Monday 5 September 2011

BAB 20: AMPUNKAN PATIK PUTERI



            Zaem sedang membelek-belek selendang yang berwarna-warni di sebuah butik yang terletak berdekatan dengan kampusnya. Sesekali, Zaem menjerling jarum jam di tangannya.

            “Dah lewat sepuluh minit ni. Mana puteri beta ni?” Zaem menjadi tidak tenang apabila memikirkan sebab-sebab kukuh mengapa Allisya masih belum tiba lagi di tempat yang dijanjikan.

            Zaem merupakan seorang yang sentiasa mengejar masa memandangkan dia sendiri sibuk dengan pelbagai urusan rasmi universiti serta jadual kuliahnya sendiri. Dia memang pantang jika orang tidak menepati masa terutamanya tanpa sebab yang munasabah. Sebab itulah dia suka mendenda mana-mana pelajar yang lewat tiba ketika menghadiri majlis rasmi USAS.

            Zaem kembali menyambung membelek selendang-selendang tadi. Matanya terpesona memandang satu selendang bercorak floral berwarna kuning yang sedang disangkutkan bersama selendang-selendang lain. Pantas sahaja ia dicapai oleh tangan pemuda itu. “Cantik sungguh, sesuai sangat dengan Allisya.”

            “Zaem beli untuk siapa tu?” Mendengarkan sahaja suara ayu gadis yang menyapa itu, Zaem segera menoleh seraya berkata, “ berapa kali saya pesan, awak tak boleh lewat!”

            Walaubagaimanapun, Zaem yang ingin meletus dan meluahkan rungutannya yang tersimpan di hati itu terkejut apabila melihatkan wajah gadis yang baru sahaja menegurnya sebentar tadi. 

            “Faz…Fazura?” Suara Zaem terputus-putus apabila menyebut nama gadis itu.

            “Ya Zaem, kenapa? Terkejut nampak Faz? Zaem tengah tunggu siapa, Faz ke? Kalau betul maaflah, Faz tak tahu. Kalau Faz tahu, awal-awal lagi Faz dah sampai.” Gadis muda itu mengukirkan senyuman kepada Zaem. Zaem tersengih sahaja mendengarkan kata-kata Fazura. Tanpa dia sedari, peluh sudah pun mengalir di dahinya.

            “Lama ke Zaem tunggu Faz? Kenapa Zaem nak jumpa Faz?”

            Zaem terdiam. Jujurnya, tidak pernah terfikir pun di benak fikiran dia akan menemui gadis itu di sini. Zaem berkira-kira akan ayat yang sesuai untuk dituturkannya agar tidak melukai hati Fazura.

            “Sebenarnya… Zaem nak tanyakan khabar Fazura, sebabnya lama dah kita tak berjumpa. Faz sihat?”
            “Sihat! Zaem buat apa di sini?” Fazura menjawab ceria, malah sempat pula bertanyakan soalan kepada jejaka itu. Mata gadis itu tertarik melihatkan selendang yang sedang dipegang oleh Zaem.

            “Zaem belikan hadiah untuk Faz ke?” Zaem terkejut mendengarkan kata-kata Fazura itu. Dia terlalu terkejut sehinggakan tidak mampu mengeluarkan kata-kata untuk menjawab soalan Fazura.

            “Zaem dari dulu memang romantik. Macam mana Zaem boleh ingat tarikh lahir Fazura?”
            Zaem hampir sesak nafas mendengarkan kata-kata Fazura itu. Kali ini, Zaem kini dua kali ganda lebih terkejut dari tadi. Sejak bila pula dia merancang untuk datang ke mari semata-mata ingin membelikan Fazura hadiah? Paling mengejutkannya adalah, dia sendiri tidak pernah mengetahui tarikh hari ulang tahun kelahiran Fazura.

            “Sebenarnya Zaem memang datang sini nak beli hadiah…” Zaem kini terperangkap dengan kata-katanya sendiri. Dia memang datang ke mari untuk membeli hadiah, tetapi hadiah yang ingin dibeli adalah untuk Allisya.

