Sunday 27 November 2011

BAB 33: DI MANAKAH KEBENARANNYA?.



Hari demi hari berlalu. Berita ngeri tentang kematian Farid telah tersebar ke pelusuk tanah air, bukan lagi dalam lingkungan kampus USAS sahaja. Pelajar-pelajar sering berkumpul memperdebatkan isu tersebut malah kehangatan musim ujian kedua langsung tidak dirasai oleh mahasiswa-mahasiswa yang ada. Mereka lebih banyak berfikir tentang kes kematian Farid berbanding berfiikir berkenaan dengan ujian yang bakal dihadapi nanti.  Malah sebaik sahaja setiap daripada pelajar USAS keluar daripada dewan peperiksaan, mereka pasti akan meyambung semula perbualan mereka tentang isu tersebut.
Pelbagai reaksi dapat dilihat. Ada yang mempersoalkan rasa tidak puas hati mereka samada mereka benar-benar selamat atau tidak untuk menuntut di USAS dan ada pula yang merasa sangat takut sehingga tidak berani berjalan seorang diri di kawasan kampus. Namun hanya pelajar yang tidak melihat sendiri kejadian tersebut yang berani membincangkannya, manakala para pelajar yang berada di tempat kejadian kebanyakannya trauma untuk membicarakan isu itu dan tidak kurang juga yang jatuh sakit selepas melihatkan kejadian ngeri tersebut.
            Zaem melangkah masuk ke bilik mesyuarat Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USAS, di mana mereka sering mengadakan perjumpaan Kelab Permata Hati. Langkah Zaem deras, dia kelihatan lebih sibuk daripada biasa. Minda Yang Dipertua MPP USAS itu kusut memikirkan pelbagai perkara. Sudahlah sekarang ini musim ujian, pelbagai perkara buruk pula telah berlaku. Selepas kejadian kematian Farid baru-baru ini, dia dan ramai lagi mahasiswa USAS telah disoal siasat oleh pihak polis. Serabut kepala Zaem memikirkan semua perkara itu. Pelbagai andaian dibuat bagi menyimpulkan isu tersebut, dan ternyata banyak pihak menuduh Zaem adalah punca utama kematian Farid. Bertambah-tambahlah bebanan dan tekanan yang harus ditanggung oleh pemuda tersebut.
            Zaem  memerhatikan seluruh ruang di bilik mesyuarat itu, kebanyakan ahli sudah pun ada. Sebilangan pelajar yang ada kelihatan rancak berbicara membicangkan sesuatu, manakala sebahagian yang lain pula kelihatan muram bagai masih menangisi pemergian arwah Farid. Bayangan Syakir masih tidak kelihatan lagi. Pemuda itu pasti masih berada di kampung mengurusi segala urusan berkaitan dengan kematian Farid. Selepas pemergian Farid, Fazura sudah tiada lagi tempat bergantung selain daripada Syakir dan keluarganya. Merekalah yang mengurusi segala urusan yang berkaitan dengan arwah. Bapa Fazura pula dikatakan kurang sihat dan masih ditahan di hospital, namun tiada siapa pun yang mengetahui penyakit sebenar yang ditanggung bapa gadis itu kecuali Dr. Ariffin.
            Mata Zaem masih melilau, mencari-cari kelibat Allisya. Seminggu selepas peristiwa ngeri itu, Allisya telah jatuh sakit. Allisya dikatakan sering berkurung di dalam biliknya dan hanya kelihatan pada hari dia mengambil ujian sahaja. Zaem risau memikirkan sekiranya ada perkara buruk yang berlaku terhadap gadis itu. Dia berharap sangat hari ini dia dapat melihat wajah Allisya dan memastikan gadis tersebut selamat. Sekurang-kurangnya dapatlah dia menarik nafas lega.
            Beberapa minit berlalu, panggilan Zaem bagai telah terjawab. Wajah Allisya muncul di balik pintu mesyuarat tersebut bersama-sama Raihana. Namun gadis manis itu tidak kelihatan seceria selalu. Wajahnya pula kelihatan tidak bermaya dan pucat sahaja. Zaem hampir berdiri kerana ingin menarikkan kerusi untuk Allisya, namun niatnya terhenti apabila mengingati kembali kondisi hubungan mereka berdua. ‘Kenapa aku selalu lupa? Ingat Zaem, kau tak boleh dekat dengan Allisya. Kalau betul kau sayangkan dia, kau tak boleh babitkan dia dengan masalah kau sendiri.’
            Zaem kembali bersandar pada kerusinya. Anak matanya masih mengekori pergerakan gadis tersebut. Allisya duduk di bahagian tengah meja besar mesyuarat tersebut, manakala Raihana duduk di sebelahnya. Zaem masih tidak sedap hati. Dia ingin sangat bertanya tentang keadaan gadis tersebut. Tetapi bagaimana?
            Tidak lama kemudian Azim pula muncul. Dia berjalan menuju ke bahagian tengah meja mesyuarat dan duduk berhadapan dengan Allisya. Seluruh ahli kelab tergamam seketika dengan tindakan pemuda itu. Setahu mereka selama ini Azim akan duduk di bahagian hadapan bersebelahan dengan Zaem, tetapi mengapa pula hari ini dua sahabat popular itu tidak bersama?
            Zaem yang hanya memerhati daripada jauh turut tergamam. Dia tidak terkejut melihatkan perbuatan Azim yang enggan duduk di sebelahnya itu, namun apa yang membuatkan Zaem benar-benar sakit hati adalah apabila melihat Azim sengaja memilih untuk duduk berhadapan dengan Allisya. Adakah Azim memang sengaja ingin menyakitkan hatinya atau Allisya dan Azim memang sudah mengambil keputusan untuk tidak menyembunyikan lagi tentang rahsia hubungan mereka? Walau apa pun sebabnya, akhirnya hati Zaem tetap akan merasa sakit.
            “Allisya sihat?” Azim memulakan bicaranya. Dia tidak mengendahkan mata-mata yang sedang memandang, termasuklah mata berwarna coklat muda yang masih tekun merenung mereka.
