Friday 18 November 2011

BAB 31: SIAPAKAH ZAIRIN?



Suasana di Perpustakaan Sultan Alauddin Syah masih lengang. Walaupun sebahagian daripada pelajar USAS telah kembali ke kampus, namun masih ramai yang berada di kampung masing-masing. Cuti pertengahan semester yang bersisa itu digunakan dengan sebaik-baiknya oleh mahasiswa USAS untuk mengulangkaji walau di mana sahaja mereka berada. Begitu juga dengan Allisya dan Raihana. Mereka duduk mengulangkaji di sebuah meja yang terletak berdekatan dengan cermin tingkap perpustakaan tersebut. Hujan kelihatan sedang turun dengan lebatnya di luar bangunan. Namun mereka langsung tidak terganggu dengan keadaan tersebut kerana perpustakaan universiti itu dibina kedap daripada sebarang bunyi bising yang datang dari luar.
Allisya menyelak buku rujukan Mendell yang dipinjamnya berulang-ulang kali. Dia seperti tidak mampu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran yang sedang ditelaahnya. 
“Memang Zaem, memang aku sukakan Allisya. Aku akan jadi perlindung Allisya dan aku akan lindungi dia daripada terus disakiti lelaki tak berguna macam kau ni!”
Allisya masih teringat akan kata-kata yang dilafazkan oleh seniornya itu. Hatinya menjadi tidak tenang setiap kali mengingati peristiwa itu kembali.
‘Kenapa Abang Azim kata macam tu? Betul ke Abang Azim sukakan aku, atau dia sebenarnya sengaja nak menyakiti hati Zaem?’ Allisya menggelengkan kepalanya secara tiba-tiba. Raihana yang duduk bertentangan dengan gadis itu sedikit sebanyak turut merasa terkejut dengan tindakan Allisya. 
“Allisya, awak tak apa-apa? Sejak akhir-akhir ni Rai tengok Sya nampak macam terganggu je. ” Raihana akhirnya menyuarakan kemusykilan di hatinya. Sudah lama dia menyedari perubahan perangai yang ditunjukan oleh Allisya. Sejak hari Raihana pulang ke kampus, wajah Allisya kelihatan muram dan suram. Seperti ada sahaja keresahan yang sedang disembunyikan oleh sahabat sekuliahnya itu.
“Tak ada apalah Rai. Sya cuma penat sangat agaknya. Dua tiga hari nikan Sya selalu berjaga sampai lewat malam.” Allisya mengukirkan senyuman bagi menutup keresahan yang sedang ditanggung jiwanya.
Raihana tidak bertanya lagi. Dia bukanlah jenis yang suka mendesak. Namun Raihana yakin, lambat laun Allisya pasti akan meluahkan masalah hatinya kepada dirinya.
 
Allisya kembali merenung buku rujukannya. Dia cuba memberikan konsentrasi yang sepatutnya agar fikirannya tidak mudah melayang memikirkan perkara yang bukan-bukan. Berkerut-kerut wajah anak gadis itu untuk cuba memahami pembacaannya. Lama kelamaan, setelah hampir sejam berlalu, mata Allisya menjadi kabur. Dia berhenti dari menelaah. Buku tersebut ditutupnya. Raihana pula masih tekun dengan pembacaannya.

Allisya melontarkan pandangannya ke luar tingkap. Memori di minda kembali berputar-putar kepada peristiwa yang berlaku baru-baru ini.

“Awak benci saya? Saya lebih bencikan awak dan saya benci tengok awak pakai selendang ni!”

