Saturday 8 October 2011

BAB 28: KURELAKAN PERGI


            “Kak, kenapa mesti saya seorang je yang kena angkat dan simpan barang-barang ni?” Zairin merungut sambil menekankan ton suaranya dengan nada yang sayu. Suaranya juga bergema di seluruh dewan besar USAS itu.

            “Buat jelah. Dah kamu je yang ada cuti ni. Orang lain balik kampung, terpaksalah akak suruh kamu je yang angkut barang-barang SWM ni ke bilik stor.” Zarina menjawab sambil mengilatkan kuku jari tangannya. Gadis itu turut menambah, “Budak-budak kelab ni pun satu, dah guna barang-barang ni bukan reti nak simpan betul-betul. Tak pasal-pasal akak yang kena tegur dengan pihak atasan.” Zarina terus menerus membebel memberikan penerangan kepada Zairin. Dia meniup-niup kukunya, tidak sedikit pun rasa kasihan lahir dalam hatinya untuk membantu Zairin.

            “Tapi, kenapa mesti saya kena buat sorang-sorang? Kenapa akak tak tolong?” Zairin yang sedang mengangkat sebuah kotak besar yang berisi penuh dengan alatan pementasan SWM kelihatan hampir terhuyung-hayang kerana kepenatan. Sejak dari pagi lagi dia sudah ada di situ untuk membantu pengerusi kelab SWM tersebut.

            “Akak perempuan, tak akan kamu nak suruh akak angkat barang-barang berat macam ni. Lagi pun, kamukan satu-satunya lelaki idaman Malaya yang tinggal dekat kampus ni. Jadi, buat jelah.” Zarina sengaja berdalih, memberikan alasan yang tidak cukup menyakinkan.

            “Perempuan tak boleh angkat gabus dengan kertas ke kak?” Zairin sedikit memerli. Sekurang-kurangnya tak akanlah Kak Zarina tak boleh membantunya mengutip kertas-kertas yang bersepah di atas lantai. Bukannya berat sangat pun. 

            “Amboi, boleh tahan juga mulut kamu ni ya Rin!” Zarina melemparkan jerlingan tajam seraya memberikan amaran keras kepada pemuda itu. Zairin hanya tersengih.

            “Bantu-membantu tukan amalan mulia, kak. Tapi, bukan saya seorang jekan lelaki yang ada dekat kampus ni. Abang Zaemkan ada, kenapa akak tak suruh dia sekali? Kereta sikit punya besar, tak akanlah tak boleh datang sini. Tu belum masuk Ah Chong dengan Ravi lagi.” Zairin masih tidak berputus asa, merayu untuk mendapatkan pertolongan.

            “Pertamanya, Zaem tu ketua MPP. Pangkat dia pun lagi tinggi dari akak, sesuka hati kamu je nak suruh akak panggil-panggil dia. Yang kedua, siapa Ah Chong dengan Ravi tu? Jangan nak reka-reka nama orang yang tak wujud dalam USAS ni!”

            “Kak Zarina ni, Abang Zaem tu bukannya anak raja pun. Entah apa yang ada pada dia tu sampai orang asyik ikut cakap diaje. Walhal, darah yang mengalir dalam tubuh dia tu pun sama je merah macam darah saya. Lainlah kalau keturunan Mahsuri, mungkin warna putih. Tak pun dia ada penyakit terlebih sel darah putih ke. Logik juga.” Ujar Zairindengan nada sedikit mengejek.

            Zarina menjerling kepada Zairin. ‘Banyak pula jawabnya budak ni.’

            “Oh ya, Ah Chong dengan Ravi tu wujudlah kak, tu kawan saya waktu darjah satu dulu.” Zairin membalas jerlingan marah Zarina dengan wajah yang tersengih bagaikan kerang busuk.

            “Dahlah Rin! Jangan nak merepek lagi, sakit telinga akak dengar. Cepat angkat barang-barang ni semua masuk ke stor belakang. Cari stor yang ada tanda SWM dan satu lagi, jangan tinggalkan satu habuk pun dekat sini.” Zarina kelihatan sudah malas untuk melayani kerenah Zairin.

            “Lagi pun, kamu tak nak bukan kalau akak bocorkan rahsia kamu?” Zarina seolah-olah sedang mengugut. Zairin tidak lagi mampu tersengih.

            “Tolonglah kak jangan beri tahu sesiapa. Saya sanggup buat apa je yang akak suruh, tapi tolonglah simpankan rahsia saya.”

            “Sebab akak tolong kamulah akak tak beri tahu orang bila ada yang tanya. Jangan risau, akak bukannya mulut tempayan.”

            Zairin berasa sedikit sangsi dengan kenyataan Zarina. ‘Boleh percaya ke ni?’
            “Assalamualaikum,” Kedengaran suara lembut seorang gadis membelah perbualan di antara dua pelajar USAS itu.

