hidupnya. Siapa lagi jika bukan Aisyah dan Ismail, iaitu kedua-dua orang tuanya yang telah pergi meninggalkannya sejak dia dilahirkan. 

Walaupun Allisya tidak sempat memahami erti ‘cinta’ dan ‘sayang’ dari kedua orang tuanya itu, namun Allisya bersyukur kerana perasaannya begitu kuat mengingati nama mereka. Biarpun tanpa melihat wajah mereka. Sesungguhnya cinta itu tidak terbatas kerana pandangan mata, tidak terukur oleh waktu bersama. Cinta itu hadir apabila hati manusia itu sentiasa terbuka dan Allah S.W.T mengizinkanya. Bagitulah indahnya cinta. 

Ibadah fardhu Allisya disusuli pula dengan bacaan A-Quran. Biarpun tidak semerdu nyanyian hamba Allah yang  lain, namun sekurang-kurangnya Allisya yakin akan tajwidnya. Hatinya terasa tenang.

Kini, Raihana pula yang sedang bersujud. Allisya bersandar pada tingkap di tepi katilnya. Matanya merenung ke arah kawasan bukit yang masih gelap. Tiada apa-apa untuk dipandang. Minda Allisya menari mengimbau memori-memori ‘klasiknya’. Sekejap sahaja dia sudah berada di USAS. Baru sahaja dua hari lepas dia memberi makan ayam dan itik di kampung. Kini, segala-galanya kelihatan asing. Hanya kenangan lama yang menjadi penemannya. Sekali-sekala, wajah makcik Ani dan sepupunya Anissa turut hadir dalam bayangannya. 

Allisya memejamkan mata. Ingatannya melayang kepada peristiwa 10 tahun dahulu.  Peristiwa kecil yang memberikan impak besar dalam hidupnya…

‘Allisya tunduk kemurungan. Kakinya masih melangkah ke hadapan. Anak kecil berusia 8 tahun itu lansung tidak menghiraukan keadaan di sekeliling hospital. Malah, dia tidak mengerti mengapa dia mesti berada di sini. Ibu saudaranya pula tidak pernah berada di sisinya. Tanpa memadang kiri dan kanan, dia keluar ke kawasan taman di luar hospital.

Dalam Allisya bermain-main dengan rajuk hatinya, dia terlanggar sesusuk tubuh kurus seorang budak lelaki. Ketika itu, budak lelaki tersebut sedang membetul-betulkan cermin matanya. Namun, disebabkan perlanggaran itu, cermin matanya itu terlepas daripada pegangannya. Lebih menyayat hati apabila cermin mata itu dipijak pula oleh Allisya. 

Sudah jatuh, ditimpa tangga pula. Remuk bukan sahaja pada kanta kaca mata itu, malah hatinya turut sama berkecai melihatkan kejadian tersebut. Begitulah nasibnya. Budak lelaki tersebut terduduk sambil mengutip serpihan-serpihan kaca dari bingkai cermin matanya. Matanya pula kelihatan merah bagai bergenang dengan air mata.

Allisya yang terkejut dengan situasi yang berlaku itu, berasa sangat takut. Perasaan bersalah menyerang hatinya. Sudah naluri seorang anak kecil, Allisya menjerit, lalu menangis teresak-esak. Dia takut, bimbang akan dimarahi budak lelaki yang kelihatan jauh lebih besar darinya itu.

Bagai melihat salji jatuh di bumi Malaysia, segala-galanya berlaku di luar jangka. Budak lelaki itu bangun dan memandang wajah sayu Allisya. Terlihat kegusaran di wajahnya. Wajah budak lelaki yang berbadan kurus itu kelihatan lebih kasihan berbanding dengan Allisya. Namun, jarinya segera menyeluk sakunya dan mengeluarkan satu instrumen kecil. Seruling di tangannya ditiup lembut, menghasilkan alunan yang menyenangkan hati sesiapa sahaja yang mendengar. Allisya yang terkejut, terhenti dari esakannya.

Allisya memandang budak lelaki itu, lansung tiada kemarahan di wajahnya. Matanya masih kelihatan kemerah-merahan. Ternyata jangkaan Allisya meleset. Budak lelaki itu lansung tidak memarahi Allisya, malah memujuknya dengan alunan indah muziknya. Allisya ternganga, menghayati irama yang tidak dimengertinya.

