Kelihatan
lima orang mahasiswa sedang memenuhi meja bulat yang telah dusediakan di ruang
diskusi terbuka perpustakaan USAS. Suana sunyi seketika. Mereka saling berbalas
pandangan. Tiada di antara mereka yang terbuka untuk bersuara. Raihana beberapa
kali menyiku Allisya. Sekali-sekala Allisya menjerling kepada Iskandar,
melemparkan pandangan yang penuh pengharapan. ‘Abang Is, tolonglah bersuara.’
Suasana
agak tegang setelah berlaku sedikit perdebatan di antara Azim dan Zaem. Mereka
seperti masih menyimpan dendam di antara satu sama lain, sedangkan mereka
adalah kawan baik.
“Baiklah,
sekarang ni semuanya dah terjawab bukan? Tak perlulah kita bersangka-sangka
lagi.” Bagai memahami permintaan Allisya, Iskandar bersuara menyuraikan
ketegangan yang ada.
Zaem
mengecilkan matanya, kemudian dia memandang ke arah Azim. “Yalah, Azim kau tak
rindukan aku ke? Jangan risau, aku dah tak salah sangka pada kau lagi.”
Sebaik
mendengar celoteh Zaem, sepantas kilat jari Azim menjentik dahi luas pemuda
itu. “Aduh!”
Zaem
menggosok-gosok dahinya yang sudah kelihatan kemerah-merahan itu. “Ini yang aku
kurang senang kalau kita dah berbaik. Sekurang-kurangnya, waktu kita bergaduh
kau tak pernah pula usik dahi aku ni.”
Azim
yang bermuka masam sebelum ini kelihatan bagai sedang ketawa, tetapi tawanya
bagai ditahan-tahan. Mungkin sahaja dia sedang menjaga imej.
Iskandar
tersenyum lebar melihat kedua-dua orang sahabatnya kini sudah berbaik semula.
Benarlah kata orang, nilai persahabatan itu terlalu tinggi. Sahabat yang baik
tidak akan pernah berpaling walau sejauh mana pun mereka diduga. “Jadi sekarang
ni bolehlah kita kembali kepada perbincangan kita yang asal.”
Seluruh
yang hadir menumpukan perhatian mereka kepada kertas yang dibentangkan di
tengah-tengah meja. Di atas kertas tersebut tercatat senarai nama orang-orang
yang amat mereka kenali.
“Ni
senarai apa?” Allisya bersuara. Matanya dikecilkan untuk memberikan tumpuan
kepada senarai nama yang dibaca. ‘Abang Syakir dan Kak Zarina, tetapi kenapa
ada Dr. Ariffin?’ Allisya mula berasa tidak sedap hati.
“Ini
senarai nama yang dikatakan dilihat oleh para pelajar ada naik ke tingkat atas sekali
bangunan pada sekitar waktu kejadian. Seperti yang kita ketahui, kemera CCTV
tingkat lima perpustakaan kita rosak, maka kita tak dapat buktikan sepenuhnya
samada mereka betul-betul ada di situ pada waktu kejadian.”
“Bukan
ke lif perpustakaan kita ada kemera CCTV juga? Kenapa tak periksa semula?”
Raihana kebingungan.
“Itu
juga salah satu kekangan yang terpaksa dihadapi pihak berkuasa untuk menyiasat
kerana kalau betul Farid ditolak, suspek disyaki telah menggunakan tangga. Buat
pengetahuan anda semua, tangga perpustakaan kita tidak dilengkapi kemera CCTV
dan ruang itu jarang digunakan oleh para pelajar. Lagi pun tingkat lima, terlalu
tinggi untuk panjat tangga.”
“Maksud Abang Zaem?” Raihana
bertanya lagi.
Zaem dengan bersemangat menjawab, “rasanya
pelajar tu mungkin sahaja naik lif, turun di tingakat lain dan sambung
perjalanannya untuk bertemu dengan Farid
dengan menaiki tangga. Memang tak ada sesiapa pun yang mengaku mereka
berada di tingkat tersebut pada hari kejadian, tetapi saya yakin, pada hari
kejadian saya ada melihat kepala seseorang menjengah daripada tingkat lima!”
