Tuesday 6 December 2011

BAB 34: JANGAN TINGGAL DAKU.



Allisya dan Raihana melangkah ke bilik 104. Setelah mengetuk beberapa kali, pintu bilik tersebut dibuka perlahan oleh seorang gadis yang amat dikenali mereka.
“Oh, Allisya dan Raihana rupanya.”
“Kak Mai, Kak Faz ada?”
Maizatul mengambil masa yang agak lama untuk menjawab soalan Allisya. “Ada, masuklah. Tapi akak nak keluar dulu.”
“Akak nak ke mana?”
“Akak nak jumpa Iskandar sekejap.”
Raihana memandang wajah Allisya sebaik sahaja nama Iskandar disebut. ‘Jadi Kak Mai dan Abang Is betul-betul sedang bercinta?’
Allisya tidak mahu membalas pandangan Raihana. Dia tahu apa yang sedang difikirkan oleh temannya itu. Tidak dinafikan, nama Iskandar masih lagi bertaut kuat di hatinya, maka Allisya harus kuat semangat untuk melupakan nama itu. Dia tidak sepatutnya mudah melatah apabila mendengarkan nama tersebut.
“Jemputlah masuk. Akak pergi dulu ya.” Maizatul keluar daripada biliknya. Raihana sudah pun masuk ke dalam bilik. Allisya ingin melangkah masuk, namun belum sempat kaki kanannya melepasi bingkai pintu, Maizatul sempat memberikan pesanan. “Allisya, banyakkan bersabar. Walau apa pun yang Kak Faz cakap nanti, jangan simpan dalam hati ya.”
            Allisya berasa hairan mengapa pula Maizatul menyampaikan pesanan sebegitu? Apa sebenarnya yang sedang berlaku? Adakah Fazura benar-benar sedang marahkannya? Apa betulkah tindakannya ini untuk bertemu dengan Fazura?
            Allisya melangkah masuk ke bilik tersebut. Bilik itu kelihatan suram sahaja. Allisya melepasi sebuah meja bulat yang terletak di tengah-tengah bilik tersebut. Beberapa buah Yassin tersusun kemas di atas meja santai itu. Turut kelihatan beberapa buah album dan kepingan gambar yang menunjukan wajah Arwah Farid. Sayu hati Allisya walau hanya sekadar memandang. Pasti Fazura merasa begitu terluka dengan pemergian abang tunggalnya itu.
            Allisya turut terpandang satu bingkai gambar yang diletakan terbalik di atas meja itu. Allisya mendekati, dan cuba melihat gambar tersebut. Namun tanpa Allisya sedari, siku kanannya terlanggar bingkai gambar tersebut, menyebabkannya terjatuh.
            “Siapa tu?” Fazura yang berada di hujung sudut bilik yang luas itu terkejut mendengarkan bunyi tersebut.
Allisya dengan pantas mengutip semula bingkai gambar tersebut. Rupanya bingkai itu mengandungi gambar Zaem yang sedang tersenyum. Allisya tidak mempamerkan rasa terkejut di wajahnya. Sebaik meletakan semula bingkai gambar itu di tempat asalnya, Allisya segera menyahut dan menjawab soalan Fazura,“kami kak, Allisya dan Raihana.”       
“Allisya?” Nada Fazura sudah berubah.
“Kak…” Allisya cuba mendekati Fazura.
“Allisya, kenapa Allisya datang ke mari? Hati akak dah cukup sakit. Tolong jangan tambah lagi rasa sakit ni.”
“Kak Faz, kenapa akak cakap macam tu? Saya tak pernah pun terniat untuk sakitkan hati akak.”
“Allisya baliklah, tinggalkan akak sendiri,”
“Tapi akak…” Allisya cuba menyentuh bahu Fazura, tetapi Fazura menyentak, “PERGI!”
“Kak..”
“ABANG FARID DAH TAK ADA LAGI! Apa lagi yang Allisya nak pada akak?”
“Akak, kenapa akak cakap macam tu?” Hampir menitis air mata Allisya melihatkan reaksi Fazura. Adakah Fazura benar-benar bencikannya? Tapi kenapa? Apakah dosanya sehingga dia dibenci sedemikian rupa?
