Sunday 28 August 2011

BAB 17: KEMBALI



            Bilik kaunseling Kenaga kelihatan sunyi sahaja. Bilik itu dihiasi dengan sejambak bunga hidup yang diletakkan di dalam pasu kaca yang diisi penuh dengan air. Dr. Ariffin sedang berdiri di tepi jendela. Pandangannya dilemparkan keluar. Seorang gadis berusia 21 tahun sedang duduk di kerusi berhadapan dengannya. Buku-buku motivasi karangan pensyarah kaunseling itu sendiri disusun berderetan di atas meja. Semuanya berada dalam carta jualan terbaik di Malaysia.

            “Kamu betul dah sihat sepenuhnya?” Gadis yang berbaju kurung moden itu mengangguk sebagai memberi jawapan kepada soalan yang dikemukakan Dr. Ariffin.

            Dr. Ariffin tersenyum. Lalu dia menambah, “Tapi kamukan dah mohon penangguhan untuk satu semester. Sepatutnya kamu sekarang ni duduk di rumah dan berehat untuk beberapa bulan ni.”

            Gadis ayu berambut paras bahu itu menjawab perlahan, “Saya rasa saya lebih selesa berada di USAS ni. Saya seronok meluangkan masa bersama kawan-kawan saya di sini. Lagi pun, di rumah saya tak ada sesiapa. Ayah saya masih di hospital sedang dirawat oleh pakar, abang saya pula sibuk bekerja. Lebih baik saya duduk di USAS.”

            “Baiklah, kalau itu keputusan kamu. Sekurang-kurangnya kamu berada dalam persekitaran yang baik. Sedikit sebanyak membantu dalam terapi kamu.”

            “Gadis itu mengukirkan senyuman. “Lagi pun lebih mudah saya nak berjumpa dengan Dr.” 

            “Betul tu. Kalau kamu ada apa-apa masalah atau perlukan tempat mengadu, saya sentiasa ada. Setiap masalah itu bagaikan satu permainan ‘puzzle’. Lebih baik dikongsi untuk diselesaikan bersama daripada hanya ditanggung sendiri,” ujar Dr. Ariffin. 

            Gadis muda itu mengangguk mempersetujui cadangan Dr. Ariffin. Dr. Ariffin merupakan orang pertama yang akan ditujuinya untuk meluahkan segala rasa dalam hatinya.

            “Ayah kamu macam mana?”

            “Entahlah Dr. Menurut kata doktor yang merawatnya, penyakit dia makin teruk.”

            Dr. Ariffin memandang sayu wajah gadis itu. Dia kasihan melihatkan gadis muda itu. Bapanya kini sedang dirawat di hospital sakit jiwa kerana mengalami depressi pada tahap yang kritikal. Semuanya kerana bahana judi. Apabila hukum agama diketepikan, nafsu dunia akan menguasai diri, demikianlah bagaimana manusia boleh hilang pedoman. Tewas dengan godaan dunia. Keluarga diabaikan demi mengejar sesuatu yang tidak nyata. 

            Manusia itu berakal, namun mudah sahaja terpedaya dengan penipuan dunia. Memilih yang gelap sedangkan yang terang sudah kelihatan, memilih yang haram sedangkan yang halal luas terbentang.
            “Abang kamu?” Dr. Ariffin bersuara semula.

            “ Dia sihat. Dia kirim salam pada Dr.”

            Dr. Ariffin menyambut salam yang dikirimkan. “Dah lama saya tak jumpa Farid. Dia tu dulu pelajar yang baik dan sangat aktif. Sejak dia bergraduat ni, saya langsung tak berpeluang jumpa dia lagi.”

            “Dia pun selalu bercerita tentang Dr. Ariffin. Katanya, Dr. lah yang menjadi tempat dia mengadu selama ni. Kami pun dah menganggap Dr. seperti ayah kami sendiri.”

            Dr. Ariffin tersenyum mendengarkan kata-kata manis gadis itu. “Kamu berdua pun dah seperti anak saya sendiri.”

            Dr. Ariffin mendekati meja yang dihiasi dengan bunga mawar segar itu. “Selamat pulang Faz. Saya berharap semester ini akan membuka lembaran baru dalam hidup kamu.”

            Gadis muda itu tersenyum mendengarkan ucapan mesra Dr. Ariffin. Dia sudah lama bercuti, kini sudah tiba masanya untuk dia kembali. Dia kembali untuk mengutip janji-janji lama dan hutang yang selama ini masih belum berbayar.

*                      *                      *

            “Sampai hati kau Is?” Zaem menghempaskan fail-fail kuliahnya ke meja. Mulutnya muncung dua inci. Iskandar hanya tersenyum melihatkan reaksi Zaem yang kelihatan kurang senang mendengarkan berita yang disampaikan olehnya itu.

            “Aku pergi bukan lama pun Zaem, seminggu je.” Iskandar menepuk bahu Zaem. Zaem pula sedang sibuk menyusun semula fail-failnya yang dihempaskan ke atas meja tadi. ‘Buat apalah aku pergi hempas fail-fail aku ni. Macamlah tak boleh letak elok-elok. Akhirnya aku juga yang kena susun semula.’ Dia sempat menasihati dirinya sendiri sebelum dia megejar Iskandar yang sudah pun berada di meja hidangan yang terletak di hujung kafe.

            “Kenapa lama sangat? Sampai ke Australia pula!” Zaem masih merungut dan melahirkan rasa tidak puas hatinya kepada Iskandar. 

“Dah konvesyen perubatan tu nak di adakan di sana, nak tak nak perlu juga pergi. Lagi pun Zaem, ini kolaborasi pihak universiti di peringkat antarabangsa. Kau sendiri yang pernah katakan, sebagai seorang mahasiswa dan wakil pelajar, kita harus berusaha memberikan yang terbaik untuk semua pihak. Kita ni milik semua mahasiswa dan pihak universiti, harus berdedikasi.” Ujar mahasiswa perubatan itu kepada sahabatnya.

            Zaem yang sedang mengambil pinggan kosong di atas meja tersengih mendengarkan Iskandar mengulangi hujah yang pernah disampaikan oleh Zaem sendiri sebelum ini. Dalam kepimpinannya, Zaem suka menekankan aspek tanggungjawab serta amanah, dan mottonya adalah, ‘pemimpin itu milik rakyat’. Sekali dia mengangkat sumpah, amanah harus dilaksanakan. Begitulah beratnya tanggungjawab seorang pemimpin. Namun, itulah jalan yang telah dipilih oleh ketiga-tiga sahabat baik itu.

            “ Tapi nanti tinggal aku seorang sahajalah dalam bilik MPP tu.” Zaem bernada sayu.

            “Azim dan MPP lainkan ada. Janganlah risau, kalau ada kerja-kerja yang berkaitan dengan bidang kuasa aku, kau emailkan sahaja pada aku. Kalau kau ada masalah, kita ‘skype’ je.” Iskandar memujuk sambil tangannya menyudu sambal belacan ke dalam pinggannya. 

