Sunday 11 September 2011

BAB 23: PAYUNG UNTUKMU



            “Dia tulah perempuan yang rampas Zaem dari Fazura.” Seorang pelajar yang memakai baju putih bersuara.

            “Ye ke? Budak baru tu? Belum pun satu semester ada di USAS dah buat hal.” Seorang pelajar lain yang sedang mengulangkaji di meja yang sama pula membalas. 

Mereka kelihatan seperti sedang berbisik. Hairannya, kuat pula suara mereka berbicara sehingga boleh sampai ke meja Allisya dan Raihana yang terletak tidak jauh di hadapan mereka.

            “Budak kampung, macam tulah. Mesti dia banyak sakitkan hati Fazura sampai Fazura cuba bunuh diri.”

            “Jahatnya budak perempuan tu, tak pandan dengan kecil. Hati busuk!”

            “Orang suruh datang USAS untuk belajar. Dia sibuk cari lelaki, lepas tu jadi perampas. Macamlah dah tak ada lelaki lain.”

            “Yalah, perempuan macam nilah yang akan jadi perampas suami orang suatu hari nanti. Aku jamin!”
            Perbualan dua orang pelajar USAS itu terhenti sebaik Zairin muncul dan menghempaskan buku di atas meja yang berdekatan dengan mereka. Allisya dan Raihana yang dari tadi hanya bersabar mendengar tuduhan dan fitnah dua orang pelajar berkenaan turut tersentak melihatkan tindakan Zairin yang muncul secara tiba-tiba di meja mereka itu.

            “Rin, kenapa awak hempas buku-buku awak tu? Tak baik tahu buat bahan ilmu macam tu.” Raihana yang dari tadi berdiam diri kini bersuara. 

            “Rin cuma nak halau ‘lalat’ yang ada dekat perpustakaan ni.” Zairin membalas, nadanya kelihatan agak meninggi. Pasti dia juga terdengar perbualan dua orang pelajar tadi. Hati mana yang tak marah bila kawan sendiri dikutuk-kutuk?

            Raihana menjeling ke meja yang terletak tidak jauh daripada mereka itu, lalu turut  menambah, “Yalah, orang datang ke perpustakaan nak belajar, tapi ada orang tu datang nak mengumpat. Jangan sampai orang lain yang buat dosa, tapi diri sendiri yang terlaknat sebab mengumpat.” Ayat Raihana cukup berbisa, bukan sahaja Allisya yang terkejut mendengarkannya, malah Zairin juga ternganga melihat keberanian Raihana mengeluarkan kata-katanya itu. 

            Kedua-dua orang pelajar USAS yang dari tadi begitu rancak bercerita tentang keburukan Allisya itu, kini menambah lagi, “Dua kali lima, kawannya pun sama je.”

            Raihana hampir bangun sebaik mendengar kata-kata sinis dua orang pelajar tersebut, namun dihalang oleh Allisya. “Rai, biarkan je.” 

            “Macam mana awak boleh bersabar Sya? Mereka sengaja memburuk-burukan awak!” Raihana menyatakan rasa tidak puas hatinya. Allisya hanya diam. Dia sendiri tidak tahu dari mana dia mendapat kekuatan untuk terus bersabar. Seseorang itu pasti tidak akan pernah menyedari kekuatan dalaman dirinya selagi tidak diuji oleh tuhan. Allisya bermohon kepada penciptanya, semoga kekuatan hatinya tidak akan mudah patah mendengar cemuhan manusia-manusia yang tidak berhati perut itu.

 Beginikah yang Zaem alami ketika dia dituduh menjadi penyebab Fazura cuba bunuh diri sebelum ini? Jika Allisya tidak merasai detik-detik hitam ini, pasti dia tidak akan pernah tahu bagaimana sukarnya Zaem melalui saat-saat difitnah seperti itu. Adakah manusia hanya tahu menggunakan mulut mereka untuk mengata dan memfitnah orang lain? Tidakah mereka sedar, suatu hari nanti mulut itu akan ditutup dan mereka tidak akan mampu mempertahankan diri mereka apabila disoal di padang Masyar nanti? 

‘Naudzubillahi minzalik, ya Allah, Engkau jauhkanlah aku dari sifat-sifat itu.’ Allisya meraup wajahnya. Dia merasa sedikit tertekan dengan situasi yang sedang dialaminya itu.

            “Ini semua salah Zaem. Tengoklah apa yang Rin nak buat nanti.” Zairin kembali bersuara. Dia sudah pun duduk di kerusi berhadapan dengan Raihana dan Allisya. Allisya dan Raihana saling berpandangan. Apa yang Zairin ingin lakukan terhadap MPP mereka itu?

