Tuesday 4 October 2011

BAB 27: KELIRU



            “Betul Zim kau tak nak balik rumah kau? Sekarang nikan cuti sem, kuliah pun tak ada.” Ujar Iskandar kepada Azim. Mereka sedang berjalan seiringan menuju ke perhentian bas berdekatan. Sejak Azim kecelakaan, dia tidak lagi menunggang motorsikalnya dan Iskandar juga tidak berbasikal semata-mata untuk menemani Azim menaiki bas. Mereka baru sahaja pulang daripada perpustakaan USAS. Azim bukanlah jenis ulat buku yang suka melekat di perpustakaan seperti Iskandar,  namun kerana ajakan sahabatnya itu, Azim akur mengikut sekali. Itu lebih baik daripada duduk kebosanan seorang diri di bilik.

            “Dekat mana-mana pun sama Is. Otot dengan tulang bahu aku ni tetap boleh sembuh. Lagi pun berapa kali aku nak beri tahu, bukan patah pun, cuma retak je.” Seperti biasa, Azim bersifat defensif, degil menerima nasihat walaupun daripada Iskandar. Tambahan pula, dia mempunyai sebab kukuhnya sendiri mengapa dia tidak pulang berehat di rumah. Selama ini dia tidak pernah balik bercuti kerana terlalu sibuk dengan latihan dan perlawanan bolanya. Di samping itu, dia sengaja memilih untuk duduk di kolej semata-mata demi untuk menemani Iskandar di kolej.

            Iskandar hanya tersenyum mendengarkan jawapan Azim. Dia faham benar sifat sahabatnya itu, Azim memang tidak suka duduk di rumah. Seketika, pandangan mata Iskandar terpandang buku nota yang sedang dipegang Azim di tangan kirinya. Iskandar terkejut melihat sehelai daun kering kelihatan diselitkan pada halaman muka surat dalam buku  tersebut. 

            ‘Bila masa pula Azim tanda buku guna daun kering juga?’ Sengaja Iskandar biarkan persoalan itu bermain di mindanya sahaja. Baginya tak salah jika Azim juga membiasakan diri menandakan buku mengggunakan daun kering. Bukankah itu lebih bersifat mesra kepada alam sekitar? Iskandar bukan sahaja seorang pencinta haiwan, malah juga seorang bakal doktor yang mencintai alam. Namun dalam Iskandar bertanya-tanya di dalam hati, tidak sedikit pun dia sangsi dan mengetahui bahawa daun kering yang digunakan Azim sebagai penanda buku itu sebenarnya adalah daun kering yang dilayangkan Allisya untuk Iskandar. Sayangnya, daun itu tidak sampai ke tangan Iskandar, sebaliknya berlabuh ke tangan Azim. Sesungguhnya manusia tidak akan mengerti rahsia disebalik takdir yang telah ditentukan Illahi.

            “Bila lagi temu janji kau dengan pakar ortopedik tu Zim?” Iskandar lantas bertanya apabila pandangan matanya beralih pula ke bahu Azim yang sedang berbalut itu.

            “ Bulan depan.” Ringkas sahaja jawapan yang diberikan Azim. Azim berjalan sambil tangan kirinya memegang erat buku notanya. Bahu kanannya masih berbalut. Tulang dan ototnya yang tercedera masih dalam proses penyembuhan.

            Iskandar tersenyum sahaja mendengar jawapan pendek rakannya itu. Berbeza dengan Azim, Iskandar tidak menang tangan memeluk buku-buku rujukan yang baru sahaja dipinjam daripada perpustakaan. Ada di antaranya baru sahaja dipinjam, sebahagiannya pula sengaja dibawa untuk dijadikan rujukan dan memperbaruhi tempoh pinjaman. 

            “Is,” Azim bersuara semula. Iskandar menoleh. Dia sedikit hairan mendengarkan nada suara Azim yang telah berubah. 

            “Zaem…” Kata-kata Azim terhenti di situ. Azim sedikit teragak-agak untuk membuka kembali kisah yang hampir berkudis di hatinya itu. Marahnya terhadap Zaem masih belum hilang lagi.

            “Entahlah Azim, aku pun tak faham masalah Zaem tu. Sampai sekarang dia tak menjengah pun bilik kita lagi. Tapi hairannya, aku selalu juga nampak dia di kawasan kampus ni walaupun tengah cuti.” Iskandar menjawab walaupun Azim tidak mengemukakan sebarang soalan.

            “Hari tu aku nampak dia dengan Fazura. Sejak bila entah dia rapat macam tu sekali dengan Faz.” Azim mula melafazkan apa yang terpendam di hatinya. Dia tidak pasti samada Iskandar tahu tentang perkara tersebut.
            “Aku tahu Zim, aku tahu Zaem sekarang ni semakin rapat dengan Fazura.” Iskandar seolah-olah boleh membaca apa yang difikirkan Azim.

