Wednesday 28 September 2011

BAB 26: SAYA BENCI AWAK



            Fazura duduk seorang diri di atas sebuah bangku putih yang terletak berhadapan dengan air pancut yang menjadi hiasan utama Taman Botani USAS. Pemandangan di taman itu kelihatan indah sekali, dihiasi pula dengan pokok-pokok bunga dan tumbuhan herba menjadikan taman itu lebih istimewa dan menarik untuk dilawati berbanding taman-taman hiasan lain di Universiti Sultan Alauddin Syah. Pandangan mata Fazura dicuri oleh keindahan bunga orkid berwarna kuning yang tumbuh segar di atas sebatang pohon. Matanya bagai terpukau melihatkan kecantikan bunga esotik berwarna kuning itu. Melihatkan sahaja warna cerah bunga orkid yang berasal dari genus Vanda itu lantas mengingatkan Fazura kepada Zaem. Muhammad Nur Zaem, nama itulah yang telah banyak mempengaruhi perjalanan hidupnya.

            Angin bertiup lembut, menggores pipi gadis tinggi lampai yang memakai baju kemeja merah jambu itu. Rambutnya turut ditiup angin, beralun-alun menghayun dari tengkuknya. Sejak akhir-akhir ini sekitar kawasan kampus USAS sering sahaja disapa angin Monsoon. Mungkin sekali musim tengkujuh bakal tiba, kelak membasahi tanah USAS yang hampir kering itu. Beberapa bulan yang lalu, tanah USAS gersang dek kerana musim panas yang melanda. Bahangnya memang terasa sehinggakan berpeluh-peluh mahisiswa USAS dibuatnya.

            Fazura mendongak ke langit pula. Matanya dipejam rapat. Cahaya mentari yang memancar terik dibiarkan sahaja menyentuh kulit lembutnya. Tidak sedikit pun kepanasan itu membawa radang kepada kulitnya, sebaliknya Fazura merasa selesa apabila kehangatan mentari itu menyentuh dan membelai kulit mukanya.  

            Angin masih bertiup lembut, mendayu-dayu membisik ke telinga gadis muda itu. ‘Jangan takut Faz, sekarang ini hanya tinggal bahagia. Tiada lagi air mata yang mengalir dek kerana rasa duka dan kecewa. Selamat tinggal derita, selamat datang bahagia!’

            Fazura membuka kelopak matanya. Bibirnya yang kemerah-merahan kelihatan mekar dengan senyuman. Sejak akhir ini, Zaem melayannya sungguh mesra, sebaik seperti mula-mula perkenalan mereka dahulu. Zaem tidak lagi cuba mengelak apabila bertemu dengannya , malah Zaem seringkali pula datang menawarkan diri untuk membantunya. Bagaikan suatu keajaiban telah berlaku.  Adakah Zaem telah menerima cinta yang hadir daripada keikhlasan hati gadis bernama Fazura itu?

            Seketika kemudian, setelah jauh berjalan dalam lamunannya sendiri, Fazura dikejutkan dengan nada dering khas telefon bimbitnya yang menandakan dia telah menerima mesej pendek. Dibacanya pesanan ringkas daripada telefonnya sambil tersenyum. 


            ‘Faz, dekat mana ya? Zaem nak hantarkan buku rujukan yang Faz nak gunakan tu.?

            Tanpa berlengah lagi, Fazura menaip sambil menyanyi-nyanyi ketika membalas mesej tersebut. Hatinya terasa bahagia dengan melihatkan sahaja nama panglima idamannya itu muncul di skrin telefon bimbitnya.

            Suasana sunyi taman botani USAS itu kemudiannya dibelah oleh bunyi tapak kaki seseorang yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam taman. Gadis tersebut memakai baju kurung jenis cotton berwarna putih dan memakai tudung berwarna hitam. 

            Allisya melangkah perlahan sambil menghayati keindahan taman botani itu. Dia selesa berjalan sendirian di taman itu. Tambahan pula, taman tersebut sunyi dari kehadiran mahasiswa lain. Allisya bosan mendengar kutukan, hinaan serta kata-kata cacian pelajar lain. Namun Allisya redha, dia yakin, pasti ada hikmah di atas semua yang terjadi. Dia tidak sepatutnya mudah melenting dan melatah melihatkan layanan buruk yang diberikan orang sekeliling terhadap dirinya. Meski pun begitu, Allisya tetap insan biasa, hatinya juga sensitif. Dia sedih kerana dituduh bertubi-tubi oleh orang luar. Layanan yang diberikan oleh mereka terhadapnya saling tak tumpah seolah-olah dirinya bagaikan seorang penjenayah antarabangsa. 

            Allisya berjalan longlai melewati pancutan air yang menjadi hiasan utama di bahagian pusat taman botani tersebut. Angin masih bertiup lembut. Hujung tudungnya kadang-kala melompat-lompat bagai ingin terbang apabila ditiup angin.

            “Minggu ni, cuti pertengahan semester bermula. USAS dah sunyi. Apa yang aku nak buat seorang diri di sini?” Allisya berbicara kepada dirinya sendiri. Dia tahu sebaik cuti pendek pertengahan semester berakhir, ujian kedua pula bakal menjengah. Nampaknya dia harus menghabiskan masanya dengan mengulangkaji pelajaran dan membaca di biliknya sahaja.

