Wednesday 24 August 2011

BAB 16: TETAP MENUNGGU



            Hujan turun renyai-renyai. Tiada lagi ribut kuat, yang tinggal hanyalah saki-baki angin yang bertiup lembut menyapa tubuh Azim dan Allisya. Allisya masih dibaluti jaket hitam milik Azim. Badan Azim pula lencun dibasahi air hujan. Mereka kembali menyambung perjalanan yang tadinya terhenti kerana hujan lebat. 

            Azim dan Allisya berjalan menyusuri laluan di tepi tebing menuruni aliran anak sungai. Kedua-dua mereka membisu di sepanjang perjalanan mencari jalan pulang. Tiada sepatah kata pun yang kedengaran. Allisya masih malu dengan peristiwa yang berlaku tadi. Dia masih terkejut dengan layanan yang telah diberikan oleh Azim itu. Allisya yang mengikuti dari belakang hanya memandang wajah pemuda yang berusia awal 20an itu. Wajah Azim masih kosong dari sebarang emosi. Allisya tidak pasti akan apa yang sedang difikirkan oleh pemuda tersebut.

            Hari sudah beransur petang. Bagaimana pula sekiranya hari  menjadi semakin gelap? Dengan keadaan yang beransur gelap dan dia hanya tinggal berdua sahaja bersama Azim di hutan yang tebal itu membuatkan Allisya betul-betul merasa risau. Allisya bukannya tidak percayakan Azim, namun seperti yang dikatakan Azim, Allisya seorang perempuan, dia tidak boleh begitu mudah mempercayai lelaki. Tambahan pula, apabila seorang lelaki dan seorang perempuan berdua-duaan, pasti akan ada ‘orang’ ketiga di tengah-tengah mereka yang sentiasa mencari peluang menghancurkan iman yang ada. Perasaan takut mula menguasai Allisya. Takutnya dia bukan kerana hasutan syaitan, tetapi takutnya dia adalah kerana kelemahan imannya sendiri. Doanya, semoga mereka segera menemui jalan pulang. 

            “Allisya…” 

            Allisya tersentak apabila mendengarkan namanya dipanggil. Dia menoleh ke belakang, malah ke kiri dan kanannya, tiada sesiapa pun yang berada di kawasan sekitarnya. Azim pula masih berjalan sambil mulutnya ditutup rapat.

            Allisya mengeluh. Adakah dia sedang rindukan Zaem sehinggakan dia dapat mendengar suara pemuda itu memanggil-manggil namanya? Tidak, tak mungkin! Mana mungkin Allisya merindui seseorang yang tidak memegang watak penting dalam kisah hidupnya itu.

            Allisya sedar, semakin dia mengenali Zaem, semakin jelas terlihat segala kebaikan yang ada pada jejaka itu. Namun hati dan perasaannya tidak boleh dipaksa. Nama Iskandar masih teguh di hati Allisya, walaupun pada hakikatnya Allisya tahu bahawa dia langsung tidak layak berdampingan dengan insan yang sangat sempurna itu. Meski pun begitu, dia akan tetap menunggu. Siapa tahu, keajaiban bisa sahaja berlaku.

            “Allisya…”

            Allisya mengeluh sekali lagi apabila suara lelaki bermata coklat muda itu masih sayup-sayup terngiang-ngiang di telinganya. Adakah cinta Zaem terhadap dirinya itu terlalu kuat dan tulus sehinggakan terbina satu jambatan lutsinar yang menghubungkan hati mereka berdua? Allisya ketawa secara tiba-tiba. ‘Macam cerita dongeng pula,’ getus hati kecil Allisya.

            Azim yang berjalan satu meter kehadapan kehairanan melihatkan perangai aneh gadis itu. Dibiarkannya sahaja Allisya bermain dengan perasaan sendiri.

            “Allisya!”

            Kali ini suara itu terasa bagai terlalu kuat pula. Allisya kehairanan, mengapa suara Zaem itu asyik mengganggu dirinya? Adakah wujud telepati dalaman di antara mereka berdua?

            “Allisya…” Azim baru sahaja membuka mulut apabila secara tiba-tiba dia ditempelak kata oleh Allisya, “diamlah!” Allisya menjerit dengan harapan suara Zaem yang mengganggunya itu akan keluar dari fikirannya.

            Azim terkejut dengan tindakan Allisya itu. ‘Kenapa pula dia marah aku bila aku panggil nama dia?’ Panas juga rasa hatinya apabila melihatkan sikap Allisya yang agak biadap terhadapnya itu.