            “Hari jadi Faz sama dengan tarikh malam kebudayaan USAS yang akan diadakan tak lama lagi tu. Nanti Faz pakai hadiah yang Zaem berikan pada malam tu ya. Zaem datangkan?” Fazura memintal-mintal helaian halus rambut hitamnya. Suaranya kedengaran manja seolah-olah sedang memikat pemuda itu.

            Zaem masih tersengih seperti kerang busuk, hendak senyum dia tidak terdaya. Dia bagaikan sedang menggali kuburnya sendiri. “Insya’Allah, Zaem memang kena datang.”

            Fazura tersenyum mendengarkan jawapan Zaem. “Mestilah MPP utama USAS wajib datangkan, nanti apa pula kata orang.”
            Zaem masih berusaha sedaya-upayanya untuk senyum. 
            “Fazura…” Suara Zaem bernada perlahan.
            “Ya, kenapa Zaem?”
            “Maafkan Zaem atas peristiwa yang lalu.”

            Fazura menggeleng sebaik mendengar kata-kata pemuda itu. Dia lantas menjawab, “tak Zaem, Zaem tak salah. Faz buat macam tu bukan kerana salah Zaem. Faz mengaku, Faz tertekan dengan masalah ayah Faz dan pelajaran Faz sendiri. Faz yang patut minta maaf sebab sekarang ni nama Zaem pun dah terlibat sekali. Faz tak sangka, Abang Farid marah sampai sanggup datang serang Zaem.”

            Zaem tunduk. Dia masih berasa bersalah di atas peristiwa yang menimpa gadis itu. Bukan niatnya untuk mengecewakan gadis tersebut. Kalaulah dia memilih takdir lain, memilih untuk menerima Fazura dalam hidupnya, pasti cintanya kepada Allisya tidak akan pernah berputik. 

            Zaem mungkin sekali masih kurang matang dalam soal cinta, tetapi Zaem tahu membezakan di antara rasa kasihan dan cinta.

            “Fazura, boleh kita mulakan dari kosong? Kita berkawan seperti dulu-dulu?”
            Fazura terhenti dari mengukirkan senyuman. 

            “Zaem, kita memang sentiasa berkawan dan kita juga tak pernah bermusuhan. Tapi, perasaan Faz pada Zaem tak akan pernah berubah. Faz sanggup tunggu Zaem selama mana pun. Ingat tak lagi memori yang sama-sama kita bina dahulu? Faz tahu, jauh di sudut hati Zaem, masih tersimpan nama Faz.”

            Zaem mengeluh hanya di dalam hati. Kalaulah dia dapat menyatakan kepada Fazura bahawa dia tidak pernah menyimpan perasaan terhadap gadis itu, apatah lagi menyintainya. Zaem tidak menafikan, dia pernah terkesima melihat kecantikan gadis itu sewaktu pertama kali bertentang mata dengannya. Namun, itu bukan namanya cinta. Nafsunya sebagai seorang lelaki biasa, pasti sahaja mudah tertarik dengan kecantikan dunia, terutamanya wanita. Zaem masih mentah pada ketika itu, sehinggalah dia menemui Allisya. Fazura mungkin serba-serbinya lebih daripada Allisya, apatah lagi dia mengenali gadis ayu berambut pendek paras bahu itu lebih awal dari Allisya. Fazura seorang gadis yang cantik dan lemah lembut orangnya. Manakala Allisya? 

Allisya adalah gadis kecil yang kelihatan kekampungan dan garang pula orangnya. Namun, ada satu kelebihan yang ada pada Allisya tetapi tidak pada Fazura. Sesungguhnya Allisya telah memiliki hati Zaem, walaupun tanpa gadis itu perlu merayu kepadanya. Kedegilan dan kesombongan Allisya membuatkan Zaem lebih terpikat pada gadis itu. Begitulah naluri seorang lelaki, lebih suka mengejar burung yang sedang terbang tinggi di langit biru, berbanding daripada menerima itik yang menyudu mengejarnya di atas tanah rata. Lelaki lebih mudah tertarik kepada gadis yang menjual mahal, bukan kepada gadis yang hanya tahu merayu menagih kasih. Setiap lelaki pasti akan mengerti perasaan ini.

