Sunday 20 November 2011

BAB 32: MERAH ITU DARAH

“Zaem tak sihat ke?” Fazura kelihatan begitu risau melihatkan wajah Zaem. Zaem tidak bercakap sepanjang hari.
Zaem diam. Tangannya sedang memegang sesuatu, tetapi Fazura kurang pasti apa sebenarnya yang sedang digenggam oleh Zaem itu.
“Faz nak pergi ke mesin pinjam buku sekejap. Zaem tolong jagakan laptop Faz ya.” Zaem hanya mengangguk. Sebaik sahaja Fazura pergi, Zaem melepaskan barang tadi daripada genggamannya. Barang itu merupakan sebentuk keychain kayu berbentuk hati yang telah diukirkan dengan nama ‘Allisya’. Rantai kunci itu telah lama dibeli oleh Zaem, sejak sebelum mereka bertengkar lagi. Dia ingin menghadiahkannya kepada Allisya, namun malangnya, insiden buruk yang menimpa membantutkan hasratnya itu. Kini rantai kunci itu menjadi salah satu barang yang amat berharga bagi Zaem. Mungkin sampai bila-bila dia tidak akan dapat memberikan keychain itu kepada Allisya. Tambahan pula, Allisya pasti tidak akan sudi menerima apa-apa hadiah daripadanya lagi semenjak peristiwa di Anjung Teratai dahulu. Allisya pasti sangat bencikan dirinya.
Kesayuan di hati Zaem jelas terpapar di wajahnya. Beberapa orang pelajar junior lain yang lalu di hadapannya berasa hairan dengan perubahan sikap yang ditunjukkan Zaem. Selalunya ketua MPP mereka itu seorang yang ceria dan suka mengenyitkan mata berwarna coklat cairnya yang cantik itu. Tetapi kini, mereka jarang sekali dapat melihat Zaem mengenyitkan matanya lagi. Mengapa?
Zaem tidak menghiraukan orang di sekelilingnya. Ditenungnya rantai kunci tersebut. Perlahan-lahan, memorinya kembali kepada peristiwa di Anjung Teratai tempoh hari. Rasa geram mula hadir dalam dirinya. Dia betul-betul kecewa dengan Azim. “Allisya dan Azim? Apa tak ada perempuan lain lagi ke yang boleh Azim suka? Kenapa mesti Allisya?”
“Zaem,” Fazura tiba-tiba muncul semula daripada belakang Zaem. Zaem yang baru sahaja sedar dengan kehadiran Fazura segera menyembunyikan keychain tersebut.
“Faz tertinggal kad metrik. Tak dapat nak pinjam buku.” Fazura berkata sambil mencapai kad pelajarnya yang terletak di atas meja. Zaem berasa lega kerana sempat menyembunyikan rantai kunci tadi. Namun apa yang Zaem tidak tahu adalah, Fazura sendiri telah pun terpandang barang tersebut ketika Zaem sedang termenung memerhatikannya. Jauh di sudut hati gadis itu, dia merasa terluka. Namun Fazura membuat keputusan untuk menyembunyikan perasaan hatinya.
‘Zaem masih sukakan Allisya?’ Getus Fazura sendiri. Hari belum pun malam, namun hati Fazura sudah pun merasa suram dan kelam.
Di suatu sudut perpustakaan, Allisya terbersin-bersin tanpa henti. ‘Ada orang sebut nama aku ke?’
Allisya sedang sibuk mencari buku yang ingin dipinjamnya. Pada ketika itu, telefon bimbit miliknya bergegar dari dalam poket bajunya. Allisya segera mencapai telefonnya. “Rai rupanya. Kenapa Rai risau sangat ya dengan masalah Zairin ni? Dia ni terlalu banyak berfikir agaknya.” Allisya menyimpan kembali telefonnya dan menyambung semula pencarian yang terhenti tadi.
Allisya mara ke lorong rak buku yang seterusnya. Buku yang dicarinya masih belum lagi ditemui. Sehingga tiba di satu lorong rak buku yang seterusnya, Allisya dikejutkan dengan bunyi buku-buku yang jatuh terhempas ke lantai. Allisya segera berpaling. Farid sedang mengutip buku-buku yang terjatuh itu. Namun tangan sebelah kirinya kelihatan seperti terseliuh, mungkin dihempap buku tadi.