            “Kamu ni kenapa?” Azim cuba menahan sabar. Mungkin sahaja Allisya terlalu letih sehingga tidak dapat mengawal perasaannya, lalu menjerit tanpa sedar.

            Allisya terkejut apabila ditegur oleh Azim. Barulah dia sedar rupanya suara terakhir yang didengarinya tadi adalah suara Azim, bukannya Zaem.

            “Saya minta maaf abang Azim. Saya tak sengaja. Saya asyik terdengar macam ada suara misteri memanggil-manggil nama saya. Sebab tu saya menjerit suruh diam.” Allisya tidak pasti adakah jawapannya itu mampu diterima Azim.

            “Itulah yang saya nak beri tahu kamu. Itu bukan suara misteri, tu suara Zaem. Dari tadi saya dengar datang dari dalam hutan sana.” Azim mengatur baris katanya dengan berhati-hati. Tak pasal-pasal menangis lagi pula budak perempuan yang dianggapnya cengeng itu.

            “Suara Zaem?” Allisya terkejut mendengarkan penjelasan Azim itu. 

            ‘Maksudnya bukan aku seorang sahaja yang mendengarkan suara Zaem itu?’ Allisya berasa lega kerana telah terbukti bahawa dia masih waras.

            “Allisya…” Suara Zaem itu sayup-sayup lagi kedengaran. Kedua-dua Azim dan Allisya menoleh ke arah punca datangnya suara Zaem itu. Kawasan tersebut dipenuhi dengan semak samun yang tebal.

            “Allisya…” Perlahan-lahan, bayangan Zaem muncul di hadapan mata Azim dan Allisya.

            Zaem berjalan terhuyung-hayang meredah belukar di hadapannya. Seluruh badan dan mukanya calar-balar dipenuhi dengan luka. Dia tidak lagi memakai baju hujannya tadi. Pakaiannya basah kuyup akibat ditimpa hujan yang masih belum henti.

            Zaem masih terus melangkah walaupun badannya sudah tidak bermaya lagi. Pandangan matanya sudah menjadi semakin kabur. Namun dia masih dapat melihat wajah istimewa itu. Zaem mengukirkan senyuman kegembiraan walaupun badannya sudah terlalu lemah. Dia bersyukur, setelah berjam-jam meredah hutan itu, akhirnya dia dapat melihat kembali wajah gadis tersebut. Paling menggembirakan hati Zaem adalah apabila melihat Allisya berada di sisi Azim, sahabat baiknya sendiri. Zaem bersyukur apabila mengetahui bahawa Allisya tidak keseorangan berada di dalam hutan ini. Malah Allisya dijaga dengan baik oleh orang yang paling dipercayainya. 

            Zaem berusaha sedaya-upaya menggunakan kudrat yang ada untuk terus melangkah ke arah insan kesayangannya itu, namun dia sudah tidak terdaya lagi. Kakinya menggigil. Zaem jatuh melutut ke tanah sebelum seluruh tubuhnya rebah menyembah bumi. Sisa-sisa tenaganya digunakan untuk meluahkan kata, “Allisya… syukurlah…” 

            Mata Zaem terpejam. Hanya suara jeritan Allisya sahaja yang dapat didengarinya sebelum dunianya menjadi kelam dan sunyi.

*                      *                      *

            Wad 7 Hospital Tengku Amirrudin itu sunyi sahaja. Di suatu sudut bilik, Zaem sedang terlantar baring di atas katil wad. Dia masih belum sedarkan diri. Duduk di tepi katil ialah seorang gadis kecil yang sedang menangis teresak-esak. Manakala berdiri di belakang gadis tersebut ialah tiga orang pemuda berusia awal 20an dan seorang gadis bercermin mata.

            “Is, Azim, aku balik dulu ya. Jaga diri. Tak lama lagi Zaem sedarlah tu.” Syafiq yang juga merupakan salah seorang MPP USAS meminta izin untuk mengundur diri. Pelajar-pelajar lain juga sudah lama pulang dari melawat Zaem. Mereka pulang dengan perasaan hampa kerana mereka telah menunggu lama, namun Zaem masih belum sedarkan diri. Walaubagaimana pun, doktor telah mengesahkan bahawa keadaan Zaem stabil, tiada luka major, cuma beberapa bahagian tulang dan sendinya sedikit terseliuh. Kini, badan Zaem dimasukkan dengan Sodium Klorida. Luka-luka di seluruh tubuhnya juga sudah dirawat. Namun mereka sedikit khuatir kerana Zaem diserang demam panas setelah berlari seharian dalam hujan lebat. Memandangkan Zaem dilahirkan di dalam keluarga elit, dia kurang terdedah dengan cuaca teruk, maka sistem imunisasinya juga agak lemah jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar lain. 

