Thursday 1 September 2011

BAB 18: PERCAYA



            Angin pada petang itu bertiup sepoi-sepoi bahasa, seolah-olah sedang berlagu sayu. Daun- daun kering berguguran di atas tanah, dan ada juga yang terbang ke meja pelajar-pelajar yang sedang sibuk menelaah dan membuat kerja masing-masing. Anjung Teratai yang menjadi tempat tumpuan utama para pelajar USAS bersantai dan belajar secara berkumpulan itu dipenuhi oleh pelajar-pelajar yang datang daripada pelbagai fakulti. Mereka duduk secara berkumpulan sambil membuat kerja masing-masing. Ada di antara mereka yang sedang mengulangkaji, ada yang sedang sibuk menulis dan ada juga yang sedang berborak kosong. 

            Di suatu sudut anjung, kelihatan tiga orang pelajar perempuan dari kelab Seni dan Warisan Melayu sedang sibuk memotong-motong gabus untuk digunakan sebagai perhiasan bagi persembahan pentas yang bakal dianjurkan mereka tidak lama lagi. 

            Kelab Seni dan Warisan Melayu yang terkenal dengan gelaran kelab SWM itu merupakan kelab yang diketuai oleh salah seorang MPP wanita USAS, Zarina Zainal. Kelab SWM ini bermatlamatkan untuk mempromosi dan menyemaikan rasa cinta mahasiswa kepada tradisi Melayu. Sememangnya adat dan tradisi Melayu harus sentiasa diperkembangkan oleh muda-mudi yang ada, bak kata panglima Melayu Melaka, ‘tidak akan hilang Melayu di dunia’, maka budaya Melayu haruslah hidup mekar di hati generasi muda. Biar mati anak, jangan mati adat. Siapa lagi yang akan meneruskan warisan kita jika bukan anak Melayu sendiri?

            “Kak Zarina dah lama ke kenal abang Zaem tu?” Salah seorang gadis yang sedang duduk memotong gabus itu bersuara. Suaranya menarik perhatian Allisya dan Raihana yang sedang duduk di meja yang tidak jauh daripada mereka. Seorang pelajar lain turut kelihatan duduk di meja sama dengan Raihana dan Allisya. Pelajar itu kelihatan lebih matang, dia sedang khusyuk menulis, bagaikan tidak terkesan dengan perbualan pelajar-pelajar dari kelab SWM itu.

            “Ya Tiqah. Akak masuk universiti ni jauh lebih lama dari Zaem dan dua panglima kanan dia tu.”
            “Maksudnya Kak Zarina ni senior merekalah ya? “ Ming Ming bersuara teruja. Gadis Cina yang bermata sepet dan berkulit mulus itu kelihatan sungguh fasih berbahasa Melayu. Manakan tidaknya, gadis itu juga merupakan salah seorang ahli SWM. Ternyata dia amat meminati seni dan budaya bangsa Melayu. Di Malaysia, segala-galanya mungkin. Rakyat berbilang bangsa hidup aman dan makmur, malah saling mendalami dan mengamalkan budaya masing-masing. Begitulah indahnya hidup dalam bermasyarakat. 

            “Mestilah Ming Ming, Kak Zarinakan pelajar tahun akhir. Panglima-panglima USAS tukan ada setahun lebih lagi waktu pengajian mereka. Kecuali abang Iskandar, dia pelajar perubatan, jadi lagi lambat habis.  Kak Zarina bukan sahaja senior kita, malah senior mereka juga.”  Atiqah menjawab bagi pihak Zarina. Zarina mengangguk tanda mengiyakan jawapan Atiqah itu.

            “Jadi akak tahulah apa yang berlaku antara abang Zaem dan kak Fazura? Akak tahulah ya berkenaan dengan peristiwa yang disebut-sebutkan oleh pelajar lain yang berlaku pada tahun lepas tu?” Ming Ming bertanya semula, dia mengharapkan jawapan yang lebih. Allisya yang sedang sibuk membaca nota-nota kuliahnya segera sahaja memasang telinga apabila mendengarkan nama Fazura dan Zaem disebut-sebut. Apakah sebenarnya perkaitan di antara mereka berdua? Peristiwa apakah yang berlaku pada tahun lepas sehingga menimbulkan buah mulut orang ramai dan menyebabkan Zaem diugut oleh lelaki asing yang pernah muncul di kafe Mak cik Donut sebelum ini? Allisya terus mendengar dengan harapan segala persoalan yang menghantuinya akan terjawab.

            “Akak tahu.” Zarina menjawab ringkas. Tangannya masih ligat memotong gabus yang telah siap dilukis dengan bentuk-bentuk tertentu oleh oleh pelajar lain. Jika diikutkan, itu bukannya kerja Zarina sebagai pengerusi kelab. Namun memandangkan dia mempunyai banyak masa kosong, maka dia membuat keputusan untuk membantu adik-adiknya membuat kerja.

            “Betul ke Kak Fazura dengan Abang Zaem tu bercinta dulu kak? Mereka sekarang ni masih bercinta lagi ke?” Atiqah mula mencelah, menimbulkan lebih banyak persoalan.

            “Entahlah. Akak tak pasti sangat. Tapi seingat akak, abang Zaem kamu dan Fazura tu memang rapat. Rasanya mereka memang bercinta, tapi senyap-senyap.” Allisya dan Raihana yang duduk di belakang mereka itu saling berpandangan. Benarkah apa yang dikata?

