Saturday 21 January 2012

BAB 39: SIAPAKAH PEMILIK HATI?


“Walau apa pun yang terjadi bunga ros putih tak akan pernah jadi bunga ros merah!”

            Iskandar masih sibuk membersihkan sisa buangan arnab dari rumah arnab persatuan mereka. Allisya pula sibuk bermain dan menyuapkan lobak merah kepada seekor arnab jenis Lion Head berwarna hitam. Ahli-ahli yang lain pula telah siap berkemas untuk pulang memandangkan kerja-kerja mereka telah selesai. Hanya Iskandar sahaja yang mahu tinggal lebih lama untuk memastikan persekitaran taman haiwan mereka telah dibersihkan dengan sempurna, manakala Allisya bertegas ingin membantu.
            “Abang Is, saya dah simpan semua barang-barang yang kita guna tadi. Jom kita balik,” ujar Allisya apabila melihat Iskandar masih tekun bekerja, walaupun pada hakikatnya taman haiwan mereka itu sudah cukup bersih dan kemas.
            Iskandar tersenyum lalu segera mencuci tangannya. “Terima kasih sebab sudi bantu abang. Allisya nak ke mana-mana selepas ni? Mari abang belanja minum. Lagi pun Allisya dah banyak bantu abang.”
            “Boleh!” Allisya menjawab dengan suara keanak-anakannya. Jarang dia kelihatan mesra berbicara dengan lelaki, tetapi dengan Iskandar dia berasa selesa untuk memperlihatkan sifatnya yang sebenar.
            “Abang Is, kenapa abang Is baik sangat?” Allisya sengaja bertanya untuk mengusik pemuda itu.
            Iskandar tidak kelihatan cuak, walaupun pada hakikatnya hatinya sedang bergelora. Dia memang baik dengan semua orang, tetapi adakah kebaikan terhadap Allisya terlalu berlebihan? “Sebab Allisya dah macam adik abang sendiri,” walaupun perit, hanya kata-kata itu yang mampu terlafaz di bibir pemuda itu. Mungkin benar kata Azim. Sayangnya pada Allisya adalah kasih seorang abang kepada adiknya.
            “Saya pun dah anggap Abang Is macam abang saya sendiri,” Allisya menyahut dengan senyuman.
            Kaki terus dihayun. Iskandar menolak basikalnya, menemani Allisya berjalan menuju ke arah kawasan kafeteria di fakulti yang berdekatan.
            “Alhamdulillah, cerah je cuaca hari ni. Kebelakangan ni langit selalu je mendung.” Iskandar cuba membuka kisah lain. Berbicara tentang hubungan mereka, hanya akan membuatkan Iskandar semakin sakit menerima kenyataan sebenar.
            “Langit kita selalu mendung, hairannya tak pernah pula hujan,” Allisya mendongak ke langit, merenung tembus ke dalam awan. Wajahnya muram, bagai sedang menyembunyikan kesayuan yang tersimpan. Gadis itu hampir terlupa, bila kali terakhir USAS hujan? Seketika kemudian Allisya teringat kepada peristiwa di mana Azim datang membawa payung untuknya. Mengapa hatinya kecilnya tiba-tiba sahaja terasa rindu akan saat-saat itu?
            Iskandar memandang wajah Allisya. Entah mengapa, hati pemuda itu merasa sayu. Adakah Allisya merindui saat-saat dia disambut Azim? Iskandar tahu, sukar untuk Allisya bertemu dengan Azim kerana kawannya itu lebih suka bersendiri, maka untuk bertemu dengannya juga bukanlah perkara yang mudah. Adakah Allisya benar-benar merindui sahabatnya itu?
            Allisya masih merenung ke langit, cahaya mentari bagai mampu ditepis oleh alis matanya sendiri. “Abang Is, kenapa hati kita berasa berdebar-debar bila teringatkan seseorang?”
            Iskandar masih tegar, tenang mendengarkan setiap kata-kata yang bakal melukakan hatinya. Dia bagai dapat meneka, siapa yang sedang Allisya ingati itu. “Mungkin Allisya rindu pada dia?”
            “Rindu? Saya pun rindukan arwah ibu dan ayah saya. Saya rindu pada kawan-kawan sekolah saya, tapi saya tak pernah rasakan debaran sebegini.”
            Iskandar hanya diam. Dia tahu kenapa, namun dia tidak mampu memberikan jawapan itu. Haruskah dia katakan kepada Allisya bahawa itu tandanya ‘dia sukakan orang itu?’
            Deringan mesej bergema daripada dalam poket seluar sukan Allisya. Gadis itu membaca mesej yang diterima.
            ‘Allisya mana awak? Jom sarapan dengan saya. Saya ada hal penting nak bincangkan dengan awak. Sekarang, di kafe fakulti undang-undang.Cari meja yang ada tanda nama saya.’
            “Kenapa dengan Zaem ni? Senang-senang je dia nak beri arahan.” Allisya merungut-rungut sendiri.
            “Kenapa Allisya?”
            “Zaem mesej saya. Dia ajak sarapan sama. Katanya ada perkara penting nak dibincangkan.”
            “Pergilah Allisya. Lain kali je abang belanja Allisya minum ya.”
            “Abang Is tak nak ikut sekali?”
            “Zaem tak jemput abang sekali, jadi hal tu mungkin tak ada kaitan dengan abang. Cuma tolong kirimkan salam abang pada Zaem ya nanti.”
            “Insya’Allah. Maaf ya abang Is.”
            “Tak apa.” Iskandar berlalu dengan senyuman. Walaupun wajahnya tenang, namun tiada siapa yang mengerti pergolakan hatinya.
Allisya pula melencong menuju ke fakulti Undang-undang, mencari-cari kafe yang dikatakan Zaem tadi. Sebaik tiba, Allisya terpandang sebuah meja yang diletakan dengan papan nama Zaem. ‘Zaem ni VIP sangat ke sampai boleh booking meja kafe guna papan tanda nama sendiri? Baru jadi MPP dah salah guna kuasa!’
