Friday 5 August 2011

BAB 5: BENCANA



Allisya melontarkan pandangannya ke luar tingkap, seperti biasa menghadap ke arah bukit hijau yang terletak di belakang kolej kediamannya. Namun kali ini renungannya menembusi pemandangan yang indah itu. Jauh dia termenung. Sejak peristiwa amuk yang berlaku kelmarin, fikiran Allisya terganggu dengan bayangan yang menyakitkan hatinya.

“AH, KAU DIAM ISKANDAR! Kau sampai bila-bila pun akan jadi patung si Zaem ni! DASAR HIPOKRIT!” suara lelaki yang tidak dikenali Allisya itu bagaikan berdengung di dalam kotak fikirannya. Pelbagai persoalan mula menghantui dirinya.

‘Benarkah Zaem mempergunakan Iskandar? Apakah hubungan Zaem, Iskandar dan Azim selain memegang pangkat Panglima utama MPP? Adakah mereka bersubahat dalam sesuatu komplot? Iskandar hipokrit? Tak mungkin!’

Allisya meraup wajah kecilnya. Dia terlalu banyak berfikir, sedangkan peristiwa yang berlaku itu tiada kaitan dengan dirinya. Tetapi mengapa pula hatinya yang jadi tidak tenang? Allisya keliru.
Hatinya begitu kuat mengingati nama Iskandar, sehinggakan apabila dia melihatkan Iskandar diperlakukan begitu, hatinya menjadi sakit. Mungkinkah hatinya terlalu lemah?

‘Ya Tuhan mengapa aku begini?’ Allisya mengalihkan pandangannya ke lantai. Dia tunduk, cuba menahan perasaan yang menguasai dirinya.

‘Ya Allah, aku tidak layak memilikinya, keranaku tahu dia adalah milik-Mu. Ya Muhaimin, tuhan yang Maha Melindungi, Engkau lindungilah hamba-Mu itu daripada sebarang bencana. Kau jauhkanlah dirinya dari sebarang kekejaman mahupun penganiayaan manusia lain. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.’  Allisya meraup wajahnya sekali lagi. Dia bimbang sekiranya sesuatu yang tidak baik berlaku terhadap Iskandar, lelaki yang hanya dikenalinya pada senyuman itu.

Allisya merenung kembali ke luar tingkap. Adakah Iskandar dalam bahaya? Wajah cemas Iskandar sekejap-sekejap muncul di dalam benak pemikirannya. Semoga Iskandar selamat. Namun, dalam Allisya runsing memikirkan keselamatan panglima hatinya itu, dia teringat akan amaran yang diberikan kepada Zaem pula. Allisya tidak boleh lupa bagaimana pucatnya wajah pemuda itu. Lalu, perasaan kasihan hadir dalam hatinya.

‘Apakah dosa yang Zaem lakukan terhadap lelaki itu sehinggakan dia diberi layanan sebegitu rupa?’ Memang Allisya geram dengan perbuatan Zaem ketika di majlis taklimat MPP yang lalu, namun tidak pula pernah terlintas di hatinya untuk merasa benci terhadap jejaka bermata cokelat cair itu. 

Kemesraan yang ditunjukan oleh Iskandar dan Azim apabila bersama dengan Zaem, jelas menunjukan mereka sungguh rapat. Mungkinkah mereka bertiga bersahabat baik? Jika benar, tidak mungkin Iskandar berkawan dengan orang yang kejam. Pasti ada keserasian sifat antara mereka bertiga. 

Raihana muncul di depan pintu sambil membawa bakul mandiannya. Dia bersiap-siap untuk menunaikan solat fardhu Subuh. Dia terpandang Allisya yang sedang termenung memandang ke luar tingkap. Seperti biasa, Allisya terlebih awal sudah siap bersiram dan menjalankan kewajipan sebagai hambaNya. Raihana hanya membiarkan sahabatnya itu bermain dengan perasaannya. Raihana meneruskan niatnya untuk beribadah. Dalam doanya sempat diselitkan semoga hati sahabatnya itu tenang dari sebarang kekusutan. Raihana sedar, sudah dua hari Allisya menghabiskan masa-masanya dengan termenung sahaja. 

“Allisya masih fikirkan perkara kelmarin?” Raihana menegur Allisya sebaik selesai melipat sejadahnya. Dia menghampiri Allisya, lalu tangannya memegang bahu Allisya. Mata Allisya membalas sapaan Raihana, tetapi mulutnya masih membisu. Raihana menyambung kata, “Mungkin ada salah faham yang berlaku, sebab tu mereka diserang.” Raihana cuba memujuk hati Allisya. Allisya memandang mata Raihana. Allisya tahu, Raihana pasti turut merasa apa yang dirasanya.

