Sunday 18 September 2011

BAB 24: TERIMA KASIH

 

            Siulan angin mengisi kesunyian yang sedang menyelubungi sekitar kawasan bukit yang terletak di belakang kolej kediaman Nilam. Allisya yang sedang membisu, akhirnya melepaskan perasaan yang ditanggungnya dengan esakan. Air matanya sudah lama membasahi wajah kecil gadis itu. Dia cuba sedaya upayanya menahan esakan, namun tekanan yang dialaminya kini terlalu besar sehinggakan dia tidak lagi mampu berpura-pura menjadi kuat di hadapan orang lain. Sebab itulah Allisya melarikan dirinya ke kawasan bukit tersebut. Dia ingin mendapatkan ketenangan. Namun, kesunyian yang menemaninya tidak pula memberikan ketenangan yang diharapkan, malah semakin membuatkan dirinya merasa semakin sedih dan sunyi dari pujukan seorang teman. Allisya sengaja tidak mahu Raihana menemaninya kerana dia tidak mahu Raihana juga akan terkena tempias dari tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

            Minit demi minit berlalu, esakan Allisya semakin kuat. Azim masih ditahan di hospital besar. Kecederaan yang dialami pemuda itu agak teruk kerana melibatkan sebahagian daripada kepalanya, dan pasu tersebut turut menghempas kuat di bahagian bahu kanannya. Kepala Azim dijahit dan tulang bahunya patah akibat daripada hentakan kuat itu. Azim koma. Allisya ingin melihat pemuda itu membuka mata, namun kerana terlalu banyak mulut-mulut jahat dan mata-mata sinis yang memandang serong kepadanya, Allisya terpaksa mengundurkan diri seawal yang mungkin. Tambahan pula, pihak wartawan juga sudah ramai yang mengerumuni kawasan hospital tersebut. Maklum sahajalah, atlet harapan negara, pasti ramai sahaja yang mengambil berat terhadap dirinya. Tetapi bagaimana pula jika kisah sebenar mereka diketahui pihak wartawan? Adakah akan menimbulkan kesan yang lebih buruk?

            “Tulah budak perempuan yang menyebabkan Azim koma. Tak sedar diri betul. Tak silap dia yang buat Zaem sesat dalam hutan dulu, lepas tu sakitkan hati Fazura sampai dia cuba bunuh diri. Sekarang ni menyusahkan Azim pula. Agaknynga perempuan tu pembawa sial kot.”

            ‘Astaghfirullah Al-Azim! Tergamak sungguh mereka kata begitu.’ Hati Allisya merasa sakit apabila mengenangkan  kembali kata-kata yang dilemparkan oleh  pelajar lain terhadap dirinya. Mujurlah Allisya tidak sempat bertemu muka dengan bapa Azim di hospital, jika tidak pasti keadaan akan menjadi lebih keruh lagi.

            Ibu Azim pula tidak kelihatan di hospital tersebut. Ibu dan bapa Azim telah bercerai. Jika bukan diberitahu oleh salah seorang sepupu Azim yang turut berada di hospital tersebut, Allisya pasti tidak akan pernah mengetahui kisah sebenar tentang latar belakang pemuda itu. Apa yang pasti, disebalik kemasyhuran yang diperolehi, Azim bukanlah datang dari sebuah keluarga yang sempurna. Ibu dan bapa Azim bercerai ketika pemuda itu berusia lima tahun lagi. Ibunya telah berkhawin lain dan berpindah ke luar negara. Sejak itu, Azim tidak pernah berjumpa mahupun mendengar khabar daripada ibunya. Malah sehingga kini, ibunya langsung tidak dapat dihubungi.

            Barulah kini Allisya faham mengapa Azim kelihatan begitu dingin dan sukar rapat dengan orang lain, terutamanya perempuan. Bintang bola sepak itu begitu pandai menyembunyikan kisah sebenar hidupnya. Ibunya pergi meninggalkannya tanpa khabar berita. Tidak hairanlah mengapa Azim begitu sukar membina kepercayaan terhadap wanita lain. Sejarah hitam hidupnya sedikit sebanyak mempengaruhi perwatakan dingin pemuda itu.

            Allisya kini sedang duduk memeluk tubuh di bawah sebatang pohon tua yang terletak di atas bukit belakang kolej kediamannya. Di sini dia merasa lebih selesa untuk bersendiri kerana tempat tersebut terpencil dari kehadiran pelajar lain. Air mata Allisya mengalir dengan derasnya. Dia bukan tidak mahu membendung air matanya, tetapi dia sendiri tidak mampu untuk melakukannya. ‘Apa yang telah aku lakukan ini? Aku telah membahayakan nyawa insan yang tidak berdosa.’  

