Monday 15 August 2011

BAB 11: SIAPA YANG BERSALAH?



            Allisya duduk termenung di meja kuliahnya. Fikirannya melayang memikirkan pelbagai perkara. Raihana di sebelahnya diam tidak bersuara. Sejak Zaem meluahkan perasaannya kepada Allisya, hati Allisya menjadi tidak tenang. Raihana semakin kurang bercakap dengannya, kadang-kadang langsung tidak bersuara. ‘Raihana marah ke?’ Allisya berbisik sendiri. Matanya masih memandang Raihana, tetapi Raihana sengaja buat-buat tidak nampak. Allisya keliru. Adakah dirinya yang bersalah hanya kerana orang yang sahabatnya minati itu menyukai dirinya? Allisya menghela nafas panjang, dia sedikit khuatir sekiranya dia telah menyakiti hati Raihana. Raihana telah menjadi kawannya sejak hari pertama dia melangkah masuk ke USAS. Selama ini hanya Raihanalah yang menjadi tempat luahan hatinya. Kini, Raihana pula yang memalingkan wajahnya ketika Allisya dalam keadaan yang amat memerlukan.

 ‘Kepada siapa harus aku mengadu?’ Allisya meraup wajahnya. Benarlah kata orang, hati manusia mudah sahaja berubah-rubah. Ikatan persaudaraan pun boleh terputus hanya kerana perkara yang remeh temeh, inikan pula ikatan persahabatan yang hanya berteraskan kepercayaan. Jika benteng kepercayaan itu runtuh, mudah sahaja perasaan cemburu, hasad dengki dan salah sangka bermaharaja lela di dalam hati. ‘Ya tuhanku, Engkau peliharalah diriku dari sifat hasad dengki dan perbuatan aniaya orang lain. Engkau kuatkanlah kepercayaan antara aku dan Raihana agar persahabatan yang baru dibina ini tidak runtuh dengan begitu sahaja. Hanya kepadaMu tempatku mengadu dan memohon pertolongan. Amin Ya Rabbal Alamin.’

Allisya kembali merenung mejanya. Tangannya bermain-main dengan pen yang berselerak di atas meja. Seketika, telefon bimbit Allisya yang berada dalam mode ‘senyap’ bergetar dari dalam poket baju kurungnya. Tanpa berlengah, Allisya membaca mesej yang diterimanya itu. 

Ibu kata cuti seminggu untuk pertengahan semester ni, awak tak payah balik rumah. Nanti awak ganggu saya belajar.

Allisya tidak menunjukkan sebarang mimik muka ketika membaca mesej pesanan ringkas daripada Anissa itu. Dia sudah lama mengagak, mesti mereka tak mahu Allisya pulang cuti ni. Entah apa yang membuatkan Anissa dan Mak Cik Aninya terfikir yang dia akan mengganggu sepupunya itu belajar. Allisya sendiri sudah berjaya membuktikan kepada ibu saudaranya itu bahawa dia boleh berjaya dalam pelajaran dan kini dia sudah pun berada di salah sebuah universiti terbaik di dalam negara.  Tambahan pula, Allisya sendiri pun boleh membantu sepupunya itu belajar untuk menghadapi peperiksaan SPM yang akan menjelang tidak lama lagi. Adakah mereka sekadar menganggap dirinya sebagai bebanan? Jijik sangatkah mereka kepada dirinya? Allisya hanya mengeluh. Dia tidak mahu membebankan mindanya berfikir tentang perkara yang hanya membuatkan hatinya sakit.

“Kelas batal!” Allisya tersentak mendengarkan berita yang disampaikan oleh Zairin itu. Pelajar-pelajar lain bertempik kegembiraan, seolah-olah seperti menyaksikan Malaysia memenangi piala dunia. Raihana juga kelihatan teruja, tetapi tidak sedikit pun Raihana berkongsi kegembiraannya itu dengan Allisya. Allisya sedikit kecewa. Dia cuba sedaya upaya menyembunyikan perasaannya. 

Berbeza dengan pelajar lain, Allisya kelihatan sungul dan kecewa mendengarkan berita pembatalan kelas mereka itu. Dia tidak tahu, ke mana hendak dibawa dirinya itu untuk menghabiskan masa yang terluang. Sekiranya Raihana tidak marah dengannya, pasti mereka sudah membuat perancangan untuk keluar bersama.

