Saturday 22 October 2011

BAB 29: PILIHAN SEMALAM



            “Ajim, kenapa bunga ni layu?” anak gadis kecil yang baru berusia 10 tahun itu bertanya dengan nada suara yang manja. Jari jemari kecilnya sedang mengulit, menyentuh sekuntum bunga mawar yang telah kelihatan layu. Hatinya merasa sayu melihat bunga-bunga yang kelihatan hampir layu dan kering walaupun telah ditanam di dalam pasu yang sangat cantik. Sayang, sungguh sayang. Apa gunanya jika pasunya cantik, tetapi bunganya layu dan mati?

             Azim tidak menumpukan perhatian kepada apa yang sedang dilakukan Ariana. Dia masih sibuk membetulkan layang-layang milik Ariana yang telah patah. “Pokok dia dah mati, sebab tu bunga dia pun layu.” Nada suara budak lelaki yang berusia 11 tahun itu tidaklah semanja mahupun semesra Ariana, namun wajahnya kelihatan berseri-seri berbicara bersama temannya itu. 

            “Kenapa pokok bunga tu mati?”Ariana bertanya lagi. Tangannya masih membelai-belai helaian kelopak-kelopak bunga mawar yang telah kering.

            “Mungkin sebab pokok tu berpenyakit.” 

            “Ajim, nanti Ariana pun akan jadi macam pokok tu ke? Ariana akan mati disebabkan penyakit Ariana?”

            “Ariana! Jangan cakap macam tu! Ariana tak akan mati!” Azim terdiam seketika. Kemudian dia menyambung, “Maksud Ajim, semua orang pun akan mati, tak kira sakit atau tak. Jadi janganlah Ariana asyik kaitkan sakit Ariana dengan mati. Ajim tak sukalah! Ajimkan ada. Ajim akan sentiasa berada di sisi Ariana, bantu Ariana jaga kesihatan Ariana. Ajim nak kita sama-sama berjaya.” Layang-layang yang sedang dipegang oleh budak lelaki itu telah lama dilepaskan. Matanya tepat memandang Ariana. Dia kelihatan bersungguh-sungguh untuk menyakinkan budak perempuan itu. 

            Ariana tersenyum mendengarkan jawapan Azim. “Tapi Ajim selalu sibuk. Bila Ajim berlatih dan main bola sepak je Ajim selalu abaikan Ariana. Macam mana Ajim nak jaga Ariana?”

            Azim terdiam. Memang sudah menjadi tabiatnya, suka bertindak terburu-buru mengikut perasaan. Dia sering menabur janji tanpa berfikir panjang. Sifat terburu-buru seolah-olah telah menjadi sebahagian daripada dirinya. Sebab itulah Azim lebih selesa mendiamkan diri daripada berkata-kata kosong seperti budak-budak lain. Tidak rugi menjadi seorang yang pendiam, sekurang-kurangnya dia tidak terlajak dalam berkata-kata. “Tapi Ajim tak tipu. Ajim memang nak jaga Ariana. Kalau boleh, sampai bila-bila.”

            Ariana tersenyum manis mendengarkan janji-janji budak lelaki berusia awal belasan tahun itu. Dia sengaja bertanya untuk menduga, “Sampai bila-bila tu, sampai bila? Sampai Ariana mati ke?”

            “Ariana! Kenapa cakap macam tu? Tak baik!”

            “Betulah Ajim, pernah ke Ajim tengok orang yang dah sakit Leukemia seteruk Ariana ni panjang umur? Rambut Ariana pun dah habis. Hari-hari gugur. Penat tau tiap-tiap bulan nak buat terapi.” Ariana menggosok-gosok kepalanya yang rapi disarungkan dengan tudung. Walaupun kata-kata gadis itu menunjukkan kesayuan hatinya, namun gadis kecil itu masih mampu mengukirkan senyuman dan menhabiskan kata-katanya dengan tawa kecil.

            “Ariana rajin-rajinlah makan ubat, biar cepat sembuh. Lagi pun, Ajim tak akan biarkan Ariana mati. Tak akan!”

            “Tak baik tau Ajim cakap macam tu. Mak Ariana selalu cakap, mati tukan takdir tuhan, mana boleh kita tolak.”

            Azim memandang wajah anak kecil itu. “Ariana ni kenapa? Ariana memang sengaja nak sakitkan hati Ajim ke?”

            Ariana ketawa terkekek-kekek melihatkan wajah marah Azim. “Ajim lak, kenapa asyik nak marah je? Nanti Ajim yang mati dulu, tertekan sebab hari-hari marah.” Ariana mengusik dalam tawa.
Azim menarik muncung seinci. Dia tidak suka diusik seperti anak kecil. “Dah Ariana suka cerita pasal mati, siapa yang tak marah?”

“Ariana cuma tak nak Ajim terkejut je, bila suatu hari nanti Ariana dah tak ada lagi dekat dunia ni. Lagi pun Ajimkan kata lepas UPSR nanti Ajim nak masuk Sekolah Sains Alam Syah. Tinggallah Ariana sorang-sorang je dekat sini.” Kini, Ariana pula yang bersuara dengan nada rajuknya.