            Allisya duduk di meja tersebut. Zaem masih belum sampai, membuatkan Allisya bertambah-tambah geram dengan perangai pemuda itu. Pandai sahaja memberi arahan, dia sendiri lambat sampai. Di atas meja tersusun dua kuntum bunga mawar segar. Satu berwarna merah dan satu lagi berwarna putih. Allisya terpandang sekeping kertas tertulis namanya. Gadis itu tidak berlengah mengambil kertas tersebut dan membaca isi yang tersurat di atasnya.
            ‘Kehadapan gadis yang dirindui setiap hari,
            Warkah ini saya coretkan buat awak untuk memberitahu awak bahawa saya betul-betul sukakan awak, walaupun pada hakikatnya awak kurang menyukai saya. Saya telah meletakan dua kuntum bunga Ros di atas meja. Bunga yang berwarna merah itu mewakili diri saya, manakala warna putih itu ialah awak. Mengapa saya merah? Merah itu tandanya cinta. Bunga ros merah itu melambangkan diri saya yang setia mencintai awak dengan sepenuh hati saya. Tetapi mengapa pula bunga awak putih? Mestilah, sebab awak tak cintakan saya! Meski pun begitu, saya akan setia menanti sehingga suatu hari nanti akan tiba waktunya bunga ros awak juga akan bertukar menjadi merah. Wajah saya akan menghiasi lena awak dan cinta saya akan hadir dalam hati awak. Tetapi buat sementara waktu ini saya akan terus bersabar dan menanti sehingga hari itu tiba.
Oh ya, saya akan tiba lewat sedikit. Saya dah sediakan sarapan untuk awak. Harap awak suka dengan sandwich tuna yang saya sediakan dengan air tangan saya sendiri.  Sebelum awak makan bekal tu, saya ingin minta awak masukan dulu kuntuman bunga putih itu ke dalam botol kaca yang terletak di atas meja itu. Jangan tanya kenapa. Selamat menjamu selera.
                                                            Yang mencintaimu,
                                                          Muhammad Nur Zaem 
                                                        Yang dipertua MPP USAS’
            Allisya mencebik sebaik selesai membaca surat nukilan Zaem itu. Tak romantik langsung suratnya! Menyakitkan hati adalah. “Walau apa pun yang terjadi bunga ros putih tak akan pernah jadi bunga ros merah!”
            Allisya membuka bekas bekal yang telah disediakan oleh Zaem. Sandwich tersebut sama dengan yang pernah dihidangkan oleh Zaem sebelum ini. Kelihatan enak kerana dihiasi dengan senyuman Encik Roti. Sebelum menjamah roti tersebut, Allisya mengambil kuntuman bunga mawar putih yang terletak di atas meja itu, lalu tangkainya dimasukkan ke dalam botol gelap yang dinyatakan Zaem tadi.
            Masa terus berlalu, Allisya menjamah sambil menunggu Zaem datang, namun pemuda itu tidak pula muncul-muncul lagi. Setelah selesai bersarapan seorang diri, Allisya mengemas kembali bekas bekal tadi. Seketika kemudian pandangannya tertangkap akan satu kejadian yang mengagumkan matanya. Kelihatan kuntuman bunga putih yang telah dimasukkan dalam botol tadi telah bertukar menjadi merah. “MACAM MANA BUNGA ROS PUTIH TADI BOLEH BERTUKAR JADI WARNA MERAH?”
Tanpa Allisya sedari, Zaem telah pun muncul di hadapannya sambil mengukirkan senyuman.
            “Awak terkejut Allisya?” Zaem menyapa dengan hati yang gembira.
            “Zaem, bila awak datang? Kenapa warna bunga ni boleh bertukar jadi warna merah?”
            Sekali lagi, Zaem merasa teruja kerana berjaya membuatkan gadis itu kagum. “Siapa kata bunga ros putih tak boleh jadi merah? Itu bukanlah perkara yang mustahil dan saya dah berjaya buktikannya sendiri di depan mata awak. Saya juga nak awak tahu, tidak mustahil bahawa suatu hari nanti awak juga akan jatuh cinta pada saya.”
            Allisya tergamam mendengar jawapan Zaem. Terkebil-kebil mata gadis itu memikirkan ayat untuk membalas kata-kata Zaem. Bagaimana Zaem boleh tahu apa yang sedang difikirkannya tadi?
            “Allisya, suatu hari nanti cinta saya pasti akan hadir dalam hati awak dan pada masa itu awak akan melihat yang saya masih setia menantikan awak…”
            “Zaem jangan buat perkara yang memalukan depan orang ramai! Berhenti cakap benda yang mengarut-ngarut.”
            “Mana ada mengarut, saya jujurlah!” Zaem merungut apabila usahanya untuk memikat Allisya sedikit pun tidak dihargai oleh gadis itu.
            “Zaem, macam mana warna bunga ros putih ni boleh berubah?”
            “Sebab cinta.”
            “Jangan main-mainlah Zaem, saya tanya betul-betul ni!” Allisya hampir melenting apabila Zaem sengaja menguji kesabarannya.
            “Yalah. Saya gunakan pewarna. Saya dah masukkan siap-siap dalam botol gelap tu. Jadi bila awak masukkan tangkai bunga tu, warna tu akan diserap melalui tarikan kapilari dan kelopak-kelopak bunga ros tu akan bertukar warna mengikut larutan rendamannya.”
“Macam mana awak boleh terfikir buat benda ni Zaem?” Allisya masih kagum. Bukan kerana keromatikan Zaem, tetapi kebijaksanaannya membuat perkara di luar jangkaan.
“Saya cipta sendiri” Jawab Zaem dengan angkuhnya.
