Thursday 18 August 2011

BAB 13: DUGAAN DALAM PERSAHABATAN



            Allisya ketawa melihat telatah anak-anak Tengku Rashid yang sedang menjalankan aktiviti berkumpulan di dalam dewan kecil tersebut. Dr. Ariffin kelihatan tersenyum sahaja ketika menyampaikan ceramahnya. Dia kelihatan begitu ceria sehinggakan pelajar dan anak-anak kecil yang lain tidak henti-henti ketawa sepanjang hari itu. Dr. Ariffin merupakan pensyarah bahasa dan pendidikan di Universiti Sultan Alauddin Syah. Beliau juga terkenal sebagai penceramah bebas yang sering muncul di stesyen televisyen negara. Malah, beliau juga telah mengeluarkan buku motivasinya yang bertajuk ‘360 Hari Mencari Bahagia’.

            Allisya memandang sekitar kawasan dewan tersebut. Bayang Iskandar langsung tidak kelihatan. Begitu juga Azim. Zaem sedang duduk di sebelah seorang peserta remaja yang berusia sekitar 15 tahun. Dia sedang asyik ketawa bersama-sama peserta program yang lain. Zaem kelihatan begitu mesra dengan anak-anak yatim dari Rumah Tengku Rashid itu. Mungkin juga bakat itu sudah lama mengalir di dalam darah Zaem, yang dia sememangnya pandai mengambil hati orang di sekelilingnya, malah mudah pula membuatkan mereka ketawa. Tetapi entahlah, kelebihan Zaem itu tidak pernah dipandang hebat oleh Allisya. Setiap saat, hati Allisya hanya berbisik nama Iskandar. Setiap malam, hanya senyuman itu yang bertandang. Wajah pemuda berkaca mata itu sentiasa bertamu di mindanya. Bukan kerana ketampanannya semata-mata, namun kerana keistimewaan yang ada pada dirinya yang tidak penah Allisya lihat ada pada orang lain. ‘Ya tuhan, adakah aku sedang dilamun cinta?’

Allisya  berasa tidak sedap hati. Dia melangkah keluar dari dewan batu yang turut dibina di kawasan chalet itu. Dia terasa seperti hendak menghirup angin pagi. Hari ini sudah masuk hari kedua mereka menjalankan program motivasi tersebut. Pagi esok pula mereka akan berangkat pulang. 

Sebaik melangkah keluar, Allisya disambut dengan bunyi deruan air yang mengalir lembut dari sungai yang berdekatan. Nyanyian unggas kadangkala turut menyapa telinga kecil Allisya. Allisya tersenyum hanya dengan mendengarkan nyanyian alam itu.

‘Subhanallah, Ya Allah ya tuhanku, tuhan yang menciptakan sekalian alam. Betapa indahnya bumi ini, kau hiasi dengan pepohon hijau. Betapa damainya alam ini, engkau indahkan dengan nyanyian fauna, dan betapa hatiku memuji, hanya buatmu Ya Rabbi.’ Allisya meraup lembut wajahnya. Dibiarkannya angin lembut menggores pipinya. Kebahagiaan yang dirasakan sekarang ini barulah benar dikatakan kebahagian cinta. Cinta kepada yang Maha Esa.

“Syukur Alhamdulillah. Aku masih mampu menghayati nikmat kurniaan-Nya.” Senyuman terukir di bibir Allisya, tanda kegembiraan dan kesyukuran yang tidak terhingga.  

Kaki Allisya terus melangkah, mendekati anak sungai yang berdekatan. Allisya duduk di atas seketul batu besar. Dia ingin merendamkan kakinya ke dalam air sungai yang sejuk itu. Manalah tahu, untung-untung boleh buat spa ikan. Sewaktu hari pertama ketibaannya di sini, Allisya dapat melihat anak-anak ikan kecil bermain di sekeliling batu yang sedang didudukinya itu. Allisya cuba mengintai di bawah batu, mencari-cari sekiranya anak-anak ikan itu masih bermaustatin di situ.

“Allisya,” Suara yang cukup Allisya kenali itu melewati gegendang telinganya. Allisya tidak berlengah untuk berdiri lalu memandang wajah itu.

“Rai!” Air mata Allisya terasa bagai hampir mengalir apabila melihat Raihana berada di hadapannya sambil tersenyum. Benarkah apa yang sedang dilihatnya?

“Sya, boleh Rai duduk sebelah Allisya?” Raihana kembali bersuara. Allisya segera mengangguk. Dia berganjak sedikit ke belakang, membolehkan Raihana duduk di batu yang sama dia duduk tadi. Sebaik Raihana melabuhkan punggungnya, Allisya turut menyusul.