“Ariana, sekolah tu bukannya jauh sangat. Sabtu dengan Ahadkan cuti, nanti Ajim baliklah untuk jumpa Ariana. Lagi pun Arianakan boleh masuk sekolah Sri Puteri. Dekat je dengan sekolah Alam Syah. Kita boleh berkawan baik sampai bila-bila.”

“Tak boleh. Mak dengan ayah Ariana tak beri Ariana belajar jauh-jauh. Nanti susah nak pergi buat Chemo.” Ariana kedengaran semakin sayu. Azim faham keadaan anak kecil itu. Ariana telah disahkan menghidap Leukemia sejak kecil lagi. Dia sering jatuh sakit, demam dan muntah-muntah di sekolah. Pastinya ibu bapanya tidak rela melepaskan gadis itu pergi. Mereka khuatir kesihatan Ariana akan terjejas jika berjauhan dengan keluarga tanpa penjagaan yang rapi.

“Bila Ajim masuk asrama, Ajim akan lupakan Ariana tak?”

“Mestilah tak!”

“Betul ke Ajim tak akan lupakan Ariana? Macam mana kalau Ajim lupa?”

“Betul, Ajim janji!”

Ariana tersenyum mendengarkan jawapan Azim. “Ajim ingat tak macam mana kita mula-mula jumpa dulu?” Kini, Ariana mula bermain teka-teki lagi.

“Ingat. Waktu Ajim tengah main bola dekat padang sekolah kita, tiba-tiba Ariana datang…” Azim menghemburkan tawanya sebelum dia sempat menghabiskan kata-katanya.

“Jahatlah Ajim ni! Ketawakan Ariana je.” Ariana yang kedengaran marah itu juga akhirnya turut ketawa mengingati peristiwa tersebut. Anak gadis kecil itu turut menambah, “Bila Ariana datang je, bola yang Azim sepak tu terpelanting ke muka Ariana. Sakit tau, sampai satu hari Ariana menangis.”

“Tapi hampir satu hari juga Ajim pujuk Ariana bukan?” Ujar Azim sambil menghabiskan sisa-sisa tawanya.

“Betul tu! Dan sebab peristiwa tu jugalah kita jadi kawan baikkan.” Ariana turut berkata-kata walaupun masih terbahak-bahak ketawa.

“Betulah, kalau bola tu tak terkena muka Ariana, mungkin kita pun tak saling kenal.” Azim menyokong, wajah kanak-kanaknya kelihatan begitu ceria.

“Waktu tu Ajim marah bila Ariana tak panggil nama Ajim ‘Azim’. “

“Yalah, macam budak-budak je!”

“Tapi, kitakan memang budak-budak. Bukannya orang besar macam cikgu kita. Kalau tak, orang pun dah panggil kita cikgu.” Ariana tersengih, Azim ketawa mendengarkan kata-kata budak kecil itu.
“Ajim, kenapa Ajim berkawan dengan Ariana? Ajim suka Ariana ke?” 

Soalan yang dikemukakan oleh anak kecil itu mengejutkan Azim. Merah mukanya menahan malu. Merahnya wajah Azim, bagaikan buah tomato yang sedang masak ranum. “Mana ada! Perasanlah Ariana ni. Ariana yang sibuk nak berkawan dengan Ajim.”

Ariana semakin terbawa-bawa dengan tawanya. Geli hatinya melihatkan wajah Azim yang sedang merah itu. Ariana tidak pasti, adakah wajah Azim merah kerana marah atau sebenarnya sedang menahan malu. “Mestilah. Ariana tengok Ajim asyik duduk sorang-sorang je. Bukannya tak ada budak-budak lain dalam sekolah ni. Kenapa tak kawan dengan dia orang?” 

            “Tak nak! Dia orang semuanya jahat, tak macam Ariana.” Azim menarik muka masam. Dia memang tidak suka bercakap dengan pelajar lain. Tambahan pula, tak ada sebab dia nak berbaik dengan mereka. Mereka tidak pernah mengejek mahupun memulaukan Azim, cuma mereka sahaja yang tidak mahu menegur Azim. Wajah kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun itu seringkali dilihatkan kurang mesra, maka kanak-kanak lain juga tidak mahu mendekatinya. Azim juga tidak berminat untuk bercampur dengan mereka. Malah, tindakan mereka yang suka memperkecil-kecilkan Ariana kerana penyakitnya membuatkan Azim bertambah benci untuk bergaul dengan mereka. Bagi Azim, orang yang kejam dan sanggup melukakan hati orang lain, tidak layak dianggap kawan.  

            “Ajim, kalau Ariana mati nanti, agak-agaknya Ajim akan suka budak perempuan lain tak?” Soalan yang tidak disangka muncul daripada bibir Ariana. Tercekik Azim menelan kata-kata kawan baiknya itu.
            “Kenapa Ariana ni? Suka tanya soalan pelik-pelik.” 

