Sunday 25 December 2011

BAB 37: JAMBATAN HATI

"Saya dapat rasakan, bagai ada satu jambatan yang menghubungkan hati kita berdua…"
  


               Matahari kelihatan masih meninggi. Allisya masih berkayuh, mencari bayangan seorang panglima yang telah lama menghilangkan diri. Panglima itu ialah panglima utama USAS dan panglima itu juga sudah banyak mengharungi dugaan demi melindungi puteri kesayangannya. Panglima yang menjadi igauan ramai gadis, itulah panglima Zaem.
            Allisya meluncur di atas jalan bertanah merah menghampiri tasik besar USAS. Iskandar telah jauh ditinggalkan Allisya. Dia tidak risaukan pemuda itu kerana Iskandar adalah jejaka luar biasa, sentiasa berhikmah menghadapi cabaran yang mendatang. Pada saat ini Allisya hanya khuatirkan Zaem. Walaupun Zaem bersifat kepimpinan dan petah berkata-kata, tetapi Allisya tahu, jauh di sudut hati Zaem, tersembunyi sifat keanak-anakannya. Zaem juga seperti insan lain, takut apabila dilambung ombak duga dan pasti akan sejuk apabila dilanda badai kehidupan. Pemuda itu tidak seharusnya menghadapi dugaannya seorang diri. Allisya takut selama ini Zaem telah memikul bebanan yang terlalu berat dalam hidupnya sehingga suatu hari nanti, pemuda itu akan sesak dalam masalah yang ditanggungnya sendiri.
            Brek di tangannya, ditekan sekuat hati Allisya. tidak jauh daripada tempat dia berhenti, Allisya dapat melihat sebuat kereta Vios putih sedang dipakirkan senget menghadap ke arah tasik. Di sebelah kereta putih itu kelihatan seorang pemuda sedang duduk di atas bangku, menhadap ke arah tasik. Komputer riba di atas mejanya, kelihatan terbuka tetapi seperti tidak disentuh. Pemuda itu seolah-olah sedang termenung jauh, tenggelam dalam lamunannya sendiri. Pakaiannya tidak sekemas selalu dan rambutnya kelihatan kusut daripada biasa. Raut wajah pemuda itu tampak sungul, bagai berat dibebani derita. Allisya benar-benar rasa bersalah. Sebagai seorang kawan, dia sepatutnya berada di sisi Zaem menghulurkan bantuan, bukan membenci pemuda itu sepenuh hatinya.
            Allisya mengayuh perlahan, menghampiri pemuda itu.
            Sebaik mendengar bunyi tayar basikal menghampiri, Zaem berpaling ke belakang, “Is, kenapa kau cari aku?”
            “Zaem…” Belum sempat Allisya menghabiskan katanya, Zaem melompat ke belakang. Mata coklatnya membulat besar bagai baru disergah makhluk ghaib.
            “Ya Allah! KENAPA ISKANDAR  DAH BERTUKAR JADI ALLISYA?” Zaem menggosok-gosokkan matanya berulang-ulang kali. ‘Kenapa aku boleh nampak wajah Allisya pada Iskandar ni? Adakah rindu aku pada gadis itu dah membuatkan aku jadi separuh gila?’
            “Zaem, saya ni betul-betul Allisya. Bukan Abang Is.”
            “Allisya? Kenapa pula awak yang datang? Mana Is? Kenapa awak bawa basikal Is? Awak curi ya Allisya?”
            “Zaem! Kalau awak cakap benda-benda yang mengarut lagi, saya baling je basikal ni dekat awak.”
            Zaem terdiam. Dia cuba berfikiran waras. Mungkinkah Iskandar sengaja memerangkapnya untuk bertemu dengan Allisya? Tidakkah temannya itu tahu bahawa dia sedang berusaha menjauhi gadis itu? ‘Iskandar…’
            “Zaem kenapa awak tak angkat call saya?”
            “Itu bukan urusan awak Allisya. Selama ni saya call awak pun, awak selalu je tak angkat. Jadi, tak salah saya buat perkara yang sama.” Wajah Zaem kembali menjadi serius. Dia membetulkan tali lehernya yang dibiarkan renggang sebentar tadi. Pemuda itu seolah-olah sedang bersiap untuk meninggalkan tempat tersebut.