“Kasihan Zaem. Mesti dia rasa tak tenteram fikirkan hal yang berlaku. Rai pun takut juga. Harap-harap lelaki gila tu tak berani ganggu Zaem. Lagi pun Azim nampak bersungguh-sungguh pertahankan Zaem. Mesti lelaki tu pun tak berani nak berhadapan dengan Azim.”

Allisya hanya mendengar. Dia pasti Azim dapat mempertahankan dirinya. Allisya dengar dia aktif dalam kelab judo dan silat di peringkat sekolah mahupun universiti. Pasti ilmu mempertahankan dirinya juga tinggi. Tetapi keadaan Zaem agak samar-samar. 

Allisya tak pasti adakah Zaem mampu mempertahankan dirinya melihatkan dia seperti seorang pemuda yang hanya mementingkan gaya semata-mata. Rambutnya disikat kemas, kasutnya berkilat, baju dan seluarnya licin tanpa kedutan, manakala kulitnya kelihatan terlalu cerah seolah-olah dia tidak pernah keluar rumah. Dia kelihatan seperti anak bangsawan yang menerima belaian sepanjang hayatnya. Mesti sekarang ni pun dia dah mengadu-ngadu kepada bapanya yang juga merupakan orang penting USAS.

“Allisya janganlah risau ye. Rai tak rasa mereka tu bersalah, dan lelaki hari tu mesti dah kena amaran tegas dari pihak universiti.” Allisya mengangguk dan tersenyum. Harapannya kini, apa yang dikatakan Raihana itu betul. 

Raihana gembira melihat Allisya kembali tersenyum. Dia faham perasaan Allisya. Allisya sudah pun menceritakan segala-galanya tentang perasaan hatinya terhadap Iskandar dan peristiwa-peristiwa yang berkaitan.

“Jom Allisya kita bersiap. Pagi nikan kita nak daftar masuk kelab Permata Hati USAS. Bolehlah kita jumpa abang Iskandar awak tu.” Raihana mengusik sambil mengenyitkan mata. Dia pun dah terikut-ikut dengan gaya Zaem yang suka mengenyitkan mata. Cuma bezanya, matanya tidaklah secantik mata jejaka pujaan hatinya itu. 

“Yalah, hampir-hampir terlupa Allisya. Jom Rai.”
Kelab Permata Hati yang dimaksudkan itu merupakan kelab kebajikan yang disertai oleh siswa siswi yang ikhlas ingin mencurahkan bakti kepada masyarakat. Allisya memang sudah lama merancang untuk menyertai kelab-kelab yang berobjektifkan kebajikan, sebab itu dia mengajak Raihana ikut sama sertai kelab itu. Tetapi, dia tidak pula menyangka bahawa kelab Permata Hati itu dikelola oleh Iskandar, bertambah-tambah terujalah Allisya untuk masuk kelab tersebut. 

Allisya memandang blazer hitam yang disangkut di tepi katilnya. Sudah tiba masanya dia pulangkan blazer itu kepada pemiliknya. Hati Allisya berdebar-debar.

                                                *                *                   *. 

            Suasana di kawasan kampus utama USAS pagi Sabtu itu kelihatan lengang dari orang ramai. Allisya, Raihana dan Nik Ain turun dari bas. Mereka melewati pehentian bas yang kosong. Di belakang mereka kelihatan beberapa orang pelajar siswi lain turun dari bas yang sama. Mereka berbual rancak. 

Raihana di sebelah Allisya sedang sibuk mencari kain pengelap cermin matanya. Allisya dapat melihat, cermin Raihana itu sudah berkabus. Tak sangka, sampai begitu sekali dinginnya pagi ini. 

Allisya memeluk beg kertas bercorak bunga-bunga yang dibawanya. Mindanya berpusing-pusing mengingatkan peristiwa di stor Dewan Besar Universiti dua minggu lepas. Selama ini, dia tidak berkesempatan berjumpa dengan Iskandar untuk memulangkannya. Hatinya girang, ingin berjumpa dengan jejaka pujaan. Namun, jantungnya terasa berdebar-debar pula. Beg kertas yang berisi blazer rasmi MPP itu dipeluknya seteguh mungkin. Dia mesti pulangkan blazer itu ke tangan Iskandar walau apa pun yang terjadi.