            Kaki Allisya terus melangkah sehinggalah dia tiba di hadapan sebuah bangku putih. Seorang gadis cantik sedang duduk , sibuk menaip mesej. Allisya berdebar-debar melihatkan wajah gadis yang amat dikenalinya itu.

            Fazura selesai menaip. Dia mengangkat pandangannya. Dia sedikit terkejut melihatkan kehadiran gadis berbaju kurung putih dihadapannya itu. Mata mereka saling bertentang.

            Pada awalnya Fazura terasa sedikit teragak-agak, namun perlahan-lahan dia membuka mulut lalu berkata, “Allisya, baru habis kelas?”

            Allisya mengangguk, lalu mengukirkan senyuman. “Kak Faz?”

            “Akak tak ada kelas petang ni. Eh, kenapa berdiri? Mari duduk sebelah akak ni.” Fazura berganjak sedikit ke tepi kerusi, memberikan ruang untuk Allisya duduk.

            “Terima kasih.” Allisya duduk tanpa banyak bicara.

            Kedua-dua mereka diam seketika, menimbulkan suasana janggal di antara mereka berdua. Lantas, Allisya menguatkan semangatnya untuk bersuara, “Kak Faz, apa yang orang katakan tu…tak betul. Saya tak pernah pun terniat nak rampas Zaem daripada akak atau sengaja nak menyakiti hati akak seperti yang dikatakan orang.” Allisya tunduk, dia enggan bersua mata dengan gadis tersebut.

            ‘Ya Allah, berikanlah aku kekuatan untuk berdepan dengan masalah ini.’ Allisya masih takut untuk bertentang mata dengan Fazura.

            “Allisya, akak yang sepatutnya minta maaf pada Allisya sebab akaklah semua salah faham ni bermula. Maafkan akak Allisya.”

            “Kenapa akak cakap macam tu? Saya sebenarnya yang bersalah. Saya yang menyumbang kepada tekanan yang akak alami. Kalau bukan sebab peristiwa malam tu, mungkin akak tak…” Allisya terdiam sebelum sempat menghabiskan kata-katanya. Dia takut mengingatkan kembali peristiwa hitam yang terjadi itu.

            “Akak tak apa Allisya? Maksud Allisya telan ubat tidur tu sampai tak sedarkan diri dan jatuh sakit?” Fazura tidak menunggu Allisya menghabiskan kata-katanya, malah Fazura segera pula menambah, “sebenarnya, ni semua salah faham je. Akak langsung tak ada niat nak bunuh diri. Khabar angin tu semua tak betul dik. Akak cuma rasa sakit kepala sebab tak cukup tidur, tapi mata pula tak mahu pejam. Sebab tulah akak telan pil tu. Pil pertama akak telan macam tak ada kesan, jadi akak telan lagi. Tiba-tiba akak rasa lagi pening dan pengsan. Akak tak tau kenapa, mungkin kesan ubat tu kuat sangat agaknya.”

            Allisya tergamam mendengarkan penerangan Fazura. Dia tidak menyangka rupa-rupanya Fazura tidak terniat pun untuk membunuh diri. Maksudnya selama ini, semua konklusi yang muncul itu hanyalah disebabkan oleh salah sangka semata-mata?

            “Allisya?” Fazura kehairanan melihatkan reaksi Allisya. Allisya tidak bersuara dan kelihatan kaku sahaja.
            “Allisya tak apa-apa?” Fazura bertanya lagi. 

            Allisya pantas menggeleng, “Kak, betul ke semua yang akak cakap tu? Maksudnya akak bukannya telan pil tu sebab nak bunuh diri? Semuanya salah faham je?”

            “Ya dik, betul. Akak tak pernah terfikir pun nak buat macam tu lagi. Akak pun terkejut tengok reaksi pelajar lain. Kalau betul akak nak bunuh diri, baik akak telan satu botol je ubat tu. Mungkin sebab akak pernah cederakan diri akak sebelum ni jadi orang pun sangka akak cuba bunuh diri untuk kali kedua. Tapi akak tak terfikir langsung!”

            Allisya menarik nafas panjang. Berulang-ulang kali dia mengucap di dalam hati. Rupanya selama ini mereka telah salah sangka.

            “Syukurlah, saya betul-betul takut bila fikirkan balik peristiwa tu.”

            “Akak minta maaf Allisya. Sebab akak, nama Allisya pula diburuk-burukan. Siap disebarkan luas di forum dan blog-blog mahasiswa lain lagi. Akak dengar ada orang cuba cederakan Allisya. Akak minta maaf atas semua perkara yang terjadi ni. ” Fazura memegang lengan Allisya seperti ingin memujuk gadis itu. Allisya tersenyum lemah. Dia kelihatan tidak bermaya walaupun telah mendengarkan penjelasan Fazura. 

‘Patutlah cepat tersebar fitnah ni.” Allisya berbisik sendiri. Nampaknya pelajar-pelajar USAS ini semuanya celik teknologi, tetapi sayang kemahiran itu digunakan untuk tujuan yang salah. Menyebar dan menyampaikan kisah palsu sehingga menggugat kehidupan dan keselamatan orang lain bukanlah tujuan utama teknologi internet diperkenalkan kepada manusia. Manusia seharusnya menggunakan teknologi itu ke arah kebaikan dan lebih afdhal sekiranya digunakan untuk berkongsi ilmu. 