            Allisya bergegas membantu mengutip buku tersebut. Farid sedikit terkejut. Dia cuba berlagak biasa. Farid cuba sedaya upaya mengutip pantas buku-buku yang terjatuh tadi agar dapat segera beredar daripada Allisya. Namun dalam kekocohannya mengutip buku-buku itu, tangan sebelah kanannya pula terlanggar bucu rak buku yang tajam. Malah terdapat paku berkarat yang kelihatan terkeluar daripada celah urat kayu rak tersebut, mengguris dan mencarik kulit lengan Farid. Darah mengalir dengan laju. Allisya yang telah selesai membantu mengutip buku tadi, dengan pantas meletakkan buku-buku itu di atas rak. Kemudian dia mencabut kain reben besar yang menjadi hiasan pada baju blouse miliknya. Dia menghulurkan kain berwarna merah jambu tersebut kepada Farid, namun Farid menarik tangannya ke belakang.
            “Abang, tangan abang berdarah. Abang gunakanlah kain ni untuk tekan luka tu atau ikatkan pada tangan abang.”
            Farid merasa serba salah. Akhirnya dia menyambut kain pemberian Allisya itu. Berat rasa hatinya untuk mengotorkan kain reben milik gadis tersebut, tetapi Allisya masih bertegas untuk memberikan kepadanya pula. Farid cuba mengikatkan kain itu pada bahagian luka di lengan tangan kanannya. Namun dia mengalami kesukaran kerana sakit tangan kirinya yang terkehel tadi masih belum surut lagi. Kasihan melihatkan pemuda itu, Allisya memberanikan diri mengambil dan mengikatkan kain tersebut pada lengan Farid.
Bagai ada aura luar biasa datang menerpa ke dalam jiwa Farid ketika melihat Allisya mengikat kain tersebut ke lengannya. Pemuda itu terdiam. Hatinya tersentuh melihat kesungguhan gadis itu yang berusaha membantunya. Bukankah Allisya tahu dia ialah abang Fazura, tetapi mengapa dia masih rela membantu Farid? Benarkah gadis yang sungguh baik hati itu pernah menyakiti hati adiknya seperti yang dikatakan Syakir? Farid masih keliru.
            “Dah siap. Abang tekan sikit pada tempat luka tu, Insya Allah, cepatlah darah tu berhenti.”
            “Terima kasih.” Farid menjawab ringkas. Namun dia benar-benar ikhlas menghargai bantuan gadis itu. Pada saat itu segala dendam yang tersimpan bagai hilang dipadam oleh kelembutan dan kebaikan gadis kecil itu.
            “Sama-sama,” Allisya membalas dengan senyuman. Dia berlalu pergi  meninggalkan Farid. Namun pemuda itu sempat bertanyakan satu soalan yang mengejutkan dirinya.
            “Allisya, awak bencikan saya ke?”
            Allisya kehairanan mendengarkan soalan yang diajukan oleh siswa lepasan ijazah itu. “Kenapa pula saya nak bencikan abang?”
            “Allisya tahukan saya ni abang Fazura?”
            “Saya tahu. Saya tak pernah bencikan Kak Fazura dan tak ada sebabnya juga saya nak bencikan abang. Saya dan Zaem memang tak pernah ada apa-apa hubungan istimewa. Lagi pun abangkan senior saya, malah merupakan orang yang saya kagum. Saya harap lepas saya tamat pengajian ijazah saya ni, saya pun nak sambung belajar seperti abang.” Allisya menjawab dengan nada yang teruja. Senyuman juga terukir di bibir kecil gadis itu.
            Entah bagaimana, Farid juga tersenyum melihat senyuman gadis itu. Jauh di sudut hatinya tergetus rasa bersalah yang amat mendalam. ‘Macam mana aku boleh tergamak membenci gadis itu sedangkan dia langsung tidak berdosa terhadap aku?’ Farid merasa sungguh kesal, kerana sayangnya kepada adik sendiri, dia tergamak membenci orang lain yang tidak bersalah. Sangkanya Allisya adalah racun yang menjadi punca kepada kesedihan yang ditanggung oleh adiknya itu. Tetapi entah mengapa, hatinya kuat merasakan Allisya adalah gadis yang baik.
            “Allisya, terima kasih sekali lagi. Maaf sebab abang dah kotorkan reben Allisya ni.”
            “Tak apa. Reben tu hiasan tambahan je pada blouse ni. Saya boleh guna kain lain untuk gantikan reben tu. Abang janganlah risau ya.” Allisya melangkah dengan rasa  yang  positif. Pertama kali, dia selesa berbicara dengan Farid. Harapannya moga tiada lagi sangkaan buruk lahir daripada hati mereka lagi. Moga mereka tidak akan bermusuhan disebabkan perkara yang remeh temeh.
