Monday 8 August 2011

BAB 7: MATAHARIKU (Bahagian Pertama)



            Usia pengajian Allisya dan Raihana kini sudah mencapai tiga minggu. Hari-hari Allisya di universiti dihabiskan dengan menjelajah sekitar USAS dan terlibat dalam aktiviti-aktiviti amal yang dianjurkan oleh Kelab Permata Hati mahu pun pihak universiti sendiri. Sudah beberapa kali Allisya menghadiri mesyuarat kelab amalnya itu. Aktiviti kem motivasi yang dirancang akan dijalankan sebulan kemudian, namun begitu Zaem masih lagi menyakitkan telinganya dengan pelbagai arahan yang Allisya rasakan tidak wajar diberikan kepadanya. 

“Allisya, catatkan info ni.”
“Allisya, simpankan kertas saya ni.”
“Allisya, datang sekarang ke fakulti saya untuk ambil barang.”
“Allisya, jangan senyap je dalam meeting. Beri cadangan.”
“Allisya, meeting esok pakai baju warna kuning. Apa? Oh, tak ada kena-mengena ya…hehe.”

Allisya hanya berharap bagi program yang akan datang dia tidak akan bekerja di bawah Zaem lagi. Allisya masih termenung. ‘Kenapa Iskandar tidak pernah pula memanggil namaku? Tidak pernah juga dia menegur aku dalam perjumpaan yang lalu?’ Allisya sedikit kecewa. Panggilan Allisya yang pernah dilafazkan Iskandar sebelum ini tidak pernah lagi didengari di telinganya. Mungkinkah Iskandar tidak lagi mengingati namanya? Mungkinkah juga sebenarnya dia lansung tidak wujud di mata Iskandar? 

Wajah Allisya sayu. Dia tidak mahu memikirkan perkara yang hanya akan melukai hatinya. ‘Dia bagaikan matahari, menyinari hidupku yang gelap. Malangnya, bukan aku sahaja yang menerima cahayanya, malah sekian makhluk yang ada di muka bumi ini. Duduknya juga terlalu tinggi, jauh di angkasa. Aku? Aku hanya bunga lalang, yang akan hilang bila angin datang. Layakah aku menyimpan rasa sayang? Tentulah tidak…’

Allisya teringat bagaimana dia melihat Iskandar membantu pelajar perempuan lain mengangkat barang dan Iskandar juga sering melemparkan senyuman kepada insan lain. Allisya cemburu. Dia sedar, Iskandar berbuat baik dengannya bukanlah kerana Iskandar suka atau mengambil berat terhadap dirinya. Sebaliknya, memang sudah menjadi kebiasaan bagi Iskandar untuk membantu orang lain. ‘Ya, Iskandar baik dengan semua orang.’ Bisikannya bagai menusuk ke jantungnya sendiri.

 Allisya tidak tahu, mengapa kenyataan itu begitu menyakitkan. Lebih sakit dari perasaan diejek Zaem. Allisya tidak mampu menerima tamparan itu. Namun hatinya harus kuat. Bukan cinta yang dicarinya di universiti ini, tetapi kejayaan. Kejayaan untuk menggenggam segulung ijazah yang bakal merubah takdir hidupnya. ‘Aku harus tabah!’
 
*                      *                      *

Kini, telah masuk minggu keempat pengajian Allisya dan Raihana di universiti yang menjadi kebanggaan negara itu. Kebanyakan pelajar mimilih untuk menghabiskan masa mereka di perpustaan. Musim ‘first test’ telah pun tiba.Masing-masing berlumba-lumba meminjam buku di perpustakaan Al-Za’aba, perpustakaan rasmi universiti mereka. Tidak kurang juga yang berjaga siang dan malam semata-mata untuk mengulangkaji. Allisya tidak terkecuali dari golongan itu. 

Allisya banyak menghabiskan masanya di meja perpustakaan bersama Raihana dan Nik Ain. Pada waktu malam pula, Allisya enggan melelapkan mata kerana khuatir dia tidak sempat mengulangkaji kesemua nota yang ada. Dia harus kuat. Dia tidak boleh terbawa-bawa dengan perasaan malasnya. 

Kekesalan lahir di hati Allisya. Mengapalah dia tidak dari dulu lagi rajin mengulangkaji, jika tidak hidupnya pasti tidak akan sesukar ini. Sekarang ini Allisya dilanda perasaan cuak, dia semput untuk menangkap semula ilmu-ilmu yang telah hilang dari otaknya. Bila dan entah ke mana hilangnya, Allisya sendiri tidak pasti.

‘Kenapalah aku tak buat persiapan awal-awal?’ Memang tidak dinafikan, belajar di saat-saat akhir sangat memenatkan dan memberikan tekanan yang besar terhadap emosinya. Allisya menyelak buku rujukannya ke halaman yang baru. 

Kecewa dengan diri sendiri, Allisya memandang Raihana. Raihana sedang tidur lena di atas katilnya. Allisya cemburu melihat temannya itu. Raihana telah selesai mengulangkaji, sebab itulah dia dapat tidur dengan aman. Tenang daripada perasaan gementar.