            “Alhamdulillah, sihat. Sebelum ni demam sikit je, sekarang dah surut.” Suara Allisya perlahan sahaja.
            “Kalau belum sihat lagi tak payahlah datang mesyuarat kelab ni. Bukannya penting mana pun.” Azim merenung wajah Allisya. Dia tahu Allisya masih tidak sihat, tetapi mengapa Allisya masih hadir ke mesyuarat kelab mereka?
Allisya hanya tersenyum mendengarkan kata-kata Azim. Kemudian gadis itu memandang ke tempat duduk utama. Zaem yang sedang memerhati dengan pantas mengalihkan pandangannya ke tempat lain.
“Abang Is tak datang ke Abang Azim?” Allisya bertanya dengan nada yang lemah. Bukan niatnya hadir ke mesyuarat tersebut semata-mata untuk beretemu dengan Iskandar, cuma sudah menjadi kebiasaan, secara refleksnya dia akan bertanyakan tentang pemuda itu.
“Iskandar tak dapat hadir. Dia ada lawatan klinikal.”
Wajah Allisya berubah sebaik mendengarkan jawapan Azim. Allisya tidak berkata apa-apa, namun Azim yakin, Allisya pasti kecewa apabila mengetahui pemuda idamannya itu tidak dapat menyertai mereka.
“EHEM!” Allisya dan Azim segera berpaling sebaik mendengarkan suara berdehem Zaem.
Zaem sudah tidak sanggup lagi duduk seperti patung melihatkan hubungan mesra yang ditunjukkan oleh Azim dan Allisya. Walaupun dia tidak dapat mendengar apa yang sedang dibualkan oleh mereka berdua, namun hatinya kuat merasakan mereka berdua sedang membualkan sesuatu yang romantik.
‘Allisya rindu abang tak?”
‘Allisya rindu sangat abang.’
‘Allisya benci tak Zaem?’
‘Benci.’
Begitulah seperti yang dibayangkan oleh Zaem. “Ya Allah, kenapa dengan aku ni?” Zaem menggeleng-gelengkan kepalanya. Sifat cemburu yang ada dalam dirinya sudah menjadi semakin melampau-lampau pula. ‘Aku tak sepatutnya fikirkan perkara yang bukan-bukan  pada waktu macam ni!’ Zaem menarik nafasnya dalam-dalam.
“Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pertama sekali saya ingin menyampaikan pesanan pengerusi kelab kita Iskandar, beliau memohon maaf kerana tidak dapat hadir ke mesyuarat kelab kita pada kali ini. Keduanya, seperti yang kita ketahui, salah seorang daripada rakan seperjuangan kita di USAS, Muhammad Farid bin Azhar telah kembali ke Rahmatullah. Allahyarham ialah seorang pelajar cemerlang dan telah banyak berjasa kepada pihak universiti. Jadi sebelum kita memulakan mesyuarat kita ini, marilah kita bersama-sama berdoa dan menyedekah Al-Fatihah buat Allahyarham.”
Kesunyian menyelubungi seluruh bilik mesyuarat tersebut. Kesayuan jelas terpancar di wajah sebilangan besar ahli kelab Permata Hati, dan salah seorang daripada mereka ialah Allisya.
“Amin..Semoga roh arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman…” Zaem ingin melanjutkan kata-katanya, namun dihentikan oleh satu suara pelajar yang datang daripada sudut bilik itu.
“Abang Zaem, Kak Faz macam mana?”
Zaem menoleh ke arah pelajar junior yang bertanya seraya menjawab, “ Fazura masih bercuti, mungkin minggu depan baru dia balik USAS.”
“Kasihan Faz. Mesti dia alami tekanan yang besar. Kenapalah Farid boleh terfikir untuk bunuh diri.” Salah seorang ahli lain turut bersuara. Allisya yang dari tadi masih diam di tempat duduknya kini telah berubah wajah. Hatinya berasa tidak tenang apabila nama Farid disebut-sebut.
“Walau seberat mana pun dugaan yang kita hadapi, tak sepatutnya kita terdetik untuk bunuh diri. Sepatutnya Farid perlu berfikir panjang demi kebaikan adik dia,” satu suara sumbang turut kedengran bergema di dalam bilik tersebut. Entah mengapa, Allisya berasa marah apabila mendengarkan kata-kata mahasiswa itu.
“Sebab itulah kalau ditimpa masalah, kita harus kuatkan semangat dan sentiasa ingatkan tuhan.” 
“Alahai, manusia zaman sekarang ni..”  
Allisya sudah tidak mampu lagi menahan perasaannya. Terlalu lama dia memendamkanya. Selama ini Allisya membiarkan sahaja orang ramai memperkatakan perkara yang buruk-buruk terhadap arwah Farid, namun hari ini dia tidak mampu lagi menahan sabar. “Tak! Abang Farid tak bunuh diri. Dia tak mungkin bunuh diri!”
Semua hadirin yang ada menoleh ke arah gadis itu. “Allisya tolonglah berpijak di bumi yang nyata. Bukankah pihak polis dah keluarkan kenyataan berkemungkinan Farid memang sengaja melompat dari tingkat lima bangunan perpustakaan tu? Tak akanlah dia boleh jatuh sendiri.”
“Tapi pihak polis pun tak menolak kemungkinan mangsa mungkin dibunuh bukan? Lagi pun siasatan masih dijalankan.” Raihana pula yang bersuara untuk menyokong sahabatnya.
            “Buat apa orang nak bunuh Farid? Rasanya dia memang betul-betul bunuh diri. Bukankah ayah dia sakit jiwa? Mungkin Farid pun ada masalah mental, cuma kita sahaja yang tak tahu.”  Amir, merupakan salah seorang ahli kelab itu itu turut menyampaikan suara hatinya.
“Tak, Abang Farid tak bunuh diri.” Allisya masih berpegang kuat dengan keyakinannya.
“Mana  awak tahu Allisya? Setahu akak awak dengan Farid bukannya rapat mana.” Kini Nik Ain pula yang bersuara. Dia tidak kelihatan seperti ingin menyokong Allisya.