            “Tak peliklah. Betullah! Kalau Ariana mati, Ariana nak Ajim suka perempuan lain dan Ajim kena cari kawan baik baru. Tapi dengan syarat, perempuan yang Ajim suka tu, mesti comel dan baik macam Ariana. Barulah dia boleh bersabar dengan perangai Ajimkan. Ajim dahlah kasar dan garang.” Ariana ketawa lagi.

            “Jahatlah Ariana ni! Mana ada Ajim kasar dan garang. Ajim baiklah! Ajim tak kacau orang pun.” Azim menarik muka masam lagi. Ariana memang suka mengusiknya walaupun anak gadis kecil itu tahu, Azim memang benci diusik begitu. “Tapi, Ajim tak sukalah Ariana cakap pasal mati lagi. Lagi pun, Ajim tak akan cari pengganti Ariana.  Ajim tak suka budak perempuan lain. Dia orang semua pun jahat…tak macam Ariana. Ariana baik.”

            “Mana Ajim tahu dia orang jahat?”

            “Sebab dia orang tak baik macam Ariana…” Azim menoleh ke arah budak perempuan yang sedang duduk di sebelahnya. Namun, hatinya disambar dengan rasa terkejut apabila melihat kabus hitam muncul menutupi raut wajah anak gadis kecil itu. “Ariana? Mana Ariana pergi? Ariana!”

            Perlahan-lahan, bayangan wajah Azim yang berusia 11 tahun itu turut hilang dimakan kabus. Kini, muncul pula bayangan wajah anak muda awal belasan tahun yang sedang duduk di atas kerusi di sebuah hospital. 

            “Kenapa Ariana tak jaga kesihatan? Dah tahu panas-panas terik macam tu, kenapa Ariana berjemur tepi padang? Sampai rebah…Ajim tak sukalah! Kan dah menyusahkan semua orang!” Azim membentak-bentak gadis yang berusia 12 tahun itu. Membuatkan anak gadis yang hampir melangkah ke alam awal remaja itu terguris dan terasa bagai hampir menangis. Namun dicuba juga oleh anak gadis itu untuk membendung air matanya.

            “Ariana cuma nak tengok Ajim main bola. Ariana nak sorak untuk Ajim je.”

            “Ajim tak suruh pun! Lagi pun kalau Ariana duduk situ, bersorak lebih-lebih pun, bukannya boleh buat Ajim menang. Tengok apa dah jadi?” Azim mendengus marah. 

            Ariana diam. Dia tidak mahu berkata-kata lagi. Dia tahu Azim benar-benar sedang marahkannya.

            Suasana sepi untuk beberapa minit. Masa terus berlalu, sehinggalah Ariana kembali bersuara. Nadanya rendah dan hampir tidak didengari oleh Azim. “Ajim kata, Ajim suka Ariana. Ajim nak selalu dekat dengan Ariana, tapi bila Ariana datang pada Ajim, Ajim selalu marah Ariana.”

            “Kenapa Ariana cakap macam tu? Ajim bukannya tak suka Ariana datang melawat Ajim. Tapi Ajim sibuk. Ajim dah ikat kontrak jadi pemain negeri untuk kategori bawah 14 tahun. Ariana juga yang suruh Ajim berlatih bersungguh-sungguh supaya suatu hari nanti jadi pemain negarakan? Tapi kenapa Ariana nak ganggu waktu latihan Ajim? Lagi pun Ajim dah masuk sekolah lelaki, mana boleh suka-suka keluar jumpa perempuan! Ajim tak sukalah Ariana mengada-ngada macam ni!”

            Kecil hati Ariana mendengar kata-kata Azim, namun dia masih menahan perasaannya. Namun titisan mutiara mata gadis itu sudah pun bertakung di alis matanya. Hatinya yang terluka dibiarkan begitu sahaja tanpa mengharapkan rawatan. “Ajim, kenapa Ajim main bola?”

            Azim kehairanan mendengarkan soalan Ariana, namun dia tetap sudi menjawabnya, “Sebab Ajim suka mainlah. Kenapa?”

            Ariana tunduk sambil menjawab, “Tapi dulu Ajim kata Ajim suka baca buku…”

            “Ajim suka dua-dualah! Ajim suka main bola sebab Ajim nak jadi pemain negara. Ajim suka baca buku sebab Ajim nak belajar bersungguh-sungguh kejar cita-cita Ajim untuk jadi jurutera. ”

            “Macam mana Ajim boleh suka dua perkara? Macam mana Ajim boleh ada dua cita-cita dalam satu masa? Adakah maksudnya Ajim pun akan suka perempuan lain selain Ariana?”

            “Apa yang Ariana merepek ni?”

            Ariaba tidak menjawab, malah bertanya lagi. “Kenapa Ajim suka Ariana?”

            “Soalan apa ni? Macam budak-budaklah Ariana ni!”

            “Ariana tanya betul-betul. Kenapa Ajim suka Ariana? Kenapa Ajim sudi berkawan dengan Ariana tapi bukan dengan perempuan lain? Adakah sebab Ajim rasa kasihan pada Ariana? Ajim kasihan sebab Ariana sakitkan?” Ariana semakin bernada sayu.

