Monday 12 December 2011

BAB 35: HUJAN DI HATI

“ Cara termudah untuk mengelak daripada hati terus disakiti adalah dengan menjauhi cinta, namun itulah sebenarnya perkara yang paling sukar untuk dilakukan dalam hidup ini.”



“Akak ada beri tahu sesiapa tentang hal saya?”
“Bila masa pula akak beri tahu orang dan Zairin kenapa dengan kamu ni? Dua tiga hari ni nampak tak tenang je?”
“Tak ada apa-apa kak. Cuma baru-baru ni ada orang asyik pertikaikan status kelab saya. Saya rasa macam ada yang tak kena.”
“Ada orang dah tahu perkara sebenar ke? Tapi akak tak beri tahu sesiapa pun. Jangan nak berani tuduh-tuduh akak.”
“Tapi macam mana mereka boleh tahu?”
“Itu akak tak tahu. Sudahlah Rin, jangan kaitkan akak dengan masalah kamu lagi. Kamu ingat, akak dah tak ada kerja lain ke nak buat?”
“Tapi…” Zairin masih berasa sangsi. Malah dua tiga hari ini, dia turut terasa bagai sedang  diekori.

*                      *                      *

            Allisya menyelak nota kuliahnya. Dia sedang menunggu Raihana pulang. Mereka baru sahaja selesai menghadiri kuliah Kimia Industri. Allisya masih menanti Raihana. Raihana hilang sebaik sahaja kuliah tamat. Allisya mengandaikan Raihana ke tandas. Sebab itulah Allisya masih duduk menanti Raihana untuk pulang ke kolej kediaman bersama-sama. Namun sangkaan Allisya meleset sebaik dia menerima panggilan daripada Raihana.
            “Sya balik dulu ke bilik ya. Rai ada urusan lain.”
            “Urusan apa Rai? Rai ada dekat mana?”
            “Rai tengah ekori Rin.”
            “Kenapa nak ekori dia?”
            “Sya, diakan suspek utama kita!”
            ‘Sejak bila pula dia jadi suspek kita? Tak ada motif Zairin nak aniaya kita atau arwah Abang Farid. Lagi pun Sya rasa, dalam ramai-ramai orang, dialah yang paling tak logik untuk dijadikan suspek!’
            “Sya ni macam tak biasa je tengok cerita. Selalu dalam cerita, siapa yang jadi pembunuh sebenar? Orang yang paling kita tak sangka-sangkakan? Kita tetap tak boleh percaya dia, walaupun dia rapat dengan dia!”
            “Rai! Sya rasa Rai terlalu banyak tengok cerita fiksyenlah. Jangan fikir benda-benda yang mengarut. Mungkin arwah memang tergelincir je. Lagi pun Rai tak kasihan ke dengan Zairin? Dia tak tahu apa-apa pun, tiba-tiba je kena tuduh jadi pembunuh. Kita pula tu yang tuduh dia! Rai agak apa yang Rin akan rasa kalau dia dapat tahu tentang hal ni?” Allisya cuba meyakinkan sahabat baiknya itu agar tidak berprangsangka buruk lagi.
             “Sya jangan risau, paling teruk pun, Zairin benci kita je. Oklah, hari ni Sya balik sorang-sorang tau. Bye Allisya!” Raihana terus sahaja menamatkan panggilannya, membuatkann Allisya terpinga-pinga.
            Allisya mengeluh sendirian. Dia masih terfikir, ‘betul ke Zairin bersalah?’
            Peristiwa-peristiwa lama berputar-putar semula di dalam fikirannya. ‘Tapi kalau betul Zairin tak ada niat jahat, kenapa dia nak sembunyikan kebenaran?’
            Allisya terhenti daripada bermain kata-kata, sebaik sahaja melihat titisan-titisan air yang turun daripada langit. Allisya lantas mendekati tingkap kaca bilik kuliahnya itu, “hujan?”Allisya tidak menzahirkan keluhan di hatinya, namun dia tetap merasa risau.  ‘Macam mana nak ke perhentian bas ni? Dahlah lebat.’