Meski pun Fazura telah menjelaskan segala-galanya kepada Allisya, namun Allisya sedar perkara tersebut tidak tidak akan mengubah tanggapan sinis orang ramai terhadap dirinya. Orang ramai masih menganggapnya sebagai perempuan  pembawa musibah. Tidak kurang juga yang menuduhnya sebagai perampas.

“Kak Fazura,” Sekali lagi Allisya bersuara. Dia ingin menyampaikan sesuatu perkara bagi menjernihkan keadaan yang masih kelihatan sama-samar sahaja.

“Ya dik, kenapa?” Fazura semakin kehairanan melihatkan sikap aneh Allisya.

“Saya cuma nak akak tahu yang saya dan Zaem tak pernah ada apa-apa hubungan istimewa. Kami cuma berkawan biasa dan kami tak pernah pun setuju jadi pasangan kekasih seperti yang mereka katakan.” Allisya beriya-iya meyakinkan Fazura. Walau apa yang terjadi, bagi Allisya, Fazura berhak mengetahui perkara sebenar. 

            “Akak tahu dik. Zaem dah terangkan segala-galanya kepada akak dan Abang Farid. Akak tahu yang Zaem hanya bergurau je pada malam kebudayaan hari tu. Dia sengaja nak buat gurauan tu sebagai kejutan hari jadi akak, tapi akak pula yang salah sangka dan ingat perkara tu betul-betul.”

            Allisya terkedu mendengar jawapan Fazura. Bergurau? Adakah itu bermaksud bahawa Zaem betul-betul hanya bergurau tentang perasaan hatinya terhadap Allisya? Maksudnya benarlah selama ini bahawa Zaem tidak pernah sesaat pun mencintai mahupun menyukai dirinya?

            ‘Betapa bodohnya diriku, mempercayai cinta seorang lelaki. Tidak mungkin lelaki sehebat Zaem akan menyukai gadis kampung seperti aku.’ Kini Allisya telah mula sedar di mana kakinya berpijak. Zaem dan dirinya memang tidak pernah ada persamaan untuk ditakdirkan bersama. Mujur hatinya tidak lemas dan tenggelam dengan kata-kata romantis pemuda itu. 

            “Allisya, akak minta maaf ya sebab pernah salah sangka pada Allisya. tapi percayalah, akak tak pernah pun marah pada Allisya. Jangan sesekali Allisya percaya kata-kata orang luar tu. Akak tahu, Zaem cuma nak menguji hati akak.” Fazura segera memohon maaf sekali lagi kepada gadis kecil itu. Namun nada suara Fazura kedengaran begitu ceria sekali berbanding hari-hari awal perkenalan Allisya dengannya. Fazura sedar bahawa hati Zaem tidak pernah pun dicuri oleh Allisya dan dia kuat merasakan yang Zaem hanya ingin bermain tarik-tarik tali dengan Fazura. Sebab itulah Zaem menjadikan Allisya sebagai alasan bagi menguji kesetiaan dirinya.

            “Faz, lama tunggu Zaem?” Zaem sudah pun terpancul di hadapan Fazura. Pemuda itu datang dari arah bertentangan dengan jalan masuk yang dilalui Allisya. Dia tidak menyedari kehadiran Allisya yang berada di sisi Fazura. Sebaik sahaja dia mula tersedar, mereka saling bertentang mata. Ketika itu jantung Zaem terasa bagai dihempas ombak rindu. Bertemu dengan Allisya tidak mengubat rindu di hatinya, malah menghakis rindu yang lebih mendalam di hatinya.

            Fazura tersenyum manis menyambut ketibaan Zaem manakala Allisya terasa berat untuk mengukirkan senyuman. Mengapa perlu sekarang dia bersua muka dengan Zaem? Bukan Fazura yang dibimbangkan Allisya, tetapi dia sendiri memang tidak ingin bertemu dengan Zaem lagi setelah mengetahui pemuda itu telah menipunya. Lebih teruk lagi menipu untuk mempermainkan perasaannya, memang tidak boleh dimaafkan!.  

            Allisya memandang wajah tampan Zaem. Dia merasa kesal kerana selama ini dia pernah 
mempercayai  bahawa pemuda itu benar-benar menyukainya dan dia hampir membuka pintu hatinya untuk turut belajar mencintai pemuda itu. Namun Allisya bersyukur kerana hatinya belum cukup kuat untuk terpaut kepada nama pemuda itu.

            “Tak lama sangat Faz tunggu sebab  Allisya ada temankan Faz dari tadi.”

            Allisya tersenyum mendengarkan namanya disebut oleh Fazura. Dia bersuara untuk bertegur sapa, “Zaem apa khabar? Sihat?” Allisya memandang wajah pemuda itu. Dia sendiri tidak tahu mengapa. Walaupun dia marah setelah mengetahui bahawa lelaki itu hanya ingin mempermainkan perasaannya, namun jauh di sudut hati Allisya, Zaem sudah dianggapnya sebagai salah seorang kawan baiknya di USAS ini. Dia tidak ingin lagi merasa sakit kerana kehilangan seorang teman.

            Allisya masih menanti jawapan, namun Zaem masih diam. Malah Zaem enggan memandang wajahnya seolah-olah wajah gadis itu terlalu hodoh untuk dipandang. Kecil hati Allisya melihatkan tingkah laku Zaem itu.
            “Tak apalah. Allisya pergi dulu. Maaf sebab Allisya ganggu temu janji Zaem dengan Kak Fazura.” Allisya bangun sambil berkata-kata dengan  nada sayu.