            “Tapi ada masalah yang timbul dalam perhubungan mereka tu yang akhirnya membuatkan Fazura kecewa dengan Zaem. Sebab itulah peristiwa hitam tahun lepas tu berlaku. Fazura dijumpai dalam keadaan berlumuran darah di dalam biliknya sendiri. Tangannya dikelar.”

Zarina berhenti, dia menarik nafas. Allisya dan Raihana yang masih memberikan perhatian kepada kisah itu terkejut mendengarkan kata-kata MPP USAS dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi itu.
            “Kenapa kak?” Atiqah melahirkan rasa terkejutnya.

            “Fazura cuba bunuh diri! Dia dikejarkan ke hospital sebab kehilangan banyak darah. Semua orang tahu itu salah Zaem.”
            Allisya hampir menjerit mendengarkan penjelasan Zarina itu. Dia ingin sekali bertanya kepada MPP wanita itu apa sebenarnya yang telah Zaem lakukan terhadap Fazura sehinggakan gadis itu ingin membunuh diri. Namun apakan daya, dia hanya pendengar bisu. Dia hanya mampu mencuri dengar, tidak pula berkuasa menyuarakan pendapatnya sendiri.

            Bagaikan mengetahui isi hati Allisya, Ming Ming bersuara semula bertanyakan soalan yang ingin Allisya sendiri tanya, “apa yang abang Zaem buat kak Zarina, sampaikan kak Fazura nak membunuh diri?”

            “Zaem tukan ramai peminat, rupa ada, pangkat pun ada. Kau orang ingat dia tu boleh setia ke? Jangan haraplah. Orang yang banyak kelebihan macam tu mestilah akan curang. Lepas dia mainkan perasaan Fazura, dia carilah perempuan lain!”

            Allisya dan Raihana masih terdiam. Mereka tidak berani membuka mulut seolah-olah mereka sedang diugut akan ditembak mati sekiranya bersuara. Senior mereka, Maizatul masih duduk menulis. Mungkin mendengar, mungkin juga tidak.

            Adakah benar apa yang dikatakan oleh Zarina itu? Benarkah Zaem ialah seorang yang suka memainkan perasaan orang lain? Jika benar, mungkinkah Allisya merupakan sasaran baru Zaem selepas memusnahkan hidup gadis lain? Allisya cuba melawan perasaannya. Dia takut untuk memikirkan sebarang kemungkinan yang bakal terjadi.

            “Tak sangkakan, abang Zaem rupanya macam tu? Ketua MPP kita pula tu. Harapkan pagar, pagar pula makan padi. Entah apalah yang dia buat pada kak Fazura sampaikan kak Fazura jadi macam tu sekali.”

            “Lelaki ni bukan boleh percaya. Zaem tu dulu pun cuba pikat akak. Tapi akak buat tak layan je.”

            “Wah, dia cuba pikat akak? Akak pun memang cantik. Macam mana dia pikat akak, kak Zarina?”

            “Yalah, dia tu suka sangat kenyitkan mata pada akak. Ingat akak boleh tergoda ke?” Atiqah dan Ming Ming saling berpandangan. Kemudian Ming Ming pula berkata, “ bukan abang Zaem memang suka kenyitkan mata pada semua orang ke kak?” Ming Ming melahirkan rasa tidak puas hatinya kepada Zarina. Setahunya Zaem memang suka mengenyitkan mata kerana matanya itu merupakan tarikan utama ketua MPP USAS itu. ‘Jangan-jangan kak Zarina ni kuat perasan agaknya.’ Getus hatinya sendiri.

            Zarina yang mendengar kata-kata gadis Cina yang comel itu segera melemparkan renungan tajam yang penuh dengan ugutan. Ming Ming terdiam melihatkan jelingan itu.

            “Nasib baiklah abang Iskandar tu baik orangnya tak macam abang Zaem.” Ujar Atiqah pula.

            “Jangan terpedaya dengan wajah yang baik tu, jangan-jangan hati dia jauh lagi busuk dari Zaem. Iskandar tu berkawan dengan Zaem pun sebab nak menumpang senang ketua MPP kita tu. Azim tu pun sama je teruk. Dia tu dulu kaki pukul.” Zarina bersuara sinis. Hati Allisya terasa sakit mendengarkan kata-kata Zarina. 

            “Mana akak tahu?”

            “Akak tahulah. Akakkan dah lama ada di sini. Budak-budak baru macam kau orang semua ni kenalah selalu dengar nasihat akak.”

            Hati Allisya terasa semakin sakit mendengarkan nama Iskandar disebut dan menjadi lebih sakit apabila kebaikannya pula dipersoalkan. 

            ‘Tidak! Tak mungkin abang Is seperti apa yang diperkatakan oleh kak Zarina itu.’ Setahu Allisya, Iskandar ialah seorang lelaki yang budiman. Baiknya dia bukan sahaja sekadar di wajah mahupun kata-kata di bibir, malah hatinya juga bersih dari sebarang rasa benci. Pasti kak Zarina tidak rapat mana pun dengan Iskandar, sebab itulah dia berani menabur fitnah. Allisya cuba sedaya upaya memujuk hatinya yang sedang sakit itu.

            “Jangan percaya cakap Zarina tu. Mulut manusia ni tak akan pernah berhenti dari mengumpat atau menyebarkan fitnah selagi sifat hasad dengki ada dalam hati.” Maizatul yang dari tadi berdiam diri duduk di sebelah Allisya dan Raihana kini telah bersuara. Dia menyampaikan rasa tidak puas hatinya terhadap apa yang sedang dibincangkan oleh kumpulan ahli-ahli kelab SWM itu. Rupanya Maizatul turut mendengar perbualan mereka, cuma dia menantikan waktu yang sesuai untuk menyuarakan pendapatnya.          