            “Baiklah Fiq. Terima kasih sebab sudi datang.” Iskandar menyambut tangan Syafiq untuk bersalam sebelum MPP muda itu melangkah pulang.

            Azim masih membisu berdiri di sebelah. Dia memandang wajah Zaem yang sedang kaku terlantar di atas katil. Azim tidak pernah melihat Zaem kelihatan tidak bermaya seperti ini. Selalunya Iskandar sahaja yang akan dikejarkan ke hospital kerana masalah kesihatan.

            Allisya masih menangis teresak-esak. Perasaan bersalah menguasai dirinya. Jika bukan kerana dirinya tersesat ke dalam hutan, Zaem mungkin tidak akan jadi begini. ‘Semuanya salah aku!’

            Raihana menggosok bahu Allisya. Dia faham perasaan yang ditanggung temannya itu. Mata Raihana juga sudah lama berair, namun ditahan juga perasaannya itu. Siapa dirinya untuk mengalirkan air mata demi Zaem? Allisya lainlah, dia istimewa di hati Zaem. Tidak hairan sekiranya air mata Allisya menitis kerana jejaka itu. Malah, Zaem jadi begitu pun kerana berkorban demi Allisya.

            Iskandar masih setia berdiri di belakang Allisya dan Raihana. Hatinya diserang rasa pilu, menyesal dan rasa bersalah yang teramat. Dia gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua dan seorang abang di kalangan mereka semua. Iskandar tidak menyangka, hatinya merasa sungguh sakit melihat Zaem yang terlantar di atas katil itu. Barulah Iskandar faham perasaan Azim dan Zaem yang selama ini melihat dirinya ditahan beberapa kali di wad hospital. Kerisauan yang dirasai mereka selama ini, kini turut dirasai Iskandar sendiri. 

            Jarum jam di dinding wad masih berdetik di setiap saat. Jari-jemari Zaem kelihatan mula bergerak-gerak.

            “Kalau Zaem berharap nak jumpa seseorang yang Zaem rindu, cuba Zaem pejamkan mata. Lepas tu cuba kira dari satu hingga sepuluh. Nanti orang tu akan muncul.” Datin Selmiah mengusik manja anak lelaki sulung kesayangannya yang sedang menangis merindukan dirinya itu. 

            “Betul ke mama?” Zaem yang masih berusia 10 tahun itu bertanya untuk mendapatkan kepastian.
            “Betul sayang.”

             Zaem tersengih. Matanya yang berwarna coklat muda itu kelihatan berkaca-kaca. Dia mula mengira satu persatu, “… lapan, sembilan… sepuluh!”

            Perlahan-lahan Zaem membuka kelopak matanya. Wajah Allisya berada betul-betul di hadapannya. Gadis itu sedang menahan esakan. Fikiran Zaem terasa kosong seperti orang yang baru sahaja bangun tidur.

            “Zaem!” Allisya segera bangun dari duduknya apabila melihat Zaem sudah mula sedarkan diri. Zaem terpinga-pinga. Otaknya cuba memproses kembali segala data-data yang ada. Sedikit demi sedkit, ingatan Zaem kembali mengingati peristiwa yang berlaku siang tadi.

            “Allisya tak apa-apa?” Zaem bertanya tanpa berlengah. Dia masih risaukan keadaan gadis itu.
            Allisya menggeleng. “Tak, saya tak apa-apa. Awak tu yang banyak cedera. Nasib baiklah abang Is, Pak Mat dan yang lain-lain tiba tak lama lepas awak pengsan. Kalau tak saya tak tahu apa yang akan terjadi pada awak.”

            Zaem mengalihkan pandangannya kepada Iskandar. “Terima kasih Is.”
            Iskandar membalas ucapan Zaem itu dengan senyuman yang semanis madu. Hati Zaem merasa tenang, kemudian dia mengalih pula pandangannya kepada Azim yang berada di sebelah Iskandar.

            “Azim, kau tak nak ucapkan terima kasih pada aku ke? Bersusah-payah aku meredah hutan tu dalam hujan tadi.” Zaem bersuara sambil memandang Azim.