“Kak Faz, maafkan saya kak. Saya tak pernah terniat nak sakitkan hati akak. Maafkan saya kak.”
“Kenapa Allisya? Kenapa Allisya datang ke mari?”
“Saya datang untuk jenguk akak. Saya minta maaf kak kalau kehadiran saya buat akak rasa sedih.”
“Allisya…Abang Farid…Abang Farid dah tak ada lagi.”
“Saya tahu kak…Maafkan saya…maafkan saya…” Allisya sudah tidak mampu lagi menahan air matanya. Melihatkan keadaan Fazura, bagai sedang meracik-racik hatinya. Dia sebak apabila mendengar Fazura menyebut-nyebut nama Farid. Allisya mungkin tidak mengenali Farid seakrab Fazura dan abangnya itu. Namun perkenalan singkat mereka berdua, sedikit sebanyak memberi kesan dalam hati Allisya. Allisya tidak pernah mempunyai seorang abang, dan Allisya yakin, Farid adalah seorang abang yang sangat baik. Pastinya Fazura menerima tamparan yang sangat hebat dalam hidupnya. Allisya tidak mengerti mengapa perasaan bersalah tetap menguasai dirinya, walaupun dia sendiri tidak tahu di mana silapnya.
“Maafkan saya kak…”
Fazura terduduk di atas katilnya apabila mendengarkan rayuan Allisya. Dia terkejut melihat Allisya mengalirkan air mata. Mata Fazura yang telah kering setelah seminggu mengalirkan air mata itu, kini telah kembali berair semula. Pilu hatinya mengingati kembali peristiwa kematian abang kesayangannya itu.
“Tapi, reben…reben tu…kenapa reben Allisya boleh ada di lengan Abang Farid?”
“Kak…reben tu tak ada kaitan dengan kematian Abang Farid kak. Kain tu Allisya guna untuk balut kecederaan Abang Farid je.” Raihana mengambil keputusan untuk menjernihkan keadaan yang ada.
Fazura masih duduk tertunduk. Air matanya mengalir semakin deras. Malah setelah mendengar kata-kata Raihana, esakannya juga semakin kuat.
“Akak tahu! Akak tahu!”
“Kak Fazura…” Allisya mendekati Fazura dan duduk di sebelah gadis itu.
“Akak tahu Allisya…Tapi akak masih tak boleh terima... Akak tak boleh terima pemergian Abang Farid!”
Sayu hati Allisya mendengar tangisan Fazura. Namun apa yang mampu dia lakukan untuk membantu?
“Allisya, kenapa? Kenapa Abang Farid tinggalkan akak seawal ni?”
“Kak, Allah lebih menyayangi dia kak.” Hanya itu sahaja yang termampu dilafazkan Allisya. Allisya menyentuh bahu Fazura. Fazura terus menangis, dia tidak terdaya lagi untuk mendengar nama Farid disebut-sebut.
“Allisya, akak dah tak ada sesiapa lagi. Akak dah tak ada sesiapa lagi…”
“Tak akak, akak masih ada kami. Akak ada Zaem dan akak masih ada kawan-kawan di USAS. Kami akan sentiasa berada di sisi akak.” Allisya membalas seraya memeluk Fazura. Fazura masih menangis teresak-esak. Terlalu sukar untuk dia mengawal perasaannya sendiri.
“Allisya, maafkan akak. Maafkan akak sebab menuduh Allisya. Tapi akak dah tak tahu lagi nak salahkan siapa. Akak tak boleh terima Allisya, bila orang cakap abang Farid mati sebab bunuh diri. Abang Farid tak mungkin bunuh diri! Dia janji nak jaga akak sampai bila-bila.”
“Saya tahu kak…saya tahu…” berulang-ulang kali Allisya mengesat air matanya sendiri. Dia sedih mengenangkan nasib yang ditanggung oleh Fazura.
Jam terus berdetik. Allisya dan Raihana mengambil masa yang lama untuk menenangkan kembali Fazura. Air mata gadis itu telah kering, namun wajah Fazura masih kelihatan sungul.