“Tapi kenapa orang tu terfikir
untuk ambil lif dahulu dan kemudiannya pergi dengan menaiki tangga, kecualilah
jika dia…” Raihana mula berspekulasi, lalu disambung oleh Zaem, “Kecuali kalau
orang tu betul-betul merancang untuk bunuh Farid! Kalau betulah ni sekadar kemalangan
yang tidak disengajakan, sepatutnya dari awal-awal lagi dia tak takut naik lif
hingga ke tingkat lima. Tapi dia tahu, perjalanannya akan dirakamkan di kemera,
jadi dia memilih turun di tingkat tiga…”
“….di mana kita tahu semua pelajar
akan turun di tingkat itu.” Raihana akhirnya menghabiskan ayat Zaem. Zaem
mengangguk dan tersenyum mendengar kata-kata Raihana. Tersipu-sipu gadis itu,
apatah lagi senyuman pujian itu diberikan oleh lelaki yang diminatinya.
Azim diam, manakala Iskandar
kelihatan bagai sedang berfikir. Allisya memandang ke arah Zaem. Seketika,
Allisya terkesima dengan kenyataan Zaem. Gadis itu berasa kagum dengan pemuda
tersebut. Tidak pernah Allisya sangka, selama ini Zaem kelihatan hanya
bersembunyi dan berdiam diri, tetapi sebenarnya pemuda itu sedang maju
menyelidik secara senyap.
“Kita juga tak pasti, mungkin ada
orang lain yang naik ke tingkat tersebut tanpa sesiapa sedari.” Iskandar
bersuara, lalu Allisya mengangguk bersetuju.
“Macam mana dengan orang yang
hantar surat ugutan di rumah kau Zaem? Dah dapat kesan?” Iskandar beralih pula
kepada persoalan lain yang masih belum terjawab.
“Sayangnya kamera rumah aku jenis
yang bergerak…” Zaem mengeluh.
“Maksud awak Zaem?” Allisya hairan
dengan jawapan Zaem.
“Kemera tu tak merakam di tempat
yang sama pada setiap masa, kerana ia jenis 180
degree motion camera. Jadi pada minit-minit tertentu, kawasan peti surat
itu tak dirakam. Tak sangka orang yang hantar ni bijak memilih waktu.” Zaem
menjawab lagi dengan keluhan.
“Maksudnya orang yang hantar surat
ugutan tu, orang yang pernah pergi dan tahu keadaan rumah awaklah ya Zaem?”
Allisya cuba mendapatkan kepastian. Raihana turut mempunyai spekulasi yang
sama.
“Tapi masalahnya hampir satu USAS
pernah pergi rumah Zaem. Setiap tahun dia akan buat rumah terbuka waktu hari
raya.” Akhirnya Azim mula menyertai perbualan hangat mereka.
Kini Allisya pula yang mengeluh.
Mereka semua kelihatan buntu.
“Tapi saya nak cadangkan satu nama
dalam senarai yang disyaki ni….”
“Allisya ada syaki sesiapa ke?”
Iskandar terkejut mendengarkan kata-kata gadis itu. Allisya ada syaki
seseorang? Siapa?
“Zairin…”
Ketiga-tiga panglima USAS itu
terdiam sebaik mendengar kenyataan Allisya. Beberapa saat kemudian, Zaem ketawa
terbahak-bahak, Iskandar hanya tersenyum dan Azim menggeleng-gelengkan kepala.
“Allisya, awak ni dah terlalu
banyak berfikir. Tak ada sebab Zairin nak menganiaya saya.” Zaem masih ketawa,
sehingga membuatkan muka Allisya merah menahan marah.
“Saya cakap betul! Saya ada
bukti!”
“Allisya, jangan fikir benda yang
bukan-bukan lagi.” Zaem kini telah berhenti ketawa, tetapi dia tetap hairan
dengan cadangan Allisya. ‘Dalam ramai-ramai orang, kenapa Allisya anggap budak
Zairin tu yang jahat?Pelik!’
Dalam
pada Zaem tersengih-sengih mengetawakan deduksi Allisya, Jari-jemari Azim
melayang tepat ke dahinya. “Aduh! Azim kenapa kau pula yang tiba-tiba jentik
aku?”
