Sunday 4 September 2011

BAB 19: CINTA ATAU PERSAHABATAN?



            Jarum saat jam bergerak tanpa henti membuat putaran 360 darjah pada setiap minit. Malam yang hening itu terasa dingin, menggigit tulang tangan Zaem. Dia sedang memakai baju tidur berlengan panjang dan bercorak belang-belang. Lengan bajunya dilipat hingga ke siku, mungkin kerana itulah lengannya terasa sejuk dimamah angin malam. Zaem sedang berdiri bersandar pada pagar besi yang menjadi penghadang di bahagian anjung bilik kediaman utama MPP USAS itu. Matanya sedang memandang tepat ke langit seolah-olah dia sedang sibuk mengira bintang-bintang yang sedang berkerdipan di angkasaraya. Dia tidak pernah merasa sepertimana yang sedang dirasainya kini. Agaknya beginilah perasaannya menjadi orang yang sedang dilamun cinta, angau tidak kira tempat dan masa.

            Seekor kucing datang bergesel-gesel di kaki Zaem. Zaem mengalihkan pandangannya kepada haiwan tersebut. Tangannya menggosok-gosok dan membelai kucing yang berwarna putih dan bertompok-tompok hitam itu. Kucing tersebut adalah haiwan peliharaan ketiga-tiga Panglima USAS itu, mereka menggelarkannya sebagai ‘Gonzales’. Nama yang dianggap romantis dan bergaya itu diberikan sendiri oleh Zaem.

            Zaem melangkah masuk ke dalam biliknya semula. Azim sedang duduk di meja besar yang terletak di tengah-tengah bilik mereka. Dia kelihatan sedang sibuk mengira dan melukis sesuatu di atas kertas yang terletak di atas meja tersebut. Zaem tidak mengerti apa yang sedang Azim spesifiknya buat. Namun apa yang pasti, itulah di antara kerja yang selalu dilakukan oleh teman sebiliknya itu ketika dia berada di bilik selain dari tidur. Azim merupakan pelajar Kejuruteraan Proses Petrokimia dan dia merupakan pelajar yang ditaja oleh sebuah syarikat besar di Malaysia. Zaem yakin, kerja kursusnya itu pasti ada kaitan dengan program pengajian yang di ambilnya.

            “Azim, kau nak aku tolong lukiskan untuk kau ke? Kau nak aku lukis gambar apa pula hari ni? Arnab atau kura-kura?” Zaem menegur untuk bercanda.

            “Kalau kau tak nak peristiwa minggu lepas berulang, kau sentuhlah lagi kerja aku.” Suara Azim perlahan, namun kuat dengan ugutan. Zaem tersengih mendengarkan jawapan Azim itu, lalu dia terus melangkah ke arah katil Iskandar pula. 

Iskandar kelihatan sedang termenung memandang isi kotak lama yang sedang dipegangnya. Azim hanya memandang dari jauh. Dari tadi Azim melihat Iskandar termenung sahaja memandang cermin mata lama yang telah pecah itu. Azim tahu akan sejarah cermin mata tersebut. Iskandar pernah menceritakan kepadanya ketika zaman persekolahan dahulu bahawa cermin mata itu telah dipijak oleh seorang budak perempuan kecil yang ditemui Iskandar sewaktu ditahan di wad hospital. Menurut Iskandar, dia tidak pernah berhenti menangis setelah mendengarkan berita pemergian kedua orang tuanya, namun atas takdir Illahi, pertemuannya dengan budak perempuan itu telah menghentikan  air matanya dan membuatkan dia tersenyum semula.

Iskandar terlalu kecil untuk memahami perasaannya pada ketika itu, namun dia sering menyatakannya pada Azim dan Zaem, betapa istimewanya kehadiran budak perempuan itu dalam hidupnya walaupun hanya untuk seketika. Kehadiran budak perempuan misteri itu bagaikan anugerah yang datang dalam hidup Iskandar ketika hidupnya kelam dari segala harapan dan rasa sayang.