“Akak berehatlah dulu ya.” Allisya dan Raihana membantu menyelimutkan Fazura. Gadis itu baru selesai mengambil ubat tidur. Menurut Fazura, dia sudah lama tidak dapat tidur lena. Sebab itulah dia mengambil semula pil tersebut untuk memudahkan dia melelapkan mata.
Maizatul sudah pun pulang semula ke bilik. Mereka berdua sempat duduk dan berbual-bual dengan Maizatul. Fazura sudah lama melelapkan matanya. Ketika sedang rancak berbual, Raihana terpandang ke arah sepasang kasut lelaki yang terletak di bawah katil Fazura. “Tu kasut siapa kak Mai?”
“Kasut bawah katil tu milik arwah Farid. Tak silap akak tu kasut yang Farid pakai sebelum dia terjatuh di perpustakaan hari tu.”
“Kalau kasut tu yang arwah Abang Farid pakai, kenapa pihak polis tak ambil untuk dijadikan bahan bukti?”
“Entahlah, akak pun tak pasti. Tak silap akak kasut tu Farid pakai pada hari sebelum dia terjatuh. Menurut Faz, pada hari dia jatuh tu, Farid pakai kasutnya yang lagi satu. Mungkin kasut tu tak ada kaitan dengan kes yang berlaku. Fazura masih simpan kasut tu sekadar untuk dijadikan kenangan sebab dia yang hadiahkannya kepada Farid.”
Allisya memandang ke arah kasut tersebut. Tapak kasut itu kelihatan comot dengan lapisan pepasir atau mungkin juga adalah tanah. Tidak silap Allisya, dia pernah melihat seseorang memakai kasut sekotor itu, tetapi siapa? Entahlah. Tetapi apa yang pasti, seingat Allisya, pada hari Farid meninggal kasutnya juga kelihatan kotor dengan kesan tanah seperti itu. Cuma Allisya dapat rasakan masih ada orang lain yang turut memakai kasut yang turut tercemar dengan kesan tanah yang sama. Tanah itu berwarna kehitam-hitaman, tidak sama dengan warna tanah di sekitar kawasan USAS. Allisya bingung untuk mengingati peristiwa tersebut. Bukan selalu dia melihat kasut orang bila berjalan.
            “Kenapa kasut tu kotor sangat? Akak tahu tak arwah Abang Farid ke mana pada hari sebelum tu?”
            “Entahlah akak pun tak tahu. Tapi apa yang pasti, Fazura ada mengadu, abang dia memang dah berkelakuan aneh sejak hari sebelum dia jatuh dari bangunan tu lagi.”
            “Aneh macam mana tu Kak Mai?”
            “Entahlah, akak pun tak pasti. Tapi akak harap kamu berdua tak tanyakan soalan tu pada Fazura. Akak takut dia akan jadi semakin sedih bila ditanya perkara berkaitan Farid.”
Allisya dan Raihana mengangguk tanda faham. Mereka sepakat mengundur diri untuk pulang ke bilik mereka sendiri. Ketika berjalan ke arah pintu, Allisya sempat berbisik kepada Raihana, “Rai, Sya rasa macam pernah nampaklah kasut seseorang yg penuh dengan tanah macam tu, tapi tak ingat siapa. Macam mana pun, tak silap Sya waktu hari arwah meninggal, kasut yang dia pakai tu pun ada kesan tanah yang sama.” Raihana membeliakkan matanya. Dia seperti ingin memperkatakan sesuatu, tetapi Maizatul pula muncul di tengah-tengah mereka berdua.
Di saat Allisya melangkah keluar sebelah kakinya, Raihana bersuara, “Oh ya, saya tertinggal barang di dalam. Tunggu kejap ya!” Raihana masuk kembali ke dalam bilik tersebut meninggalkan Maizatul dan Allisya tercengang-cengang di luar bilik.
“Barang apa yang Raihana tinggal?”
“Entahlah kak.” Allisya mula berasa tidak sedap hati. Dia berharap Raihana tidak merancang untuk melakukan sesuatu yang di luar jangka.