“Aku
tak kisah kalau kau nak tulis nama sesiapa pun pada kertas ni, tapi kenapa
mesti ada nama aku sekali dalam senarai suspek?” Jerlingan Azim kelihatan
seperti harimau yang ingin membunuh.
“Erk,
sebab kau nampak macam salah seorang suspek
kes ni. Pertengkaran kau dengan Farid harus diambil kira,” Zaem menjawab dengan
wajah yang yakin.
“ Tapi
kenapa ada nama Abang Is juga?” Allisya yang baru perasan dengan hal itu turut
merasa tidak puas hati. ‘Ada ke Abang Is yang baik macam tu disuspek membunuh,
Zaem ni memang nak kena!’
Iskandar hanya tersenyum, dia sendiri hairan
dan tidak mampu berkata apa-apa.
“Tu
saya tak hairan sangat, tapi KENAPA NAMA ABANG ZAEM SENDIRI PUN ADA?” Raihana
pula bersuara, turut sama terkejut.
Zaem
hanya tersengih, “Sebab satu USAS kata kami bertiga suspek yang
berkebarangkalian tinggi melakukan jenayah tersebut, jadi kita tak boleh lepas
pandang atas segala kemungkina yang ada.” Zaem masih tersengih bagaikan kerang
busuk.
“Nama Zairin awak tak nak letak
sebagai suspek, tapi nama sendiri boleh pula?” Hampir pitam Allisya mendengar
jawapan merepek Zaem tadi. Hendak marah, dia tahu tak ada gunanya. Sampai
bila-bila dia tidak akan pernah faham perangai pelik lelaki itu.
“Zaem,
lebih baik kau senaraikan nama satu USAS ni je!” Azim memerli dengan sinis.
“Aku
dah cuba Zim, tapi aku tak tahu nama semua pelajar-pelajar USAS.” Zaem menjawab
dengan mimik muka bersahaja, seolah-olah tiada apa-apa pun yang berlaku.
Iskandar ketawa mendengarkan
gurauan Zaem, begitu juga dengan Raihana. Perangai keanak-anakan Zaem memang
tak akan pernah hilang dari dalam diri pemuda itu.
Allisya mengambil masa beberapa
minit untuk menenangkan hatinya. Mengapa sukar sangat untuk dia ketawa dengan
jenaka yang dibuat oleh Zaem? Jujurnya memang tak lawak pun!
“Allisya pasal esok. Jangan lupa.”
Raihana menyiku Allisya mengingatkan gadis itu kepada rancangan mereka esok
petang.
“Em, Abang Is esok petang saya dan
Rai nak cuba periksa bahan yang ada pada tapak kasut arwah Abang Farid di makmal.
Boleh Abang Is temankan kami?” Suara Allisya sangat perlahan ketika mengajukan
soalan itu. Iskandar sudah dianggapnya bagai abang sendiri, maka Allisya lebih selesa dan percayakan Iskandar untuk
menemani mereka jika ingin melakukan sesuatu perkara atau pergi ke mana-mana.
“Insya’Allah boleh. Tapi kelas
abang habis pukul lima setengah esok.”
“Tak apa Abang Is, kami rancang
nak pergi selepas pukul lima juga. Kami tak berani nak guna makmal tu pada
waktu pejabat. Takut ada staff yang akan pertikaikan.”
“Kenapa awak ajak Is je Allisya?
Sampai hati awak! Awak tahukan saya pun ada perasaan juga,” Zaem menyampuk
perbualan mereka seraya berpaling ke tempat lain bagai sedang membawa hati yang
rajuk. “Kecil hati saya awak buat saya macam ni Allisya…”
“Kenapa pula saya nak ajak awak
sekali? Sekurang-kurangnya Abang Iskandar boleh bantu dan beri pendapat melalui
kepakaran dia dalam makmal nanti. Awak Zaem, awak nak masuk makmal sekali
kenapa?”
“Kenapa? Kenapa dengan awak ni Allisya?
Perkara ni berkaitan dengan diri saya, mestilah saya kena libatkan diri. Awak
kata awak akan sentiasa berada di sisi saya, tapi awak tengok apa yang awak
sedang buat. Kenapa awak suka beri harapan palsu pada saya?”