            “Maksud kak Mai?” Raihana mahu mendengarkan penjelasan selanjutnya. Dia sudah tidak sanggup lagi mendengarkan nama Zaem diburuk-burukkan oleh orang yang tidak dikenalinya itu.

            “Setahu akak, Fazura tu cuba bunuh diri sebab mengalami tekanan dalam pelajaran. Keputusan peperiksaan akhir dia jatuh teruk tahun lepas sehinggakan pihak universiti beri amaran pada penjaganya. Pihak biasiswa pula dah beri amaran untuk menarik semula biasiswa tajaan mereka. Dalam masa yang sama, ayah Fazura dimasukkan ke hospital kerana sakit teruk. Akak tak pasti sakit apa. Orang ramai mula pandang serong pada Fazura dan keluarganya. Fazura mungkin tak sanggup menerima tekanan seberat tu, sebab tu dia hilang pertimbangan diri dan cuba bunuh diri. Nasib baiklah teman sebilik dia sedar awal waktu Fazura kelar tangan dia tu, kalau tidak akak pun tak tahu apa yang akan terjadi.”

            Allisya cuba menyakini apa yang disampaikan oleh Maizatul itu, namun hatinya sudah semakin tawar untuk mempercayai cerita daripada mana-mana pihak. 

            “Tapi, kenapa ada lelaki yang datang serang abang Zaem waktu awal-awal semester hari tu?” Raihana terus bertanya mencari kebenaran. 

            “Farid? Itu abang Fazura. Dia terpengaruh dengan cerita-cerita yang disampaikan oleh pelajar lain. Macam yang kumpulan pelajar tadi buat, menabur kisah tanpa usul periksa. Abang mana yang tak marah bila dengar adik perempuannya cuba bunuh diri kerana dipermainkan oleh seorang lelaki? Akak kenal Farid tu, baik orangnya. Walau macam mana pun, seorang abang boleh bertindak di luar kawalan diri demi melindungi adik perempuannya. Zaem tu dikaitkan dengan Fazura sebab dia memang baik dengan Fazura. Jadi akak tak boleh kata pihak mana yang bersalah.” Maizatul yang merupakan pelajar bioteknologi industri itu mengeluh selepas tamat bercerita. Dia sudah pun berhenti menulis. 

Allisya telah lama menutup buku di hadapannya. Dia sudah hilang minat untuk terus mengulangkaji. Apa yang ingin dilakukannya kini adalah berehat dan menghilangkan kekusutan mindanya. 

“Jadi cerita-cerita tu tipulah ya kak?” Raihana bertanya kembali.

“Jujurnya, akak tak percaya Zaem tergamak buat macam tu pada Fazura. Walaupun Zaem tu nampak macam gatal, tapi dia seorang lelaki yang budiman, tak jauh bezanya dengan Iskandar. Selama akak belajar dan berkawan dengan mereka, akak tak pernah tengok Zaem tu pegang tangan mana-mana perempuan pun, apatah lagi bercinta dengan mana-mana gadis. Bagi akak mereka bertiga tu orang baik-baik. Kalau tidak, tak akanlah mahasiswa lain sanggup mengundi mereka sebagai wakil MPP kita. Farid dan Fazura pun baik juga. Akak rasa semua ni berpunca dari salah faham dan hasutan orang ramai je. Entahlah, nak cakap lebih-lebih, akak ni bukan rapat mana pun dengan mereka.” Penjelasan Maizatul itu tidak juga menyenangkan hati Allisya yang sedang diserang dengan pelbagai rasa.

“Sejauh mana hubungan Abang Zaem dan Kak Fazura, Kak Mai?” Raihana masih belum berpuas hati mendengarkan penjelasan Maizatul. 

“Allahualam, akak pun tak tahu dik. Dengar cerita, Fazura memang sukakan Zaem. Lagi pun Fazura memang pernah mengaku pada akak. Kami dulu aktif dalam kelab muzik. Tapi hati Zaem tu, hanya tuhan yang tahu.” 

Raihana diam. Bukan perkara luar biasa untuk mengetahui lelaki sekacak Zaem diminati oleh gadis lain.
“Sudahlah, jangan banyak sangat fikir. Bukannya ada kaitan dengan kita pun. Tak pasal-pasal pula kita pun dah berkongsi saham mengumpat sekali. Lebih baik kita buat-buat tak tahu je.”

Allisya terus membisu. Raihana tidak mampu berpura-pura seolah-olah tiada apa pun yang terjadi kerana Zaem kini ada kaitan dengan hidupnya memandangkan lelaki itu merupakan jejaka idamannya, dan juga orang yang sedang memikat kawan baiknya sendiri. Dia harus mencari kebenaran. Raihana sudah lama bertekad menjadi telangkai kepada mereka berdua biar pun dia tahu Allisya menyukai Iskandar dan Zaem itu pula orang yang disukainya sendiri. Jika Zaem gembira, dia pun gembira. Bukankah itu namanya cinta?