“Baik awak mengaku Zaem…”
“Yalah, saya beritahu. Saya baca dalam buku teknik-teknik asas silap mata. Saya cubalah. Tak sangka pula jadi. Tapi bukan semua jenis bahan perwarna boleh guna. Lama juga saya cuba baru jadi. Habis sejambak bunga ros putih yang saya beli untuk awak saya guna sebagai bahan eksperimen. Last-last tinggal satu je! Ni pun dah jadi warna merah juga.” Zaem tersengih ketika memberikan jawapan. Allisya yang geram dengan sikap Zaem itu tadi turut ketawa mendengarkan sahaja kisah pemuda itu.
Zaem berasa cukup gembira kerana akhirnya dia mampu membuatkan Allisya ketawa. Jika dia mampu membuatkan Allisya ketawa, pasti dia juga mampu membuat Allisya jatuh cinta.
“Allisya maafkan saya sebab hilangkan diri macam tu je tempoh hari.”
“Tak apa, saya maafkan. Saya tahu awak tak sengaja.”
“Saya dah agak awak akan faham. Kitakan sehati sejiwa…”

*                *                      *
            “Iskandar kau nampak Zaem?” Azim menyapa lalu duduk disebelah Iskandar yang sedang duduk bersandar pada batang pokok kayu di tepi tasik USAS itu.
            “Zim, tadi Allisya kata dia nak jumpa Zaem. Mungkin dia ada dengan Allisya.”
            Azim terdiam mendengarkan jawapan Iskandar. Telinganya memang kurang enak bila mendengar Zaem bersama Allisya.
            “Is, aku nak tanya kau satu perkara.”
            “Apa dia Zim?” Iskandar menutup buku yang sedang dibacanya.
            “Kau tak cemburu bila Allisya bersama Zaem?” Sekali lagi Azim cuba menduga sahabatnya itu. Tersentak jantung Iskandar mendengarkan soalan Azim. Mengapa Azim bertanya begitu dengannya? Adakah Azim sudah tahu rahsia hatinya?
            “Tak ada apa yang aku perlu cemburukan Azim.” Iskandar cuba menjawab sambil tersenyum, namun senyumannya tawar sahaja.
            “Kau tipu Is.” Azim menjawab tanpa berfikir panjang.
            Iskandar terkejut mendengarkan kata-kata sahabatnya itu. Dia memilih untuk diam.
“Aku sentiasa hormati kau Is. Selalunya engkau adalah yang paling bijak, berpengetahuan, matang dan arif dalam menimbang tentang sesuatu perkara. Tapi dalam soal cinta, engkau adalah orang yang paling bodoh pernah aku kenal.”
            Kata-kata Azim bukan sahaja menyentak jantung Iskandar, malah menyentap hati pemuda itu. Dia tidak tahu, mengapa Azim berkata demikian terhadap dirinya. Kesalahan apa yang pernah dia lakukan sehingga tuduhan seperti itu dilemparkan?
            “Aku tak faham maksud kau Azim.”
            “Kau memang tak akan faham apa-apa Is. Sebab tulah engkau tak pernah faham hati Allisya.”
            “Kenapa kau cakap macam tu Azim? Aku tak faham.”
            “Pernah kau tanya pada diri kau siapa yang Allisya suka sebenarnya? Kenapa dia enggan terima cinta Zaem? Pernah kau tanya semua tu Is?” Azim memandang ke tengah tasik.
            Iskandar diam. Dia enggan bersuara.
            “Jawab Is, jangan jadi pengecut!” Azim masih kuat mendesak.
            “Pernah dan aku dapat rasakan siapa sebenarnya yang Allisya suka.”
            Azim terkejut sebaik mendengar jawapan Iskandar. Adakah Iskandar sudah lama sedar bahawa Allisya juga mencintai dia?
            “Jadi kau dah lama tahu?” Azim cuba mendapatkan kepastian.
            “Ya, aku tahu Azim. Aku tahu Allisya sukakan kau…” Iskandar memberanikan diri meluahkan apa yang telah disimpan dalam hatinya itu. Dia harus menerima hakikat bahawa gadis yang dicintainya mencintai lelaki lain.
            “Apa? Jangan jadi bodohlah Is! AKU TAK SANGKA KAU BETUL-BETUL BUTA!” Azim bangun dengan perasaan yang sangat marah. Dia kecewa mendengarkan jawapan Iskandar. Sangkanya dia mampu membuatkan Iskandar sedar bahawa Allisya sukakan dia, tetapi kawannya itu terlalu bodoh untuk menilai cinta gadis itu.
            “Aku tahu Zim. Aku tahu Allisya sukakan kau. Dah tiba masanya kau lupakan arwah Ariana dan buka hati kau untuk Allisya.” Iskandar menjawab yakin. Hari ini dia telah mengotakan janjinya. Janji dia untuk membantu Azim melupakan arwah Ariana dan membuka mata sahabatnya itu untuk menerima cinta baru. Walaupun pada hakikatnya, dia harus mengorbankan perasaannya sendiri.
            “Iskandar, tak ada sesiapa yang boleh gantikan tempat Ariana Is. Tak ada sesiapa!”
            “Allisya betul-betul sukakan kau Zim dan aku dapat rasakan yang kau juga sukakan dia. Bukakanlah hati kau untuk dia Azim…” Iskandar cuba menyakinkan sahabatnya itu.
            “Bukannya aku tak mahu terima cinta Allisya Is. Memang aku sukakan Allisya. Tapi aku bukannya kejam, sanggup merampas gadis yang sahabat aku sendiri cintai. Aku tahu, yang sebenarnya kau sendiri cintakan Allisya bukan?”
            Iskandar semakin terkejut mendengar kata-kata Azim. Mengapa hari ini Azim sentiasa menduga hatinya? Mengujinya dengan pelbagai persoalan yang mampu membunuh hatinya?
            Sebelum melangkah meninggalkan Iskandar, Azim sempat menyampaikan pesanan terakhirnya, “Jika betul Allisya cintakan aku, aku yakin cinta Allisya terhadap aku tidak sedalam cinta kau pada dia Is. Selagi nadi kau masih berdenyut untuk Allisya, selagi itu aku akan bendung perasaan aku terhadap dia.”