              “Zaem! Kenapa awak ganggu waktu kelas saya? Siap paksa-paksa saya datang ke mari pula. Awak tahu tak saya ada banyak lagi kerja yang nak disiapkan, dan saya tak ada kereta besar macam yang awak ada untuk bergerak kemana-mana sesuka hati! Awak ingat, awak tu ketua MPP, awak boleh senang-senang mengarah-ngarahkan saya ke?” Suara Allisya muncul bagaikan puting beliung yang menyerang Amerika Utara, lalu menyentak Zaem dan Fazura yang sedang kekok membisu.

            “Allisya…” Zaem bersuara sambil menepuk dahinya. Baru dia sedar, dahinya sudah pun terlalu banyak dibasahi dengan peluh berikutan dengan tekanan yang sedang dihadapinya.

            “Allisya?” Fazura pula bersuara melahirkan persoalan yang bertandang di hatinya.

            Allisya sendiri terkejut apabila menyedari kehadiran Fazura di butik itu. Dia terpinga-pinga. Adakah Zaem turut berjanji untuk bertemu dengan Fazura, kekasih lamanya itu? Atau adakah dia telah tiba pada waktu yang salah? 

            ‘Allisya, kenapalah awak muncul pada waktu ni? Macam ni boleh meletus perang dunia ketiga.’
            Zaem cuba menyampaikan pesanan tersebut melalui renungan matanya kepada Allisya. Allisya yang memandang berasa hairan mengapa retina mata Zaem yang berwarna coklat cair itu membulat dan membesar sampai begitu sekali. Mata menggoda yang menjadi pujaan ramai itu sekejap sahaja sudah bertukar menjadi seperti mata hantu. Takut Allisya dibuatnya. Allisya kurang mengerti akan renungan itu, namun apa yang pasti, mereka bertiga sedang berada dalam keadaan yang paling janggal pernah dirasai Allisya sendiri.

            “Awak ni pelajar sains hari tukan? Allisya bukan? Apa yang awak buat di sini?” Fazura akhirnya bersuara memecah kesunyian yang menyelubungi mereka bertiga. Zaem menelan air liur, dibiarkan sahaja peluh di dahinya mengalir. ‘Apa yang harus aku lakukan?’ Buat pertama kalinya, bakal peguam dan pemimpin berkaliber kebanggaan USAS itu hilang akal. Dia bukan tidak berani bertindak, tetapi dia takut. Dia takut kesilapannya dalam berkata-kata akan mengakibatkan peristiwa lama berulang kembali. Sesungguhnya, pedang yang tajam pun tidak akan mampu membunuh jiwa manusia sebanyak kata-kata tajam yang dilafazkan oleh bibir manusia itu sendiri.

            Allisya terdiam. Dia ingin segera menjawab persoalan yang dilemparkan oleh Fazura, tetapi dia takut. Dia takut dia mungkin akan tersilap memberikan jawapan dan paling ditakutinya adalah untuk menipu gadis yang tidak bersalah itu.

            “Saya…saya…” Allisya masih cuba mencari jawapan terbaik. Zaem hanya mampu berdoa agar jawapan yang diberikan Allisya tidak akan melukai hati Fazura.

            “Saya…” Allisya tunduk. Dia terpaksa memberitahu juga perkara sebenar. Mungkin itu adalah jalan yang terbaik.

            “Allisya datang ke mari nak jumpa aku. Kami rancang nak beli barang untuk aktiviti kelab Permata Hati.” Satu suara datang dari belakang Allisya, mencelah perbualan mereka bertiga. Allisya segera menoleh ke arah datangnya suara tersebut.