            “Aku tak tahu, apa kena dengan Zaem tu. Dulu dia kata dia tak nak beri harapan palsu pada Fazura, tapi sekarang? Entah apa niat dia rapat dengan Fazura. Hari tu dia dah malukan Allisya waktu Malam Kebudayaan USAS, lepas tu dia sakitkan hati Allisya. Kalau aku dapat dia, memang makan penumbuk juga budak tu!” Azim mendengus memperlihatkan kemarahan hatinya. Entah sejak bila, mendengarkan nama Zaem membuatkan hatinya panas dibakar api kemarahan.

            “Jujurnya, aku sendiri pun tak faham. Aku rasa tak perlulah kita bincangkan perkara tu lagi, mungkin Zaem ada alasan dia sendiri.”  Iskandar menjadi kurang enak mendengarkan kata-kata Azim yang kelihatan begitu marah terhadapa Zaem. Mengapa mesti mereka bertelagah, sedangkan dahulu mereka bertiga bersahabat baik?

            “Is, kau rasa siapa yang jadi dalang semua bencana yang berlaku di sekeliling kita selama ni?” 

            “Entahlah Zim. Macam yang kau kata, perasaan Zaem terhadap Allisya dah diketahui hampir semua pelajar USAS semenjak insiden malam tu. Sesiapa pun berpotensi untuk jadi suspek kita. Tapi aku harap kita tak akan salah tuduh. Mungkin juga insiden yang berlaku ni semua sekadar kemalangan yang tidak disengajakan.” Iskandar masih menyimpan harapan. Tidak terfikir olehnya ada di antara pelajar USAS mahupun kenalannya mempunyai hati sebusuk itu.

            “Aku tak rasa macam tu. Masuk ni dah dua kali nyawa Allisya terancam. Aku yakin, dalang tu orang yang dekat dengan kita.” Azim bernada keras ketika membidas kata-kata Iskandar. 

            “Maksud kau, Syakir? Orang yang cuba cederakan Allisya di Fakulti Kejuruteraan tu ialah orang yang sama cuba umpan Allisya ke tengah hutan?” Iskandar menjadi semakin tidak selesa mendengarkan kata-kata Azim. Semakin banyak konklusi buruk yang lahir daripada soalan yang diajukan.

            “Aku tak kata macam tu. Tapi nampaknya kau sendiri pun tahu jawapannya. Entah apa nak jadi dengan orang zaman sekarang ni, kerana dendam, nyawa diperjudikan.” 

            Iskandar diam sahaja mendengarkan hujah Azim. Baru-baru ini Azim tiba-tiba pula banyak bersuara dan perbincangan mereka pasti berpolarkan insiden-insiden buruk yang berlaku ke atas mereka. Azim kelihatan bersungguh-sungguh untuk mencari kebenaran. Seboleh-boleh dia ingin mencari dalang sebenar kepada kejadian buruk yang telah terjadi.

            “Tapi aku tak nafikan, Farid salah seorang suspek utama aku juga.” Azim menambah.

            “Maksud kau?” Iskandar sengaja memancing Azim untuk terus memuntahkan pendapatnya. Sedikit sebanyak bolehlah Iskandar memahami pemikiran sahabatnya itu.

            “Kau tak hairan Is kenapa tiba-tiba dia sambung belajar? Selepas dua tahun dia tinggalkan USAS ni, tiba-tiba dia muncul semula maki-maki Zaem. Sekarang dia dah jadi pelajar USAS semula. Kenapa tidak dia sambung Master dari dulu lagi? Kenapa baru sekarang? Kau tak rasa curiga?” Azim seolah-olah sedang terbakar bersama perasaannya sendiri. Sifat ingin tahunya yang kuat kini menjadi semakin membuak-buak demi mencari pesalah sebenar.

            “Entahlah, Wallahualam. Tapi aku perasan juga dia selalu je ada di sekitar kawasan kampus kita ni walaupun sekarang ni musim cuti. Selalunya aku terserempak dengan dia di perpustakaan.”

            “Rasanya aku tahu kenapa,” ujar Azim yang masih bercanak dengan pelbagai rasa di dada.

            Iskandar tidak meneruskan pertanyaannya. Dia sudah boleh menghidu jawapan yang ingin diberikan oleh Azim. Sesiapa pun boleh mengagak bahawa Farid sengaja menyambung pelajarannya di USAS semata-mata demi melindungi satu-satunya adik tunggalnya. Peristiwa hitam yang melibatkan kejadian Fazura cuba membunuh diri pada tahun lepas pasti sahaja mengundang rasa takut Farid untuk kehilangan adik kandungnya sendiri. Sekiranya Iskandar mempunyai adik perempuan, pastinya dia juga akan mempertahankan keselamatan adiknya dengan sepenuh jiwa.

            “Kau dah tahu siapa pemilik pin logo kelab SWM tu Is?” Azim masih bersemangat untuk meneruskan perbualan mereka, walaupun pada hakikatnya dia sedar Iskandar masih kurang selesa membicarakan perkara tersebut.

