Monday 6 February 2012

BAB 40: TAKDIR

Cinta adalah milik mutlak Yang Maha Kuasa
 

            “Zaem, kenapa awak suka ikut saya?” Gadis bertudung kuning dan berbaju kurung tradisional itu menarik muka masam tatkala dia melihat Zaem berada di laluan sama yang diambil olehnya.
            “Bila masa pula saya ikut awak? Kita bertemu sebab kita ada jodoh untuk bersama,” berbeza dengan Allisya, wajah pemuda bermata coklat muda itu kelihatan bersinar-sinar disuluhi perasaan gembira. Tambahan pula, dia memang suka melihat wajah rajuk atau marah Allisya. Makin Allisya marah, semakin teruja Zaem untuk mengusik gadis itu.
            “Allisya, kenapa awak ada di fakulti? Bukan ke hari ni hari sabtu, mana ada kuliah.”
            “Sibuklah awak ni Zaem. Saya nak pergi mana-mana pun suka hati sayalah. Awak tu Zaem, bukan ke awak Yang di-pertua MPP USAS? Sepatutnya awak mesti sibuk dengan urusan-urusan universiti. Tapi kenapa saya tengok awak ada je merayap-rayap di kawasan kampus ni?” Tanpa memikirkan perasaan Zaem, Allisya sengaja membedilkan kata-kata sinis.
            “Saya merayap-rayap tu sebab nak ekori awaklah,” Zaem menjawab dengan mimik muka yang tidak bersalah. Merah padam muka Allisya mendengarkan kata-kata Zaem. Gadis itu sendiri tidak tahu, adakah mukanya merah kerana terlalu marah atau pun menahan malu.
            “Betulkan?” Pemuda berblazer hitam itu sengaja mengusik sambil mengenyitkan mata kanannya.
            “ZAEM!”
            “Yalah, saya gurau jelah. Saya baru habis mesyuarat, jadi saya jalan-jalanlah di sekitar kawasan fakulti ni. Bukannya saya sengaja ikut awak …tapi kalau awak nak tahu, sebenarnya saya memang rindukan awak pun.”
            Setelah mendengar jawapan Zaem, hati Allisya menjadi tenang sedikit. Walaupun ayatnya agak menggelikan untuk didengari, namun sekurang-kurangnya Allisya tahu yang Zaem tidak pernah terniat untuk mengekorinya. ‘Nasib baiklah dia betul-betul tak ikut aku. Kalau tak memang patut kena sembur dengan alkohol je muka gatal dia ni.’
            “Awak kata saya gatal Allisya?”
            “Eh, bila masa pula?” Tersentak Allisya apabila memikirkan Zaem mampu membaca fikirannya.
            “Awak tak cakap pun saya dah boleh agak yang awak memang suka anggap saya gatal. Berwajah kacak ni dah macam satu sumpahan, semua orang akan anggap saya gatal.”
            Sambil membuat gaya seperti ingin muntah, Allisya sempat bertanya, “Zaem, mana Abang Azim? Lama dah saya tak nampak dia.”
            Zaem menjerling ke arah Allisya. Perasaan cemburu bagai sedang menusuk ke dalam hatinya. “Kenapa awak tanya tentang Azim? Dia ada je dekat-dekat fakulti ni. Rasanya hari ni dia pergi ke gym universiti.”
            “Bahu dia dah sembuh sepenuhnya ke Zaem?”
            “Janganlah risau sangat Allisya. Azim tu bukannya pergi angkat berat pun. Dia buat rawatan fisio je. Awak ni risaukan sangat dia, awak dengan Azim couple ke?” Zaem sengaja meninggikan suaranya sebagai memberikan amaran agar Allisya tidak berlebih-lebihan mengambil berat tentang pemuda itu.
            Allisya sengaja tidak mengambil endah akan amaran Zaem. Allisya tahu Zaem cemburu, tetapi bagaimana harus dia nyatakan pada pemuda itu bahawa hatinya bukan untuk dia. Kadang-kala Allisya sendiri hairan. Mengapa hati ini terlalu sukar untuk menerima cinta yang hadir, sedangkan selama ini hatinya meruntun mencari cinta sejati? Adakah kerana Zaem bukan cinta sejatinya?