‘Siapakah sebenarnya yang benci sangat dengan aku? Siapa sebenarnya yang cuba mencederakan aku atau mungkin juga ingin membunuh aku? Aku tidak pernah menganiaya orang, mengapa mesti orang menganiayai aku?’

            Allisya menutup wajahnya dengan kedua-dua belah tapak tangannya. “Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku. Semoga tidak akan ada lagi insan yang terkorban akibat daripada kelalaian dan kebodohanku sendiri. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Melindungi lagi Maha Pengasih.”

            ‘Kenapa aku hanya membawa malang kepada orang lain? Kenapa aku selalu menyusahkan Abang Azim dan orang lain yang berada di sekelilingku?’ Allisya berasa kesal kecewa terhadap dirinya sendiri. Azim asalnya hanyalah orang asing yang dikagumi Allisya dari jauh, tidak pernah terfikir oleh gadis itu akan bersua wajah dengannya di dunia nyata. Namun kini, orang asing itu pula yang telah bergadai nyawa demi menyelamatkan dirinya. Azim bukan lagi orang luar dalam hidupnya. Azim ialah perwira, seoarang panglima yang muncul dalam hidup gadis itu.

Mesiki pun begitu Air mata Allisya masih tidak henti-henti mengalir. Allisya tidak mengharapkan sesiapa pun muncul untuk memujuknya. Cukuplah malang yang dibawanya dalam hidup Fazura dan Azim, dia tidak mahu orang lain pula yang merasa tempiasnya. Lagi pun, siapa lagi yang akan percayakannya? Siapa lagi yang sanggup berdampingan dengan gadis pembawa musibah sepertinya? Zaem juga sudah beberapa hari tidak menghubunginya mahupun bertegur sapa dengannya. Adakah Zaem juga telah membencinya?

“Astaghfirullah, kenapa dengan diriku ini ya tuhan? Ke mana hilangnya kekuatan yang ada dalam diriku? Kenapa aku masih menangis sedangkan aku tahu kasihmu tidak putus melimpahi hidupku? Tapi aku takut. Aku takut sekiranya aku tidak cukup kuat menghadapi dugaanmu ini seorang diri. Masih adakah insan yang sanggup mempercayaiku di saat semua orang sedang membenciku?” 

            Pada saat dan ketika itu, sehelai sapu tangan berwarna putih yang dilipat kemas dihulurkan kepada Allisya. Allisya bagaikan  tidak percaya dengan apa yang sedang dilihatnya. ‘Sapau tangan putih? Abang Iskandar?’ Nama itu segera sahaja muncul di mindanya.

            Allisya yang sedang duduk memeluk tubuh melepaskan pelukan tangannya sendiri. Dia mendongak  memandang wajah insan yang menghulurkan sapu tangan tersebut. Memamng tidak salah lagi. Insan yang muncul di kala dia memerlukan kekuatan, insan itu jugalah yang selalu muncul di saat dia merasai derita jiwa. Insan itu adalah panglimanya, insan itu adalah cintanya dan insan itu ialah Iskandar.

            “Abang Is?” Terkebil-kebil mata Allisya memandang wajah pemuda itu. Iskandar mengukirkan senyuman semanis madu.

            “Abang Is dah balik dari Australia?” Allisya bersuara dalam sedu. Iskandar menjawab dengan anggukan. Tanpa Allisya sedari, air matanya terhenti dari mengalir secara tiba-tiba. Allisya sendiri tidak pasti mengapa air matanya yang mudah mengalir itu, mudah juga terhenti apabila melihat wajah lembut Iskandar yang sedang tersenyum.

            Allisya menyambut sapu tangan yang dihulurkankan pemuda itu. Senyuman pemuda itu masih bermadu, semanis wajahnya. Namun Allisya tidak tahu, jauh di sudut hati Iskandar dia turut merasakan derita yang dirasai Allisya. 

            “Abang Azim.. Abang Azim masuk hospital.” Allisya yang tadinya terhenti dari mengalirkan air mata kembali menahan sedunya. Air matanya terasa sukar sekali untuk dibendung apabila mengingatkan kembali keadaan Azim yang masih belum pasti lagi keadaannya itu.

            “Abang tahu, abang dah dengar daripada Zaem.”

            “Semuanya salah saya. Abang Is, semuanya salah Allisya!” Gadis itu sudah tidak mampu menahan air matanya. Perasaan bersalah begitu kuat berakar di hatinya. Dia terus menangis dan menangis semahunya.