            “Belum Zim. Susah nak mencari barang yang tidak bertanda ni. Lagi pun berapa ramai ahli kelab SWM yang kita kenal di USAS ni. Itu tak termasuk lagi junior yang baru daftar. Nanti aku tanyakan pada Zarina, kalau-kalau ada ahli dia yang mengadu tentang kehilangan pin kelab mereka.” Iskandar menjawab dengan nada sedikit kecewa. Sebenarnya, sebelum cuti lagi dia sudah bertanyakan dengan ramai ahli kelab SWM, tetapi tiada seorang pun yang mengaku akan kehilangan pin kelab mereka. Nasib baiklah Zarina memilih untuk tinggal di kampus pada cuti pendek kali ini, bolehlah dia bertanyakan kepada pengerusi kelab Seni Warisan Melayu itu.

            “Zarina tak balik kampung cuti ni?” Azim bertanya penuh kehairanan.

            “Memang tak rasanya. Bukan Zarina seorang je, Maizatul dan Nik Ain pun tak balik.”

            “Buat apa mereka duduk di kolej ni? Bukannya universiti kita ada anjurkan apa-apa aktiviti pun cuti ni.” Azim masih kehairanan.

“Macam kita jugalah Azim. Lagi pun cuti nikan seminggu je, yang duduk jauh leceh nak balik. Habis cuti je terus masuk musim ujian kedua. Mungkin mereka stay untuk beri tumpuan pada pelajaran.” Iskandar menjawab dengan senyuman.

            Azim tidak membalas senyuman sahabatnya itu, namun tidak sedikit pun Iskandar berasa kecil hati. Memang dari dulu lagi, Iskandar sudah masak dengan perangai Azim. Bertepuk tampar itu sudah pun menjadi perkara biasa, langsung tiada yang terguris di hati.

            Iskandar dan Azim masih berjalan perlahan. Sesekali angin lembut datang menyapa, membalut tubuh mereka dangan kesejukan yang membelai kulit.

            “Nampaknya tak lama lagi nak masuk musim hujan di universiti kita ni. Susahlah.” Azim merungut sendiri. Dia mengeluh sebaik melihatkan langit yang sudah semakin kerap mendung dan angin yang sering kali menjengah hari-hari mereka.

            “Apa yang susahnya Zim?” Iskandar bertanya penuh curiga.

            “Lecehlah kalau hujan. Aku kena sentiasa bersedia dengan dua payung.” Azim menjawab ringkas menimbulkan lagi rasa hairan di hati Iskandar.

            “Kenapa pula?”

            “Nak sambut tuan puteri.” Sekali lagi, Azim masih berteka-teki.

            “Tuan puteri?” Iskandar masih tidak faham dengan kata-kata Azim. Adakah Azim telah berjanji setia untuk memayungi seorang gadis? 

            ‘Tak mungkin. Kalau betul pun siapa? Azim bukannya jenis suka melayan perempuan.’ Iskandar hanya mampu bermonolog di dalam hati. Jika dia bertanya kepada Azim pun, pasti Azim tidak akan memberitahunya.

            Mereka berdua terus berjalan tanpa bersuara. Dalam mereka melangkah deras menuju ke destinasi yang dirancang, perjalanan mereka terhenti secara tiba-tiba. Mereka telah tiba di perhentian yang ingin dituju, tetapi hati mereka terasa berat untuk terus duduk di situ. Di perhentian bas tersebut kelihatan seorang lelaki yang amat dikenali mereka sedang sibuk membaca jurnal saintifik sambil menunggu ketibaan bas. Wajah lelaki tersebut kelihatan begitu serius membaca, namun terhenti apabila menyedari kehadiran Azim dan Iskandar yang baru sahaja tiba.

            “Farid!” Azim lantas menuturkan nama itu dengan nada yang terkejut, malah kurang mesra. Dia tidak menyangka bahawa dia akan bertemu kembali dengan wajah itu.

            “Oh, Azim. Kenapa dengan kau? Jatuh bilik air?” Farid sinis berkata-kata. Pastinya dia kurang selesa bertemu dengan Azim dan Iskandar. Satu USAS tahu, mereka berdua adalah sahabat baik Zaem dan  mereka juga merupakan orang yang berani berhadapan dengannya awal semester dahulu demi mempertahankan Zaem.

            “KAU!” Azim sudah pun melangkah ke hadapan, tetapi segera dihalang oleh Iskandar.

            “Azim, ingat… Sabar, sabar, dan sabar.” Iskandar berbisik ke telinga sahabatnya itu.
            Azim menarik nafasnya dalam-dalam.

            “Kenapa? Marah ke? Kawan kau Zaem yang kau pertahankan sepenuh hati tu dulu mana? Dah tak endahkan kau lagi?” Farid sengaja mengagah Azim. Entah mengapa dia lebih selesa menyakitkan hati Azim dari cuba berbaik dengannya.