            “Zaem, awak buat apa di sini?” Sedetik kemudian mereka disapa oleh suara seorang gadis ayu. Fazura baru sahaja keluar daripada bangunan berdekatan. Wajah gadis itu berubah apabila melihat Allisya. “Allisya pun ada?”
            “Kak Fazura…saya…saya…”
            Kehadiran Fazura pastinya menimbulkan rasa tidak selesa di hati Allisya. Lantas Zaem segera memberikan jawapan bagi mengelak salah faham yang mungkin timbul, “Kami terserempak je Faz.”
“Terserempak? Bukan ke awak memandu kereta? Macam mana boleh terempak dengan Allisya?” Fazura semakin menguji, masih curiga dengan jawapan yang diberi.
 Pada ketika itu, Zaem terasa bagai sedang dihimpap dengan batu besar. “Em, sebenarnya Allisya nak berjumpa dengan Dr. Ariffin dan saya pula ada temu janji dengan Is.” Zaem menarik nafas sedalam yang terdaya. Dia terpaksa mereka-reka situasi baru bagi menyakinkan gadis itu. Pemuda tersebut menjadi sangat cuak. Risau kalau-kalau Fazura akan bertindak di luar jangkaan gara-gara perasaan cemburu gadis itu terhadap hubungannya dan Allisya. Satu USAS telah mengetahui bahawa Fazura sedang mengalami masalah depresi yang teruk semenjak kematian abang tunggalnya Farid.
  “Ya betul tu Kak Faz, saya cuma terserempak dengan Zaem je. Saya ke mari sebab nak berjumpa dengan Dr. Ariffin.” Entah mengapa, hanya kata-kata itu yang mampu dilafazkan di bibir Allisya. Dia terpaksa mengikut rentak Zaem. Walhal dia sendiri tidak terniat mahu bertemu dengan pensayarah kaunselor itu. Kehadiran Fazura membuatkan Allisya menjadi sangat takut sehinggakan dia sendiri tidak mampu berfikir panjang untuk menyusun kata.
Dalam usaha mereka mengelak daripada menimbulkan salah sangka, Fazura pula kelihatan semakin curiga. “Faz baru je keluar daripada bilik Dr. Ariffin sebab Dr. ada temu janji dengan Iskandar. Jadi macam mana pula Allisya boleh ada temu janji dengan Dr. Ariffin dan awak pula nak jumpa dengan Iskandar?”
Allisya dan  Zaem terdiam mendengarkan kata-kata Fazura. Nampaknya mereka telah terperangkap dengan kata-kata mereka sendiri. Allisya menjerling ke arah Zaem.  ‘Tulah, pandai-pandai je reka cerita!’ Walaupun tidak mampu mendengar bisikan hati gadis itu, namun Zaem tetap dapat merasakan bahawa Allisya pastinya sedang marahkan dirinya.
“Em…” Belum pun sempat Zaem membuka bicara, Azim muncul mencelah kata. “Eh, Allisya awak di sini, bukan ke awak kata nak jumpa saya?”
Hampir gugur jantung Allisya dan Zaem apabila mendengarkan kata-kata Azim yang muncul secara tiba-tiba itu. Zaem tahu Azim sengaja berkata begitu untuk menyelamatkan keadaan dengan harapan Fazura tidak akan berkecil hati. Tetapi masalahnya sekarang ini, situasi yang mereka reka tak kena dengan situasi yang Azim cuba wujudkan! ‘Azim tolonglah jangan muncul secara tiba-tiba lagi!’
“Allisya nak jumpa Azim? Eh, Zaem bukan ke tadi awak kata Allisya nak jumpa Dr. Ariffin? Mana satu yang betul ni?” Wajah Fazura mula berubah menjadi pucat. Adakah gadis itu sedang marah?
Bagi menyelesaikan konflik yang timbul, akhirnya Zaem bersuara semula, “Azim dan Allisya sama-sama janji nak jumpa Dr. Ariffin. Dalam masa yang sama Iskandar dan saya pun ada niat yang sama. Jadi kesimpulannya, kami semua sama-sama nak berjumpa Dr. Ariffin. Ya, itulah jawapannya!”
“Kenapa sampai ramai-ramai sangat nak jumpa Dr. ni?” Masih hairan, Fazura cuba menyelidik lagi. Adakah Zaem sengaja mencari alasan setelah keluar berdua-duaan bersama Allisya?