“Is, kenapa sejak akhir-akhir ni kau selalu termenung tengok cermin mata lama kau tu?” Zaem menyapa Iskandar tanpa memberi salam.

            Iskandar sedikit tersentak, namun dia bijak mengawal reaksinya. Iskandar seorang yang bijak bukan sahaja dalam mengawal emosi, malah dalam mengawal tingkah lakunya, dan kerana itulah dia kelihatan tenang pada setiap saat.

            Iskandar tidak menjawab soalan Zaem, dia sekadar melemparkan senyuman mesra. Zaem duduk di sebelah Iskandar, lalu bertanya, “kau dah jumpa ke gadis misteri tu? Is, kalau kau dah jumpa dia, jangan sesekali lepaskan dia. Jangan biarkan dia pergi sekali lagi dari hidup kau. Kalau betul engkau menganggap gadis yang memberikan semangat baru dalam hidup kau itu adalah anugerah tuhan, hargailah dia.”

            Azim mengangkat kepalanya apabila mendengar luahan kata Zaem itu. Zaem turut menambah, “Aku tahu kau tak pernah bercinta mahupun jatuh cinta. Tapi aku selalu ingat pada kata-kata kau Is. Kau pernah kata, jika ditakdirkan engkau jatuh cinta dan dicintai, kau berharap yang cinta engkau itu adalah gadis istimewa ini. Kau berharap kasih kau dapat dicurahkan kepada gadis yang menjadi sinar dalam hidup kau nikan? Is, cinta pandang pertama mungkin sukar untuk diterima akal. Tetapi percayalah, ia wujud. Aku mula memahaminya sebaik aku menemui Allisya.” kata-kata Zaem itu seperti sedang menggoncang hati Iskandar.

“Is, aku tak pasti macam mana aku nak tolong kau, tapi aku akan sentiasa berada di sisi kau demi mencari cinta sejati kau tu Is.” Zaem menepuk-nepuk bahu Iskandar.  Dia sangat mengerti, Iskandar seorang yang setia. Tidak pernah sekali pun dia mendengar Iskandar bercerita tentang gadis lain kecuali budak perempuan misteri yang pernah muncul dalam hidupnya itu.

            Senyuman Iskandar yang dari tadinya bergula, kini bertukar tawar. Bibirnya terasa kekok untuk tersenyum kembali kepada Zaem. Bagaimana harus dia nyatakan pada Zaem bahawa gadis istimewa dalam hidupnya itu juga merupakan gadis istimewa dalam hidup Zaem sendiri?

            Gadis yang selalu Iskandar hadirkan dalam doanya itu adalah gadis yang sama Zaem harapkan menjadi miliknya. Pada saat itulah Iskandar mula sedar, dia harus memilih di antara cinta dan persahabatan.

*                                              *                                              *

            “Allisya! Iskandar.. Abang Iskandar…” Raihana kelihatan sukar untuk melafazkan kata-katanya. Bagai ada duri berbisa tersangkut di tekaknya.

            Allisya memandang wajah pucat Raihana, dia bagai dapat menjangka apa yang ingin disampaikan oleh teman sebiliknya itu. Allisya jatuh terduduk.

            “Tadi Kak Ain telefon…dia kata…dia kata Abang Iskandar terlibat dalam kemalangan. Kapal terbang yang dinaikinya terhempas sebaik berlepas. Abang Iskandar dah…dah…dah tak ada lagi!”

            Allisya menjerit setelah mendengar berita yang disampaikan Raihana.

            “TAK! TAK MUNGKIN!” Air mata gadis itu berguguran di pipinya. Dia menarik-narik baju Raihana, mengharapkan Raihana menarik semula kata-katanya.

            “Tak Raihana, tak mungkin! Abang Is tak mungkin pergi. TIDAK!” Allisya menjerit bagaikan orang gila. Dia tidak dapat menerima hakikat bahawa insan istimewa dalam hidupnya itu telah pergi. Insan yang telah membuatnya tersenyum di kala dia sedang menangis. Insan itulah juga yang telah hadir dalam hidupnya sepuluh tahun dahulu memberikannya harapan baru. Allisya tahu, budak lelaki cengkung bercermin mata itu adalah Iskandar. Tetapi mengapa? Mengapa insan istimewa itu pergi ketika Allisya baru sahaja menemuinya semula? Kenapa dia terpaksa berpisah sebaik bertemu dengannya?