            Allisya menyandang beg miliknya. Dia turun ke tingkat bawah bangunan dengan kaki yang longlai. Selalunya Allisya akan menumpang payung Raihana, tetapi malangnya hari ini Raihana melencong ke tempat lain pula. ‘Nampak gayanya kena berlari dalam hujanlah ni.’
            “Tak pulang lagi Allisya?”
            “Eh, Dr. Ariffin. Belum lagi Dr. Baru nak balik ni.”
            “Baiklah, hati-hati pulang ya.” Pensyarah itu melangkah pergi sambil mengukirkan senyuman. Allisya hanya memerhatikan sahaja pensyarah itu naik ke tingkat atas.’Apa yang Dr. Ariffin buat di fakulti ni?’ Semakin banyak persoalan yang timbul berkaitan dengan pensyarah itu, namun Allisya tidak mahu menambahkan lagi fikirannya yang sedia kusut itu dengan masalah lain.
            Allisya melanjutkan perjalanannya, dia berhenti di hadapan pintu utama fakulti. Gadis itu terhenti dari terus melangkah.  Hujan kelihatan terlalu lebat pula. Patutkah dia berehat di ruang santai fakulti dahulu?
            “Tapi kalau tak bertolak sekarang takut dah tak ada bas pula nanti.” Tanpa berfikir panjang, Allisya mengangkat kakinya untuk melangkah pulang. Namun langkahnya terbentat apabila dia mendengar namanya diseru, “ALLISYA!”
            “Abang Azim?” Di kejauhan, Allisya dapat melihat wajah Azim.
Pemuda itu datang mengharungi hujan sambil membawa sepasang payung. Satu daripada payung tersebut telah dibuka manakala satu lagi payung disangkutkan pada lengannya. Allisya bagai tidak dapat mempercayai matanya sendiri. Hujan yang menitis ke atas mukanya juga tidak dihiraukan oleh gadis itu. Dia terpaku melihat pemuda itu berlari mengharungi hujan menuju ke arahnya. Pemuda  tersebut langsung tidak menghiraukan lopak-lopak air yang berada di hadapannya. Dia masih berlari menuju ke arahnya. Adakah panglima itu benar-benar datang untuk menyambutnya?
“Panglima Azim..” Hati Allisya terusik melihat kesungguhan panglimanya itu.  Pada saat itu Allisya dapat melihat, betapa segaknya pemuda USAS itu. Walaupun pemuda tersebut tidak sekacak Zaem dan tidak juga semanis Iskandar, namun kehadiran panglima itu mampu membuatkan jantung Allisya berdegup sekencang larian kuda.  
            “Allisya, masuk balik dalam fakulti!” Jeritan Azim menyentak lalu memadamkan bayangan imaginasi gadis itu.      
Allisya berganjak ke belakang. “Abang Azim…kenapa abang datang ke mari?”
            “Kamu tu, kenapa kamu nak berjalan dalam hujan lebat macam ni? Kalau demam siapa yang susah?” Azim tidak menjawab soalan Allisya, malah dia pula yang mempersoal tindakan gadis itu.
            “Saya nak ke perhentian bas je. Bukan nak main hujan.” Allisya bernada rajuk, sedih hatinya apabila diherdik sebegitu. Sebenarnya Azim datang untuk menolongnyakah atau ingin memarahi dirinya?
            “Kalau ya pun, tunggulah abang sampai!” Azim meletakan payung hitam yang dipegangnya ke lantai. Kemudian dia membuka satu lagi payung yang dibawanya bersama. Payung itu sungguh cantik sekali. Berwarna merah jambu, dan dihiasi dengan gambar bunga-bunga berwarna ungu, persis payung Allisya yang telah rosak seperti sebelum ni.
            “Ambil ni.”
            Allisya terdiam, masih tergamam. Benarkah apa yang sedang dilihatnya ini?
            “Allisya!”
            “Ah, ya.” Menggigil-gigil tangan Allisya menyambut payung yang dihulurkan Azim.
            “Terima kasih…”
            “Jom.” Azim mengambil semula payung hitamnya.
            “Ke mana?”
            “Ke mana lagi? Ke bus stoplah.” Azim melangkah ke hadapan tanpa sedikit pun menoleh ke arah Allisya.