            “Memang mengganggu pun.” Zaem menjawab ringkas, tetapi cukup perit untuk ditelan Allisya.

            Allisya merenung ke dalam mata Zaem. Dia mengharapkan jawapan daripada Zaem. Mengapa Zaem bersikap begitu dingin terhadap dirinya? Itu bukanlah sikap Zaem yang pernah dikenali Allisya. Zaem adalah seorang yang peramah dan suka berjenaka apabila berbicara. Kini, dia kelihatan lebih dingin daripada Azim, malah kelihatan lebih kurang mesra. Adakah Zaem bencikan dirinya?

            “Maaflah sebab saya ganggu awak.” Allisya melangkah untuk pergi. Dia betul-betul terasa hati mendengarkan jawapan yang diberikan oleh Zaem. 

            “Allisya!” Zaem menyeru nama gadis itu sebelum sempat dia berlalu pergi.

            Allisya tersentak. Entah mengapa, hatinya merasa gembira apabila namanya dipanggil oleh pemuda bermata coklat cair itu. Adakah Zaem merasa bersalah setelah memberikan layanan buruk kepada Allisya? Adakah Zaem ingin menjernihkan kembali debu-debu salah faham yang mencemari hubungan mereka berdua?

            “Ya?” Allisya menyahut penuh pengharapan. 

Fazura memandang dengan penuh curiga. Kenapa Zaem tiba-tiba sahaja memanggil nama Allisya? Benarkah mereka memang mempunyai hubungan istimewa tetapi sengaja dirahsiakan daripadanya?

            ‘Tidak! Zaem tak mungkin menipu, mereka memang tak ada apa-apa hubungan.’ Fazura menangguk dalam ketakutan dirinya sendiri. Hatinya masih tidak kuat untuk menerima sebarang kenyataan yang menyakitkan.

            Zaem memandang wajah Fazura yang kelihatan pucat. Dia tahu Fazura tidak berapa sihat setelah mengalami tekanan dan dikejarkan ke hospital kerana keracunan ubatan sebelum ini. Zaem juga sedar bahawa hati Fazura pasti akan merasa sakit apabila melihat dia berbual mesra dengan Allisya. Zaem kasihan melihat gadis itu, tetapi dia tidak tahu bagaimana lagi caranya dia ingin menyelesaikan masalah yang ada. Dia juga tidak mahu lagi mendengar khabar berita gadis itu dikejarkan di hospital sekali lagi.

            ‘Apakah yang ada pada diriku ini sehingga gadis secantik Fazura begitu mengharap kepadaku? Mengapa harus aku korbankan hati gadis yang aku sayangi demi menyelamatkan hati gadis lain?” Zaem sedar, dia mungkin berwibawa dalam menjalankan tugasnya sebagai pemimpin, namun dia lemah apabila berhadapan dengan masalah cinta.

            Zaem menoleh pula kepada Allisya. Wajah Allisya kelihatan sayu, matanya seolah-olah sedang mengharapkan jawapan daripadanya. Zaem ingin sangat berbicara dengan Allisya, bertanya khabar dirinya dan menerangkan segala-galanya kepada gadis itu. Tetapi dia tidak mampu. Jika dia berbaik semula dengan Allisya, dia akan mengecewakan Fazura. Perkara yang buruk bukan sahaja boleh berlaku kepada Fazura, tetapi turut akan mempengaruhi Allisya. 

Zaem tidak sanggup lagi melihat gadis yang disayanginya itu dihina mahupun dicederakan orang lain. Zaem boleh sahaja berkawan seperti biasa dengan Allisya. Tetapi Zaem khuatir, sekiranya dia berkawan biasa dengan Allisya sekalipun, cintanya akan tetap bertambah dan bertambah sehingga dia sendiri tidak mampu menghalang perasaannya itu lagi. Lebih baik dia memutuskan ikatan yang ada, agar tiada di antara mereka berdua terus menyimpan harapan terhadap diri masing-masing. 

Kini Zaem sedar tentang erti dugaan dalam anugerah. Dahulunya dia lalai dalam hidupnya. Dia bangga di atas segala-gala yang dimiliki oleh dirinya. Dia riak dengan paras sempurna dan pangkat yang dipegang oleh dirinya sehinggakan tanpa dirinya sedar, dia hampir memusnahkan hidup gadis lain. Dan hari ini, dia terpaksa menyakiti hati gadis yang dicintainya sendiri. 

Apa gunanya memiliki wajah yang tampan sekiranya dia tetap tidak mampu memikat gadis yang dicintainya? Apa gunanya pangkat dan harta sekiranya semua itu tetap tidak bernilai dan tidak mampu memberikan kebahagian kepada gadis yang dicintainya? Apa yang mampu Zaem lalukan hanyalah menyakiti hati orang di sekelilingnya dan lebih teruk lagi hati gadis yang amat dicintainya.

Zaem mengumpulkan keberanian untuk berkata-kata dan berhadapan dengan gadis yang cukup istimewa dalam hidupnya itu. “Allisya, saya harap awak tak akan ganggu saya lagi dan jangan sesekali muncul di hadapan saya lagi.”