            “ARIANA! Kenapa dengan Ariana ni? Ajim tak sukalah Ariana tanya soalan macam tu. Kan Ariana dah janji tak nak persoalkan lagi hubungan kita?”

            “Tapi Ariana tahu, Ajim memang berkawan dengan Ariana sebab Ajim kasihankan Ariana. Kalau Ariana tak sakit mesti Ajim tak ambil kisah tentang Ariana.”

            “ARIANA! Azim rimaslah nak melayan Ariana! Azim tak beri Ariana datang padang bola, Ariana degil! Sekarang ni Ariana pula yang sengaja nak sakitkan hati Azim!”

“Ajim..” Ariana tersedu mendengar kata-kata Azim.

“ Memang Azim berkawan dengan Ariana sebab Azim kasihankan Ariana. Sebab Ariana sakit! Kalau ikutkan hati, Azim tak suka melayan budak perempuan yang cengeng macam Ariana. Sikit-sikit nak menangis! Nah, itukan jawapan yang Ariana nak dengar sangat daripada Azimkan?” Azim sudah pun bangun dari duduknya. Dia semakin sukar mengawal perasaan hatinya. Dia tidak tahu, mengapa dia bertindak sedemikian. Adakah kerana dia marah dengan soalan yang dikemukakan oleh Ariana atau dia sendiri yang takut menghadapi persoalan itu.

            “Ajim, Ajim nak ke mana? Ajim kata nak temankan Ariana. Ajim, maafkan Ariana, Ariana tak sengaja nak sakitkan hati Ajim.” Ariana tidak mampu membendung air matanya. Dia merasa bersalah kerana telah membuatkan Azim tersinggung. Hatinya yang terguris dibiarkan menangis sendiri. Dia tidak menyangka, ikatan persahabatan yang dibina sudah bertahun-tahun itu kini dengan mudah sahaja goyah. Bagaimanakah ia boleh menjadi begitu lemah? Adakah kerana jarak yang memisahkan mereka, atau memang jambatan yang menyatukan hati mereka sudah pun runtuh? Adakah dirinya tidak lagi penting di hati Azim?

            “Jangan panggil Azim ‘Ajim’ lagi, tambah-tambah lagi depan orang lain!” Azim terus melangkah melepasi pintu wad, membiarkan Ariana menangis seorang diri. Kemarahan yang menguasai dirinya membuatkan dia tekad, dia tidak mahu menoleh ke belakang lagi.

            Masa terus mengembara, berputar-putar sehingga tiba di sebuah stadium tempat di mana bakal berlangsungnya perlawanan bola sepak. Azim berada di bilik locker pemain. Sekejap-sekejap dia memandang jam di tangannya, kemudian dia melihat telefon bimbitnya. Hatinya gundah memikirkan Ariana. 

Azim baru menerima panggilan telefon yang menyatakan Ariana baru sahaja dikejarkan ke hospital kerana demam panas yang teruk. Azim risau sesuatu yang buruk akan berlaku terhadap Ariana. Penyakit Ariana juga sudah semakin teruk, badan gadis itu juga menjadi semakin kurus. Azim jarang sekali bertemu dengan Ariana kerana kesibukannya sebagai seorang pelajar dan menjadi pemain bola sepak negara. 

Azim buntu. Masa untuk dirinya sendiri pun tidak cukup, inikan pula untuk mencuri sedikit masa untuk diluangkan bersama Ariana. Waktu seolah-olah mencemburui hubungan mereka dan seolah-olah sedang cuba memisahkan mereka berdua, sehingga kadang-kala nama Ariana juga pernah hilang daripada minda Azim. Sedangkan dahulu, nama itu muncul senada dengan nafasnya. Setiap detik, Azim akan mengingati Ariana, risau sekiranya sesuatu yang buruk terjadi ke atas gadis itu. Kini, segala-galanya berubah. Azim hampir terlupa, nama itu pernah wujud di minda dan hatinya. Sehinggalah hari ini, ketika dia sedang sibuk membuat persiapan perlawanan bola sepak di Piala Asia Suzuki AFF, Azim dikejutkan dengan perkhabaran buruk berkenaan keadaan kesihatan Ariana.

            Coach  boleh tak saya nak ke hospital sekejap? Kawan saya masuk hospital.” Azim cuba merayu, mengharap untuk dilepaskan walau seminit dua.

            “Tak boleh Azim! Lagi setengah jam je perlawanan nak bermula.” Encik Razak yang menjadi jurulatih kedua pasukan mereka kelihatan tegas dengan jawapannya.

            “Tapi, kawan saya tenat…”

            “Tak boleh! Azim, this is your future! Awak pemain utama. Please be professional! Awak boleh melawat kawan awak selepas perlawanan ni.”