            Melihat sahaja Azim telah jauh ke hadapan, Allisya lantas mengejar daripada belakang.
            “Terima kasih Abang Azim.” Azim diam sahaja. Lantas Allisya melanjutkan kata-katanya, “Macam mana abang tahu saya ada di fakulti ya?” Allisya memandang ke arah Azim dengan harapan Azim akan memberikan responnya. Azim enggan melayan Allisya. Dia masih berjalan seperti biasa.
            Melihatkan sikap Azim yang dingin, Allisya berhenti daripada bersuara. Dia tahu memang susah nak mendengar suara Azim, jadi dia tidak terlalu mengharap. Kedatangan Azim untuk menyambutnya di dalam hujan itu telah cukup membuatkan Allisya merasa dihargai. Allisya tidak pernah menyangka, pemuda itu benar-benar telah mengotakan janjinya. Buat seketika, Allisya mula mempersoalkan, ‘adakah Azim benar-benar menyukai dirinya?’
            Mereka berdua berjalan seiringan di dalam hujan lebat. Walaupun masing-masing diam, namun petang yang dingin itu menimbulkan suasana yang romantik.
            “Allisya,” Azim tiba-tiba sahaja bersuara setelah diam sekian lama.
            “Ya saya?”
            “Apa hubungan Allisya dengan Zaem?” Langkah Allisya terhenti apabila mendengarkan sahaja soalan Azim.
            “Tak ada apa-apa.” Allisya tunduk ketika menjawab. Matanya terbuka, namun hatinya terasa bagai telah tertutup sebaik sahaja mendengarkan nama Zaem disebut.
            “Langsung?” Azim sengaja menguji. Dia tahu, Allisya tidak berlaku jujur dalam memberikan jawapannya.
            “Kami pernah menjadi kawan…” nada suara Allisya kedengaran begitu sayu sekali. Memori gadis itu kembali mengingati kejadian yang berlaku di perpustakaan sebelum ini. Ketika itu, Allisya berasa sangat takut. Namun Zaem muncul memadamkan ketakutan di hatinya. Malah blazer yang Zaem gunakan untuk menutup pandangannya itu, masih lagi berada dalam simpanan Allisya. Benarkah Zaem benar-benar membencinya? Tetapi jika benar pemuda itu begitu membencinya, mengapa pula Zaem masih mengambil berat terhadap dirinya? Siapakah sebenarnya dia di hati Zaem?
            Azim masih memerhatikan riak wajah Allisya. Dia tahu gadis itu sedang memikirkan sesuatu, dan dia juga tahu perkara itu berkaitan dengan Zaem.
            “Allisya?”
            “Ya saya?”
            “Jangan ingatkan lagi perkara yang menyakitkan hati.”
            Allisya diam. Dia kembali melangkah. Memorinya berkenaan dengan Zaem dibuang jauh-jauh agar tidak lagi mengganggu mindanya.
            “Macam mana pula dengan Iskandar?”
            “Abang Is?” Sebaik mendengarkan nama arjuna itu, Allisya kembali mengukirkan senyuman. Azim tidak terkejut melihatkan reaksi gadis itu. Pemuda itu tahu, Iskandar mempunyai yang istimewa di hati Allisya.
            “Abang Is lain. Dia istimewa.”
            “Istimewa?”
“Ya, Abang Is seorang yang sangat baik dan bijak. Dia lain daripada mana-mana lelaki yang pernah saya jumpa, sebab itulah dia sangat istimewa.”
“Allisya sukakan Is ke?”
            Allisya tidak terkejut mendengarkan soalan yang diajukan oleh Azim, malah dengan yakin, Allisya menjawab soalan pemuda itu. “Tak, lebih daripada itu…”
            Jawapan Allisya kurang menyenangkan hati Azim. Dia merenung wajah gadis itu.
      “Saya bukan sekadar sukakan abang Is. Jujurnya, saya sayangkan Abang Is…sayang seperti abang saya sendiri.”