“Baiklah, jom balik bilik!” Ujar Raihana sebaik keluar daripada bilik tadi.
“Dah jumpa barang yang tinggal tadi?”
“Dah, terima kasih kak Mai.” Sebaik Raihana menghabiskan kata-katanya, dia segera menarik lengan Allisya untuk naik ke tingkat atas.
“Barang apa yang Rai tertinggal tadi?” Allisya yang masih sangsi dengan Raihana segera sahaja bertanya setelah mendapati Maizatul sudah menghilang masuk ke biliknya.
“Ini!” Raihana berkata seraya mengeluarkan plastik kecil yang berisikan tanah dan pepasir halus.
“Ini? Ini bukan tanah pada kasut Abang Farid tu ke?”
“Yalah. Apa lagi. Rai tengok Allisya berminat je pada bahan ni, jadi Rai ambilah.”
Allisya berasa gusar sebaik mengetahui tindakan sebenar temannya itu, “tapi untuk apa Rai?”
“Sya kata, Sya pernah tengok ada orang lain yang kasutnya kotor macam kasut arwah Abang Farid. Lagipun Syakan sendiri yang mengaku tadi, hari Abang Farid jatuh tu, kasut dia pun tetap ada kotoran macam ni. Mungkin bahan ni kita boleh gunakan untuk jejak, ke mana  arwah Abang Farid pergi sebelum meninggal dan orang yang Allisya kata pakai kasut kotor yang sama macam Abang Farid tu mungkin juga ada kaitan dengan arwah.”
“Ya Allah, Rai betul-betul ke? Macam mana kita nak jejak hanya dengan berpandukan tanah ni?” Allisya menjadi semakin bingung. Raihana bukannya membantu dia menyelesaikan masalah yang ada, sebaliknya menambahkan apa yang tidak patut.
“Sya! Allisya lupa ke kita ada praktikal amali biokimia minggu depan, kita boleh sorok-sorok guna instrumen dia untuk analisa bahan ni. Lagi pun Rai tak rasa ni tanah biasa sebab warnanya hitam sedikit.”
“Rai, Sya rasa Raihana ni dah terlebih tengok cerita ‘CSI’lah. Banyak sangat baca novel yang bukan-bukan. Lagi pun instrumen apa yang boleh analisa bahan ni? Dan kita tahu ke guna? Dahlah nak curi-curi guna. Kalau rosak nanti macam mana Rai?”
“ Kita guna GClah! Gas Cromatoghraphy. Bukan ke dulu Dr. Hudhaifah pernah cakap, instrumen ni boleh guna untuk analisa komponen kimia dalam apa-apa sampel. Tak perlu risau, kita mintalah tolong Kak Su. Diakan selalu guna instrumen tu dan dia pun selalu je ada di makmal.” Raihana menjawab penuh teruja.
“Rai, Sya tak taulah. Tapi Sya betul-betul harap apa yang Rai cuba buat ni akan bawa kebaikan.” Terlihat kedutan kerisauan terpamer pada wajah Allisya.
“Jangan risaulah Sya!”

*                      *                      *

            Allisya berjalan memasuki perkarangan utama Perpustakaan rasmi USAS. Kad pelajarnya digunakan untuk mengakses masuk ke dalam perpustakaan. Perpustakaan tersebut kelihatan lengang berbanding dengan keadaannya ketika musim peperiksaan. Agaknya memang macam itulah pelajar university. Bila musim peperiksaan tiba, berduyun-duyun pelajar yang akan datang untuk mengulang kaji dan meminjam buku. Tetapi bila hari-hari kuliah biasa, tiada sesiapa pun yang mahu ke sana. Balik-balik muka ulat buku sahaja yang kelihatan sibuk mencari dan menelaah buku di situ.