            Zaem masih memerhatikan lauk-pauk yang ada. Seleranya hilang setelah mengetahui Iskandar akan pergi meninggalkannya selama seminggu. Siapa yang akan membantunya menyiapkan memorandum menuntutkan hak mahasiswa untuk semester ini? Ramai yang sudah datang mengadu kepadanya tentang peningkatan harga makanan yang naik secara mendadak serta masalah yang timbul akibat daripada kekurangan perhentian bas di universiti mereka. Mereka menuntut agar pihak universiti memantau harga  makanan di kafe-kafe fakulti dan menambah baik perkhidmatan bas di USAS. 

Sudah menjadi tanggungjawab Zaem sebagai ketua MPP USAS untuk menyampaikan suara pelajar ke pihak atasan dan mendesak agar permohonan mereka diterima. Namun, dia perlu menyuarakannya mengikut prosedur universiti, dan selalunya Iskandarlah yang banyak membantunya berbanding MPP lain. Tetapi sekarang ini Iskandar pula sibuk dengan urusan fakultinya sendiri, terpaksalah Zaem berdiri di atas kakinya sendiri menjalankan tugas rasminya sebagai seorang wakil MPP.  Azim pula bukannya selalu ada di USAS, dia banyak menjalani latihan bola sepak dan kem bina badan di luar. Tinggalah Zaem seorang diri, kudung tanpa kedua-dua panglima kanannya.

            “Kau pun kalau rindu dengan mata aku, janganlah lupa ‘skype’ video dengan aku.”

Zaem menyambung semula perbualan mereka yang terhenti tadi. Namun Iskandar tidak menjawab. Iskandar sudah lama meninggalkan Zaem seorang diri di meja lauk pauk, sedangkan dia sudah pun berganjak ke kaunter untuk membayar. Zaem yang tersedar akan kejadian itu segera bergegas ke kaunter bayaran. 

            “Lama dah makcik tak nampak kamu, terutamanya Azim. Anak mak cik si Ira tu pun asyik tanya mana pergi idola bola sepak dia tu. Mak cik masak dah tak sedap ke sampai kamu bertiga dah tak mahu datang ke kedai makcik?” 

            Zaem tersengih mendengarnya rungutan tuan kafe itu. “Tak adalah mak cik, kami masing-masing sibuk dengan pelajaran dan aktiviti universiti. Kalau mak cik nak tahu, setiap hari kami terbau-bau masakan mak cik dalam bilik kuliah.”

            Iskandar hanya tersenyum. “Pandailah kamu memujuk mak cik Zaem. Esok kalau kamu tak ada siaplah.” Zaem terdiam mendengarkan ugutan yang dilemparkan.

            Iskandar telah pun selesai membayar, dia telah kembali ke meja mereka tadi. Zaem masih di kaunter bayaran. “Makan nasi dengan sayur terung je Zaem?” Mak Cik Siti yang terkenal dengan gelaran Mak Cik Donut itu berkerut-kerut dahi melihatkan isi pinggan Zaem. 

            Zaem menepuk dahinya. Barulah Zaem sedar, masanya ketika berada di meja hidangan lauk itu dihabiskan dengan termenung sahaja sampaikan dia terlupa hendak menyenduk lauk lain. Di samping berita tentang pemergian Iskandar tak lama lagi, peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam hidupnya kebelakangan ini juga benar-benar merunsingkan mindanya.

             “AKU JANJI ZAEM! KAU DAN TALI BARUT KAU TAK AKAN HIDUP SENANG!” Suara itu masih terngiang-ngiang di telinganya. Mungkinkah dirinya benar-benar bersalah? Adakah Farid akan datang menuntut bela atas apa yang telah terjadi terhadap adik perempuannya itu?

            Tanpa Zaem sedari, sesusuk tubuh sedang berjalan mendekatinya. Mata setiap pelajar yang berada di kafe tersebut sedang memandang tepat ke arah susuk tubuh yang sedang mendekati Zaem itu. Wajahnya amat dikenali. Semakin lama, insan itu semakin hampir.

“Zaem!”

Zaem sempat menoleh sebelum dia dijentik tepat ke dahi.

“Aduh! Azim, kalau ya pun nak serang, janganlah dari belakang. Ini dah dikira taktik kotor.” Zaem menggosok-gosok dahinya dengan harapan rasa sakit itu akan berkurangan. Sudahlah jentikan Azim sangat kuat, kali ini kelihatan lebih kasar pula dari selalu.

Azim mendengus sebelum menjawab, “Engkau ni Zaem, boleh tak kalau sehari sebelum waktu rehat kau tak payah nak mesej aku? Kalau mesej je, aku boleh terima lagi, yang kau ‘miss called’ sampai 21 kali tu buat apa?” 

Zaem masih menggosok-gosok dahi luasnya itu.

“Aku takut kau terlupa je. Semalam dahlah kau tak balik bilik, sebab tulah aku buat panggilan rindu 21 kali berturut-turut tadi.” Zaem cuba memberikan penerangan dalam jenaka walaupun pada hakikatnya tidak banyak membantu. 

“Kalau kau nak rasa 21 kali jentikan berturut-turut, buatlah lagi.” Azim bersuara tenang, namun tegas. Dia tidak bergurau. Memang itulah impiannya selama ini, menjentik dahi luas kawan baiknya yang suka loyar buruk itu berulang-ulang kali.

Azim melangkah mendekati meja yang terletak berdekatan dengan tingkap. Dia duduk di sebelah Iskandar. Azim membisu, begitu juga Iskandar. Iskandar yang sedang makan, berhenti secara tiba-tiba. Dia seperti ingin membuka mulut, namun bagai ada sesuatu yang menghalang dirinya dari bersuara. Zaem dapat melihat ketegangan di antara kedua-dua sahabat baiknya itu, lalu dia membuat keputusan untuk memainkan peranan sebagai orang tengah. 

“Is, dada kau sakit lagi?” Zaem bersuara tenang, lagaknya sungguh matang. Azim yang mendengarkan soalan Zaem itu segera memandang Iskandar, lalu bertanya, “Kau sakit ke Is?” Kebimbangan jelas terpancar di wajah Azim. 

“Engkau risaukan Is, Azim?” Zaem bertanya sambil tersengih. Dia bersyukur kerana Azim sudah mula bercakap kembali dengan Iskandar. Sejak pulang dari kem motivasi itu, Azim tidak duduk di bilik MPP mereka. Azim langsung tidak meyampaikan berita, apatah lagi meluangkan masa berbicara dengan mereka. Zaem tahu, Azim dan Iskandar ada berselisih faham ketika di kem tersebut. Dia tidak sampai hati melihat Iskandar dibebani rasa risau dan bersalah, walaupun pada hakikatnya Iskandar tidak melakukan sebarang kesalahan. Zaem tahu, Azim memang seorang yang cepat marah, namun marahnya juga cepat reda.

Iskandar yang mendengarkan soalan Azim segera menggeleng. Dia tersenyum lalu menjawab, “tak ada apa-apalah Azim. Semput sikit je. Zaem je yang terlebih risau.”

Azim merenung ke wajah sahabatnya itu, masih sangsi dengan jawapan Iskandar.