“Tapi saya tak pernah ganggu awak! Adakah bertegur sapa itu pun satu gangguan pada awak? Zaem, bukan ke kita masih berkawan?” Allisya berasa terkejut mendengarkan kata-kata Zaem. Mengapa Zaem kelihatan begitu benci kepada dirinya?

“Habis tu kenapa awak kacau Fazura? Hubungan kita sekadar senior dan junior. Tak ada sebab kita nak bertegur sapa atau berkawan rapat. Saya sibuk dan saya tak suka diganggu dan saya tak suka awak ganggu kawan-kawan saya juga.” Pandangan Zaem menembusi langit, dia langsung tidak menoleh kepada Allisya ketika berbicara. 

“Satu lagi, ganggu Fazura samalah macam ganggu saya. Fazura bukannya sihat sangat. Saya tak nak kata-kata awak menyakitkan hati Fazura.”

Luluh hati Allisya mendengarkan setiap bait-bait kata Zaem. Adakah kata-katanya selama ini sememangnya menyakitkan hati sehingga Zaem menegah dia dari berbual dengan kawan-kawannya pula? 

“Zaem, bukan salah Allisya. Faz yang ajak Allisya berbual dan temankan Faz.” Fazura cuba membela Allisya. Dia tidak sangka Zaem tegar melafazkan kata-kata sekejam itu kepada Allisya. Adakah mereka sedang bergaduh? Namun jauh di sudut hatinya, Fazura gembira mengetahui bahawa Zaem sangat mengambil berat terhadap dirinya.

“Tak Faz, saya tak mahu kalau ada apa-apa lagi perkara buruk berlaku pada Faz. Faz pun tak cukup sihat lagi.” Zaem menjawab kepada Fazura dengan nada suara yang rendah dan lebih mesra. Berbeza dengan layanannya terhadap Allisya.

“Zaem, saya tak pernah terniat pun nak ganggu awak atau nak memudaratkan Kak Fazura. Saya sedar siapa diri saya. Saya sedar yang saya tak layak berdampingan dengan awak dan semua kawan-kawan awak. Jika itu yang awak nak, mulai hari ni saya tak akan ganggu lagi hidup awak Zaem.” Allisya menjawab dengan nada berbaur kecewa. Dia tidak menyangka, Zaem yang dikenalinya itu bukanlah sebaik yang disangkakannya. 

“Allisya, awak tahukan kata-kata saya pada malam kebudayaan tu hanya gurauan? Saya harap awak tak ambil serius perkara tu dan tak pernah ada niat nak membalas dendam. Tolong lupakan peristiwa malam tu dan satu lagi, lupakan saya.” Mulut Zaem terasa berat, namun dia tetap cuba sedaya-upayanya untuk melafazkannya.

“Zaem, saya bukanlah sekeji yang awak sangka. Saya tak pernah berdendam dengan sesiapa dan tak akan pernah menyimpan dendam! “ Allisya masih melemparkan jerlingan tajam kepada Zaem. Zaem masih mengelak dari memandang matanya. 

Kemudian Allisya menambah, “jangan risau, orang macam awak memang tak layak ada dalam ingatan saya!” Betapa sakitnya hati Allisya mendengarkan kata-kata Zaem hanya tuhan sahaja yang tahu. Dia benci dengan pemuda itu, kalau boleh dia ingin berlari sejauh mungkin agar dia tidak bertemu lagi dengan wajah yang telah mengecewakannya itu.

“Allisya, mulai hari ni tak perlulah awak jumpa saya lagi. Kalau ada urusan rasmi, awak hantarkan sahaja pesanan pada papan notis pejabat MPP saya. Tak perlu jumpa saya sebab saya sibuk.”

“Cukuplah Zaem! Saya tahu awak benci saya, tapi tak perlulah awak halau saya dari hidup awak macam pengemis!” Allisya membentak, mengharap Zaem berhenti dari menyakiti hatinya lagi.

Hati Zaem terasa bagai dipukul-pukul mendengarkan kata-kata Allisya. Adakah Allisya kini telah membencinya? Entah mengapa, walaupun nada Allisya sungguh tinggi membentak-bentak Zaem, namun Zaem tidak sedikit pun merasa marah mahupun sakit hati mendengarkan kata-kata gadis itu. Sebaliknya Zaem merasa kasihan melihat gadis itu. Pasti Allisya merasa sakit, tetapi dia tidak terdaya mengubati hati gadis itu kerana orang yang telah melukai hati gadis itu adalah dirinya sendiri. ‘Kenapa aku begitu kejam?’

Allisya sudah pun melangkah pergi. Matanya merah penuh dengan rasa benci terhadap Zaem. 

‘Siapa sebenarnya yang aku tipu? Allisya? Fazura? Atau adakah diri aku sendiri?” Zaem mungkin sahaja kelihatan tenang pada luarannya, namun hakikatnya hati dia sedang diserang ombak derita dan badai sengsara kerana terpaksa menyakiti hati gadis yang amat disayanginya. ‘Maafkan Zaem Allisya.’

Mendekati Allisya samalah seperti membahayakan nyawa gadis itu sendiri. Lebih baik dia melukakan hati Allisya sekarang ini agar di masa hadapan Allisya tidak akan lagi merasa kesakitan dan derita yang lebih hebat dalam hidupnya. 

‘Selamat tinggal Allisya. Percayalah, saat perkenalan pertama kita akan terus kekal menjadi kenangan terindah dalam hidup Zaem.’ Kata-kata itu hanya bermain di dalam hati Zaem.