Wajah amuk Zaem masih terbayang-bayang di benak fikiran gadis itu. Allisya tidak mengerti mengapa dia sering teringat dan terbayangkan wajah Zaem. Perkara ini telah lama disedari Allisya semenjak Zaem mula menjauhi dirinya. Dahulu, semakin Zaem cuba memikat dan mendekatinya, Allisya pasti akan mengelak daripadanya. Kini, ketika Zaem semakin menjauhi dirinya, bayangan pemuda itu sering pula muncul dalam lamunannya. Mengapakah perasaannya begini? Zaem bukanlah sesiapa pun dalam hidupnya, namun sejak mengenali pemuda itu, hidupnya menjadi semakin huru-hara. Peristiwa yang menyakitkan hati, memalukan diri dan hampir meragut nyawanya pun semuanya pasti akan ada kaitan dengan Zaem. Sabar jelah! Namun tidak dinafikan, perkenalannya dengan pemuda itu kadang kala turut mengukirkan senyum dan tawa dalam hidupnya.
            ‘Kenapa Zaem benci sangat dengan aku? Aku pernah buat salah ke pada dia? Setahu aku dia je yang selalu buat aku naik angin dulu. Tapi kenapa pula lepas kami berkawan, dia mula berubah? Zaem, tolonglah beri jawapan.’
            Panahan mata Allisya masih lagi dilontarkan ke luar tingkap. Dia tersentak apabila melihat Iskandar sedang melangkah masuk ke pintu utama perpustakaan. Cuak Allisya jadinya. Dia masih dalam proses untuk cuba melupakan Iskandar. Namun sekiranya dia terus menerus bertembung dengan pemuda itu, bagaimana pula dia hendak melakukannya?
            “Ni semua salah aku juga. Dah tahu Abang Is memang ulat buku, memanglah dia akan selalu pergi ke perpustakaan!”
            “Allisya, awak bercakap dengan siapa tu? Rai ke?” Raihana yang dari tadinya sedang khusyuk menelaah merasa sedikit terganggu apabila mendengar suara Allisya. Allisya pula tidak sedar yang dia sedang bercakap seorang diri. Hampir terlupa pula dia bahawa dia sedang berada di tempat awam, bukannnya sedang bersendirian. Tak pasal-pasal orang boleh tuduhnya kurang waras pula nanti.
            “Eh, tak adalah Rai. Sya cuma nak tanya Rai, esok nak pergi perpustakaan lagi tak?”
            “Boleh juga. Selagi pelajar lain tak balik sini, kita tak perlu berebut nak pinjam buku atau cari meja kosong untuk duduk. Baik kita gunakan peluang ni sebaik-baiknya.” Raihana menjawab tanpa mengesyaki sesuatu. Allisya pula mengangguk-ngangguk untuk memberikan respon kepada kata-kata temannya itu. Dia bersyukur Raihana tidak mempersoalkan lagi tentang tindakannya tadi.
            “Mana Zairin ni? Kata nak datang ulang kaji sama-sama dengan kita.  Memang nak kenalah dia tu!” Tiba-tiba sahaja Raihana teringat kepada seorang lagi teman sepengajiannya. Zairin selalu menyertai mereka berdua untuk mengulangkaji bersama, namun anak muda itu selalu sahaja lewat datang. Nak kata sibuk sangat, dia bukannya MPP USAS pun macam Zaem. Nak kata jadual kuliahnya padat, mereka sama kursus. Tak ada pula sibuk macam dia. Malah Iskandar yang juga merupakan satu-satunya MPP USAS yang datang daripada kursus kedoktoran itu pun selalu juga dilihat berada di kawasan sekitar kampus. Zairin ni pula siapa sebenarnya? Ejen khas USAS ke?
            “Biarlah Rai, dia ada hal lain agaknya. Nanti bila kerja dia dah selesai, dia sampailah.” Allisya enggan mencari isi untuk mengutuk kawannya sendiri. Dia cuba berfikiran positif.
            Perbualan mereka berdua terhenti sebaik melihat kelibat yang amat dikenali sedang mendekati mereka.
            “Allisya, Raihana, ada nampak Kak Zarina tak?” Nik Ain muncul di hadapan mereka berdua sambil membawa satu fail.
            “Eh, Kak Nik. Tak nampak pula. Kenapa kak?” Raihana pantas menjawab. Dia memang pantang bila mendengar nama Zarina disebut. Gadis itulah yang pernah mengutuk dan mengampu Zaem dalam masa yang sama. Bak kata orang dulu-dulu, bagai talam dua muka.