            “Mungkin tak ada perkara buruk yang akan berlaku hari ni. Aku je agaknya yang suka fikir bukan-bukan.” Allisya melangkah melepasi seorang insan yang sedang bersembunyi di balik rak buku yang berdekatan. Syakir masih memerhatikan tindak tanduk serta perbualan di antara Farid dan Allisya.
‘Apa yang dah terjadi ni? Musuh tak boleh berkawan rapat. Perkara ini harus dihalang! Farid dan Allisya tidak boleh menjadi kawan!’

*                      *                      *

“Mana Rai ni?” Allisya merenung jam di tangannya. “Tadi suruh tunggu depan pintu utama perpustakaan. Tak akanlah dia masih ekori Zairin lagi? Dah lewat petang ni. Nanti tak ada bas pula nak balik bilik.” Allisya memeluk buku yang telah dipinjamnya tadi. Berat sungguh. Itu belum termasuk lagi dengan buku yang dah sedia ada dalam beg sandangnya dan di bilik. ‘Banyak-banyak pinjam buku ni, sempat ke nak baca?’
            Bunyi sepatu hitam bergema daripada belakang Allisya. Gadis itu menoleh ke belakang. Memang tidak salah lagi. Siapa lagi yang gaya jalannya ala-ala menteri kalau bukan Zaem. Pemuda itu berjalan melepasi Allisya. Dia memang sedar akan kehadiran Allisya di hadapan pintu itu, namun dia sengaja berpura-pura tidak melihat gadis itu. Pemuda tersebut berjalan tegak sahaja, langsung tidak menoleh ke kiri mahupun kanan. Allisya hanya tunduk. Dia enggan memandang wajah pemuda itu. Wajah yang hanya akan membuat hatinya sakit apabila dipandang. Mengapa begitu kerap pula mereka bertembung? Kecil sangat ke USAS ni? Tetapi bukan ke USAS ni antara universiti terbesar dalam negara?
            Zaem menoleh ke kanan, betul-betul tepat ke arah Allisya. “Zaem…” Entah mengapa, nama itu terpancur keluar daripada mulut Allisya. Mengapa Zaem memandang ke arahnya? Adakah Zaem ingin menegurnya? Akan jernihkan hubungan yang telah keruh ini?
            Zaem tersenyum lalu melambai-lambaikan tangannya. Allisya tergamam. Benarkah apa yang sedang dilihatnya? Nyatakah kejadian ini? Realiti atau ilusi? Allisya turut mengukirkan senyuman dan ingin melambaikan tangannya, namun niatnya terbantut sebaik Zaem membuka mulutnya. “Eh, Mai! Seorang je ke?”
              “Taklah. Tadi saya datang dengan Zarina dan Nik. Mana Fazura?”
            Merah muka Allisya menahan malu. Rupanya Zaem ingin menegur dan melemparkan senyuman kepada Maizatul, bukan kepadanya. Mengapalah dia boleh perasan sendiri. Nasib baik dia tak sempat melambai. Jika tidak, pasti dia akan menanggung rasa malu yang amat. Mengapalah dirinya masih buta. Zaem dan dia memang sudah tiada ikatan, walaupun sebagai kawan biasa.
            Allisya melangkah ke hadapan sedikit. Dia enggan menjadi orang yang berada di tengah-tengah perbualan mereka berdua. Entahlah, semakin dia melihat wajah Zaem, semakin terasa sakit pula hatinya.
            “Faz ada dalam perpustakaan lagi. Pergi pinjam buku rasanya. Saya pun kurang pasti.”
            “Oh ya ke? Tadi saya nampak dia berbual dengan Syakir.”
            “Syakir? Tak perasan pula rupanya Syakir ada di perpustakaan juga.”
            “Zaem, perpustakaan kitakan besar. Sampai 5 tingkat, mana nak terserempak dengan semua orangkan.”
            Zaem tersenyum, dalam perbualannya itu, dia sempat mencuri pandang ke arah Allisya. Allisya bagai tidak menyedari kewujudannya pula. ‘Betul ke Allisya bencikan Zaem?’
Maizatul sedang membicarakan tentang sesuatu perkara, namun Zaem tidak pula menumpukan perhatian terhadap apa yang sedang diperkatakan. Matanya sibuk menjeling ke arah Allisya. Allisya masih enggan menoleh kepadanya.  ‘Maafkan Zaem Allisya. Maafkan Zaem kerana mempersiakan Allisya. Maafkan Zaem kerana terpaksa menyakiti Allisya.’