“Sebab kami semua AJK Kelab Permata Hati. Kami nak bincangkan tentang aktiviti terdekat kelab yang bakal kami jalankan tak lama lagi,” bagaikan hujan turun di tengah panas, Azim menjawab persoalan Fazura dengan yakin dan bersungguh. Zaem agak terkejut dengan tindakan Azim itu. Tidak disangka-sangka, Azim masih ingin membantu dirinya walaupun mereka sering sahaja bertelagah sejak akhir-akhir ini.
Pada kenyataannya, Azim juga tidak suka jika Fazura tahu bahawa Zaem dan Allisya sudah menjalinkan hubungan baik semula. Sekiranya rahsia itu terbongkar, pasti gadis itu akan menjadi semakin murung. Siapa yang tidak tahu betapa dalamnya cinta Fazura terhadap Zaem sehinggakan gadis itu pernah cuba membunuh diri kerana kecewa ditolak Zaem.
“Oh, ya ke? Maaf ya, Faz tak tahu. Faz harap aktiviti kelab Permata Hati akan berjalan dengan jayanya.” Fazura yang berwajah pucat itu sudah mula mengukirkan senyuman, lantas membuatkan hati Zaem dan Allisya merasa lega.
“Faz balik kolej dulu ya. Zaem, besok boleh tak Zaem temankan Faz pergi ke Pusat Kesihatan untuk buat pemeriksaan?”
“Em, boleh. Esok Zaem jemput Faz di kolej. Faz jaga kesihatan ya.”
Fazura tersenyum mendengar jawapan Zaem. Bagi Fazura, selagi Zaem ada di sisinya, selagi itu dia akan mampu mengukirkan senyuman. “Terima kasih Zaem. Jumpa esok.” Fazura pergi, melangkah meninggalkan mereka semua.
Sebaik melihat Fazura pergi, Azim menyentak, “Zaem, kau jangan cuba nak tarik Allisya dalam masalah kau lagi!” Azim menarik blazer Zaem, tanda memprotes.
“Azim, aku tak akan libatkan Allisya dengan masalah aku! Kau tak perlu risau!” Zaem menyentap semula bahagian blazernya yang ditarik oleh Azim tadi. “Dan aku tak suka kau tunjuk seolah-olah Allisya tu hak kau!” Zaem membetul-betulkan semula blazernya.
“Aku harap kau faham apa maksud aku Azim,” ujar Zaem lagi seraya menjerling ke arah temannya yang tinggi lampai itu. Azim mendengus, sedikit bengang dengan jawapan Zaem.
“Zaem! Kenapa awak cakap macam tu?” Allisya yang daripada tadinya diam turut berang apabila mendengarkan namanya dikaitkan dalam pertelingkahan mereka.
“Allisya, awak suka nak menangkan Azimkan?” Zaem dengan pantas menoleh ke arah Allisya. Geram juga rasa hatinya bila memikirkan bahawa Allisya sentiasa menyebelahi Azim tetapi tidak dia.
            “Zaem, Azim apa yang kamu berdua bincangkan ni sampai ke bilik saya pun boleh dengar.” Buat seketika, mereka tersentak apabila dikejutkan dengan satu suara garau yang datang daripada tingkap tingkat satu di bangunan berdekatan. Allisya, Zaem dan Azim segera mendongak.
“DR. ARIFFIN!”
            Dr. Ariffin tersenyum melihat wajah terkejut ketiga-tiga pelajar USAS itu. Sejurus kemudian, Iskandar muncul di tingkap yang sama. “Azim, Zaem? Allisya pun ada?” Terpinga-pinga Iskandar melihat ketiga-tiga orang temannya itu berada di luar tingkap bilik Dr. Ariffin. Jadi yang bising-bising sehingga menganggu perbualannya dengan pensyarah itu tadi adalah kawan-kawannya sendiri rupanya. Satu bilik bergema suara mereka. Pemuda itu terasa bagaikan ingin ketawa, tetapi ditahannya dengan senyuman.
            “Kalau ada yang tak puas hati apa kata naik ke bilik saya? Kita berbincang, selesaikan dengan cara yang baik,” Dr. Ariffin mengukirkan senyuman.