“Sebab sebelum kejadian tu, saya ada bercakap dengan arwah Abang Farid. Dia tak nampak macam orang rancang nak bunuh diri pun. Dia boleh tersenyum seperti biasa, malah kami bertemu di kawasan rak buku. Mungkin dia sedang mencari buku untuk dipinjam pada waktu tu.”
“Jadi kenapa? Apa kaitannya?”
“Maksud Allisya kak, tak akanlah orang yang datang ke perpustakaan untuk pinjam buku tiba-tiba boleh terdetik untuk bunuh diri dengan tiba-tiba? Kalau betul Abang Farid memang berhasrat untuk bunuh diri, buat apa dia nak datang ke bahagian rak buku dan berhasrat nak pinjam buku lagi. Baik sampai-sampai je dia terus bunuh diri.” Raihana masih setia menjadi tulang belakang Allisya.
“Raihana kamu ada ke dengan Allisya pada waktu tu?”
“Tak ada.”
“Kalau macam tu tak payahlah kamu nak bersuara lebih-lebih.” Raihana terdiam sebaik ditempelak oleh salah seorang ahli yang hadir.
“Jadi kamu nak cakap sekarang ni, kematian Farid ni adalah disebabkan oleh perbuatan khianat seseorang?” Amir masih mempertikai kenyataan Allisya.
“Itu saya tak tahu. Boleh jadi juga disebabkan oleh kemalangan yang tidak disengajakan. Tapi apa yang pasti, saya yakin, Abang Farid tak bunuh diri. Tolonglah jangan cakap perkara buruk lagi tentang arwah,” Allisya cuba menahan sebak apabila mengingati semula wajah Farid. Kali terakhir dia bertemu dengan Farid, semuanya kelihatan baik-baik belaka. Malah senyuman terakhir Farid masih kuat berada di ingatannya.
“Allisya, macam mana kamu boleh yakin? Jangan-jangan, kamu yang tolak Farid tu.”
Alangkah terkejutnya Allisya apabila mendengarkan kata-kata seniornya itu. Bagaimana dia boleh terfikir hingga sejauh itu? Orang ramai di bilik mesyuarat tersebut kedengaran sedang berbisik di antara satu sama lain. Mereka seolah-olah turut menyokong kata-kata Amir.
“Yalah Allisya, kenapa reben baju kamu boleh terikat di lengan Farid sewaktu mayat ditemui? Jangan-jangan kamu cuba cederakan dia, tapi sebab tak terdaya, kamu tolak dia dari tingkap perpustakaan di tingkat lima!”
Allisya tergamam mendengarkan tuduhan yang dilemparkan kepadanya. Gadis itu berasa hairan, bagaimanas pula mana orang ramai boleh mengetahui tentang reben itu? Kenapa begitu cepat sahaja berita itu disebarkan dan yang paling penting, siapa yang menyebarkannya?
“Allisya kamu memang bermusuh dengan Farid bukan? Semua orang tahu tentang masalah kamu dan Fazura. Kamu takut kalau-kalau Farid bertindak mencederakan kamu, jadi kamu cuba cederakan Farid dulu.”
“Tak, saya tak pernah terfikir pun untuk buat macam tu!”
“Tapi, kamu sukakan sekarang ni sebab Farid dah tak ada lagi?”
“Allisya sebenarnya apa salah yang Farid dan Fazura dah buat pada kamu sampai kamu tergamak ganggu kebahagian mereka?”
“Ya Allah!” Hampir berair mata gadis kecil itu apabila dituduh bertubi-tubi oleh ahli-ahli kelab Permata Hati yang ada pada ketika itu. Dia tidak menyangka, orang ramai begitu tergamak menuduhnya sekejam itu. Azim yang dari tadi mengekalkan prinsipnya untuk tidak campur tangan itu sudah tidak sanggup lagi melihat orang ramai menyakiti hati Allisya. Dia segera bangun, namun  belum sempat dia bersuara untuk membela, kedengaran satu suara yang amat kuat bergema di setiap genap bilik mesyuarat tersebut.
“CUKUP! BERHENTI!” Zaem sudah pun lama berdiri. Tangannya menghentak meja yang terletak di hadapannya. Setiap yang hadir terdiam. Mereka terkejut melihatkan wajah Zaem yang kelihatan merah bagai menahan marah itu.
“Cukup-cukuplah tu kamu semua nak menuduh Allisya! Allisya tak bersalah dan dia tak ada kaitan pun dengan kes ni. Dia ada di tingkat bawah bersama saya sewaktu kejadian tu berlaku, jadi Allisya tak mungkin lakukan seperti apa yang kamu katakana tadi. Lagi pun tak kasihan ke kamu pada arwah? Pada Fazura? Kenapa kamu semua masih berani memperkatakan perkara buruk tentang arwah? Mana hilangnya sifat kemanusian kamu semua?”
            Sekalian hadirin yang ada tertunduk sebaik mendengarkan kata-kata Zaem. Azim yang telah berdiri tadi, kembali duduk di tempatnya semula. Dia tidak menyangka, Zaem akan terlebih dahulu membela Allisya. Adakah tanggapannya benar, Zaem masih menyukai Allisya?
Air mata Allisya sudah pun mengalir. Dia masih terkejut setelah menyaksikan sendiri reaksi dan tanggapan orang ramai berkenaan dirinya. Adakah semua orang pun turut mengandaikan, dia adalah penyebab utama kematian Farid? Bagaimana mereka boleh menyangka dia dan Farid saling bermusuhan? Mereka tidak bermusuhan, malah tidak pernah sekali pun mereka bertengkar.
Zaem duduk kembali di tempatnya. Dia hairan bagaimana andaian-andaian tadi boleh lahir dan tersebar di kalangan mahasiswa lain? Adakah di antara mereka ada yang menjadi dalang membawa mulut dan menyebarkan kisah buruk tentang Allisya? Dahulu orang ramai hanya menuduhnya dan Zaem masih mampu bersabar. Kini nama Allisya turut diheret sama, membuatkan Zaem benar-benar marah dengan sikap penuntut USAS.