            “Rin, Abang Zaem tak bersalahlah. Kenapa nak kaitkan dia?” Raihana cuba membela nama itu.

            “Tak salah Rai kata? Cuba Rai tengok apa yang dia buat pada Allisya? Dia malukan Allisya pada malam kebudayaan yang lalu. Suka-suka hati dia je buat pengumuman di speaker dewan besar tempoh hari, dan sekarang ni, Allisya pula yang menjadi mangsa.” Zairin menguatkan pendapatnya. 

Raihana cuba membangkang, namun Allisya sudah pun bersuara. “Sudah! Jangan kaitkan sesiapa dengan masalah Sya.” Raihana dan Zairin terdiam.

“Rai, boleh tak Rai bincang dengan Zairin je untuk ulangkaji? Sekejap lagi Kak Maizatul sampailah. Sya rasa kurang sihatlah. Sya ingat nak berehat di bilik je.” Allisya sudah pun mengemas buku-buku rujukan yang dipinjamnya. Nota-nota kuliah disimpan kembali ke dalam failnya.

“Sya nak Rai temankan Sya balik?” Raihana bertanya. Dia bimbang melihat keadaan sahabatnya itu.

“Tak apalah. Kesian Kak Mai. Nanti dia datang, tengok cuma ada Zairin. Lagi pun kita yang beriya-riya nak ajak dia temankan kita mengulangkaji. Rai tolong sampaikan salam Sya pada Kak Mai ya. Nanti lepas Kak Mai ajar Rai, Rai ajarkanlah semula pada Sya ya.” Allisya sudah pun bangun, dia melangkah tanpa menanti jawapan daripada Raihana. Allisya tidak mahu lagi duduk di khlayak ramai kerana dia tahu, akan ada lebih banyak lagi umpatan dan cacian yang bakal dilemparkan kepadanya. Jerlingan orang ramai pun sudah cukup membuatkan Allisya merasai betapa bencinya mereka kepada Allisya. 

Allisya berjalan sambil menundukkan kepalanya. Dia tidak mahu bertentangan mata dengan pelajar lain. Dia tidak sanggup melihat wajah mereka yang kelihatan seperti jijik memandang dirinya. 

Allisya berjalan perlahan, walaupun pada hakikatnya dia sudah melangkah sederas yang mungkin. Dia keletihan kerana semalaman tidak dapat tidur lena. Peristiwa kelmarin masih menghantui fikirannya. 

‘Kenapa Kak Fauzura berani menelan pil tidur melebihi dos yang dibenarkan? Adakah Kak Fazura betul-betul kecewa kerana cintanya ditolak Zaem, lalu dia cuba bunuh diri?’ Allisya tidak mampu menjawab persoalan yang bertandang di fikirannya sendiri dan dia tidak akan pernah berani menyuarakannnya kepada Raihana dan Zairin. Dia takut, jawapan yang bakal diterimanya  nanti akan memberikan tamparan yang lebih hebat kepada dirinya. Walaubagaimana pun, Allisya berasa sungguh bersyukur kerana Fazura selamat dan sempat dikejarkan ke hospital. Tambahan pula, doktor yang merawat Fazura memberitahu bahawa Fazura mungkin sekali tidak menelan pil tidur tersebut melebihi dari dua gram, maka kesan keracunan dalam badannya tidak begitu kritikal. Sekiranya gadis itu menelan pil jenis ‘barbiturate’  itu melebihi dua gram, pasti dia akan dikejarkan  ke unit kecemasan dan kesannya mungkin akan menyebabkan koma atau maut. 

Fazura kini sudah pun dibenarkan pulang dan dia diminta untuk berehat secukupnya.  Allisya belum berpeluang lagi berjumpa dengan gadis tersebut kerana sebaik sahaja Fazura dikejarkan ke hospital, Allisya dibawa pulang oleh Dr. Ariffin ke kolej semula. Walaupun Dr. Ariffin tidak memberitahu sebabnya, namun Allisya tahu, pensyarah itu pasti tidak mahu Allisya bertemu empat mata dengan Farid yang juga merupakan abang Fazura. 