Zaem terus membisu melihat gadis yang disayanginya itu pergi meninggalkan dirinya. Dia rela melihat gadis itu pergi sejauh yang mungkin daripada dia melihat gadis itu menangis di depan matanya. Zaem masih belum mengetahui siapa yang telah melakukan khianat terhadap Allisya. Farid menafikan perbuatan tersebut berkaitan dengan dirinya. Zaem berharap orang yang cuba mencederakan Allisya kerana ingin membalas dendam kepadanya akan berhenti menjadikan Allisya sebagai sasarannya. Namun Zaem tidak akan pernah berdiam diri, sehingga dia bersemuka dengan musuhnya itu. Tetapi siapa? Mungkinkah Syakir?  

*                                  *                                  *

                        Iskandar mengayuh basikal putihnya melepasi Taman Botani USAS, lalu menyusuri laluan kecil menuju ke sebuah tasik. Tasik itu sungguh besar, dihiasi dengan pokok-kokok bunga kiambang yang yang tumbuh segar di permukaan tasik. Iskandar berhenti dari mengayuh, lalu menyandarkan basikalnya ke sebatang pohon kayu yang tumbuh merimbun di tepi tasik buatan manusia itu. Pohon itu menjadi tempat biasa persinggahannya untuk melepaskan lelah dan bersantai mengulangkaji selain daripada pohon kayu yang tumbuh di atas bukit di belakang kolej Nilam.

 Iskandar duduk di bawah pohon tersebut sambil mengeluarkan nota ulangkajinya daripada beg. Iskandar menarik nafas panjang sebelum mula membaca ayat pertama yang tertulis di notanya. Dia membaca dengan bersungguh-sungguh. Kawasan tersebut lengang daripada orang ramai memandangkan ramai yang telah pulang ke kampung sempena cuti pertengahan semester yang telah pun bermula. Iskandar dan Azim memilih untuk tinggal di kampus.

Iskandar dibesarkan di rumah anak yatim piatu sewaktu kecil dahulu, maka apabila telah dewasa, dia tiada tempat untuk dituju. Kini hanya USAS yang menjadi rumah utamanya. Azim dan Zaem adalah keluarga terdekatnya. Namun peristiwa yan berlaku baru-baru ini pula seperti telah merenggangkan hubungan mereka bertiga. Zaem jarang sekali datang ke bilik mereka dan Azim pula sering termenung dan menyendiri. Mereka seolah-olah telah berpisah membawa haluan masing-masing. 

Iskandar melemparkan pandangannya ke tengah tasik. Dia bingung memikirkan rentetan peristiwa yang berlaku kepada mereka pada semester ini. Sedikit sebanyak, hubungan mereka juga turut terjejas akibat daripada salah faham yang terjadi. Iskandar memandang bunga-bunga teratai yang sedang mekar tumbuh di permukaan tasik. Indah sungguh alam ciptaan tuhan, hatta melupakan Iskandar kepada segala kekusutan yang membebani fikirannya.

Iskandar menyambung kembali bacaannya. Namun dia terhenti apabila terdengar satu suara teriakan daripada kawasan yang berhampiran. 

“SAYA BENCI AWAK! SAYA BETUL-BETUL BENCI AWAK!”

Iskandar tersentak mendengarkan suara jeritan itu. Dia menyimpan kertas notanya ke dalam poket blazernya. Iskandar bangun dari duduknya, lalu dia mengintai di balik pokok yang dijadikannya sebagai tempat untuk berteduh.

“Zaem, saya benci awak! Saya betul-betul bencikan awak…” Allisya terduduk setelah penat menjerit dan membaling batu ke dalam tasik. Entah sudah berapa banyak batu telah dilontarkannya ke tasik itu. 

Allisya tidak mengerti, mengapa hatinya berasa sungguh sakit mendengarkan kata-kata Zaem tadi. Benarkah Zaem betul-betul bencikannya? Namun soalan yang lebih utama adalah, benarkah dirinya juga membenci Zaem? Tetapi mengapa? Mengapa hatinya merasa sakit kerana membenci Zaem? Adakah benar dia membenci Zaem atau dia hanya sedang menipu dirinya sendiri?

“Saya benci awak Zaem..” Allisya ingin sangat menjeritkan ayat itu ke muka Zaem. Gadis itu sedar, dia harus kuat, hatinya tidak sepatutnya goyah disebabkan oleh lelaki yang tidak berguna itu. Kini barulah Allisya sedar, Zaem benar-benar hipokrit seperti yang dikatakan oleh Farid.

“Kenapa Zaem tipu Allisya? Adakah kerana awak menganggap perasaan saya tak penting, maka awak boleh sesuka hatinya mempermainkan hati saya? Zaem, jika benar kata-kata awak pada malam kebudayaan itu dusta semata-mata, bagaimana pula dengan janji yang pernah awak lafazkan ketika berada di dalam bas dahulu? Luahan yang awak lafazkan ketika awak terlantar di hospital dahulu? Adakah semuanya dusta belaka? Kenapa awak jahat sangat Zaem? Kenapa awak tipu saya? Kenapa tidak sekali pun awak anggap saya seperti kawan awak yang lain? Kenapa mesti awak ingin mainkan perasaan saya? Apa salah saya pada awak Zaem? Apa salah yang pernah saya buat pada awak?” 