“Bawa apa tu Allisya?” suara kak Nik Ain memecah kesunyian rombolan mereka bertiga. Belum sempat Allisya menjawab, Raihana sudah pun mencelah, “Azimat pengasih.” Usik Raihana sambil ketawa kecil. Allisya segera menyiku teman sebiliknya itu. 

Nik Ain kebingungan. “Azimat apa pula ni? Akak tak tau pun.” Senior fakulti mereka itu cuba mencari kepastian. Nik Ain merupakan pelajar tahun kedua di fakulti mereka. Dia merupakan pelajar jurusan Biokimia. Walaupun Allisya dan Raihana berlainan program pengajian dengan Nik Ain, tetapi mereka mudah sahaja rapat kerana kemesraan yang ditunjukan oleh Kak Nik Ain pada hari pertama mereka sampai di fakulti. Kak Nik Ainlah yang menunjukan mereka jalan ke arah bilik kuliah ketika mereka hampir-hampir sesat.

“Jangan-jangan hadiah untuk Iskandar kot.”  Nik Ain seolah-olah boleh membaca fikiran mereka berdua. 

“Eh, bukanlah kak Nik, ni barang orang yang Sya pinjam. Baru nak pulangkan.” Jawab Allisya gemuruh, dia takut jika kak Nik Ain tahu rahsianya. Nik Ain terasa hairan, kesangsian bertamu di hatinya, tetapi sengaja dia membisu. Dia boleh sahaja mengintai di perjumpaan nanti, kepada siapa barang itu dipulangkan Allisya.

Kaki mereka terus melangkah sehingga tiba di fakulti Kejuruteraan. Fakulti itu kelihatan sunyi dan lengang. Allisya memerhatikan seni bina bangunan fakulti itu. Reka bentuk bangunannya kelihatan menarik sekali. Kebanyakannya dibina daripada dinding kaca. Memandang sahaja fakulti itu, mengingatkan pula Allisya kepada seorang pelajar kejuruteraan yang dikenalinya. Azim. 

Setahun yang lalu, ketika Allisya masih belajar di Kolej Matrikulasi Melaka, dia ada add Azim di laman sosial popular Facebook. Allisya mengikuti perkembangan semasa Azim melalui laman sosial tersebut. Azim jarang-jarang dilihatnya online. Meski pun Azim muncul di facebooknya sekalipun, dia tidak pernah membalas komen-komen mahupun mesej dari peminatnya. ‘Mungkin sekali Azim sibuk,’ fikir Allisya sendiri. 

Pertemuan pertama kalinya dengan Azim di padang bola pada hari pertama ketibaannya menjadi salah satu sejarah penting dalam hidup Allisya. Siapa sangka dia akan bertemu dengan idola bola sepaknya itu. Kalau Anissa tahu, mesti dia cemburu mendengar. Anissa, sepupunya itu juga peminat setia Azim.

Allisya menjeling di suatu sudut kawasan fakulti itu, dia terpandang akan satu bayangan manusia. Bagai pernah dilihat wajah itu, tetapi pandangannya kabur kerana meraka dipisahkan dengan jarak yang besar.

            Perlahan-lahan, bayang-bayang itu mendekati mereka yang sedang bergerak di jalan besar. Semakin lama, semakin dekat. Apabila sudah begitu dekat, barulah Allisya sedar siapakah insan itu. Azim!

            Ingin sekali Allisya menyorokan mukanya. Malunya di padang bola, pejabat pentadbiran universiti dan kejadian di kafe tempoh hari belum pun lagi reda. Janganlah ada apa-apa peristiwa lain yang terjadi lagi. Cukuplah dengan yang pertama, kedua dan ketiga, jangan pula ada peristiwa ke empat kalinya pula. Kali ini jantung Allisya berdegup lebih kencang dari keadaan tadi. 

            Belum sempat Allisya menyorokan mukanya di belakang Raihana, bayang-bayang yang tadinya kabur menjelma pula di depan matanya. Azim bukan sahaja berbadan tegap, malah sangat tinggi. Allisya perlu mendongak untuk melihat wajahnya. Namun, wajah yang berjaya menggegarkan hati ramai gadis di seluruh Malaysia itu kelihatan serius. Matanya juga tidak berkelip melihat Allisya yang berada di hadapannya. Tenungannya tajam.