            “Zaem!” Allisya turun daripada basikal besar milik Iskandar. Hampir terjatuh gadis itu. Maklumlah, Iskandar tinggi, basikalnya juga tinggi. Allisya yang bersaiz kecil itu pasti sahaja menghadapi masalah mengimbangi badannya.
            Zaem kelihatan risau melihatkan Allisya yang hampir terjatuh itu, tetapi dia tegar berkelakuan seolah-olah tiada apa-apa pun yang sedang terjadi.  “Allisya, kenapa awak cari saya? Saya sibuk. Kalau ada apa-apa, awak tinggalkan sahaja pesanan awak di bilik MPP. Dahlah awak datang tanpa buat appointment terlebih dahulu.
            “Zaem, awak bukannya menteri pun. Dan satu lagi, saya kawan awak, kawan yang baik akan sentiasa berada di sisi temannya.”
            “Tu macam ayat Is je…” Zaem mengecilkan matanya. Apakah sebenarnya motif Allisya berkata macam tu?
“Apa maksud awak Allisya?”
            “Zaem, awak tak anggap saya sebagai kawan awak ke?”
            “Tak. Bukan ke saya dah kata, kita tak ada apa-apa kaitan lagi. Saya dah lama lupakan awak.”
            “Zaem! Tolong jangan menipu lagi. Awak belum jadi peguam pun dah banyak menipu.” Allisya berkata sambil tangannya menyeluk saku bajunya.
            “Allisya, awak memang datang jumpa saya ni semata-mata nak menyakitkan hati saya ke? Sejak dari dulu lagi, awak memang suka sakitkan hati sayakan?”
            “Zaem, saya bukan sengaja nak sakitkan hati awak dan buat pengetahuan awak Zaem, awak memang bersalah terhadap saya.” Allisya berkata seraya mengeluarkan sebentuk rantai kunci berbentuk hati dan berukirkan nama Allisya.
            “Apa maknanya semua ni Zaem? Kenapa awak masih simpan barang yang berkaitan dengan saya?”
            Zaem mengerutkan dahinya. Tiba-tiba sahaja seluruh tubuhnya menjadi panas. Bagaimana pula rantai kunci itu boleh sampai ke tangan Allisya? Adakah rahsianya juga sudah terbongkar?
            “ Ukiran nama ‘Allisya’ yang ada pada keychain tu sebenarnya nama anak saudara saya…” Zaem menjawab sambil matanya memandang ke arah lain.
            “Zaem, tolonglah jangan berpura-pura lagi. Tolong jangan sembunyikan apa-apa lagi daripada saya. Saya tahu awak masih ambil berat tentang diri saya. Kalau tidak awak tak akan simpan keychain ni lagi…”
            “Allisya, saya tak faham apa yang awak cuba sampaikan pada saya. Maaf, saya ada hal lain yang perlu diuruskan.” Zaem berpaling ke arah keretanya, kakinya juga sudah diangkat untuk melangkah pergi, namun segala-galanya bagai terhenti apabila Allisya mula bersuara semula.
            “Saya dah tahu tentang surat ugutan tu…”
Zaem masih mendiamkan diri. Mungkin kali ini dia tidak berhasrat menjawab kata-kata Allisya seperti yang selalu dilakukannya sebelum ini.
“Zaem, saya tahu awak ambil berat tentang diri saya. Tapi kenapa awak mesti berpura-pura? Awak tak anggap saya sebagai kawan awak ke? Kenapa mesti awak rahsiakan masalah awak daripada saya?”
            “Saya tak ada apa-apa masalah, dan saya tak ada perkara nak disembunyikan daripada awak Allisya.”
            “Awak tak penat ke nak berpura-pura bencikan saya? Zaem, tolong jangan paksa saya benci awak lagi…Saya tahu awak sedang sakit, sakit menanggung masalah seorang diri.”
            Zaem berpaling semula ke arah Allisya. Mata gadis itu ditenungnya sedalam-dalamnya. Jauh di sudut hatinya, pemuda itu berbisik dengan harapan gadis itu akan memahami perasaannya yang sebenar. ‘Allisya, saya tak sakit menanggung masalah saya, tapi saya merasa sakit sebab terpaksa melepaskan awak pergi. Merindui awak hanya dalam mimpi. Tapi sekurang-kurangnya itu adalah pilihan yang terbaik untuk kita berdua.’