“Zaem, saya tak pernah beri harapan
apa-apa pun pada awak! Malaslah saya nak layan awak. Nak ikut, ikutlah!”
Tiba-tiba sahaja Azim bersuara,
memecahkan suasana bingar yang ada, “kenapa saya yang belajar spesifik dalam
kejuruteraan kimia tak diambil kira? Kenapa saya tak di ajak sekali?”
Sekalian yang ada kaku
mendengarkan kata-kata Azim. Betulkah apa yang sedang mereka dengarkan itu?
Azim ingin turut sama menyertai mereka? Semuanya bagai mimpi.
“Kenapa kau nak ikut Zim? Kau
cemburu tengok aku akan berdua-duan dengan Allisya ke?” Zaem mula berasa
curiga.
“Kita tak berdua-duaanlah Zaem!”
Allisya pula masih geram dengan perangai Zaem.
“Tak ada apa pun yang aku perlu
cemburu pada kau,” Azim sempat memerli sebelum menambah, “Allisya, kamu nak
analisa bahan tu guna apa?”
“Em, Gas Cromathography. Abang Azim tahu guna alat tu?” Allisya
menyahut.
“Tak, tapi abang memang berminat
nak belajar guna instrumen tu. Kalau tak ada sesiapa yang tahu guna macam mana
kita nak buat analisa tu?”
“Kak Laila! Kak Laila pelajar
master fakulti kami. Kami selalu nampak dia guna instrumen tu. Jadi kami nak
jumpa dia esok dan minta tolong pada dia.” Raihana menjawab yakin. Kata sepakat
diterima, dan mereka masing-masing berjanji akan bertemu di fakulti Sains
Gunaan esok untuk mendapatkan jawapan.
* * *
Cahaya
mentari semakin kabur. Jam di tangan Allisya sudah pun menunjukan pukul 5.40
petang. Dia dan Raihana menanti dengan setia sambil berdiri di kawasan tempat
letak kereta fakulti mereka. Beberapa minit kemudian, Iskandar muncul sambil
mengayuh basikal menghampiri mereka. Wajah pemuda itu kelihatan letih. Keringat
membasahi dahinya. Pasti Iskandar keletihan kerana seharian menghadiri kuliah
tanpa henti. Setahu Allisya jadual Iskandar memang agak padat, namun Iskandar
tidak pernah mengatakan ‘tidak’ apabila diminta tolong oleh mereka.
Iskandar
memberikan salam sambil mengukirkan senyuman. Sebaik turun daripada basikalnya,
Iskandar menghulurkan beberapa bungkusan plastik yang berisi kuih –muih.
“Terima
kasih Abang Is!” Allisya menyambut dengan senyuman.
Iskandar
mengkerling jam di tangannya, masih ada masa lagi. Azim dan Zaem masih belum
tiba. Tidak lama kemudian, bunyi bising deruman enjin motorsikal dan kereta
menyapa dan menggigit telinga mereka sehingga membuatkan Allisya menutup telinganya.
Di
kejauhan kelihatan sebuah kereta Vios putih dan motorsikal besar sedang memecut
dan bagai sedang bersaing sesama sendiri.
“Kenapa dengan mereka tu? Dalam
kampus pun nak berlumba ke?” Allisya merungut sebaik mengenal pasti pemandu
kereta dan penunggang motorsikal itu ialah Zaem dan Azim.
Iskandar tersenyum kelat. Dia
sendiri tidak pasti apa yang ingin dijawabkan kepada Allisya kerana sejak
akhir-akhir ini Azim dan Zaem bagai sering ingin berlumba-lumba dan bersaing
dalam apa jua perkara yang mereka lakukan, lantas membuatkan Iskandar juga
khuatir dengan perubahan mereka berdua.
Kereta Zaem memecut di hadapan,
membuatkan pemuda itu tersenyum bangga. Namun beberapa saat kemudian motorsikal
Azim memotong di persimpangan ketika masuk ke kawasan fakulti, lalu
menyerlahkan wajah rajuk Zaem yang kelihatan seolah-olah bagai sedang mencebik.