            Azim terkedu mendengar jawapan Encik Razak. Dia terdiam, wajahnya pudar dari sebarang reaksi. Dia hilang arah mencari jalan untuk melepaskan diri. Ketika itu Azim sedar, dia harus memilih, di antara masa hadapannya atau Ariana. Manakah yang lebih penting? Dia takut sekiranya keputusan yang dipilihnya akan menjadi pilihan yang akan menyebabkan dirinya menyesal sepajang hayatnya. Tetapi dirinya keliru.

            Azim memandang di kawasan seklilingnya. Teman sepasukannya yang lain tidak kelihatan seperti ingin memperdulikannya atau bertanyakan masalahnya. Mereka semuanya kelihatan sedang gementar menanti waktu untuk menghadapi saat-saat besar dalam hidup mereka.

            Pada ketika itu, telefon bimbit Azim mengeluarkan nada dering yang tidak asing lagi. Dia tahu, pasti Iskandar atau Zaem yang menelefonnya. Mereka sering membuat panggilan sebelum Azim masuk ke padang semata-mata untuk memberikannya kata-kata semangat dan ucapan selamat. 

            Hello, Zim! Semoga berjaya. Tendang bola betul-betul. Jangan pernah patah semangat.  Buat terbaik untuk negara kita. Nasib baik Malaysia jadi tuan rumah, dapatlah aku dengan Is datang tengok kau bermain.” Suara Zaem bergema di cuping telinga Azim. 

Azim seperti tidak dapat mendengar suara Zaem itu kerana mindanya kusut memikirkan masalah yang sedang dihadapinya. Kalaulah dia boleh meluahkan apa yang terpendam di hatinya sekarang ini, pasti dia akan berkongsikan dengan kedua-dua orang sahabat lelakinya itu. Namun malangnya, kehadiran Ariana dalam hidupnya sengaja dirahsiakan daripada mereka. Dia ego dan tidak mahu mengak bahawa dia mempunyai ikatan istimewa dengan seorang perempuan. Sesungguhnya perempuan itu hanya wujud di balik bayang-bayangnya, tiada siapa yang menyedari kewujudannya, walaupun bapanya sendiri mahupun Iskandar dan Zaem.

            Azim masih diam, dan Zaem pula tidak berhenti bercakap. “Bukan aku je yang datang Zim, ramai lagi peminat kau yang datang. Semuanya aku tak kenal sebab ramai peminat kau perempuan. Yang lelaki tu aku kurang pasti samada dia orang minat kau atau sebab dia orang memang minat tengok bola. Oh ya, ni Is nak cakap dengan kau!”

            Suara Iskandar menyusul di speaker telefonya. Iskandar memberi salam, lalu Azim turut bersuara untuk menyambut salam Iskandar.

            Mendengarkan pada getaran suara Azim, Iskandar seolah-olah boleh membaca, bagai ada sesuatu yang tidak kena pada sahabatnya itu. Azim seorang yang tenang bila berkata-kata dan nadanya hanya akan berubah apabila marah. Tetapi kali ini, Azim tidak kedengaran seperti sedang marah, namun suaranya juga tidak kedengaran menyenangkan. 

“Azim kau OK?” 

            “Aku…” Azim masih teragak-agak. Walaupun dengan Iskandar, dia tidak mampu berlaku jujur.
            “Aku tak apa-apa.”

            “Kau ada masalah ke Azim?” Iskandar masih tidak sedap hati mendengarkan jawapan Azim.

“Is, apa yang harus aku buat kalau aku perlu memilih di antara dua perkara penting dalam hidup?” Tiba-tiba sahaja Azim melafazkan soalan di luar jangka. 

Iskandar terdiam seketika. Dia hairan mendengarkan soalan Azim. Namun Iskandar tidak membuat Azim menunggu lama untuk menantikan jawapannya. “Dalam hidup ni Azim kita akan selalu diuji untuk membuat pilihan. Tapi Azim, untuk memimilih, kau harus tahu membezakan di antara perkara yang ‘penting’ dan perkara yang ‘paling penting’.”

Azim tersentak mendengarkan kata-kata Iskandar. Nasihat Iskandar selalunya amat berguna, namun hari ini dia sukar mengerti apa yang ingin disampaikan oleh Iskandar. 

‘Perkara ‘penting’ dan ‘paling penting’? Apa bezanya?’ Azim semakin keliru. Menjadi pemain utama kebangsaan adalah impiannya, namun Ariana ialah orang yang telah membantu menyemai impiannya. Jadi, mana yang lebih penting?

“Azim, kau tak apa-apa?” Iskandar masih hairan dengan perubahan sikap Azim.

“Tak. Mungkin aku cuma gementar.” Azim akhirnya memilih untuk berdalih. Dia masih tidak mahu meluahkan perkara yang disimpannya selama ini. 

            “Insya Allah, semuanya akan selamat. Banyakan berdoa Zim. Buat yang terbaik. Aku tahu, kau dah banyak berusaha untuk sampai ke tahap ni.” Iskandar sempat memberikan kata-kata semangat sebelum mereka mengakhiri perbualan.

            Azim melihat jam di dinding. Perlawanan akan bermula tidak lama lagi. Dia tidak gugup, tetapi dahinya sudah pun berpeluh. 