            Azim mendengus mendengarkan kata-kata Farid. Buku nota di tangannya sudah lama dilemparkannya ke atas kerusi di perhentian bas tersebut. Tangannya  pula sudah digenggam erat sehingga menampakan urat-urat di lengannya. Dia sendiri tidak pasti. Adakah dia marah sebab sifat panas barannya atau memang kata-kata Farid itu menyakitkan hati. Kalaulah Iskandar tiada, mungkin sahaja dia sudah menghayunkan tangannya ke muka Farid.

            “Farid, kenapa kau kembali ke USAS?” Kali ini Iskandar pula bersuara. Nadanya juga tidak memperlihatkan sebarang rasa positif di atas pertemuan mereka. Iskandar tidak membenci, namun itu tidak bermaksud juga dia menyenangi kehadiran Farid. Dia masih khuatir memikirkan semula ugutan-ugutan yang diberikan oleh pemuda itu sebelum ini.

            “Sambung belajar,” Farid menjawab ringkas. 

            “Sudahlah Farid! Aku tahu niat kau. Kau sengaja balik ke USAS ni untuk jaga adik kau dan perhatikan kami bukan? Atau lebih tepat, kau berniat nak membalas dendam?” Azim tidak bertapis dalam berbicara. Dia ingin sangat melihat bagaimana Farid menjawab soalannya itu.

            Farid yang mendengar, merasa tertampar dengan kata-kata Azim. Namun dia tidak mudah mengalah. Dia masih mampu tersenyum sinis untuk menyakitkan hati pemuda itu. “Tak payah aku balas pun, nampaknya kau memang dah dapat balasan setimpalkan?” Sengaja Farid menjolok sarang tebuan yang kelihatan sudah hampir pecah itu.

            “Tak guna, berani kau ya Farid!” Azim semakin tenggelam dalam kemarahan dirinya. Marahnya sudah lama berbenih semenjak diugut oleh Farid dahulu, kini setelah pelbagai insiden berlaku dan ditambah pula dengan agahan Farid, kesabaran Azim sudah sampai ke puncaknnya.

            “Azim, mengucap.” Iskandar khuatir melihatkan reaksi Azim. Tindakan Farid bagaikan sengaja mencurah minyak ke dalam api yang telah pun marak. Iskandar tahu, Azim telah lama menahan sabarnya. Dia tidak mahu hanya kerana sebaris kata-kata, Azim terpedaya kepada hasutan syaitan.  

            “Sebelah tangan dah tak boleh guna pun kau masih nak berlagak kuat?” Farid tidak sedikit pun tergugat dengan kemarahan yang ditunjukan oleh Azim.

            “Jangan setakat mulut kau je berani Farid, tapi hati pengecut..” Azim belum reda dari marahnya, namun teguran Iskandar sedikit sebanyak membantutkan api kemarahannya dari terus marak. 

            “Siapa yang pengecut sebenarnya? Kau atau aku? Berselindung di sebalik Iskandar, itu ke  namanya berani?” Suara Farid kedengaran mengejek.

“Cis! Berani kau Farid. Kalau setakat serang perempuan dari belakang tu dah buat kau rasa bangga, kau memang patut makan penumbuk aku je!” Azim mengertak.

“Serang perempuan? Daripada aku serang perempuan baik aku serang budak hingusan macam kau ni je.” Farid kelihatan tidak mahu mengalah. Kemarahan Azim tidak sedikit pun membuat dirinya gementar atau takut.
“Cukuplah Farid. Aku harap kita dapat selesaikan masalah kita dengan cara yang baik.” Iskandar masih menahan Azim. Dia tidak mahu kemarahan dan rasa benci menjadi tiang perbualan mereka. Sekiranya keadaan ini berlanjutan, pasti masalah mereka tidak akan dapat diselesaikan.

            “Aku tak pernah pun berharap persengketaan kita ni berpanjangan. Aku cuma harap kawan kau Zaem tu tak akan sakiti hati adik aku lagi.” Farid kelihatan lebih serius berkata-kata. 

            “Zaem tak pernah sakiti hati Fazura, tapi Fazura sendiri yang menyakiti diri dia.” Suara Azim sudah kedengaran tenang. Farid memandang Azim. Apa maksud Azim sebenarnya? Fazura sengaja menyakiti dirinya sendiri?

            “Farid, semua ni salah sangka. Aku harap kita tak akan bertelagah kerana perkara yang tak betul.” Ujar Iskandar lagi. Farid tidak terus menjawab, dia bagai berfikir sejenak.

            “Sudahlah Is, aku dah tak rasa macam nak naik bas lagi. Lebih baik aku jalan kaki. Aku lebih rela sakit kaki, daripada menahan sakit hati.” Azim segera meninggalkan perhentian bas tersebut tanpa menunggu Iskandar.

