Monday 8 August 2011

BAB 7: MATAHARIKU (Bahagian ke-2)



“Cik Arnab jangan risau ye, nanti kita sama-sama cari panglima Iskandar supaya awak boleh pulang ke rumah awak.” Allisya mendukung sambil memeluk arnab itu dengan manja sekali. Namun, belum sempat dia melangkah, kedengaran satu suara menegurnya. 

“Minta maaf, boleh saya buat aduan? Arnab saya hilang.” Suara itu bernada rendah namun sangat menarik perhatian Allisya.

            “Abang Is… Iskandar.” Hampir tersangkut-sangkut suara Allisya menyahut.

            Iskandar tersenyum, menawan hati Allisya yang sedang rawan.

            “Abang Iskandar, saya jumpa arnab ni dekat kawasan sini-sini. Saya pun tak tau macam mana dia boleh ada dekat kawasan ni. Saya tak sengaja…” belum pun sempat Allisya menghabiskan kata, dia dapat melihat Isakandar menggeleng. Senyuman masih terlekat di wajah manisnya. Allisya terhenti serta-merta.

            “Abang tau awak tak bersalah. Mungkin arnab ni suka sangat pada Allisya, sebab tu sampai ke mari dia datang.”

            Allisya terdiam. Hatinya hampir terkeluar kerana diserang rasa teruja. “Abang tau nama saya?” Entah kenapa, soalan itu ringan sahaja terkeluar dari mulutnya. Mungkin disebabkan dia merasa terlalu teruja, bercampur pula dengan perasaan gembira.

            “Kenapa tidak? Allisyakan satu kelab dengan abang?” Iskandar hairan dengan soalan yang dikemukan Allisya. Dia bergerak menghampiri pohon tua tempat Allisya sedang berteduh. 

Allisya bermain dengan perasaan hatinya. Kedatangan Iskandar memberikan kesan yang berbeza daripada kehadiran Azim di hadapannya sebentar tadi. Bertemu dengan Azim membuatkan jantung Allisya berdegup kencang, perasaannya menjadi cuak dan gementar. Namun, pertemuannya dengan Iskandar memberikan seribu rasa ketenangan di dalam jiwanya. Membuatkan dia gembira dengan hanya memandang wajah yang redup itu. Dia berasa begitu dekat sekali dengan insan yang berulang kali telah mencuri hatinya.

            “Allisya suka arnab ke?”

            “Suka! Saya suka semua haiwan.” Allisya menjawab dengan hati yang senang. Segala kekusutan yang melandanya hilang begitu sahaja tatkala mendengarkan jawapan Iskandar dan melihat wajah redup jejaka itu.

            “Kalau macam tu, Allisya masuklah sekali kelab pencinta haiwan kami.” 

            “Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan.” 

Iskandar tersenyum senang mendengarkan jawapan Allisya. Dia terpandang kertas daftar kursus pengajian di atas tanah, tempat Allisya duduk melepaskan tekanannya tadi. Dokumen daftar kursus itu hanya perlu dibawa oleh mahasiswa jika ingin mengambil ujian di dewan peperiksaan.

            “Tadi ada ujian ke?”
            Allisya menggangguk.
            “Dapat jawab?”
            “Kurang. Saya rasa mungkin saya dapat markah teruk.”
            Iskandar dapat melihat kesedihan di mata Allisya. 

            “ Nak dengar satu kisah menarik tak?” Allisya kehairanan mendengarkan soalan Iskandar itu, namun dia segera mengangguk tanda setuju. 

Allisya bersandar pada pohon yang rendang tadi, manakala Iskandar bersandar pada pokok yang sama, tetapi dari arah bertentangan dengannya. Pohon tersebut sangat besar sehinggakan Allisya tidak dapat melihat sedikit pun kelibat Iskandar dibelakangnya apabila dia cuba menjeling. Mereka berdua memandang ke arah yang berlainan, namun langit yang dipandang mereka berdua adalah sama. Hati Allisya berbunga-bunga. Dia terasa begitu dekat dengan panglimanya itu. 

            “Kisahnya begini… Pada zaman dahulu tinggal dua orang adik beradik yang hidup bersama bapanya, juga merupakan seorang nelayan. Si abang sangat pandai berenang kerana dia sungguh rajin berlatih berenang di hadapan rumahnya. Si adik pula enggan menyertai abangnya, dia malas untuk belajar berenang.” Iskandar memulakan penceritaannya.