Zaem memandang ke arah Allisya. Dia kasihan melihat gadis itu. Tidak sanggup dia melihat air mata Allisya mengalir lagi. Namun setiap kali air mata gadis itu mengalir, pasti disebabkan oleh salah dirinya. Zaem buntu, bagaimana harus dia lakukan untuk melindungi Allisya? Semakin dia menjauhi gadis itu, Allisya tetap semakin terjebak ke dalam masalah yang timbul. Zaem tahu, Azim mampu menjaga Allisya. Namun semua itu tetap tidak dapat memberikan ketenangan dalam hati Zaem, dia akan menjadi lebih yakin jika dia sendiri yang menjaga gadis itu.
*                      *                      *

            “Allisya, macam mana dengan ujian tadi?” Raihana berjalan keluar daripada dewan peperiksaan dalam keadaan yang sedikit sungul. Allisya tersenyum mendengar soalan Raihana. “Alhamdulillah, Sya rasa soalan kali ini lebih mudah daripada ujian pertama dulu dan kurang mengelirukan.”
            “Sya? Betul ke? Rai rasa susah sangat nak jawab tadi. Banyak soalan yang Rai sangkut.”
            Allisya sedikit terkejut mendengarkan jawapan Raihana. Setahunya Raihana seorang pelajar yang cemerlang. Mungkin kejadian-kejadian yang berlaku baru-baru ini sedikit sebanyak telah mengganggu konsentrasi sahabatnya itu. “Insya Allah Rai, tak ada apa-apa. Mungkin Rai rasa macam susah, tapi sebenar apa yang Rai jawab semuanya betul. Kita tawakal je. Lagi pun ni ujian terakhir kita. Lepas ni kita risaukan pula tentang peperiksaan akhir semester kita.”
Raihana mengangguk setuju. Walau pun dia tidak mampu menjawab ujian tadi seyakin ujian pertama sebelum ini, namun dia gembira melihat Allisya yang kelihatan sudah kembali bersemangat. Pelajaran Allisya juga tidak kelihatan terganggu walaupun selepas kejadian-kejadian buruk yang berlaku di USAS baru-baru ini. Raihana kagum dengan semangat yang ditunjukkan sahabatnya itu. Tidak hairanlah Allisya kelihatan begitu menyerlah di mata Zaem. ‘Mampu ke aku menyaingi Allisya?’
Mereka berdua masih berjalan menuju ke arah perhentian bas yang berdekatan. Mereka merasa sedikit kekok pada setiap langkah yang diambil. Allisya dapat melihat dan menyedari, terdapat mata-mata yang sedang merenung ke arah mereka. Malah tidak kurang juga dengan suara-suara bisikan yang kedengaran seperti menyebut-nyebut namanya. Namun Allisya sedaya upaya cuba untuk tidak mengendahkan keadaan tersebut. Sejak dia masuk ke USAS ini, sudah berapa kali dia difitnah dan diumpat. Sememangnya hati Allisya merasa sedikit terguris, meski pun begitu, dia harus kuatkan semangatnya.
“Assalamualaikum,” wajah manis seorang pemuda menyapa kedua-dua orang gadis remaja itu. Allisya menjawab salam pemuda tersebut, matanya kelihatan bersinar-sinar melihatkan wajah yang amat disenanginya itu.
“Abang Is!”
Iskandar melebarkan senyumannya, “Allisya dan Raihana sihat? Abang dengar Allisya demam teruk minggu lepas.”
“Alhamdulillah kami berdua baik-baik je abang. Demam minggu lepas dah lama kebah.”
“Alhamdulillah.” Iskandar menarik nafas lega. Sepanjang minggu lalu dia risau memikirkan keadaan Allisya. Macam-macam kisah buruk didengarinya berkenaan dengan Allisya termasuklah tentang tuduhan-tuduhan tidak berasas yang dilemparkan. Walau bagaimanapun Iskandar bersyukur melihatkan semangat yang ditunjukkan gadis itu. Allisya masih mampu tersenyum setelah diuji seberat ini. Tidak salah lagi, gadis yang ditemuinya 10 tahun yang lalu itu memang sangat istimewa.
“Abang Is, macam mana keadaan Kak Faz?”
“Abang dengar Fazura dah balik semula ke USAS dengan Syakir.”
Allisya dan Raihana saling berpandangan. “Apa kata balik bilik ni kita jenguk kak Faz?” Allisya mengangguk mendengarkan cadangan Raihana. Namun jauh di sudut hati Allisya, dia berasa sedikit takut. Takut sekiranya Fazura memberikan reaksi negatif apabila bertemu dengannya nanti.  
“Rai…Sya…” satu suara yang amat dikenali kedengaran memanggil-manggil nama kedua-dua orang gadis itu.
“Eh, Abang Is pun ada?” Zairin datang sambil membawa sekeping fail di tangannya.
“Abang cuma lalu di sini je. Sekejap lagi abang ada kelas. Tinggal dulu ya Allisya, Raihana. Hati-hati balik ke bilik. Zairin, abang pergi dulu.” Iskandar bersalam dengan Zairin sebelum melangkah pergi.
Allisya dan Raihana saling berpandangan. Mereka seperti ingin membicarakan sesuatu, namun kehadiran Zairin membataskan perbualan mereka. ‘Kenapa Abang Is tinggalkan kami dengan Zairin?
“Jom Rai, Sya. Kita keluar makan sama.”
“Em, tak apalah Rin. Kami nak terus ke bilik ni melawat Kak Faz.”
Zairin diam sebaik mendengar nama Fazura disebut. Raihana yang berjalan di sebelah Zairin perlahan-lahan semakin menjauhi pemuda itu dan merapati Allisya.
“Allisya, kenapa dengan Zairin ni? Suka sangat nak dekat-dekat dengan kita.”
“Dah diakan rakan sekuliah kita. Lagi pun kita bertigakan memang rapat dari awal sem dulu.”
“Tapi dulu dia nampak baik.”
“Kenapa Rai? Dia nampak jahat ke sekarang ni?” Ketika kedua-dua orang gadis itu saling berbisik perlahan, Zairin sudah pun berganjak semakin merapati mereka pula, “apa yang Rai dengan Sya bisik ni? Mengumpat Rin ke?”