Budak lelaki itu berhenti apabila melihat wajah Allisya kembali bercahaya. Dia melemparkan senyuman kepada anak kecil itu. Senyumannya mesra, menutup kesayuan di wajahnya itu. 

Allisya hanya terdiam. Matanya terkebil-kebil, terpukau memandang senyuman mesra budak lelaki itu. Jantungnya berdegup kencang, seolah-olah turut sama terpukau. Allisya lansung tidak mengenali budak lelaki tersebut, namun hati Allisya terasa bahagia walaupun sekadar memandang senyumannya. 

“Adik jangan menangis ye,” pujuk budak itu.
“Tapi nanti abang marah,” masih kedengaran sedikit esakan dari suara Allisya.
Budak lelaki itu menggelengkan kepalanya, lalu dia menjawab, “Abang tak marah. Bukan salah adik. Salah abang. Sorry sebab buat adik menangis.” Budak itu mengeluarkan sehelai sapu tangan putih dari koceknya, lalu diberikan kepada Allisya. “Jangan menagis tau. Nanti mata adik bengkak macam mata abang. Bila mata bengkak, rasa sakit tau. Kesian mata sakit. Adik tak nak mata adik sakitkan?” Budak lelaki itu menggosok-gosok matanya. Senyuman tidak luput di wajahnya. Allisya segera mengambil sapu tangan tersebut sambil menggeleng.

“Tak nak. Kesian mata. Mata abang paling kesian, sebab berdarah,” Allisya berkata sambil jarinya menunjukan tepat ke arah mata budak lelaki tersebut. 

Budak itu ketawa kecil mendengarkan kata-kata Allisya. Matanya masih kemerah-merahan. Dia seperti sudah menangis berhari-hari lamanya. Namun betapa baik hatinya, dia masih mampu tersenyum di hadapan orang yang tidak dikenalinya.

Wajah itu tidak lagi muncul dalam hidup Allisya. Walaubagaimana pun, Allisya tidak akan pernah sesekali melupakannya. Senyuman dan tawa itu, tidak akan pernah lupus dari ingatannya sampai bila-bila.’
Bayangan Allisya semakin kabur dan perlahan-lahan menjadi gelap sepenuhnya. Biliknya sunyi kerana Raihana juga turut sama terlena. 
*          *         *

“ALLISYA!” pagi Allisya meletup dengan jeritan Raihana.
“Allisya bangun! Kitakan ada majlis taklimat bersama MPP pukul 8.00 pagi ni. Siapa lewat kena denda. Matilah, sekarang dah pukul 7.50 pagi!”

Keadaan menjadi huru-hara di bilik 202. Barang-barang yang asalnya tersusun, kini bersepah-sepah di tempat yang tidak sepatutnya. Allisya mencapai beg yang siap dikemasnya sejak semalam manakala Raihana menyarung tudungnya yang sudah siap diseterika. Mereka berdua berlari-lari ke arah perhentian bas di hadapan kolej kediaman mereka. Mereka hampir-hampir sahaja terlepas bas. Jika tidak, pasti mereka perlu menunggu lagi 15 minit untuk bas lain datang. 

Allisya dan Raihana terpaksa berhimpit di kalangan pelajar-pelajar lain yang tidak dikenali. Pelajar-pelajar yang sebaya mereka tidak pula kelihatan. Tentu sekali mereka sudah berada di dewan besar universiti. Habislah, mungkinkah riwayat mereka akan tamat pada har ini?

Allisya tidak menyangka dia akan tertidur semula selepas subuh. Jarang sekali keadaan ini berlaku dalam hidupnya. Allisya menggelengkan kepalanya. Mungkin dia terlalu penat berjalan hingga ke petang semalam. Lebih mengejutkan, Raihana pun tertidur sama! Kalaulah dia tidak mengajak Raihana berbual hingga ke tengah malam.

Kini dia hanya boleh berharap untuk tidak menjadi pelajar terakhir yang tiba. Menurut Raihana, pelajar yang terakhir tiba akan didenda. Allisya tidak dapat membayangkan apa-apa denda yang mungkin dikenakan terhadapnya. Harapannya, denda itu tidak akan menjatuhkan air mukanya di hadapan pelajar-pelajar lain.