            “Iskandar, memang aku pernah mengugut mengancam nyawa kau dan kawan-kawan kau. Tapi aku masih waras.” Farid membuka semula mulutnya sebaik Azim melangkah pergi. Dia kelihatan lebih selesa berbicara berdua dengan Iskandar. 

            “Aku tahu Farid. Kami pun tak sepatutnya membuta tuli menuduh kau, kesemua masalah yang berlaku buat kami kusut. Maafkan aku.” Iskandar menarik nafas lega setelah melihat Azim menarik diri dari terus bertelagah, manakala Farid pula tidak kelihatan seperti ingin mencari gaduh dengannya.

            “Tak payahlah kau nak rasa bersalah Iskandar. Mungkin memang betul, aku yang patut minta maaf.  Aku dah lama lupakan dendam aku, sekarang ni aku cuma nak menumpukan sepenuh perhatian terhadap masa depan aku sendiri. Lagi satu, aku harap tak akan ada sesiapa pun lagi yang cuba menyakiti adik aku. Kalau tak, aku tak akan teragak-agak untuk bertindak di luar batasan.” Farid bernada tenang, namun Iskandar tetap dapat menghidu amaran yang diberikan.

            Iskandar diam seketika. Dia diam bukan bermaksud untuk mengakui kesemua perkara buruk yang terjadi terhadap Fazura adalah salah mereka. Tetapi sebaliknya, Iskandar diam kerana tidak mahu menimbulkan lebih banyak sengketa.

            “Aku pun harap tak akan ada apa-apa lagi perkara buruk yang berlaku. Aku pergi dulu Farid, Assalamualaikum,” Iskandar berlalu tanpa menoleh lagi.

            “Wa’alaikumussalam.” Farid membalas tanpa mengutarakan lagi apa yg terpendam di hatinya. Terlalu banyak kekusutan yang berlaku. Baginya, Iskandar tidak kelihatan seperti lelaki yang licik dan suka mengambil kesempatan ke atas orang lain seperti yang disangkakannya. Farid tidak mengerti sedangkan sumber maklumat yang diperolehinya amat kukuh. Namun bukan semua orang mampu membaca hati manusia. Cantik di luaran tetapi buruk dalamannya! 

Semua orang sudah mengetahui bahawa Zaem, Iskandar dan Azim bersahabat baik. Jika memancing di lombong yang sama, pasti akan mendapat ikan yang sama. Sifat Iskandar dan Azim pastinya tiada bezanya dengan Zaem. Bukankah semua orang pun mampu berpura-pura?

            Farid sedar, mungkin sahaja kisah-kisah yang didengarinya tentang ketiga-tiga Panglima USAS itu adalah palsu semata-mata. Namun dia masih dalam kekeliruan perasaan dan sangkaan. Kisah-kisah yang didengari oleh Farid tentang ketiga-tiga panglima itu adalah daripada orang yang sangat dipercayainya. Mana mungkin orang itu menipunya. Terlalu banyak kata-kata dusta dan fitnah membisik ke telingannya dan hari ini Farid mengambil keputusan untuk tidak mengambil peduli lagi tentang perkara tersebut.

            “Abang Is!” Kedengaran satu suara sedang memanggil nama Iskandar dari arah yang bertentangan. Farid segera menoleh.

            “Alamak! Tak sempat nak tanya.” Zairin merungut sendirian. Dia kelihatan tercungap-cungap. Seharian dia berjalan di sekitar kampus USAS yang kosong itu untuk mencari Iskandar. Tetapi apabila sudah ketemu, Iskandar pula pergi tanpa sempat mereka bersua.

            “Zaririn!” Farid terkejut melihat kehadiran anak muda itu.

            “Abang Farid…” Zairin tidak kelihatan selesa apabila menyedari kehadiran Farid di sisinya. Mereka saling berpandangan. Muka Zairin merah bagai sedang menahan marah. Manakala Farid hanya membisu.

            “Maafkan saya, saya tak berminat nak bercakap dengan abang.” Zairin segera berlalu, cuba untuk mengejar Iskandar. Hatinya merasa panas apabila bertemu dengan Farid. Dia berharap, sebaik cuti pendek semester ini tamat, wajah itu akan padam! 

            Farid menarik nafas dalam-dalam. Terlalu banyak sangat perkara yang tidak menyenangkan berlaku pada hari ini. ‘Kenapa lambat pula bas sampai?’ Farid mengambil keputusan untuk menyambung semula bacaannya yang terhenti sebentar tadi.

            Tiupan angin berkali-kali datang menyapa, menghembus kuat ke arah Farid. Entah bagaimana, kertas-kertas jurnal saintifik yang sedang dipegang erat Farid boleh terlepas daripada genggaman tangannya. Kertas-kertas jurnal itu melayang-layang bertebangan dibawa angin, lalu jatuh bertaburan di atas jalan raya.