            Iskandar kembali bersandar pada batang pokok kayu tadi. Pandangannya jauh dilemparkan ke tengah tasik. Benarkah apa yang sedang didengarinya itu? Benarkah selama ini dia yang menjadi orang ketiga kepada hubungan Allisya dan Azim? Adakah kehadirannya telah menghalang Azim daripada mendekati dan mencintai Allisya? Allisya tidak bertepuk sebelah tangan kerana Azim juga turut menyukainya. Namun malangnya, Azim sengaja menjauhi cinta Allisya kerana mengetahui bahawa Iskandar juga mencintai gadis itu. Mungkinkah kerana itu Allisya sering kelihatan sayu apabila menyebut tentang Azim? Adakah Allisya merasa sakit kerana menyangka cintanya tidak berbalas? Hari ini barulah Iskandar sedar bahawa dia telah menjadi penghalang kepada dua hati daripada bersatu.
“Maafkan abang Allisya. Abang tak terniat untuk merampas kebahagian Allisya. Abang tak terniat menjadi penghalang cinta Allisya dan Azim…” 

Saturday 14 January 2012

BAB 38: BUNTU

          
            Kelihatan lima orang mahasiswa sedang memenuhi meja bulat yang telah dusediakan di ruang diskusi terbuka perpustakaan USAS. Suana sunyi seketika. Mereka saling berbalas pandangan. Tiada di antara mereka yang terbuka untuk bersuara. Raihana beberapa kali menyiku Allisya. Sekali-sekala Allisya menjerling kepada Iskandar, melemparkan pandangan yang penuh pengharapan. ‘Abang Is, tolonglah bersuara.’
            Suasana agak tegang setelah berlaku sedikit perdebatan di antara Azim dan Zaem. Mereka seperti masih menyimpan dendam di antara satu sama lain, sedangkan mereka adalah kawan baik.
            “Baiklah, sekarang ni semuanya dah terjawab bukan? Tak perlulah kita bersangka-sangka lagi.” Bagai memahami permintaan Allisya, Iskandar bersuara menyuraikan ketegangan yang ada.
            Zaem mengecilkan matanya, kemudian dia memandang ke arah Azim. “Yalah, Azim kau tak rindukan aku ke? Jangan risau, aku dah tak salah sangka pada kau lagi.”
            Sebaik mendengar celoteh Zaem, sepantas kilat jari Azim menjentik dahi luas pemuda itu. “Aduh!”
            Zaem menggosok-gosok dahinya yang sudah kelihatan kemerah-merahan itu. “Ini yang aku kurang senang kalau kita dah berbaik. Sekurang-kurangnya, waktu kita bergaduh kau tak pernah pula usik dahi aku ni.”
            Azim yang bermuka masam sebelum ini kelihatan bagai sedang ketawa, tetapi tawanya bagai ditahan-tahan. Mungkin sahaja dia sedang menjaga imej.
            Iskandar tersenyum lebar melihat kedua-dua orang sahabatnya kini sudah berbaik semula. Benarlah kata orang, nilai persahabatan itu terlalu tinggi. Sahabat yang baik tidak akan pernah berpaling walau sejauh mana pun mereka diduga. “Jadi sekarang ni bolehlah kita kembali kepada perbincangan kita yang asal.”
            Seluruh yang hadir menumpukan perhatian mereka kepada kertas yang dibentangkan di tengah-tengah meja. Di atas kertas tersebut tercatat senarai nama orang-orang yang amat mereka kenali.
            “Ni senarai apa?” Allisya bersuara. Matanya dikecilkan untuk memberikan tumpuan kepada senarai nama yang dibaca. ‘Abang Syakir dan Kak Zarina, tetapi kenapa ada Dr. Ariffin?’ Allisya mula berasa tidak sedap hati.
            “Ini senarai nama yang dikatakan dilihat oleh para pelajar ada naik ke tingkat atas sekali bangunan pada sekitar waktu kejadian. Seperti yang kita ketahui, kemera CCTV tingkat lima perpustakaan kita rosak, maka kita tak dapat buktikan sepenuhnya samada mereka betul-betul ada di situ pada waktu kejadian.”
            “Bukan ke lif perpustakaan kita ada kemera CCTV juga? Kenapa tak periksa semula?” Raihana kebingungan.
            “Itu juga salah satu kekangan yang terpaksa dihadapi pihak berkuasa untuk menyiasat kerana kalau betul Farid ditolak, suspek disyaki telah menggunakan tangga. Buat pengetahuan anda semua, tangga perpustakaan kita tidak dilengkapi kemera CCTV dan ruang itu jarang digunakan oleh para pelajar. Lagi pun tingkat lima, terlalu tinggi untuk panjat tangga.”
“Maksud Abang Zaem?” Raihana bertanya lagi.
Zaem dengan bersemangat menjawab, “rasanya pelajar tu mungkin sahaja naik lif, turun di tingakat lain dan sambung perjalanannya untuk bertemu dengan Farid  dengan menaiki tangga. Memang tak ada sesiapa pun yang mengaku mereka berada di tingkat tersebut pada hari kejadian, tetapi saya yakin, pada hari kejadian saya ada melihat kepala seseorang menjengah daripada tingkat lima!”
“Tapi kenapa orang tu terfikir untuk ambil lif dahulu dan kemudiannya pergi dengan menaiki tangga, kecualilah jika dia…” Raihana mula berspekulasi, lalu disambung oleh Zaem, “Kecuali kalau orang tu betul-betul merancang untuk bunuh Farid! Kalau betulah ni sekadar kemalangan yang tidak disengajakan, sepatutnya dari awal-awal lagi dia tak takut naik lif hingga ke tingkat lima. Tapi dia tahu, perjalanannya akan dirakamkan di kemera, jadi dia memilih turun di tingkat tiga…”
“….di mana kita tahu semua pelajar akan turun di tingkat itu.” Raihana akhirnya menghabiskan ayat Zaem. Zaem mengangguk dan tersenyum mendengar kata-kata Raihana. Tersipu-sipu gadis itu, apatah lagi senyuman pujian itu diberikan oleh lelaki yang diminatinya.
