Sunday 18 December 2011

BAB 36: SEBENARNYA…



            “Iskandar, kau dah lama sampai bilik?” Azim melangkah masuk ke dalam biliknya. Dia menghempaskan badannya sebaik menanggalkan pakaiannya yang basah.
            “Tak juga. Baru je.” Iskandar kelihatan sedang duduk menulis di atas meja bacaannya. Pemuda itu sedang mengulangkaji.
            Azim kehairanan mendengar suara Iskandar yang seakan berubah.
            “Kau tak apa-apa Is? Kau sakit ke?”
            Iskandar hanya mampu mengukirkan senyuman. Secara fizikalnya, Iskandar kelihatan sihat, namun secara dalamannya, hatinya sedang terluka.
            “Aku jumpa Allisya tadi. Dia kirim salam pada kau.”
            “Wa’alaikumussalam. Allisya sihat Zim?”
            Azim memandang ke arah Iskandar. “Kau selalu ambil berat pada Allisya. Patutlah Allisya dah anggap kau macam abang dia sendiri.”
            Iskandar tersentak mendengar kata-kata Azim. Jadi selama ini Allisya hanya menganggapnya sebagai seorang abang?

*                      *                      *
            “Allisya, macam mana Sya balik tadi? Kan hujan lebat,” ujar Raihana apabila melihat kepulangan Allisya. Allisya sudah pun memebersihkan diri, malah sedang berehat sambil menyisir rambutnya.
            “Tadi Abang Azim datang, pinjamkan payung.” Jawapan Allisya bersahaja, namun tidak pada Raihana.
            “Allisya balik dengan Abang Azim ke? Bukan dengan Abang Iskandar? Tapi tadi…” Raihana ingin menyebut tentang Iskandar. Sewaktu pulang tadi dia terserempak dengan Iskandar dan kelihatan Iskandar seperti risaukan Allisya. Sangka Raihana, Iskandar yang akan menjemput Allisya pulang, tetapi mengapa pula Azim yang muncul?
            “Tapi apa Rai?”
            “Tak ada apa-apa Sya. Macam mana Sya boleh balik dengan Abang Azim?”
            Allisya hanya tersenyum. Bibirnya bisu, namun hatinya bersiul dengan rasa bahagia. Raihana masih memerhati dengan rasa yang curiga.
            “Rai, Abang Azim tu baikkan? Berani dan sentiasa berpegang teguh pada janji. Jarang ada lelaki yang macam tu. Walaupun dia garang, tapi dia baik.”
            Wajah Raihana berubah sebaik mendengarkan kata-kata Allisya, “Sya ada apa-apa ke dengan Abang Azim?”
            “Mada ada Rai! Sya tak ada hubungan dengan sesiapa pun, terutamanya dengan Abang Azim.”
            “Tapi Allisya minat diakan?” Raihana mula berasa sangsi.
            “Minat sebagai peminat bola sepak jelah. Tak akan lebih daripada itu. Abang Azim tu bintang, Allisya tak akan menyimpan mimpi untuk mengait bintang. Semua tu mustahil!”
            “Maksudnya Allisya masih sukakan Abang Iskandar?”
            “Rai, bukan ke hati Abang Is dah dimiliki. Walaupun Sya tak tahu siapa, tapi Sya sentiasa doakan agar Abang Is akan bahagia dengan pilihan hati dia.” Allisya merenung ke dalam cermin yang diletakan di atas mejanya. Wajah manis pemuda tersebut bagai terbias di cerminya itu.
            “Sya dah berjaya lupakan Abang Is?”