            Cuak Farid jadinya. Dia bingkas bangun untuk mengutip kertas-kertasnya yang kelihatan seperti daun-daun kering yang berguguran di atas tanah. Bersepah-sepah! Terkecuh-kecah Farid dibuatnya. Tangannya ligat mengutip kesemua kertas jurnal yang sempat dicapainya, khuatir sekiranya angin datang menyapa sekali lagi, kertas-kertas itu akan dibawa pergi lebih jauh lagi. Dalam kesibukan Farid mengutip sehelai demi sehelai kertas rujukannya itu, seorang gadis turut bergegas datang membantu. Namun Farid tidak mencuri pandang siapa gadis tersebut kerani dia terlalu gelabah mengutip kertas-kertas jurnalnya. 

Mujurlah sekarang ini musim cuti, maka tiada kereta yang kelihatan meluncur di atas jalan raya kampus, justeru mudahlah mereka mengutip kertas-kertas tersebut. Jika hari-hari biasa, pasti jurnal-jurnal Farid itu sudah digilis oleh tayar kereta staff dan pelajar USAS yang lain. Setelah selesai, Farid berdiri menyusun semula helaian-helaian kertas rujukannya itu. Gadis tadi yang turut membantu datang menghulurkan sebahagian kertas yang telah dikutipnya tadi. 

            “Terima kasih.” Farid mengucapkan terima kasih sambil menyambut kertas yang dihulurkan gadis tersebut.
            “Sama-sama.” Allisya membalas dengan senyuman. Farid terdiam apabila melihatkan wajah gadis yang tersenyum padanya itu. Ini adalah kali kedua gadis itu membantunya. Siapakah  gerangan gadis tersebut sebenarnya?

            “Adik ni…kita pernah berjumpa di…” Belum sempat Farid menghabiskan katanya, Allisya sudah pun bersuara untuk menghabiskan ayat pemuda itu.

            “Kita jumpa di bilik Tutorial 1 Fakulti Sains Gunaan.” Allisya menjawab perlahan. Sebelum ini dia takut untuk bersemuka dengan pemuda itu. Terapi perasaan takut Allisya tidaklah seperti takutnya kepada Azim. Sifat pemarah dan dingin Azim buat Allisya takut berbicara dengannya, tetapi Farid kelihatan begitu mesra dan peramah. 

Kesemua ketakutan yang hadir dalam hati Allisya adalah kesan daripada peristiwa amuk yang berlaku beberapa bulan dahulu. Apabila dia mengetahui bahawa Farid ialah abang Fazura, bertambah-tambah gelisah Allisya apabila terserempak dengan pemuda itu. Sudahlah dia bersendirian. Zairin yang sedang berbual bersamanya tadi pula tiba-tiba sahaja hilang kerana mengejarkan seseorang.

            “Oh, yalah!” Farid berpura-pura terkejut sedangkan dia sendiri masih mengingati peristiwa tersebut. Sengaja dia ingin melihat adakah gadis tersebut turut mengingati dirinya.

            “ Sebelum abang graduate dulu, tak pernah nampak pun di fakulti. Tahun pertama ya, tak balik kampung ke cuti ni?”

            “Saya pelajar baru. Cuti ni pendek je, jadi memang tak rancang nak balik kampung. Ingat nak duduk di USAS je untuk buat persediaan ujian kedua.” Allisya sedaya-upaya menyembunyikan kegusaran di hatinya.

            “Baguslah. Belajar elok-elok ya. Nama adik siapa?” 

            Allisya hairan apabila mendengarkan soalan yang diajukan Farid itu. Malah, soalan itu telah menimbulkan persoalan di minda Allisya. Adakah ini bermaksud Farid masih belum mengenali dirinya? Mengikut kata Azim, Farid merupakan suspek utamanya yang cuba mencederakan Allisya atas niat untuk membalas dendam terhadap peristiwa yang berlaku terhadap adiknya Fazura. Tetapi sekiranya Farid sendiri tidak mengenali Allisya, bagaimana pula Farid boleh bertindak untuk mencederakannya? Adakah kenyataan ini secara bulat-bulat mengeluarkan Farid daripada list suspek mereka?

            “Nama saya Allisya.” Allisya menjawab ringkas namun wajahnya masih tidak lekang dari senyuman. Dia masih berharap Farid tidak akan salah sangka apabila pemuda itu telah mengenali dirinya. 

            “Allisya?” Farid kelihatan terkejut mendengarkan jawapan gadis itu. Allisya? Adakah gadis yang sedang tersenyum manis padanya itu ialah gadis sama yang telah menyakiti adik perempuannya? 

            Farid mengeluh panjang. Mengapa? Mengapa hidup ini terlalu kompleks? Insan yang disangkanya sungguh manis dan baik itu sebenarnya adalah licik seperti gunting yang bersembunyi dalam lipatan. Farid semakin keliru. Bagaimana dia hendak membezakan kawan atau lawan? Terlalu sukar untuk menilai kaca dan berlian. Kedua-duanya juga kelihatan bersinar. Begitu jugalah manusia, kesemuanya kelihatan baik sahaja, namun dalamannya busuk dengan pelbagai rasa.