“Akak nak ke pejabat pos ni., nak hantar surat. Maaflah akak tak dapat nak temankan kamu belajar lagi. Tapi kalau ada apa-apa yang kamu tak faham, mesejlah akak. Insya’Allah kalau akak mampu akak akan cuba bantu. Nak tanya kak Nik Ain pun boleh. Diakan budak biokimia, mesti ilmu dia pun lebih dalam subjek kimia industri ni.” Maizatul bangun dari duduknya sambil mengemas kertas-kertas nota yang berada di atas meja. Dia mengakhiri pertemuan mereka itu dengan memberi salam. Allisya dan Raihana menjawab salam Maizatul. Mereka diam sehingga bayang Maizatul hilang dari pandangan mereka.

Angin masih bertiup lembut. Allisya akhirnya bersuara semula setelah sekian lama mendiamkan dirinya, “Rai percaya dengan apa yang mereka katakan tentang Zaem?”

“Siapa? Kak Zarina ke, atau cerita kak Mai?”
“Dua-dua,” pendek sahaja balasan Allisya. Dia masih menunggu jawapan Raihana.
“Mestilah Rai percayakan cakap Kak Mai. Lagi pun cerita Kak Zarina tu macam ada unsur-unsur dengki je. Rai tak rasa apa yang disampaikan tu betul. Lagi pun Rai percayakan Abang Zaem. Kenapa Allisya tanya macam tu? Sya percayakan kata-kata Kak Zarina tu ke? Sya tak percayakan Abang Zaem? Abang Zaem, orang yang pernah berkorban demi Allisya?”  
            
            Allisya diam buat seketika. Dia ragu-ragu untuk menjawab soalan yang dilemparkan oleh Raihana itu. Terasa berat mulutnya untuk berkata-kata.
            “Tapi kitakan baru kenal Zaem, macam mana pula kita nak percayakan dia?” Akhirnya Allisya bersuara semula. 

            “Sya percayakan Rai tak?”

            “Mestilah percaya. Kenapa pula Rai tanya macam tu pada Sya?”

            “Kita pun baru sahaja kenal. Kenapa Sya boleh percayakan Rai, tidak  pula pada abang Zaem?”
            Allisya terasa bagai ditampar mendengarkan jawapan Raihana itu. Dia kembali membisu.
            Raihana mengambil kesempatan itu untuk menyambung semula katanya, “ Sya percaya tak apa yang mereka katakan tentang Abang Iskandar?”

            Allisya tersentak dengan soalan yang dikemukakan Raihana itu, lalu dia segera menjawab, “tentulah tidak! Siapa yang akan percaya tuduhan yang tidak berasas tu? Iskandar bukanlah seperti yang dikatakan. Sya tahu!” Kini Allisya pula bersungguh-sungguh cuba menyakinkan Raihana.

            “Kalau macam tu Abang Zaem pun tak semestinya seperti apa yang mereka katakan tu jugakan?” Raihana kembali menduga. Allisya terdiam semula. Mungkin benar apa yang dikatakan Raihana. Nampaknya Raihana benar-benar sukakan Zaem sehinggakan dia sangat mempercayai lelaki itu. Adakah benar cinta itu buta? Adakah dia sendiri sedang dibutakan oleh cintanya terhadap Iskandar sepertimana Raihana kepada Zaem? Allisya mengeluh. Dia tidak pernah bercinta, maka dia tidak pasti.

            “Boleh akak duduk di sini? Tempat lain dah penuhlah.” Suara lembut seorang gadis menyapa telinga Allisya, dia segera mendongak. 
            “Kak Fazura? Boleh, duduklah kak.” Raihana bersuara, dia sedikit terkejut.

            “Terima kasih. Eh, macam mana kamu boleh kenal akak ni? Nampaknya akak dah semakin popular di USAS ni.” Gadis itu duduk di sebelah Allisya, wajahnya masih kelihatan ceria. Melihatkan wajahnya itu pasti tiada sesiapa pun yang menyangka gadis itu mempunyai sejarah hitam dalam hidupnya. Adakah emosinya telah kembali stabil?

            “Kamu ni pelajar baru semester ni ya? Belajar di fakulti mana?” Fazura bertanya sambil meletakkan fail-fail kuliahnya. Allisya mengangguk sambil tersenyum. Terasa berat sungguh mulutnya itu mengukirkan senyuman. Pelbagai rasa bertandang di hatinya.

            “ Kami pelajar Fakulti Teknologi dan Sains Gunaan. Akak?” Raihana memjawab soalan Fazura perlahan. Fikirannya juga sedang terganggu.

            “Akak pelajar Fakulti Undang-undang, sama dengan Abang Zaem, Panglima MPP kita tu.” Fazura menjawab ceria. Wajahnya kelihatan lebih ceria apabila menyebut sahaja nama Zaem.

            “Oh, jadi akak rapatlah dengan Abang Zaem?” Raihana bertanya semula. Walaupun berat, dia cuba meramahkan dirinya.

            “Mestilah! Kami rapat sangat. Kami selalu berhubung dan keluar bersama. Kalau nak diikutkan, akak rasa akaklah yang paling rapat dengan dia.” 

            Allisya dan Raihana saling berpandangan. Mereka tidak mampu untuk meneruskan perbualan lagi. Cukuplah setelah telinga mereka diserang dengan pelbagai kisah tentang ketiga-tiga Panglima MPP mereka itu. Mereka tidak mahu lagi dibebani dengan kisah-kisah ‘percintaan’ Fazura dan Zaem yang masih belum dipastikan kebenarannya itu lagi.

            “Kami minta izin balik ke bilik dulu ya kak. Kami ni pun dah lama ada di sini.” Allisya meminta diri bagi pihaknya dan Raihana.