            “Tak, Sya tak pernah lupakan Abang Is. Dia istimewa. Cuma kali ini Sya dah boleh terima hakikat, Abang Is bukan cinta Allisya.” Allisya mengukirkan senyuman. Dahulu, apabila menyebut tentang cintanya terhadap Iskandar, hatinya akan merasa sayu kerana menahan cinta yang tidak berbalas. Namun kali ini, Allisya sudah mampu tersenyum.
            Raihana memandang wajah Allisya. Gadis bercermin mata itu masih tidak senang dengan jawapan Allisya. Hatinya merasa kecewa apabila mengetahui Allisya semakin akrab dengan Azim. Allisya sudah dapat menerima hakikat bahawa Iskandar bukan takdirnya, tetapi mengapa pula Allisya kini memuji-muji Azim? Bukankah Allisya sepatutnya bersama Zaem? Pemuda itu telah banyak berkorban untuk Allisya. Adakah Allisya masih buta dengan keikhlasan hati Zaem? Raihana benar-benar kecewa. Selama itu dia sanggup menahan hatinya daripada terus menyimpan perasaan terhadap Zaem kerana dia tidak mahu mengganggu kebahagian sahabatnya itu. Bagi Raihana, Zaem diciptakan untuk Allisya. Tetapi malangnya, Allisya pula telah mempersiakan pengorbanan perasaan yang dibuatnya itu.
            “Tapi macam mana dengan Abang Zaem? Kenapa Allisya cakap Allisya tak ada hubungan dengan sesiapa pun? Habis tu siapa Abang Zaem selama ni pada Allisya?”
            “Rai, tolonglah jangan salah sangka. Kami tak pernah ada apa-apa hubungan. Kami sekadar kawan biasa. Itu pun dulu. Sekarang kami tak lebih pun dari orang asing.” Allisya mula menarik muka masam. Dia makin menyampah apabila berbicara tentang Zaem, pemuda yang hanya tahu menyakitkan hatinya itu. Kenapa orang lain suka menyangka mereka ada hubungan istimewa? Ini semua salah Zaemlah. Berani sungguh dia membuat pengumuman di khalayak ramai, selepas itu dengan mudah sahaja pemuda itu menghalau Allisya pergi daripada hidupnya.
            “Allisya,  Abang Zaem sukakan Sya dan dia sayangkan Sya! Sya masih tak nampak lagi? Kenapa Sya abaikan Abang Zaem? Sya memang sengaja nak mainkan perasaan  Abang Zaem ke?”
            “Bukan Sya yang mainkan perasaan dia, tapi dia yang cuba mainkan perasaan Sya! Rai, dia tak akan lukakan hati Sya kalau dia betul-betul sayangkan Sya. Dia tak akan halau Sya macam tu sahaja dari hidup dia. Dia tak akan pijak selendang yang dia berikan pada Sya… Dia cuma tahu sakitkan hati Sya je selama ni! Sya benci lelaki macam tu!” Sikat di tangan gadis itu dilepaskan daripada pengangan. Dia menghempaskan badannya ke katil. Matanya menjadi merah. Kata-kata Raihana membuatkan hati Allisya menjadi sakit. Kenapa Raihana mengajaknya berbicara tentang Zaem? Tolonglah, Zaem hanyalah orang asing!
            Raihana duduk di sisi katil Allisya. Perasaan bersalah lahir dalam hati Raihana. Namun, dia juga tidak suka melihat Zaem bersedih. Dia perlu sedarkan Allisya, betapa Zaem mencintai temannya itu. “Zaem tak terniat Sya. Dia buat semua tu bersebab. Dia buat semua tu demi Allisya.”  
            “Apa maksud Rai? Sedangkan Zaem sendiri benci untuk mengaku yang Sya ni kawan dia, jauh sekali dia nak buat sesuatu demi Sya. Dahlah Sya tak suka cakap tentang dia!” Allisya menutup kedua belah telinganya tanda memprotes.