Allisya meletakan buku-buku rujukan yang dibawanya ke kaunter pemulangan buku. Buku-buku tersebut disambut oleh seseorang yang juga merupakan pekerja perpustakaan tersebut. Sekali-sekala Allisya sempat menjeling ke arah beberapa orang yang berpakaian kasual berulang alik menaiki tingkat atas perpustakaan menggunakan tangga. Allisya kehairanan, mengapa mereka tidak menggunakan lif? Setahu Allisya, pelajar USAS ni memang malas nak naik tangga untuk ke tingkat atas. Walau ingin ke tingkat satu pun mereka tetap akan menggunakan kemudahan lif.
“Lif rosak ke?” Allisya berdialog sendiri. Sudah menjadi kebiasaan, gadis itu suka bercakap sendirian.
Kehairanan, pekerja di perpustakaan yang berada di kaunter tadi bertanya kepada Allisya. “Adik cakap apa?”
“Eh, tak ada apa-apalah Encik.” Allisya terkejut apabila ditegur oleh pekerja tersebut. Lelaki yang kelihatan agak berusia itu tersenyum lalu berkata, “Adik hairan ya dengan orang-orang yang lalu lalang tadi? Itu pegawai Forensik Polis. Mereka selalu juga datang ke sini untuk jalankan siasatan. Tingkat 5 perpustakaan pun masih ditutup.”
“Mereka masih belum habis siasat?” Allisya kehairanan. Bertambah-tambah lagi perasaan risau yang masih terpendam di hatinya.
“Belum. Sebab mereka belum betul-betul dapat sahkan pemuda yang mati tu dibunuh atau bunuh diri.”
“Bukan ke perpustakaan kita ada CCTV. Kalau betul arwah Abang Farid dibunuh, mereka tak dapat lihat ke dari rakaman yang ada?”
“Itulah masalahnya adik. CCTV tingkat lima perpustakaan kita tu rosak. Pihak polis tengah menyiasat, siapa yang berada di tingkat yang sama sewaktu kejadian. Mungkin dijadikan sebagai suspek, dan mungkin juga sebagai saksi.”
“Jadi dah jumpalah ya?”
“Belum lagi sebab tak ada yang tampil diri untuk mengaku.”
            Allisya mengeluh. Mengapa semakin rumit pula jadinya? Sudahlah selepas hari kejadian tersebut Allisya dipanggil untuk disoal siasat. Ramai juga yang telah disoal siasat polis. Sangka Allisya kes tersebut telah ditutup. Rupa-rupanya, telah menjadi semakin rumit. Allisya benar-benar berharap, kes ini dapat diselesaikan dengan segera.
            Allisya mengalihkan perhatian, buat seketika, hatinya yang berasa gundah kini terawat sebaik sahaja terpandang wajah seorang pemuda yang amat dikenalinya. Pemuda itu baru sahaja keluar daripada lif, dan sepantas pemuda itu terlihat Allisya, dia mengukirkan senyuman. Allisya membalas senyuman pemuda tersebut. Hati gadis itu melonjak kegembiraan, namun jauh di sudut hatinya dia berharap agar dirinya tidak selalu sangat bertembung dengan pemuda itu.
            “Abang Is seorang je?” Allisya bertanya sebaik melihat pemuda itu melangkah mendekatinya.
            Iskandar mengangguk dan tersenyum. “Raihana tak datang sekali?”
            “Tak, dia ada di fakulti. Sekejap lagi kami ada kuliah. Sengaja je saya berkejar ke mari sekejap sebab nak pulangkan dan perbaharui tempoh peminjaman buku-buku lama.”
            “Dah selesai dik. Ini buku-buku yang adik nak pinjam semula tu.” Pekerja perpustakaan tersebut menghulurkan buku-buku tadi untuk dipinjam semula oleh Allisya. Sebaik menyambut, Allisya mengucapkan terima kasih dan ucapannya juga berbalas.
            “Allisya nak balik ke fakulti Allisya ni naik bas ke jalan kaki?”
            “Jalan kaki je abang. Lagi pun dekat je. Nak tunggu bas takut lambat.” Allisya menjawab persoalan Iskandar sambil tangannya terkial-kial memaut buku-buku tadi.