Azim diam, manakala Iskandar kelihatan bagai sedang berfikir. Allisya memandang ke arah Zaem. Seketika, Allisya terkesima dengan kenyataan Zaem. Gadis itu berasa kagum dengan pemuda tersebut. Tidak pernah Allisya sangka, selama ini Zaem kelihatan hanya bersembunyi dan berdiam diri, tetapi sebenarnya pemuda itu sedang maju menyelidik secara senyap.
“Kita juga tak pasti, mungkin ada orang lain yang naik ke tingkat tersebut tanpa sesiapa sedari.” Iskandar bersuara, lalu Allisya mengangguk bersetuju.
“Macam mana dengan orang yang hantar surat ugutan di rumah kau Zaem? Dah dapat kesan?” Iskandar beralih pula kepada persoalan lain yang masih belum terjawab.
“Sayangnya kamera rumah aku jenis yang bergerak…” Zaem mengeluh.
“Maksud awak Zaem?” Allisya hairan dengan jawapan Zaem.
“Kemera tu tak merakam di tempat yang sama pada setiap masa, kerana ia jenis 180 degree motion camera. Jadi pada minit-minit tertentu, kawasan peti surat itu tak dirakam. Tak sangka orang yang hantar ni bijak memilih waktu.” Zaem menjawab lagi dengan keluhan.
“Maksudnya orang yang hantar surat ugutan tu, orang yang pernah pergi dan tahu keadaan rumah awaklah ya Zaem?” Allisya cuba mendapatkan kepastian. Raihana turut mempunyai spekulasi yang sama.
“Tapi masalahnya hampir satu USAS pernah pergi rumah Zaem. Setiap tahun dia akan buat rumah terbuka waktu hari raya.” Akhirnya Azim mula menyertai perbualan hangat mereka.
Kini Allisya pula yang mengeluh. Mereka semua kelihatan buntu.
“Tapi saya nak cadangkan satu nama dalam senarai yang disyaki ni….”
“Allisya ada syaki sesiapa ke?” Iskandar terkejut mendengarkan kata-kata gadis itu. Allisya ada syaki seseorang? Siapa?
“Zairin…”
Ketiga-tiga panglima USAS itu terdiam sebaik mendengar kenyataan Allisya. Beberapa saat kemudian, Zaem ketawa terbahak-bahak, Iskandar hanya tersenyum dan Azim menggeleng-gelengkan kepala.
“Allisya, awak ni dah terlalu banyak berfikir. Tak ada sebab Zairin nak menganiaya saya.” Zaem masih ketawa, sehingga membuatkan muka Allisya merah menahan marah.
“Saya cakap betul! Saya ada bukti!”
“Allisya, jangan fikir benda yang bukan-bukan lagi.” Zaem kini telah berhenti ketawa, tetapi dia tetap hairan dengan cadangan Allisya. ‘Dalam ramai-ramai orang, kenapa Allisya anggap budak Zairin tu yang jahat?Pelik!’                                      
            Dalam pada Zaem tersengih-sengih mengetawakan deduksi Allisya, Jari-jemari Azim melayang tepat ke dahinya. “Aduh! Azim kenapa kau pula yang tiba-tiba jentik aku?”
            “Aku tak kisah kalau kau nak tulis nama sesiapa pun pada kertas ni, tapi kenapa mesti ada nama aku sekali dalam senarai suspek?” Jerlingan Azim kelihatan seperti harimau yang ingin membunuh.
            “Erk, sebab kau nampak macam salah seorang  suspek kes ni. Pertengkaran kau dengan Farid harus diambil kira,” Zaem menjawab dengan wajah yang yakin.
            “ Tapi kenapa ada nama Abang Is juga?” Allisya yang baru perasan dengan hal itu turut merasa tidak puas hati. ‘Ada ke Abang Is yang baik macam tu disuspek membunuh, Zaem ni memang nak kena!’
 Iskandar hanya tersenyum, dia sendiri hairan dan tidak mampu berkata apa-apa.
            “Tu saya tak hairan sangat, tapi KENAPA NAMA ABANG ZAEM SENDIRI PUN ADA?” Raihana pula bersuara, turut sama terkejut.
            Zaem hanya tersengih, “Sebab satu USAS kata kami bertiga suspek yang berkebarangkalian tinggi melakukan jenayah tersebut, jadi kita tak boleh lepas pandang atas segala kemungkina yang ada.” Zaem masih tersengih bagaikan kerang busuk.
“Nama Zairin awak tak nak letak sebagai suspek, tapi nama sendiri boleh pula?” Hampir pitam Allisya mendengar jawapan merepek Zaem tadi. Hendak marah, dia tahu tak ada gunanya. Sampai bila-bila dia tidak akan pernah faham perangai pelik lelaki itu.
            “Zaem, lebih baik kau senaraikan nama satu USAS ni je!” Azim memerli dengan sinis.
            “Aku dah cuba Zim, tapi aku tak tahu nama semua pelajar-pelajar USAS.” Zaem menjawab dengan mimik muka bersahaja, seolah-olah tiada apa-apa pun yang berlaku.
Iskandar ketawa mendengarkan gurauan Zaem, begitu juga dengan Raihana. Perangai keanak-anakan Zaem memang tak akan pernah hilang dari dalam diri pemuda itu.
Allisya mengambil masa beberapa minit untuk menenangkan hatinya. Mengapa sukar sangat untuk dia ketawa dengan jenaka yang dibuat oleh Zaem? Jujurnya memang tak lawak pun!
“Allisya pasal esok. Jangan lupa.” Raihana menyiku Allisya mengingatkan gadis itu kepada rancangan mereka esok petang.