            “Kau bukan datang sebab nak selamatkan aku pun.” Azim memerli. Zaem hanya tersengih mendengarkan perlian sahabatnya itu.

            “Sebab aku tau. Kau adalah orang yang paling tak perlu dirisaukan. Kau kan lagi kuat daripada aku.”
            Azim merengus mendengarkan jawapan Zaem. Dia tidak pasti adakah kenyataan Zaem itu adalah satu perlian atau pujian. Nasib baiklah Zaem sedang terlantar. Jika tidak, pasti dahi Zaem sudah lama menjadi mangsa jentikannya.

            Iskandar seperti biasa, tersenyum melihatkan kerenah kedua-dua sahabatnya itu. Dia menyampuk kata, “aku dah hubungi Dato dan Datin,  Zaem. Tak lama lagi mereka tibalah tu.” Zaem hanya mengangguk mendengarkan kata-kata Iskandar itu. Pandangannya menyapa wajah Raihana. Raihana mengukirkan senyuman. Kemudian Zaem kembali memandang wajah istimewa yang bertakhta di hatinya itu.

            “Allisya, syukurlah awak tak apa-apa.” Allisya menggeleng lantas membalas, “Zaem, kenapa awak bahayakan diri masuk ke dalam hutan waktu hujan lebat macam tu? Awak tak tahu ke bahaya?” Allisya masih tersedu-sedu.

            Zaem menggeleng, lalu menjawab, “hidup Zaem akan lebih bahaya kalau sesuatu terjadi pada Allisya.” Allisya terdiam mendengarkan jawapan Zaem itu.

            “Zaem, jangan berguraulah. Kenapa awak buat semua ni?”  

            “Kerana cinta,” Zaem menjawab ringkas. Namun memberikan impak yang besar kepada Raihana, Azim dan Iskandar yang turut mendengar, apatah lagi Allisya.

            “Zaem jangan jadi bodoh. Ini bukan cinta. Awak keliru dengan perasaan awak sendiri. Kitakan baru kenal.” Allisya menyakinkan Zaem. 

‘Doktor ada memberikan apa-apa ubat yang mengkhayalkan kepada Zaem ke?’ Allisya sedikit sangsi.

            “Tak Allisya. sewaktu kali pertama saya terserempak dengan awak, saya dah pun merasakan kelainannya. Awaklah satu-satunya perempuan yang pernah marah saya. Dalam hidup saya, belum pernah lagi ada perempuan yang berani meninggikan suara pada saya. Kebanyakannya hanya tahu mengambil hati saya, mengampu dan ada juga yang cuba berpura-pura sempurna di hadapan saya. Saya bosan hidup dijulang-julang macam tu. Mereka sukakan saya pun hanya kerana rupa dan pangkat. Tapi selepas saya berjumpa dengan awak Allisya, saya tahu awak bukan seperti golongan tu. Awak tidak berpura-pura, malah berani pula bersuara lantang dengan saya. Awak berbeza Allisya. Dari saat itu saya yakin, hati saya tak menipu.”

            Allisya kaku mendengarkan penjelasan Zaem. Dia tidak mampu berfikir apa-apa lagi. Allisya terlalu terkejut mendengarkan pengakuan berani Zaem itu.

            Raihana yang berada di sisi Allisya kelihatan lebih terkejut berbanding Allisya. Iskandar diam, namun hatinya bergolak dengan pelbagai rasa. Azim yang setia menemani mereka semua kini telah mengangkat kaki keluar dari wad tersebut. Wajahnya kosong dari sebarang emosi, namun segala perasaan di hatinya, hanya tuhan sahaja yang tahu.

            “Tapi saya tak pernah sukakan awak.” Entah mengapa, ringan sungguh lidah Allisya membuat pengakuan itu tanpa memikirkan hati dan perasaan insan yang hampir terkorban kerana ingin menyelamatkan nyawanya itu. Allisya mencuri pandang ke wajah tenang Iskandar. Kalaulah dia boleh menjadi seberani itu untuk meluahkan perasaannya kepada pemuda istimewa tersebut. Mungkinkah Allisya turut akan ditolak sepertimana dia menolak cinta Zaem?”

            “Tak apa, saya akan tetap setia menunggu. Saya tahu, waktu itu akan tiba juga. Waktu di mana awak juga akan jatuh cinta pada saya.” Zaem membalas kata dengan penuh berkeyakinan. Pandangan yang dilemparkannya kepada Allisya penuh pengharapan, lalu dia menyambung kata.