“Is, kalau kau tak sihat, kau tak sepatutnya sembunyikan daripada aku.” Azim akui, dia memang ego, dan terlalu mengikut perasaan apabila bertindak. Walaupun dia sangat menghormati Iskandar, kadangkala dia juga akan bertindak di luar kawalan. Namun Azim tidak pernah mengabaikan sahabatnya itu. Iskandar muncul di dalam hidupnya ketika dia sedang diuji dengan hebatnya. Iskandar berbeza dengan mana-mana orang yang pernah berkawan dengannya. Iskandar adalah insan yang ‘menghulurkan tangan’ ketika dia ‘terjatuh’ keseorangan. 

Persahabatan Azim dan Iskandar telah lama terjalin sebelum Zaem muncul memeriahkan lagi perjalanan suka duka hidupnya Walaupun Azim adalah seorang yang anti-sosial, namun meluangkan masa mendengar nasihat Iskandar dan jenaka Zaem sudah menjadi sebahagian dari hidupnya. Persahabatan itu terlalu bernilai, tidak mungkin dimengerti oleh kebanyakan orang di zaman ini yang hanya tahu menikam dan menjatuhkan kawan sendiri.  

“Bukan kau ke yang selalu suka sembunyikan perasaan sendiri?” suara Zaem memecahkan renungan hati Azim. Sengaja dia buat-buat tidak dengar dengan kata-kata Zaem itu. Kalau dia melayan, makin menjadi-jadi Zaem mencari pasal dengannya.

“Is, kau masih marahkan aku ke tentang kejadian kelmarin?”

            “Tak Azim, aku tak pernah marahkan kau.” 

            “Aku tahu, aku yang salah. Aku terlalu ikutkan perasaan, aku minta maaf.” Azim tidak memandang wajah Iskandar, mungkin egonya masih terlalu tinggi untuk memperlihatkan emosinya yang sebenar.

            Zaem yang mendengar perbincangan kedua-dua orang sahabatnya itu segera menepuk-nepuk bahu mereka. “Sudah-sudahlah tu. Sekarang semua dah selesai. Kau ni Azim, aku tak kisah kau nak marahkan orang lain atau pun aku sendiri. Tapi Iskandar? Sungguh tak patut, macam tak logik je.”

            Sekali lagi dahi Zaem dijentik. Azim berpura-pura seperti tiada apa-apa yang berlaku. Zaem mengerutkan dahinya, kemudian ketawa melihatkan muka Azim yang kelihatan kononnya tidak bersalah itu.

            “Tak apa, aku pun tak pernah marahkan kau.” Zaem bersuara semula. Azim tersenyum, walaupun kelihatan sinikal. Memang susah kalau nak nampak Azim betul-betul ikhlas tersenyum. Kalau hendak melihat senyumannya Azim itu, mungkin dalam setahun sekali sahaja. Dah macam sambutan hari raya Adil Fitri pula.

            “Perkara yang dah lepas. Tak perlu disimpan dalam hati.” Iskandar bersuara sambil mengukirkan senyuman.

            Zaem mengangguk-angguk setuju. “Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula sahabat karib.”

            “Tapi aku tak akan maafkan Syakir!” Azim bersuara semula. Nadanya sedikit keras. 

            “Syakir?” Zaem kebingungan mendengarkan nama itu. 

Iskandar hanya mendiamkan diri. Dia sendiri tidak pasti akan keseluruhan kisah yang terjadi, maka dia tidak seharusnya membuat pengadilan tanpa pernilaian.

“Ya, Syakir! Dia yang sengaja mengumpan Allisya ke hutan. Kononnya dia hilang kunci. Kau tau sebab apa Zaem?” Azim bertanya untuk menguji.

“Kenapa pula?” Zaem terpinga-pinga, cuba mengerti kata-kata Azim.

 Iskandar hanya diam, namun dia sudah mula nampak keseluruhan kisah yang ada. Syakir tak pernah hilang kunci. Jika ada apa-apa yang hilang, pasti Iskandar akan menjadi orang pertama yang mendengar aduan tersebut.

“Untuk kenakan kau Zaem. Kau tak nampak macam mana dia tersenyum waktu kau terlantar di hospital hari tu.” Azim menahan marahnya apabila mengenangkan perbuatan Syakir itu. Kalau hendak diikutkan perasaannya sendiri, memang sudah lama wajah Syakir bertemu dengan ruasnya.

Kata-kata Azim itu dirasakan bagai menikam jantung Zaem. Adakah semuanya salah dia? Adakah dia merupakan penyebab utama Allisya berada dalam bahaya? Zaem mengerutkan dahinya. Garis kedutan kerisauan jelas terlihat di wajahnya. Dia kebingungan. Buat pertama kali dalam hidupnya, dia hilang keyakinan terhadap keputusan yang dibuatnya sendiri. Adakah tindakannya mengisytiharkan cintanya kepada Allisya hanya akan mengundang bencana?

Iskandar tertutup seleranya mendengarkan kata-kata Azim. Jika benar apa yang disampaikan oleh Azim itu, ini bermakna ancaman Farid bukanlah sekadar di mulut sahaja. Pemuda tersebut benar-benar telah bertekad untuk membalas dendam terhadap Zaem. 

“Tapi kenapa pula Syakir nak buat macam tu?” kini Iskandar kembali bersuara.

“Is, kau tak tahu hubungan Syakir dengan Fazura?” Azim cuba menduga. 

Iskandar menggeleng. Dia tidak mahu meneka secara membuta.

Zaem juga kehairanan dengan soalan yang dilemparkan oleh Azim itu. Dia terlalu sibuk dengan urusannya sendiri sehinggakan kadangkala dia sendiri tidak tahu akan perkembangan mahasiswa lain. Namun dia sedikit hairan, bagaimana pula Azim yang jarang berada di kampus dan  jauh lebih sibuk daripadanya itu lebih tahu tentang isu semasa dan skandal di USAS? Dia ada pasang pengintip ke?

“Syakir sepupu Fazura.” Azim menjawab ringkas. Tangannya sedang bermain-main dengan duit syilingnya.

“Fazura dengan Syakir sepupu?” Iskandar melahirkan kemusykilan di hatinya.

“Patutlah.” Zaem memberikan respon di luar jangkaan Iskandar.

            Iskandar memandang pula kepada Zaem. Wajahnya dipenuhi tanda tanya. 

            “Aku dah mula mengesyaki waktu Fazura masuk ke hospital. Hairannya Syakir pun ambil cuti yang lama. Aku dapat rasakan mereka ada ikatan, cuma aku tak pasti apa hubungan mereka berdua. Mereka punn akrab. Aku sangkakan mereka pasangan kekasih.” Zaem menjawab tenang. Wajah yang selama ini kelihatan ceria sekejap sahaja bertukar menjadi begitu serius.

            “Kekasih? Kau patut tahu hati Fazura ada pada siapa Zaem.” Azim memerli. Zaem mengeluh mendengarkan kata-kata Azim.

            “Tak hairanlah Syakir sanggup bertindak sampai macam tu sekali. Ikatan darah lebih kuat daripada persahabatan.” Iskandar menyuarakan pula pendapatnya. Dia dirundum dengan rasa khuatir yang amat.  