            “Ni, Kak Zarina tu suruh akak pegangkan fail dia ni. Dia kata nak pergi ke kaunter pinjam buku. Tapi bila akak cari di kaunter tadi tak ada pula.”
            “Akak dah cuba tengok dekat mesin pinjam automatik? Mungkin Kak Zarina tak meminjam secara manual.” Allisya menyuarakan pendapatnya.
            “Mungkin juga. Tapi tadi akak lalu dekat mesin tu tak nampak pula dia. Akak cuma ternampak Zaem dengan Fazura je.” Nik Ain sempat mencuri pandang untuk melihat reaksi Allisya. Siapa yang tidak tahu tentang hubungan Allisya dan Zaem? Satu USAS gempar dengan peristiwa malam kebudayaan yang lalu.
            Allisya tersentak sebaik mendengarkan kedua-dua nama itu disebut, namun sengaja dia berpura-pura tidak mendengarnya. Walaubagaimanapun, lahir sedikit kemusykilan di hati Allisya. ‘Kenapa macam semua orang ada di perpustakaan je hari ni? Macamlah tak ada tempat lain mereka semua nak pergi.’ Allisya mula berasa tidak sedap hati. Seperti ada perkara yang tidak diingini sahaja akan berlaku. Tetapi apa dia?
            ‘Ah, tak mungkinlah! Ujian keduakan bakal berlangsung. Mungkin sebab tu semua orang ke perpustakaan.’ Allisya kini lebih berhati-hati untuk menyuarakan pendapatnya. Dia berdialog hanya di dalam hati.
            Raihana pula lebih lantang dalam bersuara, segera sahaja dia menyuarakan kehairanan di hatinya. “Kenapa semua orang nak berkumpul di sini hari ni? Peliklah! Tadi waktu saya tengah cari buku di rak, saya terserempak dengan Abang Syakir dan Abang Farid.”Allisya segera menoleh ke arah temannya itu. Kenapa Raihana tidak memberitahunya tentang pertemuan itu?
            Nik Ain hanya ketawa. “Merepeklah Rai ni. Mana ada semua orang. Akak pun ada terserempak dengan Syakir tadi. Dia kata dia dengan Farid datang ke perpustakaan untuk berjumpa dengan Dr. Ariffin di bilik diskusi. Lagi pun, kalau semua orang yang ada di USAS sekarang ni berada di perpustakaan, mesti Azim pun ada di sini jugakan? Tapi dah tentulah Azim tak ada. Dia bukannya jenis yang suka melepak di kawasan awam macam ni kalau tanpa Is.”
            “Siapa yang tak ada?” Satu suara garau datang menyapa daripada belakang Nik Ain.
            “Eh, Azim! Ish, nak tercabut jantung ni dibuatnya. Bila awak sampai?” Nik Ain mengurut dada kerana terlalu terkejut dengan peristiwa tadi.
            Azim tidak berminat untuk menjawab soalan Nik Ain. Dia memandang Allisya. Wajah gadis itu menjadi merah apabila ditenung tajam Azim. Semakin Azim menyedari wajah Allisya telah bertukar warna, semakin ditenungnya wajah gadis itu sedalam-dalamnya. Sangka Azim Allisya sedang sakit.
            “Tak sihat ke?” Azim bertanya ringkas. Wajahnya tidak menunjukkan sebarang rasa simpati, apatah lagi rasa risau. Nampak tawar sahaja, macam tiada rasa. Kalaulah dia jadi makanan, mesti tak sedap sebab tak ada sebarang rasa.
            “Eh, bila masa pula Allisya tak sihat. Sya, awak tak sihat ke?” Raihana pula yang menjadi cuak.
            “Allisya demam ke?” Nik Ain turut ingin mengambil tempat dalam perbualan itu.
            “Mana ada. Sya sihatlah Rai. Kalau tak sihat, macam mana Sya berselera sampai boleh habiskan dua bungkus nasi lemak pagi tadi.”