            “Baiklah, Rai tak akan cakap, tapi Rai akan tunjuk!” Dengan pantas, tangan Raihana mengeluarkan sebentuk rantai kunci daripada sakunya. Buah rantai kunci itu cantik, berbentuk hati dan nama Allisya kelihatan terukir di atasnya.
            Allisya terkedu seketika. Dia bangun dari katil, perlahan-lahan Allisya mengambil rantai kunci itu daripada Raihana. Dibeleknya barang itu lama-lama. Apa tujuan Raihana menunjukkan barang tersebut kepadanya? “Keychain ni untuk Sya ke? Rai beli untuk Sya?”
            Keychain ni memang untuk Sya, tapi bukan Rai yang beri.” Raihana menarik nafasnya dalam-dalam sebelum dia menyambung kata-katanya semula. “Tadi Rai jumpa Abang Zaem. Keychain ni terjatuh daripada saku Abang Zaem waktu dia keluarkan telefon dia daripada poket dia. Rai tak pulangkan terus sebab Rai nak tunjukan pada Sya. Sya, Abang Zaem masih sayangkan Sya. Sebab tu dia masih simpan benda-benda yang ada kaitan dengan Sya. Dan bila Rai sebut nama Sya depan dia, muka dia mesti akan berubah jadi sayu. Rai tahu, dia betul-betul sayangkan Sya.”
            Allisya tergamam mendengarkan kata-kata Raihana. Dia masih memerhatikan rantai kunci itu. Kenapa Zaem menyimpan barang berukirkan namanya di dalam poket? Nak buat jampi untuk sihirkan dirinya ke?
            “Dan satu lagi perkara yang Allisya tak tahu. Rai dengar-dengar yang Abang Zaem ada buat laporan polis tentang beberapa surat ugutan. Surat yang mengancam nyawa dia dan orang sekeliling dia!”
            “YA ALLAH! Betul ke Rai? Kenapa dia tak beri tahu kita?” Allisya hampir menjerit apabila mendengarkan kata-kata Raihana.
            “Sya, sebab tulah Rai kata dia sayangkan Sya! Sya tak nampak lagi ke? Dia bukan bencikan Sya, tapi dia takut kalau Sya berdampingan dengan dia, Sya akan dicederakan lagi. Dia terlalu sayangkan Allisya, sebab tu dia tanggung semua masalah dia sendiri!”
            Allisya menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang sedang didengarinya. “Rai…”
            “Sya, tolonglah jangan bencikan Abang Zaem lagi. Dia baik Allisya, dia tak seperti yang Allisya sangkakan. Dia ada banyak masalah, tapi dia tak pernah beri tahu kitakan? Sebab dia tak nak susahkan sesiapa.” Raihana bernada sayu apabila menyebutkan nama Zaem. Gadis itu merasa kasihan apabila mengingati betapa dalamnya cinta Zaem pada Allisya, tetapi Allisya pula membenci pemuda itu.
            “Rai…” Allisya memandang ke arah mata Raihana. Perasaan bersalah lahir dalam hati gadis itu. ‘Benarkah apa yang dikatakan Raihana? Kenapa aku tergamak membenci lelaki itu?’
            “Allisya, kalau betul Abang Zaem nak mainkan hati Allisya, dia tak akan pertahankan Allisya dalam mesyuarat SWM tempoh hari dan dia tak akan suruh Rai bawa Sya pergi sewaktu kejadian ngeri tu. Sya cuba fikir betul-betul!”
            “Rai…Sya nak jumpa Zaem..Sya nak bercakap dengan dia…” Allisya memegang tangan sahabatnya itu. Perasaan bersalah semakin menghimpit jiwanya. Selama ini dia selalu salah sangka pada Zaem. Dia tidak tahu, Zaem menanggung kesusahannya seorang diri. Kenapa Zaem tidak pernah melafazkannya? Tidakkah dia menganggap, Allisya juga adalah kawannya?
           