“Ish, Rin. Kenapa jalan rapat-rapat dengan kami ni. Tak eloklah orang pandang.” Raihana menjadi cuak apabila melihat Zairin yang sedang berjalan di sebelahnya. Sejak akhir-akhir ini dia menjadi semakin fobia dengan kehadiran Zairin.
“Rin, semester ni Rin masuk kelab apa ya di USAS?” Allisya mengambil kesempatan yang ada untuk mendapatkan kepastian daripada Zairin.
“Kenapa Sya tanya macam tu ya? Kan Rin pernah beri tahu dulu yang Rin masuk kelab rugbi.”
“Selain kelab rugbi, ada kelab lain tak yang Rin masuk?” Allisya bertanya lagi.
“Yalah, kan kita boleh masuk lebih daripada satu kelab?” Raihana turut mendesak untuk mendapatkan jawapan.
“Peliklah Rai dengan Sya ni. Kan Rin dah kata. Rin masuk kelab Rugbi je.”
Raihana menjeling kepada Allisya. Kenapa Zairin masih menafikan kebenaran sebenar? Allisya dan Raihana yakin, nama yang dilihat mereka itu ialah nama Zairin, malah nombor pelajarnya juga sama. Tak mungkinlah mereka salah pandang.
Allisya memandang wajah Zairin. Zairin kelihatan tidak senang setelah ditanyakan soalan tadi.  Mengapa Zairin menipu? Untuk apa dia menyembunyikan kebenarannya? Persasaan takut dan bimbang kembali menerpa ke hati Allisya. Semoga tiada lagi perkara buruk yang akan berlaku selepas ini.
Nani NA

Sunday 20 November 2011

BAB 32: MERAH ITU DARAH

“Zaem tak sihat ke?” Fazura kelihatan begitu risau melihatkan wajah Zaem. Zaem tidak bercakap sepanjang hari.
Zaem diam. Tangannya sedang memegang sesuatu, tetapi Fazura kurang pasti apa sebenarnya yang sedang digenggam oleh Zaem itu.
“Faz nak pergi ke mesin pinjam buku sekejap. Zaem tolong jagakan laptop Faz ya.” Zaem hanya mengangguk. Sebaik sahaja Fazura pergi, Zaem melepaskan barang tadi daripada genggamannya. Barang itu merupakan sebentuk keychain kayu berbentuk hati yang telah diukirkan dengan nama ‘Allisya’. Rantai kunci itu telah lama dibeli oleh Zaem, sejak sebelum mereka bertengkar lagi. Dia ingin menghadiahkannya kepada Allisya, namun malangnya, insiden buruk yang menimpa membantutkan hasratnya itu. Kini rantai kunci itu menjadi salah satu barang yang amat berharga bagi Zaem. Mungkin sampai bila-bila dia tidak akan dapat memberikan keychain itu kepada Allisya. Tambahan pula, Allisya pasti tidak akan sudi menerima apa-apa hadiah daripadanya lagi semenjak peristiwa di Anjung Teratai dahulu. Allisya pasti sangat bencikan dirinya.
Kesayuan di hati Zaem jelas terpapar di wajahnya. Beberapa orang pelajar junior lain yang lalu di hadapannya berasa hairan dengan perubahan sikap yang ditunjukkan Zaem. Selalunya ketua MPP mereka itu seorang yang ceria dan suka mengenyitkan mata berwarna coklat cairnya yang cantik itu. Tetapi kini, mereka jarang sekali dapat melihat Zaem mengenyitkan matanya lagi. Mengapa?
Zaem tidak menghiraukan orang di sekelilingnya. Ditenungnya rantai kunci tersebut. Perlahan-lahan, memorinya kembali kepada peristiwa di Anjung Teratai tempoh hari. Rasa geram mula hadir dalam dirinya. Dia betul-betul kecewa dengan Azim. “Allisya dan Azim? Apa tak ada perempuan lain lagi ke yang boleh Azim suka? Kenapa mesti Allisya?”
“Zaem,” Fazura tiba-tiba muncul semula daripada belakang Zaem. Zaem yang baru sahaja sedar dengan kehadiran Fazura segera menyembunyikan keychain tersebut.
“Faz tertinggal kad metrik. Tak dapat nak pinjam buku.” Fazura berkata sambil mencapai kad pelajarnya yang terletak di atas meja. Zaem berasa lega kerana sempat menyembunyikan rantai kunci tadi. Namun apa yang Zaem tidak tahu adalah, Fazura sendiri telah pun terpandang barang tersebut ketika Zaem sedang termenung memerhatikannya. Jauh di sudut hati gadis itu, dia merasa terluka. Namun Fazura membuat keputusan untuk menyembunyikan perasaan hatinya.
‘Zaem masih sukakan Allisya?’ Getus Fazura sendiri. Hari belum pun malam, namun hati Fazura sudah pun merasa suram dan kelam.
Di suatu sudut perpustakaan, Allisya terbersin-bersin tanpa henti. ‘Ada orang sebut nama aku ke?’
Allisya sedang sibuk mencari buku yang ingin dipinjamnya. Pada ketika itu, telefon bimbit miliknya bergegar dari dalam poket bajunya. Allisya segera mencapai telefonnya. “Rai rupanya. Kenapa Rai risau sangat ya dengan masalah Zairin ni? Dia ni terlalu banyak berfikir agaknya.” Allisya menyimpan kembali telefonnya dan menyambung semula pencarian yang terhenti tadi.
Allisya mara ke lorong rak buku yang seterusnya. Buku yang dicarinya masih belum lagi ditemui. Sehingga tiba di satu lorong rak buku yang seterusnya, Allisya dikejutkan dengan bunyi buku-buku yang jatuh terhempas ke lantai. Allisya segera berpaling. Farid sedang mengutip buku-buku yang terjatuh itu. Namun tangan sebelah kirinya kelihatan seperti terseliuh, mungkin dihempap buku tadi.