            “Ye ke? Kalau macam tu lain kali ada masa kita berbual lagi ya.”

            Allisya dan Raihana tersenyum tawar. Mereka melangkah pergi sambil membawa fail yang berisi nota-nota kuliah mereka. Raihana senyap, Allisya pula masih bermain dengan perasaannya.

            Bilik 202 sunyi sahaja. Tidak Allisya mahupun Raihana bersuara. Allisya termenung menongkat dagu di tingkap. Dia sudah hilang semangat untuk terus menelaah, cukuplah untuk hari ini sahaja. 

            Pandangan mata Allisya meliar memandang di sekitar kawasan bukit di belakang bilik mereka. Matanya tertangkap akan satu bayang-bayang manusia yang sedang memakai blazer putih di bawah pohon rimbun yang pernah didatanginya sebelum ini. Entah mengapa, hatinya kuat benar mengatakan dia harus pergi ke sana melihat sendiri wajah insan itu.

            Allisya lantas berlari keluar dari biliknya, Raihana sempat menegur, “Nak ke mana tu Allisya?”
            “Ke bukit belakang kolej kita. Nanti Sya balik semula.”
            Allisya terus berlari. Dia tidak mengendahkan mata yang memandangnya ketika menuruni tangga. Dia terus melangkah selaju yang mungkin. Entah mengapa, dia berasa sungguh takut sekiranya bayang-bayang itu hilang dari pandangannya.

            Ketika hampir sampai ke kawasan pohon yang merimbun itu, telinga Allisya terdengar alunan muzik yang sangat dikenalinya. Bunyi seruling itu seolah-olah sedang menari-nari masuk ke telinga gadis itu. “Abang Is?” 

            Allisya mendekati dengan berhati-hati agar kehadirannya tidak mengganggu Iskandar yang sedang asyik bermain dengan seruling lamanya itu. Allisya tersenyum dengan hanya memandang wajah pemuda itu. Rambut Iskandar menari-nari apabila diterbangkan oleh angin yang masih bertiup lembut sejak dari tadi. Allisya terus memerhati dan menghayati alunan indah itu.

            Tanpa Allisya sedari, dia terpijak ranting kayu kering yang entah dari mana datangnya sehinggakan mengejutkan dirinya sendiri. Allisya menjerit melahirkan rasa terkejut yang menyerang dirinya itu. 

            Iskandar yang sedang khusyuk bermain dengan serulingnya terhenti dari terus meniup, jarinya berhenti menari di atas batang seruling itu. Iskandar menoleh ke arah datangnya bunyi bising tersebut. Dia kelihatan tenang, namun sebenarnya hatinya terkejut melihatkan kehadiran Allisya di situ. 

            “Allisya?” 

            Allisya menjadi sedikit menggelabah apabila menyedari kehadirannya telah diketahui oleh jejaka itu. “Abang Is, maaflah mengganggu. Saya cuma tertarik mendengarkan bunyi seruling abang, sebab tulah saya ke mari. Saya tak terniat nak mengintip abang.” Allisya cuba memberikan penjelasan. Dia berasa sangat takut mengetahui perbuatannya mengintai Iskandar telah tertangkap, seperti penjenayah pula perasaan bersalahya.
            Iskandar tersenyum mendengar penjelasan Allisya. “Allisya suka dengar muzik seruling abang?” 

            Allisya terdiam mendengar soalan yang diajukan oleh Iskandar itu, dengan segera dia mengangguk. “Suka! Merdu sangat, membelai jiwa. Pandai abang main.” Allisya meluahkan apa yang telah lama terbuku di hatinya. Dia ingin sekali memberitahu kepada pemuda itu betapa indahnya alunan muzik yang dimainkannya itu sehingga mampu membuatkan hatinya berkecamuk sekejap sahaja menjadi tenang semula.

            “Abang boleh tak mainkan lagi untuk Allisya?”

            Iskandar tersenyum, lalu dia terus bermain dengan seruling pemberian orang tersayangnya itu dengan sepenuh jiwanya. Matanya dipejam, menghayati alunan muziknya sendiri. Allisya mendekati Iskandar. Dia duduk di bawah pohon yang tidak jauh dari lelaki itu. Allisya tersenyum dengan hanya mendengarkan irama merdu itu. Kekusutan hatinya seolah-olah hilang diterbangankan angin petang yang datang menyapa sekali-sekala.

            Angin masih bertiup lembut. Beberapa helai daun kering berterbangan di hadapan mata Allisya, sekaligus mengingatkan Allisya kepada daun kering yang masih berada di dalam simpanannya. Daun kering yang dituliskan dengan kata-kata hikmah oleh insan yang tidak dikenalinya itu telah menjadi salah satu harta paling berharga buat Allisya. Mungkinkah insan misteri itu adalah Iskandar? 

            Setelah beberapa ketika, Iskandar mengakhiri iramanya dengan alunan lembut sebagai nokhtah terakhir muziknya. Dia menghela nafas panjang, lalu duduk di bawah pokok tempatnya berdiri. Allisya menepuk-nepuk tangan sambil tersenyum. “Pandai abang main seruling. Dari mana abang belajar main seruling ni ya?” 

            Iskandar tersenyum lalu menjawab, “Abang belajar dari arwah ayah abang sendiri. Seruling ni pun pemberiannya juga. Inilah satu-satunya harta yang ayah abang tinggalkan, selain dari kasih sayang yang pernah dicurahkan dan didikan serta nasihat yang disampaikan arwah kepada abang.” Suara Iskandar tenang. Namun Allisya mengerti, ada kesayuan yang terpendam di hati pemuda itu.