            “Tak Allisya, semua tu bukan salah Allisya. Mungkin ada hikmah disebalik kejadian ini.” Iskandar cuba memujuk lembut gadis itu. dia tahu, betapa beratnya beban yang sedang ditanggung gadis yang amat dicintainya itu. Cinta? Adakah ini namanya cinta? Hatinya turut merasa sakit apabila gadis tersebut dilukai, turut merasa derita apabila melihat gadis itu disakiti. Iskandar tidak sanggup, dia tidak sanggup melihat Allisya menangis. Walaupun pada hakikatnya cinta yang dirasainya itu hanya hadir dalam doa dan mimpinya, namun hati Iskandar kuat merasakan itulah cinta sejatinya.

            ‘Allisya, maafkan abang. Maafkan abang sebab tak mampu melindungi Allisya. Allisya terpaksa menanggung segala-galanya sendiri, menanggung derita yang tidak sepatutnya Allisya tanggung sendiri. Maafkan abang Allisya, maafkan abang. Mungkin abang memang tak layak memiliki cinta Allisya. abang tak mampu menjadi yang terbaik untuk Allisya.’

            Iskandar hanya mampu membisikan kata-katanya itu di dalam hati. Dia sayu mengenangkan derita yang ditanggung oleh gadis yang dicintainya itu. Dia sentiasa berharap suatu hari nanti,  apabila dia telah menemui gadis yang dicintai dalam mimpinya itu, dia akan dapat menjadi pelindung kepada cinta sejatinya. Namun hari ini dia sedar bahawa dia telah mempersiakan peluangnya itu. Adakah Allisya akan membencinya kerana dia tidak mampu melindungi gadis itu? Masihkah ada peluang kedua untuk dia hadir dalam hati gadis tersebut?   

            “Abang Is, mesti lepas ni Abang Azim benci Allisyakan? Allisya takut. Allisya takut nak berhadapan dengan Abang Azim lagi.”

            “Tak Allisya, Azim tak akan pernah bencikan Allisya.” Jantung Iskandar terasa lemah melihatkan tangisan gadis itu. Dia tidak sanggup lagi melihat Allisya menangis. Jauh di sudut hatinya, dia mahu membuat Allisya tersenyum, tapi bagaimana? Iskandar tidak terdaya. Dia buntu. Hanya doa yang mampu dipanjatkannya semoga tuhan memberikan kekuatan hati kepada gadis itu.

            Allisya masih menangis. Iskandar bersuara setenang yang terdaya, “Allisya, apabila seorang panglima mengorbankan dirinya, dia tidak akan pernah mengharapkan balasan, apatah lagi tangisan penyesalan daripada orang lain. Apa yang diharapkannya adalah agar pengorbanannya itu tidak akan pernah dipersiakan. Allisya, janganlah semudah-mudahnya mengalah dan berputus asa dengan apa yang terjadi. Kuatkan semangat. Allisya sepatutnya berusaha untuk tunjukan kepada Azim bahawa pengorbanannya menyelamatkan Allisya bukanlah perkara yang sia-sia. Azim pasti akan rasa kecewa kalau dia tahu Allisya menangis seharian waktu sehingga mengabaikan kesihatan diri. Allisya mesti tak mahukan, bila Azim buka mata nanti dia tengok Allisya macam ni? ”

            “Tapi macam mana Allisya nak balas jasa Abang Azim? Pengorbanan dia terlalu besar. Allisya tak layak terima pengorbanan sebesar ni.”

            “Allisya, kalau Allisya nak balas jasa Azim, Allisya kena buktikan pada Azim bahawa Allisya bersyukur dan menghargai pengorbanan dia. Allisya kena kuatkan semangat, tak kira apa pun yang orang kata.” Nada suara Iskandar perlahan sahaja, namun cukup kuat untuk menggoncangkan hati gadis itu. 

            Allisya mengesatkan air matanya. Dia cuba sedaya- upaya untuk mengekang air matanya yang sedang mengalir. 

            “Betul ke Abang Is? Abang Azim tak akan benci Allisya?”

            “Abang yakin. Abang kenal Azim.” Allisya membalas kata seraya mengukirkan senyuman.

            “Tapi semua orang pun bencikan Allisya. Allisya malu nak tunjukkan muka di khalayak lagi.”

            “Allisya biarkanlah orang lain berkata buruk tentang diri kita, tapi jangan sampai diri kita jadi seburuk yang mereka katakan. Mereka semua tak tahu perkara sebenar, tapi tuhan itu Maha Mengetahui.”  

            Pada saat itu Allisya mula menyedari, bahawa dia tidak pernah bersendiri. Iskandar sentiasa ada untuk menenangkan dan menasihatinya. Malah yang paling penting, penciptanya sentiasa ada, untuk dirinya mengadu dan memohon pertolongan. 