            Allisya cuba memberanikan diri mengukirkan senyuman. Dia yakin Azim nampak senyumannya itu. Tetapi, alangkah sedih rasa hati Allisya, Azim membalas dengan pandangan yang dingin. Raihana turut melemparkan senyuman, manakala Nik Ain sempat menegur, “Oh, Azim.” 

Wajah Azim masih kaku. Lansung tiada kedutan senyuman mahupun keinginan untuk membalas teguran tersebut. Dia mengangkat kakinya, lalu berlalu pergi dengan kedua belah tangannya disimpan ke dalam poket seluarnya.

            “Sombongnya. Macam mana boleh jadi MPP?” Raihana berbisik ke telinga Allisya. Allisya berpura-pura tidak mendengar. Hatinya kesedihan kerana dilayan sedemikian rupa. Allisya tak tahu mengapa, kesannya begitu dalam melukai hati Allisya. Hakikatnya, mereka memang saling tidak mengenali, malah tak pernah pun bertegur sapa. Mungkin Allisya terlalu mengharap. Tetapi sekurang-kurangnya tunjukanlah sebarang mimik muka yang major, supaya mereka faham samada Azim memang tidak suka ditegur ke atau dia cuma sakit tekak nak bercakap. Ini tidak, Azim kelihatan tenggelam dengan egonya. Agaknya, mungkin semua orang popular memang begitu sikapnya.

            Azim dibiarkan melepasi mereka. Dia menuju ke arah yang sama Allisya dan teman-temannya tujui. Lama-kelamaan, bayang Azim hilang dimamah jarak perjalanannya. Dalam masa yang sama, muncul Zairin dari arah bertentangan. 

            Zairin segera melambai apabila terlihat kelibat mereka bertiga. Zairin juga adalah pelajar baharu di fakulti mereka, namun Allisya dan Raihana tidak berapa mengenalinya.

            “Nak ke mana Zairin? Ke kelab Permata Hati juga ke?” Nik Ain segera bertanya apabila Zairin mendekati mereka. Zairin membalas sapaan Nik Ain. “Taklah kak Nik, saya tak masuk kelab tu. Saya nak ke kelab rugbi.” 

            “Rugbi?” Raihana dan Allisya serentak memberikan respon terkejut mereka. Raihana merenung tubuh kurus kering Zairin. ‘Boleh ke main rugbi ni? Jangan-jangan dia yang kena tolak ke luar garisan.’ Macam-macam yang Raihana fikirkan, tetapi dia cuba menahan dirinya dari terus mengutuk insan yang tidak berdosa itu.

            “Yalah rugbi, saya dulu pemain rugbi di sekolah lama saya. Kenapa pula terkejut?” Zairin tersengih. Mimik wajah Zairin itu macam pernah sahaja Allisya lihat, tetapi dia kurang pasti. ‘Seiras siapa ya?’

            Bilik mesyuarat di falkuti itu dipenuhi dengan pelajar-pelajar perubatan. Mereka semua adalah ahli baru dan tidak kurang juga yang sudah lama menyerti kelab Permata Hati. Kak Nik Ain pun merupakan ahli lama kelab itu.

            “Patutlah buat meeting di fakulti perubatan, pelajar yang jadi sukarelawan pun ramai pelajar perubatan.” Raihana berbisik kepada Allisya. Allisya mengangguk setuju. Matanya meliar memandang bilik mesyuarat di fakulti asing itu. Duduk di hujung sekali di bahagian hadapan adalah Iskandar, pengerusi kelab itu. Manakala di sebelahnya ialah Zaem. Allisya mengalihkan pandangan kepada orang yang berikutnya. Tetapi selepas beberapa ketika, dia berpaling semula ke arah orang yang sebelumnya. ‘Apa? Zaem!’

            Allisya menggosok-gosokan matanya. Macam mana pula Zaem boleh berada di kelab anjuran Iskandar? Matanya tertumpu semula kepada Zaem. Zaem kelihatan sedang sibuk membaca sesuatu di laptop dan kertas-kertas di tangannya. Allisya kehairanan. ‘Apa yang sedang di buat oleh Zaem itu?’ Buat pertama kalinya, Allisya dapat melihat wajah serius Zaem. 

Allisya mengambil tempat duduk bersebelahan dengan Raihana dan Nik Ain. Seketika kemudian, Azim pula muncul daripada pintu di belakang tempat duduk Allisya. ‘Kenapa Azim pun ada? Ni kelab untuk MPP ke?’