            Azim diam. Walau apa pun alasannya, dia memang tak boleh maafkan perbuatan Syakir. Lebih teruk lagi tiada sesiapa pun yang sedar akan muslihat licik Syakir itu. Jika mereka adukan kepada pihak atasan mahupun pihak keselamatan USAS pun, pasti mereka hanya memandang enteng aduan mereka itu dan menganggap semuanya itu hanyalah salah faham semata-mata. Tambahan pula, Syakir tidak pernah mengugut mahupun memberi ancaman secara terang-terangan terhadap mereka, maka masalah mereka tidak boleh dianggap sebagai kes polis. Tetapi sampai bila mereka harus berdiam diri? Adakah sampai ada nyawa yang terkorban baru orang ramai akan membuka mata? Mereka bukanlah pesalah seperti yang dipandang ramai, sebaliknya merekalah sebenarnya yang sedang diancam.

            Iskandar memandang wajah risau Azim. Iskandar pun turut sama tenggelam dalam kerisauan yang datang bagaikan tsunami. ‘Kenapa mesti Farid dan Syakir bertindak di luar batasan sedangkan semuanya ini cuma salah faham?” Iskandar bermonolog di dalam hati. Dia tidak sanggup menyuarakan kebimbangan yang bertandang ke hatinya. Iskandar benar-benar tidak menyangka, masalah kecil yang timbul pada awalnya boleh membawa kepada masalah yang lebih besar. Kini Allisya juga telah menjadi sasaran mereka. Berapa ramai lagi insan yang tidak terlibat akan menerima kesan?

            “Mungkin semuanya memang salah aku. Akulah punca segala-galanya ini berlaku.” Zaem menyuarakan rasa kesalnya. Sekiranya masa boleh diputarkan semula, pasti dia akan berusaha mengelak agar peristiwa yang berlaku pada tahun lepas itu tidak akan pernah terjadi.

            ‘Benarkah salah aku?’ Zaem mengeluh melahirkan rasa kesal yang terpahat di hatinya.

            “Zaem…” Iskandar tidak mampu meneruskan kata-katanya. Pada saat ini mungkin lebih baik jika dia hanya mendiamkan diri. Azim termenung seolah-olah sedang bertafakur.

            Susana tegang menyelubungi ketiga-tiga sahabat itu. Suara-suara pelajar yang yang bising memenuhi ruang kafe tersebut langsung tidak mempengaruhi mereka. Mereka bagaikan sedang tenggelam dalam dunia masing-masing.

            Pintu kaca kafe dibuka perlahan oleh seorang gadis berbaju kuning. Kakinya gemalai melangkah masuk ke dalam kafe yang paling banyak mendapat kunjungan mahasiswa itu. Bagai ada cas positif yang menarik kesan negatif yang sedang mengganggu minda ketiga-tiga panglima itu keluar daripada pemikiran mereka. Iskandar mengangkat pandangannya, Azim menoleh dan Zaem tersentak dari lamunannya.

            “Allisya?” Zaem bersuara dengan nada yang paling ceria. Allisya berada di depan matanya, memakai baju berwarna kuning seperti yang diharapkannya selama ini. Hatinya yang sedang dirundum rasa duka sekejap sahaja melonjak dengan rasa bahagia. Mengapa Allisya yang sering bersifat repulsif menolak kehendaknya itu kini sedang memakai baju bertemakan warna kegemarannya? Adakah Allisya telah menerima lamaran cintanya? Adakah tepukannya telah bersambut?

            Iskandar masih merenung Allisya. Dia sendiri tersentak melihat gadis itu memakai baju kurung berwarna kuning. Bagai ada satu rasa yang menganggu minda dan hatinya, namun dia sendiri tidak mengerti apa sebabnya dan mengapa. Adakah Allisya juga menyimpan rasa kepada Zaem?

            Azim menarik nafas panjang. Tangannya mencapai majalah Aspirasi Siswa yang berada di atas meja mereka. Pandangannya dialihkan kepada artikel yang bertajuk ‘Rahsia menjaga kecantikan wanita bersama Dr. Eliza’. Entah sejak bila Azim berminat membaca majalah yang tidak pernah dibuka olehnya itu. Malah, membaca artikel yang langsung tiada kaitan dengan dirinya pula. Apa kaitannya tentang masalah kecantikan wanita dengan dirinya?

            Pipi Allisya kemerah-merahan menahan rasa malu apabila menyedari dirinya ditenung oleh ketiga-tiga panglima utama USAS itu. Hari ini dia telah membuat keputusan untuk memakai baju bertemakan warna kuning seperti yang diharapkan oleh Zaem selama ini. Dia tidak tahu bagaimana dia hendak mengucapkan terima kasih kepada Zaem kerana sanggup berkorban demi menyelamatkan nyawanya. Hanya inilah cara yang paling mudah baginya untuk menunjukkan tanda penghargaannya. Dia gembira sekurang-kurangnya dia berjaya membuatkan Zaem tersenyum. 

            Pandangan mata Allisya dicuri oleh Azim. Allisya tidak tahu mengapa wajah itu yang mula-mula menarik perhatiannya untuk memandang. Jantung Allisya berdegup kencang melihat wajah tanpa emosi Azim. Wajah yang dipenuhi dengan seribu satu rahsia itu seringkali membuatkan jantungnya berdegup kencang tanpa sebab.  Pandangan mata Allisya beralih pula kepada Zaem yang sedang ternganga memandangnya. 

Melihat sahaja Allisya memandang wajahnya, Zaem mengangkat-ngangkatkan keningnya lalu mengenyitkan matanya yang menggoda itu. Hampir termuntah Allisya melihatkan respon yang diberikan oleh Zaem itu, namun ditahan juga oleh Allisya. ‘Kenapa Zaem ni? Tak boleh ke beri reaksi seperti orang normal?’

            Pandangan mata Allisya kembali bergerak memandang wajah panglima ketiga. Ini merupakan perhentian yang paling lama retina matanya bertandang. Kini dia sedang memandang wajah tenang Iskandar. Iskandar membalas sapaan mata Allisya dengan senyuman yang bermadu. Sekejap sahaja wajah Zaem yang mengganggu mindanya itu hilang bagai diterbangkan angin. Mana mungkin wajah itu dapat menggugat senyuman panglimanya. Perasaan Allisya terhadap Iskandar setinggi awan di langit biru dan sedalam jurang yang berada di lautan luas, tidak akan pernah goyah walau digoncang oleh ketampanan Zaem.

            “Allisya, rasanya Zaem dah nampak awak. Mesti dia gembirakan tengok awak pakai baju ni. Maaflah kalau baju ni longgar sangat.” Raihana berbisik ke telinga Allisya dari belakang. Dia gembira melihat Zaem tersenyum. Tak sia-sia dia memujuk Allisya agar memakai baju kurung kuningnya itu ke kuliah hari ini. Dia selalu terdengar perbualan di antara Zaem dan Allisya. Zaem sering melahirkan hasratnya untuk melihat Allisya memakai baju berwarna kuning. Raihana gembira, akhirnya dia dapat membantu menggembirakan hati puteranya itu biar pun hati itu bukan miliknya.