 “Kamu tahu Allisya, jika kita mencintai seseorang kerana dia pandai, itu bukan cinta tetapi rasa kagum. Jika kita mencintai seseorang itu kerana paras rupa pula, itu bukan cinta tetapi nafsu. Jika kita mencintai seseorang kerana takut melukai hatinya, itu juga bukan cinta tetapi rasa kasihan, dan jika kita mencintai kerana dia baik hati, itu bukan cinta tetapi rasa terhutang budi. Tetapi jika kita mencintai seseorang tanpa kita sendiri tahu apa sebab kita jatuh cinta, itulah cinta yang paling ikhlas dan bermakna. Cinta itu tidak bersyarat.”

Jantung Allisya merasa berdebar-debar. Zaem terhenti dari berkata-kata. Mukanya sudah pun menjadi merah padam. 

“Itulah yang sedang saya rasakan. Justeru, saya akan tetap menunggu, kerana saya tahu, nilai cinta itu terlalu mahal harganya, dan saya nak awak tahu Allisya bahawa awak adalah cinta itu.” Zaem  bersuara dengan penuh berkeyakinan walupun wajahnya sudah kemerah-merahan seperti kulit buah rambutan. Buat pertama kali dalam hidupnya, dia membuat pengakuan berani mati itu bukan sahaja di hadapan gadis idamannya, namun di hadapan teman-temannya yang lain juga. Dia lebih rela menahan malu daripada terkilan melihat hati Allisya dirampas oleh lelaki lain.

            Setiap insan yang hadir pada ketika itu, terdiam mendengarkan luahan hati Zaem. Tiada sesiapa pun yang dapat menyangkal keikhlasan Zaem melafazkan bait-bait indah tersebut. Mungkin benar kata-kata Zaem, cinta itu tidak bersyarat. 

Falsafah Zaem itu begitu dekat dengan hati Allisya, kerana selama ini Allisya juga menyakini bahawa cinta itu tidak terbatas kerana pandangan mata dan tidak juga terukur oleh waktu bersama. Cinta itu tidak bersyarat. Mungkinkah mereka sehati sejiwa? Namun usianya terlalu muda, bukan cinta yang dicarinya pada masa ini, apatah lagi cinta terhadap seorang lelaki. Allisya cuba melawan perasaannya. Dia mungkin berani menyimpan perasaan terhadap seseorang, tetapi dia tidak berani terjebak di alam percintaan. Sebagai seorang mahasiswi, hidupnya harus didedikasikan untuk menuntut ilmu.

Beberapa minit berlalu, semua yang hadir masih diam. Tidak berapa lama kemudian, mereka semua disapa oleh suara Dr. Ariffin, Dato’ Prof. Dr. Zainuddin dan isterinya, Datin Dr. Selmiah Ibrahim.

“Zaem anak mama, are you ok?” Datin Selmiah segera mendekati Zaem dan memegang pipi pengerang jantungnya itu. Muka Zaem merah sekali lagi, tetapi bukanlah kerana luahan hatinya tadi. Dia menahan rasa malu kerana dilayan manja sebegitu rupa di hadapan teman-temannya yang lain. Tercalarlah karismanya sebagai pemimpin utama USAS.

Zairin yang berjalan di belakang Datin Selmiah datang menyapa, lalu menumbuk lembut bahu Zaem, “ Buat malu je pengsan depan perempuan.” Zaem mencebik. Allisya hanya memerhati melihatkan kemesraan yang ditunjukkan di antara Zairin dan Zaem.

            “Kamu semua dah lama berada di sini?” Bapa Zaem mula bersuara. Gayanya saling tidak tumpah seperti Zaem. Berpakaian kemas, rambut putihnya disikat rapi dan lagak jalannya juga penuh bergaya. Memang tidak dapat disangkalkan lagi, Zaem mewarisi sifat Dato’ Zainuddin, penyelidik terkenal itu dan kulit yang cerah serta ciri-ciri genetik wajahnya diwarisi daripada ibunya. Namun yang menjadi persoalan utama adalah, daripada mana pula Zaem mewarisi retina yang berwarna resesif itu?

            “Tak lama juga Dato’, Zaem pun baru sedar.” Iskandar memberikan jawapan. Dato’ Zainuddin hanya mengangguk.