            “Azim buat yang terbaik. Saya tahu awak boleh lakukannya. Saya yakin dengan kebolehan awak. Inilah saat-saat yang kita nanti. Awak adalah penyerang terbaik yang kita pernah ada, jangan hampakan negara.” Jurulatihnya sempat menyapa, menepuk bahunya dan memberikan kata-kata semangat kepada Azim. Azim diam. Dia tidak senyum, namun dia gembira apabila mengenangkan usahanya selama ini hampir berbayar.

            Azim nekad, dia ingin meneruskan perlawanannya. Dia telah lama bersahabat dengan Ariana dan dia yakin, Ariana pasti inginkannya membuat pilihan tersebut. Ariana sering kali diserang pelbagai penyakit kerana sistem imunisasi dalam badannya telah lemah. Namun selama ini, Ariana mampu mengharunginya tanpa sebarang masalah dan Azim yakin, Ariana pasti akan dapat mengadapinya sekali lagi walaupun tanpa dirinya di sisi gadis itu.

            Perlawanan bermula dengan rancaknya, akhirnya impian Azim yang berhasrat menjaringkan gol pertama untuk Malaysia dalam Piala Suzuki AFF di peringkat Asia kini tercapai. Walaupun kejayaannya menjaringkan gol itu bukanlah sesuatu perkara yang luar biasa baginya, namun bermain di peringkat kebangsaan telah membuatkan saat-saat itu kelihatan sungguh bermakna. Azim tersenyum. Selama ini dia hanya banyak tersenyum di hadapan Ariana. Tidak pernah dia dilihat tersenyum di khalayak ramai. Kali ini senyumannya terukir di setiap skrin televisyen rumah seantero negara. Iskandar dan Zaem turut dapat melihat wajah gembira Azim yang dipaparkan di skrin besar dalam stadium. 

            Perlawanan berakhir apabila Azim sempat menjaringkan gol kemenagan untuk pasukannya. Kegembiraan turut dirasai oleh semua penyokong yang turut hadir di dalam stadium.

            Azim keletihan. Dia telah pun berada di dalam bilik rehat pemain. Semua orang memuji-muji namanya. Namanya juga kedengaran dilaung-laungkan oleh penonton yang berada di stadium tersebut, tidak kurang juga yang berada di rumah. Azim menikmati saat-saat yang begitu indah dalam hidupnya itu dengan rasa yang amat bahagia. Sehinggakan untuk seketika, dia tidak menyedari bahawa dirinya hampir terlupa kepada nama ‘Ariana’. 

            “Azim! Ni ada panggilan untuk kamu.” Suara Irsyad yang merupakan pembantu jurulatihnya datang sambil membawa telefon.

            Off telefon ya? Apa-apa pun tahniah Azim.” Irsyad sempat memberikan ucapan sebelum berlalu pergi.

            Azim memandang nombor di telefon tersebut. Dia kenal akan nombor itu. “Hello, Ariana! Azim berjaya jaringkan gol kemenangan! Azim berjaya!” 

             “Abang Azim, ni bukan Kak Ariana. Saya Arman, adik dia.”

            “Oh, Arman. Mana kakak?”

            Lama Arman diam sehingga membuatkan Azim kehairanan. “Arman?”

            “Kakak…Abang Azim, Kak Ariana… Kak Ariana dah tak ada lagi…” Tersekat-sekat suara remaja awal belasan tahun itu melafazkan kata-katanya. Barulah Azim sedar, remaja itu sebenarnya sedang menangis.

            “Tidak! Tak mungkin!”

            “ARIANA!”

            “ARIANA!”

            “ARIANA!”

                        Jeritan Azim terus bergema, sehingga dia sendiri terbangun dari lenanya. 

            “Ya Allah!” Wajah Azim basah dicucuri peluhnya sendiri. Nafasnya deras. Dia kelihatan seperti baru sahaja usai bermain bola, namun sebenarnya dia masih berada di atas katilnya sendiri di USAS.

            “Azim, kau tak apa-apa?” Iskandar segera datang meluru ke arah Azim. 

            Azim masih lagi terkejut dengan mimpinya. Dia sedang tercungap-cungap untuk menarik nafas. Pertama kali, dia merasa begitu takut untuk menghadapi mimpinya. Mimpinya itu bukannya mimpi biasa, sebaliknya mimpi itu menitipkan kembali sejarah hitam hidupnya. Sejarah yang dia harap tidak akan pernah berulang lagi. Sejarah itu juga tidak pernah diharapkan oleh Azim untuk bertapa lebih lama di mindanya. Dia tidak mahu sejarah itu membentuk menjadi satu kenangan. Sekiranya dikenangkan kembali, pasti akan menjadi kenangan yang amat menyakitkan. 

            Iskandar terkejut melihatkan keadaan Azim. Dia kelihatan seperti orang yang baru sahaja lepas berlari. Namun berlari dari apa? Adakah daripada mimpi buruknya sendiri? Iskandar merenung wajah Azim yang masih kelihatan basah bermandikan peluh. Mata pemuda itu kelihatan merah bagai orang yang sedang menangis. Malah jika Iskandar tatap lebih lama, mata Azim turut kelihatan berair. Adakah Azim menangis? Tidak, langsung tidak logik!