            Terlalu banyak persoalan yang datang menimpa Allisya. Mungkin kerana gangguan emosi yang dialaminya, dia keliru mencari jawapan. 

            Allisya masih duduk di tepi tasik. Dia tidak menyangka bahawa dia akan berasa begitu kecewa dengan sikap Zaem. Zaem bukanlah insan seistimewa Iskandar, tetapi kehadirannya dalam hidup gadis itu telah membuatkan hidup Allisya hampir tunggang-terbalik jadinya. Sakit hati Allisya mengenangkan segala peristiwa yang terjadi. 

Allisya akui, kali pertama dia bertemu Muhammad Nur Zaem, dia berasa benci kepada pemuda tersebut. Namun perkenalan itu telah membawa kepada terjalinnya hubungan persahabatan yang tidak pernah disangka. Pengorbanan yang ditunjukan Zaem selama ini telah menyentuh hati kecil Allisya. Bagi Allisya, Zaem merupakan salah seorang teman yang amat dihargai oleh gadis itu. Namun sayangnya, perkenalan yang dimulai dengan rasa benci itu akhirnya turut berakhir dengan kebencian. Allisya masih termenung dan terus termenung.

            Iskandar masih mengintai dari kejauhan. Dia masih berlindung di balik pokok yang sama. Hatinya bercanak dengan rasa sedih melihatkan kesayuan di wajah Allisya. Setiap bait-bait kata  Allisya yang lara itu turut mencucuk-cucuk hatinya yang sedang mendengar. Haruskah dia keluar daripada persembunyiannya dan memujuk Allisya yang sedang dilanda duka? Iskandar menghela nafas panjang. Setelah dia mengetahui Allisya ialah gadis yang dicarinya selama ini, Iskandar merasa takut untuk mendekati gadis itu. Iskandar takut, sekiranya dia muncul setiap hari di hadapan Allisya, gadis itu akan menyedari perasaan cinta yang selama ini terpendam di hatinya.

Iskandar akui, dia tidak seberani Zaem yang mampu berterus-terang tentang perasaannya sendiri, dan Iskandar juga tidak segagah Azim yang mampu melindungi Allisya dari bencana yang datang menimpa. Namun dia? Apa yang mampu dirinya lakukan? Iskandar akui, dia adalah seorang yang pengecut apabila berhadapan dengan cinta. Dia tidak cukup berani untuk meluahkan perasaan hatinya sendiri seperti yang dilakukan Zaem, apatah lagi menjadi pelindung yang hebat seperti Azim. Bagi Iskandar, dirinya penuh dengan kekurangan sehingga dia merasakan dirinya tidak layak untuk mencintai gadis sebaik Allisya.

            Allisya kini membisu, namun wajahnya masih sayu. Dia duduk memeluk tubuh seperti biasa, termenung memikirkan perkara yang tak patut diambil peduli oleh dirinya.

            Perlahan-lahan, Iskandar bersandar kepada pohon yang menjadi tempat dia berteduh tadi. Dia masih menyembunyikan tubuhnya supaya Allisya tidak menyedari kehadirannya di situ. Secara logiknya, Allisya sememangnya tidak akan menyedari kehadiran Iskandar kerana mereka dipisahkan dengan jarak yang besar dan di kawasan sekeliling mereka turut dipenuhi dengan pokok-pokok besar yang lain.

            Kini Iskandar pula yang dibawa angin termenung. Pemuda itu kehairanan, mengapa dia sering sahaja terserempak dengan gadis itu ketika dia sedang bersedih? Mungkinkah itu adalah tandanya dia harus sentiasa berada di sisi gadis istimewa itu? Adakah itu juga bermakna Allisya adalah gadis yang ditakdirkan untuknya? Benarkah Allisya ialah gadis yang ditemui olehnya sepuluh tahun dahulu dan gadis itu adalah jodoh yang telah ditakdirkan Illahi? Terlalu banyak persoalan yang bermain di fikiran Iskandar, tetapi dibiarkan sahaja soalan itu berterbangan melayang tanpa bertemu jawapan.

            “Tapi kenapa? Kenapa pula Allisya berasa begitu terluka kerana Zaem? Adakah kerana Allisya juga menyukai Zaem?” Iskandar sedar, walaupun Allisya adalah gadis istimewa di hatinya, namun dirinya masih bukan sesiapa pun di hati Allisya. Malah, mungkin dia langsung tidak pernah wujud pun dalam memori gadis itu, apatah lagi di dalam hatinya.  

            Masa terus berlalu Allisya masih termenung sambil memandang jauh ke tengah tasik. Wajahnya masih kelihatan sayu. Matanya kosong memandang ke langit, jauh menembusi ke dalam dimensinya sendiri. Iskandar yang memandang daripada jauh dapat merasakan Allisya benar-benar merasa terluka dengan sikap yang ditunjukan Zaem baru-baru ini. Malah Iskandar juga kehairanan mengapa Zaem bertindak sedemikian rupa. Iskandar kenal Zaem sudah begitu lama, dia yakin pasti ada sebabnya mengapa Zaem bertindak seperti itu. Harapannya agar Zaem segera memberikan jawapan secepat yang mungkin. Iskandar sudah tidak sanggup melihat Allisya dirundum duka seperti itu.