            “Tak apalah, abang ada hal sedikit. Terima kasih tolong abang kutipkan kertas ni.” Farid telah tawar hati untuk berbicara dengan Allisya. Kalaulah dia tidak mengetahui nama gadis itu, pastinya mereka boleh berkawan baik. 

            Sepertimana Azim, Farid sudah tidak berminat untuk menunggu bas di perhenti bas yang sama. Dia mengangkat kaki sebaik meminta diri. Allisya hairan melihatkan reaksi Farid apabila mendengarkan sahaja namanya disebut. Adakah pemuda itu benci kepadanya? Adakah Farid benar-benar menyimpan dendam terhadapnya? Tetapi segala kekeliruan yang terjadi hanyalah salah faham. Haruskah Allisya tampil untuk menerangkan segala-galanya?

            Allisya melangkah ke dalam perhentian bas. Farid masih dalam pandangannya, melangkah perlahan menjauhi perhentian bas tersebut. Ketika itu, pandangan mata Allisya tertarik kepada sebuah buku nota yang terletak di atas kerusi besi perhentian tersebut. Allisya bingkas mengambil buku itu, tanpa berlengah, Allisya menjerit memanggil nama Farid.

            “Abang Farid!”

            Farid berhenti dari melangkah, lalu berpaling ke arah Allisya.

            “Ni buku abang ke?” 

            Farid merenung ke arah buku yang sedang dipegang oleh Allisya, lantas ingatannya kembali kepada peristiwa pertemuannya dengan Azim dan Iskandar sebentar tadi.

            “Bukan. Rasanya buku Azim.” Farid menjawab, lalu melangkah pergi. Dia tidak mahu melanjutkan perbualan itu lagi.

            “Buku Abang Azim?” Allisya membelek-belek kulit buku nota tersebut. Depan dan belakang buku itu dipusing-pusingkan Allisya, mencari-cari kalau ada nama pemilik buku tersebut. Tetapi sayangnya tiada pula.

            “Macam mana buku Abang Azim boleh ada dekat sini?”

            Sedang Allisya asyik membelek buku tersebut, gadis itu terpandang cebisan daun kering yang diselitkan di dalam buku itu. Kencang jantung Allisya dibuatnya dengan hanya memandang sahaja daun tersebut. Pelbagai rasa timbul di hati gadis itu.

            ‘Abang Azim simpan daun kering? Tapi untuk apa? Sebagai penanda buku ke? Atau mungkinkah…mungkinkah daun kering yang selama ini dikirimkan pada aku tu…daripada Abang Azim juga?’

            “Ya Allah, adakah insan minteri itu ialah Abang Azim?”

            Allisya tergamam sendiri. Benarkah penghantar daun kering bersama mesej-mesej motivasi yang berulangkali dilayangkan kepadanya itu selama ini ialah Azim? Adakah Azim ialah insan misteri yang seringkali muncul untuk memujuknya di kala duka? Bukan Iskandar?

            “Ya tuhanku adakah ini pertunjukmu? Adakah benar insan istimewa yanhg selama ini hadir mengirimkan daun-daun itu ialah Azim? Buat seketika, aku mengharapkan pemuda itu ialah Iskandar. Kini aku sedar, semakin hati aku ingin mendekati nama itu, semakin jelas bahawa dia bukan takdirku.” 

            Allisya diam sejenak. Sedikit demi sedikit, memorinya kembali kepada saat-saat awal pertemuannya bersama Azim. Saat mereka tersesat bersama dan berkelana mencari jalan pulang. Saat itu membuatkan Allisya semakin mengenali Azim dengan lebih dekat lagi. Pada ketika itulah Allisya tahu, Azim seorang yang sangat garang. Namun seketika kemudian Allisya ketawa pula. Peristiwa payungnya kemek digilis lori mencuit hati gadis itu. 

            “Abang Azim jugalah yang mengorbankan dirinya untuk melindungi aku.” Entah mengapa, kata-kata itu terlafaz di bibir kecil Allisya. Allisya tidak pasti, sudah berapa kali Panglima Azim menyentuh hatinya. Dia tidak sangka, di sebalik kedinginan hati panglima itu, tersembunyi kelembutan yang tidak dapat dilihat oleh  mata kasarnya.

            Tetapi benarkah? Benarkah Azim merupakan panglima yang telah mengirimkan kedua-dua daun kering yang berada dalam simpanannya itu? Hairannya, Azim tidak kelihatan seperti seorang pemuda yang berjiwa romantis. Allisya keliru. Benarkah pemuda yang dicarinya selama ini sebenarnya ialah Azim? 