“Raihana, jom kita pergi ke pejabat pentadbiran. Nanti bolehlah kita singgah di kedai Mak Cik Donut.” Atiqah menyapa Raihana dari belakang, dengan segera sahaja Raihana mengangguk setuju. “Allisya tak nak pergi sama?” Allisya tidak mampu bersuara mendengarkan soalan yang diajukan oleh Atiqah itu. Dia berharap soalan itu datang dari mulut Raihana sendiri.

Raihana mula bersuara apabila melihat Allisya senyap sahaja, “Tiqah, Allisya sibuk agaknya. Kita pergi berdua jelah ya.” Raihana bingkas bangun menarik tangan Atiqah. Matanya langsung tidak memandang Allisya yang hanya berada di sebelahnya. Mata Allisya mengekori langkah Raihana dan Atiqah yang sedang keluar dari bilik kuliah tersebut. Jauh di sudut hati Allisya, dia berasa kecewa dengan layanan yang diberikan Raihana terhadap dirinya. Perlahan-lahan, Allisya mengemas alatan menulisnya yang bertaburan di atas meja. Kertas-kertas kosong yang telah disediakannya untuk menyalin nota kuliah disimpannya kembali ke dalam fail. Allisya bangun, lalu melangkah keluar bersama-sama pelajar lain.

Allisya berjalan sambil menunduk ke lantai. Semangatnya seolah-olah telah hilang. Matanya memerhatikan setiap jubin lantai yang dipijaknya, sehinggakan dia tidak sedar bahawa dia telah terlanggar seseorang. 

“Allisya, kamu tak apa-apa ke?” Dr. Hudhaifah menegur Allisya. Dia hairan melihat perubahan sikap yang ditunjukan oleh pelajarnya itu. Setahunya, Allisya seorang pelajar yang ceria. 

“Ah, Dr. Hudhaifah, maafkan saya. Saya tak perasan Dr. di depan saya tadi. Saya tak sengaja.” Allisya segera memohon maaf. Dalam hidup Allisya, dia selalu sahaja terlanggar orang lain. Sifat gelabahnya tak pernah hilang.

“Tak apa-apa. Kalau awak tak sihat, lebih baik berehat di bilik sahaja. Muka awak pun nampak pucat.” Pensyarah muda yang berusia awal 30an itu melahirkan perasaan khuatirnya. Allisya hanya tersenyum. Kalau boleh, hendak sahaja dia berkongsi masalahnya dengan pensyarah yang mengajar kursus Genetiknya itu. Tetapi apakan daya, mulutnya terkunci. Dia pun tidak rapat mana dengan penasihat akademiknya itu. “Jaga diri kamu baik-baik. Saya ada kelas ni.”  Dr. Hudhaifah segera melangkah pergi meninggalkan Allisya seorang diri. Allisya meneruskan perjalanannya merenangi lautan yang diselubungi dengan rasa duka dan kecewa.

Allisya kelihatan tidak bermaya. Dia berjalan menyusuri laluan tanah merah di belakang kolej kediamannya. Dia merancang untuk meluangkan masanya di kawasan bukit yang pernah dilaluinya sebelum ini. Allisya duduk di bawah pohon yang rimbun. Di sinilah tempat di mana dia melihat Iskandar bermain seruling seorang diri. Beberapa kali, tudung berwarna hijau muda yang dipakai Allisya ditiup angin. Allisya membiarkan sahaja hujung tudungnya itu menari-nari mengikut tiupan lembut angin. Lagi pun, bukannya ada orang yang melihatnya. Kawasan di sekelilingnya sunyi dari kelibat orang ramai. Dia berasa selesa meluangkan masanya di sini.

Allisya terus termenung mengenangkan nasibnya itu. Lututnya memangku dagunya manakala kedua-dua belah tangannya memeluk erat kakinya. Allisya berasa sungguh hairan, bagaimanakah orang seperti Zaem itu boleh disukai ramai?  Allisya tidak nampak sebarang kelebihan yang ada pada Zaem melebihi apa yang ada pada Iskandar selain daripada warna matanya yang terlalu menyerlah itu.

