Wednesday 10 August 2011

BAB 9: AMARAN PERTAMA



            Allisya tercari-cari ke mana perginya Iskandar. Dia baru sahaja mendengar berita yang menggemparkan itu daripada pelajar lain. Satu insiden kebaran telah terjadi malam tadi di bangunan kediaman MPP. Hati Allisya gelisah. 

‘Mengapa hati aku tak tenang ni? Sesuatu terjadi kepada abang Iskandar?’ Kebimbangan menghantui minda Allisya. Sudah satu hari Allisya tidak melihat Iskandar mengayuh basikal putihnya di sekeliling kawasan USAS. Selalunya dia akan terserempak dengan Iskandar di kawasan fakulti dan mereka akan berbalas senyuman, kadangkala bertukar teguran. Hari ini, bayang Iskandar lansung tidak kelihatan. 

Kelab Permata Hati kelihatan sunyi tanpa kehadiran pengerusi kelab mereka. Sudahlah aktiviti kem motivasi yang dirancang akan dijalankan tidak lama lagi. Bagaimana nanti? Adakah aktiviti kelab mereka akan tergendala? Namun yang paling dikhuatirinya adalah berkenaan dengan keselamatan Iskandar.

Petang itu, perjumpaan mereka dikelola oleh Zaem yang bertindak sebagai timbalan pengerusi kelab. Namun, suasana perjumpaan pada hari itu kelihatan suram. Zaem tidak banyak berkata-kata, malah lansung tidak menegur Allisya seperti selalu. Sekiranya dia memerlukan bantuan, dia hanya akan meminta Azim menolongnya. Wajah Zaem tidak seceria selalu. Azim  yang sering bermain dengan duit syiling di jarinya pula hanya memeluk tubuh di sepanjang perjumpaan mereka. Seperti biasa, dia tidak banyak bercakap. Perbezaan tingkah laku yang ditunjuk  ketara oleh kedua-dua sahabat itu meruntunkan hati Allisya yang sedia kala gelisah dilanda kerisauan. Bagaimana jika sesuatu terjadi terhadap Iskandar?

Perjumpaan kelab mereka berakhir lebih awal daripada biasa. Raihana memandang Allisya yang dari tadi tidak duduk diam. Dia tahu Allisya gelisah, tetapi dia tidak tahu bagaimana caranya untuk menenangkan hati Allisya. Mahasiswa lain semuanya telah keluar daripada bilik mersyuarat tersebut. Meski pun begitu Nik Ain masih di sisi Raihana dan Allisya. 

Raihana nampak mata Allisya melirik ke arah Zaem dan Azim berulang kali. Seperti ada satu keinginan yang ingin dilaksanakannya, namun terbantut dengan kehadiran orang ramai di sekeliling.  Seperti sudah mengerti, Raihana sengaja mengajak Nik Ain keluar dan meminta menemaninya ke koperasi berdekatan. 

“Allisya tak payah ikut kak, dia ada kerja lain tu.” Raihana cuba menyakinkan Nik Ain. Nik Ain tidak kelihatan gembira dengan cadangan Raihana, namun kakinya akur menglangkah. Raihana keluar dari bilik mesyuarat itu meninggalkan Allisya bersama-sama ketua MPP mereka dan Azim.

Azim seolah-olah telah menjangka soalan yang ingin dilontarkan Allisya sebaik dia melihat Allisya mendekatinya dan Zaem. Azim memberikan jawapan tanpa pelu disoal. “Iskandar di hospital.”

Jantung Allisya bagai dipanah petir mendengarkan berita itu. Dia segera menoleh ke arah Zaem yang sedang duduk berdekatan. Allisya merenung mata Zaem untuk mendapatkan kepastian. Namun, Zaem tidak memberikan apa-apa respon. Wajah Zaem murung, kulitnya yang cerah kelihatan pucat. Allisya percaya, Zaem pasti sedang risaukan Iskandar. 

“Kenapa?” Allisya berpaling semula kepada Azim. Emosi Zaem tidak kelihatan seperti cukup stabil untuk di ajak berbicara. Azim seolah mengerti dengan situasi tersebut, dia mengenepikan keegoannya, lalu memainkan peranan sebagai penyampai berita. 

“Semalam blok bangunan kami terbakar. Punca bermula di stor tingkat atas, bersebelahan dengan bilik kami.” 