            “Ya Allah, sampai dua bungkus?” Nik Ain pula yang memberikan reaksi melampau.
Allisya segera menangkup mulutnya sendiri. ‘Ish, kenapa aku boleh terlepas cakap pula. Mesti Azim ingat aku ni perempuan yang kuat makan. Kalau dah kuat makan, mesti orang ingat akan buncit. Malunya…’ Allisya tidak tahu mengapa, bila berada di hadapan Azim, pastu dia akan melakukan tindakan yang kurang bijak. Paling teruk adalah, Azim selalunya akan memarahinya.
“Baguslah makan banyak-banyak. Kalau tidak macam mana nak besar.” Azim tidak ketawa atau kelihatan terkejut. Dia berlalu meninggalkan kumpulan mahasiswi itu.
“Yalah, kalau tidak, sampai bila-bila pun kecut. Kan Azim?” Nik Ain cuba untuk berkomunikasi dengan Azim, namun pemuda itu langsung tidak menghiraukannya.
“Kenapa dengan Azim ni? Bila dengan Allisya boleh pula dia nak bertegur sapa. Tetapi aku yang hari-hari tegur dia, tak mahu pula dia jawab apa-apa.”
            “Akak cakap apa kak?” Telinga Raihana cekap sahaja menangkap sebarang bunyi yang lalu di cuping telinganya.
            “Tak ada apa-apalah. Rai, Sya, tolong tengok-tengokkan fail ni kejap. Akak nak ke tandas sekejap. Ni akak letak fail ni di meja kamu berdua ya. Jaga baik-baik tau. Kalau kamu berdua nampak Kak Mai atau Kak Zarina beri tahu akak ke tandas sekejap ya.” Nik Ain menghilang di celah-celah rak buku yang terletak berdekatan dengan pintu tandas perpustakaan.
            “Baiklah kak.” Allisya menjawab seraya menarik fail tersebut ke arahnya. Namun sebaik melihat muka depan fail tersebut, Allisya terasa bagai diserang sakit jantung.
            “Allisya, kenapa dengan awak? Apa yang awak nampak pada fail tu Sya?” Raihana yang kehairanan melihat reaksi Allisya cuba mendapatkan jawapan gadis itu. Allisya masih diam, matanya juga masih kelihatan terbeliak memandang fail tersebut. Disebabkan perasaan ingin tahu yang menggelegak di dalam hatinya, Raihana segera merampas fail tersebut daripada Allisya. Allisya pula tidak kelihatan seperti ingin menghalang perbuatan Raihana.
            “Laporan Tahunan SWM! Allisya, awak terfikir tak apa yang tengah Rai fikirkan?”
            Allisya mula merasa tidak sedap hati, “Maksud Rai?”
            “Dalam fail ni mungkin ada senarai nama ahli kelab SWM. Selama ni kita cari, tapi tak dapat-dapat. Hari ni, benda ni sendiri yang datang pada kita Sya!”
            “Rai, benda ni tak datang pada kita. Benda ni amanah orang pada kita. Kak Nik suruh kita jaga dan tengok-tengokkan benda ni. Tak akanlah kita nak sesuka hati je buka fail ni.”
            “Sya, awak sendiri yang cakapkan.”
            “Cakap apa Rai?”
            “Yang Kak Nik suruh ‘tengok-tengokan’ fail ni. Bukan kita ada buat salah pun. Kita cuma tengok fail ni seperti yang diarahkan.”
            “Rai, Sya seirus ni. Sejak bila Rai pandai loyar buruk ni?”
            “Sejak kenal Abang Zaem.” Raihana tersengih. Dia hampir terlupa yang Allisya sedang bergaduh dengan pemuda itu.
            “Sudahlah Rai. Jangan bergurau lagi.”
            “Rai tak bergurau Sya. Mungkin ada hikmahnya kenapa fail ni sampai terus ke tangan kita. Mungkin dari sini kita akan dapat tahu siapa yang cuba menganiaya awak sebelum ni.”