            Allisya menangis teresak-esak. Hari ini dia menangis lagi, namun tiada lagi sapu tangan putih yang selalu dihulurkan oleh Iskandar, tiada lagi orang yang akan tersenyum kepadanya untuk menghentikan air matanya yang sedang mengalir.

            “Kenapa Raihana? Kenapa mesti lelaki sebaik Abang Is pergi begitu awal?”

            “Allisya, mungkin ini semua memang dah takdir-Nya. Abang Iskandar memang sangat baik, mungkin kerana itulah tuhan lebih menyayanginya. Redhalah Allisya, redha kepada ketentuan-Nya. Mungkin sampai di sini sahaja jodoh Allisya dengan Abang Iskandar.” Suara Raihana bernada sayu. Dia tidak mampu lagi memujuk hati kawan baiknya itu.

            Allisya menggeleng, lalu meraung sekuat hati hatinya. Memang beginikah rasa sakitnya kehilangan? Beginikah rasanya apabila dia terpaksa melepaskan insan yang dicintai pergi?

            Pandangan gadis itu menjadi kabur dan kelam. Bayangan wajah Raihana hilang daripada penglihatannya.

            “Sya, Sya tak apa-apa?” Suara Raihana menyapa ke telinga gadis kecil itu.

            Allisya tersentak, dia yang sedang duduk di atas sejadah birunya menoleh ke arah Raihana. “Sya masih teringatkan mimpi tadi?” Raihana bertanya lagi.

            Allisya meraup wajahnya. Dia beristighfar beberapa kali. Allisya baru sahaja mengalami mimpi buruk tengah malam tadi. Itulah mimpi paling buruk yang pernah di alaminya sejak sepuluh tahun yang lalu. Semenjak dia melihatkan senyuman manis Iskandar, jarang sekali mimpi buruk bertandang dalam tidurnya. Kali ini mimpi ngeri kembali menyerang hidupnya. Namun mimpinya itu terlalu berat untuk diterima mindanya. Allisya hilang separuh dari semangat yang ada dalam dirinya tiap kali dia cuba mengingati mimpi berkenaan kematian Iskandar itu. Allisya tidak pasti adakah mimpi itu adalah satu petanda buruk atau pun sekadar usikan Syaitan. Walaubagaimana pun, Allisya bersyukur kerana itu semua hanyalah mimpi.

            “Allisya jangan banyak fikir ya. Rai nak ke bilik Kak Mai dengan Kak Nik sekejap. Kalau Sya perlukan teman berbual atau luahkan rasa, mesej Rai tau. Nanti Rai balik bilik.”

            Allisya mengangguk lemah. Wajahnya pudar tanpa senyuman. Raihana bangun dan meninggalkan Allisya seorang diri. Dia faham, Allisya perlukan waktu untuk bersendiri.

            Allisya merenung hamparan sejadah birunya. Semakin ditenung, semakin matanya berair, dibasahi dengan titisan duka. Penglihatan matanya kabur kerana dilitupi air mata. Entah mengapa, hatinya masih pilu mengingati mimpi tadi. Hati Allisya kuat mengatakan bahawa dirinya hampir hilang kawalan terhadap rasa cintanya kepada Iskandar. Dia takut untuk menerima kenyataan bahawa dia telah benar-benar jatuh cinta. Tetapi Allisya berasa takut. Dia takut perasaannya itu akan membunuh dirinya.

            Allisya tahu, Iskandar terlalu baik dan terlalu sempurna untuk didekati dan dicintai oleh gadis biasa sepertinya. Iskandar ibarat matahari, menyinari hidup seluruh makhluk di muka bumi ini, dan Allisya hanyalah rumput kecil yang hanya mampu hidup melata di atas tanah. Biarpun setinggi mana dia tumbuh, tak mungkin jarinya mampu mengapai mentari itu. Semakin dia cuba mendekati, dia hanya akan terbakar dengan perasaan cintanya sendiri.