Allisya sendiri tidak sanggup melihat wajah amuk lelaki itu. Dia benar-benar berharap agar Farid tidak akan terpengaruh dengan kata-kata pelajar lain yang sedang rancak menuduh Allisya di atas peristiwa yang telah menimpa Fazura. Meski pun begitu, jauh di sudut hati Allisya, dia merasa bersalah dengan apa yang telah terjadi ke atas Fazura. Allisya yakin, sedikit sebanyak, peristiwa di Malam Kebudayaan Universiti tempoh hari turut memberi kesan terhadap tekanan yang dialami Fazura. Mungkin juga merupakan sebab utama mengapa gadis cantik itu cuba membunuh diri.

Allisya tidak pernah menyangka, tekanan menuntut di universiti ini bukan sahaja datang daripada isu yang berkaitan pelajaran, namun masalah percintaan dan hubungan sesama mahasiswa dalam komuniti yang ada turut memberikan tekanan yang besar dalam hidupnya. Kini baru Allisya sedar, bukan mudah hidup sebagai mahasiswa. Tidak hairanlah ramai juga yang kecundang dalam perjuangan mereka menuntut ilmu di menara gading. Jika hati dan semangat tidak kuat, dikala itu hasutan syaitan mudah sahaja menembusi kekuatan iman yang ada. Ketika itu, ramailah yang akan terpesong dari niat dan matlamat utama mereka.

“Ya Allah, ya tuhanku, berikanlah aku kekuatan hati dan petunjuk agar perjalanan hidupku ini tidak akan pernah tersasar dari landasan yang sebenar.”

Minda Allisya masih berpusing-pusing memikirkan tentang masalah yang sedang menimpanya itu. kakinya tidak pernah juga berhenti melangkah. Dia berjalan melepasi beberapa buah hentian bas yang ada di kawasan kampus itu. Allisya seperti enggan berhenti dari terus melangkah. Dia enggan duduk di kawasan yang dipenuhi dengan orang ramai. Allisya khuatir, dia akan mendengar lebih banyak kata-kata fitnah tentang dirinya.

Allisya melintasi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan. “Bila agaknya Abang Is nak pulang?” Dalam keadaan yang tertekan itu, nama Izzat Iskandar kembali muncul menyapa benak fikirannya. 

Allisya tahu, hampir semua orang telah hilang kepercayaan terhadap diri Allisya, namun adakah Iskandar juga akan berfikiran seperti mereka? Adakah Iskandar juga akan membencinya? Kini, jurang untuk dirinya mendampingi pemuda sebaik Iskandar semakin besar. ‘Iskandar pasti membenci aku!’ 

Allisya mengangkat pandangan. Barulah Allisya sedar, kini dia sedang berada di kawasan Fakulti Kejuruteraan pula. Fakulti itu sunyi dan lengang sahaja. Di sebelah Allisya tersergam sebuah bangunan tinggi yang mempunyai banyak tingkap. Sebahagian daripada tingkap bangunan itu terbuka dengan luas, dan sebahagian yang lain ditutup rapat. Selalunya lepas habis kelas Allisya memang akan melalui kawasan fakulti ini kerana fakultinya sendiri terletak berhampiran dengan Fakulti Kejuruteraan tersebut. Allisya meneruskan perjalanannya dengan keadaan yang tidak bermaya. Hari ini bukanlah hari yang indah dalam sejarah hidupnya.

Sedang gadis itu melangkah, Allisya terpandang sesuatu yang bersinar di atas jalan yang sedang dilaluinya. Ditambahkan pula dengan sinaran matahari yang sedang memancar, benda kecil yang bersaiz ibu jari itu kelihatan lebih bersinar dan menarik perhatian Allisya. Perlahan-lahan Allisya mendekati benda itu, dia menundukkan pandangannya. 

“Ini pin logo salah satu kelab di USAS ni. Tapi logo kelab apa ya? Siapa pula yang terjatuhkan pin ni?” 

Allisya yang berdiri, kini berubah posisi dengan mencangkung seperti anak kecil di atas lantai jalan. Perlahan-lahan tangan kecilnya mengutip pin tersebut. 

“Siapa agaknya yang terjatuh pin kelab dia ni ya?” Tangan Allisya masih memegang pin tersebut. ‘Lebih baik aku simpan dulu. Nanti kalau berkesempatan aku cari pemilik pin ni untuk pulangkannya.’ Allisya berbisik di dalam hati. Namun tanpa Allisya sedari, sedang Allisya duduk mencangkung mengutip pin tersebut, sebuah pasu bunga jatuh dari tingkat atas bangunan kejuruteraan yang dilaluinya. Pasu itu jatuh mengikut tarikan graviti betul-betul di atas kepala Allisya yang sedang terleka membelek pin yang dijumpainya. Bunyi hentakan dan hempasan kedengaran bergema di kawasan fakulti yang sunyi itu.