            “Is…aku…aku..” Menggigil-gigil Azim bersuara untuk berkata-kata. Dia masih terkejut mengingati kembali mimpinya tadi. Mimpi itu seolah-olah datang memburu hidupnya. Bukan sekali, namun telah berkali-kali.

            “Istighfar Azim. Semuanya mimpi je. Mimpi tu mainan syaitan.” Iskandar cuba menenangkan hati Azim. 

            Azim masih diam, mencari udara untuk disedut kedalam paru-parunya. Mengapa mimpi itu harus kembali? Sejak dia memasuki USAS, mimpi itu hilang meninggalkannya, kini mimpi itu datang lagi, seolah-olah seperti ingin menguji kekuatan hatinya.

            Iskandar hanya memerhati. Bagaimana dia ingin membantu Azim sekiranya Azim sendiri tidak mahu bersuara untuk menyatakan masalahnya? Iskandar tahu, walaupun dia cuba bertanya kepada Azim tentang mimpi apa yang seringkali datang mengganggu dan menakutkannya itu, pasti Azim tidak akan menjawab walau sepatah kata sekali pun. Iskandar mengerti sifat Azim. Dia seorang yang perahsia dan sukar dijangka. Namun Iskandar sudah lama bersahabat dengan Azim, maka dia boleh mengagak apa yang sedang Azim fikirkan. 

            ‘Adakah Azim baru sahaja mimpikan Ariana? Arwah Ariana?’ Getus hati Iskandar sendiri. 

Walaupun Azim berusaha bersungguh-sungguh untuk merahsiakan nama itu dalam jaganya, namun Azim tidak sedar, nama itu seringkali dilafazkannya sewaktu dalam lenanya. Iskandar dan Zaem telah lama menyedari kewujudan Ariana dalam hidup Azim dan Iskandar yakin, Ariana pastinya cukup istimewa sehingga mampu menjadi igauan Azim. Azim bukanlah jenis yang suka berdampingan dengan perempuan, namun sekiranya seseorang gadis itu mampu mendapat tempat di hatinya, pasti gadis itu seorang yang sangat istimewa.

            Beberapa tahun dahulu, Iskandar pernah terserempak dengan Arman, juga merupakan adik Ariana. Arman merupakan pelajar junior di sekolah mereka. Daripada Armanlah Iskandar dapat mengetahui kewujudan Ariana, gadis yang dikenali Azim sejak dari sekolah rendah lagi. Iskandar tahu, Ariana adalah satu-satunya gadis yang paling dekat dan rapat dengan Azim. Namun, tuhan lebih menyayangi gadis itu. Ariana menghidapi penyakit Leukemia dan gadis itu meninggal dunia beberapa tahun yang lalu, betul-betul ketika nama Azim melonjak naik sebagai bintang bola sepak negara. 

Sejak itu, nama Azim semakin malap. Dia lebih selesa menjadi pemain simpanan. Azim juga tidak pernah mendekati mahupun berinteraksi dengan mana-mana gadis lain, walaupun dengan teman sekursusnya. Mungkin sejarahnya bersama Ariana membuatkan Azim semakin takut untuk membina sejarah baru bersama insan bergelar perempuan dan wanita. Dahulu, Azim pernah kecewa dengan sikap ibunya yang sanggup meninggalkan keluarga demi kekasih barunya. Kini, dia kecewa setelah kehilangan insan yang paling dekat di hatinya.  

            Azim masih diam. Dia seolah-olah sedang termenung jauh. Terlalu banyak yang difikirkannya, namun tidak satu pun perkara yang difikirkannya dapat dibaca oleh Iskandar. 

            ‘Kenapa mesti aku melanggar janji aku pada Ariana? Kenapa aku tak memilih Ariana? Kenapa aku buta membezakan di antara perkara ‘penting’ dan perkara yang ‘paling penting’ dalam hidup aku?’

            ‘Ariana’. Dahulu, nama itu begitu mudah sahaja hilang dari mindanya. Dan kerana itu jugalah dia selalu mengabaikan gadis tersebut. Namun kini, ketika Azim mengharap untuk memadamkan nama itu dari ingatannya, nama tersebut seolah-olah tidak mahu berganjak daripada hidupnya. Ketika Ariana ada, Azim tidak pernah menghargai gadis itu. Kini setelah dia pergi, Azim sedar, dia telah melepaskan cintanya. Ariana merupakan satu-satunya gadis yang pernah disayanginya. Hanya Ariana yang menjadi gadis yang sangat dipercayainya. Satu-satunya gadis yang ingin dilindunginya. Di manakah harus dia mencari pengganti gadis itu? Sedangkan ibunya sendiri mengabaikan dirinya. Azim yakin, dia pasti tidak akan bertemu lagi dengan gadis sebaik Ariana.