            Perlahan-lahan, ingatan Allisya kembali kepada peristiwa semalam. Selepas dia bertemu dengan Iskandar di bukit belakang kolejnya, Allisya duduk berbual dengan Raihana. Hati Allisya terasa sakit apabila mendengarkan kisah yang disampaikan Raihana, “Sya, tadi Rai terdengar perbualan telefon Kak Mai dengan Abang Iskandar. Rai rasa Kak Mai dengan Abang Iskandar macam ada hubungan mesralah, tapi Rai tak pasti.”

            Sejak malam tadilah, Allisya mula sedar, dia hanya menyemai mimpi di alam fantasi. Mengharap cinta kepada insan yang tidak mungkin menjadi miliknya. ‘Kak Mai orangnya manis dan baik. Mana-mana lelaki pun akan terpikat dengan kelembutannya. Mungkinkah Kak Mai benar-benar adalah kekasih hati Abang Is?’ 
 
            Allisya tahu, dia tidak layak menyintai Iskandar, apatah lagi menyedari Iskandar juga tidak pernah mencintai dirinya. Sakit, perasaan itu terasa sungguh sakit untuk ditanggung hati kecilnya. Cinta yang bertepuk sebelah tangan, terasa lebih sakit dari yang disangkakan olehnya. 

            Titisan air mata sudah pun kembali membasahi pipi Allisya. Mengenang kembali mimpinya sebentar tadi, Allisya berasa takut untuk memikirkan kebarangkalian yang mungkin terjadi. Mungkinkah Iskandar akan pergi dari hidupnya tanpa pernah mengetahui isi hatinya itu? Tanpa mengetahui cinta yang terpendam ini?

            Allisya tidak pernah merasa dan memahami erti kehilangan kerana dia tidak pernah melihat insan yang disayanginya pergi di hadapan matanya sendiri. Ibu bapa Allisya pergi sebelum dia sempat membuka mata, namun cinta mereka sentiasa mekar di hati Allisya. Tetapi mengapa, cinta Iskandar yang tidak pernah disemai, kini tanpa dia sedari telah pun berakar di hatinya. Adakah cinta itu akan terus tumbuh dan berkembang walau tanpa dibajai kasih yang dicurahkan sendiri oleh Iskandar?

            Apakan daya, cintanya itu tumbuh di taman larangan. Dia tidak sepatutnya jatuh cinta terhadap insan yang tidak pernah mencintainya, apatah lagi terhadap lelaki sesempurna Iskandar. Mimpi itu telah menyedarkan Allisya, jika tidak sekarang, bila lagi dia akan berpeluang menemui jawapan? Haruskah dia terus menanti sehingga tuhan memisahkan mereka?

            “Ya’ Allah, ya tuhanku, mengapa hatiku ini terasa sakit walau tidak pernah dirobek? Mengapa jantungku merasa derita walau tidak pernah dilukai sesiapa? Berikanlah kekuatan kepadaku ya Allah, agar aku tidak lemah menghadapi dugaan-Mu.” Allisya menundukkan wajahnya.

“Ya’Allah, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Engkau hadirkan insan yang begitu rendah diri dan pemurah hatinya untuk membantu insan selemahku. Bukan sekali, tetapi berulang-ulang kali, dia muncul saatku berduka. Melemparkan senyumannya sehingga hatiku terpesona. Kutahu, dia memiliki segala-galanya, tetapi aku tidak memiliki satu pun yang dimilikinya. Aku hanya gadis biasa yang tidak mungkin layak mendampingi insan sebaik dirinya.” 

Allisya diam seketika. Tangannya masih ditadah tinggi. Dia ingin merayu, tetapi dia merasa malu. Dia malu menjadi penagih cinta, sedangkan dia tahu cinta itu hak mutlak buat yang Maha Pencipta. Namun, hanya kepada yang Maha Esa sahajalah yang mampu diadukannya atas segala rasa yang terbuku di hati ini, atas segala keperitan yang ditanggung di hatinya.