Sudah tiba masanya dia pulangkan blazer itu kepada pemiliknya.


            Iskandar melihat jam di tangannya. Masih ada sepuluh minit lagi sebelum mesyuarat kelab mereka bermula. Iskandar memeluk tubuh menghitung waktu. Ini adalah perjumpaan pertama kelab mereka untuk semester ini. Iskandar memerhatikan Zaem yang sedang asyik dengan laptopnya. 

            “Zaem, banyak lagi ke laporan yang nak disemak tu?” Iskandar bertanya. Suaranya perlahan hampir tenggelam dengan suara-suara pelajar lain di dalam dewan mesyuarat itu. Pelajar-pelajar lain kelihatan sibuk bertegur sapa dan berbual-bual sambil menunggu waktu mesyuarat bermula. Zaem hanya mengangguk. Wajahnya terlalu serius. 

Azim muncul semula setelah pulang dari bilik air. Dia mencuit bahu Zaem. Zaem memandang Azim, dia sempat mengenyitkan mata kepada sahabatnya itu untuk mengusik. Sekejap sahaja, kosentrasinya tertumpu semula kepada kerjanya. Jika diiukutkan hati, Azim selalunya dah menjentik dahi Zaem, tetapi kerana melihatkan Zaem yang kesibukan itu, hasrat hatinya dibiarkan terkubur.

Sekejap-sekejap Zaem mengalihkan pandangannya ke laptop, kemudian ke kertas-kertas laporan di meja. Tangannya kelihatan ligat mencatit sesuatu.

“Zaem, kan tu semua kerja AJK Seketeriat lain. Kenapa nak check semula?” Iskandar bertanya.
Sorrylah Is, aku bukan tak percaya dengan hasil kerja budak-budak kelab Seketeriat kita semalam. Tapi, kalau dah banyak sangat kesalahan kecil, kesannya besar Is. Kau pun taukan, aku tak suka hasil kerja sambil lewa.” Zaem menjawab sambil matanya tajam merenung angka-angka di skrin komputer ribanya.

Iskandar dan Azim bertukar pandangan. Mereka tau, biarpun Zaem selalu berjenaka pada waktu dan tempat yang tidak kena, tetapi dia sebenarnya adalah seorang yang bertanggung jawab dan sangat serius dalam menjalankan tugas. 

Azim mengeluarkan duit syiling 50 sen daripada kocek seluarnya, seperti biasa, jari-jemarinya mula bermain dengan duit syiling itu. Iskandar melihat semula jam di tangannya. Baiklah, mesyuarat boleh dimulakan. Dia memberi isyarat kepada Azim dan Zaem, mereka segera memberikan tumpuan kepada ucapan Iskandar.

Setelah satu jam berlalu, barulah Allisya tahu yang Azim cuma ahli biasa kelab Permata Hati itu, manakala Zaem adalah timbalan pengerusi. ‘Gila kuasa betul si Zaem ni. Mana-mana kelab pun dia ada jawatan.’ Allisya mengutuk di dalam hati, tetapi segera dia menarik nafas sedalam yang terdaya. Rasa bersalah menyerang dirinya semula kerana asyik mengutuk ketua MPP mereka itu. Entah mengapa, apa sahaja yang dilakukan oleh Zaem, pasti ada sahaja asbabnya untuk Allisya mengutuk.

Dua jam kini sudah berlalu. Iskandar mengakhiri mesyuarat itu dengan mengingatkan mereka semua tentang aktiviti yang dirancang untuk semester ini. Program terdekat adalah majlis motivasi yang akan dianjurkan di rumah anak yatim Tungku Rashid. Zaem menjadi ketua program itu, namun yang tidak menyedapkan hati adalah kerana Allisya telah dicadangkan oleh kak Nik untuk menjadi timbalan ketua program. Maksudnya, dia akan banyak berurusan dan bekerjasama dengan Zaem tanpa kerelaan hatinya. Allisya menarik muka masam. 

Kak Nik Ain sempat menyedapkan hatinya dengan berbisik, “tak apa, kalau kerja tu berat sangat akak boleh tolong. Call je akak.”

Ahli jemaah mesyuarat sudah ramai yang keluar dari bilik tersebut. Allisya dan Raihana masih duduk di kerusi masing-masing. Mereka ingin menanti semua yang ada keluar supaya Allisya tidak berasa malu berdepan dengan Iskandar di hadapan orang ramai. Kak Nik Ain sengaja menunggu mereka untuk melihat milik siapakah empunyanya beg itu.