            Iskandar memandang tindakan Allisya itu. Tidak dapat pemuda itu bayangkan bagaimana gadis sekecil Allisya itu mampu mengangkat buku-buku yang begitu tebal dan membawanya pulang dengan hanya berjalan kaki.
            “ Abang Is nak balik ke fakulti juga ke? Naik basikalkan?”
“Abang memang nak balik ke fakulti abang semula, tapi abang tak naik basikal, abang jalan kaki je.”
“Kenapa abang tak naik basikal? Basikal abang rosak ke?”  Allisya kehairanan. Setahu Allisya, Iskandar selalu sahaja berbasikal ke fakulti dan tak silap dia, baru pagi tadi dia melihat Iskandar mengayuh basikal berwarna putih saljunya itu.
“Saje. Allisya, Fakulti abang bersebelahan je dengan fakulti Allisya. Mari abang tolong bawakan buku-buku Allisya.”
“Eh, tak apalah Abang Is, berat buku ni. Buat susahkan abang je.”
“Sebab beratlah abang patut bantukan?”
“Tapi saya tak nak susahkan abang.”
“Tak susah pun.”
“Tapi…”
“ Tak apa, hari ni abang bantu Allisya. Lain hari Allisya pula bantu abang. Kan adil. Tak menyusahkan bukan sebab kita akan memudahkan dua-dua belah pihak?”
Allisya tersenyum mendengar kata-kata Iskandar. “Baiklah. Tapi lain kali kalau ada apa-apa yang saya boleh tolong, Abang Is kena izinkan saya tolong abang juga ya?”
Iskandar mengangguk sambil menyambut buku yang sedang dihulurkan Allisya. “Insya Allah. Bila abang perlukan bantuan nanti abang beri tahu Allisya.”
Allisya tersenyum mendengar jawapan Iskandar. Hatinya menjadi girang. Iskandar begitu pandai mengambil hatinya. Agaknya beginilah perasaannya apabila mempunyai abang yang baik. Gembira sahaja selalu.
‘Kalau Abang Is tak beri tahu yang abang dah sukakan gadis lain sebelum ni, mesti Allisya akan perasan dan ingat abang sukakan Allisya. Macam mana pun terima kasih Abang Is sebab sentiasa menjaga Allisya dan sentiasa ada di saat Allisya memerlukan.’ Allisya bermonolog sambil memandang wajah manis pemuda itu. Dia hanya mampu mengucapkan terima kasih di dalam hatinya, tetapi tidak di bibir.
‘…dan Allisya harap abang tak akan pernah tinggalkan Allisya sendiri…’
 Mereka berdua berjalan menyeberangi jalan raya berhadapan dengan kawasan hadapan perpustakaan USAS. Mereka melepasi kawasan yang menjadi tempat letak basikal untuk mahasiswa USAS. Tanpa Allisya sedari, mereka betul-betul baru sahaja melepasi basikal berwarna putih milik Iskandar. Apa yang Allisya tidak tahu adalah, Iskandar datang dengan menunggang basikal. Namun kerana tidak sanggup melihat Allisya mengangkat barang berat balik ke fakulti dengan hanya berjalan kaki, Iskandar membuat keputusan untuk membantu gadis itu mengangkat buku-bukunya dan berjalan kaki bersam-sama untuk pulang ke fakulti masing-masing. Begitulah dalamnya cinta Iskandar terhadap Allisya. Meski pun gadis itu tidak mengetahui, cinta Iskandar sentiasa lahir dengan pengorbanan. Iskandar bukan sahaja mengintai cinta dalam rahsia, namun panglima itu turut melindungi puterinya itu tanpa pengetahuan puteri itu sendiri.
“Abang Is…”
“Ya?”
“Abang dah jumpa pemilik pin kelab SWM tu?” Allisya bertanya perlahan.
“Belum.”
“Abang ada tanya pada Zairin?”
“Zairin? Maksud Allisya? Zairin ada kawan yang sertai kelab SWM ya?”