“Em, Abang Is esok petang saya dan Rai nak cuba periksa bahan yang ada pada tapak kasut arwah Abang Farid di makmal. Boleh Abang Is temankan kami?” Suara Allisya sangat perlahan ketika mengajukan soalan itu. Iskandar sudah dianggapnya bagai abang sendiri, maka Allisya  lebih selesa dan percayakan Iskandar untuk menemani mereka jika ingin melakukan sesuatu perkara atau pergi ke mana-mana.
“Insya’Allah boleh. Tapi kelas abang habis pukul lima setengah esok.”
“Tak apa Abang Is, kami rancang nak pergi selepas pukul lima juga. Kami tak berani nak guna makmal tu pada waktu pejabat. Takut ada staff yang akan pertikaikan.”
“Kenapa awak ajak Is je Allisya? Sampai hati awak! Awak tahukan saya pun ada perasaan juga,” Zaem menyampuk perbualan mereka seraya berpaling ke tempat lain bagai sedang membawa hati yang rajuk. “Kecil hati saya awak buat saya macam ni Allisya…”
“Kenapa pula saya nak ajak awak sekali? Sekurang-kurangnya Abang Iskandar boleh bantu dan beri pendapat melalui kepakaran dia dalam makmal nanti. Awak Zaem, awak nak masuk makmal sekali kenapa?”
“Kenapa? Kenapa dengan awak ni Allisya? Perkara ni berkaitan dengan diri saya, mestilah saya kena libatkan diri. Awak kata awak akan sentiasa berada di sisi saya, tapi awak tengok apa yang awak sedang buat. Kenapa awak suka beri harapan palsu pada saya?”
“Zaem, saya tak pernah beri harapan apa-apa pun pada awak! Malaslah saya nak layan awak. Nak ikut, ikutlah!”
Tiba-tiba sahaja Azim bersuara, memecahkan suasana bingar yang ada, “kenapa saya yang belajar spesifik dalam kejuruteraan kimia tak diambil kira? Kenapa saya tak di ajak sekali?”
Sekalian yang ada kaku mendengarkan kata-kata Azim. Betulkah apa yang sedang mereka dengarkan itu? Azim ingin turut sama menyertai mereka? Semuanya bagai mimpi.
“Kenapa kau nak ikut Zim? Kau cemburu tengok aku akan berdua-duan dengan Allisya ke?” Zaem mula berasa curiga.
“Kita tak berdua-duaanlah Zaem!” Allisya pula masih geram dengan perangai Zaem.
“Tak ada apa pun yang aku perlu cemburu pada kau,” Azim sempat memerli sebelum menambah, “Allisya, kamu nak analisa bahan tu guna apa?”
“Em, Gas Cromathography. Abang Azim tahu guna alat tu?” Allisya menyahut.
“Tak, tapi abang memang berminat nak belajar guna instrumen tu. Kalau tak ada sesiapa yang tahu guna macam mana kita nak buat analisa tu?”
“Kak Laila! Kak Laila pelajar master fakulti kami. Kami selalu nampak dia guna instrumen tu. Jadi kami nak jumpa dia esok dan minta tolong pada dia.” Raihana menjawab yakin. Kata sepakat diterima, dan mereka masing-masing berjanji akan bertemu di fakulti Sains Gunaan esok untuk mendapatkan jawapan.
*                      *                      *
            Cahaya mentari semakin kabur. Jam di tangan Allisya sudah pun menunjukan pukul 5.40 petang. Dia dan Raihana menanti dengan setia sambil berdiri di kawasan tempat letak kereta fakulti mereka. Beberapa minit kemudian, Iskandar muncul sambil mengayuh basikal menghampiri mereka. Wajah pemuda itu kelihatan letih. Keringat membasahi dahinya. Pasti Iskandar keletihan kerana seharian menghadiri kuliah tanpa henti. Setahu Allisya jadual Iskandar memang agak padat, namun Iskandar tidak pernah mengatakan ‘tidak’ apabila diminta tolong oleh mereka.
            Iskandar memberikan salam sambil mengukirkan senyuman. Sebaik turun daripada basikalnya, Iskandar menghulurkan beberapa bungkusan plastik yang berisi kuih –muih.
            “Terima kasih Abang Is!” Allisya menyambut dengan senyuman.
            Iskandar mengkerling jam di tangannya, masih ada masa lagi. Azim dan Zaem masih belum tiba. Tidak lama kemudian, bunyi bising deruman enjin motorsikal dan kereta menyapa dan menggigit telinga mereka sehingga membuatkan Allisya menutup telinganya.
            Di kejauhan kelihatan sebuah kereta Vios putih dan motorsikal besar sedang memecut dan bagai sedang bersaing sesama sendiri.
“Kenapa dengan mereka tu? Dalam kampus pun nak berlumba ke?” Allisya merungut sebaik mengenal pasti pemandu kereta dan penunggang motorsikal itu ialah Zaem dan Azim.
Iskandar tersenyum kelat. Dia sendiri tidak pasti apa yang ingin dijawabkan kepada Allisya kerana sejak akhir-akhir ini Azim dan Zaem bagai sering ingin berlumba-lumba dan bersaing dalam apa jua perkara yang mereka lakukan, lantas membuatkan Iskandar juga khuatir dengan perubahan mereka berdua.
Kereta Zaem memecut di hadapan, membuatkan pemuda itu tersenyum bangga. Namun beberapa saat kemudian motorsikal Azim memotong di persimpangan ketika masuk ke kawasan fakulti, lalu menyerlahkan wajah rajuk Zaem yang kelihatan seolah-olah bagai sedang mencebik.
“Bahu Abang Azim dah sembuh sepenuhnya ke Abang Is?” Allisya bertanya dengan nada yang kedengaran sangat risau. Entah mengapa hati Iskandar bagai terpercik dengan satu rasa yang kurang enak. Adakah dia juga sudah mula cemburu?