            “AAAAAAAHHHHHHHHH!” Zaem tersentak apabila mendengar suara beberapa orang pelajar perempuan menjerit. Suara jeritan itu datangnya daripada dalam bangunan dan luar bangunan. Mahasisiwi-mahasiswi kelihatan bertempiaran berlari ke arah pintu masuk menjauhi perkarangan perpustakaan. ‘Ada sesuatu yang yang buruk berlaku ke?’
            Dalam kekeliruan yang berlaku, Zaem dapat melihat beberapa orang pelajar lelaki keluar daripada perpustakaan menuju ke perkarangan luar bangunan. Allisya sudah lama hilang daripada pandangannya. Melihatkan kejadian yang berlaku, Zaem menjadi sangat cemas.
            “Apa yang sedang berlaku?” Zaem sempat menarik lengan seorang siswa lelaki yang berlari di hadapannya.
            “Abang Zaem…jatuh…”
“Abang jatuh?”
“Bukan…ada orang…ada orang jatuh dari tingkat atas bangunan!”
            “Astaghfirullah al Azim!” Zaem lantas berlari menuju ke arah tempat yang sama kesemua siswa lelaki sedang tujui. Sepanjang berlari, Zaem tidak berhenti-henti berdoa agar apa yang dikatakan pelajar tadi tidak benar. Moga tiada sesiapa pun yang betul-betul jatuh daripada bangunan perpustakaan mereka.
            Larian Zaem terhenti apabila tiba di satu kawasan yang kelihatan dikerumuni oleh beberapa orang pelajar. Zaem cuba masuk dan lalu di celah-celah mahasiswa lain. Mereka semua kelihatan bagai sedang dirasuk dan tidak mampu berkata apa-apa. Sesampai sahaja Zaem di tengah-tengah kawasan kerumunan itu, Zaem terlihat Allisya. Mata gadis itu kelihatan terbeliak. Kedua-dua belah tangannya pula sedang menakup mulutnya sendiri.
            “Allisya!” Zaem menyeru nama gadis itu. Namun Allisya masih kaku, kejung bagai sedang melihat sesuatu yang sangat dasyat.
            Zaem berlari ke sebelah Allisya. Dia memandang ke arah kawasan yang sedang ditenung oleh gadis itu.
“YA ALLAH!” Sesak nafas Zaem sebaik sahaja melihat kejadian yang sedang berlaku itu. Terketar-ketar kaki pemuda itu dengan hanya berdiri di tempat kejadian. “Siapa? Siapa?”
Zaem segera berpaling semula kepada Allisya. Allisya masih kaku. Matanya yang sedang terbeliak itu kelihatan seperti sedang diselubungi dengan perasaan takut. Mukanya pucat bagai orang yang baru sahaja kehilangan banyak darah. Air mata sudah pun mengalir pada alis mata gadis itu.
“Allisya, jangan pandang lagi! Tutup mata awak!” Namun Allisya seperti tidak dapat mendengar suara Zaem lagi. Gadis itu bagai tenggelam dalam ketakutannya sendiri. Dia sedang sesat dalam dimensinya sendiri. Perkara yang sedang dilihatnya, benar-benar telah membuatkan gadis itu trauma.
                     
Zaem tidak berlengah. Pemuda itu tidak sanggup melihat Allisya menyeksa diri memandang sesuatu yang tidak sepatutnya dilihat oleh dirinya. Zaem dengan pantas menanggalkan blazernya, lalu menyarungkannya ke kepala Allisya bagi menutup wajah gadis itu dari terus memandang kejadian ngeri yang berlaku di hadapannya. Zaem tahu, Allisya menjadi kaku kerana terlalu terkejut melihatkan kejadian tersebut.
 Allisya tidak memberontak apabila wajahnya ditutup oleh Zaem. Matanya tidak lagi memandang lumuran darah tadi. Dia terasa bagai telah dikejutkan daripada mimpi ngeri. Namun Allisya masih tidak terdaya untuk menggerakkan anggota tubuhnya. Mindanya trauma. Badannya masih menggigil. Sebaik sahaja wajahnya ditutup. Dia menangis semahu-mahunya. Gadis itu tidak meraung, namun air matanya mengalir deras kesan daripada melihat kejadian yang menyayatkan hati itu.
Raihana muncul daripada celahan mahasiswa lain. Dia termengah-mengah kerana penat berlari keluar daripada dalam perpustakaan. Gadis itu menjerit sebaik melihat ‘objek’ yang berada di hadapannya. Kerana tidak sanggup memandang, Raihana segera memalingkan wajahnya daripada tempat kejadian.