Allisya diam mendengarkan jawapan Iskandar. Mendengarkan persoalan-persoalan yang diajukan oleh Iskandar, Allisya yakin, pemuda itu pastinya tidak tahu bahawa Zairin ialah salah seorang daripada ahli baru SWM. Allisya ingin sangat memberitahu Iskandar tentang hal itu, tetapi malangnya Zairin sendiri tidak mahu mengaku dia adalah ahli SWM. Tambahan pula, sekiranya Allisya memberitahu Iskandar yang dia tahu tentang hal itu setelah mencuri baca fail kelab tersebut tanpa keizinan pengerusinya, apa pula reaksi Iskandar nanti?
“Tak adalah. Saya cuma tanya, mana tahu Zairin masuk kelab SWM ke.”
“Mungkin juga. Tapi Zarina kata Zairin bukan ahli kelab SWM.”
Allisya terdiam. Jadi betulah Zarina bersubahat sekali? Pada hari Zairin dan Zarina sedang sibuk mengemas alatan pementasan di dewan besar tempoh hari, Allisya sempat terdengar Zairin meminta Zarina menyembunyikan satu rahsia. Apa dia? Apakah ianya rahsia berkaitan dengan peristiwa dia kehilangan pin kelabnya? Adakah benar Zairin yang melakukan khianat terhadapnya, dan dia bersubahat dengan Zarina demi melindungi dirinya sendiri? Tetapi apa kesalahan yang pernah Allisya lakukan terhadap mereka berdua sehingga mereka mampu bertindak sekejam itu?
Allisya merenung ke langit. Langit kelihatan gelap sahaja. “Eh nak hujan ke? Gelap je.”
Iskandar yang berjalan menunduk ke hadapan serta merta mendongak ke atas. “Yalah, dah mendung. Insya’Allah, mungkin hujan petang ni.”
“Alamak! Saya terlupa pula nak beli payung baru!”
“Payung Allisya rosak ke?”
Allisya mengangguk sebagai menjawab pertanyaan Iskandar, namun sebaik mendengarkan perkataan rosak, Allisya ketawa kecil di balik senyumannya. Ada sesuatu yang difikirkan oleh Allisya tetapi tidak dimengerti oleh Iskandar.
“Allisya?” Iskandar keliru melihat reaksi Allisya yang hanya ketawa apabila menyebut tentang payungnya yang telah rosak itu.
“Tak ada apa-apa Abang Is. Teringat peristiwa lucu je.”
“Oh, macam tu rupanya. Allisya nak pinjam payung abang? Abang ada bawa baju hujan sekali, jadi tak perlu pakai payung lagi.”
“Eh, tak apa Abang Is. Tak perlu susah-susah. Lagi pun waktu nilah saya nak tengok adakah panglima saya akan betul-betul muncul.” Allisya masih mendongak ke langit. Bibir gadis itu manis berukirkan senyuman.
“Panglima? Maksud Allisya?” Iskandar semakin keliru. Namun entah mengapa, jantungnya berdegup kencang dengan serta merta. Memorinya kembali mengingati sesuatu yang selama ini tidak dijangka olehnya sebegitu penting.
“Ya, seorang panglima dan panglima tu seorang yang sangat berani. Saya tak kisah kalau hujan sekalipun, sebab nanti akan ada seorang panglima yang bakal datang menyambut saya dan memayungi saya dalam hujan.” Allisya menjawab dengan yakin, walaupun pada hakikatnya dia tidak pasti adakah perkara itu akan betul-betul terjadi.
Bagaikan kilat, hati Iskandar disambar dengan rasa sakit yang amat. ‘Payung? Panglima? Tuan puteri?’
Iskandar masih tidak mengerti, mengapa perasaannya berubah dengan sekelip mata sebaik sahaja mendengarkan kata-kata Allisya tadi. Pada saat itu, Iskandar teringat kembali kata-kata yang pernah diujarkan oleh Azim,“lecehlah kalau hujan. Aku kena sentiasa bersedia dengan dua payung…Nak sambut tuan puteri.”
Lama Iskandar termenung. Kini, kata-kata Allisya pula bagaikan diulang-ulang semula ke benak fikirannya. “Saya tak kisah kalau hujan sekalipun, sebab nanti akan ada seorang panglima yang bakal datang menyambut saya dan memayungi saya dalam hujan.”
