Saturday 20 August 2011

Bab 14: SESAT



“Allisya dah siap?” Raihana duduk di atas katil Allisya . Allisya menggeleng. “Belum lagi. Tengah kemas lagi ni. Rai dah sudah ye?”

Raihana mengangguk. Dia menggoyang-goyangkan kakinya dengan riang. Hatinya dibalut rasa gembira kerana dia kini telah berbaik dengan Allisya. Dia memandang ke sekeliling kawasan bilik yang didiami oleh ahli-ahli wanita kelab Permata Hati untuk beberapa hari ini. Allisya dan beberapa orang pelajar perempuan yang lain sedang sibuk mengemas beg pakaian mereka. Raihana sekadar memehati. Sekali-sekala, tangannya turut merayap-rayap membantu Allisya mengemas barang yang masih bersepah di atas katil.

“Sya, Rai nak keluar tengok budak-budak tu ye. Mana tau belum berkemas lagi.” Allisya mengangguk tanda setuju. Raihana melompat dari katil. Kakinya melangkah keluar. Sekejap lagi selepas taklimat terakhir, peserta-peserta kem motivasi itu akan berangkat pulang. Raihana yang bertindak sebagai salah seorang fasilitator mereka harus membuat pemantauan agar tiada masalah yang akan timbul.

Sepuluh minit berlalu. Sekejap sahaja barang-barang Allisya telah siap dikemas dan disimpan ke dalam begnya. Allisya memandang teman-teman sebiliknya yang lain. Ada yang masih sibuk berkemas dan ada yang sedang berehat-rehat di atas katil. Allisya melihat jam di tangannya. Masih awal lagi sebelum mereka sarapan dan menghadiri taklimat serta majlis perpisahan bersama peserta-peserta dari rumah anak yatim Tengku Rashid itu. 

‘Elok juga aku keluar menghirup udara pagi,’ getus hati kecil Allisya. Selepas anak-anak yatim Tengku Rashid bertolak pulang, mereka juga akan menyusul. ‘Nanti tak sempat pula nak menghayati buat kali terakhir keindahan hutan hujan tropika ni.’ Allisya belum lagi berpeluang berjalan-jalan di pinggir hutan. Selama ini dia hanya bermain-main di tepi anak sungai yang berdekatan. Kesibukan menguruskan program motivasi tesebut membuatkan Allisya terpaksa menangguhkan niatnya itu. 

Allisya  melangkah keluar sambil menarik nafas panjang berulang-ulang kali. Sudah lama dia tidak dapat menghirup udara sesegar ini. Rindunya pada kampung halaman mula bertandang. Sayangnya, makciknya pula tidak mengizinkan dia pulang ke kampung. Dia perlu merancang aktiviti apa yang harus dilakukannya bagi mengisi masa kosongnya sewaktu cuti  pertengahan semester nanti. Mungkin tak banyak yang dapat Allisya lakukan kerana cutinya terlalu pendek, seminggu sahaja.

Allisya mengatur langkahnya gemalai mennyusuri di tepi tebing sungai. Dalam kelekaan Allisya menghayati seni ciptaan tuhan, kedengaran satu suara memanggil, “Allisya, kamu buat apa tu?”
“Oh, abang Syakir. Tak buat apa-apa. Saje ambil angin pagi.”

“Hmm… abang terhilang kunci abanglah. Boleh Allisya tolong abang cari sekali?” Wajah Syakir kelihatan sedikit cemas.

“Ye ke? Bila hilang? Abang dah cuba cari dekat sekeliling kawasan chalet?”  
“ Abang dah cari, tapi tak ada. Abang rasa kunci tu hilang waktu abang cari kayu untuk buat unggun api semalamlah Allisya.”

“Kalau macam tu biar Allisya tolong cari sekali.” Allisya lantas mendekati Syakir.

“Dekat mana abang cari kayu semalam?” 

“Sana, kawasan tepi hutan tu.” Syakir menunjukkan ke arah kawasan pohon-pohon besar yang agak jauh sedikit dari chalet mereka, lalu dia menyambung, “Allisya tolong carikan di bahagian tu ya. Abang nak cuba cari di bahagian-bahagian lain. Lagi pun abang nak beri tau kawan-kawan lain untuk bantu cari sekali.” 