Allisya diserang perasaan takut yang memuncak. Jadi kebakaran itu terjadi di bilik mereka. ‘Ya tuhan, semoga Iskandar tak apa-apa.’ Hatinya terasa bagai ditarik-tarik keluar. Perasaan takut dalam dirinya terlalu tinggi.

“Apa jadi pada abang Is… Iskandar?”
“Is masuk hospital. Dia keracunan kerana menyedut terlalu banyak asap.”
“Tapi, kenapa benda tu terjadi pada abang Iskandar je? Kenapa abang dengan Zaem tak apa-apa?” Soalan yang dilemparkankan Allisya menusuk bagai belati ke hati Zaem. Matanya kelihatan penuh dengan perasaan bersalah.

Azim masih memainkan peranannya, “ sebab Zaem tak ada di bilik pada waktu tu. Dia balik ke rumah dia.” Allisya tidak kelihatan berminat mendengarkan penjelasan Azim berkenaan diri Zaem. 

“Kenapa abang Is je yang dikejarkan ke hospital?” Muka Allisya sayu. Azim tidak sampai hati untuk menolak memberikan jawapan kepada Allisya.

“Iskandar kurang sihat. Dia ada asma dan  paru-parunya bermasalah.” Suara Azim kedengaran penuh kekesalan. Dia kesal kerana lambat bertindak untuk menyelamatkan Iskandar.

“Paru-paru abang Iskandar bermasalah?” Allisya terkedu.

Zaem mula membuka bicara, matanya tidak memandang Allisya,” Iskandar pernah terlibat dalam peristiwa kebakaran di rumahnya 10 tahun dahulu. Ayahnya meninggal dunia kerana dihempap tiang rumah dalam kebakaran tersebut. Ibunya pula terkorban ketika berusaha membawa Iskandar keluar dari kawasan api yang marak. Iskandar sempat diselamatkan oleh pihak bomba dan di masukan ke hospital. Akibat daripada kejadian tersebut, paru-parunya rosak. Biar pun Is nampak sihat seperti orang biasa, tetapi hakikatnya badannya lemah. Dia mudah semput dan sesak nafas. Sebab tulah, paru-parunya tak cukup kuat bila…” Kata-katanya tersangkut di situ sahaja. Mata Zaem kering, tetapi Allisya dapat melihat kesayuaan di wajahnya. Saluran darah pada bebola matanya kelihatan jauh lebih merah daripada biasa. 

Allisya terduduk mendengarkan jawapan Azim dan kenyataan yang diberikan Zaem. ‘Mengapa?’ Mengapa dia tidak pernah sedar? Disebalik kesempurnaan dan senyuman yang diukirkan oleh Iskandar, tersembunyi rona rona duka yang jauh lebih sukar daripada hidupnya. Iskandar juga seorang anak yatim piatu. Tetapi Allisya yakin, kesedihan yang dilalui Iskandar pasti lebih hebat kerana Iskandar melihat sendiri ibu bapanya meninggal dunia di depan matanya. Malah, ibunya meninggal ketika sedang menyelamatkan nyawanya. Sekurang-kurangnya Allisya tidak pernah diuji dengan melihat sendiri insan yang disayanginya pergi meninggalkannya di hadapan matanya sendiri. Bapanya meninggal sebelum dia dilahirkan, manakala ibunya meninggal ketika melahirkannya. Mendengarkan berita kemalangan yang menimpa Iskandar pun hampir meragut hatinya, inikan pula perasaan kehilangan insan yang disyangi. Tuhan itu Maha Mengetahui segala-galanya.  Tidak akan diuji hambaNya itu diluar kemampuan mereka.

.”Macam mana abang Is sekarang?” Allisya bersuara semula. Wajahnya kelihatan semakin sayu. Kebimbangan jelas terpancar.

“Keadaan Iskandar stabil. Petang ni dia dah boleh keluar hospital. Kami nak terus ke sana ambil Is.” Azim menjawab soalan Allisya tanpa ragu-ragu. Dia menyandang begnya, sambil menepuk belakang Zaem yang masih kelihatan tidak bermaya. “Jom. Biar aku drive.”

Azim mengambil kunci yang terletak di atas meja besar bilik mesyuarat itu. Zaem bangun mengikutnya tidak berkata apa-apa.