Raihana ialah seorang ulat buku. Pada waktu lapang, Raihana akan menghabiskan masanya dengan membaca buku. Tidak kiralah buku itu adalah buku pelajaran mahupun novel sebagai hiburan. Apa yang pasti, Raihana memang jenis yang suka membaca. Berbeza sekali dengan Allisya, dia hanya menyelak buku apabila betul-betul perlu, iaitu ketika ingin menyiapkan tutorial atau laporan saintifik. ‘Tak boleh jadi ni, aku harus berubah!’


Matahari sudah pun meninggi. Raihana dan Allisya baru sahaja keluar dari dewan peperiksaan. Senyuman terukir di wajah manis Raihana. Dia berjalan sambil menyanyi-nyanyikan lagu kegemarannya, ‘I believe I can fly.’ Sejak bila entah lagu itu menjadi makanan Raihana. Apa yang Allisya pasti, Raihana akan memainkan lagu itu di laptopnya ketika berada di bilik. 

Allisya yang melangkah seiring dengan Raihana kelihatan murung. Dia seolah-olah tenggelam dalam lautan pelajar lain yang sedang keluar dari dewan peperiksaan yang sama.

“Macam mana ujian tadi? Senang?” Suara Zairin menyapa dari belakang.
“Boleh tahan.” Raihana menjawab pendek. Dia tidak berapa rapat dengan Zairin, dan sekiranya dia tidak rapat dengan seseorang terutamanya seorang insan bergelar lelaki, dia juga tidak suka bercakap dengan mereka. Cuma Zairin sahaja yang suka sangat menegurnya. Lainlah kalau abang Zaem, itu kes khas. Harap kulit sahaja sama cerah, tetapi Zairin tetap bukan Zaem.

“Saya banyak yang sangkut. Takut juga kalau result saya teruk.” Zairin memanjangkan lagi perbualan mereka. Allisya faham perasaan Zairin. Dia sendiri merasakan apa yang Zairin rasa.

“Tak apa, yang penting sekarang ujian pertama dah lepas. Kita belajar untuk ujian kedua dan akhir pula.” Raihana membalas dengan memberikan kata-kata semangat.

“Hei Zairin, jomlah kita keluar, celebrate hari terakhir kita selesai ambil ujian pertama ni. Ajaklah Raihana dengan Allisya tu.!” Kedengaran satu suara memanggil. Suara itu datang daripada sekumpulan pelajar fakuti mereka yang sedang menunggu di perhentian bas. Nik Ain pun turut serta dalam rombongan itu.

“Jomlah Raihana, Allisya!” Nik Ain memanggil mereka berdua sambil melambai-lambai.
Zairin memandang Raihana seraya berkata, “jom Raihana.”  
“Jom!” Raihana menyahut teruja. Tetapi tidak pada Allisya. Allisya benar-benar tenggelam dalam kesedihan. Zairin yang berdiri di depannya pun tak sedar akan kewujudannya. 
  
“Tak apalah. Rai dengan Rin pergilah. Allisya tak rasa macam nak kemana-mana. Lagipun semalam Sya kurang tidur.” 

 “Allisya tak apa-apa ke? Betul tak nak ikut kami?” Raihana bertanya kepada temannya yang kelihatan seakan-akan pucat itu. Allisya hanya tersenyum dan menggeleng. Dia perlukan masa untuk bersendirian. 

Raihana seperti memahami. Di menggosok lengan Allisya sebelum berlalu pergi bersama Zairin untuk menyertai rombongan pelajar-pelajar yang lain. Senyuman Allisya kelihatan suram. Dia kini keseorangan seperti yang diharapkan. Namun hati Allisya kesunyian, tanpa ada tempat untuk meluahkan kesedihan di hatinya.

Langkah Allisya longlai. Ada kalanya dia terserempak dengan seseorang yang dikenalinya, dia tidak mampu menyapa dengan kata, tetapi cukuplah sekadar senyuman yang berbicara. Senyumnya juga terpaksa dibuat-buat. Dia terasa sedih dengan keadaaan dirinya sendiri. ‘Kenapalah aku tak mampu jawab kesemua soalan yang ada dalam peperiksaan tu. Mesti aku tak dapat A dalam ujian pertama ni. Mana aku nak letak muka aku dengan Raihana? Lebih dasyat lagi dengan Anissa?’

 “Eleh, ingat awak tu pandai sangat ke dapat masuk USAS? Jangan-jangan ujian pertama je dah gagal.” Allisya terbayang-bayang semula kata-kata yang pernah dilemparkan Anissa itu. Tidak kurang tajam juga kata-kata dari Makcik Aninya, “kalau tak lepas belajar dekat sana cepat-cepat balik kampung. Khawin je dengan anak Pak Latif tu. Senang, penoreh getah pun, sekurang-kurangnya boleh bagi kamu makan.” Kata-kata sinis mereka menjatuhkan lagi semangat Allisya.