“Ya tuhanku Ar-Rahman, hanya Engkaulah tempatku mengadu, tempatku bermohon segala hajat, dan tempatku merayu segala nikmat. Berikanlah aku kekuatan agar tidak rapuh dengan cinta dunia, agar tidak terjebak dengan cinta palsu berlandaskan nafsu semata-mata. Ya’ Allah, tuhan yang mengasihi seluruh alam, aku bermohon kepadamu, sekiranya Izzat Iskandar bin Ismail itu adalah jodohku, Engkau dekatkanlah hatinya agar mencintaiku. Namun sekiranya lelaki itu bukanlah jodoh yang terbaik buatku, Engkau jauhkanlah hatiku daripada terus hanyut mencintainya. Sesungguhkan Engkau Maha Mengetahui, Maha Penentu segala takdir. Sekiranya dia takdirku, suluhkanlah jalan itu untukku. Agar aku tidak sesat dari cinta yang hadir dari pujukan syaitan. Kutahu ya tuhanku, tuhan Maha Pencipta, dia bukan milikku kerana dia adalah milik mutlak-Mu. Aku takut akan kehilangannya, namun aku redha atas segala takdir dan ketentuan-Mu. Sesungguhnya takdir-Mu adalah yang terbaik buatku. Biarlah cinta yang hadir dalam hatiku ini adalah cinta kerana-Mu ya Illahi. Sesungguhnya cinta-Mu adalah cinta yang hakiki. Amin ya Rabbal Alamin. ”

Allisya meraup wajahnya. Hatinya merasa tenang setelah mengadu kepada penciptanya. Kini dia hanya mampu berserah. Berserah kepada takdir, dan jodoh yang telah ditetapkan tuhan.

*                                  *                                  *

            Matahari pagi sudah pun semakin meninggi. Iskandar sedang berjalan menuju ke perhentian bas untuk berkumpul bersama pelajar perubatan lain yang turut terpilih sebelum bertolak ke Australia. Dia berjalan dengan tenang, langkahnya disusun dengan baik. Wajahnya tunduk ke tanah menandakan kerendahan hatinya. Entah mengapa, hati Iskandar terasa berdebar-debar tanpa ada asbab yang munasabah. Iskandar terus melangkah walaupun hatinya terasa berat sekali untuk pergi. Mungkin dia berasa berat untuk meninggalkan kawasan kampus kesayangannya itu, atau mungkin ada perkara lain yang menahan hatinya dari terus melangkah pergi.

            “Iskandar.”

 Iskandar segera menoleh sebaik mendengar namanya dipanggil lembut.

“Oh, Maizatul. Tak ada kelas ke pagi ni?” Iskandar tetap mengukirkan senyuman walaupun gadis itu bukanlah insan yang diharapkannya untuk muncul di depan mata.

“Ada, cuma Mai datang ni nak ucapkan selamat jalan kepada Is. Ni Mai ada kaitkan sarung tangan untuk Is. Sekarang ni tengah musim luruh di sana. Musim luruh pun sejuk, Is pakailah sarung tangan ni bila keluar.”

Iskandar terpinga-pinga melihatkan hadiah yang sedang dihulurkan oleh Maizatul itu. 

“Is tak sudi ke terima hadiah Mai ni?”

“Bukan macam tu. Terima kasih ya, Maizatul. Saya tahu mengait ni bukan mudah. Maaflah sebab susahkan Mai.” Iskandar segera menyambut pemberian tersebut. Itulah kelemahan Iskandar, dia tidak mampu mengatakan ‘tidak’ pada sesiapa pun. Dia tidak sanggup mengecilkan hati sesiapa sehinggakan dia sendiri tidak sedar bahawa dia telah menyemai begitu banyak harapan ‘palsu’ dalam hati kebanyakan gadis-gadis.

“Tak susah mana pun. Lagi pun Mai dah siapkan dari dulu. Is, jaga diri ya. Jaga kesihatan diri sepanjang berada di sana.”