“Bahu Abang Azim dah sembuh
sepenuhnya ke Abang Is?” Allisya bertanya dengan nada yang kedengaran sangat
risau. Entah mengapa hati Iskandar bagai terpercik dengan satu rasa yang kurang
enak. Adakah dia juga sudah mula cemburu?
“Azim dah tanggalkan balutan dia.
Tapi dia perlukan pemeriksaan dan rawatan fisoterapi yang berlanjutan sebelum
anggota dia betul-betul cukup kuat untuk turun ke padang semula.”
“Tapi boleh ke Abang Azim bawa
motor? Ni semua mesti sebab Zaem yang saja-saja buat dia marah.” Allisya
merungut sendiri. Iskandar mengambil keputusan untuk hanya mendiamkan diri. Dia
tahu memang Azim seorang yang degil dan tidak suka dianggap lemah.
Zaem turun dari keretanya sambil
mengenyitkan mata manakala Azim berjalan tanpa mengukirkan senyuman mahupun
melemparkan teguran. Mereka masuk ke dalam fakulti tersebut, namun langkah
mereka terhenti kerana mereka menghadapi masalah untuk masuk ke kawasan makmal
pasca siswazah fakulti mereka itu. Kawasan makmal pascasiswazah itu dilengkapi
dengan sistem keselamatan yang memerlukan penggunanya mengakses ke makmal
menggunakan kad khas. Raihana menghantar mesej, lalu seketika kemudian seorang
gadis berambut ikal datang menghampiri pintu cermin yang memisahkan mereka.
“Maaf mengganggu kak, tapi kami
betul-betul perlukan pertolongan akak,” Raihana merayu setelah menjelaskan segala-galanya.
Laila memandang sekalian yang
hadir pada ketika itu. Makmal biokimia pascasiswazah itu kelihatan sunyi
daripada orang ramai, berbeza sekali dengan suasana makmal pelajar sarjana muda
fakulti mereka.
“Akak tak kisah kalau kamu nak
guna kemudahan di makmal ni, tapi dengan satu syarat.”
“Syarat apa kak? Tapi kami harap
syarat tu tak susah untuk dipenuhi.” Raihana kerisauan kalau-kalau Laila
menetapkan syarat di luar kemampuan mereka.
“Syarat tu tak susah. Akak dah
lama harap dapat bergambar dengan seorang panglima USAS ni. Akak salah seorang
peminat dia…” Laila menjawab dengan nada yang mengusik.
“Panglima USAS?” Allisya segera
memandang ke belakang di mana Iskandar dan Azim sedang berdiri. Zaem berada di
tepi makmal, sedang teruja melihat kawasan sekitar makmal tersebut. Sebaik
mendengarkan kata-kata Laila dan reaksi terkejut Allisya, Azim melangkah ke
belakang. Siapa yang tidak tahu bahawa dia adalah pemain bola sepak yang
popular dan selalunya dia memang tak akan izinkan peminat bergambar dengannya.
“Maaf, saya tak bergambar dengan
peminat dan saya tak suka gambar saya tersebar di internet,” Azim menjawab
dengan nada yang tegas. Dia tidak mahu dipaksa bergambar dengan sesiapa.
‘Susahnya jadi orang popular ni!’
“Tapi akak bukan peminat bola
sepak Azim. Jangan risau ya.” Laila kehairanan dengan reaksi Azim. Sejak bila
pula dia cakap dia nak bergambar dengan pemuda tu?
Zaem ketawa terbahak-bahak. Dia
berjalan menuju ke arah kumpulan mahasiswi itu. “Semua orang pun tahu, kalau di
USAS siapa yang paling popular. Mungkin kau dah lupa tentang perkara tu Azim.”
Zaem melintasi Azim sambil mengenyitkan mata coklat mudanya yang menawan itu
dengan angkuh sekali. Azim yang sedang panas telinga itu sengaja berpura-pura
tidak mendengar kata-kata Zaem.
“Kenapa akak tak cakap yang akak nak bergambar dengan
saya? Saya sentiasa ada untuk peminat-peminat saya,” ujar Zaem dengan penuh
bangga.
‘Menyampahnya perangai Zaem ni!’