            Allisya bergegas membantu mengutip buku tersebut. Farid sedikit terkejut. Dia cuba berlagak biasa. Farid cuba sedaya upaya mengutip pantas buku-buku yang terjatuh tadi agar dapat segera beredar daripada Allisya. Namun dalam kekocohannya mengutip buku-buku itu, tangan sebelah kanannya pula terlanggar bucu rak buku yang tajam. Malah terdapat paku berkarat yang kelihatan terkeluar daripada celah urat kayu rak tersebut, mengguris dan mencarik kulit lengan Farid. Darah mengalir dengan laju. Allisya yang telah selesai membantu mengutip buku tadi, dengan pantas meletakkan buku-buku itu di atas rak. Kemudian dia mencabut kain reben besar yang menjadi hiasan pada baju blouse miliknya. Dia menghulurkan kain berwarna merah jambu tersebut kepada Farid, namun Farid menarik tangannya ke belakang.
            “Abang, tangan abang berdarah. Abang gunakanlah kain ni untuk tekan luka tu atau ikatkan pada tangan abang.”
            Farid merasa serba salah. Akhirnya dia menyambut kain pemberian Allisya itu. Berat rasa hatinya untuk mengotorkan kain reben milik gadis tersebut, tetapi Allisya masih bertegas untuk memberikan kepadanya pula. Farid cuba mengikatkan kain itu pada bahagian luka di lengan tangan kanannya. Namun dia mengalami kesukaran kerana sakit tangan kirinya yang terkehel tadi masih belum surut lagi. Kasihan melihatkan pemuda itu, Allisya memberanikan diri mengambil dan mengikatkan kain tersebut pada lengan Farid.
Bagai ada aura luar biasa datang menerpa ke dalam jiwa Farid ketika melihat Allisya mengikat kain tersebut ke lengannya. Pemuda itu terdiam. Hatinya tersentuh melihat kesungguhan gadis itu yang berusaha membantunya. Bukankah Allisya tahu dia ialah abang Fazura, tetapi mengapa dia masih rela membantu Farid? Benarkah gadis yang sungguh baik hati itu pernah menyakiti hati adiknya seperti yang dikatakan Syakir? Farid masih keliru.
            “Dah siap. Abang tekan sikit pada tempat luka tu, Insya Allah, cepatlah darah tu berhenti.”
            “Terima kasih.” Farid menjawab ringkas. Namun dia benar-benar ikhlas menghargai bantuan gadis itu. Pada saat itu segala dendam yang tersimpan bagai hilang dipadam oleh kelembutan dan kebaikan gadis kecil itu.
            “Sama-sama,” Allisya membalas dengan senyuman. Dia berlalu pergi  meninggalkan Farid. Namun pemuda itu sempat bertanyakan satu soalan yang mengejutkan dirinya.
            “Allisya, awak bencikan saya ke?”
            Allisya kehairanan mendengarkan soalan yang diajukan oleh siswa lepasan ijazah itu. “Kenapa pula saya nak bencikan abang?”
            “Allisya tahukan saya ni abang Fazura?”
            “Saya tahu. Saya tak pernah bencikan Kak Fazura dan tak ada sebabnya juga saya nak bencikan abang. Saya dan Zaem memang tak pernah ada apa-apa hubungan istimewa. Lagi pun abangkan senior saya, malah merupakan orang yang saya kagum. Saya harap lepas saya tamat pengajian ijazah saya ni, saya pun nak sambung belajar seperti abang.” Allisya menjawab dengan nada yang teruja. Senyuman juga terukir di bibir kecil gadis itu.
            Entah bagaimana, Farid juga tersenyum melihat senyuman gadis itu. Jauh di sudut hatinya tergetus rasa bersalah yang amat mendalam. ‘Macam mana aku boleh tergamak membenci gadis itu sedangkan dia langsung tidak berdosa terhadap aku?’ Farid merasa sungguh kesal, kerana sayangnya kepada adik sendiri, dia tergamak membenci orang lain yang tidak bersalah. Sangkanya Allisya adalah racun yang menjadi punca kepada kesedihan yang ditanggung oleh adiknya itu. Tetapi entah mengapa, hatinya kuat merasakan Allisya adalah gadis yang baik.
            “Allisya, terima kasih sekali lagi. Maaf sebab abang dah kotorkan reben Allisya ni.”
            “Tak apa. Reben tu hiasan tambahan je pada blouse ni. Saya boleh guna kain lain untuk gantikan reben tu. Abang janganlah risau ya.” Allisya melangkah dengan rasa  yang  positif. Pertama kali, dia selesa berbicara dengan Farid. Harapannya moga tiada lagi sangkaan buruk lahir daripada hati mereka lagi. Moga mereka tidak akan bermusuhan disebabkan perkara yang remeh temeh.
            “Mungkin tak ada perkara buruk yang akan berlaku hari ni. Aku je agaknya yang suka fikir bukan-bukan.” Allisya melangkah melepasi seorang insan yang sedang bersembunyi di balik rak buku yang berdekatan. Syakir masih memerhatikan tindak tanduk serta perbualan di antara Farid dan Allisya.
‘Apa yang dah terjadi ni? Musuh tak boleh berkawan rapat. Perkara ini harus dihalang! Farid dan Allisya tidak boleh menjadi kawan!’

*                      *                      *

“Mana Rai ni?” Allisya merenung jam di tangannya. “Tadi suruh tunggu depan pintu utama perpustakaan. Tak akanlah dia masih ekori Zairin lagi? Dah lewat petang ni. Nanti tak ada bas pula nak balik bilik.” Allisya memeluk buku yang telah dipinjamnya tadi. Berat sungguh. Itu belum termasuk lagi dengan buku yang dah sedia ada dalam beg sandangnya dan di bilik. ‘Banyak-banyak pinjam buku ni, sempat ke nak baca?’