“Terima kasih ya Maizatul. Maaflah saya tak dapat bincangkan lebih lanjut tentang perancangan aktiviti kelab kita tu. Tetapi, perkara-perkara yang penting semuanya saya dah beritahu dalam panggilan semalam.”

            “Tak apa, Mai tahu macam mana nak menguruskannya. Yang penting, Is kembali dengan selamat untuk melawat semula haiwan-haiwan kesayangan yang ada dalam kelab kita tu ya.”

            Iskandar tersenyum mendengarkan ucapan gadis tersebut. Dia meminta izin  untuk meneruskan perjalanannya. Perpisahan mereka diakhiri dengan salam. Iskandar masih perlahan melangkah. Dia seolah-olah sedang menantikan seseorang untuk datang bertemu dengannya sebelum dia melangkah pergi.

            Pada waktu yang sama, seorang gadis kecil bertudung putih sedang berlari sepantas yang termampu olehnya. Peluh bercucuran di dahinya. Tangan kanannya sedang erat memegang sehelai daun kering yang siap ditulis dengan dua baris ayat.

            ‘Selamat jalan Abang Is. Allisya akan sentiasa menanti kepulangan abang di sini sepertimana Allisya nantikan selama 10 tahun ini.’

            Allisya melangkah dan terus melangkah tanpa henti. Dia ingin sangat memberitahu Iskandar bahawa dia telah menantikan pemuda itu buat sekian lamanya walau tanpa dia sedari. Dia ingin Iskandar tahu, betapa pentingnya kehadiran pemuda itu dalam hidupnya. Walaupun Iskandar tidak pernah mengakuinya, tetapi hati Allisya kuat mengatakan bahawa Iskandar ialah budak lelaki yang pernah ditemuinya sepuluh tahun dahulu. 

            Allisya percaya kepada takdir tuhan. Mungkin inilah saatnya dia mendapatkan jawapan daripada panglima hatinya itu. Hari ini, Allisya akan sampaikan mesej yang dituliskan di atas daun kering itu kepada pemuda idamannya. Sekiranya benar Iskandar adalah takdirnya, daun itu pasti akan sampai ke tangan pemuda tersebut.

            ‘Jika dia adalah jodohku, Engkau dekatkanlah hatinya padaku, dan jika dia bukan jodoh yang terbaik buatku, Engkau jauhkanlah hatiku dari terus mencintainya.’

            Allisya melangkah melawan tiupan angin. Di kejauhan, dia terlihat Maizatul sedang melangkah menuju ke arahnya. Maizatul muncul dari balik sebuah bangunan berwarna biru. Maizatul terpandang Allisya, lalu menegurnya, “Allisya, buat apa di sini pagi-pagi ni? Kamu bukan ada kelas Mikrobiologi ke pagi ni? Dah lewat ni.” Maizatul melihat jam di tangannya.

            Allisya terhenti dari terus melangkah. Buat seketika, fikirannya kosong dari sebarang jawapan.

            “Sudah. Jom kita balik ke fakulti kita.” Maizatul menarik lengan Allisya lalu membawanya menuju ke arah yang bertentangan daripada tempat yang hendak dituju oleh Allisya.

            “Abang Is…”

            Ketika itu hati Allisya ingin sekali melawan ajakan Maizatul itu dan menyatakan padanya bahawa dia ingin berjumpa dengan Iskandar sebelum pemuda itu berangkat pergi. Namun mengenangkan kembali kisah yang disampaikan Raihana tentang hubungan mesra di antara Kak Mai dan Abang Is, Allisya tidak sanggup mengguris hati seniornya itu yang mungkin juga merupakan teman istimewa Iskandar.  

            “Is? Kenapa dengan Iskandar, Sya?” Maizatul bertanya kehairanan.
            “Tak ada apa-apa kak.” Allisya menjawab dengan berat hati.

            “Kak Mai, Abang Is…Abang Iskandar dah bertolak?” 

            Maizatul terdiam mendengarkan soalan yang diajukan oleh Allisya itu, namun kemudian dia menjawab, “rasanya sudah. Tak payahlah risau, kalau ada apa-apa yang berkaitan dengan kelab haiwan kesayangan tu boleh adukan pada akak. Iskandar tu minggu depan baliklah.”