            “Abang Azim?” Allisya sendiri bagai tidak percaya dengan apa yang sedang dilihat oleh matanya.
            “Kenapa datang ke sini? Kitakan nak ke kedai buku. Dah jom!” Azim memberi arahan dengan nada suara yang agak keras kepada Allisya. Allisya terpinga-pinga, tetapi tetap mengangguk. Sejak bila pula mereka berjanji untuk bertemu?

            “Oh, Allisya keluar dengan Azim ya? Wah, tak sangka kamu ni rapat dengan orang sepopular Azim ni ya Allisya!” Fazura yang pada awalnya mengesyaki sesuatu kini sudah pun merasa lega. Dia tersenyum lebar melihatkan kehadiran Azim yang datang menyapa.

            Zaem terduduk di atas kerusi berdekatan. Dia menghela nafas lega. Azim datang tepat pada waktunya. Azim memang seorang sahabat yang baik, tiada bezanya dengan Iskandar.

            “Dah, tunggu apa lagi tu? Jom Allisya, saya tak ada banyak masa ni!” Azim tidak memperdulikan teguran Fazura. Dia melangkah pergi memberikan arahan kepada Allisya. Allisya yang masih terpinga-pinga terpaksa mengikuti Azim tanpa banyak soal. Hendak memberi arahan pun dah tinggi-tinggi suara, inikan pula kalau betul-betul mengamuk. Boleh pengsan Allisya menahan tengkingan jejaka itu.

              Allisya berlari-lari kecil mengekori Azim. Mengapa Azim berjalan begitu pantas? Mungkinkah kerana dia mempunyai stamina yang tinggi memandangkan dia merupakan atlet hebat negara. Sebaik mendekati jejaka itu, Allisya mendengar semula suara Azim.

            “Jangan ikut dekat-dekat sangat, nanti orang sebarkan gossip yang bukan-bukan.”
            Allisya menarik muka, mengejek kata-kata Azim.

            “Jangan ingat awak ada dekat belakang saya, saya tak nampak apa yang awak buat.” 

            Allisya tersentap di dalam hati. Dia berjalan dengan penuh sopan dan mengikut kata. Jantungnya masih berdebar-debar bila berhadapan dengan bintang sukan pujaan hatinya itu. Maklumlah, berjalan dengan orang popular ini, lain perasaannya.

            “Abang Azim, kenapa tadi abang muncul beri jawapan macam tu pada Kak Fazura?” Allisya bertanya, masih mengikuti Azim dengan penuh tertip. Dia sendiri tidak memahami mengapa dia harus mengikuti Azim. Bukannya mereka memang perlu membeli barang bersama pun.

            “Faz tu orangnya sensitif. Tengokan gaya kamu, nampak sangat kamu nak berikan jawapan yang menyakitkan hati dia. Kamu ingat apa yang akan Fazura rasa kalau dia tahu lelaki yang dia suka dan sanggup korbankan nyawa kerananya itu sebenarnya ada kekasih hati lain? Lebih baik saya tarik kamu keluar dari perbualan mereka.” Azim menjawab tenang tanpa mengukirkan senyuman.

            “Tapi saya bukan kekasih Zaem!” Allisya menjawab keras menguatkan kenyataan sebenar tentang hubungannya dan Zaem.

            “Jadi kenapa kamu tergedik-gedik melayan Zaem? Siap nak berjumpa lagi.” Azim pula bertanya. Pertanyaannya juga penuh dengan perlian. Allisya terdiam mendengarkan kata-kata Azim. Dia sendiri pun tidak mengerti, mengapa dia sukar menolak permintaan jejaka bernama Muhammad Nur Zaem itu.