            “Wa’alaikumussalam!” Zarina dan Zairin menjawab serentak.

            “Eh, Allisya! Ada hal apa ni dik?” Zarina kelihatan terkejut dan kehairanan melihatkan kehadiran Allisya di dewan besar USAS yang sedang kosong itu. Sejak bila Allisya sampai? Adakah Allisya turut mendengar perbualan mereka tadi?

            “Tak balik kampung ke?” Zarina bertanya lagi.

            “Allisya,”Zairin sempat menegur sambil melambai-lambaikan sebelah tangannya. Kotak yang diangkatnya tadi sudah pun diletakan semula di atas lantai dewan.

            Allisya membalas lambaian kawan sekuliahnya itu sebelum dia membalas pertanyaan Zarina. “Tak balik pun akak. Banyak sangat yang nak diulangkaji. Saya datang ni pun sebab ada hal sikit nak minta tolong akak.”
            “Apa dia?”

            “Em…” Allisya sedikit teragak-agak untuk bertanya. Zairin pula kelihatan seperti sedang memasang telinga.
            “Rin, buat apa tercegat dekat sini? Pergilah simpan barang-barang tu.” Zarina terkejut melihatkan Zairin yang masih belum berganjak daripada kedudukan asalnya. Kalau macam ni bila kerja nak siap? Terkocoh-kocoh Zairin mengangkat semula kotak tadi dan mengangkutnya ke belakang.

            “Kenapa ya Allisya nak jumpa akak?”

            “Kalau akak tak keberatan, boleh tak kalau saya nak tengok senarai nama ahli kelab SWM?” Akhirnya Allisya menemui kekuatan melafazkan hasrat hatinya.

            “Senarai nama ahli SWM? Nak buat apa? Peliklah, kenapa semua orang pun nak ambil tahu tentang kelab kami ni?”

            “Semua orang? Maksud akak?” Allisya kehairanan mendengar kata-kata Zarina. 

            “Yalah, mana taknya. Sebelum ni Azim pun pernah jumpa akak dan baru-baru ni pula Iskandar asyik tanya ahli-ahli SWM kalau-kalau ada sesiapa yang hilang pin logo kelab mereka.”

            Allisya terdiam mendengarkan jawapan Zarina. Tak akanlah dia perlu beri tahu Zarina bahawa dia ingin melihat senarai nama ahli-ahli kelab SWM semata-mata untuk mencari suspek yang dimaksudkan Azim. Mencari pemilik pin tersebut, itulah tujuan utamanya. Memandangkan Allisya merupakan pelajar baru, dia tidak mengenali mana-mana ahli SWM selain daripada Zarina sendiri, yang juga memerangkap pengerusi kelab Seni dan Warisan Melayu itu. Mungkin dengan melihat senarai nama ahli kelab itu, dia dapat melihat nama-nama lain yang dikenali, lalu dapatlah dia bertanya kepada mereka dengan lebih lanjut lagi.

            “ Kenapa Allisya?” Zarina bertanya.

            Allisya masih diam. Dia seperti sedang tergamam. Allisya sendiri tidak tahu entah sejak bila, semangatnya juga sedang berapi-rapi mencari kebenaran.

             “Allisya, kenapa?” Zarina bertanya lagi, tetapi Allisya masih diam. 

            Allisya masih menggelamun memikirkan perkara yang berkaitan. ‘Kalau Abang Azim dengan Abang Is dah tanya, tak akanlah mereka belum jumpa lagi pemilik pin tu? Maksudnya memang pemilik pin tu tak nak mengaku ke?’

            “Allisya!” Kali ini suara Zarina telah pun meninggi.

            “Kak, saya minta maaf. Em, apa yang akak tanya tadi ya?” Allisya yang telah jauh terbang dalam fikirannya sendiri itu tersentak sebaik ditegur Zarina buat kali yang ketiga.

            “Akak tanya kenapa Allisya nak tengok senarai nama ahli kelab akak? Tapi tak apalah, rasanya soalan akak tu tak penting lagi sebabnya akak memang tak boleh tunjukan senarai nama ahli kami pada orang luar.”

            “Tapi kenapa kak?”

            “Polisi baru.” Zarina menjawab ringkas.

            “Polisi baru? Sejak bila kak?” Allisya kehairanan. Setahunya, tiada sebarang polisi yang menghadkan pelajar lain daripada melihat senarai  nama pelajar dalam sesebuah kelab terbuka yang berdaftar di bawah universiti?

            “Sejak hari ni.” Sekali lagi Zarina menjawab ringkas. Dia seperti acuh tidak acuh sahaja melayan Allisya.

            “Kenapa baru hari ni ada polisi macam ni?” Allisya masih tidak berputus asa mencari jawapan.