Setibanya di hadapan dewan, Allisya menarik nafas panjang. Dia sudah kehabisan nafas kerana dari tadi asyik berlari-lari. Raihana berada di hadapannya. Allisya menyuruh Raihana masuk dahulu memandangkan Raihana sudah biasa dengan keadaan dewan tersebut. Sekurang-kurangnya bolehlah Allisya mengikut Raihana dari belakang. Tidaklah dia terpinga-pinga nanti.

Raihana menolak pintu kayu dewan besar itu, sekejap sahaja dia hilang di balik pintu. Allisya tidak sempat menahan kerana pintu tersebut terlalu berat.

Perlahan-lahan, Allisya menolak pintu tersebut. Tangannya yang kecil berusaha sedaya-upaya membuka pintu kayu berwarna emas itu. Sebaik sahaja pintu itu terbuka, sekalian hadirin memandang ke arah Allisya. Allisya cuba tersenyum, tapi tidak mampu.

Sudah jatuh ditimpa tangga, sudah lewat dimalukan pula. Tanpa Allisya sedari, satu baldi terikat pada kedudukan betul-betul di atas kepalanya terbalik dan menumpahkan segala isi perutnya. Benda pertama yang jatuh di atas kepala Allisya adalah sebiji telur, diikuti dengan beberapa biji telur yang lain, serta beratus-ratus gram tepung menimpanya. Allisya terdiam, namun suara-suara ketawa kedengaran bergema di dalam dewan tersebut. Malah, suara yang paling kuat datang dari pembesar suara utama di dewan itu.
“Wahahaha….ya para pelajar sekalian, inilah tetamu VIP kita yang sebenar. Tiba lebih lewat dari saya sendiri. Tepuk tangan untuk pelajar terakhir yang tiba di dewan ini!” Suara tersebut bagai pernah didengari Allisya. Tetapi Allisya tidak mahu mendongak untuk melihat wajah empunya suara tersebut. Dia terlalu malu mendengar sorakan dan tepukan gemuruh yang dihiasi dengan ejekan di sekelilingnya. Allisya tidak tahu, kemana hendak disorokan wajahnya. Suara-suara ejekan semakin kuat kedengaran. Kejamnya meraka. Beginikah lagaknya mahasiswa USAS?

Malunya Allisya tidak terkata. Mengapa dia begitu malang? Kejadian tersebut bukan sahaja menjatuhkan maruahnya, malah mengguris hatinya. Allisya segera menutup mukanya, dia berpaling, lalu berlari keluar dari dewan. Kejam! Mereka lebih kejam dari sepupunya Anissa. Tentu sahaja Anissa akan bertepuk tangan sekiranya melihat keadaannya yang sebegini rupa. Allisya tidak mampu mengawal emosi. Janjinya kepada diri sendiri untuk tidak menangis lagi ternyata sia-sia. 

Sampai hati mereka memperlakukannya sedemikian rupa. Allisya menagis teresak-esak. Dia menyorok di  dalam bilik stor di belakang bangunan dewan besar itu. Dia cuba mengesat air matanya, namun ia tetap mengalir. Tudung dan baju kurung rasmi universitinya itu kotor diselaputi gumpalan telur dan tepung gandum. Mukanya terasa melekit kerana kuning telur tadi turut melekat di wajahnya. Walaupun tidak pernah dimanjakan sesiapa, tetapi hati Allisya mudah sekali terasa, dan dia sering menangis seorang diri sepertimana peristiwa yang sedang terjadi.

‘Macam mana nak buat ni?’ Kalau dia tidak masuk ke dewan, meritnya akan ditolak dan dia mungkin akan dikenakan denda yang lebih teruk lagi. Tapi macam mana dia nak masuk semula, sedangkan pakaian formalnya itu tidak lagi kelihatan ‘normal’.

 Allisya duduk mencangkung memeluk tubuh. Dia  hanya membawa tudung dan T-shirt putih sebagai pakaian back up di dalam beg. Tapi itu bukan pakaian formal. Perlu ke dia kembali ke hostel dan menukar pakaian? Tentu sekali tidak! Lebih ramai pelajar lain di luar sana yang akan mengetawakannya sepanjang perjalanan. Tambahan pula, perjalanan pergi dan balik dari hostelnya pasti mengambil masa yang lama. Jangan-jangan majlis pun dah tamat.