            Sekali lagi, pintu kaca kafe itu dibuka. Seorang gadis muncul dari balik pintu tersebut. Gadis itu turut memakai baju kurung berwarna kuning. Rambutnya yang panjang pada paras bahu itu, dipinkan kemas di kiri dan kanannya. Gadis itu melangkah ceria masuk ke dalam kafe. Dia mengukirkan senyuman kepada Allisya dan Raihana yang masih berada tidak jauh dari pintu masuk kafe tersebut. Kemudian gadis itu berjalan menuju ke arah meja ketiga-tiga panglima USAS . Zaem dan Iskandar bangun dari duduk mereka. Azim meletakkan majalah Aspirasi Siswa ke atas meja semula. Gadis yang tinggi lampai seperti seorang model itu mengukirkan senyuman mesra kepada mereka.

             “Faz… Fazura?” Zaem bagaikan tidak percaya dengan kehadiran gadis yang ditegurnya itu. 

Iskandar dan Azim saling berpandangan. Walaupun Iskandar tidak dapat membaca fikiran Azim, namun dia tahu, Azim pasti sedang memikirkan perkara yang sama sepertimana yang difikirkan oleh dirinya. Adakah peristiwa tahun lepas akan berulang semula?  

            “Ya Zaem, Faz dah kembali.” Gadis itu menyahut ceria.

Zaem menelan air liurnya. Tekaknya terasa sakit bagai sedang diguris-guris dengan pisau. Hatinya juga seperti turut merasa derita yang sama. Dia terasa bagai ditikam hidup-hidup melihatkan senyuman gadis itu. Fazura telah kembali? Realiti atau sekadar mimpi?

Nani NA
(Terima kasih kerana sudi membaca. Saya akan berhenti seketika meng 'upload' sambungan novel Dongeng 3 Panglima ini kerana akan pulang ke kampung halaman untuk beraya. Nantikan sambungannya selepas hari raya. Salam Aidil Fitri saya ucapkan buat semua pembaca. Berhati-hati di jalan raya. Ingatlah orang yang tersayang)

Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir & Batin.

Wednesday 24 August 2011

BAB 16: TETAP MENUNGGU



            Hujan turun renyai-renyai. Tiada lagi ribut kuat, yang tinggal hanyalah saki-baki angin yang bertiup lembut menyapa tubuh Azim dan Allisya. Allisya masih dibaluti jaket hitam milik Azim. Badan Azim pula lencun dibasahi air hujan. Mereka kembali menyambung perjalanan yang tadinya terhenti kerana hujan lebat. 

            Azim dan Allisya berjalan menyusuri laluan di tepi tebing menuruni aliran anak sungai. Kedua-dua mereka membisu di sepanjang perjalanan mencari jalan pulang. Tiada sepatah kata pun yang kedengaran. Allisya masih malu dengan peristiwa yang berlaku tadi. Dia masih terkejut dengan layanan yang telah diberikan oleh Azim itu. Allisya yang mengikuti dari belakang hanya memandang wajah pemuda yang berusia awal 20an itu. Wajah Azim masih kosong dari sebarang emosi. Allisya tidak pasti akan apa yang sedang difikirkan oleh pemuda tersebut.

            Hari sudah beransur petang. Bagaimana pula sekiranya hari  menjadi semakin gelap? Dengan keadaan yang beransur gelap dan dia hanya tinggal berdua sahaja bersama Azim di hutan yang tebal itu membuatkan Allisya betul-betul merasa risau. Allisya bukannya tidak percayakan Azim, namun seperti yang dikatakan Azim, Allisya seorang perempuan, dia tidak boleh begitu mudah mempercayai lelaki. Tambahan pula, apabila seorang lelaki dan seorang perempuan berdua-duaan, pasti akan ada ‘orang’ ketiga di tengah-tengah mereka yang sentiasa mencari peluang menghancurkan iman yang ada. Perasaan takut mula menguasai Allisya. Takutnya dia bukan kerana hasutan syaitan, tetapi takutnya dia adalah kerana kelemahan imannya sendiri. Doanya, semoga mereka segera menemui jalan pulang. 

            “Allisya…” 

            Allisya tersentak apabila mendengarkan namanya dipanggil. Dia menoleh ke belakang, malah ke kiri dan kanannya, tiada sesiapa pun yang berada di kawasan sekitarnya. Azim pula masih berjalan sambil mulutnya ditutup rapat.

            Allisya mengeluh. Adakah dia sedang rindukan Zaem sehinggakan dia dapat mendengar suara pemuda itu memanggil-manggil namanya? Tidak, tak mungkin! Mana mungkin Allisya merindui seseorang yang tidak memegang watak penting dalam kisah hidupnya itu.

            Allisya sedar, semakin dia mengenali Zaem, semakin jelas terlihat segala kebaikan yang ada pada jejaka itu. Namun hati dan perasaannya tidak boleh dipaksa. Nama Iskandar masih teguh di hati Allisya, walaupun pada hakikatnya Allisya tahu bahawa dia langsung tidak layak berdampingan dengan insan yang sangat sempurna itu. Meski pun begitu, dia akan tetap menunggu. Siapa tahu, keajaiban bisa sahaja berlaku.

            “Allisya…”

            Allisya mengeluh sekali lagi apabila suara lelaki bermata coklat muda itu masih sayup-sayup terngiang-ngiang di telinganya. Adakah cinta Zaem terhadap dirinya itu terlalu kuat dan tulus sehinggakan terbina satu jambatan lutsinar yang menghubungkan hati mereka berdua? Allisya ketawa secara tiba-tiba. ‘Macam cerita dongeng pula,’ getus hati kecil Allisya.

            Azim yang berjalan satu meter kehadapan kehairanan melihatkan perangai aneh gadis itu. Dibiarkannya sahaja Allisya bermain dengan perasaan sendiri.

            “Allisya!”

            Kali ini suara itu terasa bagai terlalu kuat pula. Allisya kehairanan, mengapa suara Zaem itu asyik mengganggu dirinya? Adakah wujud telepati dalaman di antara mereka berdua?

            “Allisya…” Azim baru sahaja membuka mulut apabila secara tiba-tiba dia ditempelak kata oleh Allisya, “diamlah!” Allisya menjerit dengan harapan suara Zaem yang mengganggunya itu akan keluar dari fikirannya.

            Azim terkejut dengan tindakan Allisya itu. ‘Kenapa pula dia marah aku bila aku panggil nama dia?’ Panas juga rasa hatinya apabila melihatkan sikap Allisya yang agak biadap terhadapnya itu.

            “Kamu ni kenapa?” Azim cuba menahan sabar. Mungkin sahaja Allisya terlalu letih sehingga tidak dapat mengawal perasaannya, lalu menjerit tanpa sedar.

            Allisya terkejut apabila ditegur oleh Azim. Barulah dia sedar rupanya suara terakhir yang didengarinya tadi adalah suara Azim, bukannya Zaem.