            “Allisya, kalau kamu tak sukakan Zaem, jangan sesekali berikan harapan palsu. Kamu suka agaknya kalau satu hari nanti pula kamu dengar berita tentang kematian Zaem yang cuba bunuh diri kerana cinta.” Azim meneruskan kata-kata sinisnya. Allisya hanya memandang. Tajam juga mulut Azim ni ya, patutlah selama ni dia diam sahaja. Rasanya lebih baik lelaki itu diam dari terus berkata-kata semata-mata untuk marah dan memerli orang lain.

            “Saya cuma nak berkawan seperti biasa dengan Zaem. Tak akanlah berkawan pun tak boleh.” Allisya tunduk sambil memuncungkan bibirnya. Entah mengapa, berani benar dia merajuk di hadapan panglima USAS yang paling garang itu.

            Azim membiarkan sahaja Allisya berperangai sedemikian rupa, tidak terusik langsung hati lelakinya untuk memujuk gadis yang bersifat kebudak-budakan itu. ‘Perempuan memang macam tu. Mengada-ngada je lebih. Dia ingat aku ada masa nak pujuk dia!’ Getus hati pemuda tinggi berkulit sawo matang itu. 

            Matahari semakin meninggi, Allisya sudah tidak tahan dengan kepanasan yang dirasainya, lantas dia mengeluarkan payung lipatnya dari dalam beg. 

            “Buat apa buka payung waktu cerah-cerah macam ni? Bukan hujan pun, mengalahkan puteri lilin.” Azim memerli lebih sinis.

            “Biarlah, nanti demam panas pula berjemur dalam panas terik ni.” Allisya langsung tidak mengambil hati dengan kata-kata Azim itu. Dia juga sudah semakin berani menjawab kata-kata pemuda yang dianggapnya garang seperti singa itu. Allisya cuba membuka payungnya, namun terasa seperti tersekat pula.

            “Kenapa pula tak boleh buka ni?” Allisya berusaha membuka payungnya, namun masih tidak terdaya. Adakah payung tersebut sudah berkarat setelah sekian lama tidak digunakan?

            “Kalau tolak macam tu sampai bila pun tak terbuka!” Azim seperti hilang sabar melihatkan gaya Allisya membuka payung yang entah macam apa itu. Agaknya memang semua budak perempuan macam ni? Tetapi setahu Azim, Allisyalah orang yang paling cepat gelabah yang pernah dikenalinya.

            “Mari saya bukakan, kalau tak sakit mata saya tengok gaya pelik awak tu.” Azim merampas payung di tangan Allisya. Allisya merelakan sahaja perbuatan pemuda itu, dia pun tak berani nak mencari pasal dengan Azim.

            Azim cuba membuka payung tersebut perlahan, namun tidak pula terbuka. Lalu, dia merentap payung itu sedikit kuat sehingga payung itu terbuka. Tetapi malangnya, hasil dari sentakan yang kuat, payung itu pula terkoyak. Azim terdiam, memang tidak dinafikan, Azim mempunyai kekuatan tangan yang tinggi dan dia sendiri memang tidak dapat mengawal kekuatannya sendiri. Sebab itulah sewaktu sekolah dahulu dia pernah menyebabkan seorang pelajar patah semua gigi dan dikejarkan ke hospital hanya dengan satu tumbukan. Nampaknya, menjadi kuat itu adalah salah satu kelemahan diri Azim kerana dia sendiri tidak mampu mengawalnya.

            “Abang Azim! Kenapa abang koyakkan payung saya? Abang tak boleh buka perlahan-lahan ke?” Buat pertama kalinya, Allisya berani meninggikan suaranya. Dia merasa sedih apabila melihat payung berharga pemberian guru sekolahnya itu koyak begitu sahaja di tangan Azim. Itulah satu-satunya barang kenangan yang mengingatkannya pada Cikgu Asiah setelah guru itu berpindah dan tidak lagi dapat dihubungi.