            “Zaem, awak salah.  Ini bukan jalan penyelesaian yang terbaik buat kita berdua.” Allisya maju kehadapan. Basikal Iskandar sudah pun ditongkatkan.
            Zaem berganjak sedikit ke belakang. Hampir luruh jantungnya mendengar kata-kata Allisya. Sekali lagi Zaem bermonolog sendiri, ‘Allisya, awak boleh baca hati dan fikiran saya ke?’
            “Saya memang tak boleh baca hati awak Zaem. Tapi saya kawan awak…Bukankah kawan saling memahami dan  seharusnya saling melindungi?” 
Zaem menjadi semakin cuak mendengarkan jawapan Allisya. Dasyatnya Allisya ni! Patutlah dengan mudah sahaja gadis itu boleh menyedari bahawa selama ini dia hanya berpura-pura sahaja. Atau mungkinkah memang ada jambatan yang menyatukan hati mereka? Adakah jambatan itu dinamakan cinta?
            Zaem menarik nafasnya. Mungkin dia terlalu banyak berfikir. Semuanya hanyalah kebetulan semata-mata. “Allisya, susah sangat ke awak nak percaya yang saya bencikan awak?”
            “Zaem, awak tak benci saya. Kalau awak betul bencikan saya, kenapa awak masih simpan barang yang berkaitan dengan diri saya dan kenapa awak sentiasa cuba menyokong dan melindungi saya? Zaem, siapa yang awak cuba tipu sebenarnya?” Allisya masih merayu, mengharapkan penerangan daripada pemuda itu. Gadis itu tidak dapat membayangkan betapa sukarnya Zaem menghadapi kesukaran sedang dia memandang serong terhadap pemuda itu.
            “Allisya, apa lagi yang awak tak faham? Saya benci awak dan awak benci saya!” Getaran pada suara pemuda itu memperlihatkan perasaannya yang sedang gundah.
            “Saya tak bencikan awak! Tolong jangan paksa saya bencikan awak lagi!” Allisya turut membentak, memperlihatkan perasaannya. Memang sudah menjadi kebiasaan, apabila bertemu, mereka berdua pasti akan bertekak.
            “Allisya, kenapa awak susah sangat nak benci saya? Kalau orang lain saya tak buat apa-apa pun mereka dah benci saya. Awak ni memang degillah Allisya!”
            “Awak pun tak kurangnya Zaem. Kepala batu!”
            “Arrrh…saya dah agak dah, awak memang datang sini untuk sakitkan hati saya!” Zaem melonggarkan semula tali lehernya. Mungkin emosi pemuda itu sedang terganggu.
            “Saya bukan nak sakitkan hati awak, tapi awak yang mulakan dulu. Awak yang cuba sakitkan hati saya...” Allisya berhenti seketika, menarik nafasnya sebelum menyambung semula kata-katanya,” saya minta maaf Zaem. Saya tahu saya dah banyak buat salah pada awak. Saya selalu marahkan awak, sedangkan awak ikhlas membantu saya. Saya dah banyak susahkan awak dan saya harap awak akan beri saya peluang untuk betulkan kesalahan saya.”
            “Allisya, kenapa awak minta maaf pada saya? Awak tak salah…” Zaem kembali tenang mendengarkan kata-kata Allisya. Dia tidak mahu gadis itu meminta maaf kepadanya. Sepatutnya dirinya yang harus meminta maaf kepada Allisya kerana dia telah banyak kali menyakiti hati gadis itu. Malah, dia juga telah banyak kali membuatkan gadis itu terjebak dalam bahaya.
            “Kalau betul saya tak bersalah kenapa awak cuba menjauhkan diri daripada saya? Kenapa awak benci saya Zaem?” Allisya sengaja menduga. Dia dapat melihat kesayuan yang terpapar di wajah pemuda bermata coklat muda itu.
            Zaem hanya membisu, membuatkan Allisya semakin aggresif mengeluarkan kata-kata. “Zaem, dah tiba masanya awak berkongsi masalah yang awak ada dengan kami…dengan saya.”
            “Allisya, apa gunanya saya ada kawan kalau akhirnya saya hanya akan membebankan dan melukakan hati mereka?”