            Bunyi sepatu hitam bergema daripada belakang Allisya. Gadis itu menoleh ke belakang. Memang tidak salah lagi. Siapa lagi yang gaya jalannya ala-ala menteri kalau bukan Zaem. Pemuda itu berjalan melepasi Allisya. Dia memang sedar akan kehadiran Allisya di hadapan pintu itu, namun dia sengaja berpura-pura tidak melihat gadis itu. Pemuda tersebut berjalan tegak sahaja, langsung tidak menoleh ke kiri mahupun kanan. Allisya hanya tunduk. Dia enggan memandang wajah pemuda itu. Wajah yang hanya akan membuat hatinya sakit apabila dipandang. Mengapa begitu kerap pula mereka bertembung? Kecil sangat ke USAS ni? Tetapi bukan ke USAS ni antara universiti terbesar dalam negara?
            Zaem menoleh ke kanan, betul-betul tepat ke arah Allisya. “Zaem…” Entah mengapa, nama itu terpancur keluar daripada mulut Allisya. Mengapa Zaem memandang ke arahnya? Adakah Zaem ingin menegurnya? Akan jernihkan hubungan yang telah keruh ini?
            Zaem tersenyum lalu melambai-lambaikan tangannya. Allisya tergamam. Benarkah apa yang sedang dilihatnya? Nyatakah kejadian ini? Realiti atau ilusi? Allisya turut mengukirkan senyuman dan ingin melambaikan tangannya, namun niatnya terbantut sebaik Zaem membuka mulutnya. “Eh, Mai! Seorang je ke?”
              “Taklah. Tadi saya datang dengan Zarina dan Nik. Mana Fazura?”
            Merah muka Allisya menahan malu. Rupanya Zaem ingin menegur dan melemparkan senyuman kepada Maizatul, bukan kepadanya. Mengapalah dia boleh perasan sendiri. Nasib baik dia tak sempat melambai. Jika tidak, pasti dia akan menanggung rasa malu yang amat. Mengapalah dirinya masih buta. Zaem dan dia memang sudah tiada ikatan, walaupun sebagai kawan biasa.
            Allisya melangkah ke hadapan sedikit. Dia enggan menjadi orang yang berada di tengah-tengah perbualan mereka berdua. Entahlah, semakin dia melihat wajah Zaem, semakin terasa sakit pula hatinya.
            “Faz ada dalam perpustakaan lagi. Pergi pinjam buku rasanya. Saya pun kurang pasti.”
            “Oh ya ke? Tadi saya nampak dia berbual dengan Syakir.”
            “Syakir? Tak perasan pula rupanya Syakir ada di perpustakaan juga.”
            “Zaem, perpustakaan kitakan besar. Sampai 5 tingkat, mana nak terserempak dengan semua orangkan.”
            Zaem tersenyum, dalam perbualannya itu, dia sempat mencuri pandang ke arah Allisya. Allisya bagai tidak menyedari kewujudannya pula. ‘Betul ke Allisya bencikan Zaem?’
Maizatul sedang membicarakan tentang sesuatu perkara, namun Zaem tidak pula menumpukan perhatian terhadap apa yang sedang diperkatakan. Matanya sibuk menjeling ke arah Allisya. Allisya masih enggan menoleh kepadanya.  ‘Maafkan Zaem Allisya. Maafkan Zaem kerana mempersiakan Allisya. Maafkan Zaem kerana terpaksa menyakiti Allisya.’
            “AAAAAAAHHHHHHHHH!” Zaem tersentak apabila mendengar suara beberapa orang pelajar perempuan menjerit. Suara jeritan itu datangnya daripada dalam bangunan dan luar bangunan. Mahasisiwi-mahasiswi kelihatan bertempiaran berlari ke arah pintu masuk menjauhi perkarangan perpustakaan. ‘Ada sesuatu yang yang buruk berlaku ke?’
            Dalam kekeliruan yang berlaku, Zaem dapat melihat beberapa orang pelajar lelaki keluar daripada perpustakaan menuju ke perkarangan luar bangunan. Allisya sudah lama hilang daripada pandangannya. Melihatkan kejadian yang berlaku, Zaem menjadi sangat cemas.
            “Apa yang sedang berlaku?” Zaem sempat menarik lengan seorang siswa lelaki yang berlari di hadapannya.
            “Abang Zaem…jatuh…”
“Abang jatuh?”
“Bukan…ada orang…ada orang jatuh dari tingkat atas bangunan!”
            “Astaghfirullah al Azim!” Zaem lantas berlari menuju ke arah tempat yang sama kesemua siswa lelaki sedang tujui. Sepanjang berlari, Zaem tidak berhenti-henti berdoa agar apa yang dikatakan pelajar tadi tidak benar. Moga tiada sesiapa pun yang betul-betul jatuh daripada bangunan perpustakaan mereka.
            Larian Zaem terhenti apabila tiba di satu kawasan yang kelihatan dikerumuni oleh beberapa orang pelajar. Zaem cuba masuk dan lalu di celah-celah mahasiswa lain. Mereka semua kelihatan bagai sedang dirasuk dan tidak mampu berkata apa-apa. Sesampai sahaja Zaem di tengah-tengah kawasan kerumunan itu, Zaem terlihat Allisya. Mata gadis itu kelihatan terbeliak. Kedua-dua belah tangannya pula sedang menakup mulutnya sendiri.
            “Allisya!” Zaem menyeru nama gadis itu. Namun Allisya masih kaku, kejung bagai sedang melihat sesuatu yang sangat dasyat.
            Zaem berlari ke sebelah Allisya. Dia memandang ke arah kawasan yang sedang ditenung oleh gadis itu.
“YA ALLAH!” Sesak nafas Zaem sebaik sahaja melihat kejadian yang sedang berlaku itu. Terketar-ketar kaki pemuda itu dengan hanya berdiri di tempat kejadian. “Siapa? Siapa?”
Zaem segera berpaling semula kepada Allisya. Allisya masih kaku. Matanya yang sedang terbeliak itu kelihatan seperti sedang diselubungi dengan perasaan takut. Mukanya pucat bagai orang yang baru sahaja kehilangan banyak darah. Air mata sudah pun mengalir pada alis mata gadis itu.
“Allisya, jangan pandang lagi! Tutup mata awak!” Namun Allisya seperti tidak dapat mendengar suara Zaem lagi. Gadis itu bagai tenggelam dalam ketakutannya sendiri. Dia sedang sesat dalam dimensinya sendiri. Perkara yang sedang dilihatnya, benar-benar telah membuatkan gadis itu trauma.