            “Saya minta maaf abang Azim. Saya tak sengaja. Saya asyik terdengar macam ada suara misteri memanggil-manggil nama saya. Sebab tu saya menjerit suruh diam.” Allisya tidak pasti adakah jawapannya itu mampu diterima Azim.

            “Itulah yang saya nak beri tahu kamu. Itu bukan suara misteri, tu suara Zaem. Dari tadi saya dengar datang dari dalam hutan sana.” Azim mengatur baris katanya dengan berhati-hati. Tak pasal-pasal menangis lagi pula budak perempuan yang dianggapnya cengeng itu.

            “Suara Zaem?” Allisya terkejut mendengarkan penjelasan Azim itu. 

            ‘Maksudnya bukan aku seorang sahaja yang mendengarkan suara Zaem itu?’ Allisya berasa lega kerana telah terbukti bahawa dia masih waras.

            “Allisya…” Suara Zaem itu sayup-sayup lagi kedengaran. Kedua-dua Azim dan Allisya menoleh ke arah punca datangnya suara Zaem itu. Kawasan tersebut dipenuhi dengan semak samun yang tebal.

            “Allisya…” Perlahan-lahan, bayangan Zaem muncul di hadapan mata Azim dan Allisya.

            Zaem berjalan terhuyung-hayang meredah belukar di hadapannya. Seluruh badan dan mukanya calar-balar dipenuhi dengan luka. Dia tidak lagi memakai baju hujannya tadi. Pakaiannya basah kuyup akibat ditimpa hujan yang masih belum henti.

            Zaem masih terus melangkah walaupun badannya sudah tidak bermaya lagi. Pandangan matanya sudah menjadi semakin kabur. Namun dia masih dapat melihat wajah istimewa itu. Zaem mengukirkan senyuman kegembiraan walaupun badannya sudah terlalu lemah. Dia bersyukur, setelah berjam-jam meredah hutan itu, akhirnya dia dapat melihat kembali wajah gadis tersebut. Paling menggembirakan hati Zaem adalah apabila melihat Allisya berada di sisi Azim, sahabat baiknya sendiri. Zaem bersyukur apabila mengetahui bahawa Allisya tidak keseorangan berada di dalam hutan ini. Malah Allisya dijaga dengan baik oleh orang yang paling dipercayainya. 

            Zaem berusaha sedaya-upaya menggunakan kudrat yang ada untuk terus melangkah ke arah insan kesayangannya itu, namun dia sudah tidak terdaya lagi. Kakinya menggigil. Zaem jatuh melutut ke tanah sebelum seluruh tubuhnya rebah menyembah bumi. Sisa-sisa tenaganya digunakan untuk meluahkan kata, “Allisya… syukurlah…” 

            Mata Zaem terpejam. Hanya suara jeritan Allisya sahaja yang dapat didengarinya sebelum dunianya menjadi kelam dan sunyi.

*                      *                      *

            Wad 7 Hospital Tengku Amirrudin itu sunyi sahaja. Di suatu sudut bilik, Zaem sedang terlantar baring di atas katil wad. Dia masih belum sedarkan diri. Duduk di tepi katil ialah seorang gadis kecil yang sedang menangis teresak-esak. Manakala berdiri di belakang gadis tersebut ialah tiga orang pemuda berusia awal 20an dan seorang gadis bercermin mata.

            “Is, Azim, aku balik dulu ya. Jaga diri. Tak lama lagi Zaem sedarlah tu.” Syafiq yang juga merupakan salah seorang MPP USAS meminta izin untuk mengundur diri. Pelajar-pelajar lain juga sudah lama pulang dari melawat Zaem. Mereka pulang dengan perasaan hampa kerana mereka telah menunggu lama, namun Zaem masih belum sedarkan diri. Walaubagaimana pun, doktor telah mengesahkan bahawa keadaan Zaem stabil, tiada luka major, cuma beberapa bahagian tulang dan sendinya sedikit terseliuh. Kini, badan Zaem dimasukkan dengan Sodium Klorida. Luka-luka di seluruh tubuhnya juga sudah dirawat. Namun mereka sedikit khuatir kerana Zaem diserang demam panas setelah berlari seharian dalam hujan lebat. Memandangkan Zaem dilahirkan di dalam keluarga elit, dia kurang terdedah dengan cuaca teruk, maka sistem imunisasinya juga agak lemah jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar lain. 

            “Baiklah Fiq. Terima kasih sebab sudi datang.” Iskandar menyambut tangan Syafiq untuk bersalam sebelum MPP muda itu melangkah pulang.

            Azim masih membisu berdiri di sebelah. Dia memandang wajah Zaem yang sedang kaku terlantar di atas katil. Azim tidak pernah melihat Zaem kelihatan tidak bermaya seperti ini. Selalunya Iskandar sahaja yang akan dikejarkan ke hospital kerana masalah kesihatan.

            Allisya masih menangis teresak-esak. Perasaan bersalah menguasai dirinya. Jika bukan kerana dirinya tersesat ke dalam hutan, Zaem mungkin tidak akan jadi begini. ‘Semuanya salah aku!’

            Raihana menggosok bahu Allisya. Dia faham perasaan yang ditanggung temannya itu. Mata Raihana juga sudah lama berair, namun ditahan juga perasaannya itu. Siapa dirinya untuk mengalirkan air mata demi Zaem? Allisya lainlah, dia istimewa di hati Zaem. Tidak hairan sekiranya air mata Allisya menitis kerana jejaka itu. Malah, Zaem jadi begitu pun kerana berkorban demi Allisya.

            Iskandar masih setia berdiri di belakang Allisya dan Raihana. Hatinya diserang rasa pilu, menyesal dan rasa bersalah yang teramat. Dia gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua dan seorang abang di kalangan mereka semua. Iskandar tidak menyangka, hatinya merasa sungguh sakit melihat Zaem yang terlantar di atas katil itu. Barulah Iskandar faham perasaan Azim dan Zaem yang selama ini melihat dirinya ditahan beberapa kali di wad hospital. Kerisauan yang dirasai mereka selama ini, kini turut dirasai Iskandar sendiri. 

            Jarum jam di dinding wad masih berdetik di setiap saat. Jari-jemari Zaem kelihatan mula bergerak-gerak.

            “Kalau Zaem berharap nak jumpa seseorang yang Zaem rindu, cuba Zaem pejamkan mata. Lepas tu cuba kira dari satu hingga sepuluh. Nanti orang tu akan muncul.” Datin Selmiah mengusik manja anak lelaki sulung kesayangannya yang sedang menangis merindukan dirinya itu. 

            “Betul ke mama?” Zaem yang masih berusia 10 tahun itu bertanya untuk mendapatkan kepastian.
            “Betul sayang.”

             Zaem tersengih. Matanya yang berwarna coklat muda itu kelihatan berkaca-kaca. Dia mula mengira satu persatu, “… lapan, sembilan… sepuluh!”

            Perlahan-lahan Zaem membuka kelopak matanya. Wajah Allisya berada betul-betul di hadapannya. Gadis itu sedang menahan esakan. Fikiran Zaem terasa kosong seperti orang yang baru sahaja bangun tidur.