            “Sekurang-kurang bila awak hadapai masalah, awak tak akan laluinya sendiri…Zaem, nilai persahabatan tu terlalu tinggi. Seorang teman yang baik tidak akan meninggalkan temannya yang dalam kesusahan seorang diri. Awak anggap saya jahat ke sebab tu awak rasa saya tak akan bantu awak Zaem?”
            “Allisya, kalau awak jahat, saya tak akan sukakan awak…”
            “Hah! Kan saya dah kata, awak masih ambil berat tentang diri saya dan awak tak pernah bencikan saya.” Allisya tersenyum apabila mendengarkan sahaja kata-kata Zaem.
            “Arrh…Awak memang jahatlah Allisya! Kenapa awak nak perangkap saya dengan kata-kata saya sendiri? Cuma saya je yang boleh buat macam tu!”
            Allisya ketawa kecil melihat reaksi Zaem. Zaem memang tak pernah berubah, masih seperti dulu.
            “Kenapa awak ketawa Allisya? Saya serius ni! Lagi pun saya memang bencikan awak sebab awak ada hubungan dengan kawan baik saya sendiri! Saya tahulah saya pendek, tak tinggi macam Azim dan tak segagah dia…”
            “Zaem, kalau awak berani, awak cakap lagi benda yang bukan-bukan. Sesedap hati awak jekan nak menuduh saya? Saya dan Abang Azim tak ada apa-apa hubungan. Hubungan kami sekadar kawan.” Allisya cuba sedaya upaya membetulkan kenyataan yang ada.
            “Awak jangan nak menipulah Allisya. Rupanya awak lagi suka menipu daripada saya.”
            “Zaem, awak ni teruklah! Saya benci awak!” Hati Allisya mula menjadi panas semula mendengarkan tuduhan Zaem.
            “Tengok, kan betul awak bencikan saya…”
            “Tak. saya tak benci awak! Zaem, boleh tak tolong jangan putar belitkan ayat saya lagi? Kalau awak memang sengaja buat macam ni untuk sakitkan hati saya, taktik awak tak berjaya!”
            Zaem mengerutkan dahinya. Allisya bukan sahaja mampu membuatkan hatinya jadi tidak tenang, malah bab menyerabutkan otaknya juga pun Allisya pakar.
            “Allisya, saya nampak kemesraan awak dan Azim dan itu dah cukup menjadi penyebab untuk saya bencikan awak.” Zaem berpaling, melemparkan pandangannya ke tengah tasik.
            “Zaem, kami mesra sebagai kawan. Saya terhutang budi dengan Abang Azim, itu sahaja. Awak pun tak patut tuduh kawan awak macam tu. Daripada kita duduk bergaduh dan saling salah sangka macam ni, lebih baik kita cari jalan penyelesaian untuk masalah yang sedang kita hadapi. Kita selesaikan sama-sama. Kalau berterusan macam ni, awak hanya akan buat musuh awak ketawa sebab berjaya jatuhkan awak Zaem. Jangan biarkan emosi mengawal fikiran kita…” Allisya menghampiri dan berdiri di sebelah Zaem. Gadis itu turut melemparkan pandangannya ke tengah tasik. Jauh di sudut hatinya, dia mengharap Zaem kembali menjadi Zaem yang dahulu. Zaem yang ceria dan sentiasa berfikiran positif.
            “Allisya, musuh saya hanya akan ketawa apabila melihat awak cedera. Awak fikir saya tergamak ke untuk biarkan perkara tu berlaku?”
            “Zaem, waktu awak cuba menjauhi saya pun, masih ada orang yang cuba mengancam saya. Tak ada bezanya Zaem. Daripada kita saling renggang, lebih baik kita bersatu. Susah senang kita hadapi bersama. Mungkin dengan cara itu masalah ini akan dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan kita akan menjadi lebih kuat…Awak masih ada Abang Is, Abang Azim, dan yang paling penting, saya nak awak tahu yang awak masih ada saya. Saya akan menjadi sahabat awak, walau dalam senang atau susah.” Allisya tersenyum ketika melafazkan keikhlasan hatinya. Zaem yang berdiri di sebelah gadis itu bagaikan turut tersenyum sekali. Wajahnya kembali berseri.