            “Semoga roh arwah dicucuri Illahi. Mesti ayah abang bangga kerana mempunyai anak yang sebaik abangkan.” Allisya cuba memujuk hati jejaka itu. Dia tidak sanggup melihat panglimanya berduka.

            Iskandar tersenyum. Kemanisannya bagai tidak pernah kurang. Malah, semakin dipandang, semakin Allisya merasa bahagia. Tidak pernah pula ada rasa jemu yang bertandang di hatinya dengan melihatkan senyuman itu.

            “Abang tahu, sepuluh tahun dahulu, sewaktu Allisya kecil, Allisya pernah bertemu dengan seorang budak lelaki yang pandai bermain seruling juga. Orangnya manis dan baik seperti abang. Allisya terpecahkan cermin matanya, tapi dia tak marah pun.” Allisya bercerita sambil tangannya bermain-main dengan rumput hijau di kakinya. Ingin sekali dirinya bertanya kepada Iskandar, adakah Iskandar adalah budak lelaki itu? Namun dia tidak berani.

            Iskandar terhenti dari senyum. Seruling yang digenggam di tangannya terlepas begitu sahaja, tergolek menuruni kawasan bukit tersebut. Buat seketika, jiwanya bagai hilang dibawa angin lalu. ‘Sepuluh tahun yang lalu? Cermin mata?’

             Memori Iskandar terbang membelah awan memori hidupnya. Sepuluh tahun dahulu, ketika dia sedang dirundum duka, anak kecil itu muncul dalam hidupnya, memberikan dirinya sinar baru. 

            Sepuluh tahun dahulu, Iskandar telah dimasukan ke bahagian ICU dan dipindahkan ke wad biasa seminggu kemudiannya. Dia mengalami komplikasi pada jantung dan paru-parunya kerana telah menyedut terlalu banyak asap. Selepas dua minggu ditahan di hospital, Iskandar mengumpulkan segala kekuatan yang ada dalam dirinya untuk berjalan menghirup angin segar. Berhari-hari anak kecil itu menangis kerana mendengarkan berita pemergian ayah dan ibu kesayangannya.  Segala-galanya hilang dalam sekelip mata sahaja. Rumah yang menjadi tempatnya berteduh selama ini hangus dijilat api. Iskandar hilang arah dan tujuan dalam hidupnya. Tiada lagi tempat dia menagih kasih, tiada lagi tempat dia mengadu duka dan rajuk di hati.

 “Abah, Ummi …kenapa tinggalkan Is seorang diri?” Rengetan anak kecil itu tidak lagi didengari oleh sesiapa, apatah lagi ibu dan bapanya yang telah pun pergi menghadap Illahi.

            Mata Iskandar bengkak dan terasa sangat sakit. Namun kesakitan yang ditanggungnya itu tidak mampu melawan rasa sedih yang sedang membunuh jiwanya. Tangan anak kecil itu masih erat memegang seruling pemberian ayahnya. Itu sahajalah yang terselamat dari kebakaran tersebut kerana Iskandar menyimpan seruling itu di dalam poket bajunya. 

“Ummi, siapa yang nak senyum pada Is lagi? Siapa yang sanggup curahkan kasih pada Is? Is dah jadi yatim piatu. Is tak nak hidup sendiri. Ummi kata kalau Is jadi budak baik, Ummi tak akan tinggalkan Is. Is tak pernah lawan cakap Ummi, Is selalu tolong abah. Tapi kenapa ummi dengan abah tinggalkan Is?” Dia menangis lagi, air matanya bagai tidak pernah kering. Malah, bagai hampir berdarah menahan esakan derita. 

“Abah….Ummi…” dia terduduk bersandar pada sebatang pokok. Esakannya masih kedengaran. “Ummi dan abah tak sayang Is ke?” Iskandar cuba meniup seruling di tangannya, namun hanya air mata yang mengalir membasahi seruling tua itu. 

“Abah, siapa nak ajar Is main seruling lagi? Siapa yang Is nak rawat, kalau Is jadi doktor nanti?” Iskandar terus menangis. Dia berdiri, lalu menyimpan seruling kesayangannya itu ke dalam poketnya. Tangannya menangkup wajah kecilnya. Dia merayu kepada tuhan, tolonglah, tolong kembalikan cintanya yang hilang. Tolonglah hadirkan insan yang akan mencurahkan kasih kepadanya. Insan yang akan membuatkan dia tersenyum dengan hanya memandang wajahnya, insan yang akan menjadi tempatnya mengadu kasih walau di saat dia suka dan duka. 

“Ummi, siapa lagi yang nak sayang Is macam Ummi sayangkan Is?” Esakannya semakin kuat. Dia menanggalkan cermin matanya. Tangannya menggosok-gosok matanya yang terasa sangat pedih itu. Dikesat-kesatkanya air mata yang berguguran di pipinya yang cengkung itu. Sudah lama dia tidak menjamah makanan. Badannya yang kurus menjadi semakin kecil. Kesakitan di hatinya tiada siapa pun yang mengerti. “Siapa? Siapa lagi yang akan sayangkan Is? Kalau betul tuhan sayangkan Is, kenapa Dia tak kembalikan Ummi pada Is? Kenapa tidak sekurang-kurangnya tuhan hadirkan seseorang untuk menyanyangi Is. Ummi, Is takut hidup sorang-sorang.” Pada ketika itu, sesusuk tubuh kecil melanggar badan kurus anak lelaki itu. Cermin mata yang masih dipegang di tangannya jatuh terhempas ke tanah, lalu dipijak pula oleh anak gadis kecil yang baru sahaja melanggarnya.