            Allisya ingin sangat mencabut keluar daun itu daripada buku nota tersebut dan melihat sendiri daun kering  tersebut dengan lebih dekat lagi. Adakah betul-betul sama seperti daun yang diberikan kepadanya selama ini? Tetapi niat Allisya terhenti apabila memikirkan, buku dan daun itu bukan miliknya. Tidak baik mencuri lihat barang peribadi orang. Dia sendiri pun tidak suka orangg luar melihat-lihat dan membaca nota peribadinya,apatah lagi jika tanpa izin.

            Berdebar-debar jantung Allisya melihatkan cebisan hujung daun kering yang terkeluar daripada selitannya. Betulkah Azim ialah panglima yang dicarinya selama ini? Bukan Iskandar? Pernah seketika, Allisya menyangka kedua-dua daun itu dikirimkan oleh panglima idamannya itu, tetapi ternyata sangkaannya merosot. Bukti menunjukan bahawa Azim adalah jejaka yang memiliki daun kering yang kelihatan sama seperti yang dikirimkan kepadanya.

            “Allisya,” satu suara kedengaran memanggil nama gadis itu. Allisya yang dari tadi tertunduk merenung buku nota yang sedang dipegangnya segera mengangkat  pandangan apabila mendengar namanya dipanggil.

            Alangkah terkejutnya hati gadis itu apabila melihat Azim sedang berdiri di hadapannya. Hampir gugur jantung Allisya melihatkan wajah kasar pemuda itu.  Wajah itu tidak mempunyai raut yang manis seperti Iskandar, namun wajah itu jugalah yang telah banyak kali membuatkan jantungnya berdegup kencang.  Allisya tidak mengerti mengapa reaksi dalamannya begitu kuat apabila bertemu dengan Azim. Adakah kerana dia takut kepada pemuda itu atau dia hanya terlalu gementar kerana berhadapan dengan idola bola sepaknya? Namun mengapa setalah berulang kali bertemu, dia masih merasa begitu gemuruh?

            “Abang datang nak ambil buku abang yang tertinggal tadi.” Azim bersuara tenang. Dia langsung tidak kelihatan gemuruh seperti Allisya.

            “Oh ya ke? Ni bukunya!” Allisya yang sedang cuak, terkejut apabila disapa pemuda itu. Dengan segera sahaja dia menghulurkan buku tersebut kepada Azim.

            “Kamu ada cuba buka ke buku ni?” Azim bertanya dengan nada yang sedikit keras, seperti memberikan amaran tegas. Dia sebenarnya takut sekiranya Allisya terpandang daun kering yang telah diselitkan dalam bukunya. Paling Azim takuti sekiranya Allisya membaca tulisan pada daun kering tersebut dan menyedari bahawa daun itu adalah daun milik Allisya sendiri yang sepatutnya dikirimkan khas kepada Iskandar. Bagaimana jika Allisya tahu daun itu tidak sampai ke tangan Iskandar, sebaliknya berada dalam simpanannya sendiri? Adakah Allisya akan membencinya? Adakah dia akan dituduh menjadi penghalang cinta dua insan itu daripada bersatu? Disebalik kekuatan yang ada pada dirinya, hati Azim berasa sangat lemah dan takut. Namun sememangnya pemuda itu bijak menyembunyikan perasaannya sendiri sehingga tiada sesiapa pun dapat menghidunya.

            “Tak, saya tak usik apa-apa pun. Saya baru je angkat buku ni.” Allisya menjawab sedikit terketar. Peristiwa dia terperangkap di hutan dan diselamatkan oleh Azim dari dihentak pasu sebelum ini membuatkan Allisya berasa lebih kekok untuk berhadapan dengan pemuda tersebut.

            “Baguslah!” Azim segera berlalu pergi. Dia sempat bersuara perlahan untuk mengucapkan terima kasih kepada Allisya. Entah mengapa, tiba-tiba sahaja dia juga menjadi gementar bertemu dengan gadis itu. Nasib baiklah Allisya tidak melihat tulisan yang ada pada daun tersebut. Jika tidak, pasti akan terbongkar segala rahsia yang disimpannya.

 Azim terus melangkah. Pelbagai persoalan muncul di benak fikirannya. Cinta atau persahabatan, apakah yang harus dipilihnya?

            ‘Maafkan aku Is. Aku pilih cinta. Aku tak mahu kehilangan cinta untuk kali kedua.’ Azim menjawab persoalan tersebut hanya dengan bermonolog di dalam hatinya. Mungkin orang lain akan menganggap dia sebagai seorang yang mementingkan diri. Tetapi mereka tidak mengerti, betapa sakitnya kehilangan cinta. Sudah menjadi naluri seorang panglima, Azim tidak akan mengalah selagi dia belum berjuang. Walaupun dia tahu, pesaingnya ialah Zaem dan Iskandar, sahabat baiknya sendiri. Sesungguhnya hati manusia amat sukar untuk dimengerti, apatah lagi hati yang sedang bercinta.

Nani NA

No comments:

Post a Comment