            “Sya dah lama lupakan perkara tu. Sya tak simpan dalam hati pun Rai.”
            “ Sya, tu Sya. Sya tak terfikirkan Abang Azim ke? Sebab orang tulah Abang Azim tercedera. Sya tak nak tegakkan keadilan untuk Abang Azim?”
            “Rai, kita bukannya Sailormoon pun sampai nak perjuangkan keadilan untuk orang lain.” Allisya sempat menjawab kata-kata Raihana. Namun jauh di sudut hatinya, Allisya turut terasa dengan kata-kata yang dilemparkan oleh Raihana.
            “Sya, peluang ni bukannya selalu datang pada kita.” Raihana masih cuba menyakinkan sahabat baiknya itu. Allisya termenung seketika. Dia merenung kembali kata-kata Raihana. Ada benarnya juga. Peluang bukannya datang selalu. Mungkin mereka tidak akan bertemu peluang seperti ini lagi.
            Allisya memandang wajah Raihana. Dia mengangguk. Perlahan-lahan, jari jemari runcingnya membuka fail tersebut dengann berhati-hati. Alangkah terkejutnya Allisya apabila melihat muka surat pertama sahaja dah menunjukkan senarai nama ahli-ahli kelab itu. Tanpa berlengah, Allisya dan Raihana serentak menyemak nama setiap ahli kelab itu.
            Allisya menggeleng-gelengkan kepalanya. Hampir kesemua nama yang dibacanya dalam senarai itu langsung tiada kaitan dengannya. Malah Allisya memang tidak mengenali mereka. Jadi tak mungkinlah mereka boleh mengenali Allisya sehingga tergamak menganiayainya.
            Mata Allisya masih terus melakukan bacaan pantas pada senarai nama tersebut. Tiada satu pun nama yang menarik perhatiannya, sehinggalah matanya terpanah akan satu nama yang cukup dikenalinya.  Buat seketika, jantung Allisya terasa bagai telah dihentikan tanpa kerelaan hatinya. Terasa bagai hampir meletup paru-parunya kerana berusaha menahan nafas terkejut. Allisya menoleh kepada Raihana. Raihana lebih dasyat reaksinya. Mulutnya terbuka luas. Seperti ada perkataan yang ingin dilafazkannya, namun tidak terdaya.
            “Sya nampak tak apa yang Rai nampak?”
            “Sya rasa Sya nampak…”
            Kedua-dua orang gadis itu memandang semula kepada senarai nama tersebut, dengan serentak mereka membaca dan menyebutkan nama yang amat dikenali itu. “ZAIRIN!”
            “Sya, sejak bila pula Rin jadi ahli kelab SWM?”
            “Entahlah, dia tak pernah beri tahu pun. Dia tak ada cakap pada Rai ke? Raikan rapat dengan Rin?”
            “Ish, mana ada rapat pun. Dia ahli SWM pun tak beri tahu Rai.” Raihana diam seketika sebelum menambah,“tapi kenapa dia rahsiakan status kelab dia ni? Kenapa dia tak pernah pakai pun pin logo kelab SWM setiap hari sabtu macam ahli-ahli yang lain?”
            Sekali lagi, kesunyian menyelubungi kedua-dua orang gadis itu. Seram sejuk jadinya. Apakah maksud semua ini?
            “Dia tak pernah pakai pin kelab dia?” Allisya cuba mencari kepastian.
            “Tak. Rai yakin…nanti dulu!”
            Allisya menjadi semakin berdebar-debar sebaik mendengarkan jawapan Raihana.
            “Kalau dia tak ada pin logo kelab dia, macam mana dia nak pakaikan? Maksudnya pin yang tak bertuan tu sebenarnya milik…” Raihana tidak menghabiskan ayatnya. Dia sendiri merasa gementar untuk menghabiskan kata-katanya.