Ya, pada saat itulah Iskandar melihat wajah anak kecil itu menangis di hadapannya. Anak kecil itu terdiam dari esakan dengan hanya melihatkan senyuman Iskandar. Tanpa disangka oleh dirinya sendiri, Iskandar mampu tersenyum semula setelah berhari-hari menitiskan air mata. Dia yang sudah tidak mampu meniup seruling lagi, kembali meniup seruling demi memujuk hati anak kecil itu. 

Pada saat itulah Iskandar mula menyedari, hidupnya kini bukan lagi semata-mata mengharapkan kasih, sebaliknya dialah yang harus mencurahkan kasih kepada orang lain pula. Anak gadis kecil itu telah menyedarkan dirinya. Jika dia tidak dapat melihat senyuman yang membahagiakan hatinya dari orang lain, kini sudah tiba masanya dia pula mengukirkan senyuman bagi membuatkan orang lain merasa bahagia.

Wajah anak kecil yang melanggarnya itu masih jelas dalam ingatannya. Wajah itulah yang telah muncul ketika dia melafazkan doa, mengharapkan cinta seorang insan. Wajah itulah yang muncul, ketika dia sedang merayu, mencari jawapan. Wajah itu muncul ketika dia hilang arah tujuan. Wajah itu seolah-olah datang menyemai impian baru dalam hidupnya, lalu membuatkannya menanam azam untuk membuatkan orang lain pula yang merasa bahagia. Sejak itulah, Iskandar tidak pernah berhenti dari terus tersenyum. 

Walaupun pertemuan Iskandar dengan budak perempuan itu terlalu singkat, namun pertemuan itu memberi semangat baru dalam hidupnya. Kerana itulah, Iskandar masih menyimpan cermin matanya yang telah pecah akibat daripada pertembungan yang tidak disangkanya itu. Dia sentiasa berdoa dan berharap agar dia akan diketemukan semula dengan budak perempuan tersebut. Biar pun setahun berlalu, mahupun sepuluh tahun telah berlalu, dia akan terus menanti dan terus menanti. Mungkinkah ini takdir tuhan? Mungkinkah benar, itulah cinta yang dipohonnya sepuluh tahun dahulu? Dan gadis itu ialah Allisya? 

“Abang Is?” Allisya kehairanan melihat Iskandar yang kelihatan bagai sedang menggelamun jauh itu. Dia risau kalau-kalau Iskandar diserang asma mahupun sakit dada yang pernah dialaminya sebelum ini. Allisya tidak sanggup lagi melihat pemuda itu terseksa di hadapan matanya sendiri.

Iskandar tersentak dari lamunannya. Dia memandang lembut ke arah wajah Allisya, wajah gadis yang pernah memberi sinar dalam hidupnya. Adakah itu adalah jawapan kepada segala rasa pelik yang bertandang di hatinya selama ini? Jadi benarlah selama ini dia merasa cemburu? Perasaan cemburu melihat hati Allisya disentuh oleh Zaem?

“Abang Is tak apa-apa?” Suara Allisya sekali lagi menyapa ke cuping telinga Iskandar.
Iskandar menarik nafas panjang. ‘Astaghfirullah Al-Azim, kenapa dengan aku ni?’ Iskandar beristighfar mengenangkan perasaannya yang sedang bergolak itu. Dia harus tenang, tenang menghadapi segala dugaan yang mendatang. Mungkin ini juga ujian baru yang hadir dalam hidupnya. Mungkin keimanannya sedang diuji, dia sendiri tidak pasti. Iskandar mengeluh. Namun dia tidak menafikan, mungkin jugakah tuhan telah memakbulkan doa yang dipohonnya selama sepuluh tahun ini? Doanya untuk bertemu cinta pertamanya? Cinta yang lahir bukan kerana hawa nafsu, namun cinta yang lahir kerana keikhlasan hati. Allahualam, sesungguhnya Dia lebih tahu. 

            “Abang tak apa-apa Allisya. Abang ni memang kadang-kadang suka termenung. Maafkan abang ya.” Iskandar mengeluarkan sapu tangan putih dari dalam poket blazernya. Dia mengesat dahinya yang kelihatan sudah dibasahi dengan peluh itu. Angin sedang bertiup kuat, bagaimana pula dia boleh berpeluh?

            Allisya mengukirkan senyuman. Hatinya lega apabila mengetahui tiada apa-apa pun yang terjadi terhadap panglimanya itu. 

            “Abang, Allisya nak tanya sesuatu boleh?” Allisya menyusun kata-katanya dengan berhati-hati. Ada persoalan yang bertandang di hatinya, dan dia ingin sangat menemui jawapannya.

            Iskandar memandang kehairanan. Allisya menyambung kata, “betul ke apa yang pelajar-pelajar lain kata berkaitan dengan Zaem?”

            “Tentang apa Allisya?” 

            “Tentang hubungan Zaem dengan Kak Fazura dan tentang peristiwa hitam yang berlaku pada tahun lepas.” Allisya tunduk. Dia tidak berani memandang mata Iskandar yang kelihatan sedang berkelip-kelip cuba mengerti kata-kata Allisya. Mungkin mata Iskandar tidak secantik mata Zaem, namun mata hitam Iskandar itu jugalah yang mampu menggocang imannya.