            Allisya cuba merampas kembali payungnya itu, namun Azim menghalang. “Saya tahu macam mana nak betulkan!” Azim sedaya-upaya tidak mahu kelihatan kurang daya di hadapan Allisya. Egonya terlalu tinggi untuk memperlihatkan kelemahannya. Dia sendiri ingin membaiki payung itu. Namun, Allisya kelihatan seperti langsung tidak bersetuju dengan cadangan Azim itu. Allisya menarik payungnya itu dari pegangan Azim. Tetapi Azim tidak pula mahu melepaskanya, malah turut sama menarik dengan kuat.

            Adegan tarik menarik antara dua pelajar USAS itu langsung tidak mendatangkan hasil yang positif. Payung yang menjadi rebutan mereka terlepas akibat rentapan yang kuat daripada kedua-dua belah pihak, lalu terpelanting ke tengah jalan raya. Pada waktu yang sama, sebuah lori meluncur laju di atas jalan raya, lalu menggilis payung pemberian Cikgu Asiah yang menjadi kesayangan Allisya itu.

            Allisya terdiam. Air mata gadisnya hampir mengalir melihatkan kejadian yang dirasakannya amat kejam itu. Payung itu adalah pemberian terakhir guru kesayangannya, dan kini telah pun hancur digilis sebuah lori.  Air mata sudah pun bergenang di bebola matanya, namun dia masih kaku terdiam melihatkan payung kesayangannya yang telah patah dan tergolek diterbangkan angin itu.

            Azim tidak menunjukkan sebarang respon, namun jauh di sudut hatinya dia berasa sangat menyesal dan bersalah. Dia tidak menyangka bahawa keegoannya itu akan menyebabkan gadis tersebut terluka. Azim benar-benar berharap agar Allisya tidak menitiskan air matanya sekali lagi di depan Azim. Dia bukanlah pemujuk yang terbaik. Entah mengapa pada waktu itu, Azim pula yang merasa rindu kepada Iskandar dan Zaem, mengharapkan mereka datang untuk membawa pergi Allisya sebelum gadis itu melalak di khalayak ramai.  

            “Payung saya…payung saya dah patah, hancur pula tu. Tulah satu-satunya payung yang saya ada. Macam mana lepas ni kalau hari hujan? Takkanlah saya kena redah hujan balik kuliah?” Allisya berkata-kata dengan nada yang sayu. Hatinya luluh melihatkan peristiwa pemergian payung kesayangannya itu.

            Azim mengeluh panjang. Kenapalah mesti ada sahaja masalah yang timbul apabila dia bersama gadis itu?

            “Janganlah merungut. Nanti saya ganti!” Azim cuba memujuk Allisya, namun suaranya meninggi seperti hendak memarahi gadis itu pula. Apa lagi, air mata yang cuba ditahan Allisya dari tadi akhirnya mengalir juga dari mata gadis itu.

            “Maafkan saya, saya tak sengaja. Berilah peluang saya tebus kesalahan saya. Saya janji akan gantikan payung kamu tu.” Azim cuba memujuk dengan nada yang rendah.

            “Tapi payung tu tak sama dengan payung lain. Payung tu pemberian orang istimewa.” Allisya menjawab dalam sedunya. Allisya turut menambah untuk memuaskan hatinya yang terasa sedang sakit itu, “kalau hujan turun, abang sanggup ke datang jemput saya dengan payung? Tak bukan?” Akhirnya Allisya turut memperlihatkan kegarangannya sendiri. 

            “Saya sanggup!” Azim menjawab tanpa banyak fikir. Dia memang pantang sekali dicabar.

            Allisya yang sedang menangis seperti budak-budak itu terhenti dari tangisannya, malah ternganga seolah-olah sedang melihat salah satu keajaiban dunia.

            “Saya tahu, saya betul-betul minta maaf. Baiklah, demi menunjukan keikhlasan hati saya untuk memohon maaf, saya akan datang menjemput kamu balik dari kuliah dengan payung setiap kali hujan turun seperti yang kamu cadangkan.” Azim melafazkan kata-kata yang membuatkan Allisya terkejut. Azim sendiri juga terkejut apabila menyedari apa yang dikatakan oleh dirinya sendiri itu. Macam mana pula dia boleh terperangkap dengan idea yang melalut itu?