Allisya mengangguk faham. Dia mengikut arahan Syakir tanpa banyak soal. Allisya melewati kawasan pinggir hutan yang baru sahaja ditunjukkan oleh Syakir. Dia memandang sekitar kawasan berhampiran. Kadang-kadang, Allisya berlutut sambil meraba-raba di atas lantai tanah kawasan hutan itu. Sukar untuk Allisya mencari kerana semak samun kelihatan agak tinggi di kawasan tersebut. Penglihatannya terbatas, kerana itu dia terpaksa meraba-raba. Selepas puas meraba-raba di kawasan semak yang berdekatan, dia berganjak ke kawasan lain. Dia harus meluaskan lagi kawasan pencariannya agar kebarangkaliannya lebih tinggi untuk menemui kunci abang Syakir itu.

Lama juga Allisya mencari. Dia sudah keletihan. Allisya menjatuhkan punggungnya ke atas tanah. Dia duduk keletihan, nafasnya menjadi sedikit deras. Walaupun badannya sedang berada dalam fasa berehat, namun mata bulat Allisya masih ligat memandang di kawasan sekelilingnya. Manalah tahu, sekiranya dia bernasib baik, Allisya mungkin dapat menemui kunci tersebut dengan segera.

Lain yang dicari, lain pula yang ditemui. Mata Allisya tertarik untuk memandang sekuntum bunga liar yang berkembang mekar di atas tanah. Allisya segera bangun dan mendekati bunga tersebut. Warnanya begitu menyerlah. Serta-merta minda Allisya teringat akan nama Muhammad Nur Zaem. Dia memang sukakan warna kuning. Berulang-ulang kali juga Zaem mengingatkannya tentang fakta itu. 

Allisya mendekatkan hidungnya dan mencium bunga kuning tesebut. Baunya sungguh harum, namun Allisya tidak tahu, apa nama bunga tersebut. Tidak pernah pula Allisya melihat spesis bunga itu sebelum ini. Mungkin ia hanya tumbuh di kawasan-kawasan pinggir hutan. Apa yang Allisya pasti, bunga itu sungguh cantik dan berbau harum. 

Sedang Allisya asyik menghidu bau bunga yang semerbak itu, pandangan mata Allisya dicuri pula oleh seekor burung kecil berwarna biru tua. Lehernya berbelang kuning. “Masya Allah, cantiknya.” Allisya bersuara walaupun pada hakikatnya tiada sesiapa pun yang mendengarnya.

Burung kecil itu berkicau dengan merdu sekali. Ia seolah-olah sedang menyanyikan lagu cinta sebagai teknik untuk memikat pasangannya. Bulunya juga kelihatan seperti sengaja dikembang-kembangkan. Allisya terpesona mendengarkan siulan makhluk kecil itu, matanya bercahaya menghayati keunikan fauna di hutan tersebut. 

Burung yang tidak dapat dipastikan oleh Allisya datang dari spesis apa itu melebarkan sayapnya, lalu terbang sambil berkicau riang. Dalam masa yang sama, seekor burung yang lebih kecil turut terbang mengekoi burung yang sedang menyanyi itu tadi.

‘Adakah itu pasangannya?’ Allisya berbicara sendiri. 

Selama ini, kejadian seperti ini biasanya hanya boleh dilihat di dalam rancangan dokumentari di telivisyen sahaja. Oleh yang demikian, Allisya membuat keputusan untuk melangkah ke hadapan sedikit supaya dapat dia melihat kejadian indah alam itu. Kakinya melangkah pantas mengejar pasangan burung tersebut. Burung-burung itu terbang rendah, membolehkan mata Allisya melihat mereka dengan jelas. Kakinya melangkah meredah semak-samun, akar-akar besar pokok dan batu-batu kecil yang kelihatan memenuhi permukaan tanah hutan hujan tropika itu.

“Comelnya.” Allisya tersenyum. Seketika kemudian, burung-burung itu terbang tinggi meninggalkan Allisya seorang diri. Allisya yang memerhati terpinga-pinga sendiri. Dia menoleh ke belakang untuk pulang ke kawasan chalet tempat mereka menginap. Bagai kerbau dikejut oleh gong, Allisya menyedari dia sudah tiada lagi di kawasan pinggir hutan. Sebaliknya dia sudah tiba di kawasan yang sungguh asing. Kawasan belukar disekelilingnya kelihatan lebih tebal dan dipenuhi dengan pokok-pokok kayu besar beusia ratusan tahun.

‘Di mana aku ni? Ke mana arahnya untuk kembali ke chalet tadi?’ Allisya berpusing-pusing di kawasan sekitarnya. Tiada langsung bunyi manusia berbual-bual, yang kedengaran hanyalah suara unggas bersahut-sahutan. Allisya mula berasa cemas. Adakah dia telah sesat? 

Perasaan takut mula menyelubungi hati Allisya. Matanya hampir berair kerana risau sekiranya dia tidak dapat kembali ke kawasan kem mereka lagi. Bagaimana jika tiada sesiapa pun yang menyedari kehilangannya? Adakah mereka akan pulang meninggalkan Allisya? Adakah dia akan terus terperangkap di kawasan hutan yang kelihatan seperti tiada penghujungnya ini?

Allisya bersandar di batang pokok yang berdekatan dengannya. Dia cuba menenangkan dirinya. Allisya beristifar dan mengucap beberapa kali. Dia cuba berfikir secara waras. Apa yang harus dilakukan untuk dia memastikan dirinya selamat?

‘Ya tuhan, berilah aku kekuatan.’

Allisya segera teringatkan telefon bimbit yang dibawa bersamanya di dalam poket. Dia segera mengeluarkannya, dan cuba mencari nombor telefon Raihana. Bagai tertanam di biji hampa, usaha Allisya itu hanya sia-sia.  “Kenapa aku bodoh sangat? Mana ada isyarat tengah-tengah hutan ni.” Allisya mengeluh. Dia menyimpan semula telefonnya ke dalam poket seluarnya. Allisya membuat keputusan untuk berjalan dan mencari sendiri jalan keluar. 

Allisya mencuba nasib dengan melangkah secara rambang. Dia memasang telinga, mencari-cari sekiranya ada bunyi suara pelajar lain atau pun bunyi aliran anak sungai di kawasan berdekatan. Namun semuanya hampa. Allisya terus meredah hutan tersebut. Perasaan takut dalam dirinya semakin meluap-luap. Pelbagai perkara bermain di mindanya. Semakin jauh dia melangkah, semakin tebal pula belukar yang diredahinya. Air mata hampir meleleh di pipi Allisya. ‘Ke mana lagi harusku tuju?’ Allisya hanya mampu berdoa semoga dia dapat menemui jalan keluar secepat yang mungkin.

Sedang Allisya berjalan mencari jalan keluar, Allisya terdengar bunyi ranting kayu patah dipijak seseorang. Bunyi itu datang dari arah belakangnya. Jantung Allisya terasa bagai ditarik-tarik keluar. Perasaan takut melebihi segala rasa di hatinya. Adakah dia sedang diekori? Adakah ini semua hanyalah perangkap semata-mata?

“Ya tuhan, Kau lindungilah hambamu yang lemah ini.”

*                                  *                                  *

            Guruh kedengaran berdentum di ruang angkasa. Hujan mula turun dengan lebatnya pada tengah hari itu. Kesemua peserta kem motivasi tersebut telah pulang awal pagi tadi. Kini yang tinggal hanyalah ahli-ahli kelab Permata Hati yang telah membuat keputusan untuk menangguhkan perjalanan pulang mereka melihatkan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

 Zaem sedang duduk bersantai di chalet Iskandar bermalam. Dia dan Iskandar sedang duduk sambil menghirup teh panas. Zaem merenung wajah Iskandar yang kelihatan tidak bermaya. Dia kasihan melihat Iskandar. Zaem sudah lama mengenali Iskandar. Dia tahu sekiranya Iskandar sedang sakit atau pun sedang dirundum masalah. Apa yang dapat dilihat oleh Zaem, Iskandar kelihatan tidak sihat, dan mindanya seolah-olah sedang dibebani dengan pelbagai masalah. Zaem sedar akan itu semua. Dia dapat membacanya sendiri dari wajah sahabatnya itu.

            “Kau tak sihat ke Is?”

            “Tak adalah. Aku cuma penat sikit je.” Iskandar menjawab sambil terbatuk-batuk. Semputnya sudah semakin berkurangan berbanding semalam. Namun mindanya masih resah memikirkan peristiwa yang berlaku malam tadi.

            “Kau ada masalah ke Is?” Zaem menambah. Dia melihat wajah Iskandar yang murung itu. Pasti Iskandar sedang menghadapi masalah besar, tetapi dia sengaja tidak mahu menceritakannya kepada Zaem.

            Iskandar yang menyedari rasa risau yang bertandang di hati Zaem itu segera mengukirkan senyuman. Walaupun badannya kelihatan tidak bermaya, namun senyumannya mekar menyejukkan hati sesiapa pun yang memandang. Dia tidak mahu masalahnya membebankan Zaem.

            Zaem dapat menghidu kedukaan di hati Iskandar. Pasti ada sesuatu yang sedang mengganggu mindanya. “Is, aku kenal kau dah lama. Aku tau kau ada masalah. Kau tak perlu tanggung semua tu seorang diri. Kau masih ada aku dengan Azim.” 

            Iskandar terdiam apabila mendengarkan kenyataan Zaem itu, apatah lagi mendengarkan nama Azim. Iskandar meneguk air teh panas dari cawan kecil yang sedang dipegangnya. Dia memilih untuk diam. Hanya bunyi guruh yang kedengaran di luar biliknya.

            “Is, sejak bila kau jadi perahsia dengan aku ni? Sampai hati kau Is. Terguris hati aku yang sensitif ini.” Zaem cuba berjenaka sebagai salah satu cara untuk memujuk Iskandar bersuara. Iskandar yang terdengar seloka Zaem itu hanya tersenyum. Dia membetulkan cermin matanya. Entah mengapa, cermin matanya seringkali tergelincir dari kedudukannya. Adakah kerana dia sudah semakin cengkung?

            Zaem tidak berpuas hati dengan respon yang ditunjukkan Iskandar. Dia harus bertanya secara terus kepada Iskandar. Kalau tidak, hatinya tidak akan tenang.

            “Kenapa Is? Kau ada masalah ke? Mana Azim? Dari semalam aku tak nampak dia.”

            Iskandar yang mendengar, tersentak dengan soalan yang dikemukakan oleh Zaem itu. Di mana Azim? Bukankah Azim ke bilik Zaem selepas pertengkaran semalam?

            Zaem yang melihat perubahan pada wajah Iskandar itu segera bersuara semula, “Azim naik angin lagi ke Is?”

            Iskandar tidak dapat menjawab soalan yang dilontarkan oleh Zaem itu. Apa yang lebih merunsingkannya adalah, ke mana Azim pergi?

            “Zaem, semalam Azim tak ke bilik kau ke?” Kata-kata Iskandar itu mengejutkan Zaem.

            “Kenapa pula Azim nak ke bilik aku? Diakan kongsi bilik dengan kau. Dia sendiri cakap dia tak tahan kongsi bilik dengan aku sebab aku kuat membebel.” Zaem berseloroh. Namun kegusaran lahir di hatinya. Benarkah apa yang difikirkannya? Azim dan Iskandar bergaduh?

            “Zaem, semalam Azim kata dia nak bermalam di bilik kau.” Iskandar berkata-kata dengan nada yang cemas. Ke mana Azim pergi? Adakah semuanya salah dirinya? ‘Ya, ini semua salah aku.’ Perasaan bersalah sedikit demi sedikit mula menyerang Iskandar.

            “Tak ada pula. Jadi betullah ya Azim naik angin lagi? Dia marah kau ke Is?”
            “Tak adalah. Salah aku juga sebenarnya.”
            “Kau jangan nak salahkan diri kau. Aku kenal perangai si Azim tu. Dia memang mudah sangat terikut-ikutkan perasaan. Kau tak cakap pun aku boleh agak.” Zaem mengeluh. Kadang-kadang dia berasa kasihan melihat Iskandar. Sebagai seorang abang, Iskandar sering mengalah sekiranya terjadi sesuatu perkara, walaupun pada hakikatnya itu bukan salahnya.

            Zaem mencurahkan air ke dalam cawan Iskandar. Nasib baiklah peserta progam dari rumah anak-anak yatim Tengku Rashid semuanya telah berangkat pulang. Sekurang-kurangnya dia boleh menarik nafas lega dan Iskandar pun boleh berehat. Sejak insiden kebakaran yang lalu, kesihatan Iskandar kelihatan semakin menurun. Mungkin pelajar-pelajar lain tidak sedar akan perubahan tersebut, tetapi tidak pada Zaem. Dia peka dengan keadaan sahabatnya itu.

            “Biar je si Azim tu. Nanti bila kita nak bertolak balik USAS muncullah dia. Lama-lama, redalah hati dia tu.” Zaem mengambil buku laporan yang terletak di atas meja bilik tumpangan yang didiami Iskandar itu. Bebola matanya ligat meniti setiap baris ayat yang telah ditaip di atas laporan tersebut. Dia memang pantang kalau ternampak kesalahan-kesalahan kecil dalam mana-mana laporan, walaupun pada hakikatnya laporan itu tiada kaitan dengan dirinya. Adakah dia lebih sesuai menjadi pemeriksa kertas jawapan peperiksaan berbanding daripada menjadi peguam? Mungkin juga.

            “Kau tau Is, Dr. Ariffin nak keluarkan buku baru. Kalau tak silap aku, tajuk dia ‘Hati-hati menjaga hati’. Macam menarik je bunyinya. Aku akan pastikan buku tu masuk dalam koleksi aku.” Zaem besuara semula. Dia cuba mengubah topik perbualan mereka agar minda Iskandar tidak tertumpu kepada masalah yang dihadapinya dengan Azim.

Iskandar tesenyum mendengar kata-kata Zaem itu. Dia mengangguk setuju. Dia juga berminat untuk membaca buku motivasi baru yang bakal dikeluarkan oleh pensyarah dan penceramah terkenal itu.

“Abang Iskandar!” Satu suara bergema bersama ketukan berulang kali dari luar pintu bilik chalet tersebut. Kedua-dua Zaem dan Iskandar tersentak dengan panggilan itu. Mereka bingkas bangun, keluar dari bilik.

Di luar, Iskandar dapat melihat Raihana berdiri di hadapan pintu sambil memakai baju hujan dan memegang payung.  Wajahnya kelihatan sangat cemas. Pada masa yang sama, beberapa orang pelajar lelaki yang berada di bilik sebelah Iskandar turut keluar apabila dikejutkan dengan suara panggilan Raihana.

“Kenapa ni Raihana?” Iskandar bertanya. Air hujan tempias memasuki biliknya.
“Yalah Raihana, kenapa hujan-hujan begini duduk di luar bilik?” Zaem pula menyampuk.
“Abang, Allisya hilang. Kakak Nik Ain dan yang lain-lain kata dia keluar awal-awal pagi tadi, tapi tak pulang-pulang ke bilik. Saya risau kalau apa-apa terjadi pada dia.”

Entah mengapa, Iskandar terasa bagai diserang sakit jantung. Perkara yang amat ditakutinya kini sedang terjadi. Seketika, Iskandar terkaku mendengar perkhabaran yang disampaikan oleh Raihana itu. 

Zaem yang berada di sebelah Iskandar pula terlalu terkejut sehinggakan cawan kaca yang berisi air teh yang sedang dipegangnya terlepas, lalu jatuh ke lantai. Serpihan kaca bertaburan di atas lantai chalet tersebut. Mata Zaem terbeliak mendengarkan berita yang sampai di telinganya itu. Tiada seorang pun di antara mereka yang bersuara.

“Tadi…saya nampak Allisya berjalan di tepi hutan sana.” Satu suara kedengaran dari kumpulan pelajar lelaki dari bilik sebelah. Iskandar, Raihana dan Zaem segera memandang ke arah tuan empunya suara tersebut.

“Betul ke abang Syakir?” Raihana bertanya bagi mendapatkan kepastian.

“Betul. Abang nampak pagi-pagi tadi sebelum waktu sarapan pagi.” Syakir menjawab. Dia berusaha sedaya upaya untuk meyakinkan mereka semua.

“Abang Iskandar macam mana ni?” Raihana menjadi semakin cemas apabila mendengarkan jawapan daripada Syakir. Dia khuatir sekiranya Allisya tersesat ke dalam hutan.

Mendengarkan sahaja kenyataan yang diberikan Syakir dan soalan yang dilemparkan Raihana, hati Iskandar menjadi resah. Kebimbangan menguasai dirinya. Dia hampir hilang kawalan, namun Iskandar harus bertenang. Dia harus berfikiran waras untuk mencari konklusi yang terbaik bagi menghadapi situasi yang sedang terjadi ini.

“Kalau macam tu, Raihana kamu maklumkan perkhabaran ni pada Pak Mat dan Mak Som. Pastikan ahli-ahli Permata Hati siswi yang lain selamat.” Raihana mengangguk.

Iskandar menyambung, ”Syakir, kau kumpulkan semua ahli lelaki kita. Aku akan buat panggilan kepada pihak berkuasa tempatan sebelum kita mulakan apa-apa tindakan. Dan Zaem…” belum pun sempat Iskandar menghabiskan arahannya, Zaem meluru ke luar bilik dengan berpakaian baju hujan. Dia berlari ke arah yang baru sahaja ditunjukkan oleh Syakir. Iskandar berasa sungguh terkejut dengan tindakan yang diambil oleh Zaem itu. Begitu juga dengan pelajar yang lain.

“Kau nak ke mana tu Zaem?”
“Zaem!” 
“ZAEM!” 

Kedengaran beberapa suara menjerit-jerit memanggil Zaem. Mereka terkejut melihatkan  Zaem yang bertindak di luar jangka itu. Zaem langsung tidak menoleh, malah langkahnya semakin pantas. Dia enggan berpaling ke belakang lagi. Perkara lain tidak penting lagi bagi dirinya, yang penting sekarang ini adalah keselamatan Allisya.

‘Allisya, Zaem datang.’ Zaem terus meredah hujan. Guruh masih berdentum di langit.

‘Tolonglah bertahan.’ Zaem terus berlari dan berlari tanpa henti.

‘Allisya jangan takut,  Zaem datang. Zaem datang…Zaem janji Zaem datang…’

 Zaem berlari tanpa menghiraukan apa sahaja yang berlaku disekelilingnya. Tiada perkara lain yang bermain di mindanya. Apa yang penting kini adalah keselamatan Allisya. Perkara utama yang perlu dilakukannya adalah mencari Allisya. Dia tidak mahu apa-apa pun terjadi terhadap Allisya.

Hujan semakin lebat. Biar pun ditolak angin kuat dan ditimpa hujan lebat, Zaem tidak berhenti daripada terus mara ke dalam hutan. Suara pelajar-pelajar lain sudah tidak kedengaran lagi. Berkali-kali Zaem terlanggar ranting pokok dan batu-batu yang tajam. Tangan dan kakinya calar balar diguris berulang kali. Namun Zaem tidak memperdulikan semua itu. Doanya kini semoga Allisya selamat. Dia menyesal kerana tidak menghubungi mahupun menyuruh Allisya berjumpa dengannya pagi tadi. Jika tidak, mungkin semua ini tidak akan terjadi.

Zaem teus meredah walau tanpa penunjuk arah. Dia berlari seolah-olah seperti tiada hari esok. Tanpa Zaem sedari, kakinya tersepak satu batu besar ketika melewati kawasan cerun bukit, lalu menyebabkan dia tergelincir jatuh ke tepi tebing yang tinggi.

 Badan Zaem jatuh terhempas dan tergolek ke bawah cerun tebing itu. Seluruh badannya terasa sakit. Tangan dan kakinya berdarah kerana bergesel dengan duri-duri, batu-batu tajam dan permukaan tanah yang tidak rata ketika jatuh tadi. Namun Zaem gagahi juga untuk bangun. Dikumpulkannya segala kudrat yang ada. Dia tidak boleh mengalah, Allisya sedang menantikannya. Allisya pasti sedang ketakutan seorang diri di dalam hutan ini. Dia tidak boleh membuang masa.

“Allisya!” Zaem menjerit memanggil nama gadis itu. Dia meneruskan pencariannya. Dia harus mencari Allisya secepat yang mungkin sebelum apa-apa perkara yang tidak diingini terjadi.  

 Bagaimana jika Allisya tercedara? Adakah Allisya dapat bertahan dalam keadaan hujan yang lebat ni? Jantung Zaem berdegup kencang memikirkan perkara-perkara buruk yang mungkin terjadi terhadap Allisya. Dia hampir hilang keupayaan untuk berfikir secara waras. 

Mampukah dia menyelamatkan Allisya? Tetapi ke mana harus dia melangkah untuk mencari Allisya? Walaupun ke mana harus dia berlari, dia berjanji akan mencari Allisya. 

‘Zaem janji Allisya. Zaem janji. Tolong bertahan..’

Hujan semakin lebat. Zaem melangkah tanpa memikirkan keselamatan dirinya. Kini hanya Allisya yang menjadi keutamaannya.

“ALLISYA, ZAEM DATANG!”

Nani NA

No comments:

Post a Comment