            Satu persatu cebisan pasu seramik yang telah pecah jatuh dan kelihatan bertaburan di atas jalan di sekitar Allisya. Jantung Allisya  terasa bagai terhenti sektika. Dia terasa bagai kehilangan upaya untuk bernafas kerana terkejut dengan kejadian yang sedang berlaku itu. Sesuatu telah jatuh dari atas bangunan tersebut, namun tidak sedikit pun mengenai dirinya. Apa sebenarnya yang telah terjadi? Allisya tergamam.

            Beberapa saat kemudian, beberapa titisan darah menitis di atas tangan dan pin kecil yang sedang dipegang Allisya. Jantung Allisya berdegup semakin kencang. 

“Darah?” Allisya yang masih duduk mencangkung itu memberanikan dirinya untuk mendongak ke langit. 

Allisya bagaikan tidak percaya dengan apa yang sedang disaksikan oleh matanya. Alangkah terkejutnya gadis itu apabila melihat sesusuk tubuh manusia sedang menjadi penghadang bagaikan ‘bumbung’ di atas kepalanya melindungi gadis tersebut dari ditimpa oleh pasu yang jatuh sebentar tadi. Allisya masih mengumpul kekuatan untuk mempercayai apa yang sedang dilihat oleh matanya itu. Lelaki tersebut sedang membongkok bagai orang yang seakan-akan sedang rukuk sambil kedua belah tangannya cuba menutup kepala Allisya demi melindungi gadis itu dari mengalami sebarang kecederaan.

“ABANG AZIM!” 

Hampir separuh daripada semangat yang ada hilang dari dalam diri Allisya. Tiada kata yang dapat diungkap Allisya apabila melihatkan kepala dan bahu kanan pemuda tersebut dilumuri dengan darah, kesan daripada hentakan pasu tadi. Darah mengalir dengan deras menandakan luka yang dialami oleh Azim itu sangat parah. Namun, pemuda itu tidak pula mengerang mahupun mempamerkan rasa sakit pada riak wajahnya.

Darah semakin banyak mengalir dari bahu pemuda tersebut. Setitis demi setitis darah jatuh ke muka Allisya. Allisya masih kaku mendongak melihatkan wajah panglima yang telah menyelamatkan nyawanya itu. Gadis itu bagaikan tidak percaya dengan apa yang sedang dilihatnya. Dia ingin menjerit, namun tekaknya terasa bagai sedang dijerut. 

Azim sedang menahan rasa sakit yang amat. Perlahan-lahan, pemuda itu cuba berdiri tegak semula, dia mengundur sedikit ke belakang. Azim akhirnya bersuara, dia  mengerang kesakitan sambil tangan kirinya sedang menahan darah yang mengalir di bahagian kanan kepalanya. Bahu kanannya juga kelihatan cedera, namun Allisya pasti, kesakitan lebih kuat dirasai di bahagian kepalanya.

 Allisya bangun dengan segera, dia cuba mendekati Azim, tetapi Azim mengundur ke belakang. Langkahnya kelihatan terhuyung hayang. Sekali lagi Azim mengerang kesakitan, sebelum pemuda itu jatuh terduduk di atas jalan raya. Nafasnya yang deras kini terhenti, matanya juga sudah terpejam.

“ABANG AZIM!” Allisya menjerit dengan harapan pemuda tersebut mampu mendengar suara panggilannya. Dia sangat takut. Dia takut sekiranya mata pemuda itu tidak akan dibuka kembali. Namun, Azim sudah tidak dapat mendengar suara gadis itu lagi. Dunianya telah gelap dari segala bayangan, apatah lagi pendengarannya. Telinganya juga kelihatan basah dilumuri darah.

Azim benar-benar telah menunaikan janjinya untuk memayungi gadis itu, tetapi bukanlah dari hujan lebat. Azim datang memayungkan Allisya dengan tubuhnya sendiri bagi melindungi gadis tersebut dari hujan derita dan bencana. Betapa hebatnya pengorbanan pemuda itu, benar-benar telah menyentuh hati Allisya. Bagi Azim, perngorbanan bukanlah satu ucapan. Janji Azim bukan sebarangan janji, tetapi janji seorang panglima yang berani.

Pada ketika itu, hanya satu ayat sahaja yang mampu difikirkan Allisya, ‘Ya Allah, Engkau selamatkanlah nyawa Abang Azim.’

Bagi Azim, perngorbanan bukanlah satu ucapan


Nani NA

No comments:

Post a Comment