            Azim masih berduka. Walaupun tidak dipamerkan pada wajahnya, namun Iskandar mampu mengerti. Iskandar turut merasai kesedihan di hati sahabatnya itu. Dirinya buntu. Iskandar tidak tahu, bagaimana lagi harus dia lakukan untuk membantu Azim agar dapat melupakan nama Ariana. 

Adakah nama Ariana akan terus bertakhta di hati Azim? Atau mungkinkah nama itu akan hilang sekiranya Azim menemui cinta baru? Walau apa pun syaratnya, Iskandar akan sentiasa berusaha, membantu Azim menemui cinta barunya. Cinta yang mampu menggantikan nama Ariana di hati Azim. Tetapi, siapa? Gadis mana yang mampu memberi harapan baru kepada Azim? Gadis yang mampu membuatkan perasaan benci Azim terhadap kaum hawa hilang daripada hatinya? Adakah gadis seperti Ariana masih wujud? Walau siapa pun insan itu, Iskandar yakin gadis itu pasti wujud.

            “Zim, kau minumlah air ni, lepas tu masuk tidur semula. Sekarang ni baru pukul satu pagi. Tapi kalau kau tak lena juga, lebih baik kau berwudhuk. Solat dulu untuk tenangkan hati kau. Mohonlah petunjuk daripada-Nya.” Iskandar menghulurkan segelas air kosong kepada Azim. 

            Azim meneguk perlahan. Setiap tegukannya menenggelamkan setiap memori-memorinya bersama Ariana.

“Kalau Ariana mati, Ariana nak Ajim suka perempuan lain dan Ajim kena cari kawan baik baru. Tapi dengan syarat, perempuan yang Ajim suka tu, mesti comel dan baik macam Ariana. Barulah dia boleh bersabar dengan perangai Ajimkan. Ajim dahlah kasar dan garang.”

            Azim kembali mengingati kata-kata gadis itu. Pandangannya dilemparkan ke meja tulisnya. Dia merenung cebisan daun yang kelihatan terkeluar sedikit dari selitannya. Azim bermain dengan perasaannya sendiri, manakala Iskandar telah pun kembali ke mejanya, menyambung pembacaannya. 

            “Ariana yakin, dalam dunia ni, pasti ada gadis yang dah ditakdirkan untuk menemani Azim.” 

            Azim termenung mengingati setiap bait-bait kata arwah Ariana. Entah mengapa, mengingati kata-kata gadis itu lantas mengingatkan Azim kepada wajah Allisya. Wajah Allisya hampir seiras dengan wajah Ariana, apatah lagi ketika dia sedang menangis, saling tak tumpah seperti gadis istimewa itu. Malah, pertemuan pertama Azim dan Allisya juga hampir sama dengan pertemuan pertamanya bersama Ariana. Adakah itu tandanya, Allisya hadir dalam hidupnya  sebagai pengganti Ariana?

            ‘Kenapa? Kenapa begitu banyak persamaan?’ Azim tidak mampu menjawab persoalan yang lahir daripada hatinya sendiri.

            ‘Betul kata Ariana, Ajim dah jumpa gadis yang sebaik, malah seiras seperti Ariana. Tapi malangnya, gadis tu tak sayangkan Ajim sepertimana Ariana sayangkan Ajim.’

            Azim meraup wajahnya. Dahulu, dia telah membuat pilihan yang salah dalam hidupnya. Dia telah mengabaikan cintanya, sehinggakan dia telah kehilangan cinta pertamanya buat selama-lamanya. Perasaan sakit kehilangan orang yang disayangi dari dunia ini terlalu dasyat untuk ditanggung oleh Azim. Sehingga hari ini, peristiwa itu masih meninggalkan parut di hatinya. Kini, kehadiran Allisya telah membuka kembali luka di hatinya. Wajah dan sifatnya yang terlalu mirip Ariana, membuatkan Azim terasa bagai diuji. Sekali lagi, Azim diuji dengan ‘cinta’. 

            Azim sedar, Allisya menyukai Iskandar dan dia juga tahu, Allisya adalah cinta Iskandar.  Namun hatinya masih begitu kuat untuk mendekati dan mengenali gadis itu. Haruskah dia terus berjuang demi memiliki semula cintanya? Atau haruskah dia membiarkan Allisya berlalu dari hidupnya, sedangkan dia tahu, nama Allisya sudah pun berakar di hatinya? Semalam, dia pernah membuat pilihan, dan pilihannya bukanlah cinta. Hari ini, sekali lagi dia diuji untuk memilih. Azim tidak mahu lagi membuat keputusan yang salah. Dia tidak mahu, kesalahan lalu diulangi lagi. Azim tahu betapa sakitnya kehilangan cinta dan dia tidak mahu merasai kesakitan yang sama buat kali yang kedua. Sejarah tidak sepatutnya berulang. Sekiranya dia tidak mampu berada di sisi Ariana dan melindunginya. Kini, dia akan pastikan bahawa dia akan sentiasa berada di sisi Allisya demi melindungi gadis itu. 

            ‘Aku harus memilih cinta!’
    Nani NA
“Ajim, kenapa bunga ni layu?”



No comments:

Post a Comment