“Rai, Allisya minta maaf sebab sakitkan hati Rai. Sya tak terniat. Sya nak minta maaf dengan Rai sebelum ni, tapi Sya tak berani.” Allisya memulakan bicara mereka. Ada sedu kedengaran di suaranya. Raihana segera menggenggam erat tangan Allisya, kepalanya menggeleng menidakkan pengakuan Allisya.
“Semua yang terjadi ni bukan salah Sya. Rai yang bersalah. Rai terlalu mengikut perasaan. Rai pun tak tau apa yang Rai fikirkan sehingga Rai sanggup mengenepikan Sya semata-mata kerana seorang lelaki yang langsung tak sukakan Rai. Zaem sendiri tak sedar akan kewujudan Rai, Sya. Rai je yang bodoh.” Tangan Raihana semakin erat mengeggam tangan Allisya. 

“Rai…” Allisya terharu melihat keikhlasan Raihana memohon kemaafan daripadanya. Allisya bersyukur, rajuk Raihana tidak lama. Kini, teman sebiliknya itu kembali berbicara dengannya. Syukur, Alhamdulillah. Allisya tanpa segan silu memeluk Raihana sehinggakan membuat Raihana tersentak seketika. Namun, pelukan Allisya disambut erat oleh Raihana.

“Rai, janji tau lepas ni kita jangan gaduh-gaduh lagi.” Allisya tersedu ketika meluahkan kata. Raihana mengangguk. Dia menggosok-gosok belakang Allisya. 

“Allisya pun, kalau dah tengok Rai merajuk tu pujuklah. Janganlah tunggu sampai Rai mengalah dulu. Macam mana kalau Rai tak datang-datang minta maaf? Mesti kita dah jadi musuh!” Rai sempat merungut di saat mereka meluahkan rasa hati.

“Ok, lepas ni Sya terus je pujuk kalau Rai merajuk. Sya pun tak sanggup study sorang-sorang lagi.” Allisya sedikit ketawa ketika membalas rungutan Raihana itu.

Mereka saling melepaskan pelukan. Sebaik sahaja pelukan mereka terlerai, Raihana menyimbah air sungai ke arah Allisya menggunakan kedua-dua belah tangannya. Allisya yang terkejut dengan serangan tersebut, segera membalas kembali serangan Raihana. Habis basah kuyup baju kedua-dua orang teman itu. Mereka ketawa.

Kedua-dua gadis itu berbual mesra menceritakan kisah masing-masing ketika mereka sedang berperang perasaan. Raihana membuat pengakuan yang dia tidak selesa berjalan dan makan bersama orang lain kerana dia sudah terbiasa berdampingan dengan Allisya. Begitu juga dengan Allisya. Dia membuat pengakuan betapa sunyi hidupnya tanpa Raihana di sisi, kerana Allisya bukanlah jenis yang mudah mendapat kawan memandangkan dia tidak banyak bercakap. Mereka bercerita seolah-olah sudah bertahun-tahun tidak bertemu. Ada sahaja perkara yang hendak dikongsikan. 

Allisya bersyukur mereka telah berbaik semula. Mungkin ini adalah salah satu dugaan dalam persabatan yang baru dibina mereka. Allisya berharap selepas ini, mereka akan cekal menghadapi sebarang dugaan yang bisa menggoyah perhubungan mereka. 

Sedang mereka enak berbual mesra, telefon bimbit Allisya bergegar sekejap di dalam poket seluarnya. Allisya mengeluarkan telefon miliknya itu dari dalam poket, lalu membaca mesej yang diterima.
‘Allisya, awak pergi mana? Tau tak banyak kerja ni? Siapa yang nak uruskan minum pagi budak-budak ni? Cepat, kembali ke dewan! SEGERA.’

Allisya menggetak giginya membaca mesej daripada Zaem itu. ‘Bila masa pula aku jadi AJK makanan? Ada-ada aje Zaem ni. Kalau sehari tak sakitkan hati aku memang tak sah!’
Allisya merungut di dalam hati. Raihana sedar dengan perubahan mimik muka yang ditunjukan oleh Allisya, segera dia bertanya,” Zaem ke?”

Allisya teragak-agak sebelum menjawab, “Ha’ah. Dia suruh Sya uruskan minum pagi budak-budak ni. Entah sejak bilalah Sya jadi AJK makanan.”