            “Suka hati akaklah nak buat polisi baru bila-bila pun akak suka. Tukan kelab akak.” Geram juga hati Zarina melayan budak mentah yang banyak soal itu. Dia hairan, entah apalah yang ada pada budak perempuan yang bendul itu sampaikan Zaem yang kacak tu boleh jatuh hati.

            ‘Budak kampung je. Nak kata cantik, cantik lagi aku!’

            Allisya terpinga-pinga mendengarkan jawapan yang dilafazkan Zarina sebentar tadi.

            ‘Peliklah Kak Zarina ni. Rasanya memang semua orang yang belajar di USAS ni pelik-pelik belaka, terutamanya wakil-wakil MPP ni.’ Allisya turut bermonolog di dalam hati.

            “Oh ya, Allisya tolong akak sikit!” Tiba-tiba Zarina bersuara semula. 

            “Tolong apa kak?” 

            “Akak ada projek mini untuk buat kajian tentang ‘cinta siswa’. Cinta di kalangan mahasiswa universiti. Akak nak Allisya tolong isikan borang survey akak. Boleh?”

            “Em…” Allisya sedikit teragak-agak untuk menjawab. Kajian tentang cinta? Namun Zarina tidak kelihatan seperti ingin menantikan jawapan daripada Allisya. Dia menarik lengan gadis itu ke bahagian kerusi penonton di dewan tersebut. Terkejut Allisya dibuatnya.

            “Ni borang questionnaire. Isi sebelum balik.” Zarina tidak kelihatan seperti ingin meminta tolong, sebaliknya lebih kepada memaksa.

            “Krek…” bunyi pintu dewan besar dibuka menarik perhatian kedua-dua orang gadis itu untuk memandang.

            “Eh, Iskandar? Awak buat apa dekat sini?” Zarina tidak berlengah menyapa pemuda itu.

            “Zarina, saya…” Iskandar terhenti daripada meneruskan kata-katanya apabila terpandang sahaja wajah Allisya. Mengapa Allisya juga berada di sini?

            “Ni mesti nak tanya tentang kelab SWM bukan? Agaknya majlis malam kebudayaan hari tu beri kesan besar kepada penonton sampaikan kelab kami boleh jadi sepopular ni.”

            Iskandar hanya tersenyum mendengarkan kata-kata Zarina. Bagaimana hendak dia nafikan, sedangkan itu sememangnya niat sebenar dia ingin bertemu Zarina. Dia ingin bertanyakan tentang pin logo tersebut. Dia sudah bertanya kepada ahli-ahli lain yang dikenalinya, tetapi tidak secara terus kepada Zarina.

            “Abang Is,” Allisya turut menegur Iskandar, sambil mengukirkan senyuman.

“Allisya apa khabar?”

“Sihat, Alhamdulillah.” Allisya membalas soalan Iskandar dengan senyuman. Dia berasa sangat gembira ditegur oleh pemuda itu. Berbunga-bunga hati gadis itu melihat kehadiran panglima idaman hatinya itu.
“Oh ya, awak pun isilah  sekali borang kaji selidik ni Iskandar.” Zarina menyampuk tanpa memberi amaran. Kini Iskandar pula yang sedang terpinga-pinga melihatkan kertas yang dihulurkan kepadanya.

“Borang kaji selidik?” Iskandar bagai mati idea untuk memberikan sebarang reaksi yang positif. Tujuannya datang untuk bertanya kepada Zarina tentang sesuatu perkara, tetapi tiba-tiba pula dia disuruh mengisi borang tersebut tanpa sebab yang jelas. Tercengang-cengang Iskandar jadinya.

“Yalah, ni projek mini akhir sem saya Is. Is isi ya?”

“Oh, boleh. Tentang apa ya?”

“Tentang cinta.” 

Berdesing telinga Iskandar mendengarkan jawapan Zarina. “Cinta?”

“Ya cinta. Cinta Siswa. Awak tak pernah jatuh hati ke Iskandar sepanjang berada di USAS ni? Tak akanlah. Beribu-ribu ikan di lautan, takkanlah tiada satu pun yang terkena umpankan?”

Iskandar tidak menjawab soalan Zarina. Entah mengapa, saatnya mendengar patah kata ‘cinta’, matanya terpaku kepada wajah Allisya. Cinta? Apa sebenarnya erti cinta?

Iskandar tidak mengerti, sejak bila dia mengenali perkataan ‘cinta’ itu sendiri. Adakah sebelum tiba di USAS atau selepas dia memasuki USAS? Pertemuannya dengan Allisya 10 tahun dahulu tidak pernah difikirkannya akan melahirkan rasa cinta. Ketika itu, Iskandar masih mentah untuk memahami perasaan hatinya sendiri. Namun kehadiran Allisya dalam hidupnya dahulu telah mengubah sudut pandangannya tentang hidup ini ke arah dimensi baru. Tidak pernah sekali pun ada gadis lain yang pernah menyentuh hatinya. Sedikit demi sedikit, perasaan yang telah disemai itu tumbuh dan membesar. sehingga kini telah pun berbunga-bunga di dalam hatinya. Sebaik menemui semula gadis itu, dia tahu bahawa dia telah menemui cintanya.

            Allisya sedikit tersentak melihatkan panahan mata Iskandar. Segera dia berpaling ke tempat lain. ‘Alamak, jangan kata Abang Is sedar yang aku tengah pandang muka dia tadi!’ Merah muka Allisya menahan malu. Bahaya betul!

            Kadangkala, Allisya sendiri pun tidak mengerti mengapa dia suka sangat menatap wajah panglima itu. Adakah kerana ketenangan wajahnya atau kemanisan senyumanya? Mungkinkah juga sebenarnya Allisya betul-betul sukakan Iskandar?

            “Terkejut pula awak ni Iskandar. Jangan lupa, Isi tau. Terima kasih. Pilihanraya akan datang nanti saya undi awak jadi ketua MPP kita pula ya.” Zarina bermulut manis memujuk pemuda itu. Kemudian Zarina menoleh kepada Allisya, “Allisya, awak jangan nak termenung je. Lepas selesai, bagi pada akak. Akak ada je dekat kawasan pentas tu dengan Zairin.” 

            Allisya berasa hairan,‘apa kaitanya Zairin dan Kak Zarina?’

            Zarina sudah pun beredar. Iskandar mengukirkan senyuman sambil berkata, “Duduklah Allisya.”

            Allisya mengangguk lalu duduk di kerusi empuk dewan besar USAS. Iskandar pula duduk selang beberapa buah kerusi daripada Allisya.

            Allisya ingin sahaja terus menulis, tetapi kemudiannya barulah dia sedar bahawa dia tidak membawa sebatang pen pun bersamanya.

            “Allisya tak ada pen ke?” Iskandar bagai seolah-olah boleh membaca fikiran Allisya.

            “Tak ada.”

            “Tak apa. Abang ada bawa pen lebih.” Iskandar mengeluarkan sebatang pen daripada poket bajunya. Allisya bangun sedikit dan memanjangkan tangannya untuk menyambut pen yang diberikan oleh Iskandar. 

            “Terima kasih.” Berbunga-bunga hati Allisya bagaikan bunga Sakura yang sedang mekar berkembang di negara matahari terbit. Allisya memandang pen pemberian Iskandar itu dengan hati yang sangat teruja. Dia tertarik melihat tulisan emas yang terpatri di atas pen tersebut.

            ‘Universiti Sultan Alauddin Syah’

            “Cantiknya pen ni.”

            “Itu pen esekutif USAS. Hanya staff dan wakil pelajar USAS sahaja yang diberikan pen tu. Allisya suka ke pen tu?” Iskandar tersenyum melihatkan Allisya yang begitu teruja melihatkan pen miliknya. Entah mengapa, telatah Allisya yang seperti keanak-anakan itu mengingatkan Iskandar kepada Zaem, sentiasa mencuit hatinya. Tetapi kenapa pula tiba-tiba sahaja dia merasa Allisya seiras Zaem? Mungkinkah kerana dia sedang rindukan sahabatnya itu?

            “Suka. Pen ni cantik sangat.” Allisya menjawab penuh teruja.

            “Kalau Allisya suka, Allisya simpanlah pen tu. Abang berikan pada Allisya.”

            “Betul ke? Tapi sayanglah. Pen ni bukannya boleh dibeli di kedai. Abang tak sayang ke pen ni?”

            Iskandar masih tersenyum. Tak akanlah dia nak beri tahu pada Allisya yang sebenarnya dia sayangkan pen tu dan sebab itu jugalah dia berikan pen tersebut kepada Allisya. Kata orang, hadiahkanlah barang yang paling kita sayang kepada orang yang kita sayangi.

            “Tak apa, abang masih ada pen esekutif lama abang. Insya Allah, kalau tahun depan abang masih jadi wakil MPP lagi, abang mungkin akan dapat pen baru.”

            “Terima kasih,” Allisya tersenyum mendengarkan jawapan Iskandar. Kemudian dia mula mengisi  borang tadi. Setelah selesai mengisi di bahagian demografi, Allisya terhenti dari terus menulis. Dia kelihatan buntu untuk menjawab soalan-soalan yang disenaraikan dalam borang tersebut.

            ‘Pernahkah anda jatuh cinta?’
            ‘Pernahkah anda bercinta?’