Azim hairan mendengarkan jawapan Allisya. Apakah maksud Allisya sebenarnya? Adakah gadis itu tidak tahu membezakan erti sayang dan cinta? Beza abang dan kekasih?
Allisya tersenyum sambil memandang Azim. Setelah cuba melepaskan nama Iskandar pergi, Allisya semakin yakin dengan perasaan hatinya sendiri. Dia tidak mungkin mampu memadamkan nama Iskandar diri hatinya, malah nama itu semakin kuat bersemadi di sanubarinya. Namun Allisya sedar, dia bukan sekadar menyukai dan mengagumi Iskandar.  Cinta yang selama ini terpendam di hatinya, kini telah bertukar menjadi perasaan sayang. Allisya sudah menganggap Iskandar sebagai sebahagian daripada hidupnya. Allisya tidak malu mengaku bahawa dia benar-benar menyayangi Iskandar dan sayangnya itu  adalah perasaan ikhlas seoarang adik terhadap seorang abang. Allisya tahu, cinta itu bukan miliknya. Namun rasa sayang di hatinya akan tetap ada sampai bila-bila.
            Mereka berdua meneruskan langkah ke perhentian bas berdekatan. Tiada apa lagi yang ingin dibicarakan. Allisya merasa selamat apabila berada di sisi Azim, dan Azim merasa selesa berjalan di sisi gadis istimewa itu.
            Tidak jauh daripada fakulti Sains Gunaan dan Sains Biomolekul itu, Iskandar sedang berteduh di bawah sebuah pondok telefon. Sudah lama dia berdiri di situ. Badannya kaku berbalutkan baju hujan. Tangannya pula erat menggenggam sekaki payung berwarna putih. Wajahnya sayu, bagaikan baru sahaja melihatkan satu kejadian yang menyayatkan hati.
            Mata pemuda itu tidak berkelip-kelip memandang ke langit. Cermin matanya pula kelihatan basah ditimpa hujan. Sebentar tadi dia berlari-lari daripada fakulti perubatan membawa payung untuk diberikan kepada Allisya. Dia tahu Allisya tidak membawa payung. Malah sebentar tadi, dia ada terserempak dengan Raihana. Menurut Raihana, Allisya masih berada di fakulti. Mujur dia membawa payung dan baju hujannya sekali. Maka bolehlah dia meminjamkan payungnya kepada Allisya, dan dia sudah cukup dengan memakai baju hujan sahaja. Justeru sebaik sahaja hujan turun, Iskandar sedaya upaya berlari ke fakulti gadis itu untuk memberikannya payung. Hati Iskandar menjadi tidak tenang. Dia risau kalau-kalau gadis itu demam bermandikan hujan. Namun kedatangan pemuda tersebut tidak pula mendamaikan hatinya, malah membuatkan hatinya berkocak dengan pelbagai rasa.
            Sebaik tiba di fakulti, Iskandar melihat Azim datang menyambut Allisya. Iskandar tidak berani melangkah, dia bersembunyi di balik pondok telefon berdekatan. Hatinya retak melihatkan kejadian tersebut. Benarlah sangkaannya, Azim ialah panglima yang sering dipuji-puji Allisya. Panglima yang akan datang memayungi gadis itu walau dalam hujan lebat.
            Iskandar masih tidak menggerakkan tubuhnya. Dia tidak sanggup menoleh ke belakang lagi. Hatinya juga terasa dingin bagai dibasahi hujan yang sedang turun. Mengapa selama ini dia tidak dapat melihat segala-galanya? Ketika Allisya sesat di dalam hutan, hanya Azim yang berada di sisi gadis itu dan ketika Allisya cuba dicederakan, Azim jugalah yang datang mengorbankan dirinya.
Cinta yang sejati adalah cinta yang mampu melindungi, bukan cinta yang hanya dipendamkan dalam hati. Iskandar sedar, dia tidak layak memiliki cinta...
          “Cara termudah untuk mengelak daripada hati terus disakiti adalah dengan menjauhi cinta, namun itulah sebenarnya perkara yang paling sukar untuk dilakukan dalam hidup ini.”

No comments:

Post a Comment