            “Tak adalah teruk sangat kamu ni. Papa ingatkan tadi ada yang patah, sampai papa dan mama terpaksa keluar awal mesyuarat tadi.”  Zaem hanya tersengih. Dia pun sendiri terkejut melihat bapanya sedang berdiri di hadapannya. Jarang sekali dia dapat bertemu  dengan bapanya itu walaupun pada hakikatnya Dato’ Zainuddin merupakan salah seorang ahli Senat USAS.

            “Kamu semua mesti dah penat. Pergilah berehat. Nanti saya hantarkan pulang.” Dr. Ariffin yang dari tadi hanya mendiamkan diri mula bersuara. Zaem mengangguk. Dia faham. Tambahan pula, Zaem pasti perlukan masa peribadinya untuk bersama keluarganya sendiri. 

            “Kalau macam tu, kami semua minta izin dulu ya Dato’dan Datin.”

            Mendengarkan sahaja kata-kata Iskandar itu, Allisya bangun dari duduknya, lalu melangkah keluar dari wad 7 itu. Raihana membelok ke tandas, manakala Allisya duduk di kerusi yang terletak di ruang legar hospital tersebut.

            Allisya duduk menongkat dagu menggunakan kedua-dua belah tangannya itu. Dia keletihan. Fikirannya pula berkecamuk memikirkan peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang hari ini. Disebabkan kebodohan dirinya, ramai yang menanggung kesan negatif. Sepanjang hari dia menyusahkan Azim, membuatkan Zaem tercedera, merisaukan Raihana dan membuatkan kepimpinan Iskandar diragui kerana dituduh tidak mampu menjaga keselamatan anak buahnya sendiri. Allisya mengeluh. Dia menyesal kerana telah banyak menyusahkan orang lain. ‘Semuanya salah aku!’

            Allisya memeluk tubuhnya kerana menahan rasa sejuk. Dia bersin untuk beberapa kali. ‘Aku demam ke?’ Allisya masih bermain dengan perasaannya sendiri apabila dia disapa oleh satu suara, “kopi panas?” Iskandar sedang berdiri di hadapan Allisya sambil menghulurkan satu cawan kertas yang berisi kopi panas. Wajahnya dihiasi dengan senyuman yang menyejukan hati. Allisya membalas senyuman Iskandar, lalu dia menyambut kopi tersebut dari tangan Iskandar.

             “Terima kasih.” 

            “Sama-sama. Boleh saya duduk sekali?” Iskandar bersuara mesra. Allisya mengangguk. Iskandar duduk di kerusi sebelah Allisya seraya mengucapkan kata terima kasih.

            “Abang Is, saya minta maaf sebab dah banyak menyusahkan abang.” Allisya menyusun kata memohon kemaafan dari insan istimewa itu. Iskandar menggeleng, lalu menjawab, “Abang yang sepatutnya minta maaf sebab tak dapat jaga keselamatan Allisya dan yang lain-lain dengan baik.” Allisya tersenyum tawar mendengarkan pujukan Iskandar. Iskandar memang seorang yang sangat baik.

            Perlahan-lahan Allisya menghirup air kopi panas dari cawan yang sedang dipegangnya. Tangan dan bibirnya masih menggigil-gigil kerana menahan kesejukan penghawa dingin hospital. Iskandar memandang Allisya, lalu dia bersuara semula.

            “Abang rasa macam panaslah pakai blazer ni sepanjang hari. Boleh tak Allisya tolong pakaikan blazer ni sekejap sementara abang buang haba dari badan?”

            Allisya memandang Iskandar yang sudah pun menanggalkan blazer rasminya itu. Dia terdiam seketika apabila melihat Iskandar menghulurkan blazer tersebut kepadanya. 

            “Boleh?” Iskandar membalas pandangan Allisya itu dengan senyuman.

            Allisya sedikit terpinga-pinga, namun dia segera mengangguk. Allisya meletakkan cawan kopinya di atas tempat duduk kosong di sebelah kanannya. Kemudian dia mengambil blazer milik Iskandar itu lalu meyarungkan ke badannya sendiri. Iskandar hanya tersenyum.

            Allisya membalas semula senyuman Iskandar. Senyuman yang sentiasa membuat hatinya merasa bahagia.
“Abang Is…”
Dia sentiasa ada, menemani Allisya di saat dirinya amat memerlukan. Allisya selesa berada di sisi panglimanya itu.

Cinta itu tidak bersyarat


Nani NA

1 comment: