Monday 8 August 2011

BAB 8: RAHSIA HATI TIGA PANGLIMA



            Zaem sekejap-sekejap berpaling ke kiri. Sekejap kemudian berpaling semula ke kanan. Kenapa hati ini resah? Zaem merasa keliru dengan perasaannya sendiri. Apa sahaja yang dilakukannya beberapa hari ini semua serba tak kena. 

‘Kenapa panas sangat malam ni?’ Sengaja Zaem menyalahkan persekitarannya, sedangkan suhu penghawa dingin di biliknya sudah pun ditetapkan serendah16 C. Biliknya yang dihiasi dengan kertas diding berwarna biru muda yang sepatutnya membawa ketenangan itu seolah-olah dirasakan menyakitkan matanya. ‘Parah ni!’ Zaem bingkas bangun dari baringnya, tangannya menyelak kain tebal yang menyelimuti badannya. 

‘Aku ni dah hilang kewarasan ke? Kenapa aku asyik je terbayang-bayang muka budak perempuan yang garang sangat tu?’ Zaem meraup wajahnya yang berpeluh-peluh. Dia bagaikan baru sahaja terbangun dari mimpi ngeri. Wajah Allisya seringkali bertandang ke dalam mimpinya. Sehinggakan kini, Zaem takut untuk melelapkan mata. Dia takut kalau-kalau Allisya muncul lagi dalam mimpinya. 

Kalau dia ceritakan secara jujur apa yang berlaku pada dirinya kepada Azim, mesti Azim menuduhnya sebagai lelaki gatal. Reaksi Iskandar pula Zaem tidak pasti. Sebab itulah Zaem sengaja pulang ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari universitinya. Biliknya di kolej kediaman USAS dibiarkan sahaja kosong buat beberapa hari ini kerana dia takut sekiranya perubahan yang berlaku kepada dirinya itu disedari oleh teman-teman yang lain, terutama sekali Azim dan Iskandar.

 Zaem bangkit dari katilnya. Dia berjalan menuju ke satu-satunya tingkap yang ada di biliknya. Langit pada malam itu sungguh cantik. Malam yang sinonim dengan kegelapan itu kelihatan bercahaya bertemankan bintang-bintang yang berkedipan indah di angkasaraya. Biar pun berjuta bintang di langit, namun hanya satu yang menjadi impian. Zaem tersenyum sendirian.

‘Cantiknya. Cantik seperti Allisya.’ Zaem tersentak dengan kata-katanya sendiri. Dia keliru, bagaimana pula ayat itu boleh dilafazkan oleh dirinya? Zaem kebingungan. Dia tidak mengerti dengan perasaannya sendiri. Ada kalanya, dia berasa geram mengenangkan kembali memorinya bertemu dengan Allisya, namun ada kala juga dia tersenyum mengingatkan wajah comel Allisya yang sedang marah. Mengapa wajah itu begitu mudah menguasai mindanya?

Zaem menghempaskan semula badannya ke katil. Persoalan demi persoalan bermain di benak fikirannya. Namun, Zaem tidak mahu berdepan dengan apa-apa persoalan lagi. Apa yang dia mahu kali ini hanyalah jawapan. Jawapan, samada ‘ya’ atau ‘tidak’. Benarkah dia telah jatuh hati pada Allisya? Ya,benar!

Zaem melompat dari katilnya. Jari jemarinya menaip mesej di telefon bimbitnya dengan pantas.
Is, tengah buat apa?”
Study. Kenapa?”
Online please.”
Ok.”

Sebaik Zaem menerima balasan terakhir daripada Iskandar, dia menghantar pula mesej kepada Azim.
Azim, aku tak kira samada kau dah tidur atau belum. Sila online SEKARANG.
-          Sahabatmu yang paling handsome.”

 Zaem segera berlari ke computer peribadinya. Dibukanya laman sosial facebook dengan menggunakan I.D ‘Panglima Zaem’. Dengan pantas, Zaem segera masuk ke laman khas tertutup yang dibuatnya sendiri daripada hasil pakatan dia, Iskandar dan Azim. Kumpulan tertutup itu dinamakan kelab ‘Single but not available’. Pembukaan kumpulan itu pun atas cadangannya sendiri untuk memudahkan dia berkomunikasi dari jarak jauh secara rahsia bersama Azim dan Iskandar.

Zaem dapat melihat, Iskandar sudah pun online, tapi dia pasti bahawa Azim juga sudah lama berada di depan komputer, cuma dia sengaja menyembunyikan statusnya.

Iskandar Ismail dan M. Azim, sahabatmu ini baru sahaja jatuh.”

Zaem menantikan balasan dengan sabar. 

Ya Allah, macam mana boleh jatuh?”  Balasan segera diterima daripada Iskandar, seminit kemudian daripada Azim.

“Padan muka.”

Zaem menepuk dahinya, jarinya bermain semula dengan papan kekunci komputernya.

“Bukan jatuh tu, tapi JATUH CINTA.”

Zaem menanti respon Iskandar dan Azim dengan perasaan ingin tahu yang amat tinggi. Namun, tiada balasan diterima walaupun 10 minit telah berlalu.

 ‘Apa yang terjadi? Adakah mereka terlalu terkejut sehinggakan tak tahu bagaimana ingin membalas komennya itu? Atau adakah mereka marah dengan komen yang dihantarnya?’ Zaem cemas.

Tak ada kaitan dengan aku.” Azim menjadi yang pertama memberikan respon.

Zaem dah matang.” Iskandar ketawa kecil ketika membalas komen Zaem itu.

“Para sahabat sekalian, ini bukan gurauan. Wajah gadis itu muncul dalam mimpi beta.”
Zaem cuba meyakinkan mereka berdua.

Siapa?” Pertanyaan Azim ringkas, namun cukup kuat untuk membuatkan hati Zaem merasa berdebar-debar. Iskandar tidak membalas. Dia hanya menantikan jawapan daripada Zaem. Buku di di hadapannya masih terbuka. 

Zaem menelan air liurnya. Menggigil-gigil, dia menaip nama insan istimewa itu,
“Nur Allisya bt. Ismail. Pelajar fakulti Teknologi dan Sains Gunaan.”

Azim yang membaca jawapan Zaem itu segera menutup skrin laptopnya. Dia menghempaskan badannya ke katil. Fikirannya kosong.

Iskandar memandang sahaja rakan sebiliknya itu.  Sekian lama Iskandar mengenali Azim, jarang sekali dia dapat memahami mahupun meramal apa yang difikirkan di mindanya. 

Mata Iskandar beralih semula ke skrin komputer ribanya. Kenapa perasaannya tawar apabila membaca pengakuan Zaem? Adakah dia takut, sekiranya Zaem mula bercinta dia akan mengabaikan tanggungjawabnya sebagai mahasiswa dan ketua MPP? Paling menakutkan apabila ikatan persahabatan yang mereka bina bertahun-tahun lamanya itu akan musnah hanya kerana gara-gara seorang wanita. Mungkinkah? 

Iskandar menggeleng. Entahlah dia kurang mengerti dengan perasaannya sendiri. Sebagai seorang abang Long dikalangan mereka bertiga, Iskandar harus bersifat matang dan tidak boleh mengikut perasaan. Mungkin perasaannya bersifat sementara. Tetapi mengapa? Mengapa dia terasa seolah-olah telah kehilangan sesuatu?

Iskandar membuka laci mejanya. Dibawanya keluar sebuah kotak lama dari laci itu. Mata Iskandar sekadar memandang, tangannya pula tidak menyentuh. Barang lama yang tersimpan di dalam kotak itu sangat istimewa. Meninggalkan sejuta kenangan dalam hidupnya.

Malam semakin pekat. Iskandar tersenyum hanya dengan memandang cermin mata yang telah pecah itu. Dia sedang merindui seseorang, tetapi seseorang yang tidak dikenalinya.

Bilik Iskandar itu sunyi sahaja. Salah satu sebabnya adalah kerana seorang daripada teman sebiliknya telah pulang ke rumah dan sedang dilamun cinta, manakala sebab yang lain pula adalah kerana Azim dan Iskandar sendiri memang tidak banyak bercakap. Mereka bertiga duduk bersama di sebuah bilik utama yang sangat besar. Bilik itu adalah bilik khas untuk ketiga-tiga Panglima MPP. MPP yang lain pula tinggal di dalam bilik-bilik lain tetapi di bangunan yang sama.

Iskandar masih memerhatikan barangan yang sangat istimewa itu. Walau pun pada pandangan kasar ia hanyalah ‘sampah’ kerana tidak diperlukan lagi, namun nilainya terlalu tinggi di hati Iskandar. Ada memori yang tersimpan bersamanya.

Iskandar terbatuk-batuk. Asap tebal tiba-tiba sahaja menyelubungi bilik MPP itu. Matanya terasa pedih, dia bangun dari tempat duduknya. Mencari-cari sumber datangnya asap itu. Azim sudah hilang dari pandangannya. Pandangan Iskandar semakin kabur. Tekaknya terasa bagai dijerut. Dia kesesakan nafas.

“A…zim…” 

Nani NA

No comments:

Post a Comment