            Allisya hairan membaca kedua-dua soalan tersebut. Ada beza ke? Kalau tak jatuh cinta, macam mana nak bercinta? Kalau jatuh cinta, adakah bermaksud kita juga sedang bercinta?

            Allisya masih kaku, mencari-cari jawapan di dalam hatinya. ‘Pernah ke aku jatuh cinta?’ Allisya termenung lama memerhatikan kertas borang selidik itu. Dia berasa kekok menjawab soalan-soalan tentang cinta. Kerana kurang berminat menjawab soalan-soalan yang diajukan dalam borang kaji selidik itu, dia mengangkat pandangan sambil mengintai wajah Iskandar.

            Iskandar tidak kelihatan seperti sedang menulis juga. Dia kelihatan seakan-akan sedang termenung sambil merenung kosong borang tersebut. ‘Mungkinkah Abang Iskandar juga tidak pernah bercinta?’
            “Ya Allisya?” Iskandar seperti mempunyai kuasa luar biasa pula kerana mampu menyedari dirinya sedang diperhatikan.

            “Em, tak ada apa-apa!” Terkejut Allisya apabila mengetahui perbuatannya telah dikesan Iskandar. Merah pipinya. Dirinya terasa bagai baru lepas melakukan jenayah besar pula. 

Iskandar hairan melihatkan reaksi Allisya. Dia merasa khuatir kalau-kalau dirinya ada melakukan sesuatu perkara yang membuatkan Allisya berasa tidak selesa berada di situ.

            “Allisya ada apa-apa soalan ke nak tanya pada abang?” Iskandar masih kehairanan, namun wajahnya tidak menampakan sebarang kerutan.

            “Tak ada apa-apa cuma soalan dalam borang ni macam mengelirukan sedikit. Abang dah habis isi?”
            “Belum lagi. Mungkin betul kata Allisya, soalannya agak mengelirukan.”

            Allisya ketawa kecil mendengarkan jawapan Iskandar. “Abang tak pernah bercinta? Sekurang-kurangnya sukakan seseorang ke?” Entah mengapa, soalan itu boleh terhambur keluar daripada mulut Allisya. Dia sendiri tidak pasti daripada mana datangnya kekuatan dalam dirinya untuk bertanyakan soalan yang sesensitif itu kepada Iskandar.

            ‘Alamak, kenapa aku tak fikir dulu sebelum bercakap?’ Berkerut-kerut wajah Allisya menahan malu di atas kebodohannya sendiri. Allisya menyesal kerana terlalu terbawa-bawa dengan perasaannya sendiri. Dia terlalu ingin sangat mengetahui samada hati Iskndar sudah berpunya atau belum sehinggakan dia bertindak di luar jangka.

            Iskandar terdiam kaku. Siapa yang tidak terkejut jika diajukan soalan seperti itu? Tambah-tambah lagi jika soalan itu diajukan daripada orang yang disukainya sendiri. Namun ketenangan Iskandar tidak hanya dizahirkan pada wajahnya, malah tutur katanya juga disusun dengan baik menyembunyikan perasaan hatinya yang sedang berbolak balik.

            “Pernah, abang pernah mengagumi seorang gadis.” Iskandar menjawab ringkas, namun memberikan erti yang cukup mendalam. Pemuda itu langsung tidak kelihatan marah bila ditanyakan soalan sesensitif itu, malah masih sudi menjawabnya dengan jujur. Namun jawapan  yang diberikan Iskandar bukanlah jawapan yang Allisya harap untuk didengari.

            Allisya yang daripada tadi sedang terkapai-kapai dengan perasaan bersalahnya kerana bertanyakan soalan yang tidak sepatutnya kini telah tenggelam dan hampir lemas dalam perasaan kecewa. ‘Mengagumi seorang gadis? Abang Is dah ada kekasih ke? Abang Is pernah bercinta? Pernah jatuh hati pada seseorang?’ Buat seketika, Allisya mengharap Iskandar menjawab ‘tidak pernah’. Terlalu sukar bagi Allisya untuk menerima kenyataan bahawa hati insan yang menjadi idamannya telah pun dimiliki gadis lain. 

            “Bertuah gadis tu sebab disukai dan dikagumi lelaki sebaik Abang Is.”

            Iskandar hanya mampu menahan perasaannya apabila mendengarkan kata-kata Allisya. Kalaulah Iskandar mampu memberitahu bahawa gadis yang Allisya anggap sungguh bertuah itu sebenarnya ialah dirinya sendiri, pasti gadis itu akan terkejut. Namun apakan daya, bagi Iskandar, biarlah dia meyimpan sendiri perasaannya itu di dalam hati. Cinta itu milik tuhan, Dialah yang Maha Menganugerahkan cinta dalam hati hamba-Nya, dan Dia jugalah yang berhak menarik rasa cinta itu apabila Dia mengkehendakinya.