“Azim dah tanggalkan balutan dia. Tapi dia perlukan pemeriksaan dan rawatan fisoterapi yang berlanjutan sebelum anggota dia betul-betul cukup kuat untuk turun ke padang semula.”
“Tapi boleh ke Abang Azim bawa motor? Ni semua mesti sebab Zaem yang saja-saja buat dia marah.” Allisya merungut sendiri. Iskandar mengambil keputusan untuk hanya mendiamkan diri. Dia tahu memang Azim seorang yang degil dan tidak suka dianggap lemah.
Zaem turun dari keretanya sambil mengenyitkan mata manakala Azim berjalan tanpa mengukirkan senyuman mahupun melemparkan teguran. Mereka masuk ke dalam fakulti tersebut, namun langkah mereka terhenti kerana mereka menghadapi masalah untuk masuk ke kawasan makmal pasca siswazah fakulti mereka itu. Kawasan makmal pascasiswazah itu dilengkapi dengan sistem keselamatan yang memerlukan penggunanya mengakses ke makmal menggunakan kad khas. Raihana menghantar mesej, lalu seketika kemudian seorang gadis berambut ikal datang menghampiri pintu cermin yang memisahkan mereka.
“Maaf mengganggu kak, tapi kami betul-betul perlukan pertolongan akak,” Raihana  merayu setelah menjelaskan segala-galanya.
Laila memandang sekalian yang hadir pada ketika itu. Makmal biokimia pascasiswazah itu kelihatan sunyi daripada orang ramai, berbeza sekali dengan suasana makmal pelajar sarjana muda fakulti mereka.
“Akak tak kisah kalau kamu nak guna kemudahan di makmal ni, tapi dengan satu syarat.”
“Syarat apa kak? Tapi kami harap syarat tu tak susah untuk dipenuhi.” Raihana kerisauan kalau-kalau Laila menetapkan syarat di luar kemampuan mereka.
“Syarat tu tak susah. Akak dah lama harap dapat bergambar dengan seorang panglima USAS ni. Akak salah seorang peminat dia…” Laila menjawab dengan nada yang mengusik.
“Panglima USAS?” Allisya segera memandang ke belakang di mana Iskandar dan Azim sedang berdiri. Zaem berada di tepi makmal, sedang teruja melihat kawasan sekitar makmal tersebut. Sebaik mendengarkan kata-kata Laila dan reaksi terkejut Allisya, Azim melangkah ke belakang. Siapa yang tidak tahu bahawa dia adalah pemain bola sepak yang popular dan selalunya dia memang tak akan izinkan peminat bergambar dengannya.
“Maaf, saya tak bergambar dengan peminat dan saya tak suka gambar saya tersebar di internet,” Azim menjawab dengan nada yang tegas. Dia tidak mahu dipaksa bergambar dengan sesiapa. ‘Susahnya jadi orang popular ni!’
“Tapi akak bukan peminat bola sepak Azim. Jangan risau ya.” Laila kehairanan dengan reaksi Azim. Sejak bila pula dia cakap dia nak bergambar dengan pemuda tu?
Zaem ketawa terbahak-bahak. Dia berjalan menuju ke arah kumpulan mahasiswi itu. “Semua orang pun tahu, kalau di USAS siapa yang paling popular. Mungkin kau dah lupa tentang perkara tu Azim.” Zaem melintasi Azim sambil mengenyitkan mata coklat mudanya yang menawan itu dengan angkuh sekali. Azim yang sedang panas telinga itu sengaja berpura-pura tidak mendengar kata-kata Zaem.
“Kenapa  akak tak cakap yang akak nak bergambar dengan saya? Saya sentiasa ada untuk peminat-peminat saya,” ujar Zaem dengan penuh bangga.
‘Menyampahnya perangai Zaem ni!’ Allisya mengutuk hanya di dalam hati.
“Allisya awak jangan cemburu ya,” Zaem sempat berpaling dan mengenyitkan matanya kepada Allisya.
‘Macam budak-budak. Perasan je! Siapa yang nak cemburu?’ Allisya masih tidak puas hati, namun suaranya hanya bergema dalam hatinya.
“Maaflah Zaem, akak bukan pengundi awak. Akak tak berapa minat wajah jambu ni.” Laila ketawa melihatkan reaksi Zaem yang jauh lebih perasan itu.
Tersentap hati Zaem mendengar. Wajahnya yang putih melepak itu kelihatan kemerah-merahan menahan malu. Kalau bukan dia, siapa? Dengan serentak, kesemua mereka menoleh ke arah Iskandar. Iskandar tersengih kekok melihatkan tindakan semua yang hadir. Lebih menakutkan apabila dia melihat Zaem dan Azim semakin menghampiri dirinya bagai ingin menerkam.
“Tapi…”  Dia bagaikan seperti rusa yang sedang dikepung oleh sekumpulan singa yang sedang lapar. Memang kecut perut pemuda itu. Kenapa mesti nak bergambar dengan dia? Dia hanya orang biasa jika hendak dibandingkan dengan Zaem dan Azim.
“Tak ada tapi-tapi Is. Kau kena bergambar juga. Dahlah rampas peminat kami!” Zaem menarik lengan Iskandar. Dia tidak mahu Iskandar melepaskan diri. Zaem memang masak dengan perangai Iskandar. Kalau bab bergambar, Iskandar memang seorang yang pemalu, apatah lagi bila perlu bergambar dengan perempuan. Mesti dia akan menghilangkan diri.
Merah muka Iskandar menahan malu apabila dipaksa bergambar dengan Laila. Allisya ketawa melihat wajah comel seniornya itu. Dia sendiri yang minat Iskandar pun tak pernah berpeluang bergambar dengan Iskandar, melihat pemuda itu bergambar dengan orang lain memang sedikit sebanyak mampu membuatkan Allisya merasa cemburu.