Iskandar batuk kecil. Dia bergerak ke sebelah Azim. Sekali lagi dia berbatuk kecil. Batuknya seperti dibuat-buat. “Kau dah siasat Zim kes lelaki kelmarin?” Iskandar bertanya perlahan, dia cuba menyembunyikan suaranya dari Zaem. Mata Iskandar memandang ke syiling. “Nanti aku inbox kau.” Azim menjawab selamba, tangannya bermain-main semula dengan syiling 50 sennya. 

Iskandar senyum tawar. Ini bukanah kali pertama Zaem diugut. Sebenarnya dah berulang-ulang kali. Kebanyakannya kerana hasad dengki. Mungkin kerana sudah terbiasa, Zaem lansung tidak terkesan dengan ugutan baru-baru ni. Cuma pada hari itu sahaja Zaem kelihatan terkejut. Namun Iskandar khuatir kerana peristiwa kali ini agak berbeza. Hatta, telah mengekstrak rasa bimbang di hatinya dan Azim.

Azim dan Zaem tidak pula bangun-bangun dari duduk mereka. Allisya sudah tidak sabar lagi. Apa nak jadi, jadilah. Dia bingkas bangun. Lengan Raihana ditariknya bersama sebagai isyarat minta ditemanankan. Nik Ain hanya memerhati.

Kini, Allisya berdiri di hadapan Iskandar. Dia memberanikan diri memandang panglima hatinya itu. Iskandar yang sedang leka berbual dengan Azim terhenti dari bualannya, lalu pandangannya tertumpu kepada Allisya.Begitu juga dengan Azim. Dalam diam-diam, mata berwarna hazel muda yang menjadi idaman ramai itu juga mengintai di balik skrin komputer ribanya.

“Emm, saya minta maaf mengganggu. Saya cuma nak pulangkan ni kat abang Iskandar, maaf sekali lagi sebab lewat pulangkan.” Allisya menhulurkan beg kertas di tangannya. Wajahnya menunduk, dia malu apabila dipandang oleh ketiga-tiga pasang mata itu.

Terlintas di minda Azim, ‘barang apa yang budak perempuan ni berikan pada Is?’ Kalau diikutkan hatinya, hendak sahaja dia bertanya. Namun Azim memilih untuk membisu, enggan menzahirkan perasaannya. Bukannya cemburu, tetapi sekadar ingin tahu. Dia terus memerhati.

Iskandar menyambut tanpa berkata apa-apa. Dia membuka beg kertas tersebut, melihat isi di dalamnya. Iskandar mengukirkan senyuman. 

“Terima kasih.” Allisya membalas senyuman Iskandar.
“Sama-sama Allisya” Jawapan Iskandar ringkas, tetapi memberikan kesan yang berkekalan di hati Allisya.

*                      *                      *
           
            Allisya berjalan sambil tersenyum. Sudah beberapa hari dia asyik sahaja teringatkan peristiwanya menegur Iskandar ketika memulangkan blazer MPP. Lebih menggembirakan hatinya  apabila mengenangkan kembali saat-saat Iskandar melafazkan, “sama-sama Allisya.” Itulah kali pertama Allisya mendengar Iskandar menyebut namanya. Jelas dan nyata.

            “Allisya ni mesti teringatkan abang Iskandarkan?” Raihana yang berjalan di sebelahnya tiba-tiba mengusik. Mereka sama-sama ketawa. Allisya menyucuk-nyucuk pinggang Raihana sebagai membalas usikannya. Bertambah-tambah kuat Raihana tergelak. Raihana cuba membalas serangan Allisya itu, namun Allisya segera berlari ke hadapan untuk mengelak. Dalam masa yang sama, sebuah kereta yang sedang memecut kelihatan menghampiri Allisya yang sedang berlari ke tengah jalan raya. Reaksi gembira di wajah Raihana serta merta bertukar menjadi pucat… “ALLISYAAA!” 

            Allisya segera berpaling, namun segala-galanya berlaku dengan pantas.
Kini, hanya jeritan Raihana sahaja yang kedengaran…

Nani NA

3 comments:

  1. best..
    suspen tul... x sbr nk thu apa jd.
    cpt smbng..Peace!

    ReplyDelete
  2. Ada panglima yg selamatkan allisya ke???!!

    ReplyDelete
  3. Terima kasih. :)
    Bab 6 kini sudah dimasukan ke blog ni. Selamat membaca.

    ReplyDelete