“Kamu tak nak ikut sekali ke?” Jantung Allisya berdebar-debar. Dia tidak tahu samada dia berasa gembira kerana berpeluang menemui Iskandar atau kerana secara tiba-tiba Azim menjadi begitu mesra dengannya. Hairannya, Azim seakan sangat mengerti perasaan Allisya yang sangat mengambil berat akan keadaan Iskandar itu. Adakah Azim tahu, Allisya sukakan Iskandar?

“Allisya,” Raihana masuk semula ke bilik tersebut. Dia kini berseorangan. Nik Ain terpaksa pergi kerana ada hal lain yang perlu diurusi. 

“Ajak sekali kawan kamu tu. Kita naik kereta Zaem. Dia parking di belakang bangunan ni.” Azim berjalan melepasi Allisya. Zaem tidak bersuara. Wajahnya masih kelihatan gelisah. Allisya segera mengikut mereka dari belakang. Dia menarik lengan Raihana supaya ikut serta.

Allisya duduk di tempat duduk belakang bersama Raihana. Azim memandu, manakala Zaem masih kelihatan termenung memikirkan sesuatu. Perjalanan mereka sunyi sahaja. Mereka hanya berdiam diri, termasuklah Zaem yang selama ini suka menyanyi di dalam kereta. Tiada di antara mereka yang ingin memulakan bicara.

Hospital besar yang terletak berdekatan dengan kampus mereka itu kelihatan lengang. Ketika mereka melewati koridor hospital, mereka hanya terserempak dengan pelawat lain sekali sahaja. Zaem berjalan paling hadapan, dia masuk ke sebuah bilik yang bertanda Wad 7. Bilik itu dipenuhi dengan katil-katil yang kebanyakannya kelihatan kosong. 

“Azim, Zaem.” Iskandar yang terpandang wajah sahabat-sahabatnya itu segera menegur mesra, malah senyuman dilemparkannya dengan penuh rasa gembira. Allisya dan Raihana yang berada di belakang mereka berdua hampir tidak kelihatan.

“Kau macam mana Is?” Azim menegur sambil memeluk bahu Iskandar dan menepuknya beberapa kali. 

“Aku  baru nak kemas barang. Tadi tertidur. Terpaksalah korang tunggu aku lama sikit.” Iskandar menyahut mesra, matanya kelihatan kecil apabila tersenyum.

 Allisya dapat melihat Iskandar memasukan ubat-ubatannya ke dalam sebuah beg sandang berwarna putih. Mata Allisya meliar memandang ke sekeiling kawasan katil Iskandar. Katil dan meja hospital Iskandar dipenuhi dengan pelbagai bungkusan buah-buahan, kotak cokelat dan tupperware makanan dengan pelbagai saiz dan warna. Ramai sungguh yang mengambil berat akan keadaan Panglima kanan MPP USAS itu. Pasti mereka semua telah melawat Iskandar pagi tadi.

 Allisya tidak hairan sangat kerana orang sebaik Iskandar pasti disenangi dan disayangi ramai.  Allisya tertarik melihat tong gas oksigen yang terletak di sisi katil Iskandar. Jantung Allisya terasa sedikit cemas. Pasti keadaan Is teruk malam tadi sehinggakan dia memerlukan alat bantuan pernafasan.

Iskandar mula sedar akan kewujudan Allisya dan Raihana, lalu menegur, “Raihana dengan Allisya pun ada sekali?” Mereka berdua hanya tersenyum dan mengangguk. 

“Jemputlah duduk dulu. Saya sedang berkemas. Ah ya, jemputlah makan, ni semua kawan-kawan USAS juga yang bawa. Mereka semua ingat saya stay di hospital ni lama lagi.” Iskandar membuka kotak yang berisi cokelat lalu menghulurkannya kepada Allisya dan Raihana.

Mereka berdua menyambutnya dengan mesra. Allisya berasa lega melihat keadaan Iskandar yang telah pulih seperti sedia kala. 

“Terima kasih abang Is.” Ucapan itu dilontarkan Allisya dengan nada yang sangat gembira.
“Sama-sama. Lepas pulang nanti kita pergi melawat ‘kawan-kawan’ kita ya.”
Allisya tersenyum. Kawan-kawan yang dimaksudkan Iskandar itu adalah haiwan-haiwan yang dijaga di bawah persatuan pencinta haiwan USAS. Allisya telah pun mendaftar sebagai ahli. Dia berasa senang bekerja di sisi Iskandar.