            Zaem kelihatan terpinga-pinga sahaja. Allisya sempat berbisik ke telinga pemuda itu, “Hah, tadi awak yang kata ‘kita semua nak jumpa Dr. Ariffin’ sangatkan? Apa lagi? Jomlah!” Setelah puas memerli Zaem, Allisya menyusun langkah masuk ke dalam bangunan fakulti untuk naik ke bilik pensyarah kaunselor itu. Azim mengikut daripada belakang tanpa bersuara, manakala Zaem mengambil masa yang agak lama untuk bergerak menyertai mereka.
            Ketika berada di bilik Dr. Ariffin, mereka seolah-olah terlupa kepada pertelingkahan yang baharu sahaja berlaku sebentar tadi. Masing-masing asyik bercerita dan berkongsi pendapat mereka berkenaan dengan peristiwa-periswa buruk yang berlaku di kampus mereka sejak akhir-akhir ini. Bukan sahaja Iskandar, malah Zaem dan Allisya turut meluahkan kerisauan mereka terhadap tahap keselamatan dalam kampus mereka itu. Mereka khuatir, sekiranya kes ini tidak diselesaikan secepat yang mungkin, akan ada lebih banyak perkara buruk yang bakal berlaku.
            “Sama-samalah kita doakan yang terbaik untuk semua.” Dr. Ariffin menghela nafasnya sambil melemparkan pandangannya ke luar tingkap. Walaupun wajahnya kelihatan tenang, namun sedikit sebanyak fikiran pensyarah itu turut terganggu berikutan dengan kes-kes buruk yang menima pelajar-pelajarnya.
            “Oh, ya! Saya ada bawa buah mempelam daripada kampung. Ada atas meja tu. Jemputlah rasa. Tapi belum kupas lagi. Allisya, boleh awak tolong kupaskan pelam tu?”
            Allisya membalas pelawaan Dr. Ariffin itu dengan senyuman, lantas tangannya mencapai pisau kecil yang diletakan bersama di dalam raga mempelam tersebut. Perlahan-lahan gadis itu mengupas mempelam muda yang dimaksudkan. Walaupun masih muda, Allisya sudah terliur melihat isinya.
            “Manis orangnya Allisya ni. Betul ke apa yang saya dengar Allisya sedang bercinta dengan salah seorang MPP tertinggi USAS?”
            Zaem yang sedang menghirup air kopinya, tersembur sebaik sahaja mendengarkan kata-kata Dr. Ariffin itu. Azim yang sedang menjongkitkan kerusinya, nyaris hampir jatuh ke belakang kerana terlalu terkejut, manakala Iskandar yang sedang memerhatikan Allisya mengupas mempelam muda itu beberapa kali terbatuk secara tiba-tiba. Malah yang lebih teruk, Allisya yang terlalu terkejut mendengarkan namanya disebut itu secara tidak sengaja terhiris jarinya sendiri. Darah kelihatan membasahi jari telunjuk gadis itu.
            Dr. Ariffin sedikit hairan melihat reaksi keempat-empat mereka. Pensyarah itu bagai boleh membaca apa sebenarnya yang sedang berlaku di antara mereka berempat.
            “Allisya, awak tak apa-apa?” Iskandar yang terkejut melihat darah yang mengalir pada jari gadis itu segera menghulurkan tangannya untuk mengambil pisau tersebut daripada Allisya. Malangnya, jari pemuda itu pula yang bertembung dengan mata pisau tersebut, lantas menyebabkan jari Iskandar pula yang tercedera.
            “Maafkan saya Abang Is! Saya tak sengaja!” Penuh dengan perasaan bersalah, Allisya segera menghulurkan tisu kepada pemuda berkaca mata itu.
            “Tak apa Allisya, abang tak apa-apa. Terima kasih,” Iskandar menyambut tisu pemberian Allisya. Dilihatnya wajah gadis itu muram kerana dibebani perasaan bersalah.
“Kasihan Abang Is. Maafkan saya, saya tak sengaja…” Wajah Allisya bertambah sayu, meruntun hati Iskandar yang memandang. Pemuda itu tidak sanggup melihat wajah kusam gadis itu, lantas dia bersuara demi menjernihkan kedukaan di hati Allisya. “Apa kata kita buat sesuatu yang menarik?”
“Menarik? Apa dia Abang Is?” Allisya kehairanan. Darah di jari gadis itu juga masih mengalir.
“Yalah, apa yang menariknya tu Is? Boleh tunjukan kepada saya juga?” Dr. Ariffin sempat menyampuk.