            “Siapa agaknya gadis tu ya? Dah berapa lama dan macam mana abang bertemu dengan dia?” Allisya bagai sudah tidak bermaya sebaik mendengarkan jawapan Iskandar sebentar tadi. Matanya tidak lagi berkaca-kaca sepertimana reaksinya setiap kali mendengar bait-bait kata Iskandar sebelum ini. Iskandar sering melafazkan ayat yang sentiasa menyejukan dan menenangkan hati Allisya. Tetapi hari ini, Allisya merasa sungguh perit menelan setiap kebenaran yang keluar daripada bibir pemuda itu.

            “Sejak sepuluh tahun yang lalu… Kali pertama abang bertemu dengannya, adalah sepuluh tahun yang lalu. Dia muncul sewaktu abang merasai duka yang amat dalam, ketika abang merasai sakit kehilangan orang yang tersayang. Dia hadir memberikan sinar baru dalam hidup abang, mengajar bahawa hidup ini bukanlah semata-mata mengharapkan bahagia, tetapi  juga untuk membahagiakan orang lain.”       

            Iskandar menjawab tenang. Dia sendiri tidak mengerti, mengapa dia mempunyai kekuatan untuk mencurahkan rahsia hatinya. Namun itu adalah pengakuan jujurnya, dia tidak pernah merasa menyesal melafazkan kebenaran yang ada.

            “Mesti gadis tu cantikkan?” Allisya bertanya lagi, dia seolah-olah hilang arah untuk mencari nokhtah kepada persoalan yang muncul di mindanya. Walaupun wajah Allisya kelihatan mesra seperti biasa, namun jauh di sudut hatinya dia terasa bagai ditikam hidup-hidup. Tidak pernah terfikir oleh Allisya bahawa Iskandar telah pun menemui cintanya sejak dari dulu lagi, sebelum dia sempat bertemu dengan pemuda itu di USAS. Luahan hati Iskandar juga jelas menunjukan gadis itu cukup istimewa sehingga mampu memberikan kesan yang kuat dalam hidup pemuda tersebut. 

‘Gadis itu pastinya seorang yang sangat istimewa.’ Allisya hanya mampu meratapi kekecewaannya di dalam hati. Mana mungkin gadis kampung sepertinya itu mampu melawan kedudukan istimewa gadis yang telah berjaya mencuri hati Iskandar. Gadis itu pastinya cantik dan baik, sempurna serba-serbinya seperti Iskandar. Kalau tidak, masakan dia mampu mencuri hati pemuda tersebut. Tetapi Allisya? Apa yang ada pada dirinya? Cengeng dan hanya tahu menangis sahaja apabila diuji dalam hidupnya. Kini Allisya sedar, semakin dia cuba menyelami mimpinya, semakin dia lemas dalam kekecewaannya sendiri. Dia mampu bermimpi, namun mimpi akan terus kekal sebagai mimpi. Sama sekali tidak akan pernah menjadi realiti.

“Mesti gadis tu cantikkan,” hanya kata-kata itu sahaja yang mampu dilafazkan bibir Allisya yang kini sedang tersenyum tawar. Cintanya telah pun ditolak walaupun sebelum sempat dia meluahkannya.

“Allisya, orang yang kita sayang tidak semestinya perlu cantik. Namun hakikatnya, orang yang kita sayangi pasti akan menjadi orang yang paling cantik di hati kita. Walau hakikatnya tidak di mata orang lain. Cinta yang tulus bukannya lahir daripada kecantikan, sebaliknya cinta itu sendiri yang akan menzahirkan kecantikannya. Sebab tulah, secantik-cantik dan seindah-indah cinta manusia adalah cinta yang diredhai Illahi.” Iskandar melafazkan kata-katanya itu untuk menyampaikan maksud sebenar tentang keindahan cinta, malah sebagai peringatan kepada dirinya sendiri juga. Sehingga hari ini, Iskandar masih berdoa semoga perasaan cinta di hatinya akan terpelihara, tidak tersasar dari sempadannya dan tidak terbawa dek godaan syaitan durjana.

Dahulu, Iskandar berdoa dalam jaganya semoga dia dipertemukan dengan gadis yang telah membawa sinar dalam hidupnya itu. Alhamdulillah, dia bersyukur doanya telah dimakbulkan. Dan pada saat itu juga Iskandar mula sedar, sedikit demi sedikit dia mula belajar erti cinta. Kini Iskandar hanya mampu berserah, redha atas segala ketentuan Illahi.

               Allisya masih kurang mengerti kata-kata Iskandar. 

            ‘Cinta yang tulus bukannya lahir daripada kecantikan, sebaliknya cinta itu sendiri yang akan menzahirkan kecantikannya. Tapi, apa maksud Abang Is?’ Begitu mendalam kata-kata pemuda itu sehinggakan gadis sebendul Allisya merasa begitu sukar untuk mengerti.