‘Kenapa dengan Zaem ni? Bergurau tak kena tempat. Dia tak tau ke perbuatan dia ni boleh menyebabkan peminat-peminat dia marah dan kecewa? Tak pasal-pasal aku yang menjadi mangsa.’ Allisya mengeluh, merungut-rungut seorang diri. Dia tidak menyangka Zaem sanggup bertindak sedemikian rupa. Adakah Zaem tidak berfikir dengan waras ketika merancang untuk melakukan perkara tersebut? Allisya cuba sedaya-upaya untuk memadamkan ingatannya tentang apa-apa perkara yang berkaitan dengan Zaem. Fikirannya kembali kepada Raihana.

‘Mengapa Raihana tergamak melayani aku seperti itu sedangkan kami dah berjanji untuk menjadi kawan baik di universiti ni?’ Mata Allisya hampir berair memikirkan hubungan mereka yang kini bagaikan telur yang berada di hujung tanduk sahaja. Dia tidak sangka, Raihana sanggup bermasam muka dengannya hanya kerana seorang lelaki. Adakah setakat itu sahaja nilai persahabatan mereka? Mungkin ada benarnya, kerana mereka baru sahaja mengenali antara satu sama lain. Jika difikirkan semula, Allisya pun akan berkecil hati sekiranya mengetahui Iskandar menyukai gadis lain. Pasti dia juga akan merasa kecewa seperti mana yang Raihana rasakan sekarang ini. Melihat Iskandar berbual mesra dengan gadis lain pun dah cukup membuatkan hati Allisya cemburu, apatah lagi melihat Iskandar menjalinkan hubungan istimewa dengan wanita lain.

Sedang Allisya asyik bermain dengan perasaannya, sehelai daun kering sebesar tapak tangannya melayang dan jatuh di hadapan Allisya. Mata Allisya sekadar memerhati. Namun, apabila angin mula bertiup semula, dengan segera tangan Allisya menangkap daun kering itu. Dibelek-beleknya daun kering tersebut.

Senyumlah, kerana senyuman itu adalah kunci kebahagian. Orang yang sentiasa tersenyum dan mampu membuatkan orang lain tersenyum adalah orang yang paling bahagia.’ 

Mata Allisya terkebil-kebil membaca tulisan kecil di atas daun kering itu. Buat seketika, Allisya tersenyum dengan hanya memandang mesej tersebut. Siapakah insan yang berjiwa romantis ini? Menulis dia atas daun kering demi memujuk hati Allisya yang sedang berduka, malah tanpa perlu bersua muka. Siapakah dia? Allisya bangun dari duduknya. Dia memandang ke sekeliling kawasan bukit tersebut. Satu bayang manusia pun tidak kelihatan. Entah mengapa, hati Allisya kuat merasakan bahawa seseorang sengaja menulis di atas daun kering tersebut dan mengutuskannya melalui angin semata-mata kerana ingin memujuk hati Allisya yang sedang bersedih. Orang itu pasti berada tidak jauh darinya.

Allisya masih tercari-cari, dengan harapan insan yang akan muncul itu adalah Raihana. Dia benar-benar berharap Raihana sengaja berbuat demikian demi memujuknya. Namun, harapan Allisya hampa. Tiada langsung bayangan manusia yang hadir di kawasan bukit tersebut. Allisya duduk kembali ke tempat dia termenung tadi. Walaupun pengirim mesej di atas daun kering itu bukan Raihana, sekurang-kurangnya mesej itu berjaya membuatkan Allisya tersenyum di saat dia terluka. ‘Siapakah pengirim daun kering ini? Adakah seseorang yang dikenalinya? Benarkah ada panglima yang sentiasa memerhatikannya dan menjaganya dari jauh?’ 

"Senyumlah, kerana senyuman itu adalah kunci kebahagian. Orang yang sentiasa tersenyum dan mampu membuatkan orang lain tersenyum adalah orang yang paling bahagia"


*                      *                      *

            “PERBUATAN ENGKAU DAH MELAMPAU!” Azim membentak ke arah seorang pemuda berusia awal 20an. Bilik tersebut kelihatan gelap. Sengaja Azim mengajak pemuda tersebut bertemu dengannya di tempat yang lengang itu. Ada perhitungan yang perlu dibuatnya. 

            “Engkau yang sengaja mulakan kebakaran pada malam tu bukan?” Azim melemparkan sesuatu dari poketnya ke atas meja. Kad pelajar yang berwarna biru muda itu kelihatan pudar dan sedikit bercalar, namun nama pemiliknya masih jelas kelihatan.