Iskandar tersenyum manis. Tangan pemuda itu segera mencapai piring kecil di atas meja. Allisya masih kehairanan. Tidak lama kemudian, beberapa kali, Iskandar menitiskan darah daripada jarinya yang terluka itu ke dalam piring tersebut, “Allisya boleh titiskan darah Allisya juga? Setitis pun dah cukup.”
“Oh?” Allisya yang masih tercengang-cengang dengan apa yang Iskandar ingin cuba lakukan hanya mengikut kata. Darahnya dititisnya ke dalam piring yang sama.
Semua yang hadir kecuali Azim memandang dengan penuh tekun ke dalam piring tersebut. Begitu juga dengan Allisya, gadis itu ingin tahu apa sebenarnya yang ingin ditunjukan oleh Iskandar. Senang hati Iskandar apabila melihat wajah gadis tersebut tidak lagi semuram tadi.
Selepas beberapa ketika, darah Iskandar dan darah Allisya  yang dititiskan tadinya, perlahan-lahan bersatu membentuk satu tompokan yang sama.
“BERSATU? Iskandar! Allisya…” Tersekat-sekat lidah Zaem untuk berkata-kata. Azim yang daripada tadi kelihatan tidak berminat dengan aktiviti mereka turut tersentak dan berganjak ke hadapan untuk mendapatkan kepastian.
Semua yang melihat kelihatan tercengang, tidak kurang juga Iskandar. Pemuda itu berasa sangat terkejut. Adakah ini mimpi atau kenyataan yang luar biasa?
“Allisya, darah Allisya jenis apa?” Iskandar cuba berlagak tenang, walaupun pada hakikatnya jantung pemuda itu berdegup sungguh kencang.
“Darah saya… darah saya jenis O,” Allisya menjawab dengan teragak-agak.
Rhesusnya?” Iskandar masih cuba berlagak tenang. Hatinya berdebar-debar untuk mengetahui hal yang sebenar.
“Em, saya rhesus negatif. Darah saya O negatif.”
“Subhanallah!” Iskandar  bersandar semula ke kerusinya. Mukanya diraup perlahan. ‘Ya Allah, adakah ini satu anugerah? Petanda? Atau sekadar ujian bagiku?’
            Allisya yang masih tidak mengerti dengan situasi tersebut masih kelihatan terpinga-pinga. “Kenapa abang? Kenapa Zaem?” Gadis itu mengharapkan jawapan, merayu agar ada yang menerangkan kepadanya.
            “Allisya, kamu tahukan apabila setitis darah bercampur dengan darah yang berlainan jenis dan rhesusnya akan menyebabkan berlaku proses agglunitasi? Darah tersebut akan bergumpal dan berlaku penolakan kerana mengandungi antigen dan antibodi yang berlainan. Tapi perkara ini tak akan berlaku apabila darah tersebut datang dari jenis dan rhesus yang sama.”
            “Darah dari jenis dan rhesus yang sama akan bersatu…maksudnya…” Allisya memandang wajah manis Iskandar. Pemuda itu masih terkejut dengan peristiwa tadi dan enggan memandang mata Allisya. “Maksudnya, darah Abang Is pun O negatif?”
            “Dulu, Iskandar selalu buat ujian yang sama dengan kawan-kawan yang lain, termasuklah dengan kami berdua. Tapi tak pernah lagi ada orang yang mempunyai jenis darah yang sama dengan Iskandar. Pemilik O+ memang ramai, tapi O-? Hanya satu dalam sejuta!” Zaem cuba memberi penjelasan mengikut apa yang pernah diberitahu oleh Iskandar kepadanya sebelum ini. Pemuda itu juga merasa sungguh kagum. Dalam jutaan penduduk Malaysia, Allisya adalah salah seorang yang memiliki jenis darah yang sama dengan Iskandar, sedangkan jenis darah O negatif  adalah  jenis yang paling sukar untuk ditemui, bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Adakah Allisya dan Iskandar mempunyai sebarang pertalian atau mungkin ikatan persaudaraan?
            “Abang Is, betul ke?” Allisya bertanya lagi. Iskandar mengangguk perlahan.
            Allisya tersenyum. Gadis itu tidak pasti, mengapa dia berasa begitu gembira. Mengetahui dirinya dan Iskandar mempunyai begitu banyak persamaan membuatkan hati Allisya merasa semakin kuat menyayangi pemuda itu. “Abang Is, mungkinkah kita berdua ada kaitan?”