            Allisya ditarik semula oleh Maizatul. Tarikan Maizatul tidaklah sekuat mana, lembut sahaja. Namun, Allisya tetap akur mengikut kata Maizatul. Walaubagaimana pun, Allisya cuba menoleh beberapa kali ke belakang untuk memandang ke arah bangunan biru itu. Bangunan biru tersebut terletak tidak jauh daripadanya, hanya beberapa meter sahaja lagi. Dia ingin sangat mengintai di balik bangunan besar itu. Entah mengapa, hatinya kuat merasakan Iskandar sedang menantikannya di balik bangunan biru tersebut.

            ‘Tak, tak mungkin abang Is sedang menantikan aku.’ Allisya akur pada takdirnya. Mungkin sudah bukan jodohnya untuk bertemu dengan lelaki itu. Allisya hanya mengikut sahaja desakan Maizatul untuk pulang ke fakulti. Daun kering yang sedang dipegangnya terlepas, lalu terbang ditiup angin.

            “Abang Is…”

            Iskandar tersentak. Dia yang sedang berjalan itu terhenti dari terus melangkah. Iskandar memandang ke kiri dan kanannya. Tiada sesiapa pun yang berada berdekatan dengannya. Di sebelah kirinya cuma ada sebuah bangunan biru yang besar, juga merupakan pejabat fakulti perubatan. Entah kenapa, dia seolah-olah dapat mendengar suara seseorang sedang memanggil namanya. Namun tiada pula bayangan manusia di sekitarnya.
            Iskandar terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Semakin Iskandar melangkah, semakin kuat pula hatinya mendesak untuk terus berdiri di tempat yang sama. Namun masa mencemburuinya dan dia tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk menantikan sesiapa lagi. Dia sudah pun mengucapkan selamat tinggal kepada Azim dan Zaem di bilik tadi, tetapi mengapa pula hatinya masih terasa berat untuk pergi?

            Pada saat itu, atas takdir Illahi, daun kering yang terlepas dari tangan Allisya perlahan-lahan terbang melepasi bangunan besar biru itu. Menari-nari mengikut hembusan angin pagi, daun itu jatuh di atas tangan seorang pemuda yang juga merupakan panglima USAS.

            Azim merenung daun yang tiba-tiba berlabuh di atas tangannya itu. Matanya kaku memandang baris ayat yang dikarang khas Allisya buat Iskandar. Azim mengangkat pandangan, melihat Iskandar yang sedang melangkah meninggalkan kawasan fakulti itu. Iskandar masih melangkah, dia langsung tidak menyedari kehadiran Azim di belakangnya.

            Iskandar masih belum melangkah jauh dari tempat Azim berdiri, namun Azim sendiri tidak mengerti mengapa dia enggan memanggil nama kawannya itu dan menyampaikan daun kering tersebut kepada Iskandar. Mulutnya terasa berat untuk memanggil nama Iskandar. Daun kering tadi masih statik berada di telapak tangannya. Azim merenung Iskandar yang kelihatan berat melangkah. 

             ‘Jadi budak perempuan yang Is nantikan selama ini ialah Allisya?’

            Azim memandang kembali mesej yang dituliskan di atas daun kering tersebut, kemudian dia mengalihkan pula pandangannya kepada Iskandar yang sedang melangkah pergi. Dia boleh sahaja memanggil Iskandar untuk menyampaikan daun tersebut kepada kawan baiknya itu, namun hatinya enggan untuk berbuat demikian. Malah, bagai ada satu suara bisikan yang menembusi fikirannya. 

            ‘Iskandar atau Allisya?’

Azim mengeluh. ‘Kenapa? Kenapa mesti gadis itu Allisya?’

            Iskandar terus berlalu pergi, lalu menaiki bas rasmi USAS untuk bertolak pergi ke lapangan terbang. Dia bertolak tanpa mengetahui, ada hati yang sedang meruntun untuk menemuinya.

No comments:

Post a Comment