            “Milik Zairin..” Allisya tidak teragak-agak untuk menyambung ayat Raihana. Dia juga yakin, pin itu pasti milik Zairin. Selama ini mereka hanya bertanya kepada ahli-ahli lain SWM tentang pin logo khas kelab itu, tetapi tidak kepada Zairin. Mungkin sebab itulah mereka tidak pernah ketemu dengan pemilik sebenar pin tersebut. Tetapi tak mungkinlah Zairin tergamak menganiaya dirinya. Mungkinkah ada kesilapan dalam percatuan yang dibuat oleh mereka berdua? Zairin ialah kawan mereka, tak mungkin dia boleh bertindak begitu kejam.
            “Walau apa-apa pun Rai, kita harus rahsiakan perkara ni daripada Abang Azim dan Abang Is dulu, sebelum kita sendiri dapat buktikan kesahihannya.” Allisya segera menutup fail tersebut. Dia tidak mahu ditangkap secara terang-terangan kerana pecah amanah untuk menjaga barang orang lain.
            Raihana mengangguk setuju. “Sekarang ni kita nak buat apa pada Rin?”
            “Nak buat apa pada Rin? Kenapa mesti nak buat apa-apa pada Rin?” Zairin muncul tanpa disangka-sangka bersama Iskandar. Dia sempat mendengar namanya disebut-sebut, namun dia kurang pasti berkaitan dengan apa.
            Allisya dan Raihana saling berpandangan. Kemudian mereka mengalihkan pandangan kepada Zairin. Iskandar yang sedang berdiri di sebelah Zairin bagai dapat merasa aura aneh yang dikeluarkan oleh kedua-dua orang gadis tersebut. Serta merta dia juga menoleh dan memandang tepat ke arah Zairin, walaupun  dirinya sendiri tidak pasti mengapa dia bertindak sedemikian.
            “Em, adakah saya seorang je yang perasan atau memang semua orang tengah pandang saya tanpa sebab?” Zairin semakin yakin, bagai ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku sekarang ini.
            Allisya yang tersentak dengan teguran Zairin itu segera mengalihkan pandangannya kepada orang di sebelah Zairin. Mungkin Allisya terlalu gelabah untuk menyembunyikan kesangsiannya tadi daripada Zairin sehinggakan dia terlupa bahawa orang yang berdiri di sebelah Zairin ialah Iskandar, pemuda yang seboleh-bolehnya cuba dielaknya dari bertembung mata. Dalam masa yang sama, Iskandar juga sedikit sebanyak turut terkesan dengan kata-kata Zairin. Tanpa berlengah, Iskandar mengambil keputusan untuk memandang ke hadapan dan pada saat pandangannya terpanah kepada Allisya.
Mata bertentang mata, jiwa berlaga jiwa, maka terbentuklah cinta. Perasaan yang hilang, kini kembali bertandang. Allisya yang tidak pernah menyangka situasi itu akan berlaku, berasa seram sejuk dengan tiba-tiba. Tubuhnya terasa bagai sedang membeku dan kaku. Dia segera mengalihkan pandangannya ke meja. Wajahnya menjadi sangat pucat kerana menahan malu yang amat. Dia tidak merancang untuk merenung Iskandar, dan dia tidak mengharap untuk ditenung pemuda itu. Jika keadaan seperti ini terus-terusan terjadi, dia pasti akan mengalami kesukaran untuk melupakan Iskandar sebagai cinta pertamanya. Bagi Allisya, demi melihat Iskandar berbahagia dengan cinta sejatinya, dia harus mengundurkan diri. Dia tidak boleh memendam perasaan terhadap pemuda yang tidak mungkin dimilikinya. Kail hanya panjang sejengkal, manakan lautan hendak diduga. Walau setinggi mana pun cintanya itu, tinggi lagi darjat Iskandar untuk didekatinya. Kenyataannya, memiliki cinta Iskandar adalah sesuatu yang mustahil!
Iskandar kehairanan melihat wajah pucat Allisya. Dia khuatir sekiranya Allisya jatuh sakit. “Allisya tak sihat ke? Muka Allisya pucat je.”