            Iskandar menuju ke basikalnya. Dia mengeluarkan kertas A4 dari kertasnya, lalu dilipat-lipatnya kertas itu membentuk seperti sebuah sampan. Kemudian Iskandar mengutip sehelai daripada daun kering yang bertaburan di kakinya. Perlahan-lahan Iskandar menulis menggunakan pen dakwat basah di atas daun itu.

            ‘Sekiranya orang memuji kita, belum tentu lagi orang itu menyayangi kita. Sekiranya orang memarahi kita, belum tentu lagi bahawa orang itu membenci kita. Percayalah, setiap yang terjadi itu pasti ada hikmahnya.’

            Iskandar selesai menulis. Dia meletakkan daun tersebut di atas sampan yang telah dibinanya. Dengan berhati-hati, Iskandar berjalan ke tepi tebing tasik, lalu dihanyutkan sampan berisi daun kering itu ke arah Allisya. Sampan itu hanyut mengikut arus air yang dikocak oleh Iskandar. Bagai turut mengerti, angin yang bertiup lembut turut membantu menolak sampan itu bergerak di kawasan sekitar tepi tasik menuju ke arah Allisya. 

Perlahan-lahan, sampan itu melintasi permukaan tasik di hadapan mata Allisya. Allisya hairan melihatkan sampan kecil yang sedang terapung berdekatan dengan dirinya itu. Lantas Allisya bangun untuk dan menuju ke arah tebing tasik. Dia dapat melihat, ada daun yang diletakkan di atas sampan itu. Dengan segera, Allisya mencapai ranting kayu yang berdekatan lalu menarik-narik sampan yang kelihatan hampir hanyut ke tengah tasik dengan menggunakan ranting yang diambilnya tadi. Sebaik sahaja sampan kertas itu ditarik ke tepi tebing tasik, Allisya mengangkat sampan kertas tersebut sebelum ia sempat tenggelam kerana sarat menyerap air. 

Allisya mengambil daun kering yang dilihatnya tadi lalu membaca tulisan kecil yang ada di atas daun itu. 

“Sekiranya orang memuji kita, belum tentu lagi orang itu menyayangi kita. Sekiranya orang memarahi kita, belum tentu lagi bahawa orang itu membenci kita. Percayalah, setiap yang terjadi itu pasti ada hikmahnya.” 

Allisya melafazkan kembali apa yang dibacanya. Dia terdiam sejenak, memikirkan siapa yang menghanyutkan daun itu ke tasik. Allisya memandang kiri dan kanannya, dia tercari-cari insan misteri yang telah menghantarkan daun itu kepadanya. Namun hampa, tiada satu bayang manusia pun yang dapat dilihat Allisya pada pandangan mata kasarnya.. Iskandar sudah lama menyembunyikan dirinya semula. Dia tidak mahu Allisya tahu bahawa dialah sebenarnya penghantar daun itu.

“Siapa?” Allisya tahu, tiada siapa yang akan menjawab soalannya itu. Allisya merenung kembali daun kering tersebut. Dia tersenyum apabila mengenangkan bahawa selama ini ada orang yang sentiasa memberikan dirinya motivasi dan memujuknya ketika dia berduka walaupun Allisya tidak pernah mengenali siapakah insan misteri itu. 

Membaca kata-kata motivasi yang dituliskan di atas daun kering itu membuatkan Allisya sedar, dia tidak seharusnya berduka dengan apa yang telah terjadi. Mungkin benar, Zaem tidak pernah mencintainya, namun Zaem juga tidak semestinya membenci dirinya. Mungkin segala yang dilakukan oleh pemuda itu ada asbab-asbabnya dan Allisya harus memandang dari sudut hikmahnya. 

“Terima kasih atas pesanan ini.” Allisya sengaja melafazkan ucapan terima kasihnya itu, walaupun dia tidak pasti kepada siapa harus ditujukan ucapan itu. Gadis itu benar-benar berharap agar suatu hari nanti dia akan dapat bertemu sendiri dengan insan misteri tersebut.

Di kejauhan, Iskandar memandang wajah Allisya dengan senyuman. Dia gembira melihat Allisya kembali tersenyum sebaik membaca mesej yang dituliskannya di atas daun itu. Iskandar bukanlah seperti Zaem, mampu menulis madah-madah indah, namun cukuplah sekadar menitipkan pesanan agar dapat dijadikan panduan dan membuatkan gadis itu mengukirkan senyuman. 

Iskandar merenung wajah Allisya yang masih kelihatan tercari-cari akan sesuatu. Pasti dia sedang mencari penghantar daun itu. Iskandar terus bersandar pada pohon tempatnya berteduh. Iskandar tahu kedudukan dan batasnya sebagai seorang lelaki. Tiada ikatan yang halal mengikat mereka berdua, maka Iskandar juga tidak berani mendekati gadis itu. Biarlah takdir tuhan menentukan jodohnya, walau siapa pun bakal zaujahnya Iskandar terima dengan redha. Namun jauh di sudut hati Iskandar dia mengharap bakal zaujahnya itu ialah gadis yang sama yang telah memberikan sinar dalam hidupnya, dan gadis itu adalah Allisya. Haruskah dia memperjuangkan cintanya itu?


            ‘Sekiranya orang memuji kita, belum tentu lagi orang itu menyayangi kita. Sekiranya orang memarahi kita, belum tentu lagi bahawa orang itu membenci kita. Percayalah, setiap yang terjadi itu pasti ada hikmahnya.’

   Nani NA

No comments:

Post a Comment