Allisya menghentikan langkahnya apabila tiba di satu pohon yang rendang. Allisya duduk bersandar pada pohon yang berpuluh-puluh tahun lama usianya itu, mungkin juga mencapai ratusan. Wajahnya murung, penuh keresahan. Berulang-ulang kali Allisya mengeluh. Semangatnya seolah-olah hilang, menyorok entah ke mana. Allisya meraup wajahnya. ‘Aku tiada sesiapa lagi di dunia ini untuk dijadikan tempat mengadu. Alangkah indahnya jika aku punya ahli keluarga sendiri, samada seorang kakak atau adik yang sanggup mendengar luahan hatiku.’ Allisya pun sendiri ragu-ragu, sebenarnya dia kesedihan kerana tidak mampu menjawab periksa ke atau kerana dia merasa sunyi?

Sesekali, kelihatan mahasiswa USAS yang lain lalu di hadapan pohon itu. Kehadirannya di bawah pohon besar itu tidak pula menarik perhatian sesiapa. Mungkin juga kerana bayangannya dilindungi sebuah motorsikal besar berwarna hitam jenis Kawasaki ZX-6R yang dipakirkan dihadapannya. “Siapalah yang kaya sangat ni selain anak senat USAS si Zaem itu?” Kata-kata itu terlepas dari bibirnya. Sekali lagi dia mengeluh. Teringatkan nama Zaem lansung tidak membantunya untuk kembali tenang.  

Jari Allisya menguis-nguis tanah di kakinya. Dibiarkan jari runcingnya itu kotor dengan tanah. Sekurang-kurangnya dia ada aktiviti yang dapat dilakukan. Dalam Allisya melayan perasaannya seorang diri, Allisya terpandang seekor makhluk yang sangat comel lalu di hadapannya. Allisya tidak pasti samada perasaan terkejut atau perasaan gembira yang lebih kuat hadir dalam hatinya. 

Allisya segera bangun dan mendekati haiwan itu. Tangannya membelai dengan manja. “Comelnya awak Cik Arnab, macam mana awak boleh ada dalam kawasan fakulti ni? Datang nak belajar gak ye?” Kecerian kembali terpancar di wajah Allisya. Subhanallah, hanya dengan melihat dan membelai makhluk ciptaanNya itu pun sudah cukup menggembirakan hati Allisya yang sedang kecewa dan kesunyian itu. Hebatnya cinta! Tidak sia-sia dia menjadi pencinta haiwan dan alam semula jadi. Benarlah kata orang, cinta membuatkan kita bahagia. Cinta juga membuatkan kita lupa kepada derita.

Tanpa Allisya sedari, seorang lelaki berjaket gelap mendekati motorsikal besar jenis Kawasaki yang diletakan di hadapannya itu. Sambil memeluk arnab putih yang baru menjadi kawannya itu, Allisya memandang wajah pemilik motosikal tersebut. Azim? Tiba-tiba sahaja jantungnya berdegup sangat kencang.
Pandangan dingin dari Azim menyapa wajah lembut Allisya. Allisya cuba melemparkan senyuman walaupun pada hakikatnya dia tahu, Azim tidak akan membalas senyuman itu.

Alangkah terkejutnya Allisya apabila buat pertama kalinya, Allisya dapat mendengar suara Azim. “Mana dapat arnab tu?” Walaupun nada suara Azim kurang mesra, namun kegembiraan tetap bertandang ke hati Allisya. 

“Er, saya tak tau datang dari mana. Arnab ni tiba-tiba ada depan mata saya, jadi saya bermainlah dengan dia.” Allisya berharap Azim tidak berniat untuk memarahinya.   

            “Is…” Azim segera menoleh ke kanan dan kirinya. Bayang-bayang yang dijangkanya turut berada di situ, tidak pula kelihatan.

“Is?” Allisya cuba memberanikan dirinya untuk bertanya. Matanya membulat apabila mendengarkan nama itu disebut.

            “Ya,Is… Iskandar. Arnab tu milik persatuan pencinta haiwan yang Iskandar uruskan. Selalunya dia yang bawa arnab tu jalan-jalan.” Azim menjawab sambil menyarungkan topi keledar berwarna hitam miliknya.

            “Boleh tak abang Azim pulangkan pada abang Iskandar?” Allisya segera bangun untuk menghalang Azim dari beredar. 

            “Tak boleh.” Azim menjawab sambil menunggang motorsikalnya meninggalkan Allisya yang masih terpinga-pinga.

            Sifat Azim memang sukar dijangka. Sekejap dia kelihatan sangat sombong, tiba-tiba pula dia boleh menegur Allisya. Tidak lama kemudian, dia kembali kepada sifat egonya. Allisya kehairanan melihatkan perangai ganjil Azim. ‘Penuh misteri,’ fikirnya.

Sambungan bab di BAB 7: MATAHARIKU (Bahagian ke-2)

No comments:

Post a Comment