“Allisya tak sihat? Betul ke? Kenapa dari tadi orang asyik cakap awak tak sihat Allisya? Awak betul-betul sakit ke?” Raihana semakin hairan dengan sahabatnya itu.
“Yalah Sya, kenapa pucat sangat ni? Tak akanlah demi nak ulangkaji dengan Rin, Sya sanggup datang perpustakaan sakit-sakit macam ni.”
            “Taklah Rai, Sya sihatlah. Abang Is, saya sihat-sihat je. Mungkin penat belajar sampai lewat malam. Rin, Sya memang datang untuk pinjam buku.” Allisya segera menjernihkan suasana yang seakan-akan kelihatan semakin kelabu sahaja dengan tanggapan yang bukan-bukan.
            ‘Pelik-pelik orang USAS ni. Bila muka merah kata tak sihat, bila muka pucat pun kata tak sihat. Lepas ni kena buat muka tak ada perasaan je macam Abang Azim.’ Allisya merungut-rungut di dalam hati. Dia dapat merasakan yang  Iskandar masih sedang memandang ke arahnya. ‘Ya Allah, berikanlahku kekuatan hati untuk menghadapi dugaan perasaan seperti ini.’
            “Allisya selalu tidur lewat ke? Mungkin badan Allisya mengalami ‘Blood Reduction’. Sebab tulah Allisya nampak kurang bermaya dan mata Allisya pun kelihatan kekuning-kuningan.”
Allisya segera mencapai dompetnya. Di dalam dompetnya tersimpan satu cermin kecil. Dia merenung ke arah biasan bebola matanya sendiri. Memang benar, matanya kelihatan agak kekuning-kuningan dan tidak putih seperti selalu. Maksudnya, benarlah badannya kurang sihat, cuma dia sendiri tidak sedar.
Blood Reduction?” Raihana bertanya dengan penuh teruja.
  “Ya, waktu kita tidurlah badan kita aktif memproses sel darah merah. Tapi kalau kita paksa diri kita berjaga pada waktu yang sepatutnya badan kita perlu berehat, massive blood reduction akan berlaku.  Kalau boleh, elakkanlah berjaga sampai lewat malam. Pelajaran memang penting, tapi kalau badan tak sihat, konsentrasi pun akan terganggu.”
Zairin dan Raihana mengangguk-ngangguk, tanda memahami apa yang cuba disampaikan Iskandar. Allisya pula hanya tersenyum. Dia berasa senang hati mendengarkan perkongsian serta nasihat yang disampaikan Iskandar. Iskandar tidak seperti lelaki-lelaki lain yang hanya suka bercakap-cakap kosong. Bagi Allisya Iskandar ialah seorang lelaki yang sangat istimewa. Sekiranya dia mempunyai seorang abang, dia mahukan seorang abang yang baik seperti Iskandar.
            “Patutlah Rin susah nak tumpukan perhatian dalam kuliah bila tidur lambat. Maklumlah, Rinkan rajin ulangkaji sampai lewat malam.”
            “Sudahlah Rin, nak termuntah Rai dengar. Waktu ulangkaji siang hari dengan kita orang pun Rin boleh tertidur, inikan pula waktu malam. Boleh percaya ke?”
            Zairin tersengih mendengarkan kata-kata Raihana. Dia memang tidak pernah tersinggung dengan kata-kata yang dilemparkan Raihana kepadanya selama ini.
            Dalam Raihana dan Zairin berbual rancak, Allisya dapat melihat Iskandar berulang-ulangkali memandang jam di tangannya.
            “Abang Is ada janji untuk jumpa sesiapa ke?” soal Allisya.
            Iskandar tersenyum lalu menjawab, “Abang ada janji nak jumpa seseorang di tingkat atas. Abang pergi dulu ya. Jangan lupa jaga kesihatan diri.”
            Allisya mengangguk. Iskandar sempat bersalam dengan Zairin sebelum hilang di sebalik rak-rak buku yang ada.