            “Apa yang Allisya dengar?” Iskandar mengukirkan senyuman yang lebar tatkala dia menyedari wajah Allisya telah bertukar menjadi tawar. Apakah yang merunsingkan gadis itu?

            “Allisya dengar benda baik dan buruk. Kisah-kisah yang berbeza dari orang yang berlainan. Jadi Allisya nak dengar sendiri dari abang Is memandangkan abang paling rapat dengan Zaem.”

            Iskandar mengeluh. Dia tahu hari ini akan tiba juga. Hari di mana isu yang berkaitan kisah Zaem dan Fazura akan dibuka semula.  Helaian muka surat itu belum dikoyakkan lagi, Cuma dipadamkan sahaja. Adakah kisah itu akan dituliskan semula? Iskandar tidak pasti.

            “Allisya, jika kita hendak tahu tentang kelebihan seseorang itu, kita tanyakan sahaja pada orang yang mencintai dan menyayanginya. Manakala, apabila kita ingin pula mengetahui keburukan serta kelemahan dirinya, tanyalah sahaja pada orang yang memusuhinya. Namun, yang menyanyangi tidak semestinya berkata benar, dan yang benci tidak semestinya menyebarkan fitnah. Jadi Allisya agak, apa yang abang akan kata kalau Allisya bertanya tentang kisah kawan baik abang sendiri?”

            Allisya kurang mengerti pada awalnya, namun perlahan-lahan dia mula faham akan kata-kata Iskandar itu. “Pastinya abang akan bercerita yang baik-baik sahaja.” Allisya menjawab persoalan Iskandar.
            “Betul tu. Suatu hari nanti Allisya akan kenal diri Zaem dengan sebenar-benarnya dan Allisya akan tahu kisahnya tanpa ada orang lain yang perlu menceritakannya.” Iskandar menjawab tenang. Matanya sedang merenung ke langit yang hampir bertukar warna itu.

            “Tapi abang Is, macam mana Allisya nak tahu? Macam mana Allisya nak percaya kisah yang benar jika kisah yang direka-reka sedang tersebar luas? Dari mana Allisya nak tahu kebenarannya?”

            “Allisya, bukankah mata kita memilih untuk memandang cahaya walaupun kita sedang berada dalam gelap? Percayalah kepada mata hati Allisya. Percayalah, hati kita akan memilih perkara baik berbanding keburukan. Apa yang penting, bersangka baiklah sesama manusia, terutamanya sesama saudara seislam kita sendiri. Godaan syaitan datang dari pelbagai sudut, maka kita harus tahu membezakan mana yang benar, mana yang salah.”

            “Tapi macam mana abang Iskandar melihat kebenaran? Bagaimana membezakan yang tulen atau palsu?” Allisya masih keliru dengan jawapan Iskandar. 

            “Pilihlah untuk bersangka baik. Latihlah mata hati kita untuk memandang kebaikan dalam diri seseorang, bukannya keburukan semata-mata.” Iskandar menoleh ke arah Allisya seraya mengukirkan senyuman.

            Allisya membalas senyuman panglima itu. Mungkin dia masih belum mengerti tentang apa yang ingin disampaikan oleh Iskandar, namun sekurang-kurangnya hatinya menjadi semakin tenang mendengar kata-kata hikmah dari insan yang sangat dihormatinya itu.

            “Allisya, hari pun dah beransur lewat. Apa kata kita pulang?” Iskandar melahirkan kerisauan di hatinya. Tidak manis dia dan Allisya terus menerus berdua-duaan seperti itu. Dia tidak takut jika dirinya yang ditaburi fitnah, tetapi dia tidak mahu gadis sebaik Allisya diumpati oleh orang lain.   
            “Baiklah. Jom abang Is.” Allisya menyahut ajakan Iskandar.

            Iskandar tersenyum lalu membalas, “Allisya pergilah dahulu. Abang nak mengemas barang-barang abang dulu.”

            Allisya mengangguk setuju. Dia menuruni kawasan bukit tersebut. “Abang Is, kita jumpa dalam mesyuarat kelab Permata Hati tak lama lagi ya.” Allisya seolah-olah sedang cuba mengikat janji untuk bertemu kembali dengan pemuda itu. Namun Iskandar menjawab, “Allisya, abang tak datang mesyuarat minggu ni. Abang akan ke konvensyen perubatan yang akan diadakan di Australia.”

            Jantung Allisya terasa bagai dipanah dengan dengan busur beracun. Benarkah apa yang didengarinya? Maksudnya dia tidak dapat bertemu kembali dengan panglimanya pada perjumpaan yang akan datang, apatah lagi di kawasan kampus USAS. 


“Bila abang akan pergi?”
            “Esok.” Iskandar menjawab pendek. Dia juga bagai terasa sayu mengenangkan dirinya terpaksa meninggalkan gadis yang selama ini dicari-carinya dalam mimpi itu. Baru hari ini dia sedar, gadis itu berada betul-betul di hadapan matanya. Namun esok dia harus pergi, berpisah dengan wajah itu lagi. Iskandar percaya pada takdir tuhan. Mungkin inilah takdirnya, bertemu dan berpisah kerana-Nya.

            “Kalau macam tu Allisya doakan abang selamat. Selamat pergi dan kembali.” Allisya mengukirkan senyuman semula, namun senyumannya tawar dan pudar dari rasa ceria.

No comments:

Post a Comment