            “Abang Azim? Abang janganlah bergurau pada waktu-waktu macam ni.” Allisya pula dengan beraninya memerli pemuda itu.

            Azim yang tinggi egonya itu merasa tercabar apabila mendengar Allisya mengambil kata-katanya itu sebagai satu gurauan semata-mata. “Tak, saya tak bergurau! Saya janji akan menyambut kamu di depan fakulti bila hujan turun. Saya mungkin cuma ada di kampus sepanjang hari hanya pada hari Selasa dan Khamis. Hari lain saya banyak buat latihan di luar. Tapi saya janji, saya akan muncul bersama payung baru untuk menjemput kamu sekiranya hujan turun pada kedua-dua hari tersebut. Saya akan menyambut kamu dan menghantar kamu ke perhentian bas berdekatan. Anggaplah ini sebagai denda kamu pada saya. Kamu percaya tak kata-kata saya ni?” 

            Allisya terdiam mendengarkan cadangan Azim itu. Belum pernah dia melihat orang yang begitu bersungguh-sungguh ingin meminta maaf. Sampai begitu sekali Azim ingin menunjukkan keikhlasan hatinya? Tinggi betul ego lelaki itu sampai nak meminta maaf pun nak buktikan secara berlebih-lebihan. Macamlah dia itu lelaki yang hebat sangat. Mampu ke Azim mengotakan janjinya? Janji yang dibuatnya itu bukan sebarang janji yang pernah seorang lelaki buat.

            “Abang Azim sihat ke?” Allisya dengan berani mengajukan soalan itu kepada Azim.

            “Saya sihat dan saya tak main-main dengan kamu! Kamu jangan sangka saya tak mampu kotakan janji saya! Saya akan lakukannya setiap minggu bermula dengan minggu ni, iaitu pada setiap hari Selasa dan Khamis!” Walaupun nada suara Azim kedengaran tegas dan bersungguh-sungguh, namun sebenarnya dia merasa takut dengan janji yang dibuat sendiri olehnya itu. Kenapalah dia termakan dengan cabaran gadis itu. Akhirnya dia sendiri yang menempah maut.

            Allisya hanya mendiamkan diri. Dia boleh sahaja menolak pelawaan Azim itu, tetapi entah mengapa, dia enggan melakukannya. Allisya seperti merasa teruja dengan janji yang dilafazkan Azim itu. Dia bagaikan merasa begitu istimewa apabila diberikan janji seistimewa itu oleh pemuda yang menjadi idola ramai tersebut. Allisya ingin melihat sendiri, adakah Azim mampu mengotakan janjinya?   

            “Apa yang kamu berdua buat ni, berdiri di tepi jalan raya?” Zaem yang sudah lama hilang dari pandangan mata mereka muncul kembali menyapa. Dia kehairanan melihat kedua-dua insan penting dalam hidupnya itu sedang berdiri kaku di tepi jalan raya dengan keadaan cuaca yang sangat terik itu.

            “Zaem, apa yang buat kau lama sangat di kedai tu?” Azim kelihatan seperti hendak memarahi Zaem sahaja. Kalaulah Zaem muncul lebih awal sedikit, pasti dia tidak sempat memeterai janji yang hanya akan memakan dirinya itu.

            “Maaflah Zim, Faz nak berbual dulu dengan aku tadi, sebab tulah aku tak boleh lepaskan diri awal. Terima kasih ya Zim sebab tolong aku.”

            “Aku bukan tolong kau pun. Aku cuma tak nak kau menyusahkan aku lagi.” Azim mula mengangkat kaki untuk pergi. Kemudian dia sempat menyampaikan pesanan terakhirnya, “Allisya, ingat janji tu. Saya pasti akan kotakan.” Allisya hanya mendiamkan diri mendengarkan kata-kata Azim itu. Dia terpinga-pinga melihatkan pemuda itu melangkah pergi meninggalkannya bedua dengan Zaem.