            “Allisya, saya minta maaf sebab dah menyusahkan awak dan buat awak jadi bimbang dengan masalah saya sendiri. Saya tak sangka awak masih percayakan saya setelah apa yang saya buat pada awak Allisya…” Zaem memandang wajah gadis itu. Kata-kata Allisya ada benarnya. Mungkin sudah tiba masanya dia kembali berada di sisi gadis itu, melindunginya dengan sewajarnya. Jika dia semakin menjauhi Allisya, hatinya juga akan menjadi semakin sakit dan jiwanya turut menjadi tidak tenteram. Tambahan pula, dia pun sudah lama tidak bertegur sapa dengan Azim, apatah lagi bermalam di bilik penginapannya di USAS. Sudah tiba masanya dia kembali ke dunia sebenarnya.
            “Saya akan maafkan awak. Tapi dengan satu syarat.” 
            “Apa dia?” Zaem kebingungan. Mengapa perlu ada syarat? Tetapi jika difikirkan dalam-dalam, kesalahannya memang sudah terlalu besar untuk dimaafkan.
            “Syaratnya awak perlu temankan saya makan coki-coki ni,” Allisya menjawab seraya mengeluarkan dua batang coki-coki dari dalam poketnya.
            Zaem tersenyum sebaik melihat coki-coki tersebut Sejak akhir-akhir ini fikirannya terlalu kusut memikirkan perkara-perkara lain sehingga pemuda itu terlupa kepada makanan ringan kegemarannya itu. Mereka berdua duduk di bangku berdekatan sambil menjamah coki-coki yang dibawa Allisya.
            “Zaem, saya pun nak minta maaf sebab saya dah banyak sakitkan hati awak dan menyusahkan awak.” Allisya berkata sambil memandang ke wajah pemuda itu. Zaem kelihatan seperti kanak-kanak yang begitu gembira setelah diberi gula-gula. Wajahnya ceria, menyerlahkan kembali ketampanannya yang hampir tenggelam dalam kesuraman emosi.
            “Tak apa, saya faham. Dari dulu lagi awak memang suka sakitkan hati saya.” Zaem menjawab dengan nada yang sangat ceria. Namun Allisya sempat melemparkan jelingan tajam, membuatkan Zaem terdiam.
Allisya ketawa sebaik melihatkan perubahan pada riak wajah Zaem. Zaem turut sama ketawa. “Allisya kenapa awak bersungguh-sungguh nak memujuk saya?”
            “Sebab saya kawan awak.” Allisya menjawab dengan senyuman.
            “Saya tak rasa macam tu. Saya rasa awak sukakan saya. Sebab tu tadi awak berusaha meyakinkan saya yang awak tak ada hubungan mesra dengan Azim.” Zaem mengenyitkan matanya.
            “Zaem, awak nak mulakan peperangan semula ke dengan saya?”
            Zaem ketawa mendengar respon Allisya. “Hai, susahnya jadi orang tampan macam saya ni…sampai boleh menimbulkan peperangan.”
            “Suka hati awaklah Zaem nak kata apa, janji awak bahagia!” Allisya sudah mula menarik muncung dua inci.
Zaem ketawa melihat wajah rajuk Allisya. “Allisya, saya rasa kita ni sehati sejiwalah.”
“Awak buat lawak ke Zaem? Hampir setiap pertemuan kita, kita pasti akan bertekak. Macam mana awak boleh terfikir kita ni sehati sejiwa? Mengarutlah!”
“Sebab kita selalu bertekaklah kita sehati sejiwa. Walaupun kita bertengkar, tapi kita tetap bahagia bila bersama. Saya dapat rasakan, bagai ada satu jambatan yang menghubungkan hati kita berdua…bila difikirkan semula, saya rasa kita memang dah dijodohkan untuk bersamalah Allisya… ”
            “Malas saya nak layan awak Zaem. Baik saya pergi pulangkan basikal Abang Is je daripada saya membuang masa melayan orang perasan macam awak ni.” Allisya bangun, meninggalkan Zaem keseorangan terpinga-pinga.
            “Tapi saya belum habis makan coki-coki ni. Awak kata nak makan sama-sama dengan saya Allisya!”
            “Awak tu yang makan lembab sangat. Coki-coki saya dah lama habis.”
            “Allisya…kita baru je berbaik, kenapa sekejap sangat awak nak pergi? Allisya….Allisya!”
            Allisya tidak menghiraukan panggilan Zaem. Gadis itu menaiki basikal sambil melayangkan lambaian terakhir kepada pemuda itu.

No comments:

Post a Comment