            ‘Siapa agaknya ya Abang Is nak jumpa? Abang Azim ke? Tadi nampak macam Abang Azim pun naik ke tingkat atas.’ Allisya kembali dengan sifat lamanya, bermonolog sendiri. Raihana dan Zairin sudah lama terbawa-bawa dengan perbualan mereka tentang siapa yang lebih banyak mengulangkaji.
            Selepas itu, Nik Ain kembali untuk menuntut semula failnya. Berpeluh-peluh Allisya ketika menghulurkan fail tersebut kepada Nik Ain. Dia takut sekiranya perbuatan mereka tadi diketahui oleh Nik Ain. Nasib baiklah Nik Ain tidak berasa curiga dengan tindakan mereka berdua dan berlalu pergi tanpa banyak soal.
Raihana dan Allisya akhirnya menyambung semula pembacaan mereka bersama-sama Zairin. Mereka berdiskusi dan membaca bersama-sama sehingga ke petang. Sekali-sekala mata Allisya sempat mencuri pandang kepada orang yang lalu lalang di rak buku berhadapan dengan meja mereka. Kadang-kadang Allisya dapat melihat kelibat Maizatul dan Zarina. Ada kalanya pula Allisya terpandang kelibat Syakir. Namun apa yang membuatkan Allisya berasa kurang senang apabila terpandang wajah Zaem yang sedang lalu dihadapan mereka bersama-sama dengan Fazura.
“Sejak bila pula Abang Zaem rapat dengan Kak Faz?” Raihana bagai tidak dapat membaca hati Allisya.
“Sejak dari dulu lagi. Cuma kali ni dia orang nampak lain macam je.” Zairin sempat menyampuk, namun wajahnya masih bersembunyi di balik nota rujukan yang sedang dibacanya.
“Lain macam tu, macam mana?” Raihana menyoal, namun Zairin bagai tidak mengendahkannya. Raihana menarik kertas yang sedang dipegang oleh Zairin, “lain macam mana?”
“Yalah, mereka selalu berjalan bersama, tapi tak nampak mesra pun.”
“Kenapa mereka nak mesra, mereka berdua bukannya pasangan kekasih pun nak kena bermesra-mesra.”
“Mana Rai tahu?” Zairin mengkerling kepada Raihana.
“Sebab kekasih Abang Zaem orang lain.” Raihana menjawab yakin. Allisya sedikit tersentak mendengarkan kata-kata Raihana.
“Siapa? Macam mana Rai boleh yakin? Jangan kata Rai yang jadi kekasih Zaem.”
“Adalah, Rai kenal siapa. Tak ada kaitan dengan Rin pun.”
Zairin merenung Raihana. Dia bagai boleh mengagak siapa. Allisya kurang senang mendengarkan perbualan kedua-dua orang teman sekuliahnya itu. Dia takut sekiranya nama dia dibabitkan sekali.
“Em, Allisya nak pergi minum air kejap ya.” Allisya bangun dan berlalu pergi. Raihana dan Zairin kehairanan melihatkan tindakan Allisya itu. “Kenapa dengan Allisya?”
“Manalah Rai tahu. Rinlah suka sangat cerita bukan-bukan. Sebab tu Allisya pergi.”
“Tak apalah. Rin tahu siapa.” Zairin pula bangun dari tempat duduknya.
“Rin nak pergi mana? Merajuk ke?”
“Taklah, Rin nak ke tingkat atas. Cari buku kejap.” Zairin berlalu sambil tersenyum, namun suaranya tidak menyenangkan hati Raihana.
“Kemana Zairin nak pergi? Tu tak penting. Sekarang nilah waktunya nak bincang tentang hal Zairin, tapi mana Allisya ni? Macam mana nak bincang tentang isu tadi kalau Allisya tak ada?” Raihana segera mencapai telefon bimbitnya, lalu dia mengirimkan pesanan ringkas kepada Allisya.
Allisya ada dekat mana? Zairin dah pergi. Tapi Rai rasa tak sedap hatilah.

Nani NA

No comments:

Post a Comment