“Suatu hari, si adik terjatuh ke dalam sungai. Disebabkan dia tidak tahu berenang, dia hampir lemas. Mujur si abang datang membantu. Si adik menyesal kerana tidak memperlajari teknik berenang bersama-sama abangnya selama ini. Maka, si adik bertekad untuk menguasai kemahiran berenang agar dia tidak akan lemas lagi.” 

Allisya mendengar dengan penuh khusyuk. Tangannya masih membelai Cik Arnab.
“Mulai dari saat itu, Si adik belajar dengan bersungguh-sungguh daripada bapa dan abangnya. Malah dia belajar jauh lebih gigih dari abangnya. Biar berhujan ribut sekali pun, si adik tetap berlatih.” Iskandar berhenti menarik nafas, lalu menyambung semula ceritanya.

“ Dia pernah merasa tersseksanya lemas di dalam air, lalu bertekad untuk tidak mahu lemas lagi. Sehinggalah tiba satu waktu, bapa mereka telah membawa mereka menjala ikan ke tengah laut. Entah bagaimana, ribut pun melanda. Sampan mereka pecah. Air yang terlalu dalam dan keadaan cuaca yang teruk menyebabkan abangnya hilang keupayaan untuk berenang dengan baik. Namun, tidak pada adiknya. Dia sudah biasa berlatih, berenang dalam ribut hujan. Si adik menyelamatkan nyawa abangnya. Dia bersyukur dia pernah lemas sekali dalam hidupnya yang akhirnya menjadikan dia kini sebagai perenang yang hebat.”

Allisya tersenyum mendengar cerita Iskandar. Dia faham maksud disebalik cerita dongeng itu. Dia sama seperti si adik itu. Lalai sehingga gagal. Namun, dari kegagalannya ini dia harus bangkit untuk berusaha jauh lebih kuat dari yang lain, agar bila tiba saat yang paling sukar pun, dia akan mampu menghadapinya kerana dia sudah bersedia. 

‘Terima kasih Iskandar. Dikau benar-benar seperti matahari yang sentiasa menyinari hidupku. Kiniku yakin, engkaulah matahariku. Akanku pegang kata-kata nasihatmu untuk menyuluh sepanjang perjalanan hidupku. Ya tuhan, begitu sempurna perkiraanmu. Engkau uji diriku dengan kegagalan agar aku sedar kesilapanku. Malah kau utuskan seorang insan, untuk mengingatkan diriku yang sering lalai dan alpa. Syukur, Alhamdulillah.’

Sebelum berpisah, Iskandar sempat memberi pesanan kepadanya, “Pandanglah setiap yang terjadi itu dengan berhikmah, bukan pandang dengan perasaan yang marah.”

*                      *                      *

Allisya menampal puisi yang dituliskannya sempena peristiwa petang tadi ke dinding yang menjadi sudut rujukannya. Pertemuannya dengan Iskandar memberikan semangat baru dalam hidup Allisya. Lalu, dilakarkan Allisya keindahan mataharinya itu ke dalam sepotong puisi.

Matahariku…
Indahnya cahayamu mengintai isi bumi,
Menyinari nubariku yang sedang merindu,
Engkau terangi hatiku dengan cahaya cintamu,
Engkau pantulkan kilauanmu menjadi pelangi untuk memujuk hatiku,
Meski pun malam kian memelukku,
Merah rona senjamu tetap membuat hidupku silau dengan kasihmu.

Matahariku,
Jika engkau tenggelam  di ufuk Barat,
Ku setia menantimu di ufuk Timur.
Tidak akan hilang keyakinanku padamu,
 Biarpun engkau dilindung awan,
Biarpun malam menjadi teman,
Keranaku tahu,
Cahayamu adalah nirwarnaku.
Meski licin hujung jemariku, akanku capai cintamu itu.

            Allisya duduk sambil memandang puisi nukilannya itu. Meski pun Allisya sangat sukakan Iskandar, namun dia tidak mahu menampal gambar Iskandar di meja tulisnya. Dia tidak mahu lalai merenung wajah lelaki idamannya itu. Cukuplah dengan sekadar menatap puisi ‘matahari’nya itu, Allisya akan diselubungi rasa gembira. Perlahan-lahan, Allisya menyelak buku rujukannya yang bertajuk ‘Pengenalan kepada Mikrobiologi’. Allisya tidak mengharapkan cinta dari Iskandar, cukuplah sekadar pemuda itu menjadi sumber inspirasi dan pemangkin hidupnya. Dia harus buktikan pada Iskandar bahawa dia pasti akan berjaya. Insya Allah.

             Nani NA

“Pandanglah setiap yang terjadi itu dengan berhikmah, 
bukan pandang dengan perasaan yang marah.”




No comments:

Post a Comment