            “Zaem!” Allisya segera bangun dari duduknya apabila melihat Zaem sudah mula sedarkan diri. Zaem terpinga-pinga. Otaknya cuba memproses kembali segala data-data yang ada. Sedikit demi sedkit, ingatan Zaem kembali mengingati peristiwa yang berlaku siang tadi.

            “Allisya tak apa-apa?” Zaem bertanya tanpa berlengah. Dia masih risaukan keadaan gadis itu.
            Allisya menggeleng. “Tak, saya tak apa-apa. Awak tu yang banyak cedera. Nasib baiklah abang Is, Pak Mat dan yang lain-lain tiba tak lama lepas awak pengsan. Kalau tak saya tak tahu apa yang akan terjadi pada awak.”

            Zaem mengalihkan pandangannya kepada Iskandar. “Terima kasih Is.”
            Iskandar membalas ucapan Zaem itu dengan senyuman yang semanis madu. Hati Zaem merasa tenang, kemudian dia mengalih pula pandangannya kepada Azim yang berada di sebelah Iskandar.

            “Azim, kau tak nak ucapkan terima kasih pada aku ke? Bersusah-payah aku meredah hutan tu dalam hujan tadi.” Zaem bersuara sambil memandang Azim.

            “Kau bukan datang sebab nak selamatkan aku pun.” Azim memerli. Zaem hanya tersengih mendengarkan perlian sahabatnya itu.

            “Sebab aku tau. Kau adalah orang yang paling tak perlu dirisaukan. Kau kan lagi kuat daripada aku.”
            Azim merengus mendengarkan jawapan Zaem. Dia tidak pasti adakah kenyataan Zaem itu adalah satu perlian atau pujian. Nasib baiklah Zaem sedang terlantar. Jika tidak, pasti dahi Zaem sudah lama menjadi mangsa jentikannya.

            Iskandar seperti biasa, tersenyum melihatkan kerenah kedua-dua sahabatnya itu. Dia menyampuk kata, “aku dah hubungi Dato dan Datin,  Zaem. Tak lama lagi mereka tibalah tu.” Zaem hanya mengangguk mendengarkan kata-kata Iskandar itu. Pandangannya menyapa wajah Raihana. Raihana mengukirkan senyuman. Kemudian Zaem kembali memandang wajah istimewa yang bertakhta di hatinya itu.

            “Allisya, syukurlah awak tak apa-apa.” Allisya menggeleng lantas membalas, “Zaem, kenapa awak bahayakan diri masuk ke dalam hutan waktu hujan lebat macam tu? Awak tak tahu ke bahaya?” Allisya masih tersedu-sedu.

            Zaem menggeleng, lalu menjawab, “hidup Zaem akan lebih bahaya kalau sesuatu terjadi pada Allisya.” Allisya terdiam mendengarkan jawapan Zaem itu.

            “Zaem, jangan berguraulah. Kenapa awak buat semua ni?”  

            “Kerana cinta,” Zaem menjawab ringkas. Namun memberikan impak yang besar kepada Raihana, Azim dan Iskandar yang turut mendengar, apatah lagi Allisya.

            “Zaem jangan jadi bodoh. Ini bukan cinta. Awak keliru dengan perasaan awak sendiri. Kitakan baru kenal.” Allisya menyakinkan Zaem. 

‘Doktor ada memberikan apa-apa ubat yang mengkhayalkan kepada Zaem ke?’ Allisya sedikit sangsi.

            “Tak Allisya. sewaktu kali pertama saya terserempak dengan awak, saya dah pun merasakan kelainannya. Awaklah satu-satunya perempuan yang pernah marah saya. Dalam hidup saya, belum pernah lagi ada perempuan yang berani meninggikan suara pada saya. Kebanyakannya hanya tahu mengambil hati saya, mengampu dan ada juga yang cuba berpura-pura sempurna di hadapan saya. Saya bosan hidup dijulang-julang macam tu. Mereka sukakan saya pun hanya kerana rupa dan pangkat. Tapi selepas saya berjumpa dengan awak Allisya, saya tahu awak bukan seperti golongan tu. Awak tidak berpura-pura, malah berani pula bersuara lantang dengan saya. Awak berbeza Allisya. Dari saat itu saya yakin, hati saya tak menipu.”

            Allisya kaku mendengarkan penjelasan Zaem. Dia tidak mampu berfikir apa-apa lagi. Allisya terlalu terkejut mendengarkan pengakuan berani Zaem itu.

            Raihana yang berada di sisi Allisya kelihatan lebih terkejut berbanding Allisya. Iskandar diam, namun hatinya bergolak dengan pelbagai rasa. Azim yang setia menemani mereka semua kini telah mengangkat kaki keluar dari wad tersebut. Wajahnya kosong dari sebarang emosi, namun segala perasaan di hatinya, hanya tuhan sahaja yang tahu.

            “Tapi saya tak pernah sukakan awak.” Entah mengapa, ringan sungguh lidah Allisya membuat pengakuan itu tanpa memikirkan hati dan perasaan insan yang hampir terkorban kerana ingin menyelamatkan nyawanya itu. Allisya mencuri pandang ke wajah tenang Iskandar. Kalaulah dia boleh menjadi seberani itu untuk meluahkan perasaannya kepada pemuda istimewa tersebut. Mungkinkah Allisya turut akan ditolak sepertimana dia menolak cinta Zaem?”

            “Tak apa, saya akan tetap setia menunggu. Saya tahu, waktu itu akan tiba juga. Waktu di mana awak juga akan jatuh cinta pada saya.” Zaem membalas kata dengan penuh berkeyakinan. Pandangan yang dilemparkannya kepada Allisya penuh pengharapan, lalu dia menyambung kata.

 “Kamu tahu Allisya, jika kita mencintai seseorang kerana dia pandai, itu bukan cinta tetapi rasa kagum. Jika kita mencintai seseorang itu kerana paras rupa pula, itu bukan cinta tetapi nafsu. Jika kita mencintai seseorang kerana takut melukai hatinya, itu juga bukan cinta tetapi rasa kasihan, dan jika kita mencintai kerana dia baik hati, itu bukan cinta tetapi rasa terhutang budi. Tetapi jika kita mencintai seseorang tanpa kita sendiri tahu apa sebab kita jatuh cinta, itulah cinta yang paling ikhlas dan bermakna. Cinta itu tidak bersyarat.”

Jantung Allisya merasa berdebar-debar. Zaem terhenti dari berkata-kata. Mukanya sudah pun menjadi merah padam. 

“Itulah yang sedang saya rasakan. Justeru, saya akan tetap menunggu, kerana saya tahu, nilai cinta itu terlalu mahal harganya, dan saya nak awak tahu Allisya bahawa awak adalah cinta itu.” Zaem  bersuara dengan penuh berkeyakinan walupun wajahnya sudah kemerah-merahan seperti kulit buah rambutan. Buat pertama kali dalam hidupnya, dia membuat pengakuan berani mati itu bukan sahaja di hadapan gadis idamannya, namun di hadapan teman-temannya yang lain juga. Dia lebih rela menahan malu daripada terkilan melihat hati Allisya dirampas oleh lelaki lain.