Raihana tersengih mendengar rungutan Allisya. Geli hatinya melihat reaksi Allisya apabila dipikat oleh Zaem itu. Raihana tahu, itu hanyalah taktik Zaem untuk mendekati Allisya. Raihana redha dengan apa yang terjadi. Mungkin Allisya memang gadis yang sesuai untuk berdampingan dengan putera idamannya itu. Dia rela, melepaskan perasaan yang terpendam.

“Jom Rai, kita ke dewan semula.” Allisya mula bangun. Dia menyimpan semula telefon bimbitnya ke dalam koceknya. 

“Pergilah dulu. Rai nak duduk-duduk dulu. Nanti Rai menyusul.”
Allisya mengangguk, lalu berlalu pergi ke arah dewan tadi.
Raihana memandang ke dalam air. Mindanya merawang-rawang mengingati peristiwa semalam.
“Rai, termenung apa tu?” Zairin menyapa Raihana dari belakang. Segera Raihana menoleh. Dia jarang sekali mendengar Zairin memanggilnya dengan gelaran nama ‘Rai’ sahaja. Selalunya, hanya Allisya yang memanggilnya dengan panggilan pendek itu.

            “Tak ada apa-apalah Zairin. Ada masa kosong, sebab tu temenung.” Raihana menjawab dengan nada yang tidak bermaya. Sudah beberapa hari dia tidak bertegur-sapa dengan Allisya. Hatinya ditikam dengan perasaan bersalah.

            “Mana mungkinlah tak ada apa-apa. Cuba cerita pada Rin. Rin nampak Rai dah tak berjalan dengan Allisya sekarang ni. Kenapa? Bergaduh ke?”

            Raihana hanya terdiam. Dia tidak menyangka, perubahan dalam persahabatannya dengan Allisya dapat dihidu oleh Zairin dengan mudah sekali. 

            Mata Raihana sayu memandang Zairin, dia mengangguk. “Rin, siapa yang bersalah kalau lelaki yang saya suka, sukakan kawan baik saya sendiri?” Entah mengapa, ringan sahaja mulut Raihana melafazkan masalahnya kepada rakan sekuliahnya itu. Mungkin kerana dia sudah tidak ada tempat untuk mengadu lagi memandangkan perhubungan dia dengan kawan baiknya sendiri sedang dingin.

            “Apa? Rai dengan Sya gaduh rebutkan Rin ke?” Zairin cuba berjenaka. Raihana geram mendengarkan jawapan Zairin itu. Dilibasnya payung yang ada di tangannya. ke belakang Zairin.

            “Ok, Rin gurau jelah. Janganlah marah. Bagi Zairin tak ada sesiapa pun yang bersalah. Sebagai manusia, kita berhak menyukai sesiapa pun yang kita mahu. Kalau Rai betul-betul sukakan lelaki tu, Rai kena usaha dapatkan hatinya. Tapi janganlah sampai putuskan persahabatan Rai dengan kawan Rai tu. Walaupun Rai tak dapat memiliki cinta yang diharapkan, sekurang-kurangnya Rai masih ada seorang sahabat.” Zairin menjawab sambil tangannya menggosok-gosok belakang badannya yang dipukul Raihana tadi. Sakit juga rasanya, walaupun Raihana hanya pukul main-main.

            “Lagi satu, kawan Rai suka ke pada laki tu?” Zairin menambah.
            “Entah. Tak kot.” Raihana kebingungan.
            “Ha, kan senang! Apalah yang bermasalahnya sangat. Siapa lelaki tak guna tu? Berani betul porak perandakan hubungan dua sahabat?”

            Raihana hanya tersenyum. Dia melemparkan pandangan ke jalan raya berhadapan dengan bilik kuliah mereka. Dengan tiba-tiba, sebuah kereta Toyota Vios meluncur laju di hadapan mereka. Mata Raihana terpaku seketika.

            “Zaem?” suara Zairin memecah kesunyian di antara mereka berdua.
            “Ingatkan lelaki mana tadi. Tak payahlah Rai buang masa dengan dia tu. Kacak lagi Rin. Sekurang-kurangnya mata Rin tak ‘cacat’ macam dia.” Zairin berseloka, cuba mengambil hati Raihana. Sekali lagi, payung Raihana melibas ke belakang Zairin. “Aduh!”