Iskandar memandang Zaem yang duduk sedikit jauh dari mereka semua. “Zaem kenapa tak bersuara ni? Malu ya Allisya ada?” Iskandar mengusik, berharap agar Zaem tersnyum. Dia risau melihatkan wajah Zaem yang murung.

Zaem sedikit terkejut dengan usikan Iskandar, namun tidak banyak memberikan kesan terhadap dirinya pada ketika itu. Dia lebih khuatir dengan keadaan Iskandar. Zaem melangkah ke arah Iskandar, tangannya memegang lengan Iskandar. “Maafkan aku Iskandar. Semuanya salah aku. Aku yang buat kau jadi macam ni.” Hatinya dirundum perasaan bersalah yang menggunung. Matanya kelihatan seolah-olah hampir menangis, namun tiada air yang mengalir. Iskandar  kelihatan sedih melihat rayuan Zaem. 

“Tak Zaem. Bukan salah kau. Memang aku ada dengar kebakaran di bilik stor tu atas perbuatan khianat seseorang. Tapi tu cuma andaian pihak keselamatankan? Mungkin sebenarnya atas sebab yang tak disengajakan.” Iskandar memeluk bahu Zaem. Wajahnya masih sayu.

“Tak Is! Jangan nafikan lagi. Aku tau, tu memang perbuatan khianat orang yang nak membalas dendam terhadap aku. Kau pun taukan, aku sahaja yang ada musuh. Mereka sebenarnya nak dapatkan aku, bukan kau Is. Aku tau, aku yang meletakan nyawa kau dan Azim dalam bahaya. Maafkan aku Is… maafkan aku.” Getaran pada suara Zaem seperti ada satu gelombang yang membuatkan hati Raihana dan Allisya turut merasa sedih. Iskandar menggeleng. Dia menggosok-gosok rambut Zaem yang disikat kemas itu, bersepah-sepah jadinya. Layanan Iskandar terhadap Zaem saling tak tumpah seperti layanan seorang abang terhadap adiknya.

“Sudahlah, jangan fikir bukan-bukan lagi. Aku pun tak apa-apa Zaem. Benda dah lepas. Lagi pun ada hikmahnya juga. Lepas ni mesti pihak universiti akan ketatkan lagi kawalan keselamatan dalam kampus. Kan baik kesannya untuk keselamatan mahasiswa kita.” Iskandar memujuk hati Zaem yang sedang dikuasai perasaan bersalah itu. Zaem cuba sedaya- upaya untuk senyum agar dapat menyenangkan hati Iskandar. Begitulah Iskandar, sentiasa memandang setiap kejadian pasti ada hikmahnya. 

Allisya terharu melihatkan kemesraan yang ditunjukan kedua-dua sahabat itu. Betapa indahnya persahabatn itu apabila ada yang terluka, pasti ada yang merawatnya, dan apabila ada yang kecewa pasti ada juga yang memujuknya.

Azim yang berdiri di sudut dinding hanya memerhati. Fikirannya sedang ligat berfikir. Dia cuba mencari kepastian, siapa yang mungkin tergamak membahayakan nyawa mereka bertiga. Stor yang terbakar itu betul-betul terletak bersebelahan dengan bilik mereka. Ternyata sasaran pengkhianat itu adalah mereka bertiga. Hati Azim kuat merasakan kejadian yang terjadi itu ada kaitan dengan ugutan yang diterima oleh Zaem sebelum ini. Mungkin ini adalah amaran pertama untuk mereka agar lebih berhati-hati. 

Azim berfikir lebih mendalam. Dia harus segera melakukan siasatan lanjut. Jika tidak, nyawa sahabat-sahabatnya akan terus berada dalam keadaan yang bahaya. Lebih teruk, nyawa Allisya mungkin akan turut terancam sekali sekiranya dia terus berdampingan dengan Zaem dan Iskandar. Dia yakin, Zaem pasti akan meluahkan perasaannya terhadap Allisya tidak lama lagi. Allisya mudah sahaja akan menjadi sasaran baru untuk menghancurkan Zaem.

 Azim menjeling kepada Iskandar. Iskandar faham maksud disebalik jelingan itu. Dia memandang wajah Zaem dan Allisya. Sesuatu harus dilakukan demi kebaikan mereka.

Nani NA

No comments:

Post a Comment