Iskandar terhenti dari terus melangkah. Degupan jantungnya semakin kuat. Buat pertama kalinya, hati pemuda yang tenang itu menjadi kacau, bercanak dengan satu rasa yang dia sendiri tidak mampu mengerti. ‘Allisya dan Azim?’
Iskandar menoleh ke arah Allisya. Gadis itu masih tersenyum sambil mendongak melihat ke langit. Iskandar selalu sahaja merasa gembira apabila melihat Allisya tersenyum. Malah, dirinya juga pasti akan tersenyum sama. Namun buat pertama kalinya, bagai ada perasaan duka bertandang ke hati pemuda itu. Tatkala dia memandang wajah manis Allisya, tatkala itu juga memorinya kembali mengimbau saat-saat Allisya menangis dan ketawa. Selama ini, pemuda itu akan merasa sedih apabila melihat Allisya menangis dan tersenyum apabila melihatnya ketawa. Kerana itulah walaupun hanya dalam rahsia, Iskandar tetap akan berusaha untuk memujuk hati Allisya di saat gadis itu berduka.
Buat seketika, hati Iskandar berbisik, ‘Adakah setiap tawa dan titisan air mata Allisya selama ini sebenarnya demi Azim?’
Iskandar tunduk memandang ke tanah. Hari ini barulah Iskandar sedar maksud sebenar bahawa ‘cinta itu tidak bererti memiliki’.
‘Allisya, sepuluh tahun dahulu kita pernah berpisah sebaik dipertemukan. Adakah kali ini, kita dipertemukan untuk berpisah juga?’
Iskandar menoleh semula kepada Allisya. Allisya masih berjalan ke hadapan, meninggalkan Iskandar di belakang. Allisya masih tidak dapat melupakan janji Azim dan bagi Allisya peristiwa tersebut sangat istimewa. Wajahnya masih tersenyum. Peristiwa tersebut telah merapatkan lagi mereka berdua. Peristiwa-peristiwa yang berlaku diantara dirinya dan Azim seringkali mencuit hati Allisya. Sekali-sekala, Allisya ketawa sendiri. Dia langsung tidak menyedari Iskandar telah jauh tertinggal di belakang. Mungkin juga dia sudah terlupa akan kewujudan Iskandar di sisinya.
“Allisya…Sebenarnya kita tidak pernah berpisah, kerana selama ini pun hati kita tidak pernah bersatu.” Hanya bisikan hati yang mampu dilafazkan Iskandar. Buat pertama kalinya, barulah Iskandar sedar, Allisya hanya akan kelihatan begitu gembira ketika menyebut tentang Azim. Mungkin benar, Azim adalah panglima sebenar gadis itu.
“Abang Is?” Allisya menoleh ke belakang, hairan melihat Iskandar sudah ketinggalan jauh di belakangnya. Dia risau sekiranya Iskandar kepenatan mengangkat buku-bukunya. Di tambah pula fakta bahawa Iskandar mempunyai masalah paru-paru. “Abang tak apa-apa?”
Sebaik melihat wajah risau Allisya, Iskandar segera mengukirkan senyuman. “Tak perlu risau, abang tak apa-apa.” Iskandar meneruskan langkahnya. Walaupun hatinya terhiris, namun pemuda itu tetap tidak berubah. Dia masih mampu mengukirkan senyuman untuk menenangkan hati insan lain.
Adakah benar, ‘cinta tidak bererti memiliki’?
Iskandar dan Allisya pernah dipertemukan dan berpisah pada sepuluh tahun dahulu. Berkat kesabaran dan doa dua insan itu, mereka dipertemukan semula dengan hati masing-masing saling bertaut cinta. Namun, perasaan yang hanya bersembunyi di balik hati itu telah membuatkan cinta tulus yang mereka miliki itu semakin menjauhi takdir untuk bersatu. Masihkah ada ruang untuk mereka mengerti hati masing-masing? Atau sudah tibakah masanya mereka melepaskan ‘cinta’ itu pergi?
Nani NA

No comments:

Post a Comment