 “Raihana, jangan tengok lagi. Tolong bawa Allisya pergi dari sini.” Mendengarkan sahaja arahan Zaem itu, Raihana mengangguk. Lalu gadis itu segera memaut Allisya dan menarik sahabatnya itu keluar dari kelompok tersebut.
Zaem meraup wajahnya berulang-ulang kali. Tidak dinafikan, dia sendiri merasa takut dengan apa yang sedang dilihat oleh matanya. Beberapa minit kemudian, Iskandar muncul dari belakang Zaem. “Zaem, apa yang berlaku?”
Zaem tidak mampu menjawab. Dia membiarkan Iskandar melihat sendiri kejadian itu. Zaem masih membuka matanya, melihatkan sesuatu yang amat mengerikan. Di hadapannya terbaring sekujur tubuh yang terlentang ke belakang. Darah merah pekat kelihatan mengalir dari bahagian bawah tubuh mangsa, malah meresap ke seluruh bahagian baju T-shirt putihnya. Wajah mangsa tidak dapat dilihat kerana sedang menghadap ke arah yang bertentangan dari sudut yang sedang Zaem pandang. Rambut hitam mangsa basah dilumuri darahnya sendiri. Kaki mangsa kelihatan terkepak seperti kupu-kupu yang telah mati. Sekali lagi Zaem beristighfar. Sedang Zaem memerhati, dia terpandang sehelai kain berwarna merah jambu yang sedang terikat di lengan pemuda malang itu. Siapakah pemuda tersebut dan mengapa lengannya diikat dengan kain merah jambu itu?
“ABAAANG!” Suara jeritan kedengaran bergema di ruang udara sekeliling mereka. Zaem mendongak. Fazura kelihatan sedang berada di tingkat tiga perpustakaan tersebut. Gadis itu sedang menagis dan meraung-raung seperti orang gila di tingkap yang berdekatan.
“Fazura? Kenapa Faz…” Zaem memandang kembali ke arah mayat yang dilihatnya tadi, “FARID!”
“TAK, TAK MUNGKIN! ABANG! ABANG!” Fazura masih meraung, menjerit-jerit dari tingkat atas bangunan. Dia kelihatan seperti ingin terjun ke bawah menyertai arwah abangnya. 
Zaem menjadi cemas. “FAZ JANGAN!” Pemuda itu khuatir sekiranya Fazura akan bertindak di luar kewarasan dirinya. Mujurlah Zarina dan Nik Ain turut berada di tingkat yang sama dengan Fazura dan mereka sedang berusaha menenangkan serta menarik gadis itu untuk menjauhi tingkap tersebut.
“Ya Allah..” Zaem memandang pula ke arah tingkap-tingkap lain di setiap tingkat bangunan perpustakaan itu. Beberapa orang  pelajar lain turut menjengahkan kepala mereka keluar tingkap untuk melihat kejadian tersebut dengan gambaran yang lebih jelas. Ada beberapa orang pelajar turut menjengah dari tingkat empat dan lima, namun Zaem tidak pasti siapa. Dia tidak dapat mengecam wajah-wajah itu kerana kedudukan mereka yang terlalu jauh.
Zaem mengeluh. ‘Kenapa? Kenapa keadaan boleh menjadi seburuk ini? Apa yang telah terjadi? Siapakah yang menjadi dalang sebenar kejadian ni?’
 Seluruh tubuh Zaem menjadi lemah. Kakinya masih menggigil. Perkara yang paling ditakutinya kini telah pun berlaku. Zaem bingung. Di manakah kesilapannya,dan di manakah kelemahan kepimpinannya sehinggakan perkara buruk seperti ini boleh berlaku?
“Ya Allah, aku berlindung kepadaMu ya Rabb. Berikanlahku kekuatan untuk menghadapi dugaanMu ini.” Peluh sudah pun mengalir ke dahi pemuda itu. Otaknya kusut memikirkan kejadian yang baharu sahaja terjadi. Kini Zaem tidak pasti, adakah dia masih mampu menghadapi semua ini seorang diri?
   Pada saat itu Zaem teringat akan satu lagi sampul surat yang baru sahaja diterimanya pagi tadi. Zaem sengaja tidak mahu membukanya dari pagi tadi kerana bimbang jika isi surat tersebut akan menserabutkan lagi mindanya. Entah mengapa, kini dia tiba-tiba sahaja tergerak hati untuk membukanya. Sebaik sampul tersebut direntap dan lipatan kertas surat itu diselak, Zaem tercengang membaca isi surat layang kedua yang diterimanya kali ini.
Ketawalah selagi terdaya kerana esok, ENGKAU PASTI AKAN MENANGIS.’

No comments:

Post a Comment