            Setiap insan yang hadir pada ketika itu, terdiam mendengarkan luahan hati Zaem. Tiada sesiapa pun yang dapat menyangkal keikhlasan Zaem melafazkan bait-bait indah tersebut. Mungkin benar kata-kata Zaem, cinta itu tidak bersyarat. 

Falsafah Zaem itu begitu dekat dengan hati Allisya, kerana selama ini Allisya juga menyakini bahawa cinta itu tidak terbatas kerana pandangan mata dan tidak juga terukur oleh waktu bersama. Cinta itu tidak bersyarat. Mungkinkah mereka sehati sejiwa? Namun usianya terlalu muda, bukan cinta yang dicarinya pada masa ini, apatah lagi cinta terhadap seorang lelaki. Allisya cuba melawan perasaannya. Dia mungkin berani menyimpan perasaan terhadap seseorang, tetapi dia tidak berani terjebak di alam percintaan. Sebagai seorang mahasiswi, hidupnya harus didedikasikan untuk menuntut ilmu.

Beberapa minit berlalu, semua yang hadir masih diam. Tidak berapa lama kemudian, mereka semua disapa oleh suara Dr. Ariffin, Dato’ Prof. Dr. Zainuddin dan isterinya, Datin Dr. Selmiah Ibrahim.

“Zaem anak mama, are you ok?” Datin Selmiah segera mendekati Zaem dan memegang pipi pengerang jantungnya itu. Muka Zaem merah sekali lagi, tetapi bukanlah kerana luahan hatinya tadi. Dia menahan rasa malu kerana dilayan manja sebegitu rupa di hadapan teman-temannya yang lain. Tercalarlah karismanya sebagai pemimpin utama USAS.

Zairin yang berjalan di belakang Datin Selmiah datang menyapa, lalu menumbuk lembut bahu Zaem, “ Buat malu je pengsan depan perempuan.” Zaem mencebik. Allisya hanya memerhati melihatkan kemesraan yang ditunjukkan di antara Zairin dan Zaem.

            “Kamu semua dah lama berada di sini?” Bapa Zaem mula bersuara. Gayanya saling tidak tumpah seperti Zaem. Berpakaian kemas, rambut putihnya disikat rapi dan lagak jalannya juga penuh bergaya. Memang tidak dapat disangkalkan lagi, Zaem mewarisi sifat Dato’ Zainuddin, penyelidik terkenal itu dan kulit yang cerah serta ciri-ciri genetik wajahnya diwarisi daripada ibunya. Namun yang menjadi persoalan utama adalah, daripada mana pula Zaem mewarisi retina yang berwarna resesif itu?

            “Tak lama juga Dato’, Zaem pun baru sedar.” Iskandar memberikan jawapan. Dato’ Zainuddin hanya mengangguk.

            “Tak adalah teruk sangat kamu ni. Papa ingatkan tadi ada yang patah, sampai papa dan mama terpaksa keluar awal mesyuarat tadi.”  Zaem hanya tersengih. Dia pun sendiri terkejut melihat bapanya sedang berdiri di hadapannya. Jarang sekali dia dapat bertemu  dengan bapanya itu walaupun pada hakikatnya Dato’ Zainuddin merupakan salah seorang ahli Senat USAS.

            “Kamu semua mesti dah penat. Pergilah berehat. Nanti saya hantarkan pulang.” Dr. Ariffin yang dari tadi hanya mendiamkan diri mula bersuara. Zaem mengangguk. Dia faham. Tambahan pula, Zaem pasti perlukan masa peribadinya untuk bersama keluarganya sendiri. 

            “Kalau macam tu, kami semua minta izin dulu ya Dato’dan Datin.”

            Mendengarkan sahaja kata-kata Iskandar itu, Allisya bangun dari duduknya, lalu melangkah keluar dari wad 7 itu. Raihana membelok ke tandas, manakala Allisya duduk di kerusi yang terletak di ruang legar hospital tersebut.

            Allisya duduk menongkat dagu menggunakan kedua-dua belah tangannya itu. Dia keletihan. Fikirannya pula berkecamuk memikirkan peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang hari ini. Disebabkan kebodohan dirinya, ramai yang menanggung kesan negatif. Sepanjang hari dia menyusahkan Azim, membuatkan Zaem tercedera, merisaukan Raihana dan membuatkan kepimpinan Iskandar diragui kerana dituduh tidak mampu menjaga keselamatan anak buahnya sendiri. Allisya mengeluh. Dia menyesal kerana telah banyak menyusahkan orang lain. ‘Semuanya salah aku!’

            Allisya memeluk tubuhnya kerana menahan rasa sejuk. Dia bersin untuk beberapa kali. ‘Aku demam ke?’ Allisya masih bermain dengan perasaannya sendiri apabila dia disapa oleh satu suara, “kopi panas?” Iskandar sedang berdiri di hadapan Allisya sambil menghulurkan satu cawan kertas yang berisi kopi panas. Wajahnya dihiasi dengan senyuman yang menyejukan hati. Allisya membalas senyuman Iskandar, lalu dia menyambut kopi tersebut dari tangan Iskandar.

             “Terima kasih.” 

            “Sama-sama. Boleh saya duduk sekali?” Iskandar bersuara mesra. Allisya mengangguk. Iskandar duduk di kerusi sebelah Allisya seraya mengucapkan kata terima kasih.

            “Abang Is, saya minta maaf sebab dah banyak menyusahkan abang.” Allisya menyusun kata memohon kemaafan dari insan istimewa itu. Iskandar menggeleng, lalu menjawab, “Abang yang sepatutnya minta maaf sebab tak dapat jaga keselamatan Allisya dan yang lain-lain dengan baik.” Allisya tersenyum tawar mendengarkan pujukan Iskandar. Iskandar memang seorang yang sangat baik.

            Perlahan-lahan Allisya menghirup air kopi panas dari cawan yang sedang dipegangnya. Tangan dan bibirnya masih menggigil-gigil kerana menahan kesejukan penghawa dingin hospital. Iskandar memandang Allisya, lalu dia bersuara semula.

            “Abang rasa macam panaslah pakai blazer ni sepanjang hari. Boleh tak Allisya tolong pakaikan blazer ni sekejap sementara abang buang haba dari badan?”

            Allisya memandang Iskandar yang sudah pun menanggalkan blazer rasminya itu. Dia terdiam seketika apabila melihat Iskandar menghulurkan blazer tersebut kepadanya. 

            “Boleh?” Iskandar membalas pandangan Allisya itu dengan senyuman.

            Allisya sedikit terpinga-pinga, namun dia segera mengangguk. Allisya meletakkan cawan kopinya di atas tempat duduk kosong di sebelah kanannya. Kemudian dia mengambil blazer milik Iskandar itu lalu meyarungkan ke badannya sendiri. Iskandar hanya tersenyum.

            Allisya membalas semula senyuman Iskandar. Senyuman yang sentiasa membuat hatinya merasa bahagia.
“Abang Is…”
Dia sentiasa ada, menemani Allisya di saat dirinya amat memerlukan. Allisya selesa berada di sisi panglimanya itu.

Cinta itu tidak bersyarat


Nani NA