            Raihana ketawa seorang diri mengingatkan kembali peristiwa yang berlaku pada hari sebelum mereka datang ke mari. Raihana masih lagi duduk seorang diri di atas batu sungai tadi. Dia memandang ke arah kawasan dewan yang terletak tidak jauh dari tempat dia duduk.  Raihana dapat melihat Allisya dan Zaem dari jauh. Seperti biasa, Allisya dan Zaem masih bertekak tentang perkara yang remeh-temeh walaupun ketika sedang menjalankan aktiviti kem motivasi yang dianjurkan kelab mereka itu. ‘Mereka memang serasi. Comel bila bersama.’ Raihana tersenyum, walupun pada hakikatnya hatinya terasa sakit melihat insan yang disukainya bahagia bila bersama dengan orang lain.

*                                  *                                  *

            Azim sedang berbaring di atas katil di sudut bilik. Bilik itu sunyi sahaja. Tidak jauh daripadanya, Iskandar sedang leka menulis sesuatu di atas meja. Dia kelihatan sedang khusyuk merancangkan sesuatu yang Azim sendiri tidak pasti apa. Azim memandang ke arah siling chalet yang ditumpangi mereka itu. Otaknya sedang ligat memikirkan pelbagai perkara. Perkara yang berkaitan dengan peristiwa semalam, perkara yang berkaitan dengan Zaem serta kesihatan Iskandar, dan kadangkala perkara yang berkaitan dengan kerjayanya bermain bola. Tidak lama lagi kontraknya bakal tamat. Dia merancang untuk bersara awal dalam bidang tersebut. Dahulunya, Azim bermain bola kerana minat, kini minatnya hampir luntur dek kerana dunia populariti dan kesibukan yang melampau sehingga meragut waktu peribadinya untuk belajar. Tiba masanya dia membuat pilihan, di antara hidup sebagai pemain bola yang popular atau sebagai jurutera yang berjaya seperti yang dicita-citanya.

            Iskandar sempat memerhatikan sikap Azim yang kelihatan sedang termenung jauh. ‘ ‘Apakah agaknya yang difikirkan Azim?’ Iskandar membetulkan cermin matanya yang hampir tergelincir dari kedudukan asalnya ketika dia tunduk menulis. Dia terbatuk-batuk kecil. Entah mengapa, malam itu terasa terlalu dingin bagi Iskandar. Dadanya terasa sakit, sangat sakit. Tetapi kerana tidak mahu membuatkan sesiapa khuatir, Iskandar sengaja menyembunyikan kesakitan yang dirasainya. Selagi dia mampu mengahadapinya seorang diri, biarlah dia terus menanggungnya sendiri. Tambahan pula, tiada sesiapa pun yang tahu tentang sakitnya. Hanya Zaem dan Azim yang tahu tentang rahsia itu dan kini Allisya turut menjadi ahli baru yang mengetahuinya. 

Iskandar sama sekali tidak mahu membebankan teman-temannya dengan masalah kesihatan yang ditanggungnya. Dia tidak mahu merisaukan teman-temannya. Biarlah kesakitan ini ditanggung sendiri, tidak perlu diadukan kepada sesiapa. Dia harus kuat. Allah sentiasa di sisi, melindungi hambanya yang lemah. Dengan izin-Nya, tiada dugaan yang tidak dapat dihadapi Iskandar, selagi ‘Dia’ ada. 

            Bilik yang dikongsi oleh Iskandar dan Azim itu sunyi sahaja. Zaem duduk di bilik lain. Malam itu bukan sahaja terasa dingin malah hening. Iskandar berhenti menulis. Dia mengambil daun kering yang diletakan di sebelah failnya, lalu diselitkan pada muka surat yang ingin ditanda pada bukunya. Iskandar memang suka menggunakan daun kering sebagai penanda buku. Selain tidak membazir, dia juga boleh mencatat nota pendek di atasnya. Iskandar meraup wajahnya. Akhirnya kerjanya untuk hari itu selesai. Digosok-gosok dadanya yang masih terasa sakit. Nafasnya juga sedikit tersangkut-sangkut.

            “Dah selesai Is?” Azim mula bersuara melihatkan Iskandar yang menutup buku catatannya. Iskandar mengangguk sambil tersenyum. Walaupun wajah Iskandar kelihatan tenang, namun Azim dapat melihat, nafas Iskandar kelihatan deras berbanding selalu.

            “Kau tak sihat ke Is?” Azim bangun dari baringannya.
            Iskandar hanya tersenyum lalu menjawab, “penat sikit je.”

            Azim diam. Dia bangun, lalu duduk di atas kerusi yang bertentangan dengan Iskandar. Dia melihat fail-fail yang berselerak di atas meja. Nota-nota perubatan juga kelihatan bertimbun di atas meja yang sama. ‘Iskandar ni nak tak pernah berehat dari belajar ke?’ fikir Azim sendiri.