            “Janji? Janji apa ni? Wah, ini sudah melampau Zim, kau jangan lebih-lebih dengan Allisya!” Zaem mula merasa tidak sedap hati mendengarkan kata-kata Azim tadi. Baru sahaja dia membiarkan Azim dengan Allisya berdua-duaan untuk beberapa minit, mereka sudah pun mengikat janji. Ini belum lagi ditanya apa yang berlaku pada hari mereka sesat bersama dalam hutan sebelum ini. Pada ketika itu, perasaan cemburu mula menyerang Zaem.

            “Azim!” Panggilan Zaem itu langsung tidak diendah, malah Azim sengaja pura-pura tidak mendengar panggilan sahabatnya itu.

            “Allisya, awak jangan cuba-cuba nak pikat kawan baik saya sendiri. Awak tahukan saya sukakan awak.” Zaem kembali kepada Allisya. Jika dia tidak dapat menghalang Azim, dia masih boleh memberi amaran kepada Allisya.

            “Amboi, mulut awak tu jaga sikit ya Zaem. Saya tak ada masa nak pikat lelaki-lelaki poyo macam kamu berdua ni. Saya lebih rela terjun bukit!” Allisya hampir meledak mendengarkan tuduhan Zaem itu.

            “Kalau tak ada apa-apa baguslah. Lega hati saya. Ni saya ada barang untuk awak. Simpan dulu barang ni, buka di bilik.” Zaem sudah mula bernada ceria seperti sedia kala. Dia menghulurkan beg kertas yang dikatup rapat dibahagian mulutnya. Allisya tidak dapat melihat barang apa yang diberikan oleh Zaem itu, namun dengan pantas dia membalas, “tak mahulah! Saya tak sukalah awak beri saya hadiah ni. Awak ingat saya ni peminta sedekah ke?”

            “Ambil sahajalah. Barang ni ada kaitan dengan malam kebudayaan yang akan diadakan di universiti kita nanti. Lagi satu, awak janganlah perasan dan anggap ni macam hadiah kekasih, saya berikan awak benda ni pun sebab khas untuk malam kebudayaan tu. Kalau awak tak ambil saya buangkan je ke longkang. Awak nak macam tu? Tak baik membazir tau, membazir tu amalan syaitan.” Zaem membebel bagai seorang ayah yang sedang memarahi anak perempuannya.

            “Kalau dah tahu amalan syaitan kenapa awak membazir pergi beli benda ni?” Allisya membalas semula kata-kata Zaem.

            “Sudahlah Allisya, jangan cari gaduh lagi. Saya penatlah bergaduh dengan awak. Penat saya kerja pun belum habis lagi ni. Lepas ni saya ada mesyuarat MPP lagi. Ambillah.” Zaem secara tiba-tiba bernada serius. Suaranya kedengaran matang, tidak lagi seperti budak-budak yang sedang membebel. 

            Buat seketika, Allisya merasa kasihan melihat Zaem yang kelihatan masih keletihan dan berpeluh pula akibat dari peristiwa tadi. Allisya tahu, Zaem seorang yang sibuk. Dia pernah dengar Kak Nik Ain sendiri mengatakan bahawa Zaem terlalu sibuk sehingga kadang-kadang dia sendiri tidak sempat menjamah makanan. Lelaki itu tidaklah seteruk mana yang disangkakan oleh Allisya kerana Allisya telah berulang-ulang kali mendengar orang ramai memuji-muji di atas jasa-jasa yang pernah dicurahkan oleh Zaem sepanjang menjadi wakil dan pemimpin mahasiswa di USAS. 

Mungkin benar kata Iskandar, semakin lama, dia akan semakin mengenali diri Zaem. Allisya dapat merasakan, perkembangan hubungannya dan Zaem sedang menuju ke arah yang positif. Allisya mengambil barang pemberian Zaem itu dengan hati yang terbuka.

Nani NA

No comments:

Post a Comment