*                      *                      *

            Angin bertiup lembut, sekali sekala menerbangkan rambut pendek Iskandar. Pemuda itu berwajah sayu. Jari jemarinya menari-nari menutup lubang seruling tuanya itu. Tiupannya lembut, menghasilkan alunan indah yang mengusik kalbu. Iskandar terbang dalam dunianya sendiri, mencari ruang untuk menemui sedikit kekuatan. Kata-kata Azim bagai sedang menikam-nikam hatinya. Ke mana harus dibawa jiwanya yang lara ini?
            Alunan muzik memenuhi ruang angkasa kawasan belakang bukit yang sentiasa menjadi tempat persembunyian pemuda itu. Tempat untuk dirinya mencari ketenangan dan juga tempat untuk dirinya menyelam ke dasar hatinya sendiri.
            Allisya berjalan perlahan di celah-celahan pohon renek yang mengelilingi kawasan bukit kecil itu. Alunan indah yang dimainkan Iskandar menarik hati gadis itu untuk pergi ke kawasan bukit tersebut. Di kejauhan, Allisya memandang ke arah wajah Iskandar. Entah mengapa, hatinya terasa sedih tatkala melihat wajah lembut pemuda itu. Terlihat kesayuan di mata Panglima USAS itu, lantas membuatkan Allisya turut merasakan kesayuan yang sama. Alunan muzik yang dimainkan Iskandar juga tidak segirang selalu, malah bernada sayu sahaja. Semakin Allisya mendengar siulan seruling Iskandar, semakin perasaannya merasa sedih. Siapakah yang begitu kejam, tergamak melukakan hati panglima kesayangannya itu?
            Iskandar tidak menangis, namun siulan seruling tuanya itu sudah cukup mempamerkan perasaannya ketika itu. Dia memejamkan matanya, sehinggalah bunyi patahan ranting pokok menganggu lamunan hatinya.
            “Maaf, saya tak sengaja nak ganggu abang.” Allisya menjadi cuak apabila kehadirannya dikesan oleh Iskandar. Dia tidak sangka, dahan pokok tempat dia berpaut begitu rapuh.
            “Allisya?” Iskandar juga terkejut melihat kehadiran Allisya.
            “Maaf ya Abang Is, saya terdengar bunyi seruling abang, sebab tu saya datang ke mari.”
            “Tak apa.” Iskandar membalas seraya mengukirkan senyuman. Sekejap sahaja kesayuan diwajahnya hilang sebaik dia menutupinya dengan senyuman.
            “Abang Is ada masalah ke?” Allisya datang menghampiri pemuda itu di atas bukit.
            “Kalau abang ada masalah, kongsilah dengan saya. Bukan ke dulu abang pernah cakap, kalau saya izinkan abang tolong saya, suatu hari nanti kalau abang ada masalah, abang pun akan izinkan saya bantu. Saya tak pandai memberi nasihat dan serba kekurangan secara fizikal, tetapi saya akan berusaha membantu selagi saya terdaya.”
            Iskandar tersenyum mendengarkan kata-kata Allisya. Mengapa semakin hari, dia merasa semakin dekat dengan gadis itu. Bagai ada satu ikatan yang membuatkan dia dan Allisya saling mendengar isi hati satu sama lain. Tetapi mengapa, mengapa pula Allisya tidak dapat membaca isyarat cintanya? Adakah kerana cintanya tidak setulus cinta Azim dan tidak sejujur cinta Zaem? Atau memang benar kata Azim, cintanya pada Allisya bukanlah cinta seorang kekasih, tetapi sebenarnya adalah cinta seorang abang kepada adiknya sendiri. Iskandar tidak pernah mempunyai seorang adik, mungkinkah sebab itu dia tidak dapat membezakan perasaan sayang seorang abang dan sayang seorang kekasih?
            “Abang pucat je. Abang tak sihat ke? Dada abang sakit lagi?”
            “Tak Allisya, abang tak apa-apa. Mungkin abang penat sebab seharian abang ada kuliah.”
            “Abang jaga kesihatan ya. Kalau abang sakit, mesti semua mahasiswa USAS risau. Abangkan panglima kesayangan USAS.”
            Iskandar ketawa mendengar kata-kata gadis itu. “Allisya jangan risau, abang akan berusaha jaga kesihatan diri abang. Asalkan Allisya sendiri jaga kesihatan Allisya. Sekarang nikan musim hujan.”
            Allisya tersenyum mendengar nasihat Iskandar. Dia mengangguk tanda faham.
            “Abang Is…”
            “Ya?”
            “Abang ada nampak Zaem tak hari ni?”
            “Tak pula. Tapi rasanya dia ada di kawasan fakulti.”
            “Saya nak jumpa Zaem. Tapi dia tak mahu angkat call saya. Mesti dia sengaja nak mengelak...”
            Iskandar merenung wajah Allisya. Wajah gadis itu kelihatn suram sahaja.“Allisya dah cuba cari di bilik rasmi MPP?” Pemuda itu bertanya, seraya tangannya sibuk menaip mesej di telefon bimbitnya.
            “Dah, tapi dia tak ada. Seharian saya cuba cari dia, tapi tak jumpa.” Allisya mempamerkan wajah risaunya. Perasaan bersalah masih memburunya. Dia ingin bersemuka dengan Zaem dan mendengar penjelasan daripada Zaem sendiri.
            “Allisya…”
            “Ya?”
Iskandar menghulurkan telefon bimbitnya. Allisya segera memandang skrin telefon yang sedang ditunjukan oleh Iskandar itu.
            ‘Kenapa Is?Kau nak jumpa aku ke? Aku ada dekat tepi tasik ni.’
            “Abang…bila abang mesej Zaem?” Allisya masih terpinga-pinga membaca mesej tersebut.
“ Baru sekejap ni, waktu Allisya kata nak jumpa Zaem. Pergilah Allisya, sementara Zaem masih ada di kawasan kampus ni. Tasik tu pun tak jauh dari sini. Allisya naik je basikal abang.”

Allisya memandang wajah Iskandar. Iskandar bukan sahaja mempunyai raut wajah yang nenyejukan hati, malah sifatnya yang sungguh baik membuatkan Allisya semakin mengagumi pemuda itu. “Terima kasih Abang Is. Abang betul-betul memahami!”
            Iskandar hanya tersenyum. Dia gembira melihat wajah gadis itu kembali ceria. Betapa sukarnya untuk dia melepaskan rasa cinta di hatinya itu pergi. Semakin dia memandang Allisya, rasa cintanya juga semakin mendalam. Biarlah dia hanya terus menyimpan perasaan, mencintai hanya dalam rahsia. Bagi Iskandar, selagi Allisya gembira, selagi itulah dia akan merasa bahagia. 
      Nani NA

No comments:

Post a Comment