            “Tapi… Tapi kenapa Abang Azim sanggup korbankan diri dia demi Allisya? Allisya tak layak terima pengorbanan sebesar tu.”

            Iskandar terdiam. Kali ini dia tidak mampu menjawab soalan gadis itu. Iskandar sendiri pada walnya terkejut mendengarkan berita tersebut. Bagaimanakah Azim memperoleh kekuatan untuk mengorbankan dirinya demi Allisya? Dari manakah datangnya keberanian itu? Keberanian menggunakan badan dan kepalanya sendiri sebagai perlindung kepada seorang gadis, dan gadis itu pula langsung tidak mempunyai sebarang ikatan dengan dirinya.  

Azim pernah melalui peristiwa yang pahit bersama seorang gadis tiga tahun yang lepas. Sejak peristiwa itu,  Azim tidak pernah mendekati mana-mana gadis lagi. Namun hari ini, Azim sanggup mengorbankan dirinya demi seorang gadis yang baru ditemuinya. Ke manakah hilangnya ego pemuda itu? Apakah yang menjadi faktor yang mendorong Azim bertindak sedemikian rupa? Daripada manakah Azim menemui kekuatan untuk melawan egonya yang sekeras batu itu? Mengorbankan dirinya demi seorang gadis, adakah kerana Azim juga mencintai Allisya?

“Abang Is,”Allisya menegur, mengembalikan semula minda Iskandar ke dunia nyata. 

“Ya Allisya?”

“Mesti abang rasa Allisya ni terukkan? Setiap kali terserempak je, Allisya tengah menangis. Maafkan Allisya, Allisya tak terniat nak menyusahkan abang.” Gadis kecil itu mengesat-ngesatkan air mata yang masih mengalir di pipinya. Dia malu bila memikirkan sudah berapa kali Iskandar melihat dia menangis. Namun bagaimana dia ingin menyembunyi kesedihan hatinya sedangkan dia memang sedang menghadapi dugaan yang sangat besar dalam hidupnya.

“Tak Allisya, abang faham. Orang selalu kata, hati wanita ini ibarat kaca. Bila di sentuh mudah terguris, bila di hantuk serpih, dan di hempap akan berkecai. Tetapi abang yakin, seorang wanita tidak akan sengaja menangis kecuali apabila dia sedang menghadapi dugaan dengan hebatnya. Menangislah Allisya, lepaskan semua yang terpendam. Jangan simpan masalah Allisya seorang diri.”

Allisya tersenyum, dia sudah pun terhenti dari menangis. Dia mendengar dengan penuh tekun kata-kata pemuda itu. 

“Tapi kalau menangis nanti mata sakit. Kesian mata. Jadi lepas ni, abang tak akan biarkan Allisya menangis seorang diri lagi. Abang akan pastikan bila air mata Allisya mengalir, abang akan hadir untuk menghentikan air mata tu.” Iskandar tidak memandang wajah Allisya ketika melafazkan janjinya itu. Wajahnya kelihatan kemerah-merahan. Dia berasa sedikit malu kerana terlalu jujur berkata-kata di hadapan gadis tersebut. Walau macam mana pun, dia tidak menyesal melafazkannya, kerana dia mahu Allisya tahu bahawa dia akan sentiasa berada di sisi gadis itu, menemaninya dalam suka dan duka.

“Abang Is,” Allisya bagai tidak percaya mendengarkan kata-kata Iskandar, namun dia bersyukur kerana bertemu dengan pemuda sebaik Iskandar. Iskandar bukan sahaja sentiasa memahami hatinya, malah berada di sisi Iskandar sentiasa membuatkan Allisya merasa bahagia.

 “Terima kasih abang. Terima kasih kerana sudi menenangkan hati Allisya dan mempercayai Sya walau pun disaat semua orang sedang membenci Allisya.” Allisya cuba mengukirkan senyuman selebar yang terdaya olehnya. Kini dia sedar, dia tidak keseorangan. Panglimanya itu akan sentiasa berada di sisinya, menghulurkan sapu tangan putihnya dikala air mata gadis itu mengalir dan mengukirkan senyuman di kala gadis itu dirundum rasa kecewa.

            Iskandar membalas mesra senyuman gadis itu. 

‘Allisya, sepatutnya abang yang harus berterima kasih kepada Allisya. Terima kasih kerana sudi hadir dalam hidup abang sepuluh tahun dahulu.’ Ucapan itu tidak pula dilafazkan di bibir pemuda itu, tetapi kekal disimpan di dalam hati. Iskandar tahu, walaupun dia tidak mampu menjadi yang terbaik buat Allisya, namun dia akan berusaha sedaya upayanya untuk memberikan yang terbaik demi membahagiakan gadis itu. 

Nani NA

No comments:

Post a Comment