“Baiklah, sekarang ni kita serius semula. Akak nak sediakan sampel ni dulu. Harap-harap keputusannya nanti seperti yang kamu semua harapkan.”
Masa berlalu dengan pantas. Bahan yang kelihatan seperti pepasir hitam itu telah dicampurkan dengan sejenis solvent dan turut digemparkan dalam alat pengempar khas makmal. Allisya memerhati dengan penuh khusyuk. Hanya beberapa mikroliter bahan tersebut yang diambil untuk digunakan dalam instrumen itu.
“Sikit je akak guna?” Allisya bertanya dengan penuh minat.
“Ya, sikit je Allisya. Beberapa mikroliter sahaja dah mencukupi.” Laila menjawab sambil mencucuk bahan tadi ke dalam mesin tersebut menggunakan jarum khas. “Nanti lepas bahan yang telah dilarutkan ini diinjek ke dalam mesin, bahan tersebut akan dibakar dengan suhu yang amat tinggi, dan molekul-molekul kimianya akan pecah lalu membolehkan instrumen tersebut memeriksa komponen-komponen yang ada dalam bahan yang dianalisa itu. Dari situah keputusannya akan keluar di skrin komputer dan kita boleh membuat analisa lanjut.”
“Jadi kita bolehlah tahu kandungan kimia untuk bahan yang kita nak periksa ni?”
“Ya, betul tu!”
Allisya mengangguk-nganguk mendengar jawapan Laila. Dia merasa teruja kerana berpeluang mempelajari cara-cara menggunakan mesin tersebut di awal pengajiannya lagi. Menantikan keputusan analisa bahan tersebut membuatkan jantung Allisya berasa berdebar-debar. Entah mengapa, Allisya bagai boleh mendengar lagu Mission Imposible bermain-main di cuping telinganya, bagaikan dia sedang berada di dalam filem menjalankan penyiasatan yang berat. Allisya kehairanan. Adakah semangatnya yang berkobar-kobar ingin menemui jawapan itu membuatkan dia merasa bagai sedang berada dalam kisah penyiasatan sebenar dengan berlatar belakangkan muzik yang mendebarkan. Semakin lama, muzik tersebut kedengaran semakin kuat pula. Lantas membuatkan jantung Allisya terasa bagai hampir tercabut sehinggalah dia diganggu dengan satu suara yang amat kuat, “ADUH! Kenapa kau jentik dahi aku ni Azim?”
“Zaem, aku nak kau tutup MP4 kau tu. Muzik tu buat menyemak je!”
“Kenapa pula? Kan bersemangat sikit kita nak menyiasat.” Zaem menjawab sambil tersengih.
‘Rupa-rupanya muzik tu Zaem yang pasang…’ Allisya turut merasa geram apabila mengetahui perkara sebenar. Fikirnya hanya dia sahaja yang mendengarkan muzik itu. ‘Buat orang takut jelah Zaem ni!’
Dua puluh minit berlalu, “keputusan dah keluar!” Sebaik mendengar suara Laila, semua yang ada bergegas menghadap komputer yang sedang digunakan oleh Laila. Masing-masing merasa teruja untuk mengetahui keputusan tersebut walaupun pada hakikatnya mereka belum pasti adakah keputusan yang diperolehi itu akan membantu mereka atau tidak.
“Pasir hitam yang kamu bawa ni bukan tanah.”
“Maksud Kak Laila? Bukan ke bahan tu betul-betul macam tanah. Macam tanah bakar pun ada juga.” Raihana bertanya sangsi.
            “Bahan ni tinggi dengan kandungan Nitrogen, Fosforus dan Kalium. Sangat tinggi…”
            “Maksudnya?” Allisya masih tidak mengerti.
            “Baja…Itu kandungan tipikal dalam baja pokok,” Azim menyampuk, memberikan jawapan yang Allisya nanti-nantikan.
            “Betul tu! Tapi pelik, kawasan mana yang dia pergi sampai tapak kasut dia dipenuhi dengan baja? Dia ada berkebun ke? Akak tak nampak pun timbunan baja di kawasan kampus kita ni.”
            “Taman botani. Di kawasan rumah hijau taman botani universiti kita ada banyak timbunan baja.” Iskandar pula berkongsi pengetahuannya.
Kemudian Zaem turut mencelah, “Tapi setahu saya yang datang sana hanyalah pelajar daripada persatuan tanaman hiasan dan herba universiti sahaja. Farid pelajar pascasiswazah, dia tak diwajibkan menyertai apa-apa persatuan dan sememangnya dia bukan ahli persatuan. Kenapa mesti dia ke sana? Untuk berjumpa seseorang? Tapi siapa dan untuk apa?” 
“Mungkin dia berjumpa dengan ahli persatuan tu juga. Mungkin juga isu ni tak berkaitan.” Iskandar menjawab perlahan.
“Isu ni memang berkaitan! Sebab Zairin pun berdaftar bawah nama persatuan tu!”
“Mana Rai tahu?” Allisya berasa semakin takut mendengarkan jawapan yang ada.
“Sebab Rai terdengar perbualan dia dengan salah seorang ahli persatuan tu.”
Riak wajah Zaem berubah apabila mendengar jawapan Raihana. Dengan pantas, kakinya melangkah keluar daripada makmal itu.
“Kenapa Zaem macam marah?” tiada siapa pun yang menjawab soalan Allisya. Suasana menjadi sepi, namun penuh dengan pelbagai soalan. Hanya satu perkara yang menjadi kepastian, hari sebelum Farid meninggal, dia ada pergi ke taman botani universiti, tetapi untuk apa? Adakah dia telah bertengkar dengan seseorang pada hari itu?
“Allisya, sebenarnya Zaem pun ahli persatuan tu juga.” Azim bersuara, menambahkan lagi kerunsingan hati Allisya.
Tidak! Inisiatif mereka ini hanya akan membuatkan Zaem lebih kelihatan sebagai suspek sebenar! Apa yang patut mereka lakukan? Adakah tindakannya ini salah?