            “Macam mana cinta tu boleh zahirkan kecantikan? Cintakan tak boleh dilihat?” Allisya cuba mencari jawapan daripada pemuda itu.

            Iskandar tersenyum melihat minat Allisya terhadap kenyataan tersebut. Selama ini Allisya tidak pernah malu menunjukkan kenaifan dirinya. Sifat tidak berpura-pura Allisya itu sedikit sebanyak menjadikan gadis itu kelihatan lebih menyerlah di mata Iskandar.

            “Seperti kisah cinta Siti Zulaikha dengan Nabi Yusuf a.s. Ketampanan Yusuf meragut hati semua wanita yang memandangnya dan salah seorang daripada wanita itu ialah Zulaikha, isteri kepada Aziz, seorang pembesar Mesir. Namun cinta Zulaikha lahir berlandaskan nafsu, sehingga menyebabkan dirinya sanggup merayu dengan cara yang sangat hina demi mendapatkan cinta Yusuf. Zulaikha jatuh cinta kerana kecantikan dunia semata-mata. Allisya rasa cinta seperti ini nampak cantik dan indah untuk diperdengarkan tak?” Iskandar sengaja menduga Allisya, dengan segera sahaja Allisya menjawab. 

“Mestilah tidak!” 

Iskandar tersenyum mendengarkan jawapan gadis itu, lalu menyambung, “tahun demi tahun pun berlalu, akhirnya setelah suaminya tiada, segala kekayaan Zulaikha lesap tanpa bersisa.  Zulaikha semakin tua, kecantikannya terus hilang dimamah usia. Pada ketika itu, Zulaikha telah menemui cinta sejatinya, cinta penciptanya. Siti Zulaikha yang dahulunya menyembah berhala akhirnya menjadi wanita solehah dan sepanjang hayatnya hanya diabdikan buat yang Maha Esa. Meski pun begitu, Zulaikha sedar, kecintaannya terhadap Nabi Yusuf a.s tidak pernah berkurang, malah semakin bertambah dari sehari ke sehari. Lalu Zulaikha telah merayu kepada Illahi, semoga dipertemukan dirinya dengan Yusuf. Manakala jika mereka tidak dijodohkan untuk bersama, maka Zulaikha merayu agar ditarik rasa cinta itu dari hatinya.”

Iskandar berhenti seketika dari bercerita, dilihatnya mata Allisya tidak berkelip-kelip memberikan tumpuan kepada kisah yang disampaikannya. Iskandar tidak berlengah untuk menyambung.

“Sesungguhnya Allah S.W.T itu Maha Pengasih, lalu dipertemukan Zulaikha dengan Yusuf. Pada mulanya, hati Zulaikha telah retak kerana cintanya ditolak Yusuf untuk kali kedua. Biarpun Siti Zulaikha tidak lagi memiliki kecantikan, sesungguhnya tuhan memiliki kekuasaan dan kebesaran. Dengan kuasa Allah S.W.T, dianugerahkan-Nya rasa cinta yang mendalam di hati Yusuf terhadap Zulaikha. Malah, tuhan juga telah mengembalikan kecantikan Zulaikha, jauh lebih cantik dari yang sebelumnya. Zulaikha yang dahulunya hanyalah seorang insan yang mampu mencintai, kini dia menjadi orang yang sangat dicintai. Yusuf yang sebelumnya menjadi insan yang dicintai, kini menjadi seorang pencinta yang sangat setia. Betapa besarnya kuasa tuhan, barang siapa yang menemui cinta-Nya, pasti akan dipertemukan dengan cinta sejatinya. Sekarang ni, apa pendapat Allisya tentang kisah cinta ni?” Sekali lagi Iskandar sengaja menguji.

“Sangat indah. Takdir cinta Nabi Yusuf a.s dan Siti Zulaikha disusun dengan cantik sekali.” Allisya menjawab dengan senyuman. Dia bagaikan sudah mengerti. Betapa indahnya kisah cinta tersebut, mengusik hati Allisya yang mendengarinya. Bukannya Allisya tidak pernah mendengar sirah tersebut, namun mendengarkannya sendiri daripada Iskandar dan mengaitkannya dengan kata-kata hikmah yang disampaikan sebentar tadi, sedikit sebanyak telah menyentuh jiwa Allisya. mungkinkah dia akan bertemu dengan cinta sejatinya? Cinta setulus Zulaikha, adalah cinta yang sangat indah. Adakah dirinya mampu mencapai cinta semurni itu?