            “Zim, aku nak cakap sikit dengan kau. Ada perkara yang aku nak tanyakan.” Iskandar menyambung perbualan mereka setelah dia beberapa kali terbatuk.

            “Apa dia?” Azim membalas pendek.

            Iskandar berfikir sejenak. Sudah tiba masanya dia mendapatkan kepastian daripada mulut Azim sendiri. Dia tidak mahu tuduh melulu, dan pada masa yang sama dia tidak mahu ada di antara anak buahnya yang teraniaya. Dia harus mengadili secara telus, tidak memberatkan sesiapa, walaupun kawan baiknya sendiri. 

“Betul ke kau datang jumpa Syakir semalam?”

Azim mengangguk, jarinya mula bermain dengan duit syiling lima puluh sen miliknya.

“Kau tak buat apa-apakan? Iskandar ingin bertanya lebih lanjut lagi, namun dia masih teragak-agak. Dia percayakan Azim. Iskandar merasa bagai sia-sia bertanyakan perkara yang kelihatan jauh sekali tersasar dari kebenaran itu. 

Azim terkejut dengan soalan yang diajukan Iskandar. Tangannya terhenti dari bermain duit syiling tadi. “Maksud kau?”

“Kau tak apa-apakan Syakir bukan?” Iskandar bertanya kembali. Tangannya masih menggosok-gosok dadanya yang terasa sakit.

Terkejut, Azim segera bangun dari duduknya, “ Kau tuduh aku Is?”

“Tak, aku cuma nak dapatkan kepastian. Bibir Syakir bengkak…”

Belum pun sempat Iskandar menghabiskan kata-katanya, Azim menghentak meja di depan mereka. “Aku tak tau apa yang si pengkhianat tu beri tau kau. Tapi untuk pengetahuan kau Is, aku tak pernah pukul orang, walaupun si Syakir tu!”

Dada Iskandar terasa semakin sakit apabila dibentak-bentak oleh Azim.

Azim menambah,”Kau tak percayakan aku Is?”

Iskandar terdiam. Dia bukan tidak percaya. Iskandar tahu, walaupun Azim jenis yang mengikut perasaan, namun dia tidak pernah pukul orang tanpa bersebab. Kali terakhir Azim menumbuk orang pun ketika di Alam Syah dahulu, itu pun kerana ingin mempertahankan Iskandar.

“Aku bukan tak percayakan kau Azim, cuma aku tak boleh mengambil ringan tentang aduan yang orang lain buat. Kau pun janganlah bertindak mengikut perasaan sangat.” Iskandar tertunduk. Dadanya terasa semakin sakit, tetapi dia perlu bertahan.

“Maksudnya kau memang tak percayakan aku. Aku tak sangka Is. Kau lebih percayakan pengkhianat tu daripada kawan baik kau sendiri!”

 Azim membentak sambil menuju ke katilnya. Dia mengangkat beg sandang miliknya. Hatinya diserang dengan rasa marah. Macam mana Is pun boleh sangsi kepadanya? Ke mana hilang kepercayaan yang mereka bina selama bertahun-tahun ni? Bisikan syaitan seolah-olah sedang menguasai hati Azim yang sedang marah. Dia meluru ke pintu keluar bilik mereka.

“Kau nak ke mana tu Azim?” Iskandar bertanya perlahan. 

“Aku nak ke bilik Zaem. Aku rasa tak ada gunanya aku tidur di bilik orang yang sangsi dengan sahabatnya sendiri.” Azim merngus sebelum melangkah semula menuju ke pintu.

Dada Iskandar terasa semakin sakit mendengarkan perlian Azim. Dia cuba bangun untuk memanggil Azim, namun tak terdaya.

“Azim…”

“Is, kalau kau rasa betul aku tumbuk Syakir, aku tak kisah. Tapi aku kecewa dengan kau kerana kau lebih percayakan orang yang pernah cuba meragut nyawa kau sendiri.” Azim melangkah keluar bilik meninggal Iskandar seorang diri.

“Azim, maafkan aku. Aku bukan tak percaya pada kau…” Suara Iskandar terlalu perlahan untuk didengari oleh Azim. Nafasnya tersekat. Kesakitan yang dirasainya tidak dapat ditahan lagi. Sakit, terlalu sakit. Dia cuba memanggil nama Azim sekali lagi, namun tidak terdaya.

Nani NA

No comments:

Post a Comment