Allisya terbatuk-batuk. Walaupun fikirannya ligat berpusing, namun air matanya tidak pernah berhenti mengalir. Tiada siapa yang akan mencarinya atau membantunya. Dia akan terus sembunyi di sini sampai bila-bila. Esakannya bergema di dalam bilik kecil tersebut.

Tuk…tuk… kedengaran bunyi ketukan dari arah luar pintu stor itu. Perlahan-lahan, Allisya dapat melihat tombol pintu itu dipusing. Siapakah yang cuba mengganggunya? Dia benar-benar menyesal kerana tidak mengunci pintu tersebut. 

 Allisya memejamkan matanya. Dia tidak sanggup diketawakan lagi. Sebaik kedengaran bunyi pintu dibuka, satu suara pula kedengaran memecah kesunyian, “adik buat apa di sini?”

Mungkinkah itu suara pekerja yang datang untuk mengambil barang di stor tersebut? Perlahan-lahan, Allisya membuka mata. Matanya merah dan wajahnya basah bermandikan air mata. 

Allisya terdiam, dengan pantas dia bangun dari duduknya. Matanya hampir terkeluar melihatan wajah insan dihadapannya. Kini, berdiri di hadapannya adalah seorang lelaki bercermin mata, tinggi dan berpakaian kemas berblazer hitam. Allisya berasa takut, sangat takut. Dia kenal wajah itu!

“Astaghfirullah, adik tak pa-apa?” kelihatan kebimbangan pada wajah lelaki muda itu. Dia lansung tidak menunjukan niat untuk mengejek mahu pun mengetawakan Allisya. Sebaliknya, lelaki tersebut kelihatan cemas mencari sesuatu di dalam sakunya. Seketika kemudian, dia mengeluarkan sehelai sapu tangan putih, diberikannya kepada Allisya. Allisya tidak menyambut, tetapi berganjak ke belakang. 

Allisya mengesat-ngesatkan matanya dengan lengan bajunya yang kotor itu. Dia tidak mahu dilihat menangis seperti anak kecil di hadapan orang lain. Sungguh pun hakikatnya, dia memang kuat menangis.
“Adik, lengan baju adik tu kotor. Nanti kotoran tu masuk dalam mata adik. Kesian mata tu. Ambillah, sapu tangan ni. Abang pun tak guna lagi.” Lelaki itu menghulurkan sekali lagi sapu tangannya. Wajahnya pucat melihat Allisya. Pasti dia berasa kasihan melihatkan keadaan gadis itu.

“Kesian mata.”
Entah bagaimana, suara itu bergema semula di telinga Allisya. Dia tidak segera mengambil sapu tangan tersebut, dipandangnya ke arah wajah berkaca mata itu. Lelaki itu mengangguk, lalu mengukirkan senyuman mesra. 

Allisya terus memandang. Air matanya yang dari tadi deras menitis, kini terhenti. Allisya menyambut perlahan pemberian lelaki tersebut. Sapu tangan putih itu diambilnya dan digunakan Allisya untuk mengesat air matanya.

Lelaki itu memandang Allisya dengan wajah yang sayu. Dia bagaikan dapat merasa kesedihan di hati Allisya. “ni…ah…Zaem…” lelaki tersebut menggeleng-gelengkan kepalanya apabila dia menyebutkan nama itu. Dia hanya berbisik perlahan, tidak mahu Allisya mendengarnya. Tetapi telinga Allisya lebih tajam dari yang disangkakan.

Allisya tidak mengenali siapakah gerangan yang bernama Zaem itu, namun dia bagaikan boleh tahu, nama itulah yang bertanggung jawab ke atas perkara yang berlaku ini. 

“Adik ada bawa baju lebih?” lelaki tersebut bertanya. Suaranya perlahan, kedengaran begitu tenang. Wajahnya tidak kelihatan secemas tadi.

“Bawa, tapi tudung dengan T-shirt putih je.”
“Adik pelajar barukan?” Pertanyaan lelaki itu dibalas dengan anggukan.
Perlahan-lahan lelaki tersebut menanggalkan blazer hitamnya. Dia kini hanya berpakaian kemeja putih berlengan panjang. 

“Adik pakai je baju T-shirt dengan tudung putih adik tu. Gantikan pakaian adik yang kotor. Tapi adik terus je pakai kain baju kurung tu. Kain tu tak kotor.”
Allisya mengerutkan dahinya. Dia tidak mengerti.

 Lelaki itu tersenyum lalu menyambung kata sambil tangannya menghulurkan blazernya tadi, “lepas tu adik pakai je blazer ni. Butangkan dengan kemas supaya tak ada siapa yang perasan adik pakai baju T-shirt.”
Dengan senyuman, lelaki itu bertanya, “boleh?”

Allisya mula mengerti apa yang cuba disampaikan lelaki tersebut. Dia mahu Allisya masuk semula ke dewan dengan memakai blazer untuk menutupi pakaian di dalamnya yang sebenarnya hanyalah T-shirt biasa. 

Allisya tunduk. Matanya hampir mengalirkan air mata semula. Dia terharu. Dalam lautan mahasiswa yang belajar di USAS itu, lelaki tersebut  muncul bagaikan panglima yang cuba menyelamatkannya. Siapakah lelaki tersebut? Wajahnya tenang, senantiasa mengukirkan senyuman. Tanpa Allisya sedari, dirinya turut tersenyum memandang wajah tenang lelaki tersebut.

“Adik jangan risau, blazer ni bersih. Tak ada bau peluh pun. Baru semalam keluar dari plastik kilang” Suara lelaki itu kedengaran ceria. Dia seperti merasa gembira apabila melihat Allisya tersenyum.Benarlah sangkaannya, senyum itu penawar duka.

Allisya melebarkan senyumannya, perlahan-lahan tangannya mengambil blazer yang dihulur.
“Jangan lupa, masuk dengan confident ye.” Wajah tersebut masih tersenyum sambil kakinya melangkah keluar dari bilik stor.

“Sekejap, siapa nama abang?” Allisya dengan pantas bertanya. Dia tidak mahu lagi menanggung kesal dalam hidupnya kerana tidak pernah bertanyakan nama kepada insan istimewa itu. Hanya pada senyuman Allisya mengenalinya, namun tidak pada nama.

Lelaki tersebut berhenti dari terus melangkah, berpaling semula, sambil menjawab, “Iskandar.” 
Iskandar menundukan kepalanya sebagai isyarat meminta izin untuk berlalu pergi. Kini, wajah itu hilang dari pandangan Allisya. Walaupun wajah itu sudah tidak kelihatan lagi, namun hati Allisya masih merasa tenang. Buat seketika, dia terlupa kesedihan di hatinya. “Syukur Alhamdulillah, masih ada yang sudi membantu. Begitu mulia hati hambamu itu Ya, Allah.”

Hanya pada senyuman Allisya mengenalinya


Allisya kini sudah berada di hadapan pintu emas yang sama. Dia baru selesai membersihkan dirinya di bilik air yang berdekatan. Pakaiannya kemas, berblazer hitam. Allisya tersenyum. Gaya pakaiannya tidak  ubah seperti seorang peguam wanita yang pernah ditemuinya. 

Allisya mendongak, memandang pintu emas berpuaka itu. Nafasnya menjadi kencang. Hatinya berdebar-debar untuk melangkah masuk ke dalam dewan tersebut. Mungkinkah mereka akan mengetawakannya semula? Dimulai dengan Bismillah, Allisya menolak daun pintu itu setenang yang terdaya. Sedikit demi sedikit, pintu itu terbuka. Allisya melangkah ke dalam dewan tersebut dengan penuh yakin. Pesanan Iskandar kekal dalam ingatannya. ‘Aku harus confident!’ 

Sebaik sahaja berada di dalam dewan, sebahagian ahli jemaah tertumpu ke arah Allisya. Allisya tidak tahu mengapa mereka memandangnya. Mungkinkah mereka mengecam Allisya? Hairannya, tiada pandangan hina yang dilemparkan, sebaliknya mereka seolah-olah terkesima melihat Allisya yang masuk di tengah-tengah majlis. Mereka semua tersenyum kepadanya tanpa sebab-sebab yang munasabah.  Sudah hilang kewarasankah mereka semua ini?

 Ish, jahatnya aku. Allisya menggeleng, dia tidak mahu berprasangka buruk. Berfikir buruk hanya mengundang dosa. Sesungguhnya manusia itu haruslah bersangka baik sesama saudaranya.
Kakinya terus melangkah sehingga dia terpandang sebuah kerusi kosong. Disebelah kerusi itu duduk Raihana dengan wajah yang murung. Allisya menyusun langkahnya. Dia mendekati Raihana, lalu duduk di sebelahnya.

“Allisya!” Raihana kelihatan terkejut melihat kehadiran teman sebiliknya itu. Tangannya segera memegang tangan Allisya. “Allisya tak apa-apa?”

Allisya menggeleng sambil memandang wajah Raihana. Muka Raihana sembab dan matanya kelihatan kemerah-merahan. Walaupun Rai bercermin mata, namun Allisya sedar akan kelainan pada wajahnya. Adakah Raihana juga baru lepas menangis? Menangis kerananya? Rupa-rupanya, masih ada yang mengambil berat.

“Sya, Rai minta maaf. Rai tak tau benda ni boleh jadi sampai macam tu sekali.” Wajahnya penuh dengan perasaan kesal dan bersalah. Tetapi Allisya tahu, itu semua bukan salah Raihana. Rai juga pelajar biasa sepertinya. Dia tiada kuasa untuk menghalang perkara yang terjadi. Yang bersalah sebenarnya adalah ‘dia’! Mata Allisya memanah tepat ke pentas. Mukanya bengis memandang.

“Sebagai ketua MPP dan Panglima utama di universiti ni, saya akan memastikan bahawa tidak akan ada pelajar yang teraniaya…” enak sahaja lelaki di atas pentas itu ‘mengelentong’ pelajar lain. 

‘Tidakah perbuatan membuli dengan memalukan aku itu juga satu penganiayaan? Jika benar ingin menghukum, hukumlah dengan cara yang berasas.’ Hati Allisya merasa sakit melihat wajah ceria Zaem. Lansung tiada kesal di wajahnya.

“Akhir kata, salam sayang untuk semua.” Sejurus tamat Zaem berbicara, dia mengenyitkan matanya yang berwarna cokelat cair itu. Buat seketika, Allisya dapat melihat hampir kesemua pelajar perempuan di dalam dewan itu tersenyum. Mata mereka berkaca- kaca. Lebih mengejutkan, Raihana di sebelahnya turut tersenyum dan berkata, “Aaa…cutenya.” 

“Rai!” Allisya sedikit meninggikan suaranya.
“Kenapa?”
Cute?” Allisya tidak dapat menerima kenyataan.
“Yalah, kan cute. Handsome… mata dia cantik sangat. Betul-betul putera idaman. Kalau Allisya nak tau, tulah Zaem.” Raihana bercerita dengan nada yang riang. Matanya berkaca-kaca memandang Zaem di pentas besar.

Allisya terasa bagaikan dipukul berulang-ulang kali. Apa yang cutenya pada lelaki yang hipokrit tu? Tunggu masa je mata dia yang cute sangat tu dicucuk oleh Allisya sekiranya dia masih lagi cuba menyakitkan hatinya. Biar jadi macam Kasim Selamat!

Allisya memandang sekelilingnya. Pelajar-pelajar di sekelilingnya kelihatan sedang berbisik sambil memandangnya. Tatkala Allisya melemparkan pandangan, mereka berhenti berbisik, lalu membalas dengan senyuman. Seperti dibuat-buat sahaja.

“Rai, kenapa semua orang pandang Sya? Mereka cam ke saya yang kena denda tadi? Allisya berbisik perlahan ke telinga Raihana. Raihana berpaling ke belakang. Benar telaan Allisya. Semua orang sedang memandang Allisya. Raihana memandang kembali temannya itu. Alangkah terkejutnya hati Rai, dia segera bersuara, “Allisya, mana awak dapat blazer MPP ni? Patutlah semua orang pandang!” 

Tangan Raihana memegang lengan blazer Allisya. Jalur emas yang menjadi keunikan kepada bazer itu jelas kelihatan. Tidak syak lagi, ini kemeja Majlis Perwakilan Pelajar universiti mereka. Hanya yang menjadi perwakilan tertinggi je yang layak memakainya.

Allisya lebih terkejut melihat Raihana terkejut. “Er…kawan Sya bagi pinjam.” Allisya menjawab sambil tersengih. Patutkah dia menceritakan segala-galanya? 

“Kawan? Allisya, awak ada kawan MPP?” Mata Raihana dibesarkan dengan sebesar-besarnya. Raihana cuba mendapatkan kepastian dari Allisya. Dia amat terkejut, namun suaranya berbaur kagum. Allisya hanya membisu.

Allisya benar-benar tidak menyangka, rupa-rupanya blazer yang dipakainya itu adalah blazer rasmi MPP USAS. ‘Maksudnya…’ Allisya segera menoleh ke arah barisan tempat duduk MPP mereka di pentas. Kelihatan sedang duduk di sebelah Zaem ialah, Iskandar! Allisya ternganga, dia sendiri diserang rasa tidak percaya.

Iskandar sedang tersenyum memandang seluruh dewan. Allisya memandang satu demi satu MPP mereka. Hampir kesemua daripada mereka memakai blazer sepertinya. Begitu juga dengan MPP wanita. Mereka berbaju kurung dan memakai blazer sepertimana dirinya. Hanya Iskandar dan beberapa orang MPP lain yang dilihat tidak memakai blazer rasmi mereka. 

Allisya tercengang. Dia memandang senyuman Iskandar yang tenang. Perasaan syukur yang tidak terhingga lahir dari hatinya. Semoga tuhan mengampunkan dosa-dosa insan yang berhati mulia itu. Allisya tersenyum, matanya masih terpana memandang Iskandar. 

Tanpa Allisya sedari, renungannya menarik lirikan mata insan lain. Zaem terlihat blazer yang dipakai oleh Allisya. Biar pun Allisya berada dalam lautan pelajar yang lain, mata Zaem cukup tajam untuk melihatnya dengan jelas. Bagai ada cas positif yang menarik Zaem untuk memandang Allisya. Zaem berasa hairan. Bagaimana pula blazer itu ada pada pelajar perempuan yang pernah memarahinya itu? Dia kenal benar dengan wajah comel Allisya. Namun Zaem tidak  mudah terpedaya dengan kecomelan Allisya.  Mana tidaknya, orangnya garang sangat! 

‘Tapi dari mana dia dapat blazer tu?’ Minda Zaem ditarik dengan persoalan. Jika dia dapat tau MPP mana yang sesuka hati sahaja beri pelajar lain memakai blazer khas mereka tu, dia akan pastikan mereka akan dibasuh cukup-cukup. Dia menoleh kepada Iskandar yang berada di sebelahnya. Iskandar tidak berblazer. Ternyata, telaan Zaem tepat. Siapa lagi yang berani mencemar duli demi pelajar lain? Siapa lagi jika bukan sahabat baiknya itu. 

“Iskandar!”
Iskandar terpinga-pinga. Mengapa Zaem tiba-tiba memanggilnya? Matanya terkebil-kebil memandang Zaem.

Zaem menepuk dahinya sendiri. Siapa yang sanggup marah orang yang setulus Iskandar? Dia pun sendiri tak sanggup nak menegur sahabat baiknya itu. Dia tahu, Is tidak pernah melakukan perkara atas niat buruk. Segala tindak tanduknya pasti ada hikmah yang tersembunyi. Zaem amat mengenali Iskandar. Bagi Iskandar, kebahagian orang lain lebih penting dari dirinya sendiri. Zaem memandang wajah redup Iskandar. Dia kelihatan masih terpinga-pinga.

“Kenapa Zaem?” Iskandar bersuara, sedikit berbisik. Dia tidak mahu suaranya mengganggu majlis yang sedang berjalan.

Zaem hanya tersenyum. Dia menepuk bahu Iskandar seraya berkata, “tak ada apa-apalah Is. Hari ni kita lunch di kedai makcik Donut ye?” Zaem segera menyusun kata. Iskandar adalah sahabat yang paling dia sayangi. Dia tidak sanggup mengguris hatinya walau sekali, apatah lagi nak bertengkar atas perkara yang remeh-temeh.

Iskandar tersenyum, lalu menjawab, “Boleh, Insya’Allah. Jangan lupa ajak Azim sekali. Pukul 12.00 tengah hari nanti habislah training dia.”

Zaem mengangguk. Tumpuan mereka kini kembali kepada Syafiq yang sedang memberi taklimat.  Majlis disusuli pula dengan taklimat bersama MPP lain.

Dua jam berlalu. Tepukan gemuruh kedengaran apabila majlis tersebut tamat. Selepas ini, kesemua pelajar baru perlu ke fakulti masing-masing untuk mendaftar subjek dan menghadiri kelas pertama mereka. Begitu juga dengan Allisya dan Raihana.

‘Panglimaku Iskandar, semoga kita akan bertemu kembali.’

Nani NA

No comments:

Post a Comment