                     
Zaem tidak berlengah. Pemuda itu tidak sanggup melihat Allisya menyeksa diri memandang sesuatu yang tidak sepatutnya dilihat oleh dirinya. Zaem dengan pantas menanggalkan blazernya, lalu menyarungkannya ke kepala Allisya bagi menutup wajah gadis itu dari terus memandang kejadian ngeri yang berlaku di hadapannya. Zaem tahu, Allisya menjadi kaku kerana terlalu terkejut melihatkan kejadian tersebut.
 Allisya tidak memberontak apabila wajahnya ditutup oleh Zaem. Matanya tidak lagi memandang lumuran darah tadi. Dia terasa bagai telah dikejutkan daripada mimpi ngeri. Namun Allisya masih tidak terdaya untuk menggerakkan anggota tubuhnya. Mindanya trauma. Badannya masih menggigil. Sebaik sahaja wajahnya ditutup. Dia menangis semahu-mahunya. Gadis itu tidak meraung, namun air matanya mengalir deras kesan daripada melihat kejadian yang menyayatkan hati itu.
Raihana muncul daripada celahan mahasiswa lain. Dia termengah-mengah kerana penat berlari keluar daripada dalam perpustakaan. Gadis itu menjerit sebaik melihat ‘objek’ yang berada di hadapannya. Kerana tidak sanggup memandang, Raihana segera memalingkan wajahnya daripada tempat kejadian.
 “Raihana, jangan tengok lagi. Tolong bawa Allisya pergi dari sini.” Mendengarkan sahaja arahan Zaem itu, Raihana mengangguk. Lalu gadis itu segera memaut Allisya dan menarik sahabatnya itu keluar dari kelompok tersebut.
Zaem meraup wajahnya berulang-ulang kali. Tidak dinafikan, dia sendiri merasa takut dengan apa yang sedang dilihat oleh matanya. Beberapa minit kemudian, Iskandar muncul dari belakang Zaem. “Zaem, apa yang berlaku?”
Zaem tidak mampu menjawab. Dia membiarkan Iskandar melihat sendiri kejadian itu. Zaem masih membuka matanya, melihatkan sesuatu yang amat mengerikan. Di hadapannya terbaring sekujur tubuh yang terlentang ke belakang. Darah merah pekat kelihatan mengalir dari bahagian bawah tubuh mangsa, malah meresap ke seluruh bahagian baju T-shirt putihnya. Wajah mangsa tidak dapat dilihat kerana sedang menghadap ke arah yang bertentangan dari sudut yang sedang Zaem pandang. Rambut hitam mangsa basah dilumuri darahnya sendiri. Kaki mangsa kelihatan terkepak seperti kupu-kupu yang telah mati. Sekali lagi Zaem beristighfar. Sedang Zaem memerhati, dia terpandang sehelai kain berwarna merah jambu yang sedang terikat di lengan pemuda malang itu. Siapakah pemuda tersebut dan mengapa lengannya diikat dengan kain merah jambu itu?
“ABAAANG!” Suara jeritan kedengaran bergema di ruang udara sekeliling mereka. Zaem mendongak. Fazura kelihatan sedang berada di tingkat tiga perpustakaan tersebut. Gadis itu sedang menagis dan meraung-raung seperti orang gila di tingkap yang berdekatan.
“Fazura? Kenapa Faz…” Zaem memandang kembali ke arah mayat yang dilihatnya tadi, “FARID!”
“TAK, TAK MUNGKIN! ABANG! ABANG!” Fazura masih meraung, menjerit-jerit dari tingkat atas bangunan. Dia kelihatan seperti ingin terjun ke bawah menyertai arwah abangnya. 
Zaem menjadi cemas. “FAZ JANGAN!” Pemuda itu khuatir sekiranya Fazura akan bertindak di luar kewarasan dirinya. Mujurlah Zarina dan Nik Ain turut berada di tingkat yang sama dengan Fazura dan mereka sedang berusaha menenangkan serta menarik gadis itu untuk menjauhi tingkap tersebut.
“Ya Allah..” Zaem memandang pula ke arah tingkap-tingkap lain di setiap tingkat bangunan perpustakaan itu. Beberapa orang  pelajar lain turut menjengahkan kepala mereka keluar tingkap untuk melihat kejadian tersebut dengan gambaran yang lebih jelas. Ada beberapa orang pelajar turut menjengah dari tingkat empat dan lima, namun Zaem tidak pasti siapa. Dia tidak dapat mengecam wajah-wajah itu kerana kedudukan mereka yang terlalu jauh.
Zaem mengeluh. ‘Kenapa? Kenapa keadaan boleh menjadi seburuk ini? Apa yang telah terjadi? Siapakah yang menjadi dalang sebenar kejadian ni?’
 Seluruh tubuh Zaem menjadi lemah. Kakinya masih menggigil. Perkara yang paling ditakutinya kini telah pun berlaku. Zaem bingung. Di manakah kesilapannya,dan di manakah kelemahan kepimpinannya sehinggakan perkara buruk seperti ini boleh berlaku?
“Ya Allah, aku berlindung kepadaMu ya Rabb. Berikanlahku kekuatan untuk menghadapi dugaanMu ini.” Peluh sudah pun mengalir ke dahi pemuda itu. Otaknya kusut memikirkan kejadian yang baharu sahaja terjadi. Kini Zaem tidak pasti, adakah dia masih mampu menghadapi semua ini seorang diri?
   Pada saat itu Zaem teringat akan satu lagi sampul surat yang baru sahaja diterimanya pagi tadi. Zaem sengaja tidak mahu membukanya dari pagi tadi kerana bimbang jika isi surat tersebut akan menserabutkan lagi mindanya. Entah mengapa, kini dia tiba-tiba sahaja tergerak hati untuk membukanya. Sebaik sampul tersebut direntap dan lipatan kertas surat itu diselak, Zaem tercengang membaca isi surat layang kedua yang diterimanya kali ini.
Ketawalah selagi terdaya kerana esok, ENGKAU PASTI AKAN MENANGIS.’