Allisya merenung borang kaji selidik di tangannya. Senyumannya yang tawar sebentar tadi kini kelihatan bagai telah ditaburi gula. Kemanisan menghiasi wajah kecilnya. Kini Allisya sedar, dia sering hanyut dengan perasaannya sendiri mengejar cinta duniawi, sehinggakan dia terlupa cinta yang utama sentiasa ada. Tanpa pelu dikejar, tanpa perlu bemimpi, kerana tuhan itu adalah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Cintanya adalah hakiki, sentiasa turun bagai titisan hujan, tidak terkira banyaknya. Hanya manusia sahaja yang lalai dari ‘menadahnya’ dan merasai cinta itu.

Allisya mencuri kembali pandangannya ke arah Iskandar. Mungkin benar, Iskandar bukan jodohnya, bukan juga takdirnya. Iskandar telah pun menemui cintanya, dan tidak seharusnya dirinya menjadi penghalang kepada kisah cinta sejati Iskandar dan gadis idamannya. Walaupun Allisya tahu, gadis bertuah yang dicintai Iskandar itu bukanlah dirinya, namun dia bersyukur kerana sekurang-kurangnya dia pernah dipertemukan dengan lelaki sebaik Iskandar. 

Bagi Allisya, Iskandar ialah seorang yang sangat baik, terlalu baik untuk didekati oleh gadis biasa sepertinya. Wajahnya yang redup, menyejukan mata yang memandang. Senyumannya yang manis, merawat hati yang sedang berduka. Kata-katanya yang berhikmah, menenangkan hati yang gundah. Walaupun Iskandar kelihatan begitu dekat dengan dirinya, namun terlalu jauh untuk dicapai. Mungkinkah benar kata orang, cinta itu juga bererti melepaskannya pergi? Tetapi mengapa? Mengapa terlalu berat perasaan itu untuk diikhlaskan dalam hatinya?

Allisya sedar akan kedudukan dirinya, dia sedar dia tidak akan pernah layak mendapat tempat di hati pemuda itu. Hari ini Allisya telah membuat keputusan, untuk melepaskan Iskandar pergi dari hatinya. Mungkin itu adalah takdir yang terbaik untuk mereka berdua.

‘Ya Allah ya tuhanku, aku tidak layak memiliki cinta Izzat Iskandar. Maka engkau tariklah rasa cinta ini daripada hatiku. Aku rela melepaskannya pergi, semoga pemuda itu menemui cinta sejatinya, aku redha walaupun cinta itu bukan diriku.’  

            ‘Izzat Iskandar’, merupakan nama yang sangat istimewa di hati Allisya. Namun setelah menyedari bahawa dia tidak akan pernah layak mendampingi pemuda itu, Allisya ikhlas melepaskan nama itu pergi jauh dari hatinya. Sememangnya dia merasa sakit, apatah lagi setelah mengetahui pemuda itu mencintai gadis lain. Namun mencintai bukanlah bermaksud memiliki. Sudah lama Allisya menyedari bahawa dia tidak layak mendampingi pemuda itu. Kini Iskandar sendiri telah mengaku, dia telah pun memiliki cintanya. Tiada sebab lagi untuk Allisya terus memasang mimpi, mengait impian yang tidak mungkin menjadi kenyataan. Allisya redha dengan ketentuan Illahi. 

            ‘Selamat tinggal cintaku… Selamat tinggal cinta pertamaku.’ Buat pertama kalinya, Allisya menemui kekuatan untuk memadamkan nama itu dari hatinya. Allisya sedar, keputusan yang dibuatnya itu pasti akan meninggalkan luka yang amat dalam dii hatinya. Namun Allisya yakin, luka itu tetap akan sembuh sedikit demi sedikit, walaupun pada hakikatnya akan mengambil masa yang lama.

            “Ya tuhanku, aku bersyukur kerana telah dikurniakan kekuatan untuk melepaskan nama insan itu pergi dari hatiku. Kuserahkan segala cintaku kini hanya untukmu ya Illahi.” Dalam Allisya memanjatkan rasa syukur, hatinya masih terasa pedih. Walaupun berat, dia harus melupakan Iskandar kerana setahu Allisya, Iskandar sendiri juga tidak pernah mencintainya.

            Namun apa yang Allisya tidak tahu adalah; ketika dia menemui kekuatan untuk melupakan Iskandar, pada ketika itu juga, Iskandar telah menemui kekuatan untuk terus mencintainya. Ketika Allisya merasa sakit untuk melupakan Iskandar, Iskandar pula sedang merasa sakit menyembunyikan perasaan hatinya. Mungkin itulah dugaan cinta, kerana mencintai tidak semestinya memiliki.Tetapi, adakah mencintai bererti melepaskannya pergi?

Cinta yang tulus bukannya lahir daripada kecantikan, sebaliknya cinta itu sendiri yang akan menzahirkan kecantikannya.



 Nani NA

No comments:

Post a Comment