            Iskandar hairan mendengar kata-kata Allisya, lalu gadis itu menambah lagi, “Lagi pun, bukan ke nama ayah Abang Is dan ayah saya sama? Ismail bukan?”
            Alangkah terkejutnya Iskandar dan setiap mereka yang berada di dalam bilik pensyarah kaunselor itu. Apakah maksud Allisya sebenarnya? Mereka adalah adik beradik? Tak mungkin! Bukan itu yang diharapkan oleh Iskandar. Cukuplah dia menanggung sakit mengetahui cinta Allisya bukan miliknya. Ditambah pula dengan fakta bahawa orang yang dicintainya itu adalah adik kandungnya sendiri adalah perkara yang lebih menyiksakan untuk diterima.  Hatinya tidak cukup kuat untuk menerima dugaan sebesar itu.
            “Itu tak mungkin!” Tiba-tiba sahaja Azim mencelah. Dia tidak bersetuju dengan pendapat Allisya. Bagi Azim itu sebenar adalah petanda bahawa Iskandar dan Allisya telah ditakdirkan untuk hidup bersama. Bukankah Allisya dan Iskandar saling mencintai? Ya, dia cukup yakin! Mengapa Iskandar masih tidak dapat melihatnya lagi?
            “Orang yang berdarah O negatif hanya boleh menerima darah jenis O negatif sahaja…siapa sangka, akhirnya Iskandar dah bertemu dengan orang yang memiliki darah yang sama dengan dia.” Azim menambah lagi.
Iskandar masih diam, tiada siapa yang mengerti, apa yang sedang difikirkan oleh pemuda itu.
            “Cuba bayangkan sekiranya salah seorang daripada mereka terlibat dengan kemalangan? Sekurang-kurangnya kita dah tahu siapa yang boleh membantu!” Berbeza dengan yang lain, Zaem kelihatan begitu gembira dan teruja.
            “Kalau macam tu, nampaknya Iskandar, kamu dan Allisya tak boleh berpisah… sampai bila-bila pun. Hakikatnya, kamu berdua saling memerlukan di antara satu sama lain.” Dr. Ariffin yang tadinya sedang asyik memerhati, akhirnya membuka bicara menyuarakan pendapatnya. Senyuman turut diukirkan, memberikan seribu satu makna.
            Kata-kata Dr. Ariffin bagaikan sedang menusuk ke dalam hati Iskandar. Benarkah apa yang dikatakan oleh pensyarah itu? Dia dan Allisya tidak boleh berpisah sampai bila-bila? Mampukah dia menanggung derita melihat gadis yang dicintainya itu bercinta dan berkhawin dengan lelaki lain? Tegarkah hatinya melepaskan perasaannya itu pergi sedangkan Allisya sentiasa berada di sisinya?
‘Ya Allah, ujian apakah yang Engkau berikan kepadaku ini? Di saat aku cuba melupakan Allisya, Engkau berikanku petanda untuk terus mendampinginya? Adakah ini satu ujian buatku Ya Allah? Berikanlahku kekuatan, agar aku tidak rebah dalam kelemahan hatiku sendiri.’
Iskandar masih memandang kepada tompokan darah tadi. Sejenak, Iskandar berfikir dan bertanya kepada dirinya sendiri. Bisakah dirinya dan Allisya bersatu seperti mana titisan darah mereka itu? Mungkinkah masih ada ruang untuk mereka saling jatuh cinta? Sesungguhnya, hanya tuhan yang mengetahui segala-galanya kerana cinta itu adalah milik mutlak Yang Maha Kuasa.
Walaupun masing-masing terkejut. Namun mereka kembali menyambung perbualan asal mereka berkaitan dengan isu-isu semasa di universiti mereka. Seusai mereka semua berbual, mereka beramai-ramai keluar daripada bilik pensyarah tersebut, namun Dr. Ariffin sempat menepuk bahu dan berbisik kepada Iskandar. “Sekiranya seseorang itu telah ditakdirkan untuk kita, walau sesukar manapun dugaan dan rintangannya, jodoh itu pasti akan sampai. Tapi sekiranya dia bukan jodoh kita, walau seribu penyebab yang kita temui, tetap tak akan mampu menyatukan hatinya dan hati kita. Ingatlah Is, jodoh itu di tangan tuhan. Carilah cinta Illahi, sebelum mencari cinta duniawi.”