            “Aku jumpa kad pelajar ni dalam bilik stor yang terbakar tu sebaik sahaja aku dengan MPP lain berjaya padamkan api. Aku yakin, engkau pun tak perasan yang kad engkau terjatuh di tempat kejadiankan. Sebab itulah engkau selamba je tanya orang tentang kad kau yang hilang tu semalam.” Azim berganjak menghampiri lelaki tersebut.

“ Engkau sendiri pun tak sedarkan bila kad kau hilang? ” 

Lelaki berbaju kemeja putih itu terdiam mendengarkan kenyataan Azim. Soalan yang dilemparkan Azim itu pun tak mampu dijawabnya.

“Engkau dah cukup bernasib baik aku tak serahkan kad pelajar kau ni kepada pihak berkuasa atau pihak keselamatan USAS. Kalau tak, engkau pasti tak akan dapat bersenang lenang sekarang ni!”

Azim melemparkan pandangannya yang tajam dan menakutkan ke arah lelaki tersebut. Api kemarahan seperti sudah menguasai dirinya. Selama ini hanya Iskandar yang mampu meredakan perasaan marahnya, tetapi sekarang ini Iskandar tiada di sisinya. Dia perlu menahan dirinya dari mengikut perasaan. 

“Engkau tau tak perbuatan engkau ni hampir meragut nyawa seseorang! Engkau tau siapa? ISKANDAR!”

Pemuda yang berada di hadapan Azim itu menggigil-gigil menahan rasa takut.

“Aku tak terniat Azim. Farid yang minta aku buat semua tu. Dia kata Zaem yang bertanggung jawab ke atas apa yang berlaku pada Fazura tu. Lagi pun Fazura tu kawan aku juga. Aku cuma nak bantu Farid beri amaran pada Zaem je. Itu sahaja. Aku tak tau yang Iskandar tu ada masalah kesihatan. Aku tak terniat nak cederakan Iskandar. Kau pun taukan, aku dah anggap Iskandar tu macam abang aku sendiri.” Lelaki itu berusaha memberikan penjelasan sedaya-upayanya agar Azim mengerti. Dia benar-benar berharap hati Azim akan sejuk apabila mendengar penjelasan darinya.

“Sebab tulah engkau tak patut dimaafkan! Orang macam kau ni memang tak pernah kenang budi! Berapa kali aku nak ingatkan kau? Apa yang berlaku pada Fazura bukan salah Zaem!” 

Azim menarik kolar baju lelaki tersebut dengan sekuat hatinya sehinggakan lelaki muda itu terangkat ke depan daripada tempat duduknya.

“Maafkan aku Azim. Aku cuma buat apa yang diarahkan Farid. Dia kata dia tak dapat masuk universiti ni lagi sebab pihak keselamatan dah haramkan dia masuk ke USAS sejak peristiwa amuk hari tu. Lagi pun Azim, aku cuma nak kasi berasap sikit je untuk menakut-nakutkan Zaem. Aku tak sangka pula api sekecil tu boleh marak. Bilik stor tu pun banyak sangat kertas lama.” Pelbagai alasan diberikan.  Lelaki tersebut merayu seolah-olah nyawanya hanya tinggal beberapa minit sahaja lagi sebelum ditamatkan oleh Azim.

“Kau tak perlu bagi alasan lagi. Aku bukannya pemaaf macam Iskandar. Aku tau kau dah pun pergi merayu pada Iskandar waktu dia dekat hospital hari tukan. Sebab tulah Is seboleh-boleh tegah aku dari berjumpa dengan kau.”

Lelaki tersebut mengangguk-ngangguk. Kakinya menggeletar seolah-olah baru keluar dari bilik penyejuk beku. 

“Tapi kau kena ingat, jangan sampai aku hilang sabar. Waktu tu, Is pun tak akan dapat halang aku dari bunuh engkau dengan Farid!”

Lelaki muda itu menelan air liurnya. Tekaknya terasa sakit walau tidak dicekik. Pandangan mata Azim sedikit demi sedikit membunuhnya dari dalam. Perasaan bersalah dan takut menyerangnya secara bertubi-tubi.

“ Tak Azim, aku tak berani.”

Nani NA

No comments:

Post a Comment