Allisya mengutuk hanya di dalam hati.
“Allisya awak jangan cemburu ya,”
Zaem sempat berpaling dan mengenyitkan matanya kepada Allisya.
‘Macam budak-budak. Perasan je!
Siapa yang nak cemburu?’ Allisya masih tidak puas hati, namun suaranya hanya
bergema dalam hatinya.
“Maaflah Zaem, akak bukan pengundi
awak. Akak tak berapa minat wajah jambu ni.” Laila ketawa melihatkan reaksi
Zaem yang jauh lebih perasan itu.
Tersentap hati Zaem mendengar.
Wajahnya yang putih melepak itu kelihatan kemerah-merahan menahan malu. Kalau
bukan dia, siapa? Dengan serentak, kesemua mereka menoleh ke arah Iskandar.
Iskandar tersengih kekok melihatkan tindakan semua yang hadir. Lebih menakutkan
apabila dia melihat Zaem dan Azim semakin menghampiri dirinya bagai ingin
menerkam.
“Tapi…” Dia bagaikan seperti rusa yang sedang
dikepung oleh sekumpulan singa yang sedang lapar. Memang kecut perut pemuda
itu. Kenapa mesti nak bergambar dengan dia? Dia hanya orang biasa jika hendak
dibandingkan dengan Zaem dan Azim.
“Tak ada tapi-tapi Is. Kau kena
bergambar juga. Dahlah rampas peminat kami!” Zaem menarik lengan Iskandar. Dia
tidak mahu Iskandar melepaskan diri. Zaem memang masak dengan perangai
Iskandar. Kalau bab bergambar, Iskandar memang seorang yang pemalu, apatah lagi
bila perlu bergambar dengan perempuan. Mesti dia akan menghilangkan diri.
Merah muka Iskandar menahan malu
apabila dipaksa bergambar dengan Laila. Allisya ketawa melihat wajah comel
seniornya itu. Dia sendiri yang minat Iskandar pun tak pernah berpeluang
bergambar dengan Iskandar, melihat pemuda itu bergambar dengan orang lain
memang sedikit sebanyak mampu membuatkan Allisya merasa cemburu.
“Baiklah, sekarang ni kita serius
semula. Akak nak sediakan sampel ni dulu. Harap-harap keputusannya nanti seperti
yang kamu semua harapkan.”
Masa berlalu dengan pantas. Bahan
yang kelihatan seperti pepasir hitam itu telah dicampurkan dengan sejenis solvent dan turut digemparkan dalam alat
pengempar khas makmal. Allisya memerhati dengan penuh khusyuk. Hanya beberapa
mikroliter bahan tersebut yang diambil untuk digunakan dalam instrumen itu.
“Sikit je akak guna?” Allisya
bertanya dengan penuh minat.
“Ya, sikit je Allisya. Beberapa
mikroliter sahaja dah mencukupi.” Laila menjawab sambil mencucuk bahan tadi ke
dalam mesin tersebut menggunakan jarum khas. “Nanti lepas bahan yang telah
dilarutkan ini diinjek ke dalam mesin, bahan tersebut akan dibakar dengan suhu
yang amat tinggi, dan molekul-molekul kimianya akan pecah lalu membolehkan
instrumen tersebut memeriksa komponen-komponen yang ada dalam bahan yang
dianalisa itu. Dari situah keputusannya akan keluar di skrin komputer dan kita
boleh membuat analisa lanjut.”
“Jadi kita bolehlah tahu kandungan
kimia untuk bahan yang kita nak periksa ni?”
“Ya, betul tu!”
Allisya mengangguk-nganguk
mendengar jawapan Laila. Dia merasa teruja kerana berpeluang mempelajari
cara-cara menggunakan mesin tersebut di awal pengajiannya lagi. Menantikan
keputusan analisa bahan tersebut membuatkan jantung Allisya berasa
berdebar-debar. Entah mengapa, Allisya bagai boleh mendengar lagu Mission Imposible bermain-main di cuping
telinganya, bagaikan dia sedang berada di dalam filem menjalankan penyiasatan
yang berat. Allisya kehairanan. Adakah semangatnya yang berkobar-kobar ingin
menemui jawapan itu membuatkan dia merasa bagai sedang berada dalam kisah penyiasatan
sebenar dengan berlatar belakangkan muzik yang mendebarkan. Semakin lama, muzik
tersebut kedengaran semakin kuat pula. Lantas membuatkan jantung Allisya terasa
bagai hampir tercabut sehinggalah dia diganggu dengan satu suara yang amat
kuat, “ADUH! Kenapa kau jentik dahi aku ni Azim?”
“Zaem, aku nak kau tutup MP4 kau
tu. Muzik tu buat menyemak je!”
“Kenapa pula? Kan bersemangat
sikit kita nak menyiasat.” Zaem menjawab sambil tersengih.
‘Rupa-rupanya muzik tu Zaem yang
pasang…’ Allisya turut merasa geram apabila mengetahui perkara sebenar.
Fikirnya hanya dia sahaja yang mendengarkan muzik itu. ‘Buat orang takut jelah
Zaem ni!’
Dua puluh minit berlalu, “keputusan
dah keluar!” Sebaik mendengar suara Laila, semua yang ada bergegas menghadap
komputer yang sedang digunakan oleh Laila. Masing-masing merasa teruja untuk
mengetahui keputusan tersebut walaupun pada hakikatnya mereka belum pasti
adakah keputusan yang diperolehi itu akan membantu mereka atau tidak.
“Pasir hitam yang kamu bawa ni
bukan tanah.”
“Maksud Kak Laila? Bukan ke bahan
tu betul-betul macam tanah. Macam tanah bakar pun ada juga.” Raihana bertanya
sangsi.
“Bahan
ni tinggi dengan kandungan Nitrogen, Fosforus dan Kalium. Sangat tinggi…”
“Maksudnya?”
Allisya masih tidak mengerti.
“Baja…Itu
kandungan tipikal dalam baja pokok,” Azim menyampuk, memberikan jawapan yang
Allisya nanti-nantikan.
“Betul
tu! Tapi pelik, kawasan mana yang dia pergi sampai tapak kasut dia dipenuhi
dengan baja? Dia ada berkebun ke? Akak tak nampak pun timbunan baja di kawasan
kampus kita ni.”
“Taman
botani. Di kawasan rumah hijau taman botani universiti kita ada banyak timbunan
baja.” Iskandar pula berkongsi pengetahuannya.
Kemudian Zaem turut mencelah,
“Tapi setahu saya yang datang sana hanyalah pelajar daripada persatuan tanaman
hiasan dan herba universiti sahaja. Farid pelajar pascasiswazah, dia tak
diwajibkan menyertai apa-apa persatuan dan sememangnya dia bukan ahli persatuan.
Kenapa mesti dia ke sana? Untuk berjumpa seseorang? Tapi siapa dan untuk apa?”
“Mungkin dia berjumpa dengan ahli
persatuan tu juga. Mungkin juga isu ni tak berkaitan.” Iskandar menjawab
perlahan.
“Isu ni memang berkaitan! Sebab
Zairin pun berdaftar bawah nama persatuan tu!”
“Mana Rai tahu?” Allisya berasa
semakin takut mendengarkan jawapan yang ada.
“Sebab Rai terdengar perbualan dia
dengan salah seorang ahli persatuan tu.”
Riak wajah Zaem berubah apabila
mendengar jawapan Raihana. Dengan pantas, kakinya melangkah keluar daripada
makmal itu.
“Kenapa Zaem macam marah?” tiada
siapa pun yang menjawab soalan Allisya. Suasana menjadi sepi, namun penuh
dengan pelbagai soalan. Hanya satu perkara yang menjadi kepastian, hari sebelum
Farid meninggal, dia ada pergi ke taman botani universiti, tetapi untuk apa?
Adakah dia telah bertengkar dengan seseorang pada hari itu?
“Allisya, sebenarnya Zaem pun ahli
persatuan tu juga.” Azim bersuara, menambahkan lagi kerunsingan hati Allisya.
Tidak! Inisiatif mereka ini hanya
akan membuatkan Zaem lebih kelihatan sebagai suspek sebenar! Apa yang patut
mereka lakukan? Adakah tindakannya ini salah?
No comments:
Post a Comment