            Iskandar tersentak dan berasa sungguh hairan mendengarkan pesanan Dr. Ariffin. Adakah Dr. Ariffin telah menyedari perasaan yang disembunyikannya terhadap Allisya? Walau apa pun sebabnya, Iskandar tetap akan menjadikan pesanan Dr. Ariffin itu sebagai tauladan.
            Ketika melangkah keluar, Iskandar dapat melihat Zaem sedang sibuk membebel kepada Azim. Entah apa yang masih digaduhkan dua sahabat itu, Iskandar sendiri kurang pasti. Allisya yang masih berada di hadapan pintu, berjalan seiringan dengan Iskandar.
            “Abang Is…tentang apa yang Dr. Ariffin cakapkan tadi…”
            Iskandar memandang tepat ke wajah Allisya. Gadis itu kelihatan sedikit malu untuk berkata-kata.
            “Walaupun kita bukan adik beradik sebenar sekali pun, boleh tak Abang Is janji…janji yang abang tak akan pernah tinggalkan saya sendiri…janji untuk menjadi abang saya, sampai bila-bila?”  Allisya mendongak memandang Iskandar. Wajah gadis itu penuh dengan pengharapan.
            Iskandar tersenyum, “Insya’Allah. Abang janji, abang tak akan pernah tinggalkan Allisya. Abang akan jaga Allisya seperti adik abang sendiri.”       
            “Terima kasih Abang Is. Saya betul-betul bersyukur kerana telah dipertemukan dengan abang.”


             Dr. Ariffin menjengah daripada jendela biliknya, memerhatikan Iskandar dan Allisya yang sedang berbual. Dr. Ariffin hanya tersenyum. “Sayangnya, kadangkala manusia ni tak sedar mereka saling mencintai...” Pensyarah itu berjalan dan menuju ke meja kerjanya. Perlahan-lahan, dia mengeluarkan sebingkai gambar dari dalam laci mejanya. Dr. Ariffin tersenyum memandang wajah wanita di dalam gambar tersebut. Perasaan rindunya semakin mendalam. “…dan pastinya perjalanan cinta mereka tidak mudah…sepertimana perjalanan cinta kita..” 
 
                                                               *                      *                      *
            “Faz! Syakir tak suka Faz jumpa dengan Zaem lagi. Kenapa Faz masih bersama dengan dia? Faz tahukan dia cuma nak main-mainkan hati Faz?” Suara Syakir kedengaran agak meninggi dari selalu. Jarang sekali dia memarahi sepupunya itu. Namun semenjak pemergian Farid, hanya Syakir yang menjadi tempat Fazura mengadu. Malah Syakir juga seperti telah mengambil alih peranan sebagai abang Fazura, walaupun pada hakikatnya mereka seusia.
            “Zaem tak pernah mainkan perasaan Faz!”
            “Faz, Faz sendiri nampak bukan semalam tu macam mana akrabnya Zaem dan Allisya? Lagi pun Syakir selalu je nampak mereka keluar bersama. Tempoh hari di fakulti Undang-undang, terang-terangan Zaem hadiahkan bunga Ros pada Allisya. Apa Faz tak sedar lagi tentang hubungan mereka?”
            “Mereka cuma kawan baik. Lagi pun merekakan satu persatuan, jadi memanglah selalu bertemu untuk urusan rasmi. Bukan sebab bercinta!”
            “Fazura! Tolong jangan nafikan lagi. Zaem cuma nak permainkan Faz!”
            Fazura berasa sungguh marah apabila mendengar nama Zaem diperburuk-burukan. Gadis itu menolak gelas kaca yang berada di atas meja. Gelas yang jatuh itu, terhempas dan berkecai sepertimana hati gadis ayu itu. Fazura menutup telinganya, enggan mendengar bait kata Syakir yang amat menyakitkan.
            “SYAKIR! JANGAN CAKAP APA-APA LAGI! FAZ TAK SUKA!”
            Syakir yang berasa berang dengan kedegilan sepupunya itu segera mengangkat kaki keluar daripada bilik tersebut. Menasihati Fazura, bagaikan meniup api di atas air. Sekiranya dia tidak dapat menyakinkan Fazura, dia tahu siapa yang harus dia yakinkan!
            “ZAEM!”
            Sudah lama pemuda itu